AMEENA menarik perlahan tangannya daripada genggaman Eman. Ameena berpusing ke arah lain untuk menyembunyikan wajahnya walaupun dia tahu perkara itu hanyalah sia-sia. Mereka berdua cuba mengawal riak wajah masing – masing supaya tidak ketara kecuakannya.
“Cikgu Ameena pun ada? Cikgu berdua dari mana?” Eman memandang wajah figura di hadapannya dengan pandangan yang serius.
“Kami ada kursus di KL, awak dari mana Aqilah?” Tiada segaris senyuman di wajah itu. Namun siapa tahu, seriusnya wajah lelaki itu adalah demi menyembunyikan kegusaran di hatinya. Aqilah merupakan pelajarnya daripada kelas Lima Sains Tulen dan Aqilah juga adalah pelajarnya yang paling suka bergosip. Andai kata cerita hari ini tersebar, pastinya yang terjejas emosi adalah Ameena, isterinya. Pastinya cerita yang timbul adalah cerita yang tidak baik kerana status Ameena sebelum ini.
Aqilah tersenyum memandang kedua – dua orang gurunya. ‘Macamlah saya tak nampak cikgu duk berpimpinan tangan. Bercintalah tu!’ Kata – kata itu hanya bermain di mindanya. Mana berani dia untuk bercakap begitu dengan guru disiplin yang paling garang di sekolah.
“Atuk saya tak sihat, jatuh dalam tandas. Itu sebab kami sekeluarga terpaksa balik. Kampung saya kat Semenyih.” Sekali lagi Aqilah tersengih – sengih. Ameena hanya mengangguk, timbul rasa simpatinya di situ.
“Cikgu dah lewat, Cikgu kena gerak dulu ya. Semoga datuk awak cepat sihat.” Eman cuba mengelak dari berlama - lama di situ, mengadap pula anak muridnya yang paling becok di dalam kelas. Silap hari bulan boleh terkantoi. Aqilah ibarat wartawan hiburan. Semua cerita ada dalam poket dia. Pernah dia bertanya, di mana tempat lepak pelajar yang ponteng sekolah kepada gadis itu dan hasilnya, dua tiga tempat dapat diserbu olehnya. Maklumat yang diberikan semua tepat dan berguna.
“Cikgu pun kena gerak dulu, awak hati – hati. Jangan pergi jauh sangat dari ibu bapa awak.” Ameena sempat berpesan sebelum berlalu. Eman juga sudah berlalu ke gerai buah-buahan. Terpaksalah dia membeli belah seorang diri. Entah macam manalah boleh terserempak dengan pelajarnya pula kat situ. Walaupun bukan cuti sekolah, tempat – tempat terbuka seperti ini masih dikira berisiko.
Ameena sudah berada di dalam kereta sewaktu Eman tiba. Buah – buahan di tangannya dihulurkan kepada Haleeda di tempat duduk belakang. Laju sahaja dia keluar dari petak parkir dan keluar daripada hentian rehat tersebut. Bimbang andainya terjumpa lagi sesiapa yang mengenali mereka. Namun apa-apa pun, mereka perlu bersedia dengan segala kemungkinan.
“ Baby dah minum susu ke Acu?” Ameena bersuara memecah kebisuan di antara mereka. Dia tahu suaminya pastinya sedang berfikir mengenai insiden tadi. Dia tidak mahu memeningkan lagi kepala lelaki itu. seharusnya dia mencari sesuatu topik yang boleh mengalih perhatian Eman.
“Dah tadi, Amee. Darren la tadi meragam sikit. Nasiblah Darrel ni tak meragam sama.” Haleeda ketawa halus. Matanya terarah kepada anak saudaranya. Haleeda mengeluh perlahan.
“Man, tak sejuk lagi ke hati tu. Dah – dah la fikir pasal Syahrul tu.. Acu baik- baik saja tanpa dia. Suami dan isteri ni, Man .. pinjaman Allah saja. Kita tak boleh nak pegang ketat-ketat. Kita kena sentiasa bersedia untuk kehilangan.” Kali ini Eman tersenyum hambar. Memandang wajah Acunya dari cermin pandang belakang. Wajah Haleeda kelihatan sedikit cengkung. Mungkin penat dengan masalah hidupnya.
“Koi tak boleh la Acu. Koi geram sungguh. Anak dia ni.. lansung dia tak nak tengok!” Eman mendengus kasar. Ameena menjeling sekilas kepada suaminya. Cikgu Eman versi ini memang selalu dia nampak. Sejak zaman sekolah lagi. Baran tak boleh bawa berbincang.
“Biarlah Man.. Acu redha. Lagipun Si kembar ni tak perlukan ayah yang macam tu. Hati Acu dah lama sakit. Dalam ni bukan darah lagi. Dah bernanah pun. Lama sangat dah luka tu. Kami tak perlukan dia. Tutuplah kisah dia tu. Acu tak nak sebut lagi dan tak nak dengar lagi.” Tegas kedengaran suara Haleeda. Hatinya seakan sudah mati. Bukan benci cuma terlalu sakit dan perit untuk dikenang.
Eman terdiam. Tidak tahu untuk membalas apa. Begitu juga Ameena. Ameena tidak berani untuk berkata apa-apa pun. Dia masih baru dalam keluarga itu. Keluarga yang pada pandangannya sangat harmoni. Namun tidak disangka ada jiwa yang sedang menangis sendirian.
“HATI – HATI drive. Apa-apa Abang dekat belakang sayang.” Eman menitipkan pesan buat isterinya. Dia mengecilkan matanya, memandang ke arah isterinya yang sepertinya tiada perasaan. Tiada reaksi apa-apa pun dengan titipannya. Tiada senyuman seperti selalu. Sejak sampai malam tadi, Ameena hanya membisu. Dia pun tidak tahu kenapa. Sewaktu di kampung, elok sahaja. Malam tadi pun, dia tidak sempat bertanya apa-apa. Badannya terlalu penat, usai sahaja mandi, dia terus terlelap.
Ameena memasukkan tas tangannya di tempat duduk belakang. Beberapa buku bahan mengajar juga turut sama diletakkan di situ. Pagi ini jadualnya bermula dengan Bahasa Melayu kelas Tiga Dedikasi. Dia menjeling sekilas kepada suaminya yang masih memandang ke arahnya. ‘Bukan setiap kali pergi kerja, memang awak kat belakang saya ke? Dah kenapa hari ini baru nak pesan. Dah tu aku nak kena jawab apa ni? Nak senyum? Tak ada mood pulak..’
Eman menahan pintu kereta Ameena dan menghulurkan tangan kanannya. “ Sebelum pergi kerja, sebaiknya ambik berkat dulu. Tak elok masam-masam muka nak pergi mengajar anak- anak orang.” Senyuman manis lelaki itu membuatkan Ameena kalah. Huluran salam disambut lemah. Tapak tangan lelaki itu mendarat di atas kepala isterinya. Satu ciuman singgah pada dahi wanita itu. Satu perasaan mendamaikan menyerap masuk ke jiwa Ameena. Pertama kali Eman memperlakukan begitu. ‘Nak pujuk aku ke ni? Kena cepat-cepat ni.. sebelum aku kalah dengan dia ni. Biar dia tahu susahnya nak pujuk perempuan bernama Ameena.’
Ameena cepat-cepat menutup pintu keretanya. Tidak mahu lagi ada bual bicara. Tambahan lagi lima belas minit ke pukul tujuh pagi. Dia bimbang akan terlewat dengan kesibukan jalan raya nanti. Eman tersenyum lagi. Memandang ke arah kereta isterinya yang sedang bergerak pergi. ‘Abang dah boleh masuk la game Sayang.. sikit saja lagi nak menang. Siapa cakap Ameena Azzahra tu degil? Tak adalah.. kalau dengan Eman Alhadi.. kalah juga..’ Eman ketawa kecil sambil mengunci pintu pagar. Itulah rutinnya setiap pagi. Memastikan isterinya selamat keluar dan memastikan rumahnya juga selamat untuk ditinggalkan.
LANGKAHNYA dihayunkan agak laju ke kelas Lima Sains Tulen di blok D. Masa masih bersisa lima minit sebelum kelas Bahasa Melayu bermula. Dalam langkahnya yang agak tergesa – gesa Eman di sapa oleh seseorang yang muncul dari lorong kiri Blok C. Seorang perempuan berkebaya merah. Ya, tentu sekali Cikgu Lily. Hanya dia yang begitu berani di sekolah tersebut mengenakan fesyen yang menarik perhatian ramai.
“ Awak pergi mana sampai tiga hari ambil cuti kecemasan? Awak sihat ke? Saya risau sangat. Ya lah.. awak kan seorang diri kat sini. Itulah, saya minta alamat rumah tak nak bagi. Kan senang kalau ada hal kecemasan.” Meliuk lentok suara Cikgu Lily. Eman memandang sekeliling. Suasana agak merbahaya di situ. Dengan kedudukan Cikgu Lily yang agak rapat dengan tubuhnya sehinggakan aroma minyak wangi perempuan itu dengan pantas menerobos masuk ke lubang hidungnya.
“Ohh... Ada hal. Hal keluarga. Maaf.. saya beredar dulu. Ada kelas. Dah lambat.” Pendek jawapan yang diberikan guru muda itu. Tidak betah berlama di situ.
“ Kalau ya pun, bagilah alamat rumah awak. Nanti senang kalau ada kecemasan. Kita sama – sama merantau kat sini. Kenalah saling membantu kan..” meleret sahaja kata – kata Cikgu Lily. Ditambah pula dengan bahasa badannya yang meliuk lentok.
“Ehh.. tak perlulah. Cikgu Fahmi kan ada. Kalau ada apa – apa, saya boleh contact dia. Kami kan sekampung.” Ibarat memulang paku buah keras. Eman tidak boleh mengalah dengan pujukan Cikgu Lily. Mengalah dan berlembut bermakna dia mengundang malapetaka.
“Cikgu Fahmi tu kan dah berkeluarga. Tak eloklah awak menyusahkan dia. Kita ni lain la.. Awak bujang.. Saya pun bujang..” Cikgu Lily masih belum mahu mengalah.
“Mana Cikgu tahu saya bujang ya.. yakin sangat Cikgu ni... Saya beredar dahulu ya. Dah lambat, saya ada kelas.” Eman perlu beredar sebelum panas hatinya naik ke kepala. Bimbang akan ada yang makan hati nanti. Dia memang tidak suka dengan orang yang tak faham bahasa. Jadi sebelum anginnya berubah, lebih baik dia beredar.
“Tapi...” Bicara Cikgu Lily mati di situ apabila melihat langkah Cikgu Eman yang laju beredar dari situ. Otaknya masih cuba menghadam kata-kata lelaki itu. ‘memang dia masih bujang apa? Kenapa dia cakap macam tu? Dia sengaja nak mengelak dari aku kot. Tak apa.. sekeras mana sangat hati kau! Kalau cara baik tak dapat, ada banyak lagi cara yang tak berapa nak baik.’ Cikgu Lily tersenyum sumbing sambil menghayunkan langkahnya ke bilik guru.
SEMUA mata memandang ke arah papan putih di hadapan kelas. Tidak seorang pun berani bersuara ketika sesi pembelajaran bersama Cikgu Eman. Sesiapa yang berani bersuara ibarat menempah bala. Tulisannya yang kemas dan teratur pada papan putih itu, membuatkan pelajarnya lebih mudah faham maklumat yang ingin disampaikan. Guru muda itu biasanya akan menulis dahulu intipati pembelajaran sebelum dia menerangkan dengan lebih jelas mengenai topik tersebut.
Usai menulis pada papan putih, dia berpaling ke belakang memandang ke arah pelajarnya yang sedang sibuk menyalin nota ringkas yang tertera. Tiba – tiba matanya tertancap pada seseorang yang sedang melalui balkoni di luar kelasnya. Secara automatik mukanya yang kelat berubah ceria. Senyuman manisnya secara tak lansung terukir dibibirnya. Siapa lagi kalau bukan isterinya, Cikgu Ameena. Perempuan itu kelihatan agak kekok kerana pergerakannya sedang diperhatikan oleh suami sendiri.
“Hmmmm!!” senyuman Cikgu Eman mati apabila terdengar deheman daripada beberapa orang pelajarnya.
“Cikgu.. maaf saya nak bertanya sesuatu..” seorang pelajarnya daripada barisan belakang mengangkat tangan. Eman mengangguk dengan mukanya kembali serius.
“Apa maksud jatuh hati?” Eman termenung seketika. Dia memandang ke arah papan putih. Tiada perkataan itu di situ. Namun kerana dia seorang guru, apa-apa pun yang dipersoalkan kepadanya, perlu dijawab dengan tepat.
“Jatuh hati adalah simpulan bahasa yang membawa maksud, menaruh perasaan cinta atau suka pada seseorang.”
“Contoh ayatnya Cikgu!” kali ini Alif dari barisan kiri pula mengangkat tangan dan bertanya. Eman berdehem sekali, mencari ayat yang sesuai.
“Boleh saya berikan contoh cikgu?” Rayyan yang duduk di sebelah Alif tiba-tiba berdiri. Cikgu Eman mengangguk dengan wajahnya yang masih serius. Hari ini pelajar-pelajarnya kelihatan lebih aktif daripada biasa. Kebiasaannya sesi soal jawab berlaku pada akhir sesi pembelajaran. Namun hari ini, belum sempat bermula sudah ada sesi soal jawab.
“Cikgu Eman tersenyum meleret apabila terpandangkan Cikgu Ameena di luar kelas kerana dia sudah jatuh hati pada guru cantik itu.” Kelas Lima Sains Tulen bertukar hingar bingar sebaik sahaja Rayyan menghabiskan ayatnya. Eman sudah terkedu. Belum ada pelajar yang berani memperlinya sebegitu selama ini. Namun seketika kemudian dia turut ketawa berdekah – dekah. Entah kenapa dia sendiri terasa lucu dan bercampur malu juga.
