Arshad memberhentikan kereta betul-betul di hadapan pintu pagar rumah lamanya.
Terkulat-kulat dia mengerling ke sebelah, memandang sekilas wajah kelat Ayuni, sebelum menarik brek dengan tangan yang terketar-ketar.
Ayuni menanggalkan tali pinggang keledar sebelum membuka pintu kereta. Tidak betah berada berdua-duaan bersama Arshad.
"Saya minta maaf, kalau kata-kata saya tadi, buat awak rasa tak selesa. Bukan tujuan saya untuk mengayat mahupun menggoda awak. Apa yang saya ungkapkan tu, tulus daripada hati saya. Saya bukan Arshad yang dulu, dan tak akan menjadi Arshad yang itu lagi. Terima kasih belanja saya hari ni. Jaga diri. Assalammualaikum" Ayuni segera turun dari kereta lalu menghempas kuat pintu kereta sebelum meluru masuk ke dalam rumah. Sekalipun, dia tidak menoleh ke belakang.
Tali beg silang dilipat kepada beberapa bahagian lalu dijinjit serupa beg plastik. Waras akalnya sudah hilang entah ke mana gara-gara Arshad.
Dia berasa malu untuk bertentang mata dengan lelaki itu, lebih-lebih lagi selepas pengakuan yang dilakukannya sebentar tadi.
Jejak kaki menjadi tidak teratur. Terhuyung-hayang dia mengheret diri yang hampir hilang imbangan itu masuk ke dalam rumah. Tidak pernah lagi dia merasa selemah itu sebelum ini. Habis merah satu muka seperti baru lepas tergigit cili api. Kedua belah tapak tangan berkeringat. Belum lagi ketiak yang sudah lencun seakan disimbah dengan air bomba.
Azimah yang baru melabuhkan punggung di atas sofa memandang pelik tingkah Ayuni yang tergesa-gesa mendaki anak tangga tanpa memberi salam.
Apa kena dengan cucunya ini? Mereka bergaduh ke? Azimah bingkas berdiri lalu keluar ke halaman rumah. Kereta Arshad tidak lagi kelihatan di luar. Bertambah kerutan pada dahi Azimah. Dia menutup rapat daun pintu utama sebelum mengatur langkah menuju ke bilik Ayuni.
"Ya Allah! Malunya! Arghh!" Ayuni terus menekup kuat bantal empuknya ke wajah. Isi kekabu yang lembut itu digigit sehingga basah dengan air liurnya. Kedua belah pipi jelas merona merah. Rasa seperti ada sekumpulan rama-rama berterbangan di dalam perut.
Tok! Tok! Tok! Ayuni tersentak kala pintu biliknya diketuk bertalu-talu dari luar. Bantal yang ditekup pada wajah dibawa turun. Pandangan dialihkan ke arah pintu.
"Ayuni? Ayuni ada masalah ke?" Soal Azimah sambil berdiri di depan pintu bilik. Setia menanti jawapan daripada Ayuni dengan cuak.
"Ayuni...Yuni okay je opah. Cuma penat sikit. Nak berehat." Dalihnya. Mana mungkin dia menjelaskan perkara ini kepada Azimah. Mustahil neneknya akan mengerti. Nanti, tak pasal-pasal pulak dihantar ruqyah ke Ustaz Jafar.
Namun, dia tetap rasa bersalah kerana berbohong kepada Azimah. Cuma, buat masa ini, dia memerlukan sedikit masa untuk mengatur kembali rentak degupan jantungnya yang kian menggila tanpa arah tuju itu.
Entah mengapa, ungkapan yang keluar daripada mulut Arshad masih jelas terngiang-ngiang dalam pendengarannya seperti pita rakaman.
"Oh...yelah. Opah turun dulu ya. Jangan lupa solat Maghrib." Pesan Azimah dengan perlahan sebelum berlalu pergi. Walaupun, masih terselit rasa curiga dalam hati tuanya, namun dia pendamkan dahulu. Dia percaya, Ayuni akan menjelaskannya setelah dia betul-betul bersedia nanti.
Ayuni naik ke atas katil sambil memeluk erat bantal di dada. Nafasnya turun naik. Kedua belah tapak tangan menepuk kuat permukaan tilam tanpa henti. Rentak degupan jantungnya masih lagi laju. Bahang pada seluruh tubuh kian terasa. Bilik tidur yang berpenghawa dingin itu, tidak cukup kuat untuk menurunkan suhu badannya yang masih lagi panas.
Tanpa sedar, bibirnya mengoyak senyuman lebar. Tangan lantas dibawa ke dada kiri, lalu ditepuk lembut.
"Shuush, tolong jangan berdegup kuat sangat." Bisiknya sambil tertawa kecil. Rasanya, dia memang benar-benar sudah jatuh cinta buat kali pertama dalam hidupnya. Dan, rasa ini, betul-betul mengkhayalkan jiwanya yang sebelum ini terasa kosong.
Sementara itu...
Kita bikin romantis~
Bikin paling romantis~
Sambil bermain mata~
Turun ke hati~
Hatinya jatuh~
Tzzk! Rasa seperti terkena renjatan elektrik kala jelingan tajam Wahid jatuh ke wajahnya. Lagu yang sedang bermain di radio kafe itu tidak lagi kedengaran menarik bagi Arshad.
Terus dia menjatuhkan kepala, menekur hujung jemari yang sibuk bermain sesama sendiri di atas ribanya. Nafas dihela sambil mengumpul keberanian yang sekejap-sekejap hilang. Takut-takut, dia membuka mulut.
"Aku rasa, dia takkan jumpa aku dah lepas ni Wahid." Ujarnya dengan sayu. Dia yakin, selepas ini Ayuni akan menjauhkan diri daripadanya. Dan, dia berasa kesal kerana terburu-buru membuat pengakuan. Dia gagal mengawal perasaannya ketika itu. Kalaulah waktu boleh diputar semula, pasti dia akan olah isi ayatnya sedikit agar kedengaran lebih formal dan tidak terlalu beremosi. Pasti, Ayuni berasa tidak selesa kerananya.
"Kecik besar, kecik besar je aku tengok muka kau sekarang ni tahu tak! Jangan naikkan darah aku! Kau diam! Kau diam!" Bentak Wahid sambil menuding jarinya betul-betul di hadapan wajah ketat Arshad. Pandangan beberapa pelanggan berhampiran meja mereka tidak dia hiraukan.
"Macam mana ni Wahid?" Rengek Arshad tanpa sedar. Rasa terdesak untuk membaikpulih keadaan seperti sedia kala. Namun, dia sedar, terlajak kata, tidak boleh diundur lagi. Sama ada dia mahu atau tidak, dia perlu terima akibatnya selepas ini.
"Siapa suruh kau confessed beria macam tu dekat dia?! Perasan diri tu Mat Romeo ke apa? Minah tu baru je nak feeling-feeling dekat kau, tapi engkau dah musnahkan segalanya. Everything! Ibarat, pinggan belum dicuci lagi, tapi kau dah lap guna kain bersih. Macam tulah cerita kau sekarang ni!" Marah Wahid. Sudah berkali-kali dia pesan kepada Arshad, supaya jaga tutur katanya sewaktu berada bersama Ayuni. Namun, lelaki itu tetap ingkar arahannya.
"Jadi, apa yang patut aku buat sekarang ni?" Arshad buntu dengan keadaan ini. Dia memandang wajah Wahid dengan penuh harapan. Lantas, lelaki itu menarik nafas dalam, sebelum mencerlung tajam ke arah Arshad.
"Jangan buat apa-apa. Jangan text dia, jangan ganggu dia for a while. Biar dia tenang dulu. Makin kau ganggu Ayuni, makin geli geleman perempuan tu dengan engkau nanti!" Semburnya tanpa mengendahkan wajah kelat milik Arshad. Tidak puas hatilah tu!
"Aduh, no contact lagi? Kali ni, berapa hari pulak aku kena senyap dari contact dia?" Soalnya dengan sebal.
"Sampai aku kata boleh! Faham?" Kening dijongketkan ke atas. Tajam sepasang matanya menyoroti wajah tanpa riak milik Arshad.
"Hmm, senyap je." Bisik Ayuni sambil membelek telefon bimbitnya. Sudah 2 hari Arshad tidak menghantar apa-apa pesanan. Lelaki itu hilang tanpa khabar. Hari-harinya rasa serba tidak lengkap kerana hal itu. Tanpa sedar, mulutnya melepaskan keluhan.
Jayden dan Dania hanya memerhati dalam diam. Tangan masing-masing sibuk mengelap tingkap kafe. Ayuni menutup ruang kaunter sebelum bergerak ke belakang. Tiada senyuman yang menghiasi wajahnya.
"Kau okay tak ni? Asyik duk belek telefon tu...ada masalah ke?" Soal Dania. Jayden sekadar memasang telinga sambil meneruskan tugasnya.
"Takde apa. Saya okay je." Jawab Ayuni tanpa nada. Bibir mengukir senyuman tipis. Apron yang tersarung pada tubuh ditanggalkan lalu digantung di tempat biasa.
"Encik Arshad kau tu, tak call kau ek?" Teka Dania. Ayuni tergamam seketika sebelum menganggukkan kepala.
"Dah 2 hari. Dia sibuk kut." Katanya sebelum mencapai beg galas dari loker. Matanya sudah berkaca. Dia rindukan Arshad. Kenapa lelaki itu tiba-tiba menjauhkan diri daripadanya? Bukankah hari itu, dia siap mengaku bahawa hanya Ayuni cinta hatinya?
Bersambung...
Share this novel