Ayuni melangkah masuk ke dalam kelas dengan semangat yang berkobar-kobar. Sebentar lagi, bermulalah kelas pertamanya.
Suasana dan susunan perabot di dalam bilik kuliah dilihat penuh teruja. Jadi beginilah rupa kelas pembelajaran di universiti. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Betapa gembiranya dia pada saat ini. Kalau tiada sesiapa di situ, pasti sudah lama dia menjerit dan bersorak.
Dia mengambil tempat di barisan ketiga. Barisan pertama dan kedua sudah penuh dengan pelajar.
"Hi, saya Ina." Sapa gadis di sebelahnya. Ayuni menyambut huluran tangan Ina dengan gembira. Akhirnya, dia ada kawan.
"Hi, saya Fiza." Tegur seorang pula kawan Ina. Ayuni membalas lambaian tangan daripada gadis itu dengan senyuman manis.
"Saya Ayuni. Panggil Yuni je." Jelasnya sebelum mengeluarkan buku nota dan sebatang pen dari dalam beg galasnya.
Tidak lama kemudian, seorang wanita dalam lingkungan 50-an masuk ke dalam kelas lalu berdiri di hadapan mereka.
"Assalammualaikum. Saya Dr. Halimah. Untuk subjek ni, saya yang akan guide kamu semua. Sebelum memulakan kelas, ada beberapa peraturan dan undang-undang yang perlu kamu semua ikuti semasa menghadiri kelas saya. Yang pertama..." Ayuni mencatitkan semua peraturan yang disebut oleh pensyarahnya.
"Nak makan dekat kafe mana?" Soal Ina. Mereka bertiga sudah habis kelas. Ayuni sudah boleh pulang terus ke rumah, manakala Ina dan Fiza mempunyai kelas lain selepas ini.
"Aku okay je mana-mana. Kau Yuni? Kau nak makan dekat kafe sini ke atau dekat kafe hujung fakulti ekonomi tu?" Tanya Fiza sebelum mengekori langkah Ina dan Ayuni dari belakang.
"Saya tak join kut. Saya nak balik awal sikit hari ni. Kamu berdua pergilah makan dulu. Next time, kita makan sama-sama." Ujarnya. Ina dan Fiza mengangguk faham sebelum membalas senyuman Ayuni.
"Baiklah. Next time, kita makan sama-sama ya. Bye..." Mereka berpisah di situ.
"Ya, Pak Mat? Boleh. Takpe. Saya tunggu dekat bus stop tadi. Baik. Waalaikummusalam." Telefon bimbit dimasukkan ke dalam beg galas. Dia melabuhkan punggung di atas bangku sambil menghalakan pandangan ke arah jalan raya di hadapan.
"Itu ibu Adwa. Cantik kan?" Arshad berada tidak jauh dari perhentian bas yang diduduki oleh Ayuni. Tingkap kereta ditutup rapat. Punggung anaknya ditepuk perlahan.
"Nanti kita datang lagi. Babah taknak ibu tahu pasal kita." Ujarnya sebelum mengarahkan pemandunya untuk beredar dari situ.
"Maaflah Pak Mat lambat tadi. Ada hal dekat rumah." Jelas Pak Mat sambil meluruskan pandangan ke arah jalan raya.
"Takpe Pak Mat. Tak lambat mana pun. Ayuni okay je." Balas Ayuni sambil tersenyum tipis.
"Dah setahun lebihlah Arshad! Sampai bila kau nak tunggu Ayuni? Anak kau pun makin besar, cepat-cepatlah carikan dia seorang ibu." Marah Wahid. Dia sebenarnya tidak setuju Arshad menguruskan anaknya seorang diri. Lama-lama, dia akan berasa penat dan tertekan.
"Daripada aku kahwin dengan perempuan lain, baik aku kahwin dengan ibu Adwa yang sebenar je. Takpe, aku sanggup tunggu Ayuni. Biarlah dia ambil masa berapa lama pun dia nak." Wahid menggelengkan kepala.
"Kau boleh tak fikir waras sikit. Ayuni tu baru 19 tau. Perjalanan dia masih panjang. Masih terlalu muda. Lagi-lagi, dengan dia dah sambung diploma dekat sana. Kau ingat, takde jantan yang try dia? Kau yakin ke yang Ayuni tu takkan terpikat dengan jantan-jantan dekat sana?" Wahid bernada sinis. Arshad terkedu seketika. Ada betulnya kata-kata Wahid. Bagaimana kalau Ayuni sudah mempunyai kekasih?
"Rasanya dia belum ada boyfriendlah Wahid. Sebab, selalu aku tengok, dia balik seorang je. Hari-hari, Pak Mat yang hantar dan ambik dia dari universiti." Terang Arshad dengan yakin.
"Lah...apa punya jawapan kau bagi ni Arshad! Itu di luar kawasan universiti. Tapi di dalam? Ada kau tahu? Takkan dia nak angkut boyfriend dia 24 jam 365 hari. Fikirlah sikit..." Semburnya. Arshad terdiam lagi. Aduh, makin risau jadinya.
"Kau ni, boleh tak jangan rosakkan mood aku?"
"Eh, aku pulak yang kena! Orang cakap benda betul." Kedua lelaki itu menarik muka masam. Merajuk!
"Kenapa anak babah tak tidur lagi ni? Acik Nita kan dah bagi susu." Belakang Adwa ditepuk lalu diurut perlahan. Si kecil itu meragam sejak tadi.
"Mungkin perut dia masuk angin kut tuan." Jelas Nita sambil menghulurkan minyak angin kepada Arshad.
BURP...
"Alhamdulillah. Kenyang pun anak babah ni." Pipi gebu itu dicium geram.
"Alhamdulillah tuan. Sekarang dah berhenti menangis." Nita menarik nafas lega.
"Takpe Nita, minyak angin ni, awak simpan dulu. Saya bawa masuk Adwa." Nita mengangguk faham sebelum memberikan laluan kepada Arshad.
"Macam mana pelajaran Ayuni setakat ni?" Tanya Azimah sambil mencedokkan nasi ke dalam piring Ayuni.
"Okay, opah. Cuma, assignment banyak." Jawabnya sebelum mengacau kuah di dalam mangkuk.
"Es...Essaimeng? Apa tu?" Azimah memandang pelik Ayuni yang sudah terkekek mengetawakannya.
"Assignmentlah opah. Kerja kursus." Balasnya sebelum menggelengkan kepala.
"Oh. Ingatkan apa. Ni opah nak pesan, buat masa ni tumpukan perhatian pada pelajaran je tau. Jangan nak bercinta bagai." Katanya dengan tegas. Bukan apa, dua hari lepas, ibu Hairine ada memberitahunya bahawa keputusan peperiksaan anaknya makin merosot kerana sibuk bercinta. Azimah tidak mahu Ayuni melakukan kesalahan yang sama.
"Okay, opah. Ayuni takkan bercinta." Ujarnya sambil mengunyah makanan.
"Adwa sihat. Mat baru je tengok dia semalam." Azimah tersenyum lebar.
"Iya ke Mat? Ya Allah. Rindunya pada Adwa. Hampir setahun lebih saya tak tengok dia." Air matanya bergenang.
"Mungkin Arshad tak mahu ganggu Kak Mah dengan Ayuni lagi." Azimah tertunduk menekur lantai. Bila agaknya dia dapat melihat wajah cicitnya lagi.
SELEPAS 3 TAHUN
"Pak Mat berhenti dekat sini je." Pak Mat lantas menganggukkan kepala sebelum memberhentikan kereta di tepi jalan. Ayuni keluar bersama beg galasnya.
"Hati-hati kerja tu. Pak Mat balik dulu. Assalammualaikum."
"Okay, Pak Mat. Waalaikummusalam" Ucapnya sebelum melangkah masuk ke dalam sebuah kafe pastri dan manisan.
"Ya, cik nak order apa?" Ayuni sudah bersedia dengan buku nota dan pen untuk mengambil pesanan.
"Bagi saya donut karamel dua, donut gula satu, dengan cappucino satu." Pesanan wanita itu segera dicatit ke dalam buku notanya sebelum dia mengoyak lalu menyelitkan kertas itu di tingkap dapur.
"Bila kau sambung degree balik?" Dania menyoal sambil mengelap meja. Kafe sudah lama ditutup. Hanya tinggal Ayuni, Dania, Mukhsin dan Jayden yang ditugaskan untuk membersihkan kawasan kafe sebelum pulang ke rumah. Waktu menunjukkan pukul 10.30 malam.
"Lagi 5 bulan. Awak tak nak sambung balik ke Dania?" Dania menggeleng laju.
"Taknak dah. Tak sanggup hadap buku dan kelas. Cukuplah sampai Diploma." Ayuni tertawa. Dia pun, penat sebenarnya. Tapi, itu adalah cita-cita Ayuni sejak dulu. Walau sesukar manapun, dia akan hadap juga.
"Aku balik dulu Yuni. Maaf tak boleh teman kau lama-lama." Ujar Jayden dengan serba salah. Ayuni menggelengkan kepala sambil tersenyum tipis kepada lelaki itu.
"Takpe. Awak baliklah dulu. Kesian isteri awak tunggu lama dekat rumah. Kejap lagi adalah tu, teksi atau grab." Jayden mengangguk dengan hati yang berat.
Ayuni melabuhkan punggung di atas bangku di luar kafe. Malam ini, Pak Mat tidak dapat mengambilnya kerana ada urusan di kampung. Jadi, dia terpaksa menunggu teksi. Dia sudah lama memesan grab, tapi tiada sesiapa pun yang melalui kawasan itu.
Tiba-tiba, guruh berdentum kuat. Ayuni cepat-cepat mengeluarkan payungnya dari beg galas. Hari sepertinya mahu hujan. Dia melepaskan keluhan berat.
Macam mana nak balik ni? Dia mula diserang ketakutan. Jam tangan dilirik sekilas. Dah pukul 11.30 malam.
Guruh dan kilat mula sabung menyabung. Ayuni memeluk erat beg galasnya. Payung digenggam kuat. Mata terpejam kala tiupan angin menderu menampar wajah. Dia benar-benar takut ketika itu.
Mata dibuka kala ada satu cahaya terhala tepat ke arahnya. Ayuni mengecilkan pandangan lalu melihat kereta di depan.
"Jom balik." Seru Arshad dari dalam kereta. Terbuntang luas mata Ayuni melihat lelaki itu. Selepas 4 tahun, mereka bertemu jua.
"Cepat. Hari nak hujan." Ayuni menyarungkan beg galasnya ke belakang sebelum melangkah ke kereta Arshad. Pintu bahagian penumpang di belakang dibuka perlahan lalu dia meloloskan diri ke dalam.
Jeda. Suasana sepi di antara mereka berdua. Masing-masing tidak bersuara. Ayuni melihat sekitar kereta mewah Arshad. Cantik dan kemas. Pujinya tanpa sedar. Sedang dia leka memerhati keadaan kereta milik lelaki itu, mata Ayuni terhenti pada satu objek kecil yang berada di atas lantai kereta.
Dia membongkok sedikit sebelum mengangkat objek itu. Bentuk objek itu diperhati di bawah cahaya suram. Cawan mainan. Bibirnya mengukir senyuman. Pasti kepunyaan Adwa.
"Ad..." Kata-katanya terus mati. Terasa segan untuk berbual dengan Arshad. Tapi, dia rindu Adwa. Dia meramas kuat hujung bajunya.
"Dah sampai." Ayuni mengangguk perlahan sebelum keluar dari kereta Arshad. Kereta lelaki itu terus beredar sejurus selepas menurunkan Ayuni.
"Sombong!" Kutuknya sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.
Share this novel