Kereta yang dinaiki berhenti di halaman sebuah rumah banglo 3 tingkat yang kelihatan sedikit sunyi dan kelam berbanding banglo-banglo yang lain di kawasan perumahan tersebut.
Azimah dan Ayuni saling berpandangan seketika. Ada satu rasa kurang enak yang mengetuk hati masing-masing.
Selamatkah mereka tinggal berdua di sini? Melihat pada keadaan rumah ini, sepertinya tiada orang perempuan yang menghuninya.
Taman di bahagian tepi rumah juga kelihatan tidak terurus dan rumput serta lalang mula mendominasi hampir setiap pelosok rumah.
Orang sekaya ini, takkan tidak mampu mencari pekerja yang boleh membersihkan semak-semak itu? Azimah jadi penasaran.
Mengapa mereka membiarkan sahaja lalang-lalang itu tumbuh sebegitu tinggi sehingga menganggu pemandangan banglo di belakang.
Suara deheman daripada lelaki itu mematikan lamunan Azimah. Mereka keluar dari perut kereta sambil menjinjit beg pakaian, sementara Ayuni pula mengeluarkan bagasi lusuh dari dalam bonet kereta.
Tanpa menunggu lama, lelaki berkenaan terus membawa Azimah dan Ayuni masuk ke dalam banglo tersebut.
Sepanjang perjalanan, Azimah dan Ayuni hanya berdiam diri sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Kotor, bersepah dan tidak teratur. Beginikah kehidupan orang kaya?
Mereka dibawa ke sebuah bilik tidur yang terdapat betul-betul berhampiran dapur. Pintu bilik dikuak luas, memberikan ruang kepada Azimah dan Ayuni untuk meletakkan barang-barang mereka.
“Ini bilik kamu berdua. Boleh muat 3 orang dalam bilik ni. Katil, tilam, kipas, tandas semua dah ada kat dalam tu. Dah siap letak barang, jumpa saya di dapur.” Lantas Azimah dan Ayuni mengangguk faham. Setelah lelaki itu keluar, Azimah terus menutup pintu bilik berkenaan dari dalam.
Beg pakaian terus diletakkan di penjuru bilik, lalu dia menghampiri Ayuni sebelum memeluk erat tubuh cucunya itu.
”Opah, macam mana kita nak hidup kat sini? Yuni risau…” Ujar Ayuni sambil mengeratkan tautan pada pinggang Azimah. Suasana sunyi sepi di rumah itu sedikit sebanyak meresahkan Ayuni. Terasa seperti terperangkap di sebuah hutan yang terpencil.
“Sabar Yuni. Yuni kan ada opah…” Pujuk Azimah. Ubun-ubun cucunya diusap lembut.
Selepas seminggu.
“Nek, nanti siapkan makan tengah hari lebih sikit ya...Anak saya nak balik dari Europe.” Seusai berpesan, Dato Mukhriz menuju ke tempat parkir kenderaannya untuk bertolak ke tempat kerja.
Dia menoleh ke kiri dan kanan halaman rumah banglo 3 tingkat yang dihuninya selama lebih 20 tahun itu dengan pandangan berbeza.
Terselit rasa kagum dalam hati tika melihat perubahan positif pada halaman rumahnya itu.
Kawasan yang bersemak selama ini, sudah bersih dicantas lalang-lalangnya. Segala sampah sarap yang pernah terdampar di setiap pelosok kawasan tamannya juga sudah bersih.
Kini, taman bunga yang sudah lama tertutup dengan semak samun dan gumpalan daun kering kembali jelas pada penglihatan.
Taman bunga itu tidak ada yang jaga sejak peninggalan isterinya, Azida, pada 15 tahun yang lalu.
Satu-satunya anak lelaki tunggal mereka, Arshad Harizal juga telah dihantar ke Eropah untuk melanjutkan pelajaran sebelum menguruskan syarikat perniagaannya di sana setelah tamat pengajian nanti.
Masa berjalan begitu pantas, sehingga Mukhriz sendiri terleka dengan kenyataan bahawa sudah lebih 15 tahun anaknya menetap di negara asing itu dan kini, bakal pulang semula ke tanah air.
Gembira dengan kepulangan anak? Dia lebih kepada bimbang sebenarnya. Sejak 8 tahun yang lalu, hampir setiap hari, dia menerima aduan mengenai sikap Arshad yang selalu ponteng kelas, memukul orang, berfoya dengan ramai perempuan di kelab malam dan memandu dalam keadaan mabuk sehingga pernah menyebabkan kemalangan.
Pening juga kepalanya pada ketika itu. Dalam kesibukan menguruskan empayar perniagaannya yang kian berkembang ke serata dunia, Mukhriz juga terpaksa menjaga kebajikan Arshad dan memastikan anaknya tidak lagi melakukan apa-apa perbuatan jenayah sehingga menyusahkan hidup orang lain, sepanjang dia menuntut di negara itu.
Dalam hati, dia sebagai seorang bapa, hanya mampu berdoa agar kepulangan anaknya ke sini, tidak akan mengakibatkan sebarang masalah kepada mana-mana pihak.
Mukhriz juga akui bahawa hubungannya bersama Arshad sedikit renggang sejak dia dihantar ke luar negara. Mungkin anaknya terasa hati atau kekurangan kasih sayang sehingga dia berubah dari seorang budak lelaki yang ceria kepada seorang lelaki yang dingin dan kasar.
Pernah juga Mukhriz balik ke Eropah bagi bertemu dengan Arshad serta meluangkan masanya di sana, namun, Arshad lebih memilih untuk mengurung dirinya di dalam bilik sehingga Mukhriz berputus asa dan memutuskan untuk pulang semula ke tanah air dalam keadaan hampa dan kecewa. Sejak hari itu, Mukhriz terpaksa menjarakkan diri daripada Arshad demi kebaikan anaknya sendiri.
Sudah lama dia mendiami banglo sebesar ini seorang diri. Hari-harinya selalu ditemani dengan rancangan di televisyen mahupun kertas-kertas projek yang tiada kesudahannya.
Makan minum terpaksa dia beli dari luar. Hal-hal lain dia serahkan kepada pemandu peribadinya, Pak Wan untuk uruskan.
Suasana rumah yang sering sunyi sepi itu kini sedikit ceria dengan kehadiran Azimah dan juga Ayuni. Walaupun Mukhriz jarang berbual mesra bersama Azimah mahupun Ayuni, namun celoteh serta perbualan antara cucu dan neneknya itu sedikit sebanyak menyerikan hari-harinya.
Nampaklah juga bahawa ada insan lain yang menghuni rumah itu selain dirinya.
Dia juga bersyukur kerana kebajikannya lebih terjaga dari segi pemakanan, pakaian, kebersihan rumah dan dia juga berasa lebih selamat untuk tinggal di rumah itu.
“Eh, Yuni? Yuni?...cepat pergi bukakan pintu depan. Rasanya anak Dato Mukhriz dah sampai tu…” Laung Azimah sambil menghidangkan beberapa jenis lauk di atas meja makan. Ayuni yang sedang menyapu halaman belakang bergegas menuju ke ruang tamu untuk membukakan pintu.
“Pak Wan, berapa lama lagi saya kena tunggu ni? Kata dah ada pembantu kan? Kenapa lama sangat nak…”
KLAK!
“Maaf tuan, maaf. Saya tengah sapu halaman belakang. Silakan masuk.” Ayuni segera mencapai beg pakaian yang sedang dijinjit oleh Arshad.
Melihat pada wajah lelaki yang tegang itu sudah cukup menyakinkan Ayuni bahawa anak majikannya seorang yang panas baran.
Tanpa menunggu lama, Ayuni terus mendaki anak tangga menuju ke arah bilik tidur Arshad. Beg pakaian itu diletakkan di hadapan pintu bilik sebelum dia turun semula ke ruang makan bagi membantu neneknya menghidangkan makanan.
“Ni Nek Mah, tu cucu dia, Ayuni. She is 19 years old. Dah seminggu dorang…”
“I know. Pak Wan dah bagitahu tadi.” Arshad terus mencelah. Apa yang menarik sangat sampai nak kena kenalkan orang yang sama dua tiga kali?
Mukhriz terus mengunci mulutnya. Dia sudah terbiasa dengan situasi sebegini. Anaknya itu sememangnya dingin terhadapnya dari dulu lagi.
“Nek Mah, hidangkan makanan.” Arah Mukhriz. Azimah mengangguk faham lalu mencedokkan nasi ke dalam pinggan Mukhriz dan Arshad.
“Nek Mah dengan Ayuni bolehlah berehat kat belakang. Ada simpan kan lauk untuk makan malam?” Soal Mukhriz. Sudah menjadi rutin Mukhriz menanyakan hal itu setiap kali waktu makan.
Dia tidak mahu Azimah mahupun Ayuni berlapar sehingga dia habis makan. Oleh itu, sudah dia pesan pada hari pertama lagi, supaya Azimah dan Ayuni mengasingkan sedikit lauk pauk dan nasi buat mereka sebelum menghidangkannya kepada dia.
"Dah tuan. Kami pergi makan dulu ya. Kalau tuan nak apa-apa, panggil kitaorang ya..." Mukhriz mengangguk perlahan. Ayuni dan Azimah terus beredar ke dapur untuk menikmati makan malam sebelum menguruskan kerja rumah yang selebihnya.
Jgn lupa komen ya guys...
Share this novel