"Ayuni dah tahu pasal Adwa." Arshad bersuara setelah lama menyepikan diri. Kata-kata itu tidak mendapat sebarang respons daripada Wahid, sebaliknya hanya mendapat anggukan kepala sahaja. Air di dalam bekas minuman yang dibelinya tadi disedut perlahan.
"Kau macam mana?" Wahid hanya mengangkat kedua belah bahunya.
"Kau, takde cari dia ke lepas tu?" Wahid melepaskan keluhan pendek sebelum berpaling ke arah Arshad. Bekas minuman diletakkan di tepi.
"Kau nak aku cari macam mana lagi? Cuba kau bagitahu! Aku dah cari merata Si Ayu tu. Dekat kampung dia pun aku dah ushar. Minah sewel tu takde dekat mana-mana." Helaian rambut yang terjuntai di dahi diselak kasar ke belakang. Kali ini, giliran Arshad pula menganggukkan kepalanya selepas mendengar jawapan daripada Wahid.
"Nak aku tolong ke?" Wahid menggeleng laju. Kembali menyedut air minumannya dengan rakus.
"Tak payah. Kalau ada rezeki, jumpalah nanti. Malas aku nak fikir pasal perempuan tu. Boleh bikin stres." Rungutnya sebelum membetulkan posisi duduk. Kedua belah kaki diangkat lalu diriba di atas kerusi rehat. Rasanya lebih selesa jika dia duduk seperti itu. Aksi perlawanan bola sepak antara dua kumpulan kanak-kanak di padang menjadi perhatiannya.
"Bila kau nak sunting Ayuni jadi bini kau? Dah lama Adwa idamkan keluarga yang sempurna." Arshad lantas tersenyum kecil.
"Lepas Adwa operate, insha Allah, aku akan melamar dia." Wahid kembali menyedut air minumannya tanpa sebarang reaksi.
Perbualan mereka terbantut kala nada dering Wahid menjerit kuat. Malas-malas, Wahid menggeser skrin sebelum melekapkan telefon bimbitnya ke telinga.
"Hah, apa dia? Tak payah! Kau isi borang tu je dulu. Malam karang aku masuk. Ya...Hah, okay-okay." Peranti itu dimasukkan semula ke dalam poket seluarnya.
"Siapa? Rita ke?" Arshad membuka penutup air minumannya sebelum meneguk sedikit air dari botol itu.
"Fida...budak baru tu. Haih, macam-macam hal." Arshad tersengih mengejek sebelum berdiri. Botol minuman yang sudah kosong itu dilempar masuk ke dalam tong sampah.
"Kau nak balik dah? Awal lagi ni..." Wahid mempamerkan reaksi kurang senang dengan sikap terburu-buru Arshad. Selalu nak pulang cepat.
"Aku nak balik office kejap. Kena settlekan kertas projek lama. Ada penambahan data baru. Aku gerak dulu. Assalammualaikum..." Wahid menggangguk walaupun masih bengang dengan sikap kawannya. Selepas Arshad beredar dari situ, Wahid pun memutuskan untuk pulang sebentar ke rumahnya dan berehat sebelum masuk semula ke klinik pada malam nanti.
"Ish, apa lagi yang abang nak ni? Tak faham bahasa ke?!" Amilah memasang telinga perbualan anak buahnya dari dapur. Tergeleng-geleng kepala orang tua mendengar segala macam ayat makian yang keluar daripada mulut Ayu. Selesai menghidangkan sarapan di atas meja, Amilah bergegas naik ke tingkat atas. Bahu Ayu yang sedang sibuk membelek telefon bimbitnya dicuit dari belakang.
"Apa mak ngah ni...terkejut orang tau." Marah Ayu. Telefon bimbitnya dimatikan lalu diletakkan di atas meja kopi.
"Apa yang bising sangat pagi-pagi ni? Rosak mood orang tau. Siapa yang kamu duk sembur-semburkan tu?" Ayu menarik muka masam kala diajukan soalan itu. Wajah bersahaja ibu saudaranya dijeling tajam.
"Siapa lagi, bekas suami Ayu tulah yang call." Jawabnya dengan sebal. Amilah pula terkekek geli hati dengan reaksi Ayu.
"Apa yang dia nak pagi-pagi ni? Dia nak rujuk semula ke dengan kamu?" Amilah cuba menggorek rahsia daripada Ayu. Spesies makcik-makcik bawang, begitulah.
"Rujuk apa? Dah lebih tempoh iddahlah mak ngah. Ayu dengan dia dah bercerai hampir 3 tahun. Mak ngah jangan nak buat-buat lupa ek..." Sekali lagi Amilah mengekek suka.
"Lah...ingatkan dia nak bersatu dengan kamu balik. Jadi, apa motif dia call kamu tadi? Nak cari pasal?" Ayu lantas menggelengkan kepala.
"Bukan. Dia nak minta maaf dengan Ayu. Dia nak jumpa Ayu. Katanya, dia dah dapat kifarah. Isteri baru dia banyak menyusahkan hidup dia. Siap suruh abang-abang dia belasah Razman lagi. Dia menyesal sebab dera Ayu dulu..." Jelas wanita itu sebelum melepaskan keluhan. Peristiwa lalu masih lagi segar dalam ingatannya.
"Hah, eloklah tu. Orang kata, isteri tu cerminan suami. Dia sendiri pun kaki pukul, baguslah dapat bini perangai macam tu. Bagai pinang dibelah dua." Kutuk Amilah dengan nada geram. Dulu, dia sangat menyukai Razman namun, selepas insiden Ayu dirogol dan didera sesuka hatinya, Amilah mula membenci jejaka itu.
Rasa kesal masih terbuku dalam hatinya walau Ayu sudah pun berpisah dengan Razman. Dulu, dia yang bersungguh-sungguh memujuk Ayu untuk mengahwini syaitan bertopengkan manusia itu gara-gara tertipu dengan lakonannya demi mendapatkan Ayu.
Selepas mereka bercerai, abangnya, Hashim meminta Amilah untuk menjaga Ayu di rumahnya. Bimbang Razman akan mencari dan mengganggu Ayu sekiranya dia tinggal bersamanya di kampung. Razman belum pernah datang ke kampung Amilah, jadi mustahil dia tahu kedudukan Ayu.
"Entahlah mak ngah. Ayu rasa kosong sangat. Entah kenapa tuhan uji Ayu macam ni... Sumpah Ayu tak kuat." Matanya mula merah. Kesal dengan perjalanan hidupnya yang tidak sebaik wanita lain.
"Tuhan dah tetapkan ujian masing-masing. Semuanya sebab nak bagi kita lebih kuat, lebih matang bila berhadapan masalah. Cuma, terkadang tu, ujian yang menimpa kita, memang nampak berat untuk ditempuh. Mak ngah faham keadaan kamu sekarang ni. Satu je mak ngah mampu pesan, jangan tinggal solat. Banyakkan berdoa dan meminta dariNya. Pasti satu hari nanti, kamu akan nampak hikmahnya." Ayu menyeka air matanya sebelum menganggukkan kepala. Apa saja dia boleh buat, selain menerima ketentuan ini walau terasa pahit untuk ditelan.
"Mana Adwa?" Soal Ayuni sebaik sahaja menjatuhkan punggungnya di atas kerusi. Suasana bising dari sekeliling tidak mengganggu perbualan mereka.
"Ada dekat rumah dengan Nita." Balas Arshad sebelum menghulurkan kad menu kepada Ayuni.
"Alah...kenapa tak bawak dia sekali?" Arshad tersenyum pahit dengan soalan Ayuni.
"Dia takkan selesa duduk dekat tempat-tempat macam ni." Jawabnya sebelum memberikan isyarat kepada pelayan lelaki yang berada di hadapan kaunter pembayaran.
"Takkan selesa? Kenapa?" Dahi Ayuni berkerut, menanti jawapan daripada Arshad.
Bersambung...
Share this novel