'Aku ada dekat depan rumah kau ni.' Ikon 'HANTAR' diklik tanpa ragu-ragu. Habis panas satu badan, akibat bersidai di bawah matahari terik.
Peluh yang menitik ke dahi segera dilap dengan belakang telapak tangan sementara sepasang matanya tertumpu tepat pada skrin telefon bimbit. Jangan dia tak reply, sudahlah.
KRING! KRING!
KRING! KRING! Wahid melorek senyuman tipis saat nama Ayu terpampang pada skrin. Ikon 'JAWAB' terus diseret ke atas.
"Kau buat apa datang rumah aku?! Balik sekarang!" Talian terus dimatikan tanpa sempat Wahid menjawab. Dia terlopong sejenak.
Dia letak macam tu je? Biadap! Aku susah-susah drive dari klinik sampai ke rumah kau, tinggalkan patients tersayang aku semata-semata sebab risaukan kau...kau boleh buat aku macam pasu bunga. Biar tersadai jadi ikan kering kat depan rumah kau?!
Pagi tadi, kerana terlalu tertekan memikirkan keadaan Ayu, Wahid terpaksa mengambil satu keputusan terpaling berat dalam hidupnya, dengan menghubungi salah seorang kawan lama mereka, yang juga bergelar seorang doktor di Perak.
Jihan merupakan rakan sekelas Ayu dan Wahid sejak dari Tingkatan 1, sebelum dia pindah ke Australia bersama keluarganya sewaktu mereka berada di Tingkatan 5.
Naluri Wahid kuat mengatakan bahawa Jihan mungkin tahu tentang lokasi Ayu kerana dia merupakan salah seorang teman rapat Ayu ketika di sekolah. Pendek kata, hubungan mereka berdua seperti isi dengan kuku. Jarang terpisah, di mana ada Ayu, di situlah adanya Jihan.
Mahu bertanya kepada kawan-kawan yang lain, dia tidak simpan pula nombor mereka. Sedangkan, nombor telefon Jihan pun, diperolehnya sewaktu mereka terserempak ketika mengikuti sebuah kursus kesihatan di Kedah, sekitar dua tahun yang lalu.
Hanya nombor telefon Jihan sahaja yang disimpan, tapi Wahid langsung tidak pernah menghubungi mahupun menghantar apa-apa pesanan ringkas kepada wanita berkenaan selama ini. Simpan pun hanya sekadar basa basi kerana waktu itu, Jihan yang beria-ia mahu bertukar nombor telefon.
Tapi, masalahnya, nak ke Si Jihan tu layan soalan aku nanti? Yalah, dekat dua tahun save nombor dia, tapi sekalipun tak pernah contact. Dah mati ke, hidup ke. Lepastu, tup-tup, tanya pasal alamat rumah Ayu. Tak ke pelik dia nanti...Kalau dia curiga macam mana? Hilang martabat diri aku.
Makin bertambah sakit kepalanya. Nak tanya, tapi risau niatnya disalah tafsir oleh Jihan, taknak tanya, tapi rasa bersalah pula pada Ayu. Minah rempit ni pun satu, yang tak angkat call aku tu dah kenapa?!
Dan, setelah dia menghubungi Jihan, Wahid terpaksa melayan sekaligus menjawab pelbagai soalan yang tidak penting dan memenatkan jiwa serta mental, semata-mata untuk menjaga hati Jihan. Kang aku gi serang dia dengan mulut laser aku, naknye dia block terus, mampus nak cari maklumat pasal Si Ayu tu nanti. Layankan ajelah, sehari je kan...
Selepas hampir 2 jam berbual kosong bersama Jihan, barulah Wahid mendapat info mengenai tempat tinggal Ayu. Sejurus sahaja mendapat tahu tentang lokasi perumahan Ayu, Wahid bergegas ke sana. Dia berjaya mencari rumah Ayu berdasarkan nombor plat kereta yang terparkir di halaman rumah semi D tingkat satu itu.
Sudah lebih daripada 10 minit dia terpacak seperti tiang lampu di hadapan rumah wanita itu. Wahid mula hilang sabar. Call balik! Nombor Ayu dihubungi buat kali kedua.
"Kau nak apa?" Suara Ayu di sebelah sana kedengaran seperti sedang terburu-buru. Terlalu dingin, seakan hendak cepat memutuskan talian. Wahid menjadi hairan dan pada masa yang sama, terasa kecil hati dengan layanan Ayu yang tidak menghargai kedatangannya dari jauh.
"Aku nak jumpa sekejap je." Dia menghalakan pandangan ke arah tingkap. Samar-samar kelihatan kelibat Ayu sedang mengintainya dari situ.
