Bab 31: Gembira

Short Story Series 116383

Usia kandungan kini susah mencecah 7 bulan. Badan Ayuni juga makin berisi. Walau tiada selera makan, namun entah mengapa, dia selalu berasa lapar. Mungkin kerana anak dalam kandungannya yang mahu makan.

Dia membetulkan duduk ke posisi yang lebih selesa sebelum mengalihkan tumpuan ke arah dada langit yang mendung. Tiada litupan awan yang menghiasi langit pada senja itu. Hari terasa sunyi. Sama seperti hati Ayuni yang sedang pilu.

Sepertinya, hujan bakal menyusul sebentar lagi. Hujung bibirnya terangkat sedikit. Cepat betul masa berlalu. Semuanya terasa seperti satu mimpi. Tanpa sedar, air matanya jatuh ke pipi. Sukar rasanya untuk menerima kenyataan yang satu ini. Dia fikir, setelah keluar dari rumah arwah datuknya, hidup mereka akan lebih tenang. Tapi, lain pula jalan cerita yang tertulis buat mereka berdua.

"Jauh termenung? Fikirkan apa?" Tanpa diajak, Arshad terus melabuhkan punggung di sebelah Ayuni. Gadis itu hanya memandangnya melalui ekor mata. Langsung tidak terusik dengan kehadiran Arshad di situ. Hanya dadanya sahaja yang naik turun menarik dan menghembus nafas.

"Encik nak apa? Tengok saya macam tu?" Jelingnya dengan tajam. Geram. Pandang-pandang, tumbuk kang!

"Saja. Kenapa? Malu saya pandang awak?" Sengaja mencari pasal. Ayuni memutarkan bola matanya dengan sebal. Lelaki ini, kalau tidak menyakitkan hatinya, tidak sah. Namun, dia masih tidak berganjak dari situ. Malas nak bangun dan masuk ke dalam rumah. Penat!

"Haram pandang perempuan bukan mahram." Setepek kena. Arshad terus melarikan sepasang matanya dari terus meneliti wajah mulus Ayuni. Jemari diramas, menahan rasa gementar kala melihat kebisuan Ayuni. Mula merasa canggung berada di sebelah gadis itu.

"Ada fikir pasal cadangan saya?" Soalnya setelah sekian lama berdiam diri. Dia menoleh memandang Ayuni di sebelah. Gadis itu mengangguk sekilas.

"Saya ada fikir. Dan rasanya, saya masih teguh dengan perjanjian yang dulu." Arshad terkedu mendengar jawapan itu. Dia berdehem bagi menghilangkan kegelisahan yang mula menguasai segenap diri.

"Saya bukan apa, saya cuma fikirkan pasal anak kita. Kalau dia tanya, mana mak dia, saya nak jawab apa?" Tekun memasang telinga, demi mendengar balasan daripada Ayuni.

"Mati." Arshad memandang hairan wajah datar Ayuni. Kurang faham dengan kata-kata gadis itu. Dahinya berkerut.

"Cakap je, mak dia dah mati." Arshad tertunduk menekur lantai. Satu keluhan terbit dari bibir keringnya. Nampaknya, gadis ini tidak akan berganjak dari keputusannya lagi. Perlukah aku mengalah saja? Atau serahkan semuanya pada takdir?

Suasana menjadi sepi seketika. Tiada di antara mereka yang membuka mulut. Ayuni masih menatap langit yang semakin beransur gelap, sementara Arshad melayan fikirannya.

"Saya nampak jahat sangat ke pada pandangan awak?" Akhirnya, terucap juga pertanyaan itu. Sekian lama dia menyimpan soalan itu di dalam hati. Mungkin sudah tiba masanya dia menanyakan soal itu.

"Entah. Kepercayaan saya terhadap kaum lelaki dah lama musnah. Satu sebab ayah saya, dan satu lagi disebabkan Encik. Sukar saya nak lupakan semuanya, bila saya diganggu dengan mimpi buruk yang sama hampir setiap malam." Arshad rasa terpukul mendengar balasan Ayuni.

Matanya berkaca. Tangannya menggigil kala membayangkan perbuatannya terhadap gadis itu. Seorang gadis polos, yang hanya mahu mengubah jalan hidupnya. Namun, angan-angannya musnah di tengah jalan angkara keinginan bodoh Arshad.

"Ma...maafkan saya. Saya tahu, kata maaf tidak akan mampu mengembalikan apa yang awak hilang selama ni. Cuma, saya minta satu peluang daripada Ayuni, bagi saya sedikit kelonggaran untuk mendekati awak. Kalau, masih rasa diri saya tidak layak mendampingi Ayuni, Ayuni boleh tolak." Ujarnya penuh berhati-hati. Ayuni tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap permintaan itu.

"Maaf Encik Arshad. Mustahil saya nak hidup dengan orang yang sudah musnahkan sebahagian dari hidup saya. Sekarang, saya kena mula dari awal, untuk mengejar cita-cita saya. Saya bukan datang dari keturunan kaya raya macam Encik Arshad. Masa saya masih kecil, mak saya tinggalkan saya bersama opah dan ayah. Sejak tu, ayah banyak berubah. Balik malam dalam keadaan mabuk. Berjudi sampai sanggup gadaikan semua harta yang kami ada. Sampai...sampai takde satu pun yang tersisa." Esakannya mula kedengaran. Arshad terdiam tanpa bicara.

"Dan, waktu kami, tiada sesiapa, tiada tempat untuk dituju, arwah Tuan Mukhriz ambil kami bekerja di sini. Sumpah saya cakap, masa tu, saya gembira sangat. Rasa bersyukur kerana tuhan hadirkan seseorang yang baik macam Tuan Mukhriz dalam hidup saya dan opah. Tuan Mukhriz banyak berjasa pada kami. Dia jaga saya dan opah macam keluarga dia sendiri. Dia sediakan semua keperluan kami. Seminggu sebelum Tuan Mukhriz pergi, dia...dia ada cakap dengan saya, yang dia akan bantu saya sambung belajar dan ambil semula peperiksaan SPM saya. Tapi...semua tu tinggal kenangan yang tidak mungkin dapat saya capai sampai bila-bila. Mungkin sudah tertulis, saya tidak akan merasa bahagia selama saya hidup..." Tangisannya semakin kuat. Arshad kaku di tempat duduknya. Terkejut dengan pengakuan Ayuni. Jadi, papa ada janji untuk menolong Ayuni melanjutkan pelajaran dia? Arshad terus menghalakan pandangan pada perut Ayuni sebelum melepaskan satu keluhan yang berat. Aku dah musnahkan segalanya.

"Saya...saya akan tolong awak sambung belajar. Saya janji, lepas ni, saya takkan ganggu hidup awak lagi. Sejurus selepas awak melahirkan anak ni, saya akan pergi jauh dari hidup awak dan opah. Tapi, jangan risau. Saya akan sediakan apa yang patut untuk awak dan opah sebelum saya pergi." Lantas Ayuni menoleh ke arah Arshad.

Lama dia menatap wajah basah milik lelaki itu, mencari keikhlasan di sebalik kata-katanya tadi. Betulkah apa yang lelaki itu katakan? Sambung belajar adalah antara impiannya sejak sekian lama. Dan, impian itu bakal menjadi kenyataan! Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman lebar ke arah Arshad.

"Be...betul ke ni Encik Arshad? Encik Arshad tak tipu?" Arshad mengangguk lemah. Dia terpaksa menguburkan impiannya demi impian Ayuni. Mungkin, dia perlu berhenti sampai di sini sahaja. Ayuni bukan jodohnya. Dan, dia akan jaga gadis ini, selama dia masih memerlukan khidmat pertolongannya. Ada rasa sakit yang menghimpit dada, lantas Arshad mengalihkan wajah memandang ke arah lain. Tidak mahu Ayuni perasan.

Akankah kau terima aku, jika aku ungkapkan rasa cinta ini pada kau? Air mata segera diseka dengan hujung jari sebelum dia menghadap semula wajah manis Ayuni. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman.

"Terima kasih Encik Arshad." Ucapnya sebelum meluru masuk ke dalam rumah. Arshad tersenyum kelat sambil memerhati belakang gadis itu yang semakin hilang di sebalik muka pintu. Tidak lama selepas itu, kedengaran suara Ayuni dan Azimah di ruang tamu. Arshad memasang telinga, mendengar perbualan mereka dari luar rumah.

"Betul ke ni?" Soal Azimah dengan gembira.

"Betul opah! Encik Arshad sendiri yang cakap. Lepas ni, Ayuni dah boleh belajar. Ambil SPM, lepas tu, Ayuni ingat nak masuk universiti. Sambung belajar macam Hairine. Ayuni happy sangat opah!" Berseri wajah pucat itu. Azimah bersyukur melihat perubahan pada diri cucunya. Gadis itu selalu bermasam muka dan kurang bercakap dengan sesiapapun sejak peristiwa hitam itu. Sedikit terubat rindu di hati Azimah kala melihat senyuman manis yang menghiasi bibir Ayuni.

"Dah ucap terima kasih pada Encik Arshad?" Takut-takut dia menyoal. Bimbang akan dimarahi Ayuni kerana menyebut nama lelaki itu.

"Dah tadi! Ee, tak sabarnya opah!" Tubuh Azimah lantas ditarik lalu dipeluk dengan erat. Azimah tertawa melihat gelagat cucunya.

Dari jauh, Arshad memerhatikan mereka berdua. Wajah basahnya segera dilap pada hujung baju sebelum dia melangkah masuk. Dia mengangguk sekilas ke arah Azimah sebelum mengatur langkah ke tingkat atas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience