Bab 32: Pergerakan

Short Story Series 116383

"Sini, opah nak rasa." Bibir tua itu menyungging senyuman lebar saat merasai pergerakan bayi dalam perut Ayuni.

Ayuni hanya melihat tanpa memberikan apa-apa respons. Tipulah, kalau dia tidak berasa terharu dengan pergerakan itu. Ada nyawa kecil yang sedang menghuni rahimnya.

Semakin hampir dengan hari bersalin, anaknya semakin banyak bergerak. Dia menoleh sekilas ke arah Arshad yang sedang memerhatikan mereka dari ruang tamu.

Bibir lelaki itu tidak lekang dengan senyuman. Teringin pula nak merasa pergerakan anak sendiri dalam perut Ayuni, namun, bila memikirkan hubungan mereka yang tidak mempunyai apa-apa ikatan yang sah, dia menguburkan sahaja hasrat itu jauh ke lubuk hati. Tidak apa, selepas dilahirkan nanti, dia boleh peluk si kecil itu puas-puas.

"Lincahnya cicit opah ni. Nak jadi pemain bola sepak gamaknya!" Seloroh Azimah sambil ketawa. Tidak sabar mahu menatap wajah cicitnya nanti. Pasti comel seperti ibu dan bapanya. Namun, Azimah berasa terkilan, kerana sejurus selepas dilahirkan, anak itu akan dibawa pergi oleh Arshad ke satu tempat yang jauh sepertimana yang termaktub dalam perjanjian mereka dulu.

"Dia perempuanlah opah." Celah Ayuni sebelum tersenyum geli hati dengan telatah neneknya. Dia melirik sekilas Arshad yang sudah hilang dari situ. Sudah berangkat ke pejabat barangkali.

"Ayuni, opah nak tanya sikit boleh?" Soal Azimah tiba-tiba. Ayuni memberhentikan kerjanya, lalu menghampiri Azimah yang sedang berdiri di tepi singki. Ada beberapa buah piring kotor yang masih belum dicuci.

"Apa dia opah? Tanya jelah." Dia membalasnya dengan senyuman tipis.

"Selepas Arshad bawak pergi anak tu, maksudnya, kita tak boleh jumpa dia sampai bila-bila ke?" Bergetar suara Azimah kala ayat itu terpacul keluar daripada mulutnya.

Air muka Ayuni berubah serta merta. Dia terdiam sejenak sebelum menganggukkan kepala. Mengiyakan pertanyaan neneknya. Itulah yang terkandung dalam perjanjian mereka berdua. Dan sebagai balasan, Ayuni akan diberikan rumah ini, beserta wang tunai berjumlah RM500,000 selain bantuan persekolahan sepertimana yang pernah dijanjikan oleh Arshad sebelum ini.

"Kenapa opah tanya?" Tangan Azimah ditarik lalu digenggam erat.

"Takde...takde apa." Azimah melepaskan tautan jemari mereka, sebelum kembali meneruskan kerjanya. Sedih mengenangkan nasib Ayuni, tapi pada masa yang sama, kasihan juga saat memikirkan masa depan anak yang tidak berdosa itu. Dia perlu membesar sama seperti Ayuni, tanpa kehadiran seorang ibu di sisi. Tanpa sedar, air mata Azimah jatuh menuruni lekuk pipi.

"Opah...janganlah sedih macam ni. Susah kita nak langgar perjanjian tu." Pinggang neneknya dipeluk dari belakang. Kepala dilentokkan pada bahu Azimah.

"Kau pasti dengan keputusan ni?" Cawan kopi diletakkan di atas meja. Pandangan dihalakan ke wajah sugul Arshad. Lelaki itu hanya mengangguk sejak tadi. Dah macam patung perhiasan yang orang selalu letak atas dashboard kereta pula. Duk terangguk-angguk.

"Aku tengah tanya kau ni setan!" Bentak Wahid dengan kasar. Geram dengan tingkah laku lelaki itu yang sudah serupa kematian isteri.

"Iya! Kau nak aku buat apa lagi Wahid? Aku dah buat macam-macam supaya dia dapat terima aku. Tapi, satu pun tak membuahkan hasil. Aku penatlah Wahid, aku penat. Aku terpaksa mengalah supaya Ayuni bahagia. Biarlah, aku dengan anak aku pergi jauh dari hidup dia. Kami tak nak susahkan dia lagi. Kami tak nak menjadi penghalang impian dia. Biarlah dia hidup tenang lepas ni. Hanya itu sahaja yang dapat aku lakukan, untuk menunjukkan yang aku, sayangkan dia." Air matanya mengalir tanpa segan silu. Nasib baik mereka duduk sedikit jauh dari pelanggan lain di kafe itu. Wahid mati kata melihat keadaan Arshad. Dia menyandarkan belakang badannya pada kerusi sambil berpeluk tubuh.

"Kau pergi jauh dulu dari hidup dia Shad. Aku yakin, dia akan rindukan kau. Kalau tak rindukan kau sekalipun, she will absolutely miss her baby. Ibu mana tak sayangkan anak. Lagi-lagi, dia bakal berpisah dengan anaknya, sebaik sahaja lepas melahirkan. It will be the most depressive episode in her life." Ujar Wahid. Dia menyerahkan sehelai tisu kepada Arshad.

"Entahlah Wahid. Biarlah, aku malas nak fikir dah." Air mata dikesat dengan tisu itu sebelum digumpal lalu diletakkan di atas meja.

"Ayuni dah siap kemas barang?" Azimah muncul di muka pintu sambil melihat Ayuni yang sedang mengemas barang-barangnya. Beberapa helai t-shirt, kain batik dan stokin dilipat kemas lalu dimasukkan ke dalam beg pakaian.

"Sikit lagi opah. Kejap lagi, siaplah tu." Jawabnya dengan ringkas.

"Baiklah. Nanti, opah beritahu dekat Arshad. Jangan lupa bawak IC sekali." Pesan Azimah sebelum dia kembali ke dapur.

"Semua dah siap?" Soal Arshad sambil menyusun barang-barang peribadi Ayuni ke dalam bonet keretanya. Serentak Ayuni dan Azimah menganggukkan kepala mereka.

Sepanjang perjalanan ke hospital, Ayuni tidak membuka mulut. Dia hanya mendengar perbualan Azimah dan Arshad yang kelihatan mesra. Dia tersenyum melihat gelagat neneknya yang kelihatan gelisah dan gembira pada masa yang sama.

Mata turun pada perut. Berbaki beberapa jam sahaja lagi, sebelum penghuni rahim itu dilahirkan. Perut yang semakin mengeras itu diusap perlahan. Alunan zikir setia meniti bibirnya. Lepas ni, kamu tinggal bersama ayah kamu, ya. Bisiknya sebelum mengalihkan pandangan ke luar tingkap kereta.

"Opah, tunggu dekat sini, teman Yuni. Yuni takut sorang-sorang." Rayunya sambil menggenggam erat lengan Azimah.

Tangan Arshad lincah mengupas kulit buah epal. Buah yang sudah siap dikupas itu, dipotong dadu lalu dimasukkan ke dalam sebuah mangkuk kecil. Sebekas yogurt asli turut sama dimasukkan ke dalam mangkuk yang sama sebelum digaul sekali bersama buah tadi.

"Nah, makan ni dulu. Lusa, baru awak akan dihantar ke bilik bersalin. Doktor kata, belum ada bukaan." Kata Arshad sebelum meletakkan mangkuk kecil itu di atas meja, bersebelahan katil Ayuni.

Gadis itu nampak terganggu. Takut memikirkan kesakitan yang bakal ditempuhi sewaktu melahirkan nanti. Macam-macam cerita yang dia dengar daripada mulut orang-orang kampungnya dulu. Ada yang cakap, melahirkan anak ini sakit sehingga menggigil-gigil satu badan. Ada juga yang mengatakan bahawa rasa sakit itu akan hilang sejurus selepas si ibu melihat wajah anaknya. Cerita yang mana satu harus dia percaya?

"Jangan takut Yuni. Allah akan permudahkan segalanya. Banyakkan berdoa ya..." Pesan Azimah. Dia juga risau kala melihat wajah Ayuni yang sedikit pucat.

"Yuni takutlah opah. Tadi, ada nurse pandang jelek dekat Ayuni sebab mengandung anak luar nikah." Tangisannya meletus jua.

Arshad tidak betah berada lebih lama di dalam bilik itu. Hatinya sakit selepas mendengar luahan Ayuni. Dia meluru keluar dari situ sebelum melabuhkan punggung di atas kerusi pelawat di luar. Air matanya turut mengalir bersama. Semua ini berpunca daripada aku! Kalau aku tak buat benda jijik tu, pasti dia tidak perlu hadap benda ni semua. Dia terkejut apabila ada tangan yang menyentuh bahunya. Lantas Arshad mengangkat kepala dan melihat orang yang sedang berdiri di hadapan. Dia terkedu melihat Azimah yang sedang tersenyum tipis ke arahnya. Mata wanita itu sedikit merah.

"Tak guna mengenangkan kisah lalu. Jadikan kesilapan itu sebagai satu pengajaran, dan jangan berpaling lagi ke belakang." Ujar Azimah sebelum berlalu pergi dari situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience