Bab 27: Janji

Short Story Series 116383

Ayuni terjaga dari tidur apabila bahu kanannya digoncang lembut oleh Azimah. Dia bingkas mengangkat tubuhnya dari katil sambil memisat-misat kelopak mata yang masih kuyu.

Walau rasa penat masih menghentam diri, namun Ayuni tetap akur dan mengekori langkah Azimah dengan pandangan yang masih kabur.

Langkah terus mati. Jantung berdegup kencang kala iris menentang sepasang mata yang sedang merenungnya dengan tajam.

Gerangan itu sedang duduk di meja makan sambil memandang tepat ke arahnya. Di atas meja yang sama, terdapat beberapa bungkusan plastik yang tidak diketahui isinya. Lama, Ayuni mengimbas kesemua plastik yang berada di situ.

Lantas dahi mulusnya berkerut, cuba mengorek ruang memori untuk mengingati logo yang terdapat pada salah sebuah plastik di atas meja itu.

Selang beberapa saat, akhirnya Ayuni dapat cam bahawa plastik tersebut merupakan kepunyaan dari klinik Wahid. Dia agak terkejut melihat keberadaan plastik tersebut di rumah.

Dia kenal benar rupa logo serta nama klinik Wahid kerana sebelum ini dia pernah mendapatkan rawatan di situ.

Fikiran Ayuni mula terganggu dengan pelbagai persoalan. Matanya mula berkaca, menanti penjelasan daripada Arshad.

Nampaknya, keinginan Ayuni bakal menjadi kenyataan. Di dalam plastik itu, pasti terkandung ubat menggugurkan kandungan.

Tapi, bukankah ini yang dia mahu dan pinta sejak dulu? Dia juga ingin menggugurkan kandungannya. Tapi, mengapa sekeping hatinya menjadi sakit tiba-tiba?

Ayuni mengalihkan langkahan kakinya menuju ke tepi meja sebelum berdiri tegak di situ. Bucu meja makan di hadapan direnung hampa.

"Dalam ni, ada vitamin dengan ubat. Untuk kandungan. Nanti makan..." Plastik yang mengandungi ubat-ubatan itu ditolak ke arah Ayuni.

Kepala Ayuni terangkat. Jelas, terpamer kehairanan pada raut wajahnya.

Dia tidak mengambil plastik itu, sebaliknya memilih untuk menunggu penjelasan lanjut daripada Arshad. Vitamin? Kenapa harus vitamin? Bukankah ianya untuk menyihatkan janin? Jadi, dia tidak mahu kandungan ini digugurkan? Tapi, mengapa?

"Ubat-ubat ni, akan menyihatkan kandungan ke?" Soalnya tiba-tiba. Azimah dan Arshad saling berbalas tatapan sebelum Arshad mengalihkan semula pandangannya ke arah Ayuni. Dia mengangguk perlahan.

"Saya tak nak!" Potongnya tiba-tiba. Tubuh terus membelakangi Arshad, hendak berlalu meninggalkan ruang makan.

Ayuni sudah nekad, tidak akan melahirkan anak luar nikah yang sedang dikandungnya. Cukuplah penderitaan yang sedang dilaluinya selama ini bersama Azimah. Mustahil dia mahu menambahkan satu lagi beban ke atas masalah yang sedia ada.

Dia dan Azimah sudah merancang macam-macam untuk masa hadapannya. Takkan dia mahu merosakkan segalanya hanya kerana anak yang tidak pernah diingini ini?

"Tapi kenapa?" Pertanyaan itu terbiar sepi. Ayuni menarik nafasnya dalam-dalam sebelum membuka mulut.

"Saya tak nak anak ni. Saya tak pernah inginkan dia." Balasnya dengan pendek sebelum berlalu pergi dari situ. Azimah tertunduk menekur lantai sementara Arshad pula terkedu.

"Ayuni tidak mahukan kandungan tu, Arshad. Nenek pun tak boleh paksa dia. Dia masih terlalu muda untuk jadi seorang ibu." Azimah melirik sekilas air muka Arshad yang keruh. Dia kasihan dengan janin yang tidak berdosa itu, namun pada masa yang sama, dia juga mengasihani nasib cucunya.

"Kalau, saya bertanggungjawab?" Azimah lantas menggelengkan kepala. Itu bukan jalan penyelesaian yang terbaik.

"Walau kamu berdua kahwin sekalipun, anak yang bakal lahir tu, masih tidak boleh berbinkan nama kamu." Jelas Azimah. Arshad menggigit bibir bawah.

Jadi, anak itu akan kekal berstatus sebagai anak luar nikah? Jemari naik memicit dahi. Kepalanya sakit. Buntu memikirkan jalan yang terbaik buat kedua pihak. Kalaulah dia tidak melakukan perbuatan keji itu dahulu, pasti perkara ini tidak akan terjadi.

"Nek, boleh saya jumpa Ayuni lagi sekali? Saya nak bincang dengan dia. Saya tak nak anak tu digugurkan. Saya tahu, semua ni salah saya. Cuma, saya merayu sangat, tolong jangan bunuh anak tu. Saya akan buat apa sahaja, sebagai cagaran untuk nyawa anak di dalam kandungan Ayuni. Saya janji." Ujarnya. Sisa air mata lekas diseka dengan hujung jari.

Azimah mengangguk lemah sebelum masuk ke dalam bilik Ayuni. Dia mula rasa bersalah. Bimbang akan membuat Ayuni kecil hati kerana cuba membantu Arshad.

Pasti dia akan kelihatan jahat di mata cucunya kerana berpihak kepada lelaki tersebut. Tapi, itu bukanlah niat Azimah. Dia cuma mahukan yang terbaik buat masa depan cucunya itu.

"Ayuni taknak jumpa dia!" Dari tadi dia memasang telinga, mendengar perbualan antara neneknya dan Arshad. Tidak mungkin dia bertentang mata dengan lelaki itu lagi. Keputusannya adalah muktamad.

"Yuni...

"Taknak! Sudahlah opah. Yuni tak nak jumpa atau dengar apa pun daripada dia." Pantas dia mencelah tanpa memberikan peluang kepada Azimah untuk meneruskan ayatnya.

"Cu, sekali ni je...Cuba bincang dulu. Mana tahu, masing-masing dapat jalan keluar." Ayuni terdiam. Selang beberapa minit, dia berdiri semula, sebelum melangkah keluar dari bilik.

"Kita bincang di gazebo!" Arshad bingkas berdiri sebelum berjalan ke luar rumah, mengekori langkah Ayuni dari belakang.

Cuaca mendung membuatkan masing-masing berpeluk tubuh. Pandangan tertumpu ke dada langit yang kelihatan suram.

Angin sejuk meniup lembut wajah Ayuni, membuatkan rambut ikal mayangnya beralun-alun mengikut rentak arah tiupan angin pada senja itu. Anak rambut yang sedikit kusut dek tamparan angin disisip ke belakang telinga. Arshad sesekali melirik ke sebelah, menanti Ayuni bersuara.

Ketakutan mula menyerbu diri tika memikirkan jawapan yang bakal diberikan oleh gadis tersebut. Bagaimana kalau dia masih berkeras dengan keputusannya?

"Maafkan I. I akan bertanggungjawab atas anak ni." Kata-kata maaf daripada seorang Arshad Harizal tidak akan mampu mengembalikan ketenangan yang sudah lama lenyap daripada hidup Ayuni. Bongkak, angkuh, pentingkan diri! Mana mungkin aku boleh bahagia dengan lelaki sebegini.

"Keputusan saya masih sama. Tidak akan berubah. Ini demi masa depan saya." Dingin. Ayuni tidak mahu mempunyai apa-apa ikatan dengan lelaki di hadapannya. Masakan dia mahu menyeksa diri sendiri demi anak ini?

"Saya, saya tak mahu kandungan itu digugurkan." Luah Arshad. Raut wajahnya semakin keruh. Berdebar memasang telinga, menanti jawapan yang bakal keluar dari mulut gadis di hadapannya.

"Kandungan ini, tidak ada kena mengena dengan saya. Saya tak pernah menginginkan anak haram ni." Arshad tercengang seketika. Cuba menghadam kata-kata yang barusan diucapkan Ayuni.

"Tolong...tolong jangan cakap macam tu. Anak tu tak salah."

"Kenapa saya kena dengar cakap Encik!" Bentak Ayuni, geram.

"Ayuni, saya tahu awak pun kasihankan anak tu. Tolong, tolong jangan bunuh anak tu. Saya yang berdosa, saya yang bersalah dalam hal ni, bukan dia. Dia tak bersalah!" Rayu Arshad. Asalkan Ayuni berubah fikiran, dia sanggup lakukan apa sahaja.

"Saya tak nak!" Nada suara naik seoktaf. Bengang dengan kedegilan Arshad. Suka hati dia je nak paksa orang.

"What if...what if, saya gantikan dengan benda lain?" Dia sanggup mengadaikan apa sahaja, termasuk segala harta peninggalan Mukhriz, demi menyelamatkan nyawa anak yang sedang dikandung oleh gadis itu. Itu adalah zuriatnya, darah dagingnya sendiri!

"Maksud Encik?" Ayuni menjongketkan kening. Ada sesuatu yang sedang bermain di dalam fikiran.

"Saya rela bagi semua harta saya pada awak, asalkan, awak sanggup lahirkan zuriat saya." Tanpa berfikir panjang, Arshad menuturkan janji.

"Masih tak berubah!" Mengapa orang kaya suka mengambil kesempatan ke atas orang seperti dirinya hanya menggunakan modal sejumlah wang?

"Tak...tak! Please...Jangan salah faham dulu. Kalau awak sudi lahirkan anak tu untuk saya, awak mintalah apa pun, saya akan cuba tunaikan. Itu janji saya." Jelas Arshad. Laju dia menelan air liur apabila dicerlung tajam oleh Ayuni.

"Boleh percaya ke janji Encik tu?" Soalnya tidak percaya. Mana tahu tiba-tiba berubah fikiran.

"This time, I won't play anymore." Tekan lelaki itu dengan bersungguh.

"Kalau saya nak sebuah rumah dan wang berjumlah RM500 ribu, boleh Encik tunaikan?" Uji Ayuni.

"Boleh. Apa sahaja demi nyawa anak saya." Arshad mengangguk beberapa kali dengan yakin. Ayuni terdiam seketika.

"Baiklah. Bagi saya masa, saya perlu berfikir." Tanpa menunggu balasan daripada Arshad, dia terus mencelah masuk ke dalam rumah, meninggalkan Arshad keseorangan melayan dilemanya di halaman rumah agam itu.

Maaf ya, terlambat lagi! Jangan marah2 ya...hehehehe

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience