Tidak percaya rasanya, bahawa pada saat ini, dia sedang mendukung zuriat sendiri. Bibir mengukir senyuman lebar kala melihat wajah kemerahan si kecil yang sedang pulas tertidur dalam dakapannya.
"Masha Allah, comel sangat. Geram opah tengok budak kecil ni." Pipi gebu milik si kecil itu dicubit lembut.
Arshad menoleh ke arah Ayuni yang sedang berehat di atas katil. Dia perlu berterima kasih kepada gadis itu kerana telah melahirkan zuriatnya dengan selamat.
"Mari, opah letakkan dia dekat dalam katil bayi." Ujar Azimah. Arshad mengangguk sekilas sebelum menyerahkan tubuh anaknya kepada Azimah. Si kecil itu dibaringkan di dalam katilnya yang sudah tersedia di sebelah Ayuni.
"Kita duduk di luar dulu. Biar mereka berehat kejap." Azimah dan Arshad keluar dari bilik wad lalu mengambil tempat di kerusi pelawat. Suasana hening menemani mereka berdua. Azimah berkira-kira untuk bersuara. Takut akan menyakiti perasaan Arshad. Sejak tadi, raut wajah lelaki itu masam mencuka.
"Kamu, nak bawak Adwa pergi, bila?" Azimah menoleh ke arah Arshad di sebelah. Penampilan lelaki itu kelihatan tidak terurus seperti selalu.
"Esok. Lepas siap surat beranak." Jawabnya, pendek. Rasa berat hati semasa mengujarkan ayat itu kepada Azimah. Kalau boleh, dia tidak mahu pergi ke mana-mana. Tapi, syarat perjanjian harus dipatuhi untuk kebaikan semua pihak.
"Se...secepat itu? Tapi, Adwa perlukan ibu dia. Dia perlu menyusu badan." Azimah tergamam. Arshad hanya senyap tanpa kata.
"Itu, saya akan uruskan nanti. Opah tak perlu risau. Tolong jaga Ayuni dengan baik." Seusai berpesan, dia bingkas berdiri lalu melangkah meninggalkan tempat itu.
"Aku dah cakap dengan Nita. Esok, dia akan datang terus ke rumah kau." Ujar Wahid sejurus selepas melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Wajah kusut Arshad ditatap lama. Lolos satu keluhan dari bibirnya kala melihat keadaan Arshad yang kelihatan serabut. Dengan rambut tidak bersikat, muka berminyak. Jambang tidak dicukur. Dah serupa lelaki kematian isteri. Sama seperti dua minggu yang lepas. Tergeleng kepalanya.
"Kau tak payahlah fikir pasal Ayuni dah. Sekarang ni, fikir pasal anak kau tu. Dia lagi penting." Kata Wahid dengan tegas. Arshad memusingkan kepala, menghadap satu-satunya kawan yang setia menemaninya di saat, dia dalam kebuntuan.
"Aku tengah fikirkan pasal anak akulah ni. Aku...aku risau, kalau dia cari Ayuni." Jelasnya.
"Dia masih bayi. Dia takkan perasan sangat. Dah besar nanti, kau kelentonglah. Cakap dah berpisah ke, dah meninggal ke. Dah dia sendiri taknak dekat anak tu kan. Yang kau nak pening-pening kepala pasal apa? Benda boleh reka sendiri kot." Bentaknya dengan geram.
"Boleh ke aku hidup tenang lepas ni? Tanpa Ayuni?"
"Banyaklah kau punya cekadak! Korang dua pun bukannya pasangan kekasih atau merpati dua sejoli sebelum ni. Sekadar perogol dan mangsa je. Kalau dia nak kau, dah lama dah dia terima kaulah Arshad. Boleh tak jangan jadi bodoh sangat." Semburnya lagi.
"Aku buntulah Wahid."
"Dah. Tak perlu dah fikir pasal tu. Sekarang ni, aku nak kau bukak buku baru. Karang semula jalan hidup kau. Sekarang ni, ada watak baru yang kau kena jaga." Pesannya dengan tegas.
"Jaga Adwa baik-baik Arshad. Opah sentiasa terima kamu berdua." Ujar Azimah sebelum melabuhkan kucupan pada pipi gebu Adwa yang sedang tertidur dalam dukungan Arshad. Air mata Azimah mengalir mengenangkan perpisahan Adwa dengan ibunya. Semoga cicitnya bahagia bersama Arshad. Tidak seperti Ayuni dan Kasim.
"Saya pergi dulu. Assalammualaikum." Arshad melangkah perlahan ke arah kereta yang sedang menunggunya di halaman rumah. Barang-barang miliknya dan Adwa sudah lama dipindahkan ke rumah baharu mereka.
"Opah..." Ayuni mencelikkan mata selepas dua hari tidak sedarkan diri. Dia memandang kawasan sekitar sebelum mengalihkan sepasang mata kuyunya pada Azimah yang sedang berdiri tegak di sebelah.
"Yuni dah sedar ya? Kejap opah ambilkan air." Azimah lantas menghampiri meja yang menempatkan jug air sebelum air di dalamnya diisikan ke dalam satu gelas kosong.
Air itu lantas diserahkan kepada Ayuni. Dengan rakus, air di dalam gelas itu diteguk. Dia terlalu dahaga. Gelas air yang sudah kosong itu diserahkan kembali kepada Azimah.
"Mana anak Yuni?" Soalnya tiba-tiba. Ayuni mendongak sedikit ke arah katil bayi yang berada tidak jauh dari tempat tidurnya.
"Dia dah dibawa pergi." Jawab Azimah, tanpa nada. Dia tidak sanggup bertentang mata dengan Ayuni.
"Di...dibawa pergi siapa?"
"Arshad." Jeda. Kepala Ayuni tertunduk.
"Tapi, Ayuni tak sempat tengok muka dia." Ujarnya dengan perlahan. Suaranya bergetar.
"Tak perlu tengok. Nanti, Yuni akan sedih. Biarlah, semua tu jadi masa lalu kamu. Lepas ni, fikir pasal pelajaran sahaja." Pesan Azimah dengan tegas. Dia sendiri yang memilih jalan itu.
"Nita?!" Laungnya dari ruang tamu. Tidak lama selepas itu, muncul seorang wanita dari arah dapur. Badan membongkok hormat di hadapan Arshad selaku majikannya.
"Ya, tuan?"
"Awak dah beri susu kepada Adwa tengah hari tadi?" Soalnya dengan tegas. Dia baru sahaja pulang dari pejabat.
"Sudah tuan. Sebentar tadi pun, Adwa ada menyusu." Jawabnya.
"Baiklah. Terima kasih." Arshad terus melangkah ke tingkat atas. Ikatan tali leher dilonggarkan. Dia menuju ke bilik Adwa.
Daun pintu dibuka perlahan. Enggan mengejutkan si kecil itu dari tidurnya. Arshad mengintai sedikit keadaan di dalam katil bayi. Bibirnya mengukir senyum kala mendengar denguran halus dari mulut Adwa.
"Anak babah tidur ya? Babah baru balik kerja. Babah nak mandi dulu. Kejap lagi babah datang balik ya..." Bisiknya sebelum mengucup lembut dahi Adwa. Selimut ditarik menutup tubuh kecil anaknya sebelum dia keluar dari bilik itu.
"Apa khabar anak kau sekarang?" Soal Wahid sebaik sahaja Arshad melabuhkan punggung di hadapannya.
"Okay, sihat. Alhamdulillah." Jawab Arshad sebelum mengangkat tinggi sebelah tangannya ke arah pelayan untuk membuat pesanan.
"Baguslah. So, nak order apa?" Tidak lama selepas itu, seorang pelayan lelaki menghampiri mereka berdua sebelum mengambil pesanan.
SELEPAS 3 HARI
Langkah Ayuni dan Azimah terhenti kala melihat pemandu Arshad, Pak Mat menghampiri mereka berdua.
"Eh, Pak Mat? Buat apa dekat sini?" Ayuni menyoal hairan. Dia melirik sekilas ke arah Azimah di sebelah.
"Lepas ni, Pak Mat berkhidmat untuk Ayuni dan Kak Mah pulak." Ujar lelaki tua itu.
"Arshad?" Dahi Azimah berkerut. Kurang faham dengan jawapan Pak Mat. Bukankah lelaki itu pemandu Arshad?
"Dia dah ada pekerja baru. Saya tetap bekerja di bawah Encik Arshad, cuma saya berkhidmat untuk Ayuni dan Kak Mah sahaja. Nak pergi mana-mana nanti, cakap je dekat saya." Jelasnya. Ayuni dan Azimah lantas mengangguk faham.
"Terima kasihlah Mat. Sudi tolong kami." Ucap Azimah. Arshad sudah banyak menolong mereka.
"Meh sini, biar Pak Mat bawakan beg tu. Kereta ada di bawah. Kejap je, Pak Mat pergi ambil kereta dulu." Beg pakaian dalam genggaman Ayuni diambilnya sebelum berlalu ke arah lif.
SELEPAS 2 BULAN
"Ayuni, esok akan ada guru persendirian yang datang ajar kamu di rumah. Bersedia ya." Pesan Pak Mat sejurus selepas menyerahkan barangan dapur kepada gadis itu.
"Oh...okay Pak Mat. Terima kasih." Balasnya sebelum masuk ke dalam rumah bersama barang-barang tadi.
"Jauh termenung. Fikirkan siapa?" Azimah mengambil tempat di sebelah Ayuni.
"Takde fikirkan siapa-siapa pun. Opah tak tidur lagi?" Ayuni menggenggam erat tangan neneknya.
"Belum. Tak boleh tidur." Jawab Azimah. Sebenarnya, dia rindu akan Adwa. Arshad hilang tanpa kata. Ke manalah lelaki itu sudah pergi?
"Yuni pun sama." Balas Ayuni dengan perlahan.
"Rindu Adwa ke?"
"Entah. Rindulah kot." Dia sendiri tidak faham dengan isi hatinya. Dia tidak pernah menyayangi anak itu, tapi, entah mengapa, dia teringin melihat wajah Adwa.
SELEPAS 5 BULAN
"Alright, jumpa esok. Jangan lupa ulangkaji chapter lepas." Pesan wanita itu sebelum mencapai beg silangnya. Ayuni menyelak halaman buku sebelum mengangguk faham.
"Okay, Miss Lim. Thank you." Ucapnya sebelum menghantar wanita itu ke muka pintu.
"Your welcome."
SELEPAS 1 TAHUN
"Opah!" Teriak Ayuni. Dia berlari pantas menuju ke arah dapur.
"Ya Allah, yang terjerit-jerit ni dah kenapa Yuni?" Azimah lekas meletakkan piring di tangan ke dalam singki sebelum menghampiri Ayuni.
"Cepatlah tengok ni!" Kertas itu diserahkan kepada neneknya. Cepat-cepat Azimah mengelap tangan basahnya pada hujung baju sebelum menyambut huluran Ayuni.
"Tawaran masuk belajar ke universiti. Alhamdulillah, Ya Allah." Dahi Ayuni lantas dikucup penuh sebak. Akhirnya, tercapai juga cita-cita Ayuni.
Share this novel