Bab 20: Kuih Karipap

Short Story Series 116383

Tengah hari itu, mood Wahid kurang baik. Rita juga tidak berani menganggunya. Kebanyakan pesakit dihantar ke bilik Doktor Danial. Wahid pula terkurung di dalam biliknya sejak pagi. Fail di atas meja juga tidak terusik sama sekali.

Jari telunjuk mengetuk permukaan meja. Dia sedang memikirkan punca datangnya kesan lebam-lebam pada wajah Ayu. Sejak tadi, dia gagal mendapat jawapannya.

Siapa sahaja yang berani menyentuh wanita itu. Wahid kenal kedua ibu bapa Ayu. Rasanya, mereka sudah lama meninggal dunia sejak Ayu berada di Tingkatan 5 lagi.

Adik beradik? Ayu satu-satunya anak yang dimiliki oleh Mak cik Fatimah. Kawan-kawan? Beraninya mereka sehingga menaikkan tangan pada Ayu...Tapi, Ayu bukan jenis yang mudah dibuli. Jadi, angkara siapa?

Dia terus memasukkan kata laluan pada telefon bimbitnya sebelum memandang kosong nama Ayu yang tersimpan pada senarai kenalannya.

Hati memujuk untuk hubungi semula wanita itu, namun akal menegahnya daripada berbuat demikian. Pasti panggilannya tidak akan dijawab lagi. Peranti itu diletakkan di tengah meja. Dia hanyut dalam lamunan.

Atau, suami dia? Tapi, bila masa dia kahwin? Kalau ya pun dia dah kahwin, mesti aku dah tahu. Si Jihan tu pun takde bagitau apa-apa dekat aku. Entah-entah, dia kena samun?!

Pening pula kepala asyik memikirkan soal itu. Nak tanya terus daripada tuan badan, pasti tidak akan dilayan. Akhirnya, Wahid tersandar lemah di kerusinya.

Ayu...Ayu...Siapa manusia yang berani sangat pukul kau sampai lebam-lebam macam tu. Dengan pakej bibir pecah lagi. Siapa pun dia, memang berani nak mampus!

Siapa je berani sentuh Ayu sebelum ni? No one! Literally no one! Aku yang tersentuh sikit hujung baju dia pun kena cekik apatah lagi yang menyebabkan muka dia bengkak-bengkak sana sini.

Terlayar dalam ingatan Wahid, insiden Ayu membelasah seorang pelajar lelaki kerana sengaja bergesel bahu dengannya sewaktu masa rehat.

Lepas seminggu, baru budak tu masuk ke sekolah semula. Kena masuk wad akibat kecederaan yang teruk di tangan dan bahagian bahu.

Ayu terpaksa melindungi dirinya waktu itu, kerana dia tidak mempunyai sesiapa lagi dalam hidup. Ketika masih menuntut di Tingkatan 5, kedua ibu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan.

Oleh itu, dia takut untuk memberi muka kepada sesiapapun terutamanya, golongan lelaki. Bimbang dia terlalu memberi perhatian, sehingga ada di antara mereka cuba ambil kesempatan terhadapnya yang kini sebatang kara.

Sementara itu......

Ayuni terkedu dan hampir kena serangan jantung apabila Arshad tiba-tiba menghulurkan seketul kuih karipap betul-betul di depan mukanya.

Serta merta suhu badannya turun mendadak. Dia menggigil ketakutan. Sempat dia melirik sekilas ke arah Azimah yang turut sama membatu sejak tadi. Sejujurnya, Ayuni masih trauma dengan apa yang sudah terjadi sebelum ini.

"Nah, sedap ni..." Arshad pula berterusan memaksanya untuk menerima kuih itu. Kerana tidak mempunyai jalan lain, Ayuni menerima pemberian Arshad. Karipap itu terus diletakkan di atas meja makan.

"Eh, kenapa letak situ. Kotorlah kuih tu nanti." Belum sempat Arshad mengambil kuih itu, Ayuni bertindak pantas memasukkan keseluruhan karipap berkenaan ke dalam mulutnya.

Dengan payah dia mengunyah. Hampir-hampir tercekik, tapi dipaksa ketulan-ketulan tepung itu untuk masuk ke dalam tekak dengan meneguk habis secawan air milo yang masih berwap. Arghh, panas! Sayangnya, hanya mampu berteriak dalam hati.

"Eh, lajunya kau makan. Aku baru nak gantikan dengan yang baru." Sambil berkata, Arshad membelek beberapa ketul lagi kuih karipap yang masih tersisa di atas piringnya. Baru sahaja Arshad mencapai salah satu daripada ketulan tersebut, Ayuni menghalang.

"Takpe, takpe. Saya dah kenyang." Dengan laju dia menolak. Rasa laparnya sudah lama hilang sejak Arshad duduk di meja itu sebentar tadi. Kini, dia tidak lagi rasa teringin untuk menjamah kuih tersebut. Dia hanya memandang kosong ke tengah meja.

"Nak nenek tambah lagi ke?" Azimah menyoal sambil sesekali melirik ke arah Ayuni yang sudah terdiam. Pasti cucunya berasa tidak selesa. Menyesal pula kerana tidak menghantar terus kuih-kuih itu ke dalam bilik tadi. Jadi, tidak perlulah Ayuni keluar dari bilik dan bertembung dengan Arshad.

"Takpe. Saya dah kenyang. Err, untuk lunch, nenek dah siap masak?" Air milo di dalam cawan sudah habis diteguknya. Azimah lantas menggelengkan kepala.

"Belum. Nenek ingat Arshad dah ke pejabat. Tak jadi makan dekat rumah. Sebab semalam Arshad takde pesan apa-apa dekat nenek." Jelas Azimah. Bahan untuk memasak pun belum dia sediakan lagi.

"Hmm...takpelah kalau macam tu. Saya order dekat Foodpanda je." Sewaktu dia bangun dari duduknya, sepasang matanya terarah pada tubuh Ayuni.

"Kau ni tak sihat ke? Makin kurus je aku tengok..." Ayuni menelan air liurnya. Memang, berat badannya semakin menyusut sejak akhir-akhir ini. Mungkin kerana kurang selera makan.

"Dia takde selera makan." Jawab Azimah. Arshad hanya memanggut sebelum berlalu meninggalkan meja makan. Dia terus menuju ke tingkat atas untuk sambung tidur.

"Kenapa dia kurus sangat? Sebelum ni pun dia kurus jugak, tapi takdelah sampai nampak tulang." Timbul rasa simpati dalam dirinya. Tidak semena-mena, air matanya menitis membasahi kain bantalnya.

Semakin lama, tangisannya menjadi semakin berat sehingga Arshad mula teresak tanpa sebab. Dia sendiri tidak tahu puncanya. Dia bukannya sedang sedih pun, tapi mengapa dia menangis sebegini rupa.

"Aku lapar..." Katanya dalam tangisan. Ketika itu, dia benar-benar merindui arwah Mukhriz. Kalaulah papa masih ada, pasti dia akan dijaga dengan rapi.

Tangisannya mulai reda saat terdengar suara Azimah di luar biliknya. Lantas, dia membangunkan tubuhnya sebelum berlalu ke arah pintu.

KLAK

"Makanan dah sampai." Belum sempat Azimah menghulurkan bungkusan makanan segera itu kepada Arshad, lelaki itu terlebih dahulu merentapnya dari genggaman Azimah. Terkedu orang tua itu dibuatnya.

Dap!
Pintu terus ditutup kasar. Azimah terpinga-pinga buat beberapa ketika. Apa kena dengan budak ni?!

Bungkusan plastik dikoyak sesuka hati. Sekotak ayam goreng McD dibawa keluar. Baru perasan, dia terlupa untuk memesan air tadi. Takpelah, air mineral di atas mejanya masih ada lagi. Minum tu ajelah. Janji ayam gorengnya ada. Dia terus menggigit isi ayam goreng itu dengan mata yang terpejam rapat. Nikmat sekali rasanya.

"Sedapnya...tsk tsk..." Tangisannya meletus kembali. Terharu kerana kelazatan ayam goreng yang tidak dapat dia ungkapkan melalui kata-kata. Langsung tidak diendahkan, hingus yang sedang mengalir merentasi bibirnya. Dia hanya mahu menikmati ayam gorengnya dengan tenang.

"Burp... Alhamdulillah." Segera dilap kawasan bibir yang kotor dengan kesan minyak dengan sehelai tisu. Kenyang pun kenyang, rasa sedihnya pun dah hilang. Sekarang, bolehlah dia tidur dengan lena. Terus tubuh itu dibaringkan di atas katil sebelum dia terlena dalam kepenatan. Kepenatan meratah 10 ketul ayam goreng seorang diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience