"Yuni, jangan lupa letak besen dalam bilik opah jugak. Tadi opah tengok, kat tepi tingkap tu pun ada bocor." Sejurus selepas memberikan pesan kepada cucu tunggalnya, Azimah menghenyakkan punggung di atas pangkin rumah yang kelihatan terlalu daif itu.
Ditatap pilu rumah peninggalan arwah suaminya, Hashim, yang semakin uzur dimamah usia. Titisan air hujan yang menitik tanpa henti ke dalam baldi ditenung lama. Terbit satu keluhan halus dari bibir tua itu.
Makin lama, makin teruk keadaan rumah mereka. Setiap kali hujan, pasti basah satu rumah jadinya. Yang kasihannya, Ayuni. Subuh-subuh lagi, gadis muda itu terpaksa bangun awal demi membersihkan lebihan air yang masih menempel dan bertakung di atas lantai sebelum bertolak ke tempat kerja.
"Baik opah. Jap Yuni letakkan." Kedengaran satu laungan dari arah dapur. Azimah tersenyum tipis mendengar suara Ayuni. Tutur kata gadis itu, lembut seperti ibunya, Maria.
Sehingga ke hari ini, Azimah tidak mampu percaya bahawa Maria lari mengikut jejaka lain ke bandar kerana sudah tidak tahan hidup bersama Kasim di kampung ini lagi. Sedangkan, sepanjang wanita itu bergelar menantunya, tidak pernah walau sekalipun, dia meninggikan suara mahupun melawan kata Azimah.
Maria merupakan wanita yang kaya dengan budi pekerti serta sifat penyayangnya. Azimah sendiri tidak mengerti, mengapa wanita sebaik itu, boleh berubah dalam masa yang begitu singkat. Malah, Ayuni yang baru berusia setahun itu juga ditinggalkannya bersama Azimah dan Kasim.
Walhal, Maria begitu menyayangi Ayuni sehingga ditatangnya anaknya itu dengan penuh kasih sayang sewaktu baru dilahirkan dahulu. Disusui, dimandikan serta didodoi puterinya itu dengan penuh kasih. Bahkan, segala kerja rumah juga diselesaikan oleh Maria tanpa merungut walau sedikitpun.
Sementara itu, Ayuni pula, mengambil beberapa buah besen kosong dari atas rak pinggan lalu menghayunkan langkah ke arah tingkat atas rumah papan arwah datuknya.
Kekurangan baldi membuatkan Ayuni terpaksa menggunakan besen bagi menadah air hujan yang menitik tanpa henti sehingga membasahi lantai yang diperbuat daripada papan itu. Lama kelamaan, tidak mustahil jika lantai rumah mereka cepat reput.
Bilik neneknya ditujui. Kepala mendongak ke atas melihat atap yang sudah berlubang di sana sini. Langsung tergeleng kepalanya lalu dengan segera diletakkan sebiji besen sederhana besar di bawah atap bocor itu sebelum air menitik keluar melaluinya.
"Yuni dah letak opah. Haih, makin banyak tempat yang bocor nampaknya. Kalaulah abah gantikan atap haritu. Mesti tak jadi macam ni." Rungutnya dengan sedih. Dia bersimpuh di samping neneknya sambil bermain dengan jari jemari yang basah.
"Sabar Yuni... Kita nak buat macam mana. Ayah kamu tu, bukannya nak berubah. Kamu pun dah besar panjang macam ni. Ada dia hulurkan duit belanja? Takde. Yang dia tahu, melenting tu ajelah. Cakap sikit marah, cakap sikit mengamuk." Keluh Azimah sambil mengelus rambut panjang, satu-satunya cucu perempuan dalam keluarga mereka.
Terbit simpati dalam hati Azimah terhadap nasib yang menimpa Ayuni. Kalau saja, Maria membawa sekali anaknya ini pergi bersama pada ketika itu, mungkin Ayuni sudah menjadi warga kota dan hidup dalam serba kemewahan.
Hidupnya akan lebih terjamin mungkin. Entah, tapi mahukah suami baharu Maria menerima Ayuni dengan hati yang ikhlas? Bagaimana jika cucunya didera atau dibuli? Azimah juga tidak menyalahkan Maria atas apa yang sudah terjadi. Biarlah wanita itu bahagia walau di mana dia berada.
Dari jauh kelihatan seseorang sedang berlari menghampiri rumah mereka sambil menutup kepalanya dengan sehelai plastik hitam. Azimah mengecilkan mata bagi melihat gerangan itu dengan lebih jelas di bawah cahaya yang malap.
"Tu hah, panjang umur. Balik dah pun." Ujarnya lalu menarik muka masam. Kali ini balik, entah apa lagi yang dia nak ambik dari rumah ni. Kalau sehari tak berjudi, tak sah. Bebel Azimah dalam hati.
"Opah senyap je tau. Jangan bukak mulut. Nanti abah marah pulak." Pesan Ayuni yang sudah bangkit dari duduknya sebelum berdiri di muka pintu, menunggu kepulangan bapanya, Kasim.
"Haa, buat apa duduk kat luar hujan-hujan macam ni?" Sergah lelaki dalam lingkungan 50-an itu tiba-tiba. Ayuni hanya terdiam lalu bergegas menapak ke dapur. Secawan air suam dibawa lalu dihulurkan kepada Kasim yang sudah duduk bersila di sebelah Azimah.
"Salah ke kalau kami nak duduk kat sini? Kamu tak nampak dalam rumah tu macam mana? Bocor sana sini. Nak tidur pun tak tenang." Leteran Azimah menaikkan darah Kasim. Dihempasnya cawan plastik itu ke lantai sambil menjegilkan biji mata ke arah ibunya.
Azimah menggeleng lemah. Ni jelah yang kau tahu, marah, pecahkan barang, berjudi. Cawan itu lantas diangkat lalu diletakkan semula di atas pangkin oleh Ayuni. Dia sudah biasa lalui perkara sebegini. Sudah lali. Jarang sekali nenek dan bapanya berbual mesra.
"Opah, jom naik. Kita tidur dulu. Abah, Yuni dah siapkan makanan kat dapur. Nanti abah ambik ye. Tak boleh nak hidangkan, sebab lantai kat dapur tengah basah." Cepat-cepat dia menarik lengan Azimah untuk bangun. Keduanya melangkah masuk ke dalam bilik diselangi dengan keluhan Azimah yang semakin hilang sabar dengan perangai Kasim.
Anak lelaki tunggalnya itu sudah banyak berubah sejak Maria meninggalkan mereka. Sejak peristiwa itu juga, Kasim mula berkawan dengan kaki mabuk dan kaki judi di kampung ini.
Hampir setiap malam pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan separa sedar. Sudah dinasihati berkali-kali, namun tiada perubahan. Malah, Azimah juga pernah mencarikan pasangan baharu buat Kasim, tetapi, anaknya tolak bulat-bulat.
Hari demi hari, minggu demi minggu, bulan pun sudah berganti menjadi tahun, Azimah masih berdoa agar Kasim akan insaf dan kembali ke pangkal jalan. Dia kasihan terhadap Ayuni.
"Opah, kan Yuni dah pesan tadi. Jangan buat abah marah. Tengok tu, dia dah melenting. Kalau dia pukul opah tadi macam mana?" Dicapai tikar mengkuang yang tergulung rapi dari atas rak pakaian, lalu dibentangkan di atas lantai yang kering. Dua buah bantal dan sehelai selimut turut diletakkan di atasnya. Perlahan dia membantu Azimah membaringkan diri lalu diselimuti tubuh tua itu.
"Sampai bila kamu nak opah bersabar? Yuni dah 19 tahun. Dia masih lagi dengan perangai macam tu. Esok lusa, siapa je nak kahwin dengan kamu, Yuni?...Tengok sikap bapak kamu tu pun, yang datang, mesti jenis yang tak boleh pakai. Opah kecewa sangat dengan Kasim. Sedar ke tidak yang dia tu ada anak perempuan, bukannya anak lelaki. Kalau datangnya ah long ke rumah dan cederakan kamu, macam mana?" Hati tua itu jatuh risau mengenangkan nasib cucunya.
