Tengah hari itu, Arshad memutuskan untuk pulang awal ke rumah kerana sakit kepala. Badannya juga terasa panas.
Azimah menyambut huluran beg pejabat yang sering dibawa Arshad ke syarikat sebelum meletakkannya di atas sofa.
"Nenek siapkan makan dulu ya. Nasib baik nenek masak tengah hari ni. Ingatkan Arshad tak balik macam selalu." Seusai berkata, Azimah bergegas ke ruangan dapur sebelum menghidangkan lauk pauk yang masih panas itu di atas meja makan untuk santapan Arshad.
Lelaki itu terus melabuhkan punggung di salah sebuah kerusi meja makan. Matanya meliar mencari sesuatu. Azimah yang perasan hanya tersenyum tipis.
"Ayuni ada kat bilik." Arshad memanggut faham sebelum menyuapkan nasi yang sudah siap digaulkan bersama sedikit kuah kari ke dalam mulutnya. Lepas makan, dia ingin naik ke bilik dan berehat.
"Pagi tadi, ada kawan Arshad datang. Dia tanya pasal Arshad." Kunyahan Arshad terhenti. Dia menghalakan pandangan ke arah Azimah, yang tekun berdiri di tepi meja makan.
"Yang mana?" Soalnya sebelum meneruskan kunyahan. Dia terlalu lapar. Entah mengapa, hari ini, seleranya lain macam sikit. Tiba-tiba sahaja teringin untuk merasa sambal belacan. Padahal, dia sangat anti dengan makanan yang satu itu kerana tidak tahan dengan baunya yang menyengat hidung.
"Err, yang tinggi-tinggi tu. Rambut perang sikit." Jelas Azimah. Dia tidak kenal dengan rakan-rakan Arshad apatah lagi nama-nama mereka.
"Nenek ada buat sambal belacan?" Azimah tergamam seketika sebelum berlalu ke dapur basah. Mungkin dia ada sisakan sedikit sambal belacan dalam peti ais.
"Nah. Nenek dah panaskan." Berkerut dahinya saat melihat gaya Arshad yang sepertinya begitu khusyuk menikmati sambal belacan.
Sebelum ini, lelaki itu tidak berapa suka dengan masakan kampung, lagi-lagi sambal belacan. Busuk katanya. Tapi sekarang, dia boleh habiskan separuh daripada sambal belacan itu dengan begitu cepat.
"Malam nanti nenek nak masak apa?" Azimah melongo mendengar soalan itu. Perangai anak majikannya pada hari ini, nampak lain sekali.
"Err, nenek tak tahu lagi." Azimah menatap lama wajah Arshad. Tidak pernah lagi, sepanjang dia bekerja sebagai orang gaji di rumah Mukhriz, dia diajukan dengan soalan seperti itu oleh Arshad.
"Kalau macam tu, untuk makan malam, nenek goreng je ikan, pastu buat sambal belacan. Kalau ada ulam lagi bagus. Sambal belacan, buat banyak ni..." Sempat dia menunjukkan takat mana dia ingin mangkuk kecil itu diisi dengan sambal belacan. Azimah mengangguk dalam kehairanan. Buang tabiat ke apa budak ni...
"Saya masuk bilik dulu." Belum sempat Arshad menjejakkan kaki ke anak tangga yang pertama, namanya dipanggil oleh Azimah.
"Boleh nenek cakap sikit dengan Arshad?" Arshad pandang hairan wajah sayu Azimah.
"Nak cakap pasal apa?" Arshad terpaksa membantutkan hasratnya untuk berehat seketika. Dia menghampiri Azimah yang sedang tertunduk.
"Nek...nak cakap apa? Barang kat dapur nak habis ke?" Soalnya lagi.
"Tak...bukan pasal tu..." Azimah terdiam, sebelum menyambung kembali ayatnya.
"Pasal, Ayuni." Bertambah kerutan di dahi Arshad selepas mendengar nama Ayuni.
"Kenapa dengan dia? Dia tak sihat?"
"Dia...dia okay. Takde sakit. Cuma, nenek nak tahu, apa langkah Arshad lepas ni?" Azimah menyoal takut-takut.
"Langkah? Tak, saya tak faham. Cuba nenek cakap terus terang je. Saya nak cepat ni..." Gesa Arshad.
"Ayuni masih muda. Dalam keadaan dia macam tu, lelaki mana je nak dekat dia nanti. Dia dah tak..." Azimah mengeluh kecil. Hatinya sedih memikirkan nasib cucunya selepas ini.
"Jadi?"
"Nenek...kalau boleh, nenek nak mintak tolong dengan Arshad. Jagakan Ayuni..."
"Kan saya tengah jaga dia sekarang ni. Makan minum, tempat tinggal pun saya dah sediakan untuk dia dengan nenek." Arshad mencelah.
"Jaga dia, sebagai seorang suami." Azimah terus menutup mulutnya apabila dicerlung tajam oleh Arshad.
"Maksud nenek?" Suara Arshad mulai mengeras.
"Nenek...nenek nak Arshad bertanggungjawab ke atas apa yang dah berlaku."
"Nenek ni gila ke? Nak saya bertanggungjawab bagai! Saya boleh bagi ganti rugilah. Sebut je berapa harga cucu nenek, saya boleh bayar!" Azimah terkedu mendengar jawapan Arshad. Langsung menitik air matanya.
"Cu, perjalanan hidup seorang lelaki dan seorang perempuan tu tak sama... Orang lelaki, kalau dah pernah terlanjur, hidup mereka tetap boleh diteruskan, tapi bagi seorang perempuan, susah. Tak akan ada lelaki lain yang sanggup terima perempuan yang dah hilang kesucian sebagai isteri." Azimah mulai teresak di hadapan Arshad. Semoga sahaja, lelaki itu berlembut hati ingin menerima cucunya sebagai isteri. Itu sahaja satu-satunya cara yang ada buat masa sekarang.
"Nek...macam nilah. Saya, nak jaga diri saya sendiri pun tak pandai. Apatah lagi nak jaga anak orang. Solat saya apatah lagi. Maaf, saya tak boleh kahwin dengan cucu nenek. Kalau nenek nak saya bertanggungjawab dari segi kewangan ke apa, saya boleh tolong. Tapi, yang ni, sorry, saya tak boleh." Arshad terus naik ke tingkat atas, meninggalkan Azimah melayan tangisannya.
"Takpe opah. Ayuni boleh jaga diri sendiri. Opah janganlah sedih macam ni..." Pujuknya dengan lembut. Tapi, sejujurnya, dia sendiri sedang gelisah memikirkan masa depannya nanti. Adakah lelaki yang sudi menerimanya selepas ini?
"Kita tinggal dulu dekat sini sampai duit tabungan kita cukup. Lepastu, opah janji, kita pergi jauh-jauh dari sini ya, cu..." Mereka berpelukan seketika. Ayuni berasa sedikit tenang dengan kehadiran Azimah di sisinya. Neneknya itu sentiasa ada di saat-saat dia memerlukan seseorang.
"Tapi, Yuni takut." Ayuni bernada lirih. Wajah mendung Azimah ditatap sayu.
"Takut kenapa? Opah kan ada..." Dia mengosok lembut belakang bahu Ayuni.
"Kalau Ayuni mengandung macam mana?" Azimah terkelu tanpa kata. Dia terdiam. Kemungkinan untuk perkara itu berlaku, adalah tinggi. Tapi, Azimah berharap, Ayuni tidak akan hamil.
"Takde...Yuni takkan hamil. Yuni rehat dulu ye. Opah nak ke dapur sekejap. Siapkan makan malam." Usai berpesan, Azimah melangkah keluar dari bilik dengan hati yang sesak. Dia juga takut memikirkan keadaan Ayuni sekiranya cucunya benar-benar hamil nanti. Mahukah Arshad menanggung anak itu?
"Ikan goreng ada kat bawah tudung saji tu. Kejap nenek hidangkan." Azimah mengangkat tudung saji yang menutupi pinggan yang berisi beberapa ketulan ikan goreng. Salah satunya dihidangkan terus di atas pinggan Arshad.
"Nampak sedap." Puji Arshad sebelum meneruskan suapannya. Azimah hanya memerhati Arshad yang begitu berselera meratah sebahagian daripada isi ikan goreng itu.
Lahap sekali dia menyuapkan makanan ke dalam mulut. Azimah bertambah pelik. Macam mana Arshad boleh minat dengan masakan kampung seperti ini?
"Sakitnya kepala aku. Kenapa sakit sangat ni..." Arshad lantas mengangkat tubuhnya lalu bersandar pada kepala katil. Kepala yang sedang berdenyut itu diurut perlahan.
Namun, perbuatannya sedikitpun tidak melegakan apatah lagi mengurangkan kesakitan itu. Ubat sakit kepala sudah dia telan beberapa minit yang lepas sebelum dia merebahkan tubuhnya di atas katil.
Dia mendongak sekilas mencari keberadaan jam dinding sebelum melepaskan satu keluhan yang panjang.
"Dah 1 pagi. And still tak boleh nak lelapkan mata!" Getusnya sambil menekan-nekan kawasan dahinya dengan kuat. Belum pernah lagi dia diserang sakit kepala yang seteruk ini.
Arshad membuka laci meja berhampiran katilnya, sebelum membawa keluar sebotol minyak angin yang bersaiz kecil. Penutupnya terus dibuka sebelum dia menuangkan sedikit minyak ke atas jari telunjuknya. Kawasan dahi dioleskan dengan minyak berkenaan dengan harapan sakitnya akan sedikit berkurang.
Terasa lega sedikit saat haruman daripada minyak angin itu menyerbu rongga hidungnya. Selang beberapa minit, Arshad terlelap dengan sendiri.
Share this novel