Bab 1: Geran Rumah

Short Story Series 116383

"Yuni! Yuni! Sini jap!" Jeritan Kasim membuatkan Ayuni menjadi takut dan cemas hati. Dengan perlahan, dia melangkah menghampiri tubuh Kasim yang sedang membongkok mencari sesuatu di dalam almari pakaian Azimah.

Habis berselerak bilik dengan tumpahan pakaian. Diselongkarnya satu bilik sehingga bersepah. Jenuh mahu mengemasnya nanti. Ayuni mengeluh dalam diam. Mahu melawan, sungguh dia tidak mampu. Dia gerun dengan bapanya.

"Ke...kenapa abah?" Tergagap-gagap dia mengeluarkan suara. Melihat pada keadaan Kasim yang seakan menunggu masa untuk mengamuk, membuatkan Ayuni terpaksa berhati-hati dengan butir bicaranya.

"Mana geran rumah opah?" Tangan masih membelek helaian demi helaian pakaian yang terlipat kemas di dalam almari.

Di bawah rak buku, tiada, di atas almari kaca, pun tiada, di dalam rak pakaian, tiada juga. Di mana keberadaan benda alah itu. Kasim mula hilang sabar.

Dicampakkan kesemua pakaian yang masih tersisa ke atas lantai dengan berang. Ayuni berundur beberapa tapak ke belakang. Bimbang, dirinya menjadi mangsa amukan Kasim sebentar lagi.

"Err...geran rumah?" Soal Ayuni tidak faham. Kepalanya yang tidak gatal itu digaru.

"Yelah, geran rumah! Geran rumah opah kamu ni mana?" Menengking sambil menjeling ke arah Ayuni yang sedang terkebil-kebil memandang ke arahnya. Bertambah bingung jadinya gadis itu. Mana dia tahu. Hal-hal seperti ini, bukankah lebih elok jika ditanya terus kepada opahnya sahaja.

"Abah nak buat apa dengan geran tu?" Sekali lagi pertanyaan Ayuni menaikkan darah Kasim. Banyak tanya pulak budak ni!

"Nak buat apa lagi! Jual lah!" Terhinjut bahu Ayuni angkara tempikan kuat itu. Menitik air matanya kerana disergah sebegitu rupa. Azimah yang sedang memasak segera berlari masuk ke dalam biliknya lalu terus memaut tubuh Ayuni yang sudah menggigil teruk.

"Ya Allah, Kasim! Kau buat apa kat bilik mak ni?! Habis bersepah. Kamu nak apa?!" Bergetar suara tua itu. Kali ini, entah apa pulak yang anaknya mahu cagarkan.

"Mana geran rumah? Kasim nak." Masih tidak berputus asa dengan kehendaknya.

"Kamu nak buat apa dengan geran rumah ni Kasim? Apa tak cukup lagi ke duit-duit yang kamu curi dalam rumah ni, sampai nak gadaikan satu-satunya harta peninggalan arwah ayah kamu sendiri?" Menggeletar tubuh kurus Azimah saat mengujarkannya.

Barang-barang berharga habis dijual oleh Kasim beberapa tahun yang lalu sehingga Ayuni terpaksa berhenti sekolah ketika di tingkatan 5. Azimah yang semakin tua tidak mampu menanggung yuran sekolah Ayuni. Mahu mengisi perut pun, mereka terpaksa mengutip hasil dari kebun belakang rumah yang tidak seberapa.

"Mak jangan nak banyak bunyi boleh tak?! Kasim nak geran rumah ni sekarang jugak! Kalau tak!" Lantas diheret tubuh Ayuni dengan kasar daripada dakapan Azimah, lalu dicekik leher jinjang gadis itu tanpa belas kasihan.

Ayuni yang sudah cemas, mula menjerit, merayu agar Kasim melepaskannya namun lelaki itu malah menguatkan cengkamannya sehingga Ayuni kehilangan nafas dan mula tercungap-cungap.

Azimah pula sudah meraung di sisi cucunya sambil menarik tangan Kasim yang sedang mencengkam leher Ayuni sekuat yang mungkin. Namun, dia tidak mampu melawan tenaga Kasim. Azimah terus melutut sambil memaut kaki anaknya.

"Jangan Kasim. Ingat tuhan nak...Itu anak kamu. Jangan seksa dia. Rumah ni je yang kita ada Sim...Mana kami nak berteduh nanti?" Rayunya dalam esakan.

"Ada aku kisah?! Aku nak geran tu sekarang jugak! Kalau tak aku..." Tubuh tua itu ditolak kuat sehingga terjelepok di atas lantai. Nasib Azimah sempat berpaut pada dinding. Matanya berkaca-kaca akibat tindakan Kasim. Sanggup dia melukai ibu sendiri demi wang ringgit. Hatinya terguris pada saat itu.

Anaknya seakan sudah dikuasai dengan ketamakan. Melihat wajah Ayuni yang mulai pucat, Azimah terpaksa akur dengan permintaan Kasim. Tanpa melengahkan masa, dia segera menuju ke arah bilik kosong yang dijadikan sebagai stor simpanan barangan lama.

Digeledah rak yang sudah berhabuk itu, sebelum dia membawa keluar sebuah fail jernih. Langkah diatur pantas ke arah bilik tidurnya semula.

"Ini gerannya. Lepaskan cucu aku! Lepaskan Yuni!" Sebaik sahaja mendapatkan geran tersebut, Kasim melepaskan cengkamannya. Azimah terus menerpa Ayuni, lalu dada cucunya itu diurut lembut. Maafkan opah Yuni...

"Kan bagus kalau awal-awal tadi dah bagi. Ni tak! Beria buat drama!" Bentak Kasim dengan berang. Ayuni menunduk. Tidak berani melihat wajah bengis bapanya. Sementara Azimah sudah tergeleng melihat perangai Kasim yang semakin teruk saban hari.

"Apa nak jadi dengan kamu ni Sim? Kamu dah tak takut dosa? Lupa yang setiap perbuatan kamu, Allah nampak? Allah tengok?" Azimah bersuara. Kasim tersenyum sinis mendengar kata-kata ibunya. Dosa? Peduli apa aku! Dekat-dekat nak mati nanti, pandai-pandailah aku bertaubat.

"Tak perlu nak bertazkirah dengan Kasim lah, mak. Baik mak jaga diri tu dulu. Nanti, separuh duit jual tanah ni, Kasim bagi dekat Ayuni. Pergilah cari rumah sewa atau bilik sewa kat mana-mana." Langsung tiada riak bersalah yang terpamer pada wajah lelaki tersebut.

Azimah lantas menggeleng sambil mendekati Kasim. "Jangan Sim. Jangan...Mak merayu sangat dengan kamu. Jangan jual harta ini. Mana mak dengan anak kamu ni nak pergi nanti. Nak cari rumah sewa, nak cari di mana? Di kampung kita, tiada yang menyewakan rumah, apatah lagi bilik. Kami ni perempuan Sim, Ayuni tu pula, sudah remaja. Bahaya kalau takde tempat perlindungan." Azimah cuba merayu sekali lagi walaupun dia tahu, bahawa anaknya tidak akan berkompromi mahupun berubah hati menyerahkan semula geran rumah itu kepadanya.

Kasim sudah dikelabui dengan nikmat dunia. Tiada apa yang mampu Azimah lakukan lagi demi mempertahankan harta peninggalan arwah suaminya.

"Mak boleh diam tak! Pening kepala cakap dengan orang bodoh macam ni!" Bentaknya dengan kasar sebelum menyepak jatuh rak buku yang terletak di sebelah pintu masuk bilik Azimah.

Ayuni dan Azimah hanya mampu beristighfar dalam hati. Semakin lama, sikap dan perangai Kasim, semakin teruk. Pada umur sebegini, lelaki itu sepatutnya mendekatkan diri dengan tuhan. Namun, apa yang dilakukan olehnya sekarang, betul-betul bertentangan dengan ajaran agama.

Selesai melampiaskan kemarahannya di situ, Kasim terus mengangkat kaki, membawa keluar geran itu bersamanya. Menyedari itu, Ayuni dengan pantas memaut kaki Kasim. Dia sedar, perbuatannya itu, hanya akan menaikkan amukan bapanya. Namun, dia terpaksa. Jika rumah ini dijual, ke mana dia dan neneknya mahu pergi?

"Jangan abah, jangan jual rumah ni! Mana Ayuni dengan nenek nak pergi nanti?" Raungannya sekadar angin lalu. Langsung tidak menjentik hati hitam Kasim. Fikirannya sudah dikuasai dengan duit. Kepala anaknya itu malah ditunjal sehingga Ayuni menyeringai kesakitan di sisi Azimah.

"Jangan ganggu akulah!" Tempiknya sebelum beredar dari situ. Azimah dan Ayuni hanya mampu menumpahkan air mata kekecewaan. Kecewa kerana dikurniakan ahli keluarga sebegini, dan kecewa kerana tidak mampu mempertahankan satu-satunya harta yang mereka punya.

"Sabar Yuni...sabar..." Dalam resah, Azimah masih cuba memujuk cucunya. Jatuhnya dia, jatuhlah juga Ayuni. Dia tidak boleh tampil lemah di hadapan Ayuni. Gadis itu perlukan seseorang untuk melindunginya. Mak haramkan kau guna wang itu Kasim. Bermula pada detik ini, kau bukan lagi anak aku!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience