"Ya Allah. Kenapa lambat sangat balik hari ni? Opah risau..." Azimah segera menghampiri tubuh Ayuni lalu menariknya ke dalam dakapan.
"Pak Mat kan balik kampung. Teksi dengan grab pun takde tadi. Kawan-kawan kerja pun tak boleh nak hantar. Masing-masing bawak motor. Helmet ada satu je." Terangnya lalu meleraikan pelukan mereka. Tangan neneknya digenggam kemas.
"Opah risau sangat tadi. Syukurlah kamu dah selamat sampai. Siapa yang hantarkan kamu tadi?" Soal Azimah. Ayuni terdiam seketika.
"Encik Arshad." Jawabnya tanpa nada. Berangin pula bila memikirkan sikap lelaki itu tadi. Lepas turunkan Ayuni, dia terus memecut pergi. Takde langsung tanya pasal opah, atau bercerita tentang Adwa.
"Arshad? Arshad yang hantarkan kamu?" Azimah tidak percaya.
"Ya. Dia yang hantar. Kebetulan dia lalu situ, hari pun nak hujan, Ayuni naik jelah sekali." Jelasnya lagi. Azimah mengangguk perlahan.
"Adwa?"
"Takde. Hanya ada Encik Arshad je. Opah, Yuni naik dulu ya. Nak mandi dan berehat. Penat."
"Baiklah. Apa-apa hal panggil opah di bawah." Pesannya. Ayuni membalasnya dengan senyuman tipis sebelum menghayunkan langkah ke tingkat atas.
Daun pintu dibuka lalu ditutup rapat. Beg galas diletakkan di atas meja belajar. Dia menuju ke arah katilnya lalu melabuhkan duduk di situ.
Perlahan genggaman tangannya dibuka. Bibir mengorek senyuman lebar kala melihat objek kecil itu di atas tapak tangannya. Tadi, sebelum keluar dari kereta, Ayuni membawa sekali permainan Adwa bersama. Pasti Arshad tidak akan perasan tentang kehilangannya. Cawan mainan itu diletakkan di atas meja solek sebelum Ayuni bangun dari katil.
Jaket tebal yang tersarung pada tubuh ditanggalkan lalu dimasukkan ke dalam bakul pakaian kotor. Rambut dilepas lalu dikemaskan dan diikat tinggi. Sehelai t-shirt labuh dan seluar pijama panjang dibawa keluar dari almari. Tuala yang tersidai di ampaian dicapai lalu suis bilik air dihidupkan.
Seusai membersihkan diri, Ayuni bersandar pada kepala katil sambil memikirkan tentang Adwa. Sihatkah anaknya itu? Pasti sudah boleh bercakap.
Tanpa sedar, dia terlena di situ. Jam penggera berdering, mengejutkan Ayuni dari tidur yang panjang. Cepat-cepat dia bangun, lalu mengemas katilnya sebelum masuk ke dalam bilik air dan membersihkan diri.
Sejadah dibentangkan di atas lantai. Telekung disarungkan ke atas kepala. Dia bersujud kepada Yang Maha Esa.
"Hmm...awal lagi ni. Nak buat apa?" Dagu diketuk dengan jari telunjuk.
"Sambung tidurlah. Rasa penat sikit." Waktu kerjanya masih lambat lagi. Jadi, dia memutuskan untuk berehat dahulu sebelum bangun sarapan.
"Hari ni, Pak Mat dah ada kan?" Azimah sibuk menghidangkan sarapan pagi buat Ayuni. Sebentar lagi, gadis itu akan bertolak ke tempat kerja.
"Ada dah." Balas Ayuni, pendek sebelum memasukkan nasi goreng itu ke dalam mulutnya.
"Okay, dah boleh bersurai." Staf berpusu-pusu keluar dari bilik mesyuarat. Arshad mengerling jam tangannya. Hampir tengah hari. Dia mahu pulang dan berjumpa Adwa.
"Edry, lepas lunch, kita start meeting dengan HR. Later, let them know." Pesannya sebelum keluar dari situ.
"Adwa tengah tidur, tuan." Nita, pengasuh Adwa muncul di muka pintu. Arshad mengangguk faham sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Punggung dihenyakkan di atas sofa.
"Tuan nak saya buatkan air?" Arshad menggelengkan kepala. Dia mahu berehat sebentar. Tiba-tiba, wajah Ayuni bermain dalam fikiran. Dia tersenyum sendiri. Semalam, dia beranikan diri dan menghampiri gadis itu.
Nasib baik, dia setuju untuk naik sekali bersama Arshad. Sebenarnya, dia selalu mengintai gadis itu dari jauh dan malam lalu, Arshad mendapat tahu bahawa Pak Mat berada di kampung.
Tidak lama selepas itu, satu persatu kawan kerja Ayuni pulang, meninggalkan gadis itu seorang diri di luar kafe. Arshad mula gelisah. Terperangkap antara Ayuni dan Adwa.
Dia perlu segera pulang ke rumah kerana anak kecilnya hanya akan tidur jika ada Arshad di sebelah. Tapi, dia berasa berat hati untuk membiarkan Ayuni di situ seorang diri. Dia segera menelefon Nita, lalu menyuruhnya untuk menjaga Adwa sehingga dia pulang ke rumah.
"Kalau takde apa-apa, saya ke dapur dulu. Nak hidangkan makan tengah hari." Ujar Nita sebelum berlalu pergi dari ruang tamu. Arshad bingkas berdiri lalu mendaki anak tangga ke tingkat atas.
"Ayuni, kau balik macam mana semalam? Sorrylah, terpaksa tinggalkan awak seorang-seorang dekat luar." Ujar Jayden sebaik sahaja Ayuni tiba di muka pintu dapur. Dania memandang pelik ke arah mereka berdua.
"Jap, maksud kau?" Celahnya sambil menatap wajah Ayuni dan Jayden silih ganti.
"Tak semalam, Pak Mat balik kampung. Grab pula takde. Teksi pun takde yang lalu dekat area kafe. Aku ada temankan Ayuni sekejap, lepas tu terus balik sebab isteri aku seorang diri dekat rumah." Jelas Jayden dengan perlahan.
"Ya Allah! Bahaya tu. Lepas tu, kau balik macam mana Ayuni?" Tanya Dania.
"Erm...err...ada...ada kawan saya ambil." Jawabnya tergagap-gagap. Serentak Jayden dan Dania menganggukkan kepala. Nafas lega dilepaskan.
"Nasib baik. Itulah, semalam aku ajak kau balik dengan aku, kau taknak." Sembur Dania.
"Eh, takpe. Saya tak nak susahkan siapa-siapa. Lagipun, kan takde apa-apa. Saya pun selamat." Jelasnya dengan nada lembut.
"Lepas ni, kalau Pak Mat takde, kau balik je dengan aku." Tekan Dania dengan keras. Ayuni terpaksa mengalah nampaknya.
"Ayuni cari siapa?" Soal Pak Mat sambil memandu. Tingkah Ayuni dilirik melalui cermin pandang belakang. Gadis itu, sepertinya sedang mencari seseorang.
"Err, takde cari siapa-siapa pun Pak Mat. Ayuni saja tengok sekitar sini." Naik hairan Pak Mat dengan jawapan Ayuni. Tengok sekitar buat apa tengah-tengah malam macam ni. Fikirnya.
"Okay, dah sampai. Esok Pak Mat datang lagi ya. Assalammualaikum." Pesannya sebelum beredar. Ayuni masuk ke dalam rumah sebelum memberikan salam.
Tidak jauh dari kawasan perumahan itu, kereta Arshad berlalu pergi. Dia mengekori kereta Pak Mat sehingga Ayuni selamat tiba di rumah. Itu sudah menjadi rutin hariannya sejak Ayuni melakukan kerja sambilan di kafe pastri dan manisan itu.
Share this novel