"Aku...aku tengah busy. Esok-esok jelah ye...
"Esok tu bila? Aku call dekat seratus kali semalam. Sekalipun kau tak angkat. Keluar sekarang!" Wahid mencelah tiba-tiba. Nadanya juga naik seoktaf. Jelas kelihatan rasa tidak puas hati pada riak wajahnya.
"Taknak. Aku busy. Kau pergi balik." Ayu buntu. Sesekali dia menoleh ke belakang, seperti sedang takutkan sesuatu.
"Oh, taknak keluar ya...takpe, aku bertapa dekat depan pagar rumah kau." Ugut Wahid.
"Ishhh, kau ni kan! Baliklah Wahid. Aku merayu sangat-sangat dengan kau. Please..." Suaranya mula tenggelam ke dalam. Seperti sedang berbisik. Wahid semakin penasaran tentang Ayu. Apa kena dengan minah ni?
"Yang kau takut sangat nak jumpa aku ni kenapa? Jangan risau, aku janji tak tumbuk kau dah."
"Aku...aku...aku sebenarnya..."
"Berapa banyak 'aku' kau nak sebut ni?! Turunlah cepat. Aku mai sini nak kasi kau ubat je." Jelas Wahid sambil melambaikan tangan ke arah tingkap rumah. Dia nampak figura Ayu dari situ.
"Wahid..." Ayu menahan dirinya daripada menghamburkan tangisan. Kenapa dia ni tak nak faham keadaan aku. Ya Allah, habislah aku hari ni kalau dia nampak...
"Get down now or..."
"Okay, okay. Kejap." Akhirnya, dia putus asa. Lebih baik dia turuti sahaja permintaan Wahid daripada dia terus terpacak di hadapan rumahnya. Nanti, apa pula kata jiran-jiran di sini dan...bagaimana kalau dia nampak?
"Hah, boleh pun keluar! Macam drakula pulak, tak boleh kena matahari." Sindir Wahid sambil menghulurkan sebuah plastik bersaiz sederhana besar kepada Ayu.
Ketika itu, Ayu hanya menutupi kepalanya dengan sehelai kain tuala sahaja. Mungkin wanita itu tergesa-gesa tadi, sehingga tiada masa untuk menyarungkan tudung ke kepala. Sebaik sahaja menerima plastik itu, Ayu terus berpusing ke belakang untuk masuk ke dalam rumah.
"Eh, kejap! Pandang aku...Aku cakap pandang aku!" Bentak Wahid sambil menarik hujung kain tuala yang tersarung pada kepalanya. Ketika itu, dia ternampak sesuatu yang mencurigakan pada wajah Ayu.
"Kenapa dengan muka kau ni?!" Wahid panik. Dia cuba membelek wajah Ayu yang lebam-lebam, tapi Ayu segera berpaling ke arah lain. Jantungnya mula berdegup laju saat Wahid semakin mendekat dengan tubuhnya.
"Takde apalah. Aku terhantuk dekat dinding. Dahlah, aku masuk dulu ya. Thanks for the medicines." Tanpa menoleh pada Wahid, Ayu terus mengangkat kaki untuk pergi dari situ secepat yang mungkin sebelum disedari oleh 'dia'.
"Ayu...kejap. Aku tak habis cakap lagi dengan kau." Kali ini, lengan Ayu pula disambar Wahid. Dia mula curiga dengan kelakuan Ayu.
Apa yang cuba dia sembunyikan daripada pengetahuan aku? Dia ingat aku ni bongok sangat ke, sampai tak boleh nak bezakan mana satu kesan lebam terhantuk dinding dan mana satu kesan lebam kena belasah.
"Wahid, kita jumpa hari lain. Tak elok kalau orang tengok kita berdua-duaan dekat sini." Hanya alasan itu yang dapat dia fikir buat masa itu demi lari daripada pertanyaan Wahid. Ayu terus melangkah menghampiri pintu pagar rumahnya.
"Ayu..." Lantas, Ayu berpusing ke belakang, menghadap wajah Wahid yang kelihatan tegang. Pasti, dia dah syak sesuatu...
"Apa-apa hal, call aku." Ayu tidak memberikan apa-apa respons, sebaliknya terus masuk ke dalam rumah. Dia menyelak sedikit kain langsir, melihat kereta Wahid yang sedang beredar dari kawasan rumahnya. Dia menarik nafas lega sambil memandang ke arah tangga. Nasib baik dia tak bangun lagi.
Siapa pula 'Dia' ni?
Share this novel