"Ya Allah, anak aku!" Hashim tergesa-gesa meninggalkan motosikalnya sebelum berlari mendapatkan sekujur tubuh yang terlantar lemah di atas tanah. Jantungnya bagaikan direntap keluar waktu itu.
Nasib terlintas dalam hatinya, untuk melalui kawasan belukar yang terletak tidak jauh dari jalan raya.
Semakin dia hampir dengan tubuh kaku itu, semakin kencang degupan jantung Hashim. Nafasnya seakan terhenti saat irisnya menangkap keadaan Ayu yang terbaring di atas tanah.
Buru-buru dia menanggalkan t-shirt lusuhnya, sebelum menyarungkan t-shirt lengan panjang tersebut ke tubuh Ayu yang sedang menggigil kesejukan.
Kepala Ayu lantas diangkat lalu diletakkan di atas riba. Kedua tangannya menggeletar hebat. Menahan satu beban yang tidak dapat dia ungkapkan melalui kata-kata. Tangisan Hashim meledak dengan kuat. Pertama kali dia menangis di hadapan Ayu.
Hancur lebur hatinya saat melihat tubuh Ayu yang calar balar sana sini. Tudung anaknya itu terdampar tidak jauh dari tempat perbaringannya. Hujung kain kurungnya pula terselak sehingga mendedahkan bahagian paha.
Baju kurungnya pula sudah terkoyak sehingga sebahagian daripada kawasan bahunya jelas kelihatan. Hashim segera menarik kain Ayu ke bawah, menutupi bahagian kakinya yang terdedah.
Dia mati akal. Tidak tahu mahu berbuat apa dalam keadaan sebegitu. Bahkan, tiada sesiapa pun melalui kawasan berkenaan untuk dia meminta bantuan. Hanya suara esakan dan rintihan Hashim yang kedengaran di bawah cahaya suram itu.
"Ya Allah, Allah...Allah, siapa yang tergamak buat macam ni dekat anak aku?! Ya Allah, anak aku!" Separuh gila dia meraung sambil mengusap lembut kepala Ayu. Hashim memandang hiba luka-luka pada wajah anak angkatnya. Siapakah yang tergamak melakukan perbuatan terkutuk ini ke atas Ayu?
"Maafkan abah, nak! Maafkan abah. Abah tak patut bagi Ayu keluar sorang-sorang! Ya Allah! Abah salah, abah minta maaf..." Ayu menggeleng lemah. Insiden yang telah berlaku itu, bukan salah Hashim sama sekali.
Dia tatap sayu wajah bapa angkatnya. Lelaki itu terlalu banyak berkorban demi dirinya selepas kematian Omar dan Fatimah.
Hashim dan Sakinah yang membawanya ke rumah sewaktu dia hilang arah. Dia dijaga, dibelai dan dirawat seperti anak kandung mereka sendiri. Tiada yang kurang dalam layanan mereka berdua.
Sakinah, sanggup mengadaikan kesemua barangan kemasnya demi pelajaran Ayu. Pasangan itu, terlalu berjasa sehinggakan, Ayu tidak pernah merasa kehilangan. Semua kemahuannya dituruti mereka. Mintalah apa sahaja, pasti mereka akan cuba tunaikan.
"Bah..." Panggilnya perlahan. Tekaknya kering kerana terpaksa menjerit meminta pertolongan sewaktu bergelut dengan Razman. Seluruh tubuhnya juga berasa berdenyut. Pantas, Hashim mendekatkan telinga ke bibir Ayu.
"Ya...ya, abah ada kat sini. Abah ada kat sini..."
"Ayu sakit. Badan Ayu sakit..." Jawabnya dengan nada yang tenggelam timbul.
"Allah..." Esakan Hashim makin kuat. Kalaulah dia boleh memutarkan kembali masa. Dia berasa sungguh berdosa dengan arwah ibu bapa Ayu. Dia dan Sakinah sudah berjanji akan menjaga Ayu seperti anak mereka sendiri sepanjang hayat mereka. Tapi, dia gagal melunaskan janjinya itu.
Dua tahun lalu.....
"Mah...Mah, Omar dah takde..." Ucap Hashim dengan lembut. Bimbang emosi Fatimah akan terganggu. Wanita itu baru sahaja menjalani pembedahan untuk membuang darah beku di kepala. Tidak mereka jangka, takdir akan menjadi sekejam ini terhadap Omar dan Fatimah.
Perlahan, satu persatu titisan air mata Fatimah menuruni lekuk pipinya. Dia mahu mengatakan sesuatu, namun terhalang kerana alat bantuan pernafasan yang tersarung pada mulutnya. Lantas, alat itu ditanggalkan, sebelum Fatimah membuka mulut dalam kepayahan. Nafasnya turun naik.
"Sim...aku nak minta tolong dengan kau." Hashim mengangguk perlahan. Dia mengerling sekilas ke arah Sakinah yang sedang teresak di tepi katil Fatimah. Sepertinya, wanita itu boleh mengagak, pengakhiran teman baiknya ini.
"Tolong...tolong jagakan Ayu untuk kami. Waktu aku tak lama. Kau...kau dengan Kinah tak perlu risau, aku dengan abang Omar ada tinggalkan sejumlah wang...dalam bank kami. Gunalah untuk Ayu...Tolong aku Sim, Kinah." Matanya meliar mencari keberadaan Sakinah yang ketika itu sudah berlari meninggalkan bilik rawatan itu.
Sayup-sayup kedengaran suara tangisan seseorang dari luar. Lantas Hashim mengenggam erat jemari Fatimah sambil mengangguk. Air matanya mengalir lagi buat kesekian kalinya.
"Kami...kami janji akan jaga Ayu macam anak kami sendiri. Kami janji Mah...Kami janji..." Tersedu sedan dia mengucapkan kata-katanya. Tidak mampu lagi memandang wajah Fatimah yang semakin pucat.
Wanita itu menghadiahkan satu senyuman tipis, sebelum menggumamkan ucapan terima kasih kepada Hashim. Perlahan, kedua kelopak matanya terpejam, menunggu detik malaikat maut menarik rohnya dari jasad pinjaman sementara ini. Selang beberapa saat, tidak lagi kedengaran bunyi hembusan nafas mahupun pergerakan daripada Fatimah. Itu menjelaskan satu perkara, bahawa wanita itu telah pergi menghadap Ilahi, bersama suami tercinta.
"Innalillahi wa Innailaihi Rojiun...tenanglah...tenanglah di sana Mah..." Hashim lantas menarik gebar putih, menutup jasad Fatimah.
Dia keluar mencari isterinya yang sedang berpelukan bersama Ayu. Langsung keduanya mengalihkan pandangan ke arah Hashim yang baru sahaja keluar dari bilik rawatan. Hashim membalas tatapan mereka, dengan gelengan. Hancur hatinya melihat raungan Ayu di dalam dakapan Sakinah.
"Ayu takut..." Hashim tersedar dari lamunannya. Air mata yang masih menitis itu segera diseka. Dia perlu membawa Ayu keluar dari situ. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya, lalu menghubungi seseorang untuk datang membantu.
Tubuh Ayu dicempung, sebelum Hashim meluru keluar ke arah jalan raya, menunggu gerangan yang baharu sahaja dia hubungi.
"Sabar ye nak...Abah panggil Pakcik Zain tadi. Dia dalam perjalanan ke sini. Kejap lagi kita sampai rumah...Sabar ya..." Ayu mengangguk sambil mengeratkan pautannya pada leher Hashim. Dia berasa selamat dalam pangkuan bapa angkatnya.
**********
Ayu mengangkat kepalanya sebelum mencapai telefon bimbit yang terletak di atas meja.
"Maafkan aku Wahid. Aku tak boleh nak jelaskan semua benda ni sekarang. Lagipun, kita tak pernah rapat mana sebelum ni. Lets just carry on with our own life." Nombor Wahid langsung disekatnya. Ini untuk kebaikan semua pihak.
"Yuni...marilah kita ke hospital. Periksa keadaan kamu tu. Opah risau..." Ayuni meluruskan pandangan ke hadapan. Menatap awan yang beransur hilang dari langit. Dia melepaskan keluhan saat telinganya menangkap suara Arshad dari ruangan dapur. Lelaki itu, tidak habis-habis dengan makanan! 24 jam fikir pasal makan aje! Kutuk Ayuni.
"Yuni...dengar tak apa yang opah kata ni?" Lantas dia menoleh sekilas pada Azimah yang sedang merenungnya.
"Tak payahlah opah. Esok lusa okaylah tu. Mungkin salah makan, atau perut masuk angin...Yuni okay aaa...
"Nek! Air soda habis ke? Kenapa saya cari dalam peti, tak jumpa?" Entah dari mana munculnya Arshad. Ayuni sempat menjeling ke arah lelaki itu kerana mencelah sewaktu orang sedang bercakap. Tiada adab!
"Habis rasanya." Langsung monyok wajah Arshad. Dia perlukan air berperisa itu sekarang. Tekaknya selalu terasa loya sejak kebelakangan ini. Sudah 3 hari dia tidak ke pejabat. Badannya mudah letih dan penat. Emosinya juga sering terganggu.
Bersambung.......
Lepasni, kite cer pasal Ayuni pulak
Share this novel