Bab 38: Rindu

Short Story Series 116383

"Err, Pak Mat? Yuni nak tanya sikit boleh?" Soal Ayuni, teragak-agak.

"Ya, ada apa?" Balas lelaki itu sambil menumpukan perhatian pada pemanduannya. Jalan sedikit sesak berbanding biasa. Mungkin kerana ada sekatan jalan di hadapan.

"Ayuni...Ayuni nak tanya pasal Encik Arshad. Pak Mat tahu ke, di mana Encik Arshad tinggal sekarang?" Pak Mat tersenyum tipis.

"Tahu. Kenapa Ayuni tanya?" Ketika itu, mereka sudah sampai di hadapan kafe.

"Oh. Kalau Ayuni nak tahu alamat dia boleh?" Pak Mat tertawa kecil sebelum menganggukkan kepala.

"Boleh. Kenapa pulak tak boleh...Balik karang, Pak Mat bawak kamu ke sana ya?" Serta merta bibir merahnya mengukir senyuman lebar.

"Okay, Pak Mat! Terima kasih." Ucapnya sebelum meluru keluar dari kereta. Entah dari mana datangnya semangat yang hilang tadi. Akhirnya, dapat juga dia berjumpa dengan Adwa.

"Amboi, Yuni. Lain macam kau hari ni? Tersengih-sengih macam kerang busuk." Ayuni melepaskan tawa.

"Ish, mana adalah awak ni. Saya macam biasa je. Cuma, saya happy sikit hari ni. Mungkin sebab tu kut awak nampak pelik." Dania mengangguk faham sebelum menuju ke arah rak. Beberapa bungkusan tepung dibawa keluar lalu diserahkan kepada Jayden.

"Ni rumahnya." Ayuni melihat banglo dua tingkat yang berada di hadapannya. Kepala terjengul ke kiri dan kanan kawasan perumahan itu. Jarak dari satu rumah ke satu rumah yang lain, agak jauh. Sama seperti rumah Tuan Mukhriz, cuma kawasan ini kelihatan sedikit suram. Mungkin kerana hari sudah malam.

"Adwa ada dekat sini ke Pak Mat?" Pak Mat mengangguk perlahan.

"Ayuni nak masuk ke?" Lantas, dia menggelengkan kepala.

"Eh, tu siapa Pak Mat?" Ayuni meluruskan pandangan ke arah seorang wanita yang baru keluar dari rumah Arshad.

"Oh, itu Nita. Babysitter Adwa. Dia yang jaga Adwa sejak bayi. Kesian budak tu." Ayuni segera menoleh ke arah Pak Mat yang duduk di kerusi pemandu.

"Kesian? Kenapa?" Dia mengerutkan dahi.

"Nita tu, sama macam kamu. Dia lahirkan anak awal sebulan daripada Ayuni. Tapi, sayangnya, anak tu meninggal dunia sebab sesak nafas. Lepas tu, kawan Encik Arshad, minta tolong daripada Nita, untuk menyusukan Adwa." Ayuni mengangguk lemah. Simpati dengan nasib yang menimpa wanita itu.

"Adwa jarang keluar rumah ke?"

"Keluar. Cuma kalau ada Encik Arshad sahaja. Nita pun dilarang bawa Adwa keluar sesuka hati." Ayuni mengangguk faham. Begitu ketat peraturan Arshad terhadap Adwa.

"Eh, Pak Mat? Buat apa dekat sini?" Tiba-tiba, Nita menghampiri kereta Pak Mat yang terletak di bahu jalan. Dia menyeberang jalan lalu berhenti di luar tingkap kereta lelaki itu.

"Nita. Saja ambil angin. Oh ya, kenalkan, ini Ayuni." Kedua mereka saling berbalas senyuman.

"Assalammualaikum." Ucap Nita dengan mesra.

"Waalaikummusalam." Balas Ayuni sambil tersenyum tipis ke arah wanita itu. Dari gaya penampilannya, kelihatan Nita ini seorang yang bersederhana. Orangnya juga cantik dan murah dengan senyuman. Beruntung Adwa dapat ibu susuan seperti wanita itu.

"Saya minta diri dulu ya, Pak Mat, Ayuni. Suami saya dah sampai tu." Dia meluruskan telunjuk ke arah sebuah kereta yang baru masuk ke persimpangan jalan rumah Arshad.

"Hah, baiklah. Hati-hati." Nita menunduk hormat lalu menghayunkan langkah ke arah kereta suaminya. Tidak lama selepas itu, kereta tersebut beredar dari sana.

"Kita balik dululah Pak Mat. Rasanya Adwa pun dah tidur sekarang." Pak Mat mengangguk faham sebelum menghidupkan enjin keretanya. Mereka turut sama meninggalkan kawasan perumahan itu.

"Kalau Ayuni nak melawat Adwa, beri je tahu pada Pak Mat. Nanti Pak Mat uruskan." Ayuni kelu lidah. Tidak membalas apa-apa. Layak lagikah dia mengambil tahu tentang Adwa? Sedangkan dulu, dia yang beria mahu meninggalkan anak itu? Malu. Dia malu untuk bertemu dengan Adwa.

"Takpelah Pak Mat. Cukuplah kalau Adwa selamat dan gembira dengan Encik Arshad." Mereka akhirnya sampai di perkarangan rumah. Ayuni keluar dari kereta sebelum masuk ke dalam. Daun pintu ditarik lalu ditutup rapat.

Arshad tersenyum nipis kala menghampiri katil Adwa. Dia tahu bahawa Ayuni ada datang ke sini tadi. Dia perhatikan semuanya dari mula sampai akhir.

"Tadi, ibu Adwa datang sini. Mesti dia rindu Adwa kesayangan babah ni." Bisiknya sebelum mengelus bahu anaknya. Kepala Adwa dibawa ke atas riba. Kasih sayangnya pada Adwa tidak terhingga. Allah itu Maha Adil lagikan berkuasa. Dia percaya, apa sahaja yang sedang berlaku dalam hidupnya ini, adalah hukuman atas perbuatan lamanya.

Minggu lepas, dia ternampak Syam, Raihan, Yariz dan Izwan di tepi lorong sebuah pusat beli belah. Melihat pada gaya penampilan mereka, nampaknya lelaki-lelaki itu sedang dilanda kesusahan.

Ketika dia mahu menghampiri mereka, Pak Mat menghalang. Dia terpaksa berpatah balik lalu pulang ke rumah. Sejahat-jahat lelaki-lelaki itu, Arshad akan tetap mendoakan kesejahteraan mereka dalam sujudnya.

"Tak lama je lagi. Adwa tunggu ya. Lepas tu, babah janji, babah akan bawak Adwa jalan-jalan ke mana saja Adwa nak." Janjinya dengan sayu. Wajah Adwa yang sedang lena itu ditatap pilu.

"Hah, mimpi apa datang klinik aku hari ni? Dah lama tak menyemak dekat sini." Arshad menarik kerusi lalu melabuhkan duduk di atasnya. Wahid menyusun kembali fail-fail yang berselerakan di atas meja.

"Saja. Dua hari lepas, Ayuni ada datang ke rumah. Dia tengok dari luar je." Ujarnya sambil memerhati Wahid yang sedang menyusun fail-fail di atas mejanya.

"Dia datang nak tengok Adwa kut. Ignore her. Biar kali ni, dia yang cari kau. Daripada kau cari dia, habuk pun takde." Fail-fail itu dimasukkan ke dalam sebuah laci.

"Pak Mat ada beritahu. Yang, Ayuni ada tanya pasal alamat tempat tinggal aku. Dia rindu Adwa." Sambungnya lagi. Wahid menganggukkan kepala.

"Baguslah. Ada improvement dalam kisah cinta penuh tragis kau ni. Tak lama je lagi tu. Kau sabar dulu. Kita ni, kadang kena bermain tarik tali. Aku yakin, dia akan datang jumpa kau." Balas Wahid dengan penuh keyakinan. Arshad hanya mendengar tanpa menyampuk.

"Kau dah lunch?" Wahid lantas berdiri.

"Jom. Aku lapar." Katanya sebelum menarik kuat lengan Arshad supaya mengikutinya ke kedai makan. Lelaki-lelaki itu keluar beriringan dari bilik menuju ke kaunter.

"Rita, saya nak keluar lunch. Lepas, Aini masuk. Awak boleh balik terus." Rita membalasnya dengan anggukan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience