"Encik Arshad, boleh tak kalau nanti, saya nak order dua gelas iced lemon tea? Saya dahaga sangat..." Rengek Ayuni dengan manja. Arshad mengekek suka sebelum menganggukkan kepalanya. Terhibur melihat sisi lain Ayuni yang tampak lebih mesra. Dulu, jarang sekali Ayuni tersenyum kepadanya. Selalu tayang muka ketat saja sepanjang masa.
"Boleh sayangku... Anything for you." Balas Arshad dengan lembut. Ayuni segera melarikan wajah. Berpura-pura melihat pemandangan di luar tingkap kereta. Muncul tompokan merah pada kedua belah pipinya. Bibir ditahan dari tersenyum malu. Suka apabila Arshad menggelar dirinya seperti itu.
Arshad tersenyum nipis sebelum menumpukan perhatian pada pemanduan. Mereka dalam perjalanan ke restoran yang dicadangkan oleh Ayuni untuk makan tengah hari.
Cuti hujung minggu pada kali ini, digunakan sepenuhnya bersama Arshad. Tiga hari tidak bersua muka, terasa dunianya serba tidak kena. Hari ini, dapatlah dia tatap puas-puas wajah tampan itu tanpa sebarang gangguan. Awal-awal lagi dia sudah mematikan telefon bimbitnya.
Setiap pergerakan Arshad diperhatikan oleh Ayuni dalam diam. Tidak dinafikan, lelaki itu semakin segak seiring meningkatnya usia. Bak kata orang putih, aging like a fine wine. Makin tua, makin terserlah kekacakannya.
"Kenapa pandang saya macam tu? Ada apa-apa ke pada wajah saya?" Soal Arshad. Dia tahu Ayuni perhatikan dirinya sejak tadi, dan dia suka menjadi perhatian gadis itu. Tataplah puas-puas. Nak cium pun boleh. Eh?!
"Err, tak ada apa. Saja tengok." Dalihnya. Tersipu-sipu menarik muka kala Arshad mengenyitkan mata ke arahnya sebelum memutarkan stereng kereta ke sebelah kanan. Tersembul elok urat-urat di tangan kekarnya. Lama-lama, boleh mati kekejungan Ayuni di situ.
"Mungkin kita akan sampai sedikit lewat ke restoran. As you can see, jalan jammed sangat. Weekends, KL, Sunday, waktu lunch pulak tu...So we can't expect more." Jelas Arshad. Ayuni hanya mengangguk faham. Dia tidak kisah, asalkan dapat bersama Arshad sehari suntuk.
"Okay. Saya tak kisah. Janji dapat rasa asam pedas dekat restoran tu..." Arshad tertawa kecil. Lucu melihat gelagat Ayuni yang seakan terlalu kempunan ingin merasa makanan itu.
Ikutkan, menu itu boleh saja didapati di kedai makan yang lain di ibu kota. Tapi, kerana ini merupakan permintaan daripada sang kekasih hati, Arshad sanggup bergerak seawal subuh lalu mengambil Ayuni di rumah lamanya walaupun dia berasa terlalu penat kerana malam lalu, dia terpaksa bersengkang mata demi menyiapkan kertas projek terbaharunya.
Pada awalnya, mereka merancang untuk bertolak pagi-pagi, kerana jarak restoran yang sedikit jauh dari tengah bandar. Tambahan pula, mereka bimbang akan terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
Menu yang dikehendaki oleh Ayuni mendapat sambutan daripada ramai pelanggan, sehinggakan ada yang mengadu bahawa masakan itu sering habis terjual seawal jam 11 pagi lagi.
Jadi, satu-satunya cara adalah dengan tiba awal ke sana. Tapi, nampaknya, nasib tidak menyebelahi mereka walaupun Ayuni sudah merancang waktu perjalanan pada malam semalam.
Keadaan jalan raya yang semakin sesak membuatkan Arshad berasa semakin bosan dan mengantuk. Sesekali dia menguap lalu menggeliat meregangkan urat bahunya yang terasa lenguh.
"Encik Arshad okay ke? Encik nampak penat." Soal Ayuni dengan risau. Tersentuh melihat kesungguhan Arshad yang sanggup membawanya makan di restoran yang agak jauh tanpa mengeluh. Ikutkan, Arshad boleh sahaja menolak permintaannya dan makan di restoran biasa.
"Saya okay. Cuma, badan saya rasa lenguh sikit. Semalam lambat tidur. Siapkan kertas projek. Esok kena bentang." Jelasnya sambil tersenyum nipis. Dia tidak mahu kelihatan seolah-olah terpaksa di hadapan Ayuni.
"Betul ni Encik Arshad okay?" Mahukan kepastian. Tidak sampai hati menyusahkan Arshad.
"Yes, my lady. I'm perfectly alright." Cepat-cepat Ayuni berpaling ke arah tingkap kereta semula. Aduh, tak semena-mena jantungnya berdebar laju.
"Hurm, lama lagi ke kita nak sampai?" Topik diubah. Wajah Arshad dilirik sekilas sebelum dia melarikan pandangan ke hadapan. Jalan masih lagi sesak tapi tidak seteruk tadi.
"Around 35 minutes. Kenapa, baby lapar sangat ke?" Ayuni lantas menggelengkan kepala. Sebenarnya, dia memang lapar, tapi apa saja mereka mampu lakukan di dalam kesesakan seperti ini selain daripada bersabar. Dia pasrah sekiranya tidak dapat merasa asam pedas ikan tongkol dari restoran itu.
"Encik Arshad lapar ke?" Arshad menganggukkan kepala. Dia pun sedang lapar. Tadi, sudah beberapa kali perutnya berbunyi.
"Lapar...lapar nak gigit pipi awak yang merah-merah tu. Macam strawberi..." Ayuni terus menekup wajahnya dengan tapak tangan. Degupan jantung mula hilang ritmanya. Terkedu tanpa balasan. Arshad pula ketawa terbahak-bahak, cuba menutup rasa malunya. Aduh, parah sudah keadaan mereka.
Selepas lebih satu jam setengah terperangkap dalam kesesakan, akhirnya, Ayuni dan Arshad tiba di restoran masakan panas itu. Kelihatan para pelanggan berpusu-pusu mengambil makanan mereka mengikut giliran.
Nasib mereka sempat membuat tempahan tempat duduk pagi tadi sebelum bertolak ke sini. Kalau tidak, pasti mereka juga perlu beratur panjang demi membuat pesanan.
"Wah! Sedapnya bau..." Bersinar anak mata Ayuni kala pelayan menghidangkan asam pedas ikan tongkol kegemarannya di atas meja.
"Air akan sampai kejap lagi ya. Maaf atas kelewatan. Pelanggan terlalu ramai hari ni." Ujar pelayan wanita dalam lingkungan 20-an itu. Serentak Arshad dan Ayuni mengangguk faham.
"Nak saya cedokkan kuah ke dalam mangkuk ke?" Soal Arshad sambil mengangkat sebuah mangkuk bersaiz sederhana ke arah Ayuni.
"Takpe. Nanti saya tuang dekat atas nasi je." Balasnya dengan tenang. Arshad meletakkan semula mangkuk itu di tempat asal sebelum mencapai pinggan nasinya.
"Sedap jugak bau asam pedas ni. Tak sabar nak makan. Kita tunggu air dulu ya?" Ayuni mengangguk perlahan. Ikutkan hati, dia mahu makan sekarang. Tapi, kerana air mereka masih belum sampai, jadi terpaksalah mereka tunggu.
"Rezeki kita kan, dapat jugak merasa asam pedas dekat sini. Tadi saya ingat, mesti tak dapat rasa sebab lambat." Arshad tertawa kecil. Mengiyakan kata-kata Ayuni.
"Sayang makan puas-puas ya? Saya janji tak sentuh ikan tongkol awak tu. Saya hirup kuah je..." Ejeknya. Pipi Ayuni sudah merona merah. Saja tau dia ni...
"Ish, Encik Arshad ni kan..." Cebiknya dengan manja. Tangan disilang ke dada. Nak merajuklah macam ni!
"Merajuk ke? Cubit pipi tu karang baru tahu. Dah jom makan. Air kita on the way dah tu..." Satu senyuman manis diukir ke arah pelayan yang sedang menghampiri meja mereka sambil menatang sebuah dulang berisi air.
"Kenapa?" Ayuni kelihatan teragak-agak untuk mengambil hidangan udang goreng yang tersaji di atas pinggan. Hanya lauk asam pedas sahaja yang terdapat di atas pinggan nasinya. Arshad berasa hairan.
"Err, takde apa." Bohongnya sebelum menyambung makan. Arshad masih memandang pelik ke arahnya. Dia alah pada udang ke? Tapi, dulu, dia pernah ternampak Ayuni makan udang sewaktu di rumah lamanya.
Bersambung...
Share this novel