Hati gundah gulana menanti kepulangan Kasim. Lelaki itu hilang jejak sejak dua hari yang lalu. Ke mana sahaja dia pergi sehingga tidak pulang ke rumah?
Sebelum ini, selewat manapun, Kasim pasti akan balik ke rumah. Ayuni mengerling sekilas petak sawah yang terletak tidak jauh dari halaman rumah mereka.
Selalunya, Kasim akan berbual bersama Pakcik Harun di pondok berhampiran petak sawah itu. Sudah merata dia mencari, sudah ditanya kepada beberapa kenalan bapanya juga, namun tiada siapa yang tahu ke mana lelaki itu pergi.
Sebak bertandang saat melihat beberapa baris papan rumah yang sudah semakin reput, menunggu masa untuk runtuh ke tanah.
Walaupun rumah itu tidak sesempurna rumah orang lain di kampung ini, namun Ayuni berasa terlalu bersyukur kerana tuhan masih memberikan mereka peluang untuk tinggal di rumah sendiri tanpa perlu menumpang di mana-mana.
Tetapi, apabila memikirkan tentang geran rumah yang bakal dijual atau mungkin juga sudah dijual oleh bapanya, Kasim, membuatkan Ayuni berasa sedih dan resah. Apakah akan jadi terhadap rumah peninggalan datuknya ini setelah dibeli oleh orang lain? Adakah ianya bakal dirobohkan?
Dalam pada itu, hati gadis sunti itu turut dilanda kebimbangan tika memikirkan keselamatan Kasim. Lelaki tua itu keluar dari rumah bersama geran, dan sejak hari itu, dia langsung tidak kelihatan di mana-mana. Jangan-jangan, dia dirompak atau telah dicederakan oleh...
Dengan pantas kepala digeleng. Mungkin bapanya sedang berseronok dengan wang hasil jual geran itu. Haih...Terpacul satu keluhan berat daripada bibirnya. Sempat dia menoleh ke arah dapur, neneknya sedang memasak sesuatu untuk makan tengah hari mereka berdua.
Wanita tua itu kelihatan cukup tenang, seakan tidak kisah langsung mengenai Kasim dan nasib rumah arwah suaminya. Atau mungkinkah, neneknya sudah pasrah dengan apa sahaja yang bakal berlaku selepas ini?
"Yuni, mari makan! Opah masak gulai ayam." Ayuni terlopong mendengarnya. Gulai ayam? Kenapa tiba-tiba?
"Gulai ayam?" Mata memandang tepat wajah Azimah yang sudah berdiri di muka pintu sambil tersenyum tipis ke arahnya.
"Iya, gulai ayam. Jomlah makan, sementara masih panas." Usai berpesan, Azimah beredar ke dapur semula. Menghidangkan nasi lalu menyusun pinggan mangkuk yang sudah bersih dicucinya tadi di atas rak.
Dalam kehairanan, Ayuni bangun dari duduknya, lalu melangkah perlahan ke dapur.
"Nah, opah masak sambal belacan sekali tadi." Ujar Azimah sambil menyungging senyuman manis kepada Ayuni yang kelihatan teragak-agak. Mangkuk kecil pemberian neneknya disambut sebelum diletakkan di atas tikar mengkuang yang sering dijadikan sebagai alas duduk semasa mereka menjamah makanan.
"Opah...kenapa gulai ayam?" Azimah terdiam sejenak. Dia tahu mengapa Ayuni menanyakan soalan itu. Cucunya pasti berasa pelik, kerana jarang sekali mereka dapat memasak lauk-lauk mewah seperti ini, lagi-lagi ayam. Selalunya, ikan masin, atau sayur yang dipetik dari belakang rumah sahaja yang dijamah oleh mereka demi mengalas perut.
"Makanlah puas-puas Yuni. Mungkin lepas ni, kita takkan dapat makan setenang ni di mana-mana. Bapa kamu pun dah jual tanah ni. Siap makan, kita kemas barang-barang sikit ya?" Mata Ayuni mula berkaca. Bagaimana dia mampu mengunyah, apatah lagi menelan makanan ini setelah disajikan dengan berita yang cukup mengecewakannya itu.
Cukup tabahkah dia dalam mengharungi ujian ini pula? Dalam terpaksa, dia memaksa dirinya untuk mengangguk. Dengan lafaz bismilllah, nasi yang sudah digaul dengan sedikit kuah disuap masuk ke dalam mulut sedikit demi sedikit.
Perit dan sakit kerongkongan saat menelan masuk makanan yang sudah lumat dikunyah. Dalam kepayahan, Ayuni berjaya menghabiskan separuh daripada nasi di dalam pinggannya. Sesekali wajah tenang Azimah turut dipandang.
"Opah, baju-baju ni nak Yuni kemaskan sekali ke?" Azimah menoleh sekilas, melihat baju yang dimaksudkan oleh cucunya. Lantas dia menggeleng.
"Tak perlu. Kita bawa apa yang masih baik saja. Nak bawa banyak-banyak pun, tak mampu." Ayuni memandang sayu wajah tenang Azimah. Betapa kuatnya wanita tua itu.
Sejak dari kecil lagi, Azimah sentiasa menitipkan pesan supaya sentiasa kuat ketika dilanda masalah. Jangan mengeluh atau mudah mengalah kerana hidup ini masih panjang dan perlu ditempuh dengan hati yang tabah dan kuat. Setiap ujian pasti ada hikmahnya.
"Kita nak ke mana opah?" Soalnya lalu tempat duduk Azimah dihampiri.
"Opah, tak tahu cu. Nak cari bilik pun, dekat kampung ni, mana ada orang yang sewakan bilik. Nak sewa di bandar pun, duit opah tak cukup." Ayuni mengusap lembut bahu Azimah. Duit simpanan mereka tidak seberapa. Kerana, selalunya, Kasim akan mengambilnya terlebih dahulu.
"Maafkan Yuni ya, opah. Yuni tak mampu nak bantu apa-apa. Yuni pun takde duit..." Rintihnya. Kulit tangan neneknya yang sudah berkedut itu dicapai lalu dibawa ke bibir sebelum dikucup hormat.
Air mata yang jatuh sedikitpun tidak dihiraukan. Waktu ini, dia berasa seakan seorang manusia yang tidak berguna kerana tidak mampu menanggung neneknya sendiri.
Setiap kali bapanya pulang ke rumah, pasti akan diselongkar tabung simpanan Ayuni sehingga kesemua wang gajinya dirampas. Kini, mereka tidak memiliki apa-apa lagi.
"Kamu tak salah Yuni. Opah yang salah. Kalaulah Maria bawa kamu sekali waktu tu...pasti hidup kamu bahagia sekarang ni." Ujarnya sambil menyeka air mata Ayuni.
"Nanti robohkan tu sekali!" Suara garau dari luar rumah serta bunyi bising enjin jentolak memeranjatkan Ayuni dan Azimah.
Pelukan mereka terlerai serta merta. Langkah besar diambil, menuju ke halaman rumah. Terkejut sehingga tidak kuat untuk menjejak tanah. Azimah tersungkur di hadapan sebuah jentolak yang sudah hampir dengan rumah mereka.
“Eh, berhenti! Ada orang lagi kat dalam!” Teriakan lelaki itu membuatkan pengendali jentolak tersebut menghentikan enjinnya.
“Kenapa tak kosongkan rumah ni lagi? Kan sudah diberitahu!” Bentak lelaki yang mungkin berada dalam lingkungan 50-an itu. Wajah kusut Azimah dan Ayuni ditatapnya silih ganti. Geram.
“Kami…kami tidak tahu tuan.” Azimah gugup. Matanya mula dicemari dengan air mata. Begitu juga dengan Ayuni yang sudah melutut di sebelahnya.
“Bangun! Pergi kemas barang, pastikan keluar dalam masa 20 minit. Saya sudah pesan dengan Kasim, jangan ada orang di dalam rumah sewaktu kerja-kerja meroboh. Takkan dia tak bagitahu?” Soal lelaki itu dengan nada tinggi.
“Kami betul-betul tak tahu tuan. Kasim tak beritahu apa-apa. Dah lama dia tak balik ke sini.” Jawab Azimah sebelum menghampiri lelaki itu.
“Itu bukan masalah saya. Saya sudah beli tanah ni. Saya bagi masa, cepat berambus dari sini! Jangan buang masa saya.” Bentak lelaki itu lagi.
“Opah!” Ayuni menarik tubuh Azimah menjauhi tubuh lelaki berkenaan.
“Eh, apa ni?! Lepas! Lepas!” Jeritan serta rontaan lelaki itu tidak diendahkan. Azimah terus berpaut pada kakinya sambil merintih pilu.
“Tolong kami tuan, kami takde tempat nak berteduh. Saya dengan cucu saya tak kisah, asalkan kami mendapat tempat perlindungan dan sesuap nasi buat mengalas perut. Jadi kuli seumur hidup di rumah tuan pun, kami sanggup." Azimah merayu. Ke mana lagi dia mampu pergi bersama cucunya yang baru mencecah usia 19 tahun. Dunia luar terlalu asing dan bahaya buat mereka berdua.
“Lepaskan kaki saya!” Beberapa orang pekerja bergegas mendapatkan Azimah sebelum tubuh tua itu ditarik menjauhi majikan mereka.
“Opah…” Ayuni lantas memeluk Azimah sambil melepaskan tangisan. Apa lagi yang boleh mereka lakukan pada saat ini, selain meminta simpati dan belas kasihan daripada orang lain.
“Tolong kami tuan. Tolong…” Ratapan itu bagaimanapun tidak dihiraukan oleh lelaki-lelaki tersebut.
“Nek, tolong bagi kerjasama ya…Tolong kosongkan rumah ni dalam kadar segera.” Salah seorang pekerja bersuara. Dia juga kasihan, namun apa sahaja yang dia mampu lakukan? Dia sendiri kuli yang makan gaji. Mahu tidak mahu, dia perlu taat serta berpihak kepada majikannya.
“Maafkan kami nak.” Seusai meminta maaf, Azimah menarik lembut bahu Ayuni untuk mengikutinya masuk ke dalam rumah. Beberapa buah beg yang sudah mereka isikan dengan pakaian dan barangan tertentu diambil lalu dibawa keluar.
“Saya mohon maaf sebab sudah menganggu kerja kamu semua.” Sempat Azimah menoleh ke belakang, melihat rumah pusaka peninggalan arwah suaminya buat kali terakhir sebelum dirobohkan. Maafkan Mah, abang. Mah tak mampu pertahankan harta ni. Bahu cucunya ditepuk lembut.
“Mari…”Langkah berat diambil dalam keterpaksaan. Ayuni menarik bagasi lama yang sudah lusuh sambil menitiskan air mata. Jiwanya benar-benar terseksa saat melihat keadaan neneknya tadi. Sanggup melutut di hadapan seseorang yang jauh lebih muda daripada usianya sendiri.
“Tunggu.” Lelaki itu bersuara. Azimah dan Ayuni terus menghentikan langkah mereka sebelum berpusing ke belakang. Wajah bengis itu ditatap sayu. Apakah masih ada secebis harapan buat mereka berdua?
“Cucu nenek, dengan nenek boleh bekerja di rumah saya. Alang-alang saya pun tengah perlukan pembantu rumah. Macam mana? Jangan risau pasal tempat tinggal dan makanan sebab kamu berdua akan diberikan gaji, tempat tidur dan makanan tiga kali sehari.” Bersinar anak mata Ayuni saat itu. Ya Allah, sesungguhnya Kau Maha Mendengar. Hampir sahaja dia menghamburkan tangisannya di situ. Azimah mengangguk lemah sambil melirik wajah ceria cucunya di sebelah. Kita duduk sana dulu Yuni, sementara kumpul duit. Lepas tu, kita pindah dari sana, cari kebahagiaan dan ketenangan kita sendiri. Sebenarnya, ada sesuatu yang dia bimbangkan setelah ditawarkan kerja oleh lelaki itu.
Jgn lupa support ye...
Share this novel