"Adwa dah tidur ke Yuni?" Azimah melabuhkan punggung di sebelah Ayuni. Gadis itu kelihatan kusut memikirkan sesuatu.
Azimah lirik sekilas wajah murung cucunya lalu menepuk perlahan paha Ayuni sehingga gadis itu tersentak.
Azimah tahu Ayuni sedang memikirkan sesuatu. Dan perkara itu sedang mengganggu fikirannya.
"Dah opah. Lepas makan donut, dia terus terlelap" Jawab Ayuni, sedikit perlahan. Azimah senyum tipis lalu mengganggukkan kepala.
"Yuni fikirkan tentang apa tu?" Soal Azimah. Ayuni berpaling ke arah neneknya sebelum mengeluh pendek. Takut-takut dia bersuara.
"Yuni cuma terfikir, dekat mana ayah sekarang ni. Dah lama kita tak dengar khabar tentang dia." Sebenarnya, sudah lama persoalan itu bermain dalam benaknya. Cuma tidak terluah.
"Entah. Mungkin dah pindah ke tempat baru." Balas Azimah acuh tidak acuh. Dia malas memikirkan soal anaknya. Dia sudah lama melupakan lelaki itu. Tergamak sekali dia menjual satu-satunya harta peninggalan arwah suaminya kerana judi.
"Opah masih marahkan ayah?" Azimah terdiam. Matanya lurus memandang ke arah langit yang gelap. Tiada bulan pada malam ini. Hanya kerlipan bintang yang menyapa pandangan mereka.
"Opah tak benci, cuma...kecewa dengan sikap tamak dia. Sanggup dia buat kita macam ni...Sekalipun tak datang cari kita." Ujarnya dengan sebak. Ada rasa kesal yang terpendam dalam hati tuanya. Sukar sekali dia memaafkan lelaki itu.
"Yuni risaukan ayah. Dah lama sangat kita tak dengar pasal dia. Hari tu, Yuni terserempak dengan Mak Cik Hayati. Mak cik tanya khabar opah. Lepas tu, Yuni tanyalah pasal ayah. Mak cik Yati kata, ayah dah lama tak datang ke kampung." Ayuni menggenggam tangan Azimah. Wajah tua itu langsung kendur.
"Dia tinggal di tempat lain lah tu. Tak pelah...Kita masuk dulu. Oh ya, Arshad jadi tak ambik Adwa kejap lagi?" Ayuni menganggukkan kepala. Nampaknya, Azimah tidak berminat dengan topik itu.
"Kejap lagi dia sampai. Opah pergilah masuk. Yuni nak tunggu Abang Arshad." Azimah menggangguk sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.
Pin!
Bibirnya senyum lebar kala pacuan empat roda itu menyusur masuk ke perkarangan rumah sebelum berhenti di hadapannya. Berbunga hati Arshad kala wajah Ayuni menyapa pandangan sebaik sahaja dia melangkah keluar dari kereta.
"Buat apa seorang-seorang dekat luar ni? Kena culik ke apa ke nanti, abang jugak yang susah hati. Dah kena cari makwe lain." Usiknya sebelum mencuit sekilas pipi merah Ayuni. Gadis itu tergamam dengan tindakan bersahaja Arshad.
"Ish, abang ni kan! Mana boleh sentuh-sentuh macam ni. Bukan mahram kan..." Ujarnya sebelum merampas beg bimbit dari genggaman Arshad. Lelaki itu mengekek halus dengan reaksi Ayuni.
Mereka beriringan masuk ke dalam rumah sebelum disambut oleh Azimah di muka pintu.
"Betul tu Shad. Kamu berdua belum menikah, tak elok berpegang-pegangan apatah lagi mengusik macam tadi. Tak manis kalau orang tengok nanti. Boleh undang fitnah." Arshad dan Ayuni terdiam.
"Sampai bila nak tercegat dekat muka pintu? Mehlah duduk." Pelawa Azimah sebelum turut melabuhkan punggung di salah sebuah kerusi rehat di situ.
"Arshad yang salah nek. Tak patut Arshad usik Yuni macam tu. Maafkan Arshad." Azimah senyum tipis sebelum menggangguk perlahan.
"Takpe...opah faham. Opah cuma pesan aje. Korang sembanglah dulu, opah nak buat air dekat belakang." Azimah bingkas berdiri untuk menuju ke dapur namun ditegah oleh Arshad.
"Eh, tak payahlah nek. Susah-susah je...Shad dah minum tadi." Azimah senyum pendek.
"Tak menyusahkan pun... Air dah siap bancuh, tunggu nak hidang aje. Tunggu kejap ya..." Dia terus melangkah masuk ke dalam dapur, meninggalkan Arshad dan Ayuni di ruang tamu.
Masing-masing membisu. Tiba-tiba canggung pula mahu bersembang.
Arshad pandang Ayuni, Ayuni pandang Arshad. Tapi, tiada pula yang menegur. Lama keduanya berdiam diri sebelum Arshad mula hilang sabar dengan kesunyian antara mereka.
"Ehem..." Dia berdeham kuat. Sengaja menarik perhatian Ayuni yang sedang duduk di hadapannya.
"Tak sabar nak jadikan sayang milik abang. Abang tengah angau teruk dengan sayang..." Meremang bulu tengkuk Ayuni. Merah padam mukanya menahan malu.
"Abang! Behave okay. Opah baru je pesan tadi. Jangan nakal-nakal!" Marahnya sebelum tertunduk malu.
"Eh, nenek cakap tak boleh pegang-pegang je. Takde pulak dia suruh jangan bercakap." Menyokong tindakannya tadi.
"Tapi tetap tak boleh. Kita ni...Eh, abang!" Ayuni langsung terpana apabila wajah Arshad tiba-tiba menghampiri wajahnya. Batang hidung mereka berada begitu dekat sehinggakan Ayuni dapat merasa hembusan nafas Arshad. Dia terkedu dengan tindakan berani lelaki itu.
Entah bila masa Arshad berada di situ. Ianya berlaku begitu pantas.
"Apa? Erm..." Ayuni menelan liur kala nafas Arshad menampar sisi wajahnya. Dia menutup rapat mata. Haruman minyak wangi lelaki itu menyerbu rongga hidungnya. Ayuni kaku seperti tunggul.
"Tunggu kita kahwin nanti, abang gigit-gigit pipi ni cukup-cukup. Sekarang pun boleh jugak...tapi takpelah, abang tunggu kita halal dulu..." Ayuni mengundur ke belakang kala hembusan nafas Arshad berderuan menampar kulit wajahnya.
"Minumlah Shad. Maaf opah lambat sikit. Boleh pulak terlupa letak gula. Nasib baik opah rasa dulu...Haih." Ayuni membuka mata. Eh...
Bila masa dia ada dekat situ? Fikirnya apabila Arshad sudah pun berada di tempat duduknya. Cawan berisi teh panas dihirup perlahan oleh lelaki itu. Sesekali, matanya melirik ke arah Ayuni yang masih kelihatan hairan. Dia tergelak halus.
"Kenapa Shad? Tak sedap ke teh yang opah buat ni?" Azimah pelik. Kenapa Arshad gelak tiba-tiba selepas minum teh buatannya?
"Eh, sedap je nek. Arshad terfikir sesuatu...tu yang tergelak..." Ayuni menjeling tajam ke arah mereka.
"Oh...ingatkan apa tadi. Jamahlah kuih tu." Arshad menggangguk perlahan sebelum mengalihkan mata ke arah Ayuni.
Jam hampir mencecah 10 malam ketika Arshad bergerak pulang bersama Adwa yang sudah lena dalam gendongan Ayuni. Kanak-kanak itu kelihatan begitu penat setelah seharian meluangkan masa bersama ibunya.
"Arshad minta diri dulu nek. Jaga diri baik-baik. Yang tu pun sama, jaga diri. Jangan nakal-nakal." Azimah tersenyum melihat gelagat anak-anak muda di hadapannya.
"Ish, orang tahulah jaga diri. Abang tu, bawa kereta elok-elok. Jaga Adwa baik-baik." Pesan Ayuni sambil membukakan pintu kereta buat Arshad. Adwa dibaringkan di kerusi penumpang sebelum Arshad menghampiri Azimah untuk menyalam tangan tua itu.
"Hati-hati ya Shad. Bawak kereta elok-elok." Pesan Azimah sebelum memberikan laluan kepada Arshad untuk masuk ke dalam kereta.
"Jaga bakal bini saya ni jugak nek." Azimah menggekek suka kala wajah cucunya kelihatan bengang dengan usikan Arshad.
Kereta Arshad meluncur keluar dari rumah mereka sebelum hilang dalam kegelapan malam. Ayuni dan Azimah masuk ke dalam rumah.
"Opah..." Panggilnya dengan perlahan. Azimah berpaling ke arah Ayuni bersama kerutan.
"Ada apa?"
"Maafkan Yuni sebab tak jaga batas dengan Abang Arshad tadi. Yuni leka." Tangan tua itu ditarik lalu dicium hormat.
"Opah tahu. Lain kali, lebih berhati-hati ya..." Ayuni menggangguk faham.
Share this novel