BAB 17 : ADAKAH INI MIMPI?

Romance Series 52946

MAKAN malam keluarga besar itu begitu meriah. Kedatangan keluarga Kartini dan Tuan Zulkifli juga di sambut senang oleh semua ahli keluarga Haji Hashim. Hanya Eman dan Ameena yang tidak banyak bercakap. Masing – masing hanya diam dan senyum bila perlu.

Sesekali Eman melirik pada Ameena. Wajah gadis itu kelihatan tidak seceria selalu dengan matanya yang sedikit sembab. Sungguh dia sakit dengan keadaan itu kerana dia tahu, dialah penyebabnya. Sesekali mata mereka saling bertembung. Namun cepat-cepat dilarikan.

“Jadi Cikgu memang dah kenal lama la dengan Kakchik ni ya?” Aryan memandang tepat ke wajah Eman. Dia perasan wajah itu tidak semesra seperti semalam.

“Ya, dah lama. Dia dulu bekas anak murid saya . Sama lah macam Ameer ni juga.” Aryan mengangguk.

“Lama juga tu. Umur Cikgu berapa? Muka tak nampak tua pun.” Arief pula mencelah dengan kuih seri ayu di tangannya tunggu masa untuk menjadi tetamu lidahnya.

“Dah masuk 30 tahun..” Eman melirikkan senyuman ke arah Aryan dan Arief. Dia tahu mereka berdua lebih muda darinya.

“Ooohhh. Dah masuk tiga siri. Patutlah dah nak kahwin. Macam mana esok? Dah ready? Orang cakap benda paling mencabar dalam hidup kita ni.. duduk depan tok kadi.” Arief ketawa kuat. Disambut pula oleh Aryan. Beberapa pasang mata lain turut sama memandang ke arah mereka. Eman hanya ketawa hambar. Dia mengerling ke arah Ameena yang sepertinya sudah tidak senang duduk.

“Kakchik, kau okay tak?” Ameer separuh berbisik di tengah kebingitan tersebut.

“Dik, aku pening kepala lah.. aku nak keluar la dari sini.” Ameena sudah tidak betah untuk berlama – lama disitu. Hatinya bertambah sakit dengan senyuman bahagia yang terpamer di wajah Eman.

“Ibu, kakak keluar dulu. Kakak rasa tak sedap badan la.” Ameena berbisik perlahan. Kartini berpaling memandang wajah anaknya itu seketika. Agak hairan dengan perubahan Ameena sejak petang semalam.

“Ameena kalau tak sihat, pergi rehat kat bilik la. Nanti takut melarat.” Jelas wajah Hajah Sufiah mempamerkan kebimbangannya. Manakan tidak wajah gadis itu kelihatan tidak bermaya. Hati keibuannya turut sama risau.

Ameena mengangguk seraya bangkit dari kerusinya. Eman hanya memandang tanpa bersuara. Serba salah. Bimbang jika dia bertanya, Ameena akan menganggap dia mengambil berat. Dia tidak mahu Ameena berharap apa – apa padanya. Maka dia terpaksa mendiamkan diri.

Hajah Sufiah dan Kartini saling berpandangan. Mungkin mereka juga perasan dengan kedinginan antara Eman dan Ameena. Suasana riuh rendah di luar rumah mengalihkan perhatian mereka berdua. Ketua tukang masak masih belum pulang lagi kerana ingin memastikan semuanya sempurna untuk hari esok. Esok selepas subuh, mereka akan berganding bahu menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada para tetamu yang hadir.

“KAKCHIK, kau tak boleh macam ni. Kena kawal sikit. Kena kuat. Kau tak boleh nak salahkan dia juga sebab kau pun tak pernah cakap kau suka dia. Lagi teruk, kau pilih kawan baik dia sendiri. Kalau aku pun koyak kak!” Ameer cuba membuka mata kakaknya supaya tidak terus tewas dengan perasaan sendiri dan tidak terus menyalahkan orang lain.

“Jadi aku yang salah? Semua salah aku? Isa ceraikan aku pun, sebab salah aku? Itu ke maksud kau dik?” Ameena naik angin dengan kata – kata Ameer. Seolah-olah hanya dia yang salah. Suaranya sedikit meninggi. Dua tiga orang yang lalu lalang di kawasan pangkin tempat mereka duduk turut memandang ke arah mereka.

“Rileks la Kak! Kau ni kenapa nak marah – marah macam ni. Aku cakap atas dasar apa yang aku nampak. Kau ingat aku suka ke tengok semua benda ni jadi kat kau. Kau sakit, aku pun sakit! Kau tahu kan. Tapi dalam keadaan ni, kau tak boleh buat apa – apa. Allah uji kau sikit je ni kak. Dulu lagi banyak yang Allah uji kau. Kau okay je. Tak ada siapa yang salah. Kau tak salah, dia tak salah. Dah, move on!” Ameer menahan suaranya supaya tidak didengari oleh orang lain.

“Kau macam berpihak pada dia Dik! Kau macam salahkan aku. Kau cakap dia tak salah? Kenapa dia simpan buku lukisan aku? Kenapa dia simpan buku – buku latihan aku? Kenapa dia simpan pen yang ada nama aku? Yang lagi teruk, selama ni dia yang bagi aku coklat dan kata – kata semangat setiap pagi. Tapi, dia tak pernah berterus terang. Aku pula ingatkan semua itu dari Isa. Aku jumpa banyak kad ucapan yang dia tak sempat nak bagi kat aku dalam kotak tu. Kau tahu tak Dik? Kenapa aku suka kat Isa? Sebab ucapan yang dia selalu hantar dekat aku pagi-pagi. Tapi rupa-rupanya semua tu dari dia. Aku yang bodoh.. Aku terima semua tu tanpa banyak soal.” Ameena menundukkan wajahnya ke tanah. Tidak mahu airmatanya di lihat oleh sesiapa pun. Ameer pula sudah tidak tahu untuk berkata apa lagi. Ameena sebenarnya dalam fasa berasa bersalah. Disebabkan itu, dia cuba meletakkan semua salah pada Eman. Mindanya sudah tidak stabil.

“Dahlah, Kakchik. Jomlah, masuk rehat. Kepala kau dah jem teruk ni. Nanti kalau Abang Long dan Abang Ngah nampak ni.. masak aku nak menjawab.” Ameena membiarkan Ameer menarik lengannya. Dia membuntuti langkah adiknya. Disapu air mata yang masih bersisa. Tudungnya dibetulkan sedikit. Dia menarik nafas dan menghembuskan perlahan – lahan dan cuba tersenyum untuk memujuk dirinya sendiri. Apa yang diharapkan, esok seusai sahaja majlis, dia mahu terus pulang. Tidak mahu berlama – lama di situ. Tidak mahu lagi dia menjejakkan kakinya di kediaman itu. Hatinya cukup hancur dengan kata – kata Eman tadi. Tak guna mengharap pada yang tak sudi.

Eman bersandar lemah pada pokok mangga yang menjadi pemisah antara mereka. Setiap kata-kata Ameena ditelan pahit. Kalaulah Ameena yang menjadi calon isterinya. Alangkah bahagianya. ‘Ya Allah, bantulah aku. Keluarkan aku dari rasa kekusutan ini. Ya Allah apakah mungkin kau jadikan dia untukku.’ Walaupun dia tahu itu tidak mungkin, namun dia tetap berdoa semoga ada keajaiban untuknya. Eman menekan kuat kedua -dua belah pelipisnya dengan tangan kirinya. Dadanya terasa sangat sebak memikirkan yang dia terpaksa melukakan insan yang istimewa dihatinya. Hatinya terasa sakit.

‘Ya, saya memang tak guna, Ameena. Maafkan saya! Tak mungkin saya mungkiri janji dengan keluarga bakal isteri saya. Ya, saya tak sanggup nak tengok awak kecewa, namun saya juga tak mampu nak tengok emak dan Abah saya malu dan bersedih dengan sikap pentingkan diri saya. Saya terpaksa memilih. Walaupun perit, walupun sakit, tapi ini yang terbaik untuk semua. Awak mungkin tak faham, sebab jiwa awak masih muda.’

ARYAN memerhatikan Arief yang sejak daripada tadi tersenyum – senyum sambil memandang ke arah sekumpulan gadis yang sedang menyediakan bunga telur. Dia tahu sangat yang adiknya itu sedang berangan. Arief memang nampak macam mudah mesra tetapi kalau bab mengayat perempuan memang dia tak pandai. Sebab itulah dia banyak kali putus cinta. ‘Yang mana satu yang dia duk pandang daripada tadi.’

“Biru ke pink? Ke kuning?”

“Biru..” Arief menjawab bersahaja sambil tersenyum dan masih berangan.

“Cantik?” Aryan masih menguji adiknya itu.

“Cantik sangat. Manis.. Eh, kau Abang Long! Amenda kau mengarut ni! Apa yang cantik?” Arief tidak keruan apabila dia tersedar yang dia sudah tersilap cakap. Walaupun dia nampak brutal namun dia sebenarnya agak pemalu.

“Aku pula yang mengarut? Ha.. ya lah tu! Aku tanya ni ha.. iphone baru ni, warna apa yang cantik. Kau yang siap cakap manis bagai tu apa?” Aryan ketawa geli hati. Arief pula sudah menggelabah.

“Ha, betullah tu, biru cantik.. manis.” Arief masih cuba menegakkan benang yang basah.

“Tak payah kau nak membongakkan aku la Angah! Kau ingat aku tak kenal kau siapa. Kau dengan aku dari kecik tak pernah berpisah tau. Sampai dah besar pun, jodoh kau tetap dengan aku. Hahhahha! Masuk Asrama sama-sama. Duduk bilik sama-sama. Masuk PULAPOR pun sama-sama. Dah kerja pun tempat sama juga. Lagi kau nak membohong aku?” Arief menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih. Tak sangka dia tertangkap kali ini. Dari hari pertama dia sampai di situ, hatinya sudah terjatuh suka pada seorang gadis di situ. Namun dia tak berani untuk berkenalan. Ya lah, dah kampung orang. Nanti tak pasal-pasal pula mukanya lebam.

“Ya lah tu, yang baju biru tu. Tapi mak dia yang mulut kepoci tu. Itu yang susah nak berkenalan tu.” Arief mengusap belakang tengkuknya. Sesekali dia mencuri pandang ke arah gadis yang diperkatakannya itu.

“Ah, kau! Kalau mak dia yang jenis lembut, baik, ustazah sekalipun.. kau tetap penakut la! Macam aku tak kenal kau. Harap kau ni ada rupa je tau. Kalau tak, tak adanya perempuan suka kat kau ni. Itupun semua bekas kau dulu, diorang yang tegur kau dulu. Kalau tak.. tak ada maknanya...” Aryan bertalu – talu menghentam adiknya itu. Arief pula hanya buat riak bersahaja. Malas ambil pusing setiap kata-kata abangnya. Walaupun dia akui semua kata-kata Aryan tak ada satu pun yang salah. ‘Tak mengapa. Kalau dah jodoh tak kemana.. kalau bukan jodoh.. buat apa pun tak guna.’

“IBU, baju kurung kakak tertinggal la. Boleh tak kakak tak ikut.” Kartini membuntangkan matanya kepada anak perempuannya yang masih belum bersiap. Malahan masih berbaring di atas katil.

“Ibu ada bawa baju lebih. Nanti pakai baju ibu. Jangan mengada-ngada. Nanti bawah mata tu, tutup sikit dengan make up. Dah macam musang dah. Eman tu kan kawan kamu. Ada pula tak mahu pergi. Nanti apa kata Hajah Sufiah tu. Tak baik buat orang terasa.” Ameena bangkit dari katil dengan kemalasan. Malas untuk melihat hari bahagia Eman di atas air matanya. ‘Macam mana boleh tertinggal pula baju aku tu.. mungkin ke itu tandanya, aku tak perlu pergi ke masjid tu. Tapi ibu, boleh pula bawa baju lebih. Mentang – mentang lah saiz dia sama dengan kita. Main paksa – paksa pula.’ Ameena menggumam di dalam hati.

Ameena memerhatikan baju kurung berwana putih yang dihantar oleh Abang Long tadi. ‘Hairan! Tak pernah tengok ibu pakai baju ni pun sebelum ni. Putih pula tu. Cantiknya. Siap ada manik - manik. Siap sekali dengan tudung. Pakai sajalah! Nanti membebel pula Puan Kartini tu.’

Ameena memandang wajahnya di cermin. Baju kurung moden tersebut padan-padan muat dengannya. Dioleskan sedikit solekan pada wajahnya untuk menutup kekusaman. Ameena cuba tersenyum dalam paksa. Cuba memujuk hatinya yang retak seribu. ‘Tak mengapa Ameena. Allah uji, sebab Allah sayang kau. Betul kata Ameer. Ini hanya sedikit. Jangan lemah! Jangan kalah! Ameena takkan jatuh disebabkan seorang lelaki. Tambahan pula lelaki pengecut macam tu.’

TOK!TOK!TOK!

Lamunan Ameena dimatikan dengan ketukan pintu yang bertalu-talu. Kedengaran suara Ameer yang menyeru namanya daripada luar. Dia bingkas bangun dan menarik bagasi dan barangnya untuk dibawa keluar bersama-sama.

“Nak pergi mana dengan bag-bag ni? Ibu cakap kita balik pagi esok lah. Tukar plan saat – saat akhir. Dah cepat! Semua orang tunggu kau. Pengantin dah gerak dulu. Dah lewat.” Ameer kelihatan berpeluh-peluh. Tampil segak dengan baju melayu biru gelap dengan sampin hitam bersulam benang emas.

“Ye lah! Jom.. kalau aku tak pergi, diorang nikah juga kan..” Ameena membebel sendiri. Ditinggalkan barang – barangnya dan beriringingan dengan Ameer menuju ke kereta.

Perjalanan ke Masjid Sultan Ahmad Syah mengambil masa kira – kira dua puluh minit dari kediaman keluarga Eman. Ameena memandang perkarangan masjid tersebut. Terdapat beberapa orang pengantin perempuan bersama keluarga masing- masing. Hatinya terpanggil untuk mencari bakal isteri Eman Al Hadi. ‘Yang mana satu wanita bertuah tu ya.’ Matanya tertancap pada seorang wanita berpurdah yang turut mengenakan busana pengantin berwarna putih. Hatinya mengatakan mungkin itulah calonnya. ‘Untung awak Eman.’

Pertama kali menjejakkan kaki ke dalam Masjid tersebut,membuatkan Ameena terpaku dengan rekabentuk senibinanya. Sangat cantik. Dia memandang kubah besar berwarna hijau di atas kepalanya dengan rasa kagum. Lupa sebentar dia pada kesedihan hatinya. Hatinya disentap dengan keinsafan dan disaluti kedamaian tatkala berada diruang tersebut.

Seketika kemudian, pandangannya jatuh pada Eman Al Hadi yang duduk membelakanginya mengadap jurunikah. Dia malas untuk memandang tetamu yang lain. Bimbang hatinya tidak kuat. Dia hanya menundukkan wajahnya. Membiarkan hatinya saling berbicara dengan mindanya.

Suasana di dalam masjid itu menjadi sedikit sunyi dengan kutbah yang diberikan oleh jurunikah . Masing – masing mendengar dengan teliti. Begitu juga Ameena. Hati sedikit sayu mendengarkan teks yang dibacakan oleh jurunikah tersebut. Terulang semula detik – detik perkahwinan yang dulu. Perkahwinan yang kecundang selepas 14 hari. Ya, tanpa kesabaran dan keimanan, rumah tangga yang dibina akan runtuh.

Sementara di hadapan jurunikah,Eman Al Hadi sudah mula berpeluh. Entah kenapa hatinya berdebar – debar semenjak pagi tadi. Dia tidak berani untuk menoleh ke belakang bagi melihat wajah bakal isterinya. Dia takut terpandangkan wajah Ameena kerana dia tahu gadis itu turut berada di situ.

Eman melihat Tuan Zulkifli berbisik sesuatu kepada jurunikah tersebut dan seketika kemudian mereka bertukar tempat. Jantung Eman berdegup semakin kencang. Apakah makna semua ini. Tuan Zulkifli tersenyum mesra kepadanya. Dia berpaling ke sebelah kanannya. Mencari wajah abahnya dengan riak yang terpinga-pinga. Haji Hashim mengukirkan senyuman sambil menepuk – nepuk bahu anak lelaki sulungnya itu.

“ Eman Al Hadi nama kamu ya? Sebelum pakcik teruskan, pakcik nak tanya kamu.. kamu sudikah terima anak perempuan pakcik, Ameena Azzahra sebagai isteri kamu?” Bagaikan hendak terputus tangkai jantungnya demi mendengarkan soalan itu. Seketika setitik air mata kegembiraan menitik dari kedua – dua kelopak matanya. ‘Ya Allah! Engkau kabulkan permintaan aku , Ya Allah.’ Eman menekan kelopak matanya dan mengangguk perlahan.

“Anak jantan kena kuat!” Eman tersenyum dengan bisikan daripada Haji Hashim. Dia menoleh ke belakang mencari wajah emaknya dan wajah wanita yang dicintainya itu. Namun dia nampak wanita itu hanya menunduk. Dia tersenyum lagi dengan matanya sedikit kemerahan.

“Eman Al Hadi bin Hashim!”

“Ya Saya!” Lantang dan yakin sekali suaranya kali ini.

“Aku nikahkan akan dikau dengan anakku Ameena Azzahra binti Tuan Zulkifli dengan mas kahwin dua ratus ringgit tunai!” Lantas tangan Eman di henjut sekali supaya lafaz ijab itu dikabulkan oleh pengantin lelaki tersebut

“Aku terima nikahnya Ameena Azzahra binti Tuan Zulkifli dengan mas kahwin dua ratus ringgit tunai.” Dengan sekali lafaz dan disahkan oleh saksi – saksi yang hadir, maka secara rasminya Eman telah bergelar sebagai seorang suami. Lebih manis apabila dia menjadi suami kepada orang yang dicintai separuh mati.

Ameena pula masih terpinga-pinga apabila tersedar yang namanya disebut dalam ucapan lafaz ijab dan kabul tadi. Segalanya berlaku dengan pantas. Tanpa dia sempat mengatakan ya atau tidak. Tapi bukankan dia telah bersetuju dengan permintaan ibu dan ayahnya. ‘Tapi kenapa Eman? Macam mana semua ni boleh berlaku?’

Kartini memeluk erat anak perempuannya. Air mata bahagia gugur dari kelopak matanya. Dia berharap kali ini Ameena bahagia di samping Eman. Seorang lelaki yang baginya sangat jujur dan menepati janji. Hajah sufiah turut memeluk gadis yang baharu sahaja menjadi menantunya. Dia tahu gadis itu masih terkejut. Semuanya sudah dijangkakan. Pertemuannya selama tiga hari dengan Kartini telah menjawab semua persoalannya.

Seusai melakukan solat sunat dan sujud syukur, Eman merapati isterinya. Anggun dalam busana berwarna putih. Dia tersenyum memandang wajah yang masih terpinga – pinga itu. Matanya nampak sedikit lebam, mungkin kerana menangis semalaman. ‘Kesian isteri abang.’

“Ameena Azzahra..” Ameena terkedu apabila mendengar namanya diseru dengan perlahan oleh suara serak-serak basah milik Eman Al Hadi. Eman Menghulurkan sebentuk cincin untuk disarungkan ke jari manis isterinya. Ameena yang masih terkejut dalam terpaksa menghulurkan tangannya. Dalam kepalanya, sudah bercampur aduk rasa suka, marah , geram dan tak kurang juga rasa tertipu. Dia tunduk menyalami tangan suaminya. Satu kucupan lembut singgah pada dahinya. Terasa satu perasaan hiba terdetik dihatinya. ‘Apakah ini mimpi?’

Seketika kemudian, seisi masjid menjadi sunyi apabila mendengarkan bacaan surah Almulk yang dibacakan oleh Eman Alhadi dihadapan isterinya sesuai seperti yang telah dijanjikan. Ameena terkedu demi mendengarkan suara yang sayu itu mengalunkan bacaan surah tersebut. Lebih-lebih lagi bacaan itu dialunkan dengan irama jiharkah. Irama yang mengandungi lenggokan yang bisa membuat hati menjadi sayu. Ameena teringat syarat yang diletakkannya apabila ibu dan ayahnya mengusulkan cadangangan untuk berkahwin lagi. Sekarang terbukti, suaminya betul-betul berpegang kepada janji.

“JADI inilah benda besar yang ibu cakap hari tu? Sebab ni ke ibu dan ayah suruh kami semua balik waktu cuti sekolah ni. Mereka berdua tu lansung tak tahu ke rancangan ibu dengan kawan ibu tu? Macam mana ibu boleh tahu Cikgu Eman tu anak kepada kawan ibu?” Bertalu – talu soalan yang diajukan oleh Aryan. Mereka berdua memang sangat- sangat terkejut. Apatah lagi apabila tiba-tiba sahaja ayah mereka bertukar tempat dengan jurunikah tadi. Masing – masing saling berpandangan. Berbicara bahasa mata.

“Ibu mula-mula pun tak tahu yang anak Hajah Sufiah tu kerja satu sekolah dengan Kakchik. Yang ibu tahu dia Cikgu, mengajar kat mana ibu pun tak tahu. Bila Kakchik cakap, dia serahkan semuanya pada ibu dan ayah, kami pun terus terima lamaran kawan ibu tu. Hajah Sufiah pun tak banyak soal. Kebetulan Hajah Sufiah telefon ibu sewaktu kami tengah buntu dengan kes Isa yang selalu ganggu Kakchik hari tu.

Ibu adalah minta gambar Cikgu Eman itu. Masa tu, nama pun ibu tak tahu. Kakchik pula cakap tak nak buat kenduri. Kalau nak buat, buat sajalah kenduri kecil-kecil sebelah pihak lelaki. Itu yang ibu serahkan semuanya pada Hajah Sufiah. Kami hanya bagi sokongan kewangan sajalah. Ya lah.. takkan nak serahkan bulat – bulat pada pihak sana kan..” Panjang lebar Kartini bercerita. Melopong mulut kedua-dua beradik itu. Hanya Ameer yang beriak bersahaja.

“Kau tak terkejut ke Adik? Ke kau dah tahu. Aku tengok kau biasa saja. Kami je yang dah macam beruk tengah terkejut!” Arief mencampakkan bantal kecil kepada Ameer di tempat duduk paling belakang.

“Adik pun baru tahu. Ibu hantar gambar kat adik, tanya kenal tak siapa? Adik dah habis dah fasa yang macam beruk terkejut tu. Adik tanyalah.. macam mana ibu dapat gambar Cikgu Adik ni. So.. Ibu ceritalah semua benda. Yang adik bimbang satu saja... Cikgu Eman ni musuh ketat Kakchik. Mereka dulu pantang jumpa, mesti gaduh. Kakchik memang tak boleh tengok muka dia. Mesti naik hantu. Waktu Kakchik berkawan dengan Abang Is dulu pun, dia selalu gaduh dengan Cikgu Eman ni. Tapi.. Adik ada cerita lagi best dari ni.. hahhaaha!” Apalagi, semua mata terus tertumpu kepada Ameer yang tersengih – sengih seperti kerang busuk. Matanya bersinar – sinar, seolah – olah memberi bayangan yang ceritanya bakal laris di pasaran. Tuan Zulkifli juga turut sama mengalihkan perhatiannya ke arah Ameer.

“Apa dia? Ceritalah!” Tegas sekali suara Tuan Zulkifli memandang Ameer di sebalik kaca matanya dengan wajahnya sedikit menunduk. Ameer sudah kecut perut. Niat untuk bergurau sudah bertukar kepada serius pula. Hilang terus sengihan yang menyakitkan hati sebentar tadi.

“Malam tadi lepas isyak, Ameer jumpa Kakchik tengah menangis depan pintu bilik dia. Dia nangis sampai teresak – esak. Rupa-rupanya dia baru lepas gaduh dengan Cikgu Eman...”

“Dah kenapa bergaduh pula?” Belum sempat Ameer meneruskan penceritaannya, Tuan Zulkifli terlebih dahulu menyampuk. Kali ini semua mata tertumpu kepada Tuan Zulkifli. Mata Ameer berkelip-kelip memandang ayahnya. Jarang sekali Tuan Zulkifli berminat dengan gosip-gosip liar begini. Terasa kelu lidahnya untuk bercerita lagi. Aryan dan Arief saling berpandangan, seperti biasa hanya berbicara bahasa mata. Pelik dengan reaksi ayahnya.

“Kakchik jumpa barang Cikgu Eman dalam satu kotak. Ada orang letak dalam bilik dia sewaktu mereka duk mengemas bilik pengantin. Bilik yang kakak duduk tu,bilik Cikgu Eman selalu lepak. Sebab tu kot diorang pindah barang – barang tu kat situ. Nak dijadikan cerita, Cikgu Eman datang nak ambil semula barang tu. Masa tu Kakchik dah tahu isi kat dalam kotak tu. Dan bila Cikgu Eman datang, Kakchik minta penjelasan. Tapi Cikgu Eman reject Kakchik mentah-mentah. Alasan dia cerita lama dan dia tak mahu mungkir janji dengan keluarga bakal mertuanya.” Ameer menarik nafas lega kerana akhirnya selesai juga ceritanya. Tuan Zulkifli pula kelihatan tersenyum memandang isterinya, Kartini.

“Pilihan awak memang tepat, saya pun pernah beri tawaran pada dia, sewaktu dia datang hantar Ameena hari tu. Pandangan mata dia pun, saya dah tahu dia sukakan anak kita. Tapi sebab dia dah berjanji, maka dia tolak tawaran saya. Itu tandanya dia seorang yang bertanggungjawab. Ayah pun terkejut waktu mula-mula jumpa Eman hari tu. Tak sangka mereka mengajar di sekolah yang sama. Tapi yang peliknya bila Eman cakap bakal isteri dia seorang doktor.” Kartini mengangkat kening kehairanan.

“Doktor? Macam mana boleh jadi doktor pula? Ni mesti Hajah Sufiah main taram saja. Sebab saya tak pernah cakap pun Ameena kerja apa. Dia pun tak pernah tanya. Sofi tu memang dari dulu macam tu. Main taram saja.” Kartini ketawa mengingatkan sahabat baiknya itu. Tuan Zulkifli pula menggelengkan kepalanya. Manakan tidak dia pun pernah terkena dengan Hajah Sufiah dulu. Main jawab saja apa yang ada dalam kepalanya. Seketika kemudian dia turut tersenyum.

“Eloklah juga ibu dapat berbesan dengan orang sini. Nanti tak susah nak datang merisik bakal menantu yang satu lagi tu..” Aryan tersenyum sambil menjeling ke arah Arief. Arief pula sudah berubah cuak. Matanya tidak berkelip memandang ke arah kedua ibu dan ayahnya yang mengalih pandang ke arahnya pula. ‘Kau memang puakalah Abang Long!’

adakah Ameena dapat menerima Eman sebagai suaminya? Apakah bakal timbul kemelut antara mereka berdua ? dan siapa pula gadis yang telah berjaya menawan hati Arief?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience