"Awak alergik udang ke?" Ayuni menghentikan kunyahannya sebelum menggelengkan kepala. Arshad lantas mengerutkan dahi. Sabar menanti jawapan daripada gadis itu.
"Sebenarnya, saya malas nak kopek kulit udang. Selalunya kalau pergi kedai makan, saya tak akan order udang ataupun ketam. Leceh nak kena kopek lepastu lambat nak makan. Kalau dekat rumah, opah akan buang kulit tu siap-siap, baru dia masak." Jelasnya sebelum tersenyum hambar. Sementara Arshad pula sudah terkedu di tempat duduknya. Jenuhlah kalau gini...
"Lah, saya ingatkan awak alergik dengan udang. Kenapa tak cakap je tadi, boleh saya tolong kupaskan. Jap..." Arshad terus mengambil tiga ekor udang dari pinggan hidangan sebelum menggupas kulit udang-udang itu satu persatu dengan menggunakan sudu dan garfu.
"Wah, boleh jugak ya kupas kulit udang guna sudu dan garfu?" Ujar Ayuni dengan teruja. Cekap sekali tangan Arshad bekerja. Nak ambil hati sang kekasih katakan. Apa pun boleh buat! Impossible jadi possible. Itulah kuasa cinta.
"Nah. Kalau nak tambah lagi, just let me know. Saya tolong kupaskan." Udang-udang yang siap terkupas itu diletakkan di atas pinggan Ayuni. Gadis itu tersenyum lebar. Terharu dengan pertolongan Arshad.
"Terima kasih Encik Arshad." Ucapnya sebelum menyambung makan. Sesekali mata bundarnya mencuri pandang Arshad yang leka memerhatikannya sejak tadi.
"Sedap ke?" Soal Arshad sambil mengunyah isi udang. Lantas Ayuni mengangguk, mengiyakan pertanyaannya.
"Sedap. Manis isi udang ni." Arshad tersenyum puas sebelum meneruskan suapan.
"Nah..." Ayuni tercengang tatkala Arshad menyuakan isi udang yang sudah siap dikupas ke arah mulutnya. Terkelip-kelip Ayuni memandang wajah Arshad dan udang itu silih ganti. Lambat-lambat, dia membuka mulut lalu menggigit isi udang itu sebelum mengunyahnya dengan perlahan. Arshad tersenyum lega. Nasib dia terima, kalau tak, malu orang tengok.
"Nak rasa ais krim saya?" Mereka juga sempat memesan pemanis mulut setelah selesai makan tadi. Ayuni memilih ais krim berperisa coklat dan matcha sementara Arshad pula memesan kek pisang. Dia kurang gemar makanan yang manis-manis.
Ayuni lantas menyuakan sudunya ke mulut Arshad. "Rasalah, sedap tau ais krim ni..." Tidak sampai hati hendak menolak, Arshad mengangguk perlahan sebelum menerima suapan itu. Not bad, gabungan perisa coklat dan matcha membuatkan ais krim itu tidak terlalu manis atau memuakkan.
"Mmm, sedap." Ujar Arshad. Ayuni mengangguk mengiyakan pendapatnya.
"Tapi, kurang manis. Saya suka yang manis." Satu lagi suapan disuakan kepada Arshad dan lelaki itu menerimanya dengan baik.
"Kalau nak manis, tatap wajah saya sambil makan ais krim tu. Saya gerenti, ais krim tu akan rasa manis nanti." Selorohnya sebelum tertawa kecil. Ayuni cepat-cepat menyembunyikan senyumannya. Buat-buat tidak dengar kata-kata Arshad itu tadi. Tapi, kedua belah pipinya sudah merona merah. Begitu juga dengan Arshad. Bulu di sekitar tengkuknya meremang. Sudah lama dia tidak mengayat mana-mana perempuan. Rasa canggung pula tiba-tiba.
Sekitar jam 2 petang, mereka bergerak pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan, Ayuni termenung sambil merenung jalan raya di hadapan. Wajahnya muram tanpa senyuman. Seperti ada sesuatu yang sedang menganggu fikirannya.
"Awak okay ke? Kenapa termenung je ni?" Soal Arshad sambil mengawal stereng kereta.
"Takde apa." Balas Ayuni dengan dingin.
"Kenapa ni? Cuba cakap, mana tahu saya boleh tolong..." Pujuk Arshad dengan lembut. Sekaligus, meredakan kemarahan Ayuni. Dia menoleh sekilas ke arah Arshad.
Sebenarnya, dia merajuk kerana sebaik sahaja mereka siap makan, Arshad memutuskan untuk terus menghantar Ayuni pulang ke rumah. Ikutkan, dia belum puas lagi meluangkan masa bersama lelaki itu.
Walaupun dia berada bersama Arshad sejak pagi, namun Ayuni tetap merasa sedih kerana perlu berpisah dalam waktu yang singkat ini. Entah bila lagi dia dapat keluar bersama Arshad. Rasanya, Arshad pasti akan sibuk kerana sewaktu makan tadi, dia ada menceritakan tentang projek terbaharunya.
"Sayang?..." Lamunan Ayuni terhenti serta merta. Perlahan kepala menoleh ke sebelah, sebelum dia menyinggung senyuman palsu. Arshad sedar Ayuni sedang merajuk.
"Okaylah, kalau awak tak nak share. Lepas ni, mungkin kita akan jarang berjumpa macam sekarang. I will be very busy with the upcoming project." Jelas Arshad. Ayuni hanya menganggukkan kepala tanpa menjawab. Rasa nak menghamburkan tangisannya di situ. Mengapa susah sangat nak bagi Arshad faham, bahawa Ayuni tidak boleh berjauhan daripadanya.
"Just a nod? No bye-bye or a kiss?" Uji Arshad sebelum tersenyum tipis. Ayuni langsung menarik wajah sebelum mengalihkan pandangan ke luar tingkap. Geram dengan sikap Arshad.
Arshad terkekek geli hati sebelum meneruskan pemanduannya. Masing-masing berdiam diri. Hanya Arshad sesekali mengerling Ayuni di sebelah. Hampir 40 minit perjalanan, dan kereta Arshad masuk ke dalam satu kawasan asing. Ayuni lantas menegakkan tubuhnya sambil melihat keadaan di tempat itu. Dia tidak pernah menggunakan jalan ini.
"Encik Arshad, kita nak ke mana? Saya rasa, ini bukan jalan ke rumah." Dia mula cuak. Arshad kekal membisu. Namun, riak wajahnya masih tenang. Ayuni menjadi tidak senang duduk.
"Eh, waterfall?!" Terjerit kecil kala melihat papan tanda di tepi jalan. Arshad tersenyum sebelum menganggukkan kepala.
"Yes, tadi merajuk sebab balik awal kan? Kita lepak sini dulu. Petang nanti kita balik. But strictly no mandi. Kita tak bawak pakaian. Terseksa pulak saya kena tengok pemandangan yang menggugat iman." Ayuni menampar manja lengan Arshad. Geram, tapi suka dengan kejutan lelaki itu. Ini kali pertama dia datang ke sini.
"Cantiknya..." Ujarnya dengan gembira. Arshad mengangguk, mengiya pendapat sang kekasih hati. Pemandangan di situ memang indah dan tenang. Tidak ramai pengunjung, jadi bolehlah mereka berehat sebentar di situ.
"Ingat ya, jangan kasi air kena pakaian awak." Ulangnya lagi sebelum mereka melabuhkan punggung di atas batu sungai. Ayuni terpaksa duduk bersila, agar kainnya tidak basah. Mereka tidak membawa pakaian ganti. Oleh itu, dia terpaksa menyimpan keinginannya untuk bermain air di situ.
"Nanti, saya nak bina air terjun mini dekat belakang rumah." Kata Arshad tiba-tiba. Ayuni memandang hairan wajah tenang milik lelaki itu.
"Air terjun mini? Untuk apa?" Tanya Ayuni, dengan polos.
"So, you can see it everyday after our marriage." DUP! Rasa nak tercabut keluar jantungnya ketika itu. Pantas, kepala ditoleh ke arah lain. Menyembunyikan wajah yang sudah merah seperti tomato ranum. Ikutkan hati, rasa seperti nak menjerit saja di situ.
Arshad masih kekal merenung Ayuni dari tepi. Dia tahu wanita itu sedang menahan malu. Hati kian berancak gembira kala melihat penerimaan positif daripada Ayuni. Jadi, tidak sukarlah dia mahu mengajaknya untuk bernikah nanti.
Ayuni tidak berganjak walau sedikitpun sejak tadi. Hanya mulutnya sahaja menyahut segala pertanyaan Arshad. Terasa nak membenamkan dirinya di dasar air terjun.
Sekitar jam 6 petang mereka tiba di rumah. Setelah meminta diri, Ayuni menghayunkan langkah laju-laju, supaya dapat cepat masuk ke dalam rumah.
Bersambung...
Share this novel