Ayu mengayuh basikalnya laju-laju saat ternampak kereta yang dipandu oleh Razman mengekorinya dari arah belakang.
Petang tadi, Sakinah menyuruh Ayu untuk singgah di gerai Zain sejurus selepas dia habis kelas mengaji. Tapi, nampaknya, dia tidak dapat pergi ke sana pada hari ini gara-gara Razman. Berbakul sumpahan Ayu lemparkan ke atas lelaki itu. Suka sangat menyusahkan hidup orang!
Apa sahaja ciri idaman Razman yang ada pada dirinya, sehinggakan dia tidak mahu berhenti mengejar Ayu? Nak kata cantik dan seksi, jauh sekali. Nak kata anggun dan tampak menyerlah, pun tidak. Penat dia mencari jawapannya.
Ayu sering berasa serabut dengan perangai Razman yang terlalu 'mengambil berat' tentang dirinya. Ke mana dia pergi, dengan siapa dia berkawan, apa makanan kesukaannya, semua Razman tahu. Apa tidak penatkah dia, mengejar cinta daripada orang yang tidak sudi?
Hampir 3 tahun Razman cuba memenangi hati Ayu dengan bermacam-macam cara, namun tiada satu pun di antaranya yang berjaya menambat hati gadis tersebut.
Bagi Ayu, dia tidak berminat sama sekali terhadap Razman. Walaupun, lelaki itu kacak, kaya dan ada daya tarikan tersendiri, Ayu langsung tidak terpikat apatah lagi tergoda dengan Razman.
Hampir rata-rata gadis muda di kampung ini mahupun dari kampung sebelah, tergila-gilakan Razman. Ada yang sampai hantar rombongan meminang terus ke rumah pihak lelaki agar tidak terlepas peluang merebut kasih daripada lelaki itu.
Jiwa Ayu menjadi kosong setiap kali Razman mengungkapkan rasa cinta. Ayu akui, bahawa Razman satu-satunya lelaki yang banyak bersabar dengan kerenah dan sikapnya, yang kadang mencabar emosi.
Apa sahaja tidak pernah dia lakukan demi menyakiti hati Razman. Belasah dengan batang penyapu, baling selipar, lastik dengan batu, tembak guna pistol air...terlalu banyak jika dia mahu senaraikan satu persatu.
Walaupun begitu, Razman masih menagih cinta daripada gadis seperti Ayu. Sedikit kagum juga dengan daya ketahanan Razman yang tidak mudah 'koyak' seperti lelaki-lelaki lain di dalam kampung tersebut.
Sekarang ini, apa yang menghairankan, ketika Ayu dalam perjalanan ke surau, dia tidak nampak pula kelibat Razman di mana-mana. Namun, sewaktu dia ingin bertolak ke kedai Zain, dia menyedari bahawa dirinya sedang diekori oleh lelaki berkenaan.
Pedal basikalnya dikayuh sepantas yang mungkin supaya dia cepat sampai ke rumah. Hanya berbaki beberapa meter sahaja lagi sebelum tiba di rumahnya.
Walaupun, kaki mula terasa lenguh dan penat, namun demi keselamatan diri, Ayu menggagahkan diri untuk teruskan kayuhan. Apa jadi sekalipun, kau tak boleh berhenti Ayu!
Dia yakin bahawa lelaki itu mempunyai niat tidak baik kerana semalam, Sakinah menolak bulat-bulat lamaran daripada Dalilah. Pasti Razman berdendam terhadap mereka.
"Arghhh!" Malangnya, belum sempat dia membelok ke simpang di hadapan, basikal yang dikayuh sejak tadi, tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar sebuah pokok di tepi jalan.
"Sakitnya..." Ayu mengaduh sakit sambil memegang siku kanannya. Kedua lututnya juga turut tercedera. Dia memandang sekeliling, yang penuh dengan semak samun. Keadaan di situ terlalu sunyi.
Tidak jauh dari kawasan itu, terdapat sebatang sungai dan sebuah jambatan kayu yang sudah reput. Tidak ramai yang menggunakan jalan itu kerana masing-masing lebih suka menggunakan jalan raya utama yang baru sahaja dibina kerana lebih selamat. Dia sengaja menggunakan laluan tersebut kerana lebih dekat dengan rumah.
Ayu mula berasa cemas. Jantungnya berdegup laju saat kereta Razman berhenti betul-betul di tepinya.
"Macam mana boleh jatuh ni?" Razman segera menghampiri Ayu sebelum mengangkat basikal yang menindih sebahagian tubuh gadis itu ke atas.
Ayu bingkas berdiri lalu mengundur beberapa langkah ke belakang, supaya jarak di antara mereka tidak terlalu rapat.
Lolos keluhan berat daripada bibir Ayu, ketika melihat rantai basikalnya yang sudah tertanggal. Dia pula tidak pandai membaikinya.
"Jomlah, abang hantarkan. Hari pun, dah senja ni." Pelawanya sambil mengulum senyuman manis. Dia memapah Ayu, yang mana pada ketika itu, sepertinya mengalami kesukaran untuk berjalan.
"Takpe...takpe. Saya boleh balik sendiri." Tolak Ayu. Dia gerun dengan tatapan mata Razman. Tangan yang melingkar pada pinggangnya itu, ditepis kasar. Suka hati je pegang-pegang orang!
"Kejaplah. Abang tak habis cakap lagi ni..." Razman berdiri di hadapan Ayu, sengaja menghalang laluannya.
"Saya...saya nak balik. Tolong ke tepi sikit." Ayu menuntun basikalnya sambil merenung tajam wajah bersahaja Razman. Jika lelaki itu masih menghalang laluannya, maka dia tidak akan teragak-agak melanggar manusia tidak faham bahasa itu dengan basikal ini.
"Ayu, boleh kita bincang sebentar? Abang janji, abang tak lama. Just 10 minutes, please?" Dia cuba memujuk, namun, Ayu langsung tidak menghiraukan Razman. Sebaliknya, gadis itu berlalu pergi begitu sahaja bersama basikalnya.
Hal itu, membangkitkan kekecewaan sekaligus kemarahan dalam diri Razman. Kali ini, dia sudah penat dengan sikap Ayu yang terlalu jual mahal dan sering memandang rendah terhadapnya.
Dia mahu memberikan pengajaran kepada Ayu. Pengajaran yang mungkin tidak akan dapat dilupakan oleh Ayu, sepanjang hayatnya.
Razman menggerakkan bola mata, memerhati keadaan sekeliling mereka yang ketika itu sunyi sepi, sebelum merapati Ayu tanpa disedari. Lantas, basikal yang sedang diseret oleh Ayu itu disepak sehingga jatuh ke dalam semak di tepi jalan.
Ayu terkedu. Irisnya bergetar saat Razman menghampirinya dengan tatapan yang tidak dapat dia tafsirkan. Dia perlu mencari jalan untuk melarikan diri dari situ.
Sebenarnya, boleh sahaja Ayu melawan Razman, cuma seluruh anggota badannya sakit-sakit akibat terjatuh tadi. Nak angkat tangan pun, dia tidak mampu pada saat itu, apatah lagi untuk membela diri sendiri.
"Kenapa Ayu undur ke belakang?" Lengan Ayu lantas disambar Razman, sebelum tubuhnya diheret kasar menuju ke arah kereta.
"Hei, lepaslah Razman! Kau dah gila ke?! Lepaslah! Tolong! Tolong..." Mulut Ayu terus ditekup dengan kuat. Ayu cuba meronta dan menendang kaki Razman, namun tidak berjaya. Abah...Air matanya mengalir deras. Berharap agar ada yang datang membantunya pada saat itu.
"Arghh!" Langsung Razman menarik jauh tapak tangannya daripada bibir Ayu, apabila gadis itu bertindak menggigitnya dengan kuat. Dia kerling sekilas, kawasan yang berbekas dengan gigitan itu.
Ketika itu, Ayu menggunakan peluang yang ada untuk menolak jatuh tubuh Razman sebelum melarikan diri dari situ.
"AYU!" Pekikan Razman bergema kuat saat tubuhnya mendarat di atas tanah. Dia mula berang dengan Ayu. Kali ni, aku takkan lepaskan kau!
"Tolong! Tolong saya! Abah...tolong Ayu!" Jeritnya sambil menyeret kaki yang masih sakit itu, menuju ke arah jalan raya.
Rembesan air matanya semakin lebat setelah menyedari bahawa tiada sesiapa pun yang melalui kawasan berkenaan. Dan, mustahil suaranya didengari oleh mana-mana orang.
"Ayu...Ayu nak lari mana sayang? Janganlah buat abang macam ni..." Razman membuntuti Ayu dari belakang sambil tersenyum sinis. Dia tidak perlu membuang tenaga mengejar Ayu kerana dia yakin, gadis itu tidak akan mampu pergi jauh dengan keadaan sebegitu.
"Lepas! Lepaslah! Lepaskan aku..." Raungan Ayu semakin kuat apabila tubuhnya dicempung Razman tanpa kerelaannya. Ayu dibawa ke kereta lalu dilemparkan di tempat duduk penumpang bahagian belakang. Razman terus menindihnya dari atas sehingga dia tidak mampu bergerak.
"Tak balik lagi?!" Nada Hashim meninggi. Sakinah tertunduk ketakutan. Sudah masuk waktu Maghrib, batang hidung Ayu masih belum kelihatan di rumah.
Ayu tidak pernah pulang selewat ini ke rumah. Selalunya, sebaik sahaja habis kelas mengaji bersama Ustazah Hamidah di surau, gadis itu akan langsung balik.
Jarang sekali Ayu melepak atau keluar bersama kawan-kawannya. Dia bukan seseorang yang kuat bersosial. Rata-rata kawan baik sekolahnya juga, sudah ramai yang pindah ke bandar. Ada yang sudah berkahwin dan ada juga yang berhijrah untuk melanjutkan pelajaran serta bekerja.
Hashim merenung kosong skrin telefon bimbit Nokianya seketika. "Macam mana awak boleh tak tahu, ke mana dia pergi Kinah?" Dia mendongak, memandang wajah gelisah Sakinah dengan tajam. Wanita itu langsung menggelengkan kepalanya. Dia juga sedang merisaukan Ayu.
"Tadi, saya pesan dekat Ayu, habis je kelas mengaji dekat surau, singgah kejap dekat kedai Zain, ambilkan bekas-bekas kuih saya semalam. Ni dah dekat pukul 8, batang hidung dia pun tak nampak lagi." Tubir matanya mula panas. Entah mengapa, dia berasa tidak tenang. Ke mana sahaja gadis itu pergi? Kalau ada hal sekalipun, pasti Ayu akan menghubungi Hashim. Tapi, setakat ini, tiada sebarang panggilan mahupun pesanan diterima oleh mereka.
"Selalunya, waktu-waktu macam ni, Zain dah tutup gerai makan dia. Saya...saya tak sedap hati..." Hashim bingkas berdiri sebelum menghampiri muka pintu. Dia menumpukan pandangannya ke arah jalan raya.
"Abang...jangan-jangan Ayu lalu ikut jalan pintas tu tak?" Sakinah menjadi panik tiba-tiba. Jantungnya berdebar saat mengenangkan Ayu. Kegusaran jelas terpamer pada raut wajahnya yang semakin mendung.
"Astaghfirullah, dia masih guna jalan tu lagi?" Hashim lantas mengalih ke arah isterinya. Lelaki itu hanya mampu mengeluh mendengar kata-kata daripada Sakinah sebentar tadi.
"Ra...rasanya guna. Sebab hari tu, Wahida ada bagitahu dekat saya, yang dia selalu nampak Ayu guna jalan tu masa pergi ke surau..." Jelas Sakinah dengan gugup. Bimbang Hashim akan mengamuk.
Sudah banyak kali, Hashim melarang Ayu untuk menggunakan jalan lama itu kerana tidak selamat. Kebanyakan pemuda di kampung ini, suka melepak di pondok berhampiran jalan berkenaan, sehingga ada beberapa orang gadis pernah mengadu kepada ketua kampung bahawa mereka diganggu oleh lelaki-lelaki tersebut, pada beberapa bulan yang lepas. Sejak itu, jalan lama berkenaan sudah tidak digunakan oleh mana-mana orang kampung, kecuali oleh pekerja-pekerja kilang.
"Ish, budak ni! Dah banyak kali saya ingatkan, jangan guna laluan tu. Laluan tu dah ramai tak guna. ..Bahaya!" Bentak Hashim dengan geram. Bukan sekali, bukan dua kali, dia mengingatkan kepada Ayu supaya jangan melalui jalan pintas itu lagi.
"Bang, pergilah cari dekat sana. Kinah tak sedap hatilah!" Gesa wanita itu. Hashim mengangguk lalu mencapai topi keledarnya yang terletak di atas meja kopi sebelum menuruni barisan anak tangga.
Share this novel