Seperti biasa, pagi Wahid terluang dengan tugas merawat pesakit di klinik. Tiada cuti dalam istilah hidupnya.
Dah nama pun orang bujang, apa sahaja aktiviti yang boleh dia lakukan di rumah selain mendengar bebelan si ibu dan dengkuran si bapa.
Dia bukan sejenis yang kuat bersosial seperti orang lain. Kawan pun ada berapa ketul sahaja. Jika ada masa terluang, dia akan tidur dan tidur sehinggalah masa itu terluang sepenuhnya, kemudian, seperti biasa, dia akan bergegas ke klinik untuk menguruskan kerja-kerjanya.
Dia lebih suka membuat hal sendiri daripada terpaksa mengikut ketetapan masa orang lain. Sewaktu melanjutkan pelajaran di United Kingdom beberapa tahun yang lepas, dialah satu-satunya manusia yang menolak cadangan rakan-rakan serumah yang lain untuk sama-sama berkongsi duit dan membeli barangan dapur untuk kegunaan harian mereka nanti.
Leceh, itulah jawapan yang keluar daripada mulut Wahid saat keputusannya disoal oleh teman-temannya ketika itu.
Sejujurnya, dia lebih suka membeli barangnya secara berasingan, jadi tidak perlulah dia menunggu kebenaran daripada siapa-siapa sekiranya dia hendak menggunakan barangan tersebut.
Di samping itu, hidupnya akan jadi lebih mudah kerana tidak perlu ikut perancangan orang lain dan mengetepikan seleranya, tidak perlu rasa bersalah jika termakan mana-mana makanan seorang diri sehingga habis kerana terlalu lapar, dan pada masa yang sama juga, dia tidak perlu mengikat perut sehingga teman-temannya habis memasak.
Yang paling penting, dia akan lebih kenyang dan bebas daripada tekanan kerana dapat makan apa sahaja yang dia suka setiap hari, pada bila-bila masa.
Bercinta? Bukan satu keutamaan dalam meneruskan hidup menurut Wahid. Seperti yang dikatakan tadi, Wahid tidak suka hidupnya dirancang oleh mana-mana manusia, termasuklah ibu bapanya sendiri.
Kalau boleh, apa sahaja keputusan yang melibatkan masa depannya, biarlah dia sendiri yang uruskan. Jadi, jika terjadi apa-apa yang tidak diingini kerana keputusan tersebut, dia tidak akan berasa marah atau terpaksa bermasam muka dengan mana-mana ahli keluarganya.
Pernah setahun yang lepas, ibunya carikan jodoh buat Wahid, namun Wahid tolak bulat-bulat calon berkenaan. Dia bukanlah seorang lelaki yang tengok pada rupa paras mahupun bentuk badan seseorang wanita sebelum menerimanya sebagai surihati, cuma, dia mahukan seseorang yang boleh faham keadaan orang lain serta tidak terlalu cerewet dengan segala hal.
Dalam pada itu, sejurus selepas tamat SPM, Wahid terburu-buru mencari bilik sewa di luar kerana mahu hidup berdikari. Tidak mahu bergantung hidup dengan ibu bapanya. Sudah berkali-kali Datin Maria dan Dato Razman menghalang pendirian Wahid, tapi seperti biasa, siapa sahaja yang mampu melawan mulut lasernya itu. Dalam pasrah, akhirnya kedua orang tua itu tersetuju. Lama juga Datin Maria melancarkan perang dingin terhadap Wahid, tapi pada akhirnya, dia sendiri yang datang menegur Wahid sewaktu dia ingin melanjutkan pelajaran ke U.K.
Sementara itu, di rumah banglo milik Mukhriz...
"Yuni, nak apa-apa lagi ke? Opah ambilkan..." Azimah bangun dari duduknya sebelum mengangkat kembali dulang yang berisi dengan pinggan kotor. Sempat dia menoleh pada Ayuni yang sedang menggeleng kepala, menjawab kepada soalannya tadi.
"Opah, pergi buat kerja dulu ye. Apa-apa, panggil je opah." Kali ini, Ayuni membalas dengan anggukan. Dia terlalu penat untuk membuka mulut. Selagi boleh menggunakan bahasa isyarat, selagi itulah dia akan mengurangkan komunikasi dengan sesiapapun. Mental dan emosinya benar-benar terganggu sejak peristiwa hitam itu. Hampir setiap malam dia dihantui dengan insiden yang sama sehingga dia jadi takut untuk melelapkan mata tanpa kehadiran Azimah di sisi.
Arshad? Lelaki itu kelihatannya sudah sibuk dengan urusan di pejabat. Sejak peninggalan arwah Mukhriz, dialah yang mengambil alih syarikat. Awal-awal pagi lagi, dia sudah berangkat ke pejabat, balik ke rumah menjelang senja, kadang pulang hampir lewat malam.
Azimah masih menunggu detik yang sesuai untuk membincangkan perihal Ayuni. Sejak balik dari klinik seminggu yang lalu, dia terlalu sibuk menguruskan kerja-kerja rumah dan menjaga Ayuni. Mungkin, dia akan menunggu sehingga Ayuni benar-benar pulih sebelum menanyakan keputusannya berhubung perkara itu. Arshad juga jarang berada di rumah, kecuali pada awal pagi dan lewat malam sahaja Azimah dapat melihat batang hidungnya.
Beberapa kali, rakan-rakan Arshad datang ke rumah dan menanyakan tentang keberadaannya. Azimah hanya mampu menjawab tidak tahu kerana bimbang akan dimarahi oleh Arshad kerana sibuk mencampuri urusan peribadinya. Dalam masa yang sama, Azimah pelik memikirkan tujuan jejaka-jejaka itu mencari Arshad sehingga ke rumah. Apa mereka tidak berhubung lagi, atau mereka bergaduh?
Ayuni memasukkan helaian t-shirt dan seluar yang dipakainya sewaktu kejadian itu ke dalam plastik sampah. Makin lama dia melihat baju dan seluar itu, makin terganggu emosinya. Sebaik pulang ke rumah dari klinik tempoh hari, dia membuat pemeriksaan kehamilan, dan hasilnya menunjukkan negatif. Itu membuatkan Ayuni sedikit lega kerana dia tidak mengandung. Perjalanan hidupnya masih terlalu jauh untuk menjadi seorang ibu di usia yang muda ini.
"Yuni nak buat apa dengan baju ni?" Azimah menutup pintu bilik sebelum menghampiri kedudukan Ayuni.
"Nak buang. Yuni taknak." Plastik itu terus diikat rapi sebelum dimasukkan ke dalam bakul sampah untuk dibawa keluar nanti. Azimah hanya memerhati tanpa bersuara.
"Tuan Arshad, nak saya letakkan fail ni dekat mana ye?" Rosy menghampiri meja kerja lelaki itu sambil tersenyum mesra. Sengaja dia mengenakan pakaian yang menjolok mata demi menarik perhatian Arshad. Pagi ini, dia akan mencuba nasib dengan menggoda satu-satunya anak bekas majikannya yang sememangnya buaya darat. Masakkan kaki kelab seperti dia tidak kenal dengan Arshad.
"Letak je dekat sini." Jawab Arshad tanpa melihat wajah Rosy. Sejak peristiwa tempoh hari, hidup Arshad menjadi tunggang langgang. Semuanya menjadi serba tidak kena. Tipulah kalau dia tidak nampak cara pendekatan Rosy terhadap dirinya sebentar tadi. Wanita itu sememangnya sejenis liar dan sanggup mengadaikan maruah demi wang ringgit. Sudah beberapa kali dia melihat Rosy di kelab malam bersama beberapa golongan VIP lain.
Kalau dulu, pasti dia akan menjadi salah seorang pelanggan Rosy, tapi sekarang...entah. Jiwanya kosong untuk mana-mana perempuan. Dan, dia tidak tertarik langsung dengan godaan Rosy.
"Ermm, Tuan Arshad nak saya buat apa-apa lagi ke?" Soalnya dengan manja. Sengaja dia melunakkan suara supaya Arshad perasan mengenai kehadirannya di situ.
"Takde apa. Kamu dah boleh teruskan kerja." Ujarnya dingin tanpa memandang ke arah Rosy. Rosy membalasnya dengan anggukan sebelum keluar dari bilik kerja Arshad dengan riak hairan.
"Apa kena dengan bos aku tu...takkan dah bertaubat kot..." Bisiknya sebelum melabuhkan punggung di meja kerjanya. Sempat dia mengerling sekilas ke arah bilik Arshad sebelum mengangkat kedua belah bahunya dengan pelik. Jarang sekali spesies buaya darat seperti Arshad bermurah hati melepaskan umpan secantik dan seseksi dirinya.
Wahid menarik sebuah kerusi plastik sebelum menghampiri kedudukan pesakit yang sedang menunggu giliran untuk diperiksa. Dia terus melabuhkan punggung betul-betul di sebelah pesakit itu.
Tanpa membuang masa, dia langsung menyarungkan stetoskop pada kedua belah telinganya, sebelum memeriksa degupan jantung pesakit berkenaan. Usianya mungkin sudah mencecah 60-an. Wajah lesunya juga diteliti oleh Wahid buat beberapa saat.
"Dah berapa lama putus cinta?" Takde lapik-lapik dah, terus straight to the point! Sontak ternganga luas mulut pesakit itu dibuatnya. Tidak berkelip dia memandang Wahid atas bawah.
"Aa...aaa..." Hilang terus suaranya. Serta merta muncul tompokan merah pada isi pipinya yang tidak seberapa itu.
"Usia senja macam pakcik ni, eloklah dekatkan diri dengan amal ibadat. Rumah pun dah kata pergi, kubur pula dah slow-slow kata mari. Jangan pulak rumah kata masuk, hati kata mari. Hah, yang itu membawa padah..." Wajah pesakit itu terus berubah muram. Mungkin terasa dengan kata-kata Wahid. Salah ke kalau aku nak ada pasangan hidup lagi? Usia bukan penentu kebahagiaan seseorang bukan...
"Dah lama ke clashed dengan si dia?" Lelaki itu mengangguk lemah. Raut wajahnya masih seperti tadi.
"Lama tak lamalah, adalah dalam dua minggu macam tu. Susah rasanya nak move on..."
"Dalam peringkat usia macam ni, memang rasa susah sangat nak move on pakcik. Sekali kena tinggal, terseksa sampai ke liang lahad sakitnya!" Lelaki itu terkedu. Tapi, walaupun pesanan itu terlalu tajam sehingga mampu menusuk jiwa, dia tidak menafikan, bahawa dalam isi kata doktor muda di hadapannya ini, terselit kebenaran.
"Jadi, apa yang perlu saya buat doktor? Saya ni terseksa setiap hari. Dah mandi, tapi rasa macam tak mandi lagi...dah makan tapi rasa macam belum makan, kadang sampai lupa pakai seluar dalam." Keluhnya dengan sayu.
"Clashed sebab apa?" Sempat Wahid memeriksa butiran peribadinya yang tertera pada borang rawatan.
"Takde persefahaman antara kami doktor. Dia taknak tinggal bersama saya dekat kampung lepas kahwin. Katanya, nanti imej dia akan terjejas kalau kawan-kawan dia tengok." Adunya.
"Pakcik couple dengan ex dato mana ni...demand mengalahkan perempuan muda." Kutuk Wahid. Namun, tiada balasan daripada pesakit bernama Jamil itu. Mungkin sedang menahan kesedihan kerana terpaksa mengingati kisah lalu.
Aik, senyap pulak pakcik ni. Tersentap kali..."Hmm...takpe, nanti saya bagi ubat penawar untuk hati pakcik yang sedang lara tu. Semoga kelak dapat bersukacita." Pesakit itu mengangguk faham.
"Err, tapikan doktor, macam mana doktor boleh tahu yang saya ni baru lepas break up?" Wajah datar Wahid ditatap lama.
"Oh, saya tengok email pakcik kat borang tadi. JamilJoyahForever..." Jawabnya sambil tersenyum bagai kerang busuk.
"Allah...lupa pulak pakcik nak tukar!" Langsung Jamil menepuk dahinya dengan kecewa.
"Tukar Forever tu je pakcik........."
Jeda. Keadaan menjadi sunyi sepi. Tiada lagi sesi bual bicara antara mereka berdua. Pesakit itu terdiam sambil memandang lantai sementara Wahid pula meneruskan kerja mencatatnya. Beginilah hari-hari Wahid terluang. Daripada memeriksa penyakit, sehingga ke memberi penyakit kepada pesakit.
so, korang suka tak lelaki mcm Wahid ni? huhuu
Share this novel
kelakar la wahid ni..