PAGI itu di bilik wad tingkat dua Hospital Kuala Terengganu Medical Centre, matahari belum sepenuhnya memancar tetapi cahaya pagi sudah menyelinap masuk dari celahan tirai. Suasana sepi, hanya kedengaran bunyi mesin pemantau degupan jantung dan desiran pendingin hawa yang menderu perlahan.
Ameena sedang lena.. wajahnya bersih dan tenang, seolah tak pernah melalui derita semalam. Suaminya juga terbaring di sebelah, berselimut tebal hingga ke dada. Eman bernafas perlahan, kepalanya terlindung di celah ketiak isterinya, tubuhnya cuba menumpang hangat badan Ameena dalam dingin penghawa dingin yang menggigit tulang.
Tiba-tiba...
Bahunya ditepuk perlahan tapi cukup untuk membuatkan Eman terjaga dari lena. Kelopak matanya terangkat perlahan. Dia masih dalam kabus mamai sebelum matanya terbeliak.
Hajah Sufiah berdiri di sisi katil dengan wajah tegas dan renungan tajam. Tangan kirinya bersilang di dada, tangan kanan masih tergantung bersedia untuk menampar bahu anak lelakinya sekali lagi.
“Mak!” Eman menjerit separuh berbisik. Terus dia melonjak duduk, menolak selimut dari tubuh.
Hajah Sufiah menepuk lagi. Kali ini lebih kuat.
“Aduh, mak! Sakitlah!” rungut Eman perlahan sambil menggosok bahunya.
“Kaklong tu baru je mula pantang, Eman. Awak ni tak faham ke hukum? Jangan macam-macam! Dah, turun! Bagi dia rehat!” suara Hajah Sufiah mengawal nada, perlahan.. tapi cukup menggertak.
Eman tersengih malu. Matanya melirik ke arah Ameena yang masih lena, bibirnya sedikit terbuka, nafasnya perlahan.
“Manja- manja dengan isteri koi, Mak… bukan buat apa pun. Koi tak sampai hati nak tinggal dia sorang-sorang… dia menggigil sejuk malam tadi,” jawab Eman cuba memujuk.
“Manja konon… kalau dia demam nanti, siapa susah?”
“Abah pun dulu manja dengan Mak jugak kan…” Eman cepat menoleh ke arah Cikgu Hasyim yang baru muncul di muka pintu wad dengan membawa sarapan.
“Kan, Bah…?” Eman cuba bersekutu.
Cikgu Hasyim hanya tersenyum, menggeleng perlahan. “Zaman muda dulu lain, Along. Tapi Mak kamu tetap Mak kamu.”
Eman terus menggosok bahunya, yang masih berdenyut.
“Pedih, mak oi… Nasib baik bukan tangan Abah yang tampar.”
Hajah Sufiah hanya menjeling.
“Pergi ambil wuduk sana… lepas tu baca surah Maryam sikit. Nak lembut hati anak, suami… mulakan dengan doa. Bukan berpeluk dalam selimut hospital.”
Eman akur, bingkas turun dari katil sambil menyambar tuala kecil.
“Baik, Mak. Koi insaf pagi ni,” ucapnya bersahaja, lalu melangkah ke bilik air dengan langkah perlahan dan mata yang masih separuh mamai.
Cikgu Hasyim menepuk bahu isterinya.
“Beri dia peluang. Baru sehari bergelar bapa.”
Hajah Sufiah menghela nafas. “Anak lelaki awak tu… memang kalah dengan Ameena... Manja!”
SUNYI dan damai. Bunyi penghawa dingin mengisi ruang, sesekali diselangi kicau burung dari luar tingkap.
Ameena perlahan-lahan membuka mata. Cahaya pagi menyentuh wajahnya yang pucat, namun tetap tenang. Dia menggeliat sedikit, sakit itu masih ada, tapi sudah tidak setajam semalam.
Tangannya yang lemah teraba-raba di sisi. Katil terasa luas. Sunyi.
“Sayang...” suara itu tiba-tiba berbisik dekat di telinga, perlahan dan penuh rindu.
Eman.
Dia duduk di birai katil, tangannya menggenggam jari isterinya yang sejuk. Wajahnya mendekat, dahi lelaki itu mendarat di hujung jari Ameena dengan penuh kasih.
“Amee dah bangun..” ucapnya perlahan. Senyumannya sarat syukur.
Ameena hanya mampu mengangguk kecil, lemah.