Setakat ini, memang Kasim belum pernah berhutang dengan mana-mana orang, namun dia masih takut. Bagaimana jika dia termakan hasutan rakan-rakannya dan memilih untuk berhutang dengan lintah darat?
"Opah, Yuni tahu. Cuma, kita ni perempuan. Opah pun dah tua. Kalau abah pukul opah, macam mana kita nak lindungi diri... Opah bukannya tak tahu baran abah tu macam mana." Balas Ayuni sambil mengurut tapak kaki Azimah. Minyak kelapa disapu pada kedua belah tapak tangannya, sebelum dia memainkan jemari runcingnya pada tapak kaki Azimah.
"Duit gaji kamu kerja kat warung Haji Basir tu, opah kasi kat dia suruh beli atap baru untuk rumah ni. Tengok-tengok dia gi berjudi pulak dengan duit tu. Haih...tak tahulah opah nak kata apa dah." Terpejam mata menikmati urutan Ayuni. Sudah menjadi satu kebiasaan bagi Ayuni untuk mengurut kaki Azimah sebelum tidur.
"Kita tidur dululah opah. Esok Yuni kena pergi dusun Pak Daud, bersihkan semak kat sana." Tapak tangan dibersihkan menggunakan kain tuala. Dia melabuhkan tubuh di sebelah Azimah lalu memeluk erat pinggang neneknya dari sisi.
"Yelah, hati-hati. Ingat, kalau si Zahid tu kacau kamu lagi, cepat-cepat bagitau Pak Daud. Jangan senyap aje." Ditepuk lembut lengan Ayuni yang menjalar pada pinggangnya.
"Okay. Tapi rasanya lepasni Zahid dah tak kacau Yuni dah kot. Sebab haritu Pak Daud cakap dia dah haramkan Zahid masuk dalam dusun dia." Terangnya sambil menarik selimut yang hampir lusuh bagi menutupi tubuhnya.
"Eloklah tu. Dahlah, opah tidur dulu ye. Apa-apa kejutkan opah." Keduanya terlena dalam pelukan.
"Kau biar betul Atan? Betul ke orang bandar tu sanggup beli tanah seco'et kau tu dengan harga mahal macam ni?" Soal Zabidin tidak percaya. Tidak berkedip matanya melihat jumlah helaian wang kertas yang tersusun kemas di dalam sebuah beg pakaian kecil.
"Yelah, takkan aku nak tipu kot. Katanya dia nak buat homestay. Aku pun nak pakai duit, aku jualkan ajelah. Bukannya guna pun tanah tu." Jawab lelaki itu dengan bangga. Tidak terlintas langsung rasa malu mahupun bersalah kerana telah menjual satu-satunya harta peninggalan keluarga.
"Siapa orang bandar tu?" Sejak tadi berdiam diri, akhirnya Kasim bersuara. Rambang mata melihat beberapa kepingan not RM50 yang diletakkan oleh Atan di atas meja judi mereka.
"Entahlah Sim. Katanya dari Kuala Lumpur. Nampak macam orang kaya. Kenapa? kau nak jual tanah jugak ke? Tapi, kau bukannya ada tanah nak jual pun." Terkekek mereka yang berada di situ mengetawakan Kasim.
"Rumah mak aku tu ada." Jawabnya dengan geram sambil mengetap gigi. Aku pun ada tanahlah!
"Kau jangan Sim. Habis tu, mana mak dengan anak kau nak tinggal nanti?" Zabidin mula cuak. Kasim bukannya boleh percaya. Naknye dia jual tanah tu, macam mana dengan nasib Azimah dan Ayuni. Selama ini, mereka berteduh di rumah pusaka itu.
"Pandai-pandailah. Rumah tu pun dah uzur. Tinggal masa je nak roboh. Baik jual aje." Balasnya sambil tersenyum sinis. Aku bakal kaya!
Hola...new story ahead! Saya upload prolog je dulu. Bab2 seterusnya akan diupdate lepas Gila2 Cinta tamat. Happy reading dan jangan lupa support ^^
Share this novel