“Ya, Bagus! Tepat sekali contoh ayat kamu Rayyan. Tapi ingat itu hanya contoh.” Kedengaran beberapa pelajar perempuan mengeluh dan ada yang sudah lemah semangat melihatkan semyuman Cikgu Eman yang masih melekat pada bibirnya. Ditambah pula lesung pipit pada kedua-dua belah pipinya. Manakan tidak, guru muda itu sangat susah untuk senyum walaupun hanya senyuman nipis.
“Cikgu, kami sokong kalau contoh itu beneran..” Sofea pula menambah. Makin banyak yang berani bersuara apabila melihatkan mood Cikgu Eman yang berubah 360 darjah. Eman ketawa lagi. Terasa ada satu perasaan bahagia di hatinya sebagai seorang pengajar apabila melihat senyuman pada pelajar-pelajarnya. Dia akui dia sangat tegas sebelum ini.
“Cikgu Ameena tu cantik kan Cikgu? Kalau saya dah habis belajar saya nak pinang dia. Kalau dia masih belum berpunyalah..” Alif sengaja memancing perhatian gurunya. Mahu melihat apa jawapan guru muda itu.
“Langkah mayat Cikgu Eman Alhadi dululah Aliff!” Raisya seorang gadis tinggi lampai, turut menyampuk. Membulat mata Eman memandang ke arah Raisya. Tidak disangka gadis pendiam itu turut bersuara. Ketawanya yang sudah mengendur kembali meletus lagi sambil dia mengangkat ibu jarinya ke arah pelajarnya itu dan mengangguk setuju.
“Cikgu Ameena tu Ex-student sekolah ni kan cikgu? Mesti Cikgu pernah mengajar dia dulu. Dia dulu cantik macam sekarang ni ke tak?” Rayyan menambah perasa lagi. Kelas Cikgu Eman begitu hingar bingar ketika itu. Hari itu mencatat sejarah sepanjang tempoh dia berkhidmat. Nasib baiklah bangunan Blok D di sayap kiri hanya menempatkan kelas Lima Sains Tulen. Disebelahnya pula Bengkel Ekonomi Rumah tangga dan di bertentangan dengannya pula ialah Makmal Sains.
“Cikgu Eman, boleh tak hari ni kita Cheat Day.. lagipun kawan-kawan saya ni ada yang dah nak pengsan ni.. dapat tengok senyuman Cikgu Eman dah serupa dapat jumpa Brad pitt!” Begitu berterus terang pelajar – pelajarnya. Sekaligus membuatkan Eman tersipu sendiri. Lansung tidak dapat berkata – kata lagi.
Berhadapan dengan remaja yang meningkat dewasa tidak mudah sebenarnya. Betullah apa yang isterinya pernah katakan. Sebagai seorang guru, kita tidak boleh autokratik dalam semua benda. Tidak boleh terlalu serius. Kadang – kadang perlu juga perbincangan yang santai – santai. Yang mana akan membuatkan pelajar – pelajar itu lebih selesa untuk berkongsi dan belajar dalam suasana yang tidak tegang.
“Baiklah.. hari ini kita Cheat Day! Boleh tanya apa-apa soalan yang kamu nak tanya. Yang mengganggu hati kamu semua. Hahhaha.. tapi jangan bising sangat. Nanti orang ingat Cikgu Eman tak masuk kelas pula.” Penuh maksud tersirat kata-kata guru muda itu, namun mudah untuk difahami oleh pelajar – pelajar kelas hadapan seperti mereka semua.
“Cikgu, kami nak tahu.. betul ke cikgu Suka Cikgu Ameena. Sebab kami dengar – dengar khabar angin.. Cikgu Lily tu girlfriend cikgu.” Begitu lantang soalan yang diutarakan. Sudah seperti wartawan yang bertanya di press conference. Cikgu Eman ketawa lagi. Betul – betul soalan maut . Kalaulah mereka semua tahu apa hubungan sebenar antara dia dan Cikgu Ameena..
“Sebelum cikgu cakap apa-apa.. semua kena janji. Apa – apa yang kita cakap hari ini, tak boleh keluar dari kelas ni. Kalau tak, tak ada lagi Cheat Day lepas ni. Semuanya rahsia kelas kita. Dan kena janji buat yang terbaik dalam SPM nanti. Kalau boleh semua pelajar saya dapat A. Boleh?”
“Boleh!!” Satu suara mereka semua menjawab dengan penuh bersemangat.
“Ya.. cikgu memang suka dengan Cikgu Ameena dan tidak.. tidak sekali-kali dan tidak akan pernah terjadi apa-apa antara Cikgu Lily dan cikgu.” Eman menjawab malu-malu. Nasiblah kulitnya tidak cerah. Kalau tidak sudah pasti nampak ketara malunya. Kelas sekali lagi riuh rendah dengan sorakan pelajar – pelajarnya yang memberikan sokongan.
“Kenapa bukan Cikgu Lily?” Sofea pula bertanya inginkan kepastian.
“Jawapannya senang.. kalau kamu dah suka minum kopi, kamu tak akan minta teh lagi.” Eman ketawa lagi. Begitu berlapik jawapannya. Selain sesi soal jawab, dia juga mahu menerapkan nilai – nilai murni kepada pelajarnya. Mendidik cara-cara pertuturan yang sopan.
“Jadi kopi cikgu tu.. Cikgu Ameena la kan” masih membutuhkan jawapan yang terang daripada guru muda itu. Eman ketawa lagi dengan pertanyaan sopan itu. Pelajarnya memang cepat belajar.
“Hmmm... boleh dikatakan macam itulah.” Kelas lebih tenang sedikit kali ini. Mungkin sudah sedikit berpuas hati dengan jawapan guru muda itu.
“Cikgu Ameena pula macam mana? Kami tengok macam tak ada tindak balas pun. Satu hal lagi kami tertanya – tanya.. kenapa Cikgu Ameena tiba-tiba bercerai dengan Sir Isa dulu? Bukan ke mereka bercinta dulu sebelum kahwin.” Kali ini soalan yang diajukan agak keras dan sukar untuk dijawab. Eman termenung seketika. Tipulah kalau dia tidak terasa dengan soalan itu.
“ Mungkin antara mereka tiada jodoh. Mungkin jodoh dia dengan orang lain. Bukan rezeki sahaja tak salah alamat.. jodoh pun sama tahu..”
“Maksud Cikgu, jodoh Cikgu Ameena dengan Cikgu?” Raisya yang masih belum berpuas hati menyambung lagi. Eman ketawa perlahan menutup kegugupan hati. Dia memandang jam di tangannya. Waktu cuma tinggal sepuluh minit lagi.
“Jodoh itu rahsia Allah. Cikgu pun tak tahu. Lagipun.. macam yang kamu tengok.. Cikgu Ameena tak respon pun kan..” Kali ini nada suara Cikgu Eman sedikit mengendur.
“Cikgu.. dont give up. Kami ada! Kami sokong Cikgu dengan Cikgu Ameena. Jangan pernah mengalah. Kena usaha lebih keras lagi.” Begitu semangat Sofea memberikan harapan kepada gurunya. Disokong pula dengan pelajar – pelajar yang lain sambil mereka bertepuk tangan. Eman senang dengan suasana hari ini. Mungkin inilah yang Ameena katakan. Bahagia seorang guru itu apabila melihat pelajar – pelajarnya sentiasa tersenyum. Sebelum ini dia akui, dia tidak ada perasaan selain perasaan untuk mengajar semata-mata. Tiada perasaan untuk mendekati pelajar – pelajarnya. Hari ini baru dia tahu apa maksud kata – kata isterinya. Ameena memang seorang pendidik yang berjiwa besar.
Eman keluar lima minit lebih awal dari waktu tamat kelasnya untuk memberikan sedikit waktu rehat kepada pelajar – pelajarnya. “ Cikgu Eman..” baru sahaja beberapa langkah dia keluar daripada kelas tersebut, ada satu suara menyapanya dari belakang.
“Cikgu, saya bersumpah, saya tak cerita apa – apa pun dekat kawan – kawan saya. Saya harap cikgu tak salah faham dengan saya.” Aqilah dengan muka penuh perasaan bersalah tampil bersuara. Eman sudah perasaan semenjak dari tadi, wajah itu tidak seceria yang lain. Rupa – rupanya dia diamuk rasa bersalah.
“Aqilah.. cikgu tak salah anggap apa – apa pun pada kamu. Cuma cikgu nak cakap, apa yang kamu nampak tak sama apa yang kamu fikir. Kalau kamu hormat kami sebagai guru kamu, kamu simpanlah rahsia tu sebab cikgu tahu apa yang kamu nampak. Kadang – kadang kita tak tahu apa masalah orang lain yang menyebabkan mereka terpaksa bersembunyi dalam terang. Cikgu percaya pada kamu.” Kening Aqilah berkerut – kerut cuba memahami maksud kata – kata guru kelasnya itu. Namun seketika dia tersenyum kerana lega dengan kata – kata guru muda itu.
HARI minggu adalah hari yang cukup membosankan kepadanya. Tiada teman untuk keluar. Tiada hobi untuk dilakukan. Memasak? Jauh sekali. Mengemas rumah lagilah. Dia cuma perlu mendail nombor agensi perkhidmatan mencuci dan segala – galanya selesai. Cukup mudah hidupnya. Namun kesunyiannya tidak semudah itu untuk di selesaikan. Namun hari ini dia menghabiskan masa lapangnya di KTCC mall. Hanya itulah mall yang besar yang ada di negeri tenpat dia mengajar. Dia rindukan suasana tempat kelahirannya yang dipenuhi dengan tempat – tempat hiburan. Namun dia juga punya perasaan malas untuk mengadap kedua orang tuanya yang sentiasa bertanyakan soal jodohnya.
Cikgu Lily melangkah masuk ke dalam kedai serbaneka Yoyoso. Matanya melilau mencari sesuatu yang menarik yang boleh dibelinya. Dia terpandangkan anak patung beruang di atas rak di sudut belakang. Comel! Dia meluru dengan agak laju ke tempat tersebut. Namun malang tidak berbau, dia terlanggar seseorang dan terjatuh. Langkahnya tidak dapat diseimbangkan dek kasut tumit tinggi yang dipakainya.
“Eh, buta ke ha?” kesakitan yang dialaminya membuatkan dia agak menyinga.
“Sorry, but you yang tak pandang kiri kanan tadi.” Cikgu Lily mendongak memandang wajah yang bersuara itu. Wajah dan suara yang cukup dikenalinya. Wajah yang pernah menjadi kegilaannya, namun dirampas oleh musuh tradisinya.
“Eh, Cikgu Isa Rayyan! Buat apa kat sini?” Cikgu Lily cuba bangun dengan bantuan Isa.
“I macam youlah.. nak cari barang.” Isa tersenyum sambil melepaskan tangan Cikgu Lily dari genggamannya.
“Thank you. Kebetulan pula jumpa Cikgu Isa kat sini. Seorang ke?” Cikgu Lily membetulkan rambutnya yang sedikit serabai dek insiden tadi. Isa memandang Cikgu Lily dari atas ke bawah. Sekali pandang memang tak ada rupa seorang guru. Perwatakan Cikgu Lily lebih sesuai kepada setiausaha sulit. Dengan skirt paras lutut, rambut perang dan glasses Gucci di atas kepala.
“Kenapa pandang saya macam tu? Tak pernah tengok saya cantik macam ni ke?” Cikgu Lily ketawa galak.
“I tak perasan pun you tadi. Iyalah.. dekat sekolah kan, you bertudung.. baju kurung.. manalah i nak perasan.. ingat anak dato mana tadi. I seorang saja. Manalah ada orang nak teman. Yang ada dulu pun dah terlepas.” Giliran Isa pula ketawa agak kuat.
“Hmm.. tu lah Cikgu Isa. Kami semua terkejut juga. Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba berpisah. Tapi.. dia masih single. Tak ada niat nak sambung semula ke?” Kening Isa sedikit terangkat dengan kenyataan Cikgu Lily.
“What do you mean by dia masih single?” Isa sepertinya inginkan kepastian.
“Iyalah.. semenjak kamu berdua berpisah, dia masih belum ada pengganti.” Cikgu Lily dengan penuh yakin mengeluarkan kenyataan. Isa terdiam. ‘apa yang terjadi sebenarnya? Diorang berdua tak umumkan ke? Tapi bukankah Cikgu Fahmi pun datang hari tu.’ Isa bersoal jawab dalam hatinya.
“Kenapa? Macam ada yang tak kena saja. Cikgu Isa ada tahu apa-apa ke?” Cikgu Lily mula merasakan sesuatu yang aneh pada riak wajah lelaki itu.
“You tak tahu ke, yang Cikgu Ameena dan Cikgu Eman tu..”
“What? Jadi betullah mereka tu bercinta? Patutlah Eman tu susah sangat!” Isa terlopong. Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Cikgu Lily terlebih dahulu memintas.
“You ada hati pada Cikgu Eman ke?” Isa menjungkitkan keningnya. Dia tidak menyangka Cikgu Lily ada menaruh hati pada sahabatnya itu. Entah sejak bila pun dia tak tahu.
“Apa kata saya belanja awak makan. Seoul Garden. Jom!” Cikgu Lily tidak menunggu persetujuan apabila dia dengan pantas memaut lengan sasa itu dan menuju ke arah restauran yang dimaksudkannya tadi.
Selesai membuat pembayaran, dia memilih meja yang paling hujung supaya jauh daripada orang lain dan lebih selesa untuk berbincang. Isa hanya mengikuti jejak perempuan itu. Entah kenapa dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak beres.
“Kenapa Cikgu Isa masih belum ada pengganti? Masih berharap pada Cikgu Ameena?” Isa tersenyum tawar. Sememangnya itulah yang ada dalam hatinya yang masih belum mampu dia lupakan.
“Saya boleh tolong Cikgu Isa dapatkan Cikgu Ameena semula. Tapi Cikgu Isa pun kena tolong saya dapatkan Cikgu Eman. Win-win situation. Setuju?” membulat mata Isa memandang ke arah perempuan itu. Namun dia tidak hairan dengan sikap agresif Cikgu Lily memandangkan perempuan itu membesar di Bandaraya besar yang moden.
“How?” Pendek sahaja respon daripada Cikgu Isa.
“Good! Saya dah agak, awak masih berharap pada dia. Iyalah, kamu berdua dulu bercinta bagai nak gila kot! Mudah saja. Tapi awak kena betul – betul ikut plan saya. Boleh?” Begitu yakin Cikgu Lily berkata – kata. Isa mengangguk tanda setuju.
“Minggu depan kami ada kursus di Negeri Sembilan. Cikgu Ameena dan Cikgu Eman pun turut terlibat. Kami bertiga wakil dari SMK Seri Cahaya.” Cikgu Lily menyedut air oren di dalam gelasnya. Tekaknya dari tadi terasa haus.
“Kebetulan, I pun wakil sekolah I untuk pergi kursus tu. I rasa kursus yang sama.” Isa ketawa perlahan. Begitu banyak kebetulan. Berita yang baru diterima sedikit sebanyak membuatkan hatinya ceria. Sudah lama dia tidak melihat wajah yang dirindunya itu.
“Ha, bagus! Mudah kerja kita. Kita buat malam last. Okay?” Kali ini Cikgu Lily menunggu persetujuan daripada Isa.
“Okay tu memang okay. Tapi You nak i buat apa? I tak nak bunuh orang.” Isa ketawa lagi mempamerkan kedua – dua lesung pipitnya. Cikgu Lily berpaling ke arah lain. Tidak betah memandang wajah kacak dihadapannya. Wajah yang pernah membuatkan dia gila bayang. Namun disebabkan Isa sudah menjadi ‘bekas’ musuh tradisinya, maka dia terpaksa melupakan lelaki itu.
“Takkanlah saya nak suruh awak bunuh orang. Nanti saya Whatsapp awak plan saya tu. Hari ini kita makan dulu. Tapi percayalah, tiada siapa pun yang akan tercedera.” Kali ini Cikgu Lily ketawa penuh makna. Isa hanya menuruti rentak permainan wanita itu. Siapa tahu apa yang bakal berlaku. Isa hanya tersenyum memandang wanita itu yang sedang ketawa bahagia. Seolah – olah sudah berjaya dengan rancangannya.
“ASSALAMUALAIKUM... Tuan rumah ada ke tak ni...” Meleret – leret suara si pemberi salam. Dah gaya ibu mertua Kassim Selamat. Kartini agak terkejut dengan suara sayup – sayup orang memberi salam. ‘Siapa pula yang datang malam – malam buta ni?’ Kartini bergegas keluar dari dapur. Gas dapur dimatikan. Niatnya untuk menggoreng keropok lekor dimatikan.
“Lambat la tuan rumah ni.. tetamu dah masuk dalam rumah pun. Dah duduk siap minum teh pun. Macam tahu – tahu kami nak balik. Bagus la Ibu Kartini ni.” Terkejut bukan kepalang wanita itu apabila melihat figura yang berada di depan matanya.
“Ya Allah.. bertuahnya lah anak – anak ibu ni! Bila sampai? Tak bagitahu pun nak balik. Lama ke cuti ni, Along? Angah?” Mengekek kedua – dua orang anak teruna Kartini ketawa melihat reaksi ibu mereka. Kedua – duanya menerpa serentak ke arah Kartini dan memeluk erat wanita itu melepaskan kerinduan masing – masing. Sudah hampir lapan bulan mereka tidak bertemu. Berhubung cuma melalui Video Call sahaja.
“Tak balik dah kot Ibu.. ada orang dah patah hati kat sana. Merajuk bawa diri.” Berubah seketika wajah Kartini mendengarkan jawapan Arief. Aryan pula hanya beriak bersahaja.
“Kenapa Along? Apa dah jadi ni. Kamu jangan buat keputusan sendiri. Kami pinang hari tu dengan cara elok. Kamu jangan tak tahu adab pula putuskan macam tu saja.” Bertalu – talu leteran Kartini kepada anaknya, Aryan.
“Keluarga dia yang tak tahu adab Ibu.. ada ke patut dia pulangkan cincin pada Along sebab dia ada pilihan lain. Biasalah.. dapat yang lagi berharta. Along kan kerja polis sahaja. Dia dapat ahli perniagaan. Datuk muda..”Aryan diam tidak berkutik. Malas mahu mengingati semua kenangan pahit itu. Tiga tahun dia menunggu Karmila menamatkan pengajiannya dalam jurusan undang – undang. Selama Karmila belajar, dia lah yang banyak menanggung perbelanjaan perempuan itu. Sudahnya dia ditinggalkan. Alasannya kerana mak dan apaknya sudah ada pilihan lain. Senangnya!
“Dah tu, keluarga dia lansung tak mahu berunding dengan ibu dan ayah ke?” Kartini agak terkejut dan tersinggung dengan cerita yang baru didengarinya. Dia merenung ke dalam wajah anak sulungnya yang sepertinya menyimpan kekecewaan yang teramat sangat. Sedih hatinya sebagai seorang ibu.
“Baguslah, Bang Long tak pernah bagitahu latar belakang keluarga kita ni. Kalau tak kita tak tahu Karmila dengan keluarganya tu, jenis mata duitan. Kalau dia tahu yang Bang Long ni pewaris sulung Syarikat besar ayah tu, mahu terbuntang mata perempuan tu!” Begitu marah sekali Arieff dengan Karmila yang pada pandangannya seorang yang tidak mengenang budi.
“Biarlah Angah, Along.. Allah tu ada. Syukurlah kita dilindungi daripada manusia yang macam tu. Ibu bukan apa, ibu tak mahu ada isu berbangkit di kemudian hari. Iyalah, kita tak tahu adat orang sana macam mana. Tapi kalau pihak sana yang minta putus, Ibu rasa kita tak perlu nak bayar apa – apa ganti rugi kan..” Kartini memandang kedua – dua anaknya silih berganti memohon kepastian.
“Tak, Ibu.. sepatutnya daripada pihak sana yang kena pulangkan semula semua yang kita berikan, tapi Along dah halalkan semuanya. Malaslah. Buat apa nak ambil semula apa yang kita dah beri. Kan buruk siku tu..” Aryan ketawa perlahan menutup kepiluan hatinya. Sedih memang sedih. Namun dia kena terima yang antara dia dan Karmila sudah tidak ada jodoh.
“Iyalah.. Ibu nak sambung goreng keropok lekor. Kamu berdua pergi mandi dulu. Nanti turun makan. Ibu pun tak masak banyak hari ni. Bertuahnya lah anak – anak Ibu ni.” Kartini menggeleng – gelengkan kepalanya. Susah hatinya memikirkan anak – anaknya yang pastinya sedang kelaparan selepas mengharungi perjalanan yang agak jauh. Lebih – lebih lagi Arieff. Anaknya yang seorang itu memang tidak suka makan di luar. Dia lebih rela masak maggi di rumah daripada makan di kedai.
“Jangan susah – susah Ibu.. tadi Mak Si Udin tu ada bekalkan makanan untuk kami. Kami naik dulu. Ibu jangan kalut – kalut.” Sempat lagi Aryan menitikkan pesanan buat Ibunya. Memang dia sudah alas perutnya awal-awal sebelum berangkat daripada sabah pagi tadi. Mak Udin, kawan serumahnya juga ada menyediakan bekal kepada mereka. Masakan yang terakhir. Selepas ini mereka berdua tidak dapat merasa lagi air tangan ibu tua itu. Permohonan yang mereka buat untuk bertukar ke semenanjung tahun lepas sudah diluluskan. Minggu depan mereka perlu melaporkan diri di IPD ibu negara.
AMEENA melangkah malas ke arah pintu biliknya. Bunyi ketukan pintu bertalu – talu membuatkan tidurnya sangat terganggu. Tangannya memulas perlahan tombol pintu. Terpacul wajah Eman Alhadi disitu. Wajahnya kelihatan sedikit tegang. ‘nak gaduh ke apa pagi – pagi ni? Tak boleh pilih hari lain ke? Ah, menyampah betul la dengan mamat seorang ni!’
“Sayang kenapa ni? Dah empat hari tau Sayang macam ni. Senyap tak nak bercakap. Abang ni dah macam duduk seorang diri kat dalam rumah ni. Ni notis apa ni? Jangan ganggu? Rest day?” Ameena memandang Eman tanpa perasaan. Dia masih mengantuk. Kepalanya masih penuh dengan bintang. Dia nampak wajah suaminya yang seperti singa kelaparan. Apatah lagi jam dah menginjak ke pukul sepuluh pagi.
“Diam? Tak ada suara? Tak faham la Sayang ni. Sekejap okay.. sekejap tak okay. Sayang kenapa? Ada masalah, kita bincang. Jangan macam budak – budak!” Sedikit tinggi nada suara Eman. Bengang kerana lansung tiada respon daripada Ameena.
“Okay.. kita bincang.. Tapi bukan sekarang. Selepas ni.” Ameena mengangkat jari telunjuk dan jari hantunya.
“ Dua? Dua apa Sayang...”
“Dua jam.. bagi Amee tidur dua jam lagi. Amee penat sangat, Abang..” Ameena merengek manja. Dia tahu kalau Eman masih memanggilnya dengan panggilan ‘sayang’ bermakna lelaki itu tidaklah semarah mana pun. kalau betul Eman marah, dia sudah pasti hanya diam tidak bersuara.
“Dua jam lagi? Nak tidur? Lepas tu, tak nak makan? Abang ni? Nak buat apa seorang – seorang kat dalam rumah ni. Jomlah keluar.. pergi rumah ibu ke.” Eman memberikan cadangan kepada Ameena yang sudah menongkat kepalanya di daun pintu. Nampak sangat penatnya. Semalam walaupun cuti mereka terlibat dengan aktiviti sekolah. Aktiviti ceramah motivasi dan solat hajat.
Ameena mengangkat wajahnya memandang manusia yang paling kacak di matanya. Dia menarik lengan sasa itu ke dalam biliknya. Pintu ditutup rapat dan dikunci. Tubuh sasa itu ditolak untuk duduk disisi katil. Kemudian ditolak pula dengan perlahan supaya berbaring disitu. Kemudian dia naik dan berbaring disebelah. Selimutnya ditarik keparas dadanya. Tangannya menepuk – nepuk dada Eman.
“Syhhh... Dua jam ya.. Lepas ni kita bincang.” Eman menahan ketawa yang hampir meledak. Ameena ni, kalau ting tong boleh tahan juga gila-gilanya. Dia menggelengkan kepalanya melihatkan sikap keanak-anakkan isterinya. Nak buat apa lagi. Tidur juga lah..
Eman mengiring ke kiri untuk melihat wajah isterinya. Bukan selalu dapat menikmati permandangan indah begitu. Hari ini pun, mungkin di luar kesedaran wanita itu. Wajah itu kelihatan tersenyum. Mungkin bahagia dapat menyambung kembali lenanya yang terganggu. Jarinya perlahan – lahan menyentuh bibir munggil itu. Merah bak delima tanpa calitan gincu. Tipulah kalau dia tidak terasa apa-apa melihat apa yang terhidang didepan matanya. Namun kerana janji dia menahan segala rasa yang menggegar jiwa lelakinya. Akhirnya dia turut sama terlelap.
Eman berusaha membuka sebelah matanya apabila terdengar suara bising-bising di sebelahnya. Pastinya Ameena dah tersedar dari dunia fantasinya. Eman tersenyum dalam matanya yang masih tertutup.
“Cikgu Eman dah kenapa? Senyum – senyum pula. Cikgu tahu tak ini dah dikira menceroboh! Saya boleh buat laporan polis tahu! Mentang – mentanglah saya ni janda, suka-suka hati cikgu saja buat macam ni! Mana iman cikgu ni?” Ameena kelihatan berang dan marah. Namun dia masih cuba bertenang.
“ Dah habis sayang? Abang yang boleh buat laporan polis. Sayang tu yang dah menceroboh rumah Abang ni. Ni bukan istana Sayang tau. Satu lagi sejak bila Sayang janda? Abang ni.. suami sayang.. Bangunlah..” Eman bangkit daripada baringannya. Satu ciuman singgah dipipi kanan Ameena. Hadiah supaya cepat sikit kembali ingatannya. Lelaki itu terus keluar daripada bilik itu sebelum banyak lagi yang keluar daripada mulut comel isterinya.
Mulut Ameena terkumat kamit tanpa suara. Cuba mengingati semua benda dalam satu masa. Diketuk – ketuk kepalanya dengan tapak tangan bagi menghilangkan kebingungannya. Suara ketawa Eman dari luar bilik mengembalikan semula ingatannya. Seketika kemudian dia menampar pipinya sendiri. ‘Apa yang aku duk merepek ni?’ detik – detik kejadian pagi tadi kembali semula ke dalam ingatannya. Dia memegang kedua – dua belah pipinya dan menjerit kecil. Malunya!!
“Dah – dah la tu Cikgu Ameena cantik.. pergi mandi.. turun makan. Abang rasa lepas ni Abang kena pindah masuk dalam bilik ni lah.. barulah Sayang selalu ingat.” Ketawa Eman meledak lagi. Suka dapat kenakan isterinya. Ameena menjeling geram. Malas mahu menjawab apa – apa pun. Buat sakit hati saja. Dah la malam tadi bila jumpa pelajar – pelajar suaminya, mereka asyik sebut perkataan ‘kopi’. Entah apa maksudnya pun dia tidak dapat mengagak. Eman pula boleh tahan melayan pelajar-pelajarnya. Pelik! Biasanya Cikgu Eman bukan jenis yang macam tu.
Ameena bangkit dari tempat tidurnya dan meneruskan rutinya sebelum mandi dan bersiap. Malas memerah otaknya memikirkan perkara remeh. Budak – budak... lantaklah!
EMAN tersenyum memandang keakraban antara Ameena dan abang – abangnya. Dia tidak pernah mempunyai adik perempuan, justeru dia tidak tahu bagaimana rasanya melayan kerenah manja adik perempuan.
“Eman, dah lama sampai?” Lamunan Eman dimatikan dengan tepukan lembut pada bahunya. Dia berdiri dan menyalami tangan bapa mertuanya penuh hormat.
“Baru, Ayah. Hari ini tak ada aktiviti. Itu yang datang ke sini.” Eman kembali duduk setelah Tuan Zulkifli melabuhkan duduknya di kerusi yang bertentangan.
“Mereka tu macam tulah kalau berjumpa. Maklumlah dulu abang-abangnya duduk asrama. Dulu Ameena tu pernah merajuk dengan kami sebab hantar Aryan dan Arieff ke asrama. Mujurlah ada adiknya Ameer yang memujuk. Ameena tu nampak keras, tapi manja. Kamu sabar sikitlah dengan dia.” Tuan Zulkifli membuang pandang ke arah anak-anaknya.
“Saya okay Ayah. Tak ada masalah apa-apa pun dengan Amee. Dah lama kenal Amee tu. Dari saya mula – mula mengajar lagi. Dah boleh baca macam mana ragam dia.” Eman ketawa kecil. Tuan Zulkifli baginya seorang yang tegas. Tidak seperti abahnya Cikgu Hasyim. Boleh sembang santai-santai.
“Baguslah Eman. Kalau kamu nak tahu, hati kami ni dah tak sedap sewaktu dia kenalkan anak Dato Ismail tu dulu. Ameena tu suka buat keputusan tanpa fikir panjang. Kami tahu dia nak mengelak daripada terima calon pilihan kami waktu tu.” Eman mendongak memandang ayah mertuanya. Agak terkejut reaksinya.
“Pilihan Ibu dan Ayah?” Pendek soalan Eman. Wajahnya jelas kelihatan keliru.
“Ya.. kamulah. Anak kawan baik Ibu. Kalau tak dia tak perlu melalui pelbagai trauma dalam hidupnya.” Tuan Zulkifli termenung seketika. Seakan menyesali sesuatu.
“Perjalanan hidup kita ni dah ditentukan Ayah. Bukan salah sesiapapun. Antara mereka memang tiada jodoh. Apa pun yang kita rancang, Allah tu sebaik – baik perancang.” Tenang Eman menuturkan ayat demi ayat. Tuan Zulkifli mengangguk lemah. Menyesal kerana dia terlalu mendesak anak-anaknya mengikut kemahuannya.
“Lama ke Abang Long dan Abang Ngah cuti? Tiba-tiba sampai semenanjung ni.” Eman melirik pandang ke arah tiga beradik yang sedang berborak sakan. Kalaulah Ameer pun ada pasti mereka lagi tak ingat dunia.
“Ayah pun tak sempat nak bertanya lagi. Ini pun pagi tadi baru Ayah tahu mereka ada kat sini. Budak-budak bertuah tu, tak tahulah Ayah nak cakap.” Terlakar senyuman di wajah tua itu. Ya dia rindukan suasana begitu. Melihat anak – anak di hadapan matanya.
“Ameena, tolong ibu hidang lauk ni.. Ambil yang dekat dapur tu letak atas meja sana. Lepas tu ambil dulang gelas yang sebelah sinki tu dengan jus oren dalam peti.” Kartini kelihatan keluar daripada dapur dengan tangannya menatang dua mangkuk yang berisi lauk pauk. Ameena bingkas bangun dan menuruti permintaan ibunya. Begitu juga Arief dan Aryan, walaupun nama mereka tidak disebut.
“Eman tolong Ibu sekejap ya, Ayah.”
“Tak payah. Dah ramai yang menolong tu. Mari kita ke meja makan. Nanti solat magrib dekat sinilah. Alang – alang dah ramai jemaah ni.” Tuan Zulkifli tersenyum lagi. Nampak bahagia pada wajah itu. Eman mengangguk akur dengan permintaan tidak seberapa Ayah mertuanya.
“Kalau Ameer tahu ni.. mesti dia sakit hati. Mesti dia nak balik hari ni juga.” Arieff tiba-tiba menyebut nama tersebut di meja makan. Mereka semua sebenarnya rindukan adik bongsu mereka. Cuma tidak berani untuk meluahkan di hadapan Tuan Zulkifli. Bimbang orang tua tu akan meradang. Mengungkit semua peristiwa yang berlaku dahulu. Aryan menyiku lengan Arieff yang baginya telah terlepas cakap.
Tuan Zulkifli memandang ke arah Arieff yang sudah serba salah. Jelas dia kekok ketika menyudu lauk ke dalam pinggannya. Eman juga hairan, seorang anggota polis berpangkat inspektor masih ada perasaan takut. Atau mungkin perasaan hormat sebagai seorang anak. Sejujurnya, suasana terasa kaku di meja makan ketika itu. Masing – masing diam tidak berkutik. Hanya bunyi sudu yang berlaga dengan pinggan.
“Ameer balik hari khamis ni. Kamu semua tak tahu ke? Dia kan sudah habis belajar. Cuma dia cakap dekat ayah, dia nak pergi bercuti di Turki. Itupun sebab nak minta duit poket, kalau tidak Ayah pun tak tahu juga.” Aryan menghembus nafas lega. Begitu juga Arieff yang sudah mampu tersengih.
“Ameer tak cakap pun dengan kakak.” Ameena sepertinya kesal kerana dia bukan orang pertama yang tahu.
“Alah kau ni Kakchik, itu pun nak emo ke? Dia tak nak kacau kau dengan Cikgu Eman la tu. Kan, Cikgu?” Aryan memandang ke arah Eman yang sejak tadi hanya diam. Dia tahu lelaki itu tidak berapa selesa. Eman hanya tersenyum sebagai reaksi balas.
“Betullah tu, Kakak. Adik kamu tu tak nak ganggu kamu. Tak apalah minggu depan kita makan sama – sama lagi.” Tiga beradik itu serentak memandang ke arah Tuan Zulkifli. Selama mereka hidup, Ayah mereka tidak pernah memanggil mereka dengan nama timangan. Tapi hari ini mencatat sejarah dalam keluarga mereka.
“Alang-alang semua ada ni, Along nak cakap sikitlah. Along sebenarnya dah putus dengan Karmila. Kita anggap tak ada jodoh sajalah. Kita pun tak payah nak panjang – panjangkan isu ni. Memandangkan pihak sana yang minta diputuskan, jadi Along rasa, tak ada masalah yang akan dibangkitkan kelak. Satu hal lagi, permohonan pertukaran Angah dan Along ke semenanjung sudah diluluskan. Tapi belum tahu dimana. Hari selasa ni lapor diri.” Aryan melirik sepintas lalu ke arah ayahnya. Masih berhati – hati walaupun Tuan Zulkifli kelihatan dalam mood yang ceria. Kartini hanya diam memerhatikan sahaja.
“ Baguslah, senanglah nak balik ke rumah lepas ni. Tak payah ambil cuti lama-lama. Susah nak berkeluarga dengan orang jauh ni. Cikgu – cikgu bujang dekat sekolah tu, tak ada ke Kakak. Kenalkan dengan Along kamu ni.” Tuan Zulkifli ketawa perlahan. Aryan dan Arieff ketawa cuak. Lain benar reaksi ayah mereka hari ini.
“Dah lah tu, kita makan dulu. Nanti sambung cerita semula. Dah sejuk lauk ni. Eman tu dah lapar tu..” Kartini akhirnya bersuara. Dia juga dapat melihat perubahan ketara suaminya. Mungkin faktor umur. Ditambah pula, firmanya sudah stabil, tidak ada lagi perkara yang boleh merisaukannya.
Makan malam hari itu, dipenuhi gelak dan ketawa. Dalam diam Eman rindukan keluarganya. Rindukan Cikgu Hasyim dan Hajah Sufiah. Rindukan adik – adiknya. Rindukan suasana kampungnya.
DARI jauh dua orang manusia itu saling berinteraksi bahasa mata. Malam itu merupakan malam penutup Kursus Komunikasi dan Pengajaran berkesan yang berlansung selama 2 hari bertempat di sebuah resort, di pantai Port Dickson. Di suatu sudut pula kelihatan Ameena bersendirian di meja makan. Bertentangan dengannya, Eman bersama – sama dengan beberapa orang guru lain sedang rancak berbual. Matanya bundar Ameena melilau mencari kelibat Cikgu Lily.
“ Sayang.. dah kenyang ke? Jom.. teman Abang malam ni. Kita jalan – jalan tepi pantai.” Ameena agak terperanjat dengan kehadiran suaminya secara tiba – tiba.
“ Abang ni, duduk jauh sikitlah.. nanti apa orang cakap. Ni, kalau Cikgu Lily nampak.. Habis dicanang satu sekolah nanti.” Ameena cuba mengawal reaksi wajahnya yang agak cuak.
“ Sayang dah jumpa Isa?” Eman cuba memancing perhatian isterinya. Semenjak hari pertama mereka di situ, Isa asyik melirik pandang ke arah Ameena. Bohonglah kalau dia tidak cemburu.
“Buat apa saya nak jumpa dia? Dia tu siapa? Menteri? Anak raja?” Ameena mencebik.
“Baguslah, jangan dekat – dekat sangatlah dengan dia. Abang tak sedap hati tengok dia asyik perhatikan Sayang.”
“Biarlah dia nak tengok, bukan luak apa pun Abang. Jadi isteri dia dulu pun, saya tak luak apa-apa pun, inikan pula setakat pandang – pandang.” Ameena ketawa perlahan. Eman pula sudah berubah tegang. Baginya ini bukan sesuatu yang boleh dijenakakan.
“Okay Abang.. nanti kita jalan – jalan tepi pantai ya.. jangan marah – marah. Dah tak kacak dah..” Ameena cuba memujuk apabila melihat suaminya yang sudah berubah emosi. Eman pula hanya diam tidak membalas. Jelas dia betul – betul tersinggung.
“Cikgu Eman.. Cikgu Ameena, berbual apa? Rancak saya tengok dari tadi.” Cikgu Lily muncul dengan dua gelas minuman. Dihulurkan kepada Ameena dan Eman.
“Minumlah.. malam ni kan last kita kat sini. Esok pagi – pagi dah nak bertolak balik. So, jomlah kita borak sampai pagi.” Ameena menyambut huluran gelas yang berisi air oren dan menyedut perlahan. Malas untuk bermasam muka di tempat orang. Apa pula kata cikgu – cikgu dari sekolah lain.
“Cikgu Ameena dan Cikgu Lily berbuallah. Saya nak balik bilik dulu.” Eman tergesa – gesa berdiri dan berlalu pergi. Dalam hatinya menyumpah – nyumpah perbuatan Cikgu Lily yang memegang pehanya dari bawah meja. Lansung tidak bermoral. Dia pantas menghantar satu pesanan ringkas kepada isterinya.
‘JANGAN PERCAYA SANGAT DENGAN DIA. JAGA DIRI’
Ameena memandang ke arah Cikgu Lily sekilas setelah membaca pesanan ringkas daripada suaminya. Cikgu Lily pula masih tersenyum memandang ke arah suaminya. Dalam hatinya terdetik pelbagai persoalan. Kepalanya juga tiba – tiba memberat dan badannya terasa panas membahang.
“Saya balik bilik dululah, Cikgu. Tak sedap badan pula.” Ameena bingkas bangun dan berlalu. Dia perlu berehat. Mungkin badannya sudah terlalu penat. Cikgu Lily pula semakin lebar senyumannya. ‘umpan sudah mengena!’ Di suatu sudut dia dapat melihat dengan jelas Isa sedang menyempurnakan rancangan mereka. Kelihatan Eman meneguk dengan rakus air yang dihukurkan oleh Isa kepadanya. Mungkin lelaki itu terlalu marah dengan sentuhannya tadi.
Cikgu Lily meluru ke arah Isa sebaik sahaja, Eman berlalu pergi. Dia tersenyum ke arah lelaki itu. Seolah – olah dia sudah berjaya dengan rancangan jahatnya. Isa menghulurkan kad ases bilik kepada Cikgu Lily. Semakin lebar senyuman perempuan itu.
“ But not now. Bagi dia masa. Sebab i sempat letak separuh sahaja tadi. Ubat tidur untuk lelaki macam Eman, mungkin kesannya sedikit lambat.” Isa meneguk sisa minuman di dalam gelasnya sambil memandang ke arah pantai.
“Okay.. tapi itu bukan ubat tidur, Itu ubat peransang!” Cikgu Lily ketawa agak kuat.
“What?! So, Ameena also?” Cikgu Lily bertepuk tangan dan mengangguk. Berubah air muka Isa ketika itu.
“So... enjoy your night!” belum sempat Cikgu Lily menyambung kata – katanya, Isa terus berlalu. Hanya itu peluang yang dia ada. Cikgu Lily pula melangkah perlahan – lahan sambil menyanyi kecil dan memusing – musingkan kat ases bilik di tangannya.
KLIKK
Bunyi pintu bilik yang terbuka dengan kad ases membuatkan Cikgu Lily tersenyum lebar. ‘ Malam ini milik kita Love..’ Dia melangkah masuk ke dalam bilik itu. Bilik tersebut sepertinya VVIP suite. Terdapat dua bilik kecil di dalamnya. Matanya tertancap kepada sekujur tubuh yang sedang tidur mengiring di atas sofa. ‘Awak duduk seorang diri dalam bilik ni.. sayangnya... malam ni saya temankan awak.’ Dia menanggalkan tudung di kepalanya dan membetulkan sedikit rambutnya.
Dia menghampiri tubuh yang sedang berbaring itu. Cahaya lampu yang samar-samar membuatkan suasana bertambah romantik dan panas. Dia tersenyum lagi. Baru sahaja dia ingin menyentuh bahu lelaki itu, dia dikejutkan dengan bunyi ketukan bertalu – talu di pintu. ‘Cepatnya! Isa ni memang tak boleh diharaplah!’ Cikgu Lily merengus marah dan melangkah ke arah pintu. Tangannya pantas membuka pintu bilik tersebut.
“Kami daripada Pejabat Agama. Kami mendapat laporan ada aktiviti maksiat di sini. Kamu seorang ke di dalam bilik ni?” Cikgu Lily menarik muka kesal kerana rancangannya belum tamat. Sepatutnya mereka sampai selepas sejam.
“ Siapa tu?”
Share this novel