“Abang...” suaranya parau, hampir tak kedengaran. “Baby…?”
“Dia sihat... kuat, sama macam Sayang,” Eman membalas sambil menyapu peluh nipis di dahi isterinya dengan tisu suam.
“Nurse bawa dia ke nursery lepas lahir. Abang ikut sekali… tapi abang balik sini cepat-cepat. Tak sampai hati tinggal Amee lama.”
Ameena mula menitiskan air mata. Eman lekas mengesatnya.
“Eh... kenapa nangis ni? Awak kena simpan tenaga. Hari ni... hari pertama kita bergelar ibu dan ayah, ingat tak?”
“Tak sempat peluk dia pun…” suara Ameena terputus-putus. “Saya... takut... rasa macam tak cukup ilmu nak jadi ibu.”
Eman menggeleng perlahan, tangannya mengusap pipi isterinya yang dingin.
“Sayang... awak dah cukup sempurna. Awak lahirkan anak kita dengan nyawa, tahu tak? Abang ada dekat situ semalam, abang nampak semua. Abang takkan pernah lupakan.”
Dia membetulkan selimut Ameena hingga ke paras dada. Kemudian, dia baring perlahan di sisi isterinya, tak rapat, sekadar bersandar di kepala katil.
Bahunya rapat sedikit ke bahu Ameena. Cukup untuk dia merasa kehangatan orang yang paling dia cinta.
“Mak, Abah, Ibu dengan Ayah ada datang. Dekat baby. Tengok cucu katanya. Amee pun tidur lagi tadi. Ameer dengan isteri dia pun dah sampai.”
“Abang...” Ameena memandang wajah suaminya. Mata mereka bertentang.
“Terima kasih… sebab tak tinggal Amee.”
Eman tersenyum.
“Abang tak pernah ada niat nak tinggal pun. Hidup Abang, nyawa Abang... semua dah pada Amee. Sayang ibu kepada anak Abang, isteri Abang dunia akhirat. Kalau boleh, Abang nak tua sebelah Sayang, dan mati dalam peluk Sayang.”
Perlahan, dia menciumnya di dahi. Lama. Lembut. Kudus.
Ketika itu, pintu bilik terbuka sedikit. Jururawat menjenguk.
“Maaf, Puan Ameena... boleh kami periksa luka dan tekanan darah?”
Eman segera bangun, membantu mengemaskan selimut Ameena, menyokong bantal di belakang. Wajahnya penuh prihatin.
“Abang tunggu kat luar sekejap ya. Abang belikan air soya kegemaran awak.”
Ameena menggenggam jemarinya sebentar.
“Jangan lama.”
Dia tersenyum. “Tak akan.”
Sebaik pintu ditutup semula, Ameena menghela nafas. Dalam hati, dia bersyukur. Biarpun tubuhnya masih lemah, jiwanya kuat… kerana cinta itu tetap utuh, membalut seluruh rasa.
PINTU bilik wad diketuk perlahan.
“Assalamualaikum, Puan Ameena...”
Jururawat muda melangkah masuk dengan senyuman lebar. Di dalam dakapannya, terbungkus rapi sekujur tubuh kecil bayi comel yang baru melihat dunia semalam. Bayi itu lena berbalut selimut hospital, berwarna pink lembut, hanya wajah mungilnya yang terdedah.
Eman, yang duduk di sisi katil, segera berdiri. Jantungnya berdegup kencang.
Dia melangkah ke arah jururawat, menyambut bayi mereka dengan kedua-dua tangan yang bergetar. Mata Eman membasah tanpa dia sedar.
“Ini dia... puteri sulung Puan dan Encik Eman. Sihat, aktif, dan sangat kuat menyusu masa kat nursery tadi,” ujar jururawat itu ceria.
“Terima kasih...” suara Eman hampir tenggelam. Dia berpaling ke arah isterinya.
“Sayang... nak tengok anak kita?”
Ameena mengangguk perlahan. Tangannya terangkat sedikit, lemah. Eman menghampiri, lalu meletakkan bayi kecil itu di dada isterinya dengan hati-hati.
Dan waktu seakan berhenti.
Tangisan pertama tidak keluar dari mulut bayi itu. Yang keluar, hanyalah sendu perlahan dari si ibu.
Ameena mendakap erat tubuh kecil itu ke dadanya. Hatinya bergetar, seluruh jiwanya merembes cinta.
Air matanya tumpah, menitis perlahan ke pipi anaknya. Anak yang hampir tinggalkan dia sewaktu insiden di tusuk pisau beberapa bulan lepas.
“Assalamualaikum... anak ibu...” suara Ameena serak, namun lembut penuh kasih. “Terima kasih sebab datang ke dunia... jadi cahaya hati ibu dan ayah...”
Eman duduk di sisi, menyentuh bahu isterinya.
“Dia ikut awak, tahu tak? Hidung tu... dagu... bibir... semua salin awak.”
Ameena tersenyum dalam tangisan. Bayi itu menggeliat sedikit, seolah-olah menyahut suara ibunya.
Jururawat menghampiri semula, menjelaskan dengan lembut.
“Puan Ameena, kalau boleh, peluklah bayi begini sekerap mungkin. Sentuhan kulit ke kulit bantu kestabilan suhu badan dia, degupan jantung, dan juga ikatan emosi dengan ibu. Kita panggil 'skin-to-skin contact'. Sangat penting dalam waktu awal ni.”
Ameena mengangguk, masih memeluk bayinya erat.
“Bayi puan juga masih dalam fasa transisi. Dia akan banyak tidur dan menyusu. Sekarang ni kita amalkan 'rooming-in', jadi bayi akan diletakkan bersama ibu supaya cepat kenal suara, bau, dan sentuhan ibu. Tapi jika Puan penat, boleh beritahu kami, kami bantu jagakan.”
“Terima kasih, nurse…” balas Eman dengan mata masih tertancap pada dua cinta hatinya itu.
Setelah jururawat keluar, Eman mengusap kepala bayi mereka yang berbulu halus.
“Apa nama dia, Abang?” soal Ameena perlahan.
Ameena menoleh, senyum dengan mata masih basah.
“Amna Imani... cantik tak sayang.. tenang.. damai.. macam Amee.”
Eman tersenyum, menyeka air mata di pipi isterinya dengan ibu jari.
“Amna Imani binti Eman Al Hadi... moga membesar jadi anak yang baik, bijak, dan kuat macam Ayah dan Ibu.”
Dia kemudian menunduk, mencium dahi Ameena lama-lama. Dan selepas itu, mencium ubun-ubun bayi kecil mereka.
Ketukan perlahan disusuli daun pintu yang terkuak perlahan. Kartini muncul terlebih dahulu, diikuti Hajah Sufiah, Cikgu Hasyim, dan Ameer. Suasana bilik wad segera disimbahi sinar kasih.
“Assalamualaikum...” suara Kartini lembut. Matanya terus mencari wajah anak perempuannya yang kini sudah bergelar ibu.
“Waalaikumussalam...” balas Ameena perlahan. Senyuman lemah tapi penuh kasih menghiasi wajahnya.
“Masya-Allah, comelnya cucu TokMa,” ujar Kartini, terus menghampiri lalu mencium ubun-ubun si kecil.
Ameer menghampiri dan menepuk bahu Eman.
“Abang Eman... tahniah. Dah jadi ayah betul-betul sekarang.”
Mereka tertawa kecil. Cikgu Hasyim pula menunduk, memandang wajah cucunya yang lena dalam dakapan Ameena.
“Muka ayah dia masa kecil...,” katanya perlahan.
“Mak...” Eman bersuara.. “Makcik Saleha ada datang rumah lagi ke?” Tiba – tiba dia teringatkan wajah itu. Bimbang wanita itu masih mengganggu keluarganya.
Semua mata beralih pada Hajah Sufiah. Wanita itu menarik nafas dalam-dalam, sebelum menjawab dengan nada perlahan.
“Saleha... masih belum keluar rumah sejak hari tu.”
“Dia sihat ke?” soal Kartini perlahan.
Hajah Sufiah tersenyum. “Sihat..Tini. Tapi, mungkin malu.”
Semua diam.
“Saleha tu..dia sebenarnya bukan orang kampung kami pun. Dia asal Thailand. Datang Malaysia lebih dua puluh tahun dulu. Kahwin dengan Salleh semata-mata nak dapat PR.”
Hajah Sufiah memandang Ameena dan Eman silih berganti.
“Airis tu bukan anak Pakcik Salleh. Tapi Pakcik Salleh sayang dia macam anak sendiri. Dia bela budak tu sejak bayi lagi. Dia sangkal semua kata-kata buruk orang pada Saleha. Bila Airis lahir, dia bintikan dengan nama dia. Tapi itulah.. Saleha ini sejenis manusia hati busuk.. tak tahu bersyukur..”
Tiba-tiba Eman menyampuk. Suaranya bersahaja, tapi cukup untuk mengendurkan suasana yang berat.
“Patutlah... sejak muda dia macam tu.... bukan orang Pahang..”
Dia menjeling sambil senyum nakal. “Orang Pahang baik-baik kan, Mak...”
Yang lain tertawa kecil. Hajah Sufiah memuncungkan bibir sambil mencubit lengan anak sulungnya.
“Awak tu pun jangan mengata. Tuhan uji orang ikut cara Dia. Hari ni dia diuji... esok lusa belum tentu kita tak kena.”
“Ya lah, Mak...” Eman tergelak kecil, sambil mengusap lengan yang dicubit tadi.
Ameena tersenyum melihat keletah suaminya. Dia tahu, dalam bergurau, Eman menyembunyikan luka-luka semalam yang masih berbaki.
EMAN senyum. Lama.
Kemudian tunduk mencium dahi Ameena. Lama dia biarkan bibirnya di situ. Kemudian naik ke pipi, ke hujung kening, ke ubun-ubun. Seolah-olah mahu mencium segala luka, segala perit yang telah Ameena lalui sejak awal.
“Sayang tahu tak… Abang masih rasa tak percaya,” bisik Eman di celah rambut isterinya. “Yang saya kahwin dengan orang yang saya cinta sejak dulu lagi.”
Ameena tersenyum malu. Matanya berkaca. Tapi tidak bersuara. Tangannya menggenggam jemari Eman perlahan, jari ke jari.
“Tengok ni…” Eman menyentuh lembut pipi si kecil yang tidur di dada ibunya. “Gabungan cinta kita. Separuh awak, separuh saya. Tapi saya tahu… semua yang indah tu, dia dapat dari awak.”
Ameena ketawa kecil, lalu menggeleng. Tapi air matanya luruh jua. Hati seorang wanita yang akhirnya dipilih, dihargai, dan dicintai seperti seorang ratu.
Eman mencuit hidung isterinya. “Jangan nangis. Kalau nangis, tak comel. Isteri Abang kena comel-comel je lepas ni. Dah jadi Ibu.”
Kepala disandar ke bahu isterinya.
“Abang tak pandai karang puisi macam dulu… tapi satu je yang Abang tahu. Ameena Azzahra bukan cuma isteri Eman Al Hadi. Dia rumah saya.”
Ameena berpaling memandang wajah suaminya yang sedang mencium pipi anak mereka.
“Rumah yang macam mana?”
Eman senyum.
“Rumah yang Abang nak pulang, walaupun dunia ni runtuh. Rumah yang tak pernah buang Abang walaupun Abang pernah hilang diri. Rumah yang tetap buka pintu… walau Abang datang dengan luka.”
Sunyi seketika. Hanya degup jantung. Hanya nafas tiga jiwa yang bergetar dalam bahagia.
“Abang minta satu je, Sayang…” suara Eman lirih.
“Kalau satu hari nanti Abang lupa lagi siapa Amee… Sayang datanglah bisik kat Abang...”
Dia merenung matanya dalam-dalam.
“Kata… Sayang cinta pertama dan terakhir Abang. Supaya Abang ingat, bahagia ni… memang milik kita.”
Ameena hanya mengangguk. Air matanya deras.
Eman mengusap rambut isterinya. Dan bayi kecil itu, seolah tahu mereka sedang mengikat janji, bergerak kecil dan menguap comel.
Eman mendukung si kecil dan mengangkatnya tinggi perlahan-lahan.
“Sayang…” bisiknya, matanya masih ke wajah bayi itu. “Lahirnya kamu… jadi bukti cinta Ibu dan Ayah. Kamu hadiah paling mahal dari Tuhan.”
Dia tunduk, mencium ubun-ubun anaknya, lalu menyandarkan kembali bayi itu ke dada ibunya.
Mereka pernah hampir melepaskan. Tapi hari ini, mereka tahu semua perit itu bukan sia-sia. Kerana akhirnya, cinta mereka sampai juga ke tempat yang dituju.. hati masing-masing.
terima kasih untuk followers OV... mohon maaf jika penulisan OV Ada menyentuh sensitiviti sesetengah pihak. Semoga masih Sudi menjadi reader untuk Novel OV seterusnya.
Share this novel