TINGGAL dua hari saja lagi persekolahan sebelum bermula cuti pertengahan pengal sekolah. Suasana waktu rehat di SMK Seri Cahaya agak sunyi ketika ini kerana semua pelajar sedang menjalani sesi pembelajaran. Ameena berjalan menuju ke bilik guru. Dia baru sahaja selesai sesi pengajarannya di kelas Tiga Dedikasi.
“Honey..” Satu suara yang tidak asing lagi baginya kedengaran menyapanya dari belakang. Sungguh dia takut. Tak perlu berpaling lagi. Ameena melajukan langkah kakinya untuk melepasi laluan yang agak sunyi itu.
BUKK!!
Ameena terlanggar satu figura yang berbadan agak sasa di saat ingin membelok ke koridor bilik guru.
“Maaf! Saya tak sengaja.” Wajahnya merona kemerahan apabila melihat figura yang dilanggarnya ialah Cikgu Eman Al Hadi.
“Bro! Apa ni? Tak habis lagi ke? Ke kau nak aku bawa Cikgu Ameena ni buat report polis untuk kes hari tu?” Isa dan Eman saling merenung tajam.
“Bro! Kau jangan masuk campurlah!” Isa berang kerana Eman cuba jadi penyelamat. Dia memandang ke arah Ameena yang sudah berlalu dengan laju. Wajahnya nya jelas ketakutan.
“Rileks Bro! Dia dah cukup takut dengan kau! Kalau betul kau nak dia balik dengan kau semula. Kau tak boleh buat macam ni. Macam mana kau pikat dia dulu? Buatlah macam tu juga sekarang. Jangan jadi lahanat macam ni!” Isa mendengus marah dengan teguran sahabatnya itu. Lansung tidak dihiraukannnya. Isa terus berlalu ke bilik pendidikan seni. Tempat dia melepaskan segala rasanya.
Semenjak berita penceraiannya tersebar, dia betul – betul tertekan kerana tidak dapat lagi merapati Ameena seperti selalu. Setiap mata pasti memandang ke arahnya andai dia berjalan bergandingan dengan bekas isterinya itu. Sungguh dia rasa tersekat.
“CIKGU Ameena okay ke? Kalau rasa tak okay, Kak Za rasa, Amee patut mohon tukar sekolah. Tukar ke sekolah yang dekat – dekat dengan rumah Amee.” Ameena memandang ke arah Cikgu Zaharah. Tidak tahu hendak memberikan jawapan apa. Dia pun baru sahaja mengajar di situ. Sungguh dia sayang untuk meninggalkan sekolah itu.
“ Entahlah Kak Za. Amee rasa sekarang Amee nak berehat. Nak tenangkan fikiran. Kalau boleh tak nak jumpa lansung dah dengan dia. Tapi kalau Amee tukar sekolah, sama juga.. dia akan cari tahu kat mana Amee. Tak susah pun bagi dia. Kak Za tahu kan.. bapak dia siapa.” Ameena mengeluh perlahan sambil terus melangkah beriringan dengan Cikgu Zaharah ke tempat letak kereta.
“Panjang pula umur dia.” Cikgu Zaharah tersenyum ke arah Isa yang sedang berdiri di sebelah kereta Audy miliknya.
“Betulkan Kak Za, apa yang saya cakap tadi.” Ameena menjeling malas kepada bekas suaminya yang memandang ke arahnya.
“Belum balik lagi Cikgu Isa? Kak Za nampak tadi Cikgu Isa dah lama keluar.” Agak berbaur sindiran teguran Cikgu Zaharah kepada guru muda itu.
“Hmm.. belum Kak Za. Tunggu Cikgu Ameena.. ada hal sikit yang saya nak bincang dengan dia.” Isa memandang tajam ke arah Ameena.
“Hal apa ya? Kalau hal sekolah, biarlah Kak Za kat sini. Tak elok kamu berdua – duaan dengan Cikgu Ameena kat sini. Sunyi pula tu.” Isa mendengus perlahan. Tidak puas hati dengan ulahan Cikgu Zaharah.
“Kak Za bagi ruang sikit saja untuk saya bincang dengan Ameena. Boleh?” Nada suara Isa sudah bertukar agak kasar dan keras.
“Esok saja lah Cikgu Isa. Hari ni saya dah penat.” Ameena membalas bersahaja. Dia bimbang juga takut – takut Isa bertindak luar kawalan kepada Cikgu Zaharah pula dek kerana panas hati .
“Kalau macam tu saya hantar awak. Awak kan dah penat.” Isa tersenyum manis. Menampakkan lesung pipitnya. Namun masih tidak mampu melembutkan hati bekas isterinya.
“Bagi saya ruang.. dan saya akan bagi awak ruang.” Ameena berlalu ke keretanya. Malas mahu memanjangkan lagi bual bicaranya. Isa mengetap gigi tidak puas hati. ‘Ada saja penyibuk!’
DATIN Suria merenung anak sulungnya lama. Wajah Isa jelas kepenatan. Tidak tahu hendak disalahkan siapa. Isa menekan- nekan alat kawalan jauh televisyen. Datin Suria perasan, sejak dari tadi lagi, Isa asyik menekan alat kawalan jauh itu. Sesekali dia mengeluh sendiri. Sesekali dia mengomel, menyalahkan saluran televisyen yang tidak menyediakan segmen yang menarik. Datin suria menggelengkan kepalanya.
“Is, kalau hati tak tenang, ambil wuduk.. solat sunat. Jangan salahkan orang lain kalau kita serabut.” Datin Suria melabuhkan duduknya bersebelahan dengan anak sulungnya itu. Isa bingkas bangun dari baringannya.
“Kalau Is solat, Ameena boleh balik semula pada Is? Tak kan mama? Nonsense!” serentak itu Isa melemparkan alat kawalan jauh di tangannya. Dia melepaskan lelah di dadanya. Menghembuskan nafas yang kelegaan apabila melihat alat kawalan jauh itu pecah berkecai. Mengucap panjang Datin Suria dengan kata – kata dan tindakan anaknya itu.
“Is.. yang tak matang itu kamu. Is yang tak pernah beri peluang pada Ameena dulu. Jadi kenapa Ameena perlu beri peluang kepada Is sekarang?” Berang Datin Suria dengan perangai anak sulungnya itu. Di satu sudut lain, dia sangat terasa hati dengan cara Isa bercakap dengannya sekarang. Kadang – kadang dia menyalahkan bekas menantunya kerana terlalu keras hati. Namun di satu sudut lain dia menyalahkan diri sendiri kerana terlalu memanjakan Isa sejak dari kecil. Apa sahaja kemahuan Isa, pasti dia turuti. Manakan tidak, Isa adalah permata hati mereka yang mula-mula mendiami rahimnya.
“Is sedar tak apa yang Is cakap? Solat tu, masa kita berjumpa Allah. Kewajipan kita sebagai hamba Allah. Is mintaklah apa pun. Tapi Is kena ingat Allah akan bagi apa yang kita perlukan bukan apa yang kita inginkan.” Datin Suria bangun dan meninggalkan anaknya yang sepertinya baru tersedar daripada kekhilafan sendiri.
‘ Itu mama kau Is! Kau nak jadi anak derhaka ke! Tak cukup kau jadi hamba yang tak tahu bersyukur?’
Isa terduduk semula di atas sofa. Satu persatu perkara yang dilakukan tergambar di ruang matanya. ‘Apa yang aku dah buat! Ya Allah.. Ameena memang layak bahagia dengan orang lain. Hanya aku yang terlalu takut dengan kehilangan. Aku yang selfish. Maafkan B, Honey.. saya akan cuba terima hakikat yang jodoh kita setakat ini sahaja. Walaupun berat untuk lepaskan awak. Namun saya akan cuba.’
Isa tunduk menekup mukanya. Air jernih mula gugur dari kelopak matanya. Mengenangkan perbuatannya pada bekas isterinya. Tidak cukup dia menceraikan isterinya tanpa belas, ditambah pula dengan gangguan – gangguan yang menyebabkan bekas isterinya menjadi trauma dan takut untuk berdepan dengannya.
“ YA ALLAH! Kau Ampunkanlah setiap dosa ku. Kau berikanlah kekuatan kepadaku. Kau berikanlah ketenangan kepada hatiku! Kau berikanlah petunjuk kepadaku. Andainya Ameena Azzahra bukan untukku... Kau tuntunlah hatiku untuk melupakannya. Amin..” Isa menyapu wajahnya dengan kedua-dua telapak tangannya. Dia menangis sendirian di tikar sejadahnya. Mengenangkan kebodohannya sendiri.
Dia mengakui, semua kekhilafan adalah dari dirinya sendiri. Tiada siapa yang patut disalahkan melainkan hanyalah dia sendiri. Lama dia berteleku di atas sejadah. Air matanya yang gugur dibiarkan membasahi pipinya. Betul kata mama, mengadulah kepada Allah, bukan kepada manusia. DenganNya, kita boleh menangis tanpa segan.
Puas duduk Isa berbaring sambil memeluk senaskah Alquran yang dibacanya seusai solat tadi. Demi mencari sedikit kekuatan. Akhirnya dia tertidur dalam tangisannya yang panjang.
“B.. bangun.. dah nak masuk waktu subuh.. B belum solat Isyak kan?” Isa terpisat – pisat membuka matanya. Dia melihat Ameena sedang duduk di sisinya. Berbaju kurung dengan rambut panjangnya yang cantik terurai.
“ Sayang dah balik? Honey dah balik?” Isa bangun dan memeluk insan yang dicintainya itu.
“Ya, saya balik. Tapi sekejap saja. Saya balik nak jumpa awak sekejap. Awak jangan tunggu saya lagi. Saya dah ada dia.” Isa menoleh ke arah seseorang yang ditunjukkan oleh Ameena. Wajahnya samar di balik satu cahaya. Isa melihat Ameena bangun dan meninggalkannya di situ. Berjalan beriringan dengan lelaki yang tidak dikenalinya itu. Keluar daripada biliknya dengan berpimpinan tangan.
Isa menangis lagi. Dia seperti dipasung kakinya. Lemah dan tidak mampu mengejar insan yang dicintainya separuh mati.
“Honey!” Isa terbangun dari tidurnya dengan bersama dengan jeritannya yang agak kuat sehingga mengejutkan Datin Suria yang kebetulan melewati biliknya.
Pintu bilikknya dikuak dari luar. Dia melihat mamanya sedang berdiri di depan pintu.
“Mama..” Isa seperti kehilangan kata-kata. Air matanya makin lebat membasahi pipi. Datin Suria yang tidak mengetahui hujung pangkal cerita terus menerpa ke arah anaknya. Yang dia tahu, Isa sedang kecewa dan sedih.
“Kenapa ni Is?” Is sakit ke?” Datin Suria menunduk dan memeluk anaknya yang sedang bersila di atas lantai.
“Is banyak dosa dengan mama. Is anak derhaka ke mama? Is banyak dosa dengan Ameena. Is kena lepaskan dia ke mama?” Isa menangis lagi. Terhincut-hincut bahunya menahan sedu tangis.
“ Is anak mama yang baik. Kadang – kadang kita buat silap dalam hidup. Kita kena terima kesan dari perbuatan kita. Lepaskanlah Ameena. Dia mungkin bukan untuk Is. Tapi kalau jodog Is dengan Ameena kuat, Is pergilah mana pun. Dia akan tetal datang pada Is. Percayalah cakap mama.” Isa mengangguk dan menekan kelopak matanya bagi menyeka air mata yang kian laju.
Datin Suria memeluk kemas anak sulungnya itu bagi memberikan kekuatan dan semangat. Dia tidak mahu Isa sendirian melawan rasa sedihnya. Dia faham akan perasaan itu.
“AMEENA! Boleh beri saya masa sekejap?” Isa yang kebetulan terserempak dengan bekas isterinya di kantin sekolah memohon untuk diberikan sedikit ruang untuk dia berbicara.
“Duduklah. Ramai orang kat sini. Tak ada masalah. Ameena masih dengan reaksi bersahaja tanpa perasaan.
“Saya nak bagitahu awak, ini hari terakhir saya mengajar di sini. Lepas cuti sekolah nanti, saya dah tak ada di sini.” Ameena mengangkat wajahnya. Terkejut dengan berita yang didengarinya.
“Awak mohon tukar sekolah ke? Bila?”
“Saya baru mohon. Papa yang minta tolong kawan dia dekat JPN uruskan secepat mungkin.”
“Hmm.. untung kan? Ada papa..” Ameena sedikit mencebik bibirnya.
“Saya memang beruntung ada papa dan mama. Saya juga beruntung ada awak. Tapi itu dulu.” Isa memalingkan wajahnya.
“Saya minta maaf dengan segala apa yang saya buat dekat awak selama ni. Saya tahu awak tersiksa. Maaf. Lepas ni, saya dah tak boleh ganggu awak lagi. Jangan risau. Semoga berbahagia.” Isa bangun dan melangkah pergi. Ameena memandang susuk tubuh Isa yang kian menjauh. Sukar dipercayai perubahan mendadak lelaki itu.
‘Betul ke? Bukan boleh percaya sangat Si Isa ni. Propa je lebih!’
" Isa buat hal lagi ke?" Eman mengambil alih tempat duduk Isa. Ameena pula mengurut dada kerana terkejut dengan kehadiran tiba - tiba Cikgu Eman dihadapannya.
" Taklah.. dia okay saja. Saya pun okay. Cikgu Eman tahu ke dia buat permohonan tukar sekolah? Dia cakap lepas cuti nanti dia tak mengajar kat sini dah." Terlopong mulut Eman tatkala mendengar berita tersebut. Dia menghabiskan sisa air kopi di dalam cawannya dan terus beredar tanpa sepatah kata pun.
"BRO! Kau memang nak putus sahabat dengan aku ke? Sepatah pun kau tak cakap dengan aku. Betul ke kau dapat tukar sekolah?" Isa agak terkesima dengan terjahan daripada sahabatnya, Cikgu Eman. Dia mengangguk seraya berpaling ke arah lain. Terasa malu untuk memandang wajah itu.
"Macam tu saja? Aku minta maaf kalau aku buat kau terasa. Hal hari tu..."
"Hal hari tu, memang salah aku. Thanks sebab halang aku. Kalau tak aku tak tahu apa yang akan jadi dekat dia." Kali ini Isa menunduk pula. Jari jemarinya saling bertaut bagi mengurangkan galau di dalam hati.
" Aku anggap kau dah macam adik aku. Kau pun kenal aku macam mana kan."
" Aku memang nak bagi tahu kau. Tapi kau dah tau dari Ameena kan? Sebab aku bagitau dia sorang saja. Nak bagi dia happy sikit." Isa tersenyum sumbing.
" Sekolah mana? Kalau kau rasa itu jalan yang terbaik.. aku sebagai kawan kau, akan tetap sokong kau. Semoga jodoh kau dengan dia kuat. Andai tak ada jodoh pun, aku harap kau tetap berlapang dada." Eman menepuk - nepuk bahu Isa yang mengangguk dan tersenyum nipis.
"Belum tahu lagi. Mungkin minggu depan baru tahu." Eman mengangguk faham.
"Minggu depan aku nikah. Dah lama aku nak bagi tahu kau. Tapi kau kebelakangan ni banyak sangat masalah. Aku taknak lah ganggu kau." Terbuntang mata Isa memandang ke arah Cikgu Eman.
"Aku minta maaf. Kenduri kecil - kecil saja. Kau datanglah. kenduri akad nikah saja. Pihak perempuan tak nak kenduri besar. Kad jemputan pun tak ada." Isa tersenyum lebar mendengar berita itu. Kahwin juga Cikgu Eman.
" Aku mesti datang. Insya Allah.. kalau tak ada aral melintang."
AMEENA memandang ke luar tingkap kereta. Melihat pemandangan lebuh raya pantai timur yang dipenuhi bukit bukau yang menghijau. Dia tiada pilihan selain mengikut ayah dan Ibunya menghadiri majlis perkahwinan sahabat ibunya. Betul, sekarang bukan masa yang sesuai untuk dia berseorangan di villa tersebut. Bagaikan mengundang bala jika dia tidak mengikuti ayah dan ibunya.
“Ibu, tak boleh ke kalau kita menginap kat mana – mana hotel? Lagipun, mesti dekat rumah kawan ibu tu, ramai saudara mara dia. Ibu okay ke?” Ameena yang sejak dari tadi berdiam diri tiba – tiba bersuara. Ada juga rasa menyesal mengikuti ibu dan ayahnya.
“Rumah kawan ibu tu besar. Walaupun rumah kampung, tapi besar. Kalau kakak tengok pun, mesti kakak terkejut.” Ameena menjungkitkan keningnya. Terasa sedikit teruja untuk melihat suasana rumah kampung tersebut.
“Ayah tak sibuk pula kali ni.. sampai tiga hari ayah ambil cuti.” Tuan Zulkifli berdehem kecil. Soalan Anaknya tidak berjawab melainkan dia hanya terus fokus kepada telefon pintarnya. Kartini menjeling anaknya di sebelah yang kelihatan agak sebal dengan reaksi suaminya.
“Ayah, tunang kakak tu kerja apa? Arkitek ke?” kali ini Tuan Zulkifli terbatuk kecil. Tiba – tiba dia diajukan soalan sebegitu. Tuan Zulkifli berpaling memandang anaknya di tempat duduk belakang.
“Kenapa baru sekarang kamu nak tanya?” Tuan Zulkifli menyorot pandang ke arah isterinya pula. Kartini hanya tersenyum.
“Kakak tahu ke Ameer balik hari ni. Malam nanti sampai. Dia transit kat singapore. Abang Long dengan Abang Ngah pun sampai malam ni juga.” Membulat mata Ameena memandang ibunya.
“Lahh... Kalau kakak tahu, kakak tak ikut ibu. Dah tak boleh jumpa adik. Dia balik lama ke, ibu?” Ameena agak kecewa. Rasa seperti nak suruh Pak Mat patah balik ke Kuala Terengganu.
“Diorang daripada KLIA ,terus datang ke rumah kawan ibu. Ibu dah bagi lokasi. Kita cuti – cuti malaysialah satu keluarga. Rasa kenduri suasana kampung. Lepas tu kita pusing – pusing kat Temerloh. Makan ikan patin. Okay tak abang?” Tuan Zulkifli hanya mengangguk kepalanya tanda setuju. Ameena pula sudah kelihatan agak teruja. Manakan tidak, daripada kecil, mereka tidak pernah merasa percutian keluarga.
“Ibu, kita pergi cameron la best!”
“ Boleh.. nanti kita pergi satu family.”
AMEENA memerhatikan seluruh halaman rumah kawan ibunya itu. Betul seperti apa yang dikatakan ibunya. Rumah itu seolah – olah berkonsepkan Bali. Satu rumah kayu seperti istana lama dikelilingi oleh beberapa buah bilik seperti chalet di sekitarnya. Bilik – bilik tersebut dihubungkan dengan laluan seperti jambatan. Keseluruhannya dibina menggunakan kayu Jati. Dapur pula terletak di belakang rumah induk tersebut. Juga turut dihubungkan dengan jambatan kayu jati. Di halaman hadapan pula terdapat kebun kecil di kiri dan kanannya. Sangat cantik dan kemas.
Ameena melihat seorang perempuan datang menghampiri ibunya sambil tersenyum. Sangat cantik. Walaupun penampilannya seperti orang – orang kampung, tetapi wajahnya kelihatan seperti kacukan negara timur tengah.
“Sampai juga awak ke teratak kami ni. Allah saja tahu betapa gembiranya saya.” Kartini dan kawannya itu saling berpelukan. Seolah – olah seperti sahabat lama yang sudah lama terpisah.
“Inilah satu – satunya anak perempuan saya. Ameena Azzahra.” Ameena tunduk menyalami tangan wanita separuh abad itu. Dia tersenyum senang.
“Cantik! Lembut .. manis.. macam awaklah Tini. Macam awak masa muda – muda dulu. Ibu Ameena ni masa muda ramai peminat tahu? Sebab dia memang sangat cantik.” Kartini tersenyum malu. Ameena pula memandang ibunya dengan kening yang terangkat. ‘Seriously?’
“Patutlah Ayah tak pernah tak bawa ibu kalau nak pergi mana – mana. Ini ke sebabnya..” Ameena ketawa kecil. Kartini membeliakkan matanya kepada Ameena.
“Jemput masuk dulu. Rumah saya ni taklah besar macam rumah awak. Tuan Zulkifli. Jemput masuk dulu. Suami dengan anak – anak saya masih dekat pasar lagi. Sekejap lagi sampailah tu.” Mereka membuntuti langkah perempuan separuh abad itu memasuki ke ruang utama rumah itu. Sekali lagi Ameena terpana dengan perabot dan susun atur dalam rumah tersebut. Seperti hidup di zaman silam. Dia tersenyum sendiri. Dia akui rumah itu sangat cantik dan unik. Sesesuai untuk dijadikan tempat bercuti. Segalanya lengkap.
“Jemput duduk dulu. Saya nak ke dapur sekejap.”
“Saya ikut sekali boleh. Nak tengok dapur awak. Mesti cantik.” Kartini memegang lengan sahabatnya.
“ Tuan Zulkifli. Saya pinjam Kartini sekejap. Ameena? Nak ikut sekali?” Tuan Zulkifli tersenyum dan mengangguk. Dia mahu melelapkan mata sekejap. Peningnya belum habis lagi. Pak Mat sudah lama keluar semula. Hendak ke rumah saudaranya. Ameena lantas mengikuti langkah ibu dan kawan ibunya.
“Su.. Anak awak berapa orang? Sunyi saja rumah ni. Macam rumah saya juga. Selalu sunyi. Kalau Ameena ni pergi mengajar. Lagilah sunyi.” Kartini melabuhkan duduknya di kerusi kayu di tengah – tengah dapur tersebut. Susun atur dapur itu juga sangat kemas dan teratur. Terdapat Island Kitchen juga di tengah- tengahnya. Turut diperbuat daripada kayu.
“Ooo.. Ameena mengajar ya? Minat ke ibu awak yang paksa?” Kartini ketawa kecil dengan ulahan sahabatnya itu.
“Saya memang nak jadi cikgu, Aunty. Memang saya minat.” Ameena menjawab penuh sopan.
“Hmm.. bagus Ameena ni. Tengok, Tini.. kalau memang dah berjiwa pendidik. Awak keluar, anak awak pula yang masuk.” Ameena kehairanan dengan kenyataan kawan ibunya itu.
“Panggil Mak la. Aunty ni macam dah bukan melayu pula. Ameena tak tahu ke, Tini?” Kartini menggelengkan kepalanya dan tersenyum.
“Biarlah mak cerita. Ibu awak ni, tak nak ingat cerita sedih dia kot. Boleh ya Tini?”
“Cerita la Sofi.. saya kalau boleh memang tak nak ingat pun. Tapi dah jumpa awak ni. Saya dah tak kisah dah. Dah tak jadi cerita sedih dah sekarang.” Kartini senyum lagi. Namun kali ini terselit sedikit mendung.
“Kalau Ameena nak tahu, kami kenal sewaktu kami belajar di Maktab perguruan Sultan Idris di Perak. Sejak dari semester pertama hingga ke akhir, kami tak pernah berpisah. Mak dah anggap dia macam adik beradik. Kalau ibu awak sakit, mak pun sama tak tidur malam jaga dia. Sebab mak pun memang tak ada adik beradik lain. Mak anak tunggal.” Kartini menunduk. Menyapu sedikit airmatanya yang meleleh. Ameena pula sudah terlopong mulutnya. Terkejut.
“ Nak dijadikan cerita, lepas kami habis belajar, kami dapat mengajar tempat yang sama. Di Marang, Terengganu. Sekolah yang sama. Kami sangat gembira waktu itu. Bila ibu awak berjumpa jodoh dengan ayah awak, mak lah yang jadi pengapit.” Ameena mengangguk. Dia kembali teringat gambar perkahwinan Ibu dan ayahnya. ‘Jadi inilah perempuan yang sebelah ibu dalam gambar tu. Patut ibu selalu mengelak bila aku tanya siapa.’
“Tak lama lepas ibu awak kahwin. Mak pula yang berjumpa jodoh. Tapi walaupun masing-masing dah kahwin. Kami tetap bersama tak kira masa. Namun selepas satu kejadian, kami terpisah. Ibu awak terpaksa berhenti kerja. Ayah awak sudah tidak benarkan ibu awak bekerja kerana ibu kerap diganggu oleh kawan suami makcik. Juga seorang guru. Lepas ibu berhenti, mak pula ditukarkan bertugas di Johor. Jadi kami putus hubungan.” Kartini memegang kejap tangan sahabatnya. Mencari sedikit kekuatan.
“Tapi jodoh pertemuan di tangan Allah. Ibu dipertemu semula dengan kawan ibu ni. Masih cantik dan anggun macam dulu – dulu juga.”
“Ameena boleh tolong bawa dulang air tu ke. Mak nak bawa dulang kuih ni. Dah lama Tuan Zulkifli menunggu tu. Haus dah dia tu. Awak keluar dululah Tini, tengokkan suami awak tu” Ameena mengangguk dan tersenyum. Dia membetulkan tudungnya yang sudah sedikit menutup wajahnya. Manakala ibunya sudah terdahulu keluar menuju ke ruang tamu semula untuk melihat ayahnya.
“Mak! Cantiknya mak hari ni! Cium sikit dia.. mesti wangi ni!” Ameena yang baru mengangkat dulang air berpusing mendengar suara yang seperti dikenalinya. Hampir terlepas dulang di tangannya melihat seseorang yang cukup dikenalinya sedang memeluk dan mencium pipi sahabat ibunya.
“Apa awak ni.. kita ada tetamu tu ha! Eii tak malu la awak ni..” Kali ini giliran lelaki itu pula terkejut melihat gadis yang cukup dikenalinya menjadi tetamunya. Wajah Ameena kemerahan dek kerana malu melihat aksi lelaki itu.
“Ameena? Macam mana kenal dengan mak saya ni? Macam mana boleh sampai sini?” bertalu – talu soalan yang keluar dari mulut lelaki itu. Kedua – duanya saling terkejut dan keliru. Apa yang sedang terjadi sebenarnya.
"Abang.. ada tetamu ke?"
Siapakah yang muncul di rumah sahabat lama Ibu Ameena? Nantikan Bab seterusnya.
Share this novel