Hari demi demi, berganti minggu dan kini, usia kandungannya sudah 5 bulan.
Membawa perut yang semakin membesar, bekerja pula sebagai kuli di rumah manusia yang sudah merosakkan hidupnya, sedikit sebanyak menjejaskan mental dan emosi Ayuni.
Sudah beberapa kali, Ayuni dimasukkan ke hospital kerana mengalami pendarahan yang serius. Semua kerana dia sengaja melakukan kerja-kerja yang berat. Mati-mati dia ingat kandungannya akan gugur, tapi hampa, entah kuasa apa yang menghuni dalam rahimnya, kandungan itu masih bertahan sehingga ke hari ini.
Kalaulah aku dilahirkan dalam keluarga yang baik-baik, mesti semua ni takkan terjadi. Terkumat-kamit dia meleteri nasib diri dalam keadaan termengah-mengah mencari nafas.
Namun, luahan itu kekal dalam hati. Mengeluh berpuluh kali pun, belum tentu dapat mengembalikan hidupnya seperti sedia kala. Pinggang yang sedikit lenguh itu diurut perlahan. Penyapu dibaringkan di tepi meja, sebelum Ayuni melabuhkan punggung di atas sofa. Lega rasanya saat belakang badan menyentuh permukaan yang lembut dan empuk itu. Kepala terus disandarkan pada kepala sofa.
Nafas ditarik lalu dihembus dengan perlahan. Sejak akhir-akhir ini, cepat sangat dia semput. Sering tercungap-cungap mencari nafas. Saat matanya jatuh pada permukaan perut yang membukit itu, terus Ayuni teringat akan kata-kata doktor sewaktu pemeriksaan kesihatan kandungannya pada minggu lepas.
"Kena banyakkan berehat. Badan kamu tak cukup nutrisi. Mana suami kamu? Saya nak berjumpa dengan dia." Tekan doktor wanita itu kepada Ayuni. Ayuni lantas menggelengkan kepala.
Mustahil dia menbawa lelaki itu bersama sewaktu pemeriksaan kandungan. Walaupun, pernah sebelum ini, Arshad berkeras ingin mengikutinya semasa melakukan pemeriksaan, Ayuni berterusan melarang.
Mereka bukan pasangan suami isteri yang sedang menunggu kelahiran bayi. Dia hanyalah mangsa yang dirogol dan Arshad pula ialah pelakunya. Mustahil dia akan melupakan semua itu dan menerima Arshad seperti biasa.
"Suami saya takde, doktor." Balasnya sebelum tertunduk meramas jemari. Berharap wanita di hadapannya tidak akan bertanya lanjut mengenai bapa kepada kandungannya. Doktor itu melepaskan keluhan berat sebelum menuliskan sesuatu pada sehelai kertas.
"Ini preskripsi ubat yang perlu kamu ambil di kaunter nanti. Kejap lagi, serahkan kertas ini pada jururawat di kaunter ubat." Ayuni mengangkat wajahnya sebelum mengangguk faham.
"Pada pemeriksaan seterusnya, sila bawa suami kamu sekali. Saya ada beberapa perkara nak berbincang dengan dia." Pesannya. Ayuni tidak memberikan apa-apa reaksi, sebaliknya dia terus melangkah keluar dari bilik pemeriksaan dengan hati yang berat.
Lamunannya terhenti kala bahu kirinya ditepuk lembut oleh seseorang dari belakang. Lantas dia menoleh ke sisi, bagi melihat gerangan itu. Bibirnya mengorek senyuman nipis tika Azimah menghulurkan segelas air sejuk. Air oren itu diteguk rakus sehingga ke titisan terakhir sebelum gelas kosong itu diserahkan kembali kepada neneknya.
"Terima kasih opah. Tahu-tahu je Yuni nak air sejuk." Bibir basahnya dilap pada hujung baju t-shirt sebelum dia berdiri.
"Rehatlah dulu. Biar opah buat kerja tu. Nanti Yuni penat." Halang Azimah sebelum menarik lengan Ayuni untuk duduk semula di atas kerusi tadi.
"Yuni okaylah opah. Nak sapu dekat luar tu je. Takdelah luas mana pun. Ayuni bosan tak buat apa-apa." Jelasnya sebelum menghenyakkan punggung di tempat yang sama. Mata terpejam rapat saat menerima urutan pada bahu. Badannya terasa ringan sewaktu menerima picitan daripada Azimah.
"Semua tu opah boleh buat. Kamu rehat je. Kejap lagi Tuan Arshad balik. Mesti dia marah opah nanti." Ujar Azimah sebelum mengelus lembut rambut Ayuni.
Ayuni menarik muka masam. Dia menepis tangan Azimah dari bahunya. Emosi Ayuni terganggu gara-gara Arshad. Dia tidak suka nama lelaki itu disebut di hadapannya. Muak! Benci!
"Opah, boleh tak jangan sebut nama dia dekat depan Ayuni? Yuni tak suka!" Bentaknya dengan kasar. Azimah terkedu sejenak. Mungkin kerana sedang hamil, emosi cucunya sering berubah-ubah. Kejap baik, kejap cepat marah. Kadang-kadang, Ayuni akan menangis tanpa sebab.
"Maafkan opah. Opah tersasul." Pujuknya dengan lembut. Dia mengalihkan pandangan pada perut Ayuni yang besar itu.
"Kenapa tengok perut Yuni macam tu?" Dahi mulusnya berkerut. Ada titisan peluh yang menodai kulit dahinya, namun tidak diendahkan. Hatinya sedang panas.
"Dah besar perut cucu opah ni. Tak sabar nak tengok cicit opah." Azimah tersenyum lebar. Tidak sabar rasanya hendak melihat anak Ayuni. Pasti comel seperti ibunya, atau, mungkin juga rupanya saling tak tumpah seperti Arshad. Tapi, apa-apa pun, anak itu tidak bersalah. Cukuplah kalau dia lahir dengan selamat dan sihat.
"Penatlah opah. Yuni tak suka. Rasa rimas. Semalam, Hairine ada tegur Yuni." Dia berpeluk tubuh sambil memandang wajah Azimah.
"Tegur apa?" Azimah lantas melabuhkan punggung di sebelah cucunya.
"Dia tanya pasal kandungan Ayuni. Lepas tu, dia ada cakap, yang dia nak sambung belajar bulan depan." Matanya mula berkaca-kaca.
"Kenapa Yuni nangis ni?" Dia menyentuh bahu Ayuni. Risau melihat cucunya menangis tiba-tiba.
"Yuni malu opah. Hairine dengan Ayuni sebaya. Tapi tengoklah hidup dia...Dia nak sambung belajar dah, tapi Yuni? Sekolah pun separuh jalan. Lepas tu, mengandung pulak! Kenapa hidup Ayuni teruk macam ni? Apa salah Yuni?" Air matanya berlinang membasahi pipi. Sayu dia memandang wajah Azimah. Kecewa dengan nasib diri. Ada sahaja masalah yang menimpa.
"Perjalanan kita semua tak sama cu. Ada yang hidup senang, ada yang tidak. Tapi, setiap dari kita, ada kekurangan masing-masing. Allah dah tetapkan rezeki semua orang." Luah Azimah sambil mengelus rambut Ayuni. Pilu hatinya ketika melihat keadaan Ayuni. Kalaulah gadis itu dilahirkan dalam keluarga yang baik-baik, pasti dia akan hidup dalam serba kemewahan. Tidak perlulah dia bersusah payah seperti ini.
"Ayuni, menyesal kerja dekat sini opah." Dia baringkan kepala di atas riba Azimah. Sakit rasanya membawa beban yang tidak tertanggung ini.
Dari jauh, Arshad memerhati. Dia juga sudah mendengar perbualan antara mereka berdua. Dua hari lepas, dia mengupah beberapa orang pengintip untuk mencari keberadaan Kasim. Namun, jawapan yang diterima, sungguh memeranjatkan Arshad.
"Orang tua tu dah lama mati, bos. Dia kena pukul dengan lintah darat. Duit hasil dia jual geran rumah, habis dia bawa berjoli. Sampai tak bayar hutang ahlong." Ujar salah seorang dari pengintip di situ. Arshad lantas mengangguk sebelum memandang silih ganti wajah pengintip-pengintip upahannya.
"Baik. Terima kasih. Kalau ada apa-apa, aku call korang semula." Ketiga lelaki itu menunduk hormat sebelum keluar dari bilik pejabat Arshad.
Arshad memandang sepi tangisan Ayuni. Ini semua berpunca dari dirinya sendiri. Kalau dia tidak terlalu mendengar kata hati yang menyesatkan itu, pasti Ayuni sedang bahagia sekarang.
Tapi, dia tidak sampai hati mahu melepaskan Ayuni pergi dari rumahnya. Dia akui, dia memerlukan seorang teman untuk menjaga anak mereka nanti. Tapi, pasti Ayuni akan menolak untuk tetap tinggal di rumah ini. Terlalu banyak kenangan buruk yang dia cipta di sini.
Lolos satu keluhan dari bibir. Dia berpaling ke arah pemandu peribadinya, sebelum memberikan isyarat. Lelaki itu lantas menggangguk faham sebelum membukakan pintu di bahagian penumpang belakang.
"Nak ke mana bos?" Soal lelaki itu.
"Klinik Wahid." Kereta yang dinaiki meluncur membelah jalan raya. Dia perlu berjumpa dengan Wahid. Mungkin lelaki itu boleh membantunya.
Maaf sbb lambat update...hampir unpublish citer ni sbb takde idea nak terus. Doakan saya ada idea utk terus sambung kisah ni sampai ending yaaaa....huhuuu...happy reading..and jangan lupa support story baru "Meh, Sandar Padaku" ...
Share this novel