Bab 45: Lagi Sekali

Short Story Series 117517

Arshad mengeluh. Kesal kerana gagal mengawal mulutnya tempoh hari. Sudah 2 hari dia tidak berhubung dengan Ayuni seperti yang diarahkan oleh Wahid.

Gadis itu juga sama. Turut sama menyepi tanpa khabar. Namun, rindu yang ditampung oleh batin terasa begitu menyeksakan. Hidupnya serba tidak kena. Mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur pun jadi tidak lena. Semuanya gara-gara penangan cinta yang menyesatkan kewarasan akal.

Dia hanya mampu memerhati dari jauh setiap pergerakan Ayuni, sama seperti 4 tahun yang lepas. Kelihatan Ayuni keluar dari kafe lalu melangkah ke arah kereta Pak Mat.

Arshad segera menghidupkan enjin kereta lalu mengekori kereta Pak Mat dari belakang tanpa Ayuni sedari. Dia mengerling sekilas pada jam di dashboard keretanya. Dahinya berkerut hairan.

"Awal lagi..." Bisiknya sebelum memberikan signal untuk masuk ke simpang di hadapan. Kereta diberhentikan di bawah pokok rambutan. Lampu kereta dipadam supaya Ayuni tidak perasan dengan kehadirannya di situ.

"Terima kasih Pak Mat. Ayuni masuk dulu ya." Pak Mat mengangguk perlahan. Sedikit pelik dengan sikap Ayuni yang sepertinya sedang memendam sesuatu. Tiada senyuman pada bibir gadis itu seperti biasa.

Dengan lemah, dia melangkah masuk ke dalam rumah. Seusai memberikan salam, Ayuni melabuhkan punggung di atas sofa ruang tamu. Azimah tidak kelihatan di situ. Mungkin berada di tingkat atas. Beg galasnya diletakkan di sebelah sebelum dia baring di atas sofa tersebut.

"Pak Mat balik dulu ya." Pak Mat memberhentikan keretanya di sebelah kereta Arshad. Tingkap kereta diturunkan.

"Pak Mat, kenapa hari ni awal sangat dia balik rumah? Ayuni tak sihat ke?" Soalnya dengan tenang. Namun, nadanya sedikit bergetar.

"Katanya ada pekerja baru masuk hari ni. Jadi, dia boleh balik awal sikit." Jelas Pak Mat. Arshad mengangguk faham.

"Oh, begitu. Takpelah Pak Mat. Pak Mat baliklah dulu. Saya pun nak gerak dah ni..." Pak Mat menurunkan tingkap keretanya sebelum beredar dari situ. Begitu juga dengan Arshad.

Sepanjang perjalanan, fikiran Arshad terganggu kerana Ayuni. Sesekali, dia melirik ke arah telefon bimbitnya. Hati memujuk diri untuk menghantar pesanan kepada gadis itu, namun akal bermati-matian menegah. Biar keadaan kembali reda dulu. Nanti, dia sendiri akan pergi menemui Ayuni.

Kereta diparkir di halaman rumah, sebelum dia turun dari kereta. Langkah dihayun perlahan menuju ke arah pintu masuk.

"Assalammualaikum." Punggung dihenyak di atas sofa. Telefon bimbit dibawa keluar lalu diletakkan di atas meja kopi di hadapan. Kepala disandar pada dada sofa. Mata dipejam rapat, tangan disilang ke dada.

Ting! Serta merta dia membuka mata lalu mencapai telefon bimbitnya. Terpaku seketika kala nama Ayuni terpampang pada skrin peranti canggih itu.

My Wife♡
Good night Encik Arshad.

Mak aii! Tali leher yang menjerut lehernya langsung dicabut lalu dilemparkan di atas lantai. Kedua belah kaki lantas naik ke atas sofa sebelum dia melompat teruja. Sudah serupa kanak-kanak mendapat gula-gula sahaja gayanya. Bukan main berseri wajah Arshad tika itu. Skrin telefon bimbitnya dicium berkali-kali.

"Astaghfirullah..." Laju-laju Nita masuk semula ke dalam dapur bersama segelas air yang dibawanya tadi. Terkejut beruk kerana pemandangan yang mencabar emosi itu. Pertama kali dia melihat Arshad terloncat-loncat seperti kanak-kanak tidak cukup umur. Dada yang berombak kencang akibat kejutan tidak disangka itu diurut perlahan sambil mulut beristighfar panjang.

"Yes! Yes! Yes!" Kedengaran suara jeritan Arshad dari ruang tamu. Habis bergegar satu rumah malam-malam dengan suara pekikan dan laungan Arshad.

"Ya Allah, apa kena dengan Tuan ni?" Menggigil seluruh tubuh Nita. Gelas berisi air kosong terus diletakkan di atas meja makan sebelum dia melabuhkan punggungnya di situ. Rasanya, sekarang bukan masa yang sesuai untuk dia munculkan diri di ruang tamu.

