Bab 26: Tidak Mahu

Short Story Series 116383

Melihat Ayuni yang meluru masuk ke dalam bilik tanpa menghiraukan panggilan Arshad, membuatkan Azimah yakin bahawa ada sesuatu yang tidak kena antara mereka.

Pinggan yang barusan dicuci itu terus diletakkan di dalam singki. Tangan yang masih basah itu dilap pada hujung kain bajunya.

Azimah lekas menghampiri Arshad sebelum menghalang lelaki itu daripada terus mengejar Ayuni. "Kenapa ni Arshad? Ada apa-apa masalah ke?" Soal Azimah dengan risau. Dahinya berkerut tika menunggu jawapan lanjut daripada Arshad.

"Dia mengandung..." Balas lelaki tersebut. Rambut yang sedia kusut itu diraupnya dengan kasar. Fikirannya bertambah serabut.

Azimah tidak lagi membuka mulut. Dia mengerling sekilas ke arah pintu bilik Ayuni yang sudah tertutup rapat. Keluhan nipis lolos dari bibirnya.

Dia menepuk lembut bahu Arshad sebelum berlalu pergi ke dapur. Ada kerja yang perlu dia selesaikan. Namun, fikirannya masih lagi dikuasai tentang nasib Ayuni selepas ini. Apa yang bakal terjadi kepada cucunya?

Bukan dia tidak risau, tapi semuanya telah pun terjadi. Apa sahaja yang mampu dia lakukan sebagai seorang manusia selain dari berdoa dan meminta petunjuk daripada Yang Maha Esa.

Azimah terpaksa akur dengan ketentuan ini, walau ianya pahit untuk ditelan. Kata-kata nista yang bakal dilemparkan ke atas Ayuni, mula berlegar dalam fikirannya.

Semoga dia dan Ayuni, dapat keluar dari belenggu ini dengan segera. Dan, moga-moga sahaja Arshad tidak akan menghalau mereka keluar sekarang. Mereka masih kesempitan wang dan agak sukar untuk mencari rumah mahupun bilik sewa pada waktu-waktu begini.

Arshad masuk semula ke dalam keretanya. Pintu kereta dihempas kuat, menzahirkan rasa yang terbuku di hati. Ketika itu, semua perkara kelihatan menjengkelkan pada Arshad, termasuklah pintu keretanya.

"Bodoh! Bodoh! Bodoh!" Tempiknya sambil mengetuk kuat stereng kereta. Dia tidak mampu mengawal amarahnya lagi. Selang beberapa ketika, dia menyandarkan kepala pada penyandar di belakang.

Emosinya benar-benar terganggu. Ditambah pula dengan rasa lapar yang membuak-buak. Dia memejamkan matanya, sambil menarik nafas dalam-dalam. Cuba menenangkan fikiran sekaligus meredakan kemarahan yang bertapak di hati sejak tadi.

Lantas, dia teringat akan satu perkara. Dia perlu memaklumkan kepada Hana bahawa dia tidak akan masuk ke pejabat selepas ini. Perlahan, dia membuka kedua kelopak matanya, sebelum mencari keberadaan telefon bimbit.

Sedang tangannya meraba poket seluar, matanya terlekat pada sebuah buku berwarna merah jambu yang berada di atas kerusi penumpang, di sebelah. Lantas, dia mencapai buku itu sebelum membaca butiran yang tertulis di helaian hadapannya.

Di situ tertera nama Ayuni dan tempoh kandungannya. Ini merupakan kali pertama Ayuni melakukan pemeriksaan kandungan, jadi tarikh hari berkenaan turut tercatat di salah sebuah kolum yang paling atas. Arshad meneliti satu persatu isinya sebelum membelek buku berkenaan ke muka surat yang pertama.

"Eh..." Sehelai kertas berukuran sederhana terselit di antara muka surat pertama dan kedua buku tersebut. Langsung iris Arshad bergetar. Tubir matanya terasa panas. Wajahnya membahang. Arshad menarik keluar helaian itu dengan debaran.

"Anak aku ke ni?" Tanpa sedar, mulutnya berkata. Ibu jarinya mengusap lembut gambar ultrasound itu bersama genangan air mata. Dia mula tenggelam dalam emosinya sebelum dikejutkan oleh bunyi deringan dari telefon bimbit.

Arshad merengus geram sebelum menyelitkan semula gambar itu pada helaian yang sama. Buku itu diletakkan kembali di tempat asal. Hujung bibirnya naik sedikit. Entah mengapa, dia berasa sedikit tenang setelah melihat gambar itu.

"Ada apa Hana?" Dia melekapkan telefon bimbitnya ke telinga.

"Saya cuti sampai lusa. Saya kurang sihat. Berhubung projek dekat Pangkor tu, saya akan suruh Cheng gantikan saya...Okay, okay. Alright." Peranti itu lantas dimasukkan ke dalam poket seluar. Kini, ada perkara lain yang perlu dia uruskan.

Dia menekan pedal minyaknya sebelum memecut membelah jalan raya yang mulai sibuk. Arshad sudah membuat keputusan. Dan untuk menyakinkan dia tentang keputusan itu, dia perlu bertemu dengan seseorang. Namun, adakah dia menemui orang yang tepat? Arshad mula diserang rasa gerun saat memikirkan seraut gerangan itu. Gulp...

"Opah..." Ayuni terus menarik tubuh Azimah ke dalam pelukan. Seperti Arshad, emosinya juga terganggu selepas mendapat tahu berita itu.

Dia belum bersedia untuk memikul beban besar seperti ini di usia yang masih muda. Lagi-lagi, terpaksa membesarkan benih daripada lelaki yang terang-terang sudah merosakkan masa depannya. Dia teresak dalam dakapan Azimah.

"Sabar Yuni...Opah faham apa yang kamu rasakan sekarang. Maafkan opah, opah gagal lindungi kamu." Hanya itu yang mampu Azimah ucapkan.

Sejujurnya, dia juga mati akal. Satu-satunya cara yang ada ialah, menggugurkan kandungan. Namun, Azimah tidak sampai hati untuk melakukan dosa itu.

Kandungan Ayuni tidak bersalah. Walaupun Arshad berubah fikiran dan bersetuju untuk menerima Ayuni sebagai pasangan hidupnya sekarang, tapi bayi yang bakal dilahirkan itu, masih tidak akan dapat berbinkan nama Arshad. Azimah buntu. Apa lagi jalan keluar yang ada buat masa ini?

"Opah, Yuni taknak anak ni...Yuni taknak!" Jemari Azimah digenggam erat. Azimah terdiam seribu bahasa. Sungguh besar rasanya ujian yang menimpanya pada kali ini.

"Anak tu tak bersalah cu...Opah tak sampai hati nak...nak bunuh dia." Ayuni mendongak memandang wajah Azimah. Dia menggeleng kesal.

"Opah...Ayuni dirogol! Ayuni kena rogol opah! Mana mungkin Ayuni nak lahirkan anak ni...Apa akan jadi dengan masa depan Yuni, masa depan anak ni nanti? Opah tahukan, dia taknak bertanggungjawab. Ini je satu-satunya cara yang ada. Ayuni taknak anak ni opah...tolong Yuni opah...Yuni taknak..." Rayuan itu semakin membawa Azimah ke jalan mati. Lidahnya kelu tika Ayuni menatap tepat ke anak matanya, menanti jawapan, dengan penuh harapan.

Kereta diparkir di bawah sebuah pohon yang rendang, sebelum Arshad melangkah keluar.

Jejak kaki diatur ke arah sebuah klinik kesihatan yang tersergam gah di tengah kota. Debaran kian menghimpit dada saat irisnya mengesan kehadiran seseorang di dalam klinik. Dia kenal gerangan itu. Dan, gerangan itulah yang dia hendak berjumpa.

"Nanti, kamu inform je dekat Doktor Natrah. She will be here in ..." Urat lidahnya terasa kebas saat dia ternampak Arshad di luar perkarangan klinik.

Wahid segera memalingkan wajah saat Arshad melambaikan tangan ke arahnya. Apa Si Sewel tu buat kat sini? Aduh, dengan aku takde mood, malaslah nak layan ragam dia!

Tanpa menghabiskan ayat tadi, Wahid bergegas masuk ke dalam biliknya, meninggalkan Rita dan seorang lagi jururawat dalam keadaan terpinga-pinga.

"Aik, apa kena dengan doktor tu?" Soal Wani dengan aneh.

"Entah. Pelik-pelik je manusia sekarang. Kalau ya pun, habiskanlah ayat tu dulu. Boleh pula dibiarkan tergantung macam ni..." Rungut Rita sedikit geram. Sekarang ni, mereka tidak tahu mahu lakukan apa sekiranya Doktor Natrah datang ke klinik sebentar lagi. Arahan yang diberi pun separuh jalan sahaja!

"Saya nak berjumpa dengan Doktor Wahid." Serta merta kepala mereka berdua berpaling ke arah pemilik suara itu.

Rita jelas agak terkejut dengan kehadiran Arshad di klinik Wahid, sementara Wani pula mengimbas penampilan lelaki itu atas bawah. Not bad, cuma nampak angkuh sikit.

"Eh...tunggu!" Belum sempat cuci mata, dia terpaksa mengejar Arshad yang sudah melangkah pantas ke hadapan, menuju ke bilik Wahid tanpa kebenaran.

Pasti dia akan dimarahi oleh Wahid kerana membiarkan orang luar sesuka hati menceroboh masuk ke dalam biliknya. Wani menggigil ketakutan saat Arshad dengan selambanya masuk ke dalam bilik majikannya tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu.

Wahid mendongak saat pintu biliknya dirempuh oleh seseorang dari luar. Dia tahu siapakah gerangan itu kerana dia sudah menyaksikan semuanya dari rakaman CCTV.

"Ma...maaf doktor, saya dah cuba halang, tapi..."

"Its okay. You may go." Wani sempat menunduk hormat sebelum keluar dengan muka yang masam. Jelas terpamer raut bersalahnya kerana gagal menghalang Arshad daripada masuk ke dalam bilik Wahid.

"Wahid, Ayuni mengandung!" Arshad buru-buru menarik kerusi bertentangan dengan meja kerja Wahid sebelum melabuhkan punggungnya di situ.

"Habistu, kau nak aku buat kenduri kesyukuran tujuh hari tujuh malam ke kat klinik ni, sempena kau bakal dapat anak?" Arshad terkedu. Pipinya naik merah. Bibir diketap, menahan rasa sentap akibat sindiran itu tadi.

"Tak...bukan macam tu. Tak buat pun takpe. Cuma, aku tak tahu cara nak jaga anak tu nanti." Wahid langsung mengangkat wajah. Kemudian, dia alihkan semula tatapan pada lengannya. Bulu romanya meremang sejurus mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Arshad. Apa dia tidak salah dengar?

"Dah tahu cara tu boleh buat anak, apasal kau pergi buat jugak? Erm, pelik. Tapi takpe, kebanyakannya memang mcm tu...Pandai buat je, tak reti nak jaga, samalah mcm kau." Arshad mula tidak senang duduk. Geram rasanya nak lepuk kepala si mulut lancang ni! Dia mendekatkan jarak antara mereka.

"Tak, sekarang ni, kau nak perli-perli aku ke?" Soalnya dengan berang sambil membeliakkan biji mata. Jelas urat-urat di sekitar leher dan dahinya tertimbul ke atas.

"Anda rasa saya ada masa untuk perli-perli orang? Aku sibuk! Banyak benda aku kena urus selain fikir cara nak jaga anak kau!" Bentak Wahid. Betul, dia sememangnya sedang dihantui dengan beban kerja yang bertimbun-timbun.

Dang! Bergegar meja kerja di hadapan. Arshad menjeling sebal ke arah Wahid sebelum bingkas berdiri dari kerusinya. Boleh sakit hati bercakap dengan bahlol sekor ni! Buang masa aku je datang jumpa dia.

"Dahlah. Boleh naik darah aku ni cakap dengan kau!" Bentaknya pula lalu memusingkan tubuh ke belakang. Malas mahu berlama-lama di situ. Panas!

"Sebelum balik, jangan lupa beli vitamin untuk manusia mengandung kat kaunter. Baru sampai pagi tadi...dari France." Langkah kaki Arshad terus mati.

"Ingat klinik kau sorang je jual vitamin untuk orang mengandung? Klinik lain pun adalah!"

"Memang pun vitamin tu dijual kat klinik aku je. Aku order khas dari sana...keluaran terbaharu tau...Klinik-klinik lain belum ada..." Jawab Wahid, sedikit berlagak. Sengaja menambahkan bara dalam api.

"Whatever!" Daun pintu lantas dihempas kasar dari luar. Wahid tersenyum sinis.

"Encik Arshad!" Laung Rita dari kaunter. Langkah kaki Arshad terpaksa menyimpang menuju ke arah wanita berbadan dua itu. Dia memandang hairan wajah Rita. Kenapa kena panggil? Dia mahu segera bela dari klinik itu.

"Betul Encik tak nak beli vitamin yang diimport khas dari France tu?" Terbuntang mata Arshad. Amboi, cepat benar diaorang buat kerja. Langsung dia alihkan pandangan jengkel ke arah bilik Wahid. Marketing taik kucing!

"Encik Arshad?" Rita menjongketkan keningnya, menanti jawapan. Arshad berfikir panjang sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Susah hendak buat keputusan. Sesekali dia melirik pintu bilik Wahid dan wajah Rita yang sepertinya sedang memaksa dia secara halus untuk membeli vitamin itu. Aduh, serba salah pula tengok raut Rita yang mulai kendur.

"Err, bolehlah." Dia mengalah.

"Encik tunggu dekat sana kejap ya? Saya siapkan pesanan Encik." Beritahunya sambil menguntum senyuman manis. Jari telunjuk ditujukan ke arah satu sudut yang dikhaskan sebagai ruang menunggu. Arshad mengangguk faham sebelum berlalu ke kawasan itu.

"Good job Rita! Tak sia-sia aku hantar kau ke kursus Marketing hari tu." Mata masih melekat pada skrin komputer riba yang jelas menayangkan rakaman dari luar biliknya. Terserlah senyuman bangga pada bibir Wahid.

Arshad mengerling jam yang terlilit pada pergelangan tangannya, sebelum melarikan pandangan ke kaunter. Lambat lagi ke? Bukan apa, taknak Wahid ternampak dia beli vitamin tu. Nanti, kena ejek pulak! Mana dia nak letak muka...

"Encik Arshad!" Tepat pada masanya! Arshad lantas menghampiri kaunter sebelum menerima huluran sebuah plastik putih bersaiz sederhana daripada Rita.

Bersambung.......

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience