Mata dicelik perlahan. Siling putih menjadi tatapan kala fikiran berlayar jauh. Tiba-tiba, sahaja rasa tidak enak hati. Ayuni bingkas bangun lalu bersandar pada kepala katil. Posisi bantal dibetulkan.
"Kenapa rasa tak sedap hati ni? Tadi okay je." Fikirnya. Selepas pulang dari rumah Arshad tempoh hari, Ayuni mula berasa was-was tentang status Arshad.
Sudah 4 tahun berlalu, masakkan lelaki sesempurna Arshad masih bujang? Mustahil dia tidak memiliki kekasih hati. Yang hairannya, entah mengapa akalnya tidak mahu berhenti berehat dari memikirkan kemungkinan itu. Dia sendiri tidak faham. Adakah dia cemburu? Atau cuma risaukan Adwa?
Dia melompat turun dari katil lalu melangkah masuk ke dalam bilik air. Pantulan wajah pada cermin diperhati sebelum dia membuka pili air. Muka dibilas dengan air mengalir. Kemudian, dia melangkah keluar bersama sehelai tuala kecil. Muka yang basah itu dilap pada kain tuala itu.
Kaki mengatur langkah ke arah beranda rumah. Hanya bunyi cengkerik yang kedengaran di sebalik kegelapan malam itu. Suasana yang sepi dan sunyi menjadi tatapan kala mata tidak mahu terlelap.
"Sejuknya malam ni." Dia memeluk tubuh sambil memandang ke arah jalan raya. Ketika itu, dia seakan ternampak seseorang di dalam kereta. Dia tidak pasti siapakah identiti individu tersebut kerana keadaan cahaya yang suram, wajah orang yang duduk di dalam kereta itu kelihatan samar-samar serta tidak jelas.
Tiba-tiba, jantungnya berdetak hebat. Dia mula panik. Takkan orang tu dah mati kut? Laju-laju dia berlari masuk ke dalam bilik, lalu menyarungkan jaket tebalnya ke tubuh sebelum menuruni anak tangga menuju ke tingkat bawah.
Pintu rumah dibuka lalu dia berlari anak ke arah kereta yang terparkir tidak jauh dari pokok rambutan. Perlahan, Ayuni menghampiri kereta itu lalu dia mengetuk tingkapnya beberapa kali. Tiada pergerakan. Ayuni mula berdebar lagi. Kali ini, dia mengetuk sedikit kuat permukaan tingkap kereta itu.
Gerangan itu terkejut dari lenanya. Tubuh diregangkan sedikit lalu kepala ditoleh ke belakang. Alangkah terkejut kala irisnya menangkap seraut wajah gadis yang sangat dikenali di luar tingkap keretanya.
"En...Encik Arshad?!" Ayuni terkedu sejenak. Apa lelaki itu buat di sini?
Mampus aku! Arshad cepat-cepat mengawal reaksi muka lalu menurunkan tingkap kereta. Badan ditegakkan. Rambut yang serabai dirapikan dengan jemari.
"Awak...awak buat apa dekat sini?" Kelu lidah Ayuni. Dia tanya kita pulak?
"Saya...tadi...ambil angin dekat beranda. Lepas tu, saya ternampak ada orang dalam kereta. Saya ingatkan, dah mati. Kan baru-baru ni banyak kes orang meninggal masa tidur dalam kereta. Itu yang saya turun, nak tengok." Jawabnya dengan nada perlahan.
"Err...saya tertidur tadi. Penat." Jawab Arshad dengan jujur. Ayuni memandangnya tanpa berkelip.
"Oh...err, Encik Arshad tak nak masuk dulu?" Sepasang mata milik lelaki itu terbuntang luas mendengar pertanyaan Ayuni. Terus segar satu badan. Lenyap dibawa arus rasa penatnya tadi.
"Eh, takpelah. Sa...saya nak balik dah ni." Nasib masih waras. Hampir lupa tentang kewujudan Adwa di rumah yang pasti sedang menanti kepulangannya.
"Okay. Hati-hati memandu." Ayuni berundur sedikit dari kereta Arshad. Memberikan laluan kepada lelaki itu untuk memandu keluar.
"Awak masuklah dulu. Bahaya dekat luar ni." Ayuni lantas mengangguk sebelum berpatah balik ke rumah. Dia tidak masuk ke dalam, sebaliknya menunggu di depan pintu sehingga Arshad benar-benar beredar dari situ.
Arshad tersipu malu kala Ayuni melambaikan tangan ke arahnya. Rasa nak meletup jantung ni wei! Tanpa segan silu, dia membalas lambaian tangan itu. Terserlah barisan gigi putihnya buat tatapan Ayuni.
Selang beberapa minit, kereta Arshad meluncur pergi. Ayuni cepat-cepat masuk ke dalam rumah lalu menutup rapat daun pintu. Tapak tangan naik menekup wajah yang sudah merona merah. Malunya, Ya Allah! Kebas pipi kerana terlalu lama tersengih di luar tadi.
Dia terus melabuhkan duduk di atas sofa. Tak jadi nak tidur malam ini. Rasa macam ada sekumpulan rama-rama yang berterbangan di sekelilingnya. Suhu badan naik mendadak. Nafas menjadi tidak teratur. Bibir tidak berhenti menyungging senyuman lebar. Apa dah jadi pada dirinya?
"Arghhhhhh!!!" Stereng kereta dihentak kuat. Betapa bahagianya dia pada detik itu. Tanpa sedar, air matanya turut sama menitis membasahi pipi. 4 tahun dia menanti penerimaan Ayuni. Dan apa yang terjadi sebentar tadi, sedikit sebanyak menguatkan semangatnya untuk terus bertahan.
Arshad masuk ke dalam rumah sebelum memberi salam. Nita segera menghampirinya sebelum menghidangkan segelas air di atas meja. Arshad meneguk air itu dengan sekali tegukan. Nita hanya memerhati dalam diam. Apa kena dengan majikannya hari ini? Nampak lain. Nampak lebih bersemangat.
"Nita, awak boleh gerak dah. Maaf, saya terlambat hari ni. Ada hal tadi." Ujarnya kepada wanita itu. Nita mengangguk faham sebelum membawa bersama gelas kosong itu menuju ke dapur.
Tidak lama selepas itu, Nita meminta diri untuk pulang. Arshad naik ke tingkat atas lalu masuk ke dalam bilik air. Seusai membersihkan diri, dia melangkah ke arah katil Adwa. Punggung dihenyak di atas kerusi bersebelahan katil anaknya.
"Maaf, babah mungkir janji lagi. Babah tak sengaja. Babah tertidur dalam kereta tadi. Nasib baik ibu Adwa datang kejut tau. Adwa, Adwa nak tahu tak...tadi kan, ibu Adwa senyum dekat babah buat kali pertama. Babah happy sangat. Dia siap lambai dekat babah." Bisiknya ke telinga Adwa yang sedang lena diulit mimpi.
"Tapi, Adwa rasa, ibu nak ke dekat babah?" Nadanya mengendur sayu. Dia tidak mahu terlalu yakin. Nanti dia yang merana.
"Anak babah tidur ya. Esok babah balik awal. Kita baca buku cerita sama-sama." Sambungnya sambil membelai lembut rambut hitam milik si kecil itu.
"Yuni, bangun! Kamu cuti ke hari ni?" Azimah mengoncang perlahan bahu Ayuni.
"Eh, kenapa opah?" Mata kuyu yang masih mamai itu digosok. Wajah Azimah ditatap pelik.
"Yang kamu tidur dekat sofa ni kenapa?" Ayuni mengerutkan dahi. Bola mata meliar memerhati keadaan sekeliling sebelum dia menepuk dahi sendiri.
Dia terlena di atas sofa malam semalam. Buru-buru dia bangun dari sofa sebelum mendaki anak tangga ke tingkat atas. Azimah menggelengkan kepala melihat kecuaian cucunya.
Share this novel