Muncung ditarik sedepa. Bantal di sebelah dicapai lalu ditepuk geram. Peranti dalam genggaman dibelek berkali-kali.

"Ish, mana ni...kenapa tak reply lagi? Dah tidur ke?" Waktu pada jam digital dikerling sekilas.

"Okay, okay. Relaks Arshad...relaks. Fuhhhh..." Udara dihembus perlahan. Nafas ditarik dalam-dalam.

Ting!

Terserlah barisan gigi putihnya kala membaca pesanan yang baru diterima. Tapak tangan naik menekup mulut yang hampir menjerit suka. Takut didengari oleh Azimah di tingkat atas.

Encik Arshad
Eh, awalnya tidur? Jaga kesihatan ke?

Aduh, panas satu badan! Bukan main lebar sengihan di mulut. Bantal yang tidak bersalah itu ditumbuk bertubi-tubi.

My Wife
Tak pun. Saja nak tidur awal. Bukan ada apa pun nak buat.

Menggeletis bersendirian di ruang tamu tanpa sedar ada mata yang sedang memandang gelagatnya dari jauh. Badan bergerak ke kiri dan ke kanan seperti ulat bulu. Gedik tak tentu hala! Nita hanya mampu menggelengkan kepala sebelum kembali ke tempat asalnya.

Encik Arshad
Saya kan ada. Chatlah dengan saya. Kan dah ada satu tujuan untuk tidur lambat di situ.

Ayuni tersipu malu. Pipi yang hampir kebas itu ditepuk manja beberapa kali. Kaki naik menendang udara. Ingin saja dibalas Pen merah pen biru, you marah, I Love you. Tapi, sebagai seorang wanita, dia perlu mengawal diri agar tidak kelihatan terlalu terhegeh-hegeh. Biar timba yang datang mencari perigi. Harga diri perlu dijaga. Maruah diri perlu dipelihara.

My Wife
Adwa sihat?

Topik perbualan sengaja dilencongkan ke lain. Tidak mahu terlalu hanyut dalam dunia yang boleh menyesatkan akal dan hati ke perkara yang dilarang agama.

Encik Arshad
Adwa rindu ibu, dia. Babah dia pun sama. LOL

Ayuni tersenyum manja. Pandai dia mengayat!

My Wife
Saya pun rindu Adwa. Babah dia pun, saya rindu.

Arshad terus menekup mulutnya sebelum mengipas wajah yang terasa panas dengan tapak tangan.

Encik Arshad
Rindu babah dia berapa percent?

Sengaja hendak menguji Ayuni. Sementara Ayuni sudah menghentak-hentak kakinya ke lantai. Malu teramat apabila disoal begitu. Nak jujur ke tak nak? Ah, jujur sajalah!

My Wife
Hurm, adalah dalam 89%.

Arshad lantas menarik muka kelat. Pesanan balas segera ditaip lalu dihantar.

Encik Arshad
Lagi 11% hanyut ke mana?

My Wife
Mana boleh rindu lelaki bukan mahram...kan berdosa.

Arshad mencebik sebal sebelum membetulkan posisi duduk. Tak boleh jadi ni! Dia perlu menghangatkan kembali keadaan. Mereka pun bukannya makin muda. Peluang yang ada perlu digunakan sebaik mungkin. Arahan Wahid terus dilupakan.

Encik Arshad
Kalau dah mahram, boleh capai ke 100%. Tapi saya tak nak 100%. Saya nak 200%, boleh?

Ayuni mengekek suka. Hatinya berbunga-bunga saat itu.

My Wife
Amboi...Encik Arshad kenapa tak tidur lagi?

Encik Arshad
Saya kurang sihat.

Dahinya berkerut. Timbul kerisauan terhadap keadaan Arshad.

My Wife
Encik Arshad tak sihat? Demam ke? Dah makan ubat?

Arshad tersengih geli hati.

Encik Arshad
Ya. Demam cinta. Ubat dia, saya masih belum dapat purchase lagi buat masa sekarang.

Ee, gedik! Sekali lagi bantal tidak berdosa itu menjadi mangsa tumbukan Ayuni.

My Wife
Ish, mengada.

Arshad tertawa sebelum menghantar teks selanjutnya.

Encik Arshad
Kita jumpa esok, nak?

Gila tak mahu! Mestilah nak.

My Wife
Ambil saya di rumah.

Bukan main suri hatinya sekarang. Sudah pandai memberi arahan. Tapi, sayang punya pasal, 7 benua 7 lautan yang luas itu pun sanggup dia redah. Asalkan dia dapat cinta seorang Puteri Ayuni.

Share this novel

revathirev
2024-06-10 16:16:28 

tada update lagi ke author

shiedah
2024-05-18 21:17:15 

mengalahkan remaja bercinta??

shasya
2024-05-18 14:03:06 

ni.. ini parah ni hehe


NovelPlus Premium

The best ads free experience