"Boleh Ayu masuk?" Wanita-wanita itu lantas menghentikan perbualan mereka. Pandangan dialihkan pada Ayu yang tiba-tiba sahaja muncul di muka pintu.
Dalam genggamannya, terdapat sebungkus plastik merah yang tidak diketahui isinya. Sakinah menelan air liur sebelum menarik nafas dalam. Dia menoleh sekilas pada Dalilah yang sedang tersenyum manis ke arah Ayu.
Plastik itu terus diletakkan di atas meja, sebelum Ayu bergegas masuk ke dalam biliknya. Dang! Dalilah menarik muka masam saat terdengar bunyi hempasan pintu dari bilik Ayu.
"Alah, kau jangan risau. Dia marah kejap aje tu. Nanti aku cuba bincang dengan Abang Hashim. Kau baliklah dulu." Sakinah memujuk sambil mengerling pintu bilik Ayu.
Dia sudah terlanjur menerima pemberian daripada Dalilah, jadi tidak mungkin dia menolak permintaan daripada wanita itu. Siapa sahaja yang tidak kenal dengan Dalilah, isteri Tuan Musa, orang kaya dari hujung kampung. Satu-satunya pemilik rumah banglo yang berdiri gah di dalam kampung mereka.
Sakinah memandang sepi kotak cincin di atas meja kopi. Sedang dia mengorek akal, mencari cara untuk memujuk Ayu, kedengaran pula suara suaminya, Hashim melaungkan salam dari luar rumah.
"Waalaikummusalam." Sakinah bingkas bangun sebelum menghampiri muka pintu. Kelihatan Hashim mengalihkan beberapa ekor ikan keli dari sebuah baldi ke dalam baldi yang lain.
Jelas terpamer senyuman pada bibir tua itu. Sakinah menuruni anak tangga, sebelum mencuit sedikit lengan Hashim. Sontak, lelaki itu berpusing ke belakang.
"Hah, awak ni dah kenapa? Main cuit-cuit pulak siang-siang macam ni? Malu kalau orang tengok." Semburnya sambil memerhati keadaan sekeliling.
"Eh, orang tua ni...Ada pulak sampai ke situ." Marah Sakinah. Sempat lagi dia bergurau.
"Ada apa dia datang ke mari?" Hashim baru perasan, tentang kehadiran Dalilah ke rumah mereka. Motosikal milik wanita itu terparkir di bawah pokok mangga, tidak jauh dari rumah mereka.
Kali ini, apa pula hajat wanita itu. Raut wajah Hashim mendadak keruh. Tiada lagi senyuman yang menghiasi bibirnya. Sakinah terkedu. Tidak tahu hendak berkata apa.
"Hmm, macam biasalah..." Sempat Sakinah mengintai beberapa kali ke arah muka pintu, bimbang Dalilah terdengar perbualan antara mereka berdua. Pada masa yang sama, dia juga takut, suaminya akan mengamuk.
"Suruhlah dia balik. Saya tak setuju." Sakinah terpempan sebelum mengekori suaminya ke belakang rumah.
"Tapi...abang..." Tidak mampu meneruskan kata. Lantas, Hashim memalingkan wajah, menatap tajam wajah Sakinah yang kelihatan gelisah.
"Tapi apa? Awak jangan nak buat keputusan yang bukan-bukan ya, Sakinah! Saya tak setuju. Titik! Pergi cakap dekat perempuan tu, saya tak akan sesekali kahwinkan anak saya dengan anak teruna dia! Selagi saya masih bernyawa, selagi saya masih ada kudrat, saya akan jaga Ayu. Itu janji saya pada arwah Omar dengan Fatimah." Seusai melampiaskan amarahnya, Hashim terus masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur.
Malas dia nak tengok muka Dalilah. Jenis tak faham bahasa. Sudah berbuih mulut dia menolak pinangan anaknya, Razman, tapi wanita itu masih degil hendak bermenantukan Ayu.
Wajah Sakinah menjadi pucat lesi. Dia menyoroti langkah suaminya dengan ekor mata. Aduh, apa aku nak jawab dekat Dalilah kali ni? Bukan apa, sebolehnya, Sakinah tidak mahu bermusuhan apatah lagi, melukakan hati dan perasaan sesiapa. Dengan berat hati, dia naik semula ke rumahnya.
"Hah, Kinah, macam mana? Hashim setuju?" Soal Dalilah sebaik sahaja melihat kelibat Sakinah di muka pintu. Kali ini, dia benar-benar yakin bahawa pasangan suami isteri itu akan bersetuju untuk mengahwinkan Ayu bersama anaknya, Razman. Yalah, dia sudah menjanjikan macam-macam kepada Sakinah sebentar tadi. Dia siap mahu menghadiahkan mereka sebuah rumah batu, jika Ayu menjadi menantunya.
Sakinah kelu. Dia sedang memikirkan ayat yang sesuai untuk menolak pinangan Dalilah secara baik. Pada masa yang sama, dia berasa kasihan terhadap Dalilah.
"Kinah?..." Bahunya ditepuk kuat. Sontak, Sakinah menoleh, menatap Dalilah yang sedang berdiri di sebelahnya.
"Ma...maaflah Lilah...Hashim..."
"Sudah! Buang masa je aku datang sini!" Bentaknya sebelum meluru keluar dari rumah Sakinah. Wajahnya masam mencuka. Dia langsung tidak menoleh saat Sakinah melaungkan namanya.
Hatinya berdongkol geram dengan pasangan itu. Cis, berlagak! Miskin-miskin macam ni pun, ada hati nak tolak pinangan daripada orang kaya macam aku. Bukannya, Si Ayu tu anak kandung diaorang pun! Apa kurangnya anak aku?! Si Razman ni pun satu, berlambak lagi perempuan muda kat dalam kampung ni, Si Ayu tu jugak yang dia nak! Habis malu aku ni...mana aku nak letak muka kalau orang kampung tanya?!
Sepanjang perjalanan, Dalilah membebel sepuas hati. Ini sudah termasuk kali kelima, dia ke rumah Sakinah untuk tujuan yang sama. Dan setiap kali itu juga, pinangannya akan ditolak dengan bermacam alasan oleh Hashim.
"Mak, macam mana? Pakcik Hashim cakap apa?" Razman menghampiri Dalilah yang baru sahaja tiba di rumah.
"Bertuah punya anak! Aku ni belum jejak lagi kaki kat dalam rumah, kau dah tanya pasal perempuan tu!" Bentaknya. Ada anak seorang pun, tidak boleh diharap. Sudah berkali-kali Dalilah menasihati anak terunanya itu, untuk melupakan sahaja Ayu. Namun, dia tetap berkeras mahu memperisterikan gadis itu.
"Alah, mak ni...Orang tanya je. Tengah excited ni. Cakaplah cepat, green light ke red light?" Gesa Razman tanpa menghiraukan cemberut Dalilah.
"No light!" Balasnya pendek, sebelum mencampakkan tudung sarungnya ke atas sofa. Panas hatinya masih belum reda.
"Hah, no light?!" Soal Razman dengan pelik. Kepala digaru. Tidak faham dengan maksud ibunya.
"Diaorang tolak! Dahlah, lepasni, mati hidup balik pun, aku taknak dah jejakkan kaki aku ni kat sana. Kalau kau nak kahwin jugak dengan perempuan tu, kau ajak bapa kau. Aku malas!" Punggung dihenyakkan di atas sofa bertentangan Razman.
"Mak...ni mesti sebab mak tak pujuk Mak Cik Sakinah tu kan..."
"Eh, aku dah siap berjanji dengan dia, nak bagi rumah sebiji kalau Si Ayu tu jadi menantu aku tau..." Jelingan tajam dilemparkan pada Razman.
"Habistu? Kenapa diaorang masih tolak pinangan kita? Ish, streslah Razman macam ni!"
"Kau ni pun satu. Macam dah takde perempuan lain dah dekat dalam kampung ni. Tergila-gilakan sangat Si Ayu tu dah kenapa?! Apa perempuan-perempuan lain kat kampung ni dah pupus ditelan buaya ke, Razman?!" Tempik Dalilah. Kalaulah dia ada anak lain, dah lama dia campakkan Si Razman ni masuk ke dalam kolam ikan piranha. Biar digigit-gigit kepala anak yang tidak sedar diuntung ini. Tak sah kalau tak bikin masalah!
"Merajuklah macam ni..." Muncung bibir ditarik sedepa.
"Lantak kaulah Man. Mak pun, dah banyak kali ingatkan kamu. Makcik Sakinah dengan Pakcik Hashim kamu tu, dah berkali-kali tolak pinangan kita. Mesti, dia orang ada alasan tersendiri. Takkan kita nak paksa pulak. Lagipun, mak tak yakin, yang kau ni boleh jaga Ayu tu elok-elok. Kau kerja pun, dua tiga hari je. Lepastu, melantak je kat rumah! Kau ingat, kau boleh ke pikul tanggungjawab sebagai seorang suami? Mak tak yakin." Geleng Sakinah.
"Mak ni kan! Man bolehlah jaga Ayu tu. Man pun dah nekad, nak berubah demi Ayu. Tapi, Man perlukan Ayu dalam hidup Man, barulah anak mak ni ada semangat nak berubah."
"Banyaklah kau punya berubah. Berubah jadi manusia lambat lagi. Kalau berubah jadi binatang tu, ya." Perli Dalilah.
"Mak, tolonglah buat sesuatu. Man, betul-betul cintakan Ayu. Man taknak orang lain. Perempuan-perempuan lain kat dalam kampung ni, tak sama dengan Ayu, mak. Pleaselah tolong Man." Rayunya seperti anak kecil.
"Mak dah tarik diri. Kalau kau nak, kau pergi sendiri rumah Pakcik Hashim kau tu. Kalau dia belasah kau pakai batang buluh, jangan cari aku. Aku surrendar!" Dalilah berlalu masuk ke dalam biliknya.
"Mak!" Pintu bilik ibunya dipandang sepi.
"Ish, kenapa kau tolak aku, Ayu! Apa kurangnya aku! Aku ada segalanya. Aku boleh bagi kau kemewahan yang kau tak pernah rasa selama ni! Kenapa kau buat aku macam ni?! Atau, kau, dah ada orang lain?! Tak...tak... tak mungkin, tak mungkin. Tak mungkin kau ada orang lain. Aku akan pastikan, takde seorang lelaki pun, boleh miliki kau! Kau hanya milik aku, milik aku seorang sampai bila-bila!" Rambutnya diraup kasar sebelum dia menyepak kuat meja di hadapannya.
Share this novel