Bab 13: Mencabar Kesabaran

Short Story Series 116383

"Doktor...doktor..." Bergema suara lantang milik Rita di luar koridor. Dari jauh sudah kedengaran laungannya. Wahid mengangkat kepala saat jururawat wanita yang sedang sarat mengandung itu menghampiri meja kerjanya. Dia sedang sibuk menaip laporan kerja pada komputer riba. Pandangan kini dia halakan tepat ke wajah Rita.

"Hah, kenapa Rita? Air ketuban awak dah pecah ke?" Soalnya sambil mengimbas Rita atas bawah. Jururawatnya itu sedang menunggu waktu untuk bersalin sebenarnya.

Sudah dia pesan berkali-kali untuk mengambil cuti dan berehat sahaja di rumah, namun biasalah, perempuan kan...mana mungkin lelaki seperti dia boleh menang, walaupun dia terkenal dengan kebolehan bermulut lancang. Rita sudah lama berkhidmat sebagai jururawat di klinik Wahid.

"Bukanlah doktor..." Jawabnya sambil mencari nafas. Sejak berbadan dua, dia mudah berasa penat dan senang semput.

"Suami awak kahwin lain?" Duganya lagi. Kali ini mendapat jelingan maut daripada Rita.

"Ish, doktor ni...Bukan! Pesakit Bilik 2 dah sedarkan diri." Selar Rita dengan geram. Walaupun, sudah terbiasa melayan perangai sewel Si Wahid ni, tapi kadang-kadang boleh tahan menyebalkan juga sikapnya, sampai tertekan si pendengar. Kalau yang baru pertama kali masuk kerja, mesti terseksa mental dan fizikal dibuatnya. Ramai sangat jururawat muda yang berhenti dan ada juga yang hilang tanpa jejak kerana tidak tahan dengan mulut Wahid.

"Habistu, awak nak saya buat apa?" Pulak...Rita memandang kosong wajah datar Wahid.

"Ya Allah, boleh kena darah tinggilah saya cakap dengan doktor ni!" Mana tak hilang sabar perempuan tu. Naik turun dada Rita menarik dan menghembus nafas. Ikutkan hati, mahu saja dia belasah Si Wahid ni. Biar jadi serius sikit.

"Kejap lagi saya ke Bilik 2. Sekarang, awak pergi buat check-up." Bertambah kerutan di dahi mulus Rita. Dia memandang hairan Wahid yang sudah berdiri sambil menyarungkan stetoskop ke lehernya.

"Saya? Kenapa pulak?" Soalnya dengan pelik.

"Ukur ketinggian darah awak. Tengok dah sampai berapa sentimeter..." Sabar jelah...Rita terus keluar dari bilik Wahid. Makin lama dia berada di sana, makin terbakar jiwa raga. Boleh gila layan spesies sewel macam Wahid ini. Betul-betul mencabar emosi.

Wahid masuk ke dalam bilik rawatan yang menempatkan Ayuni bersama Rita. Rita membalas senyuman Azimah dan Ayuni yang sedang terbaring di atas katil. Wajah gadis itu kelihatan sedikit berseri berbanding sebelum ini. Eh! Terus tergamam seluruh penghuni Bilik 2 itu tatkala melihat kelakuan janggal Si Wahid.

"Eh, doktor." Azimah membatu saat Wahid meletakkan stetoskop pada dadanya. Bukankah yang patut diperiksa itu Ayuni?

"Nenek kurang zat ni..." Masing-masing berpandangan sesama sendiri.

"Hah, zat?" Soal Azimah dengan pelik. Mungkin betul kata doktor, kerana sejak Ayuni terlantar di sini, dia memang kurang selera makan.

"Ya, zat cinta..."Tersenyum Ayuni mendengarnya. Sementara, Azimah sudah tersipu malu. Rita hanya mampu menggelengkan kepala. Dah mula dah...

"Ish, ke situ pulak doktor ni..." Azimah tersenyum apabila diusik begitu.

"Malu-malu tu, tandanya mahu..." Tambah Wahid lagi. Saja nak tambahkan suka di hati yang sedang lara.

"So, macam mana Ayuni...ada rasa sakit kat mana-mana?" Dia menghampiri Ayuni sebelum mendengar degupan jantung gadis itu menggunakan stetoskopnya. Wahid sempat membelek dan memeriksa keadaan leher Ayuni yang semakin beransur sembuh dari lebam-lebam merah. Kesan jerutan juga sudah pudar.

"Takde doktor." Balas Ayuni sambil memandang Rita yang sedang menulis sesuatu di atas sehelai kertas.

"Betul ke? Saya ni takkan puas hati selagi saya tak betul-betul yakin..." Wahid menoleh sekilas ke arah Rita yang sedang sibuk menulis butiran peribadi Ayuni ke dalam sebuah borang.

"Tak doktor, saya betul-betul dah okay..." Jawab Ayuni lagi. Dia benar-benar pasti bahawa dirinya sudah sihat.

"Rita..."

"Ya, doktor..."

"Tolong pergi ke stor, lepastu bawakan saya sebuah tukul besi." Terlopong mulut ketiga wanita berbeza umur itu.

"Tukul besi? Untuk apa?" Tercengang Rita sejenak.

"Saya nak cek lutut dia..."

"Ya Allah, doktor...mati anak orang tu karang!" Pening kepala betullah layan kerenah Si Wahid ni. Ada je perangai gila dia tu...

"Tukul?" Kali ini, Ayuni pula menyoal. Risau pula bila Wahid meminta tukul. Apa yang hendak dia lakukan terhadapnya dengan tukul? Tukul besi pula tu?

"Ermm...tengok awak terkejut macam ni, saya pasti yang awak dah seratus peratus pulih. Tahniah! Rita, dah boleh sediakan bil rawatan...dan bagi dekat mangkuk yang tengah duk menghendap kat pintu tu." Arah Wahid. Bukannya dia tidak nampak kelakuan Arshad di luar bilik rawatan.

"Baik doktor." Balas Rita sambil melihat ke arah pintu.

"Jadi, Ayuni...awak dah boleh keluar petang ni. Lepasni, make sure jangan masuk wad dah...bil mahal." Rita hanya mampu beristighfar dalam hati mendengar kata-kata majikannya yang seorang ini. Apa pulak cakap macam tu dekat customer.

Ayuni terdiam mendengar kata-kata Wahid. Cukup ke duit simpanannya untuk menjelaskan bil rawatannya nanti. Dia menoleh ke arah Azimah.

"Opah..." Panggilnya dengan perlahan.

"Ya, Yuni nak minum air ke?" Azimah terus menuangkan air kosong ke dalam sebuah cawan plastik.

"Taknak...Yuni bukan nak air." Tolak Ayuni dengan lembut.

"Kalau Ayuni taknak air tu, nenek bagi je dekat saya." Azimah menghulurkan cawan yang berisi separuh air itu kepada Wahid.

"Rita..." Rita menghampiri kedudukan Wahid.

"Nah, tolong bawa air ni ke Unit X-Ray. Lepastu, tuang atas kepala Si Jamil." Hampir terjatuh rahang Rita mendengar arahan daripada Wahid. Serta merta bibirnya menguntum senyuman tipis. Ikutkan hati, dia mahu ketawa sekuat hati di situ juga. Cuma, risau akan disembur oleh Wahid pulak. Dia faham benar maksud disebalik kata-kata Wahid sebentar tadi.

Jamil merupakan staf yang dipertanggungjawabkan untuk mengendali urusan-urusan yang melibatkan X-Ray pesakit. Namun, itulah...dia sering tertidur semasa waktu bekerja, sehingga mengakibatkan prestasi klinik Wahid sedikit menurun sejak akhir-akhir ini kerana ramai pesakit mula membuat aduan bahawa laporan X-Ray yang mereka lakukan di klinik ini sentiasa lambat sampai ke tangan mereka.

Azimah dan Ayuni saling berpandangan. Kenapa sampai kena tuang air atas kepala orang? Salah satu kaedah pemulihan pesakit ke?

"Kalau takde apa-apa, kami keluar dulu." Kata Rita sebelum memberikan isyarat mata kepada Wahid untuk turut keluar bersama. Makin lama dibiarkan di situ, risau akan mengganggu ketenangan rohani dan jasmani Ayuni serta Azimah.

"Saya keluar dulu. Apa-apa hal, jangan panggil kami dah. Kami ni banyak kerja." Azimah dan Ayuni tergamam seketika. Ada juga ke doktor macam ni...

"Opah, agak-agak duit simpanan kita cukup ke untuk bayar bil rawatan Yuni nanti?" Ayuni membuka mulut sejurus selepas Wahid dan Rita keluar dari biliknya.

"Cukup rasanya Yuni..." Azimah cuba menenangkan Ayuni yang kelihatan sayu tiba-tiba. Rasanya, duit gaji yang mereka simpan selama beberapa bulan ini, cukup untuk membayar biaya klinik ini nanti.

"Eh, Wahid...macam mana? Dia okay ke?" Arshad mendekati Wahid dan Rita yang baru sahaja keluar dari bilik Ayuni.

"Macam gitulah. Macam apa lagi?" Jawab Wahid acuh tidak acuh.

"Jangan main-main boleh tak...Aku serius ni..." Tempiknya sedikit kuat.

"Ni, bil. Nanti bayar kat kaunter. Dia dah boleh keluar petang ni." Rita tolong jawabkan bagi pihak Wahid. Nampaknya, hubungan Wahid dan lelaki di hadapannya kurang baik. Rita terus menarik lengan Wahid untuk meninggalkan kawasan tersebut. Risau, bertumbuk pula dua ekor tu nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience