Bab 37: Cemburu

Short Story Series 116383

"Yuni, kau nak balik dah ke?" Laung Dania dari dapur. Ayuni berhenti melangkah sebelum berpusing ke belakang.

"Ya! Kenapa Dania? Awak nak saya bantu apa-apa ke?" Sahutnya dari luar.

"Oh, takpelah kalau macam tu. Bye, jumpa esok." Dania muncul dari dapur. Tangan dilambai ke arah Ayuni.

"Okay. Saya balik dulu. Assalammualaikum." Dia bergegas keluar dari kedai lalu menuju ke arah kereta Pak Mat. Entah mengapa, dia rasa diperhatikan. Dia berhenti seketika lalu memerhati keadaan sekeliling, namun, tiada yang pelik di situ.

"Kenapa Ayuni? Ada apa-apa ke?" Soal Pak Mat sebaik sahaja Ayuni masuk ke dalam kereta. Gadis itu lantas menggelengkan kepala.

"Takde apa Pak Mat." Pak Mat mengangguk faham sebelum mereka beredar dari situ.

"Macam manalah rupa kamu? Dah besar mana? Rambut Adwa dah panjang hingga paras apa? Gigi kamu dah tumbuh ke? Kamu dah boleh bercakap?" Bisiknya sambil memerhati cawan mainan kepunyaan Adwa.

Sejak pertemuannya dengan Arshad tempoh hari, dia menjadi tertanya-tanya tentang perkembangan Adwa. Mereka terpisah selama 4 tahun. Mungkin anak kecil itu sudah tidak mengenali dirinya atau, dia sudahpun memiliki ibu baru. Ayuni meletakkan semula cawan itu di atas meja sebelum kembali berbaring di atas katil.

Tiba-tiba sahaja dia berasa cemburu. Macam mana kalau Arshad sudah berkahwin dan mempunyai isteri? Dan tempatnya sebagai seorang ibu kepada Adwa telah digantikan oleh perempuan lain? Buku lima dikepal dengan kuat. Dia menumbuk permukaan bantal dengan kasar.

"Yang nak marah sangat ni dah kenapa?" Kepala dipicit perlahan sebelum dia menutup suis lampu meja di sebelah. Mata dipejam lalu nafas ditarik serta dilepas. Badan dipusingkan ke kanan. Selimut ditarik sehingga ke paras dada. Sedetik, dua detik, tiga detik dan...

"Ish! Apa yang tak kena ni?" Dia bangun semula lalu bersandar pada kepala katil. Fikirannya terganggu. Dia perlu mencari tahu tentang Arshad, dan Adwa.

Tok! Tok! Tok!

"Ya, opah. Kejap." Lampu meja tadi dihidupkan semula sebelum dia melompat turun dari katil. Pintu dibuka sebelum memberi laluan kepada Azimah untuk masuk ke dalam.

"Kenapa ni opah? Opah tak sihat ke?" Dia menghampiri Azimah yang sedang duduk di birai katil.

"Takde apa. Opah cuma nak tengok kamu aje. Sejak kamu cakap, ada orang intai kita hari tu, opah jadi risau." Luah orang tua itu. Ayuni tersenyum tipis sebelum menepuk lembut bahu Azimah.

"Tadi, Ayuni ada tengok lagi. Orang tu dah takde. Mungkin Ayuni salah tengok kut hari tu. Opah jangan risau ya?" Dia cuba menenangkan Azimah.

"Baiklah. Opah masuk tidur dulu. Apa-apa hal, panggil opah." Pesannya sebelum keluar dari bilik Ayuni.

Ayuni menutup daun pintu lalu naik semula ke atas katilnya. Dia mengerling sekilas jam tangannya di atas meja. Hampir mencecah pukul 11 malam, dan dia masih belum tidur. Esok, dia perlu bangun sedikit awal daripada biasa kerana sudah berjanji dengan Jayden akan membantunya memasak krim beri dan coklat.

"Adwa dah tidur tuan. Tadi, dia ada meragam sikit. Badan dia pun panas. Saya dah bagi ubat dan tampalkan Koolfever pada dahi dia. Sekarang, suhu dia dah kembali normal." Katanya kepada Arshad. Lelaki itu baru pulang ke rumah.

"Baiklah. Terima kasih Nita. Awak boleh balik dah." Nita terus membongkok hormat sebelum meminta diri. Nita akan menjaga Adwa dari pagi sampai 11 malam sahaja. Selepas itu, Adwa akan diuruskan sepenuhnya oleh Arshad.

"Anak babah demam ya tadi?" Dahi basah anaknya dikucup lembut.

"Ya, kenapa? Adwa nak apa-apa ke?" Adwa menggeleng lemah.

"Kita tidur ya? Hari dah lambat. Jom babah teman tidur." Tubuh Adwa dipeluk erat lalu pinggulnya ditepuk perlahan.

"Babah sayang Adwa." Ubun-ubun Adwa dielus perlahan. Sampai bila dia harus lalui semua ujian ini?

"Apa kata Doktor Rizal?" Wahid meneguk sedikit air di dalam botolnya. Pandangan menghala ke arah tasik di hadapan mereka. Tenang sekali suasana pada pagi itu. Kawasan riadah juga sedikit lenggang dari biasa. Jadi, bolehlah mereka berbual di situ. Selalunya, taman itu selalu penuh dengan pengunjung.

"Kena operate. Baru boleh sembuh." Jawabnya sebelum melepaskan keluhan berat. Wahid menoleh ke arah Arshad. Bahu rakannya ditepuk perlahan.

"Everything will be alright. Jangan risau." Arshad mengangguk lemah. Kecewa.

"Entahlah. Aku penat. Tapi, semua ni berpunca disebabkan aku." Luahnya dengan sayu. Wahid hanya mendengar tanpa mencelah.

"Macam mana nak jumpa Encik Arshad ya? Nombor telefon dia pun takde. Alamat dia pun tak tahu. Tapi, kalau tahu pun, bukannya boleh buat apa. Nanti melanggar syarat dalam perjanjian." Fikirnya. Sebenarnya, ada satu syarat Ayuni gugurkan daripada perjanjian mereka, iaitu pemberian wang tunai sebanyak RM500,000 oleh Arshad, seperti yang pernah dia minta pada lelaki itu pada 4 tahun yang lalu.

Dia merasa cukup tamak kerana permintaan itu. Namun, tidak dia sangka, Arshad akan memberikan rumahnya kepada mereka, selain menyediakan kemudahan pengangkutan menerusi Pak Mat selama ini.

Segala kos pembelajarannya juga diuruskan oleh Arshad. Namun, Ayuni tidak tahu pula, bagaimana lelaki itu boleh mendapat tahu tentang kos-kos pembelajarannya. Mungkin, Pak Mat yang menyampaikan maklumat. Dia meneka.

"Nak tanya pada siapa? Pak Mat? Nak ke Pak Mat tolong? Takut, nanti Pak Mat kena marah dengan Encik Arshad..." Punggung terus dilabuhkan di atas kerusi. Dari jauh kelihatan Pak Mat yang sedang tekun mengelap tingkap kereta.

"Yuni dah bersiap ke kerja ya?" Soal Azimah. Ayuni mengangguk lemah. Tiada semangat seperti biasa. Tiba-tiba, rasa malas pula hendak ke tempat kerja. Azimah memandang hairan kerutan pada wajah cucunya.

"Kenapa ni? Ada masalah ke?" Kepala cucunya dibelai lembut.

"Takde apa opah. Ayuni letih je." Dalihnya. Azimah mengangguk faham. Kini, pandangan mereka berdua tertumpu ke arah Pak Mat yang sedang melangkah menghampiri mereka.

"Ayuni, dah siap? Kalau dah, kita gerak sekarang." Ayuni bingkas berdiri sebelum menyalam tangan Azimah lalu mengatur langkah menuju ke kereta.

"Okay, dah siap! Esok, Yuni datang lewat sikit pun takpe. Sebab kita dah sediakan inti ni awal." Ujar Jayden. Dania hanya memasang telinga sambil mengelap pinggan.

"Baik. Kalau macam tu, saya minta diri dulu ya." Serentak Jayden dan Dania menganggukkan kepala.

"Hati-hati." Pesan Dania sebelum meneruskan kerjanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience