Bab 48: Kejutan

Short Story Series 116383

Hampir seminggu mereka berdua tidak bersua muka. Arshad mula sibuk dengan projek baharu di syarikat manakala Ayuni pula menjalankan tugasnya seperti biasa di kafe.

Dua insan yang saling mencintai terpisah di dua tempat yang berbeza, namun masing-masing yakin, bahawa satu hari nanti, hasrat mereka untuk bersatu, pasti akan termakbul jua.

Hampir setiap masa, Ayuni mencuri pandang skrin telefon bimbitnya, kalau-kalau ada mesej baharu dihantar oleh Arshad. Dan, sekiranya ada, serta merta jarinya menaip jawapan balas kepada lelaki tersebut. Tidak mahu lelaki itu tertunggu-tunggu maklum balas daripadanya.

Sejak dua menjak ini, Arshad sudah jarang menghubungi Ayuni, namun tetap saja Arshad menghantar pesanan ringkas untuk bertanya khabar. Cuma, sekadar berbalas mesej saja tidak dapat menutup rasa rindunya terhadap Arshad.

Apabila emosi mula bergolak tanpa arah yang jelas, terpaksa Ayuni memujuk hati yang sedang pilu itu untuk tetap bersabar dan terima kenyataan bahawa Arshad juga mempunyai tanggungjawab sendiri yang perlu dia jalankan di syarikatnya. Minggu lepas, lelaki itu sudah menerangkan tentang projek baharu yang perlu dia uruskan bersama syarikat lain, jadi, dia akan menjadi semakin sibuk.

Suatu ketika dahulu, dia pernah membenci Arshad sehingga menolak lamaran daripada lelaki itu berkali-kali. Tapi, kini, Allah membolak-balikkan perasaannya, sehingga dia terbuka hati untuk menerima Arshad sebagai pasangan hidup. Sejujurnya, Ayuni kesal dengan keputusan terburu-buru yang diambilnya dahulu. Kalaulah, dia bersetuju untuk mengahwini Arshad, mungkin sekarang, mereka sudah hidup bahagia bersama Adwa.

Cuma, jiwanya menyukai peribadi Arshad yang sekarang. Pendek kata, dia jatuh hati pada Arshad Harizal yang terkini. Tutur katanya lebih sopan, menjaga solat dan apa yang paling penting, Arshad tidak pernah mengambil kesempatan ke atas Ayuni walaupun dia mempunyai peluang untuk berbuat demikian. Itu membuatkan Ayuni berasa selesa saat berada bersamanya. Tiada apa yang penting bagi seorang wanita selain berasa selamat dan selesa saat bersama dengan seorang lelaki.

Air dalam cawan plastiknya tidak terusik sama sekali. Rasa menyesal pula kerana membancuhnya tadi. Tadi, teringin nak minum, sekarang, dia sudah hilang selera. Seketika hanyut menghayati pemandangan di tepi kafe yang dipenuhi dengan tanaman bunga-bungaan tanpa sedar ada yang sedang menghampirinya secara diam-diam dari belakang.

Tangan yang menongkat pada dagu itu dibawa turun. Terasa kebas pula berada dalam kedudukan yang sama lama-lama. Ayuni mengerling sekilas pada jam tangan. Masih berbaki setengah jam lagi sebelum kafe dibuka semula.

Jayden dan Dania masih belum pulang dari rehat. Dia lantas mencapai cawan minumannya untuk membasahkan tekak yang sudah terlalu kering. Air yang sudah tawar itu masih juga disedut dengan wajah yang berkedut. Nak buang, rugi pulak rasanya.

"Tengah fikirkan apa tu?" Serta merta cawan plastik itu terlepas daripada genggaman Ayuni. Gadis itu sempat terjerit kecil apabila ada suara menyergahnya tiba-tiba dari arah tepi. Ayuni menoleh ke arah gerangan yang melabuhkan punggung di sebelahnya tanpa dipelawa.

"Encik Arshad?" Terbuntang luas kedua belah mata bundarnya ketika itu. Terkebil-kebil memandang Arshad dengan rasa tidak percaya. Sementara, lelaki itu hanya tersenyum tipis sebelum menayangkan beg plastik di tangannya. Ada beberapa bekas polisterin di dalam beg plastik tersebut.

"Terkejut ya, tengok saya tiba-tiba muncul dekat sini?" Soal Arshad sambil mengeluarkan satu persatu bekas polisterin itu lalu meletakkannya di atas meja. Ayuni hanya memerhati perbuatan Arshad tanpa mencelah.

"Pagi tadikan, Encik Arshad beritahu nak ke site. Macam mana encik boleh ada di sini?" Tanyanya dengan polos. Arshad tertawa kecil sebelum menjawab.

"Dah pergi ke site pagi tadi. Masa on the way balik, saya teringat permata hati saya yang kerja dekat kafe ni. Itu yang saya singgah. Nasib saya datang. Kesian sayang abang ni duduk sorang-sorang dekat bawah pokok. Minum jus yang dah tawar pulak tu." Ayuni menjeling manja ke arah Arshad. Biasa tau dia ni! Cawan plastik di atas lantai ditenung kosong seketika. Nasib sempat minum sikit tadi...

"Kenapa tak inform dulu sebelum datang? Boleh saya belikan makanan untuk encik tadi." Arshad memandang tenang wajah mulus Ayuni. Dia rindukan gadis itu. Beberapa hari tidak berjumpa, membuat hidupnya menjadi serba tidak kena.

"Kalau beritahu awal-awal, tak surpriselah nanti. Kata nak bikin romantis, kita bikin romantis, bermain mata, turun ke hati, hatinya jatuh, kan hari tu?" Ayuni tersengih. Geli hati mendengar nyanyian Arshad. Sumbang semacam, tapi untuk effort, boleh kasi 99.9%. Tidak tunggu lama, seketul kuih donut dibawa keluar dari bekas polisterin lalu disuakan ke mulut Ayuni.

Ayuni tertunduk malu sebelum menggigit sedikit isi kuih tersebut sebelum mengunyahnya perlahan-lahan. Kedua belah pipi sudah merona merah kala menyedari pandangan Arshad terhadapnya. Awatlah hot sangat mamat ni!

"Sedap?" Ayuni mengangguk perlahan sebelum sambung mengunyah.

"Adwa sihat ke?" Arshad terdiam sejenak sebelum mengangguk. Air mukanya cuba dikawal.

"Err, Encik Arshad...boleh tak kalau lepas ni, masa kita keluar jalan-jalan, kita bawa Adwa sekali?" Arshad terkedu. Tiada balasan yang keluar daripada mulutnya. Masih mencari kosa kata yang sesuai untuk diberikan kepada Ayuni sebagai jawapan. Dia tidak mahu menimbulkan kecurigaan Ayuni dan pada masa yang sama, dia tidak mahu mengguris hati gadis itu. Jadi dia perlu bijak menyusun ayatnya sebelum disampaikan kepada Ayuni.

"Boleh...tapi bukan sekarang. Bukan dalam masa terdekat ni." Jawabnya sebelum terbatuk kecil. Cuba menutup kecanggungan antara mereka. Tiba-tiba suasana menjadi hening. Ayuni terdiam seketika.

"Alah...kenapa?" Soalnya dengan sayu. Dia cuma mahu berjumpa dengan anaknya, bukan mahu merebut mahupun merampas Adwa daripada Arshad.

"Habiskan makanan ni dulu. Kejap lagi awak dah start kerja kan?" Ayuni menarik muncung. Tapi, masih mengangguk kepada pertanyaan Arshad. Perasaan sayang terhadap lelaki itu, membatasi segalanya. Tidak apalah, mungkin nanti Arshad akan membawanya bertemu dengan Adwa. Dia tidak sabar untuk detik itu.

"Thanks memahami saya." Ayuni tersenyum kecil sebelum mengenyitkan mata kepada Arshad. Arshad tergamam sejenak. Amboi, bukan main kau nyah! Selang beberapa saat, pecah tawa mereka berdua.

Seusai makan, Arshad meminta diri untuk pulang ke pejabat. Ayuni pula sudah mengambil tempat di kaunter. Tidak lekang bibirnya menyungging senyuman manis. Terubat rindunya pada Arshad. Jayden dan Dania pula menjadi pemerhati tidak berbayar dari jauh.

"Waktu tengah angau dengan bini aku dulu, camtulah. Tersengih je 24 jam." Kata Jayden sambil mengelap tingkap kafe.

"Masa tidur pun kau tersengih? Hebat..." Jayden menjelir lidah ke arah Dania yang sudah mengetawakannya.

"Kau mana nak faham! Single lagi..." Sembur Jayden. Namun, Dania tidak ambil pusing dengan kata-kata Jayden. Dia meneruskan tugas menyusun meja sebelum membenarkan pelanggan masuk.

Share this novel

NOMAZURA MAT
2024-06-26 07:22:28 

update please


NovelPlus Premium

The best ads free experience