DOKTOR LUQMAN sudah bangkit berdiri di sisi katil pesakit untuk mematahkan sebarang serangan. Dia sudah lama bersedia, sejak dia merancang itu semua lagi dia sudah mempersiapkan dirinya. Setakat lesennya digantung, itu tidaklah menjadi masalah baginya. Setakat bertukar ke hospital kerajaan di Kuala Terengganu pun tak ada masalah baginya, inikan pula untuk menghidupkan semula lesen tanpa dikenakan sebarang tindakan tatatertib. Pengaruh bapanya saudaranya sangat kuat untuk mematahkan semua itu. Lagipun arwah papanya juga seorang yang sangat berpengaruh di Malaysia.
“Ishh, Kalau tak sebab dekat hospital, dah lebam muka kau aku kerjakan!” Nada suara Eman cuba di kawal sepenuhnya, apabila dia perasan ada dua tiga pasang mata yang sibuk memerhatikan mereka. Memandang Cikgu Lily yang lemah terlantar itu juga menerbitkan rasa simpati di hatinya. Muntah darah? Mungkin ke sihir yang dituju berbalik pada diri sendiri? Kalau betul, kau terimalah kifarah perbuatan kau!
“Cikgu Eman, kalau anak jantan, dia tak kisah kat mana pun!” kata-kata Doktor Luqman membangkitkan lagi kemarahannya. Rahangnya bergerak-gerak menahan rasa marahnya. Namun pelukan Ameena sedikit menyejukkan hatinya. ‘Ni kalau aku gertak lagi doktor sakai ni, mesti Amee peluk aku lagi kuat, ni...’
“Eh, kau ni... memang menyeru penumbuk aku ke apa ha?” Eman menutup pintu bilik dengan tolakkan kakinya. Kini tiada siapa yang melihat kalau apa-apa pun terjadi di dalam bilik itu.
“Dah lah, Abang... kita balik ya… Kalau tak puas hati pun, kita gunakan saluran yang betul.” Ameena memeluk suaminya semakin kuat. Sehingga setiap lekuk tubuhnya dapat dirasai oleh suaminya. Dalam hati, Eman tersenyum kemenangan. ‘Ya, ini yang Abang mahukan. Peluk kuat lagi, Sayang!’
“Alang-alang dah niat tu, teruskan sajalah, Bro! Sebelum kau salahkan orang tu, kau cerminkan diri kau dulu! Cikgu Ameena... mungkin you tak tahu siapa suami you tu... Dia ni yang tak guna! Dia dah seronok-seronok dengan Lily ni, lepas tu senang-senang dia tinggalkan perempuan ni dan nikah dengan you! Alasan dia apa? Sebab Lily ni dah tak suci. Kepala hotak dia!” Ameena termenung seketika dengan kata-kata Doktor Luqman. Benda yang paling mustahil! Dia lebih kenal Eman. Sebelum ni, walaupun dihidangkan depan mata yang halal pun, Eman masih mampu mengawal nafsunya. Inikan pula yang haram.
“Apa yang kau mengarut ni sial! Aku dah ragut kesucian perempuan tak berapa suci ni? Bagi free pun aku tak nak la! Sebelum kau percaya cakap betina ni, baik kau selidik dulu. Jangan kau jadi lagi bodoh dari lembu!” Eman sudah ketawa besar dengan tuduhan Doktor Luqman yang sepertinya masih belum kenal siapa Lily Hasrita. Syaitan berlindung di sebalik malaikat!
“Jadi kau nak cakap pilihan kau suci ke? Aku dengar yang kau ambil bekas orang...” Provokasi Doktor Luqman menjadi. Merah padam wajah pasangan suami isteri itu.
“Doktor ada masalah dengan janda ke? Korang berdua yang bergaduh, kenapa nak libatkan saya. Macam budak-budak!” Ameena malas lagi berlama di situ. Hatinya panas. Kang tak Eman yang bagi penumbuk, dia pula yang bagi penerajang atas muka! Eman turut berpusing untuk membontoti isterinya. Hatinya masih cuba disabarkan. Kalau tak mengenangkan hospital, dah lama mendapat doktor muda tu.
“Aku nampak yang lembu tu kau! Lembu kena cucuk hidung...” Doktor Luqman masih belum berpuas hati. Senyuman sinis menghiasi bibirnya dan dia kembali duduk di sisi Lily yang masih lemah.
GEDEBUKK!!! Satu penumbuk singgah di pipi kirinya tanpa sempat dia mengelak kerana dia lansung tidak bersedia. Entah bila Eman berpatah semula dan meluru ke arahnya. Laju betul tindak balas Cikgu Eman. Terperosok Doktor Luqman ke hujung dinding. Namun dengan pantas dia bangkit dan menerpa ke arah Eman. Cikgu Lily cepat-cepat memegang pergelangan tangan mantan kekasihnya itu dan menggelengkan kepalanya tanda melarang serangan balas. Doktor muda itu akur dan hanya melihat Eman berlalu pergi.
“KALAU I cakap I masih sayangkan you, you mesti melenting marah kan? Jadi i pilih alasannya sebab anak. I nak anak – anak kita membesar dalam keluarga yang sempurna. Ada papa, ada mama. You tak nak layan I sebagai suami you pun tak apa, I redha. I nak you fikir baik-baik sebelum you buat keputusan. Ini bukan soal hidup you semata-mata. Tapi ini soal masa depan anak-anak.” Sedikit pun wajah Haleeda tidak dipandangnya. Dia tidak mahu memaksa, tapi dia juga tidak mahu kehilangan Haleeda dan anak kembarnya. Dia mahukan penyatuan semula.
“You tak rasa ke permintaan you ni melampau? You boleh saja kan datang jenguk anak-anak macam yang you buat sekarang. Instead of you nikah semula dengan i. Tak masuk akal sangat alasan tu...” Haleeda membidas agak pedas. Apa yang ada dalam kepala otak Si Syahrul tu pun, dia tidak tahu.
“Kalau alasan tu you rasa merepek, jadi I terus ke alasan sebenarnya. I masih cintakan you. Masih dan akan selama-lamanya. Dulu I lepaskan you di luar kesedaran i. Lansung I tak ada niat. I tak ada niat nak ingatkan you pada kejadian tu, tapi I nak you tahu... cinta dan sayang I pada you tak pernah sikit pun hilang.” Haleeda memalingkan wajahnya. sedikit sebanyak kata-kata Syahrul itu menjentik hatinya. Nada suara Syahrul yang tenang dan tiada lansung kedengaran memaksanya membuatkan hatinya sedikit tersentuh. Tapi apa jaminan yang rumahtangga yang bakal di bina lagi tidak akan bergoyang. Dia penat untuk mempertahankan seorang diri.
“Kalau you sudi terima lamaran I ni, I janji... semampunya I akan pertahankan rumah tangga kita. I dah buat silap sekali dan untuk kesilapan yang sama buat kali kedua adalah terlalu bodoh untuk I buat.” Syahrul masih memandang ke seberang jalan melihat budak-budak bermain di waktu petang. Kebelakangan ini, Syahrul kerap pula datang ke rumah Cikgu Hashim. Kadang-kadang siap bermalam kalau hujung minggu. Namun sepanjang dia berada di situ, sedikit pun dia tidak mendesak atau menyesakkan Haleeda. Perhatiannya cuma tertumpu pada Darel dan Daren. Untuk bersembang dengan Haleeda lagilah jauh.
Namun hari ini, dia sudah tidak sanggup untuk menipu lagi. Dia tidak mampu lagi sembunyi-sembunyi melihat wanita itu. Wanita yang pernah menjadi suri hatinya. Haleeda memalingkan wajahnya menghadap bekas suaminya untuk mencari sedikit keyakinan pada wajah itu. Dia juga kasihankan anak-anaknya. Kalau Syahrul tiada, mereka seperti kemurungan. Sentiasa tercari-cari ke mana hilangnya papa mereka.
“Bagi saya masa.” Pendek jawapan Haleeda. Jiwanya betul-betul kosong. Tawaran yang diberikan oleh Syahrul sedikit sebanyak memberikan keuntungan kepadanya. Dia bebas membuat apapun, tidak perlu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. Jadi di situ, dia tidak menanggung dosa kerana suaminya sudah redha. Tiba-tiba dia tersenyum sendiri. Mengenangkan sumpahnya dulu. Sumpahnya yang tak akan berpaling lagi pada Syahrul. Ya, sakit itu masih ada. Luka itu masih berparut. Manakan cukup tempoh setahun untuk memaafkan lelaki itu. Namun maaf itu tidaklah indah. Ianya mungkin nampak mulia pada bibir, namun pada hati tiada siapa pun yang dapat membacanya? Dia bukan malaikat yang tidak mempunyai rasa marah dan tidak mempunyai rasa dendam. Semoga Allah tunjukkan jalan yang terbaik untuknya.
CIKGU FAHMI ketawa terbahak-bahak mendengarkan cerita daripada teman baiknya. Tidak disangka, seorang guru seperti Eman mudah sangat diperbodohkan. Hendak dimarah pun ya juga, namun melihatkan wajah cemberut Eman, membuatkan hatinya digeletek.
“Gelaklah, Bro! tak kena dekat batang hidung awak! cuba awak kat tempat koi... silap-silap tak datang kerja awak.” Eman menahan rasa bengangnya. Sakit hatinya apabila Cikgu Fahmi mentertawakannya. Ingatkan bila bercerita ni, bolehlah berikan kelegaan sikit, tapi mendapat adalah. Nak dimarahkan, orang tua! Sepatutnya orang tua ni... bagi nasihat, kata-kata semangat! Ini tidak...
“Tak... kawan yang part batu karang tu, kawan rasa kelakar sungguh. Awak dah macam orang hilang nyawa dah kawan tengok. Dah macam nak mati esok lusa. Dah macam nazaklah kata orang. Padahal batu karang saja pun!” Ketawa Cikgu Fahmi meletus lagi. Namun kali ini lebih kuat sehinggakan menjemput beberapa pasang mata mencuri pandang ke arah mereka. Eman menarik nafas dalam, namun seketika kemudian dia turut ketawa berdekah-dekah. Menyedari kebodohan diri sendiri.
“Assalamualaikum... apa yang seronok sangat? Bergegar sekolah ni dengan ketawa korang!” Eman dan Cikgu Fahmi mati tawa dengan kehadiran seseorang di situ. Wajah kedua-duanya agak terkejut.
“Bro! Ada hal apa kat sini?” Eman terlebih dahulu bangun dan berjabat salam diikuti dengan Cikgu Fahmi yang masih terpinga-pinga.
“Aku, kena panggil ke sini semula. Jadi barang sekejap. Aku dapat surat daripada PPD. Kena datang sini. Dipinjamkan sekejap sebab sekolah ni kekurangan cikgu Bahasa Inggeris. Siapa yang tak ada.” Isa Rayyan dengan selamba melabuhkan punggungnya di kerusi batu bersebelahan dengan Cikgu Fahmi. Wajah guru senior itu sedikit berubah dengan kenyataan yang keluar daripada mulut Isa. Hatinya di pagut kerisauan. Kembalinya Isa ke sekolah itu, bagaikan ada sesuatu yang bakal terjadi.
“Oooh... Cikgu Sandra... Cuti bersalin tiga bulan. Tapi tak sangka pula PPD pinjamkan kau kat sini, Bro! Selamat kembali!” Eman menepuk kuat bahu sahabat lamanya. Bagaikan tiada apa yang pernah terjadi. Namun tidak pada Cikgu Fahmi. Kerisauannya semakin meninggi. Dia kenal Eman sejenis yang bagaimana. Ya, Eman sangat menghargai dan sayangkan persahabatan, namun dia juga seorang yang kuat cemburu.
“Bro... sihat ke? Baby sihat?” Isa yang perasan dengan perubahan air muka Cikgu Fahmi menepuk lembut bahu seniornya itu. Mungkin kehadirannya tidak disenangi. Siapa sahaja yang suka dengannya setelah apa yang terjadi dulu.
“Alhamdulillah... aku sihat! Baby pun sihat. Jadi kau mengajar kelas mana nanti? Atau kau memang gantikan kelas Cikgu Sandra saja?” Cikgu Fahmi cuba membuang segala prasangka dan cuba bersangka baik.
“So far, macam tu la... tapi aku ni cikgu terbuang... apa yang pengetua arahkan, aku ikut sajalah...” Isa ketawa di hujung kata-katanya. Kedengaran agak merendah diri.
“Apa pula, Bro! Laku keras kot Cikgu Bahasa Inggeris. Tapi macam ni la... di pinjamkan ke sana sini. Tapi tak apa la... untung dapat balik ke sini semula. Boleh masuk gelanggang lagi. Lama kau tak join kami!” Wajah Eman kelihatan sungguh teruja. Lupa dia pada sejarah mereka. Walaupun ada dalam ingatannya, dia cuba menepis. Pengalaman menghadapi kematian palsu, menyebabkan dia mahu menghargai orang sekelilingnya. Membuatkan dia tidak mahu kehilangan orang – orang yang disayanginya.
EMAN menjeling sekilas pada isterinya yang menuruni anak tangga ke dapur. Lansung wanita itu tidak menoleh kepadanya. Ameena betul-betul melancarkan misi balas dendam. Beku seperti ais. Kaku seperti patung Chendana. Dengan wajahnya yang tidak berperasaan, membuatkan Eman mahu meraung sekuat-kuatnya. Salah siapa? Terima sajalah. Misi memujuk kali ini nampaknya agak sukar.
“Sayang... boleh ambilkan abang air...” Eman menyeru lembut dan manja nama isterinya. Namun lansung tidak bersahut. Seketika kemudian, Ameena muncul dengan segelas air sejuk di tangan berlapikkan piring kaca. Diletakkan betul – betul dihadapan suaminya dan lantas berlalu kembali ke dapur menyiapkan kerjanya yang terbengkalai. Hari minggu membuatkan dia tidak mampu melarikan diri ke mana-mana tanpa alasan.
“Sayang... Abang terasa nak minum air kopi panas la... boleh buatkan...” Eman mencuba lagi dengan nada yang meleret dan manja. Sengaja dia mahu melihat reaksi isterinya. Biarlah Ameena marah. Itu lebih baik daripada diam seribu Bahasa. Ameena mengetap gigi geram. ‘Dia nak kena ni!’ kerja mengemas dapur terbengkalai lagi. Pantas tangannya mencapai gelas kesukaan suaminya. Bancuhan kopi siap dalam masa tidak sampai lima minit pun. Namun hatinya sudah mula bernanah. Geram!
Eman memandang wajah Ameena yang beku tanpa berkedip. ‘Lajunya!’ Gelas di tangan isterinya bersambut. Harum aroma kopi kampung membuatkan perutnya terasa lapar pula. Eman tersenyum. Belum menyerah dan pasrah. Dia tak boleh biarkan Ameena merajuk lama-lama. Dia memerhatikan lenggok isterinya yang berlalu ke dapur sambil berfikir lagi. Sakit pada pinggang dan ari-arinya hanya dibiarkan. Kali ini dia sudah boleh menguruskan rasa sakit itu. Lelaki kena kuat! Itulah yang dipegangnya hari-hari sementara menunggu hari pembedahan tiba.
“Sayang… nak Abang tolong ke?” Hampir terlepas gelas di tangan Ameena dengan kemunculan Eman secara tiba-tiba. Entah bila masa dia menapak ke dapur pun, Ameena lansung tidak sedar dek kerana terlalu ralit mengemas dapur. Hanya hari minggu begini sajalah dia mempunyai masa untuk membelek secara terperinci ruangan tersebut. Pinggang Ameena di peluk lembut daripada belakang, jelas terasa lengan kekar suaminya membelit pada pinggangnya. Ameena hanya membiarkan tanpa reaksi balas. Merasakan tiada tindak balas daripada isterinya, Eman menopang pula dagunya pada bahu Ameena.
“Sayang… Abang rindu Sayang… Rindu sangat. Janganlah merajuk lama-lama. Abang minta maaf sangat-sangat. Abang rindu nak sembang-sembang dengan Sayang. Sunyi je hidup Abang ni, bila tak dengar suara Sayang.” Pelukan Eman bertambah kemas. Sungguh dia sangat rindukan Ameena.
“Mana kawan awak Cikgu Lily tu? Biasanya bukan Cikgu Eman selalu bersembang dengan dia ke? Segala benda cerita dekat dia kan. Masa tu, tak ingat pula ada isteri tempat berkongsi. Sebab isteri tak pernah faham? Dah lah, Cikgu Eman.” Ameena melonggarkan pelukan suaminya. Ditinggalkan suaminya terkulat-kulat di dapur seorang diri. Ternganga mulut Eman dengan bidasan pedas si isteri. Nada Ameena hanya mendatar tetapi penuh dengan sindiran.
Eman meraup wajahnya dan beristighfar berkali-kali. Tipulah kalau dia tidak terasa dengan kata-kata isterinya. Namun di satu sudut yang lain dia lega kerana sekurang-kurangnya dia tahu apa yang bersarang di hati Ameena. Eman melangkah laju ke tingkat atas menuju ke bilik tidur mereka. Pintu bilik dikuak perlahan. Kelihatan Ameena sedang bersiap-siap di hadapan cermin. Wajahnya masih beku tanpa perasaan, malahan sedikit pun dia tidak menoleh ke sisi. Eman tersenyum. Ekspresi wajah itulah yang telah membuatkan dia jatuh hati pada isterinya suatu Ketika dulu. Namun dia tahu liku-liku yang sukar yang bakal dia hadapi.
“Sayang… bersiap nak pergi rumah ibu ke…?” Eman bersandar di sisi meja solek menghadap isterinya yang masih fokus kepada membentuk awning tudung bawal di atas kepalanya. Beberapa kali tudung tersebut diangkat dan diletakkan semula di atas kepala. Tangan Ameena di raih perlahan dan di genggam erat, kemudian di bawa ke bibirnya. Eman tersenyum dengan wajahnya yang sedikit membening. Perasaan kecewa yang bertandang begitu menyesakkan dadanya. Kecewa dengan diri sendiri. Ameena sudah hilang fokus. Namun mengalah bukanlah pilihannya. Dia turut memandang suaminya dengan wajahnya tiada perasaan.
“Sayang tahu tak… dulu Abang suka usik Sayang, sebab Abang suka tengok muka Sayang bila protes. Tapi sekarang bila Sayang dah jadi isteri Abang, Abang rindu nak tengok wajah manja Sayang. Sayang masih marahkan Abang ke…?” Eman tunduk mencari wajah isterinya, namun Ameena cepat-cepat memalingkan wajahnya. Kelopak mata Eman yang berair membuatkan dia hampir tewas.
“Cikgu Eman, boleh bersiap cepat sikit tak? Nanti lewat pula sampai kat rumah ibu.” Eman mengeluh dalam senyuman kelatnya. Langkahnya longlai dihayunkan ke bilik air. Ameena mencuri pandang dari dalam cermin di hadapannya. Langkah suaminya jelas kelihatan tidak bersemangat. ‘Jangan cuba-cuba nak pujuk hati aku yang dah bernanah ni. Kau pun Amee.. jangan nak lembut sangat hati tu! Tadi kau dah hampir lentok kan, dengan muka kacak dia tu! Kau kena ajar sikit suami kau tu! Jangan bertindak ikut hati dan kepala dia saja. Hati orang lansung tak fikir.’
LILY memandang sepi ke luar jendela, membuang pandang ke awan biru dengan jiwa yang kosong. Setiap hari, dia menghitung dosa-dosa yang dilakukannya. Bermula daripada zaman kolejnya sehinggalah sekarang. Hanya kerana seorang lelaki dia menyimpang jauh dari landasan agama. Berubah menjadi perempuan yang tidak bermaruah, berpaling dari menjadi anak yang solehah. Seolah – olah meniti hidup menuju ke neraka jahanam!
“Selamat pagi Cik Lily.. macam mana hari ni? Ok?” Sapaan dari seorang jururawat berbadan kecil molek yang baru masuk ke dalam biliknya, mematikan lamunan panjangnya. Lily tersenyum sambil mengangguk. Dia berusaha untuk duduk dengan sempurna walaupun ada rasa sakit pada perutnya. Hari ini merupakan hari kedua pembedahan laparatomy yang dijalaninya untuk membuang ketumbuhan di dalam perutnya. Menurut doktor, pasukan mereka perlu mengambil tisu daripada ketumbuhan itu untuk di uji samaada ianya benign ataupun tidak.
“Saya, StaffNurse Zahra. Saya akan menjaga Cik Lily hari ini daripada jam tujuh pagi sampai dua petang. Kalau ada apa-apa masalah, Cik boleh tekan call bell ni, saya akan datang as soon as possible.” Jururawat itu tersenyum manis lagi. Namun riak wajah Lily Hasrita sudah sedikit berubah apabila melihat tanda nama yang tersemat pada baju jurururawat tersebut. ZAHRA. Fikirannya lansung menjurus kepada Ameena Azzahra. Tiba-tiba air mata penyesalannya laju menuruni pipinya. Tak terbendung rasa penyesalan yang datang. Ameena terlalu baik. Kenapa dia sanggup memperlakukan Ameena dengan terlalu teruk.
“Cik Lily kenapa? Sakit ke?” Namun pertanyaan itu lansung tidak diendahkannya. Bahkan air matanya bertambah laju dengan tanggannya mencengkam kuat bantal di atas ribaannya.
“Okay.. Cik Lily tunggu ya. Saya serve ubat Cik Lily sekarang juga.” Tergesa-gesa jururawat itu, meninggalkannya di situ.
‘Ya.. aku sakit! Sakit sangat dengan perbuatan aku sendiri.. Ini mungkin balasan Allah untuk aku. Syukur Ya Allah sebab sepantas ini Kau menegur aku. Sekurang – kurangnya aku masih ada masa untuk memperbaiki kesilapan aku.’ Lily menyapu sisa air mata yang masih berbaki di tubir matanya. seketika dia mengeluh sendiri. 'Tapi aku tidak boleh mengubah apa yang sudah aku lakukan. Ameena, aku berdosa sangat dengan kau!’ Airmata Lily berguguran lagi.
“TAK ADALAH hebat mana pun kau! Hahaha! Kalau hebat, taklah kau kalah kat budak tingkatan empat tu. Cikgu Salleh tu silap pilih orang! Kalau dia pilih aku tak adalah sekolah kita ni dapat nama busuk! Tapikan, aku tgk budak yang lawan kau tu memang bijak. Cantik pula tu! Lengkap. Tak macam kau! Rugi sekolah hantar kau!” Tercengang Lily mendengarkan hinaan itu. Sudahlah dia dimalukan di atas pentas tadi. Sekarang dekat luar auditorium, kena hina pula. Yang paling sakit hati yang menghina itu, lelaki yang dia suka. Apapun yang dia buat disebabkan dia nak nampak hebat dimata lelaki itu.
“Apa masalah awak ha? Tahun lepas saya dah berjaya sampai peringkat negeri. Adatlah, bertanding ni ada menang ada yang kalah.” Lily masih cuba berlembut walaupun hatinya sudah remuk.
“Ya, lah... Kau nak jawab macam mana lagi kan.. Itu sajalah jawapan yang boleh cover malu kau! Hahahhaha! Kesian... Kalau otak tu tumpul.. tumpul la jugak!” Lily Hasrita mengetap gigi menahan marah. Dia betul-betul marah. Sungguh dia tak akan lupa hari itu. Dia tak akan lupa penghinaan itu. Dan dia tak akan lupa satu nama yang telah membuatkan dia nampak lemah dan bodoh di mata lelaki yang disukainya. Ya, Ameena Azzahra Tuan Zulkifli. Nama itu akan tersemat di ingatannya sampai bila – bila.
“CIK LILY... Ini ada ubat. Nanti terus makan ya. Ini ubat tahan sakit, ini antibiotik dan ini ubat surut bengkak. Cik Lily kena makan semua ya.” Lamunan Lily terhenti dek teguran jururawat yang bertugas menjaganya hari itu. Dia mengangguk dan tersenyum hambar. Kesakitan pada perutnya terasa seperti dihiris pisau. Pedih dan berdenyut – denyut bergabung menjadi satu. Tangannya menekan lagi butang yang menyambung pada mesin ubat narkotik. Entah sudah kali berapa dia menekan pada hari ini.
Lily hanya memerhatikan jururawat itu memeriksa tanda vitalnya. Senang dia melihat senyuman dan kemanisan wajah jururawatnya itu. Mungkin disebabkan itu, dia layak menjadi seorang jururawat. Kalaulah dia, belum tentu dia mampu untuk sentiasa tersenyum begitu.
“Terima kasih Nurse... Zahra. Cantik nama awak. Secantik orangnya.” Lily menzahirkan apa yang bermain dibenaknya dengan ikhlas. Dia mahu jururawat itu merasa dihargai.
“Sama-sama Cik Lily. Alhamdulillah.. Cik Lily pun apa kurangnya.. mesti semua anak murid sayang ni. Dapat cikgu cantik. Mesti semua tak ponteng sekolah. Saya keluar dulu ya. Ada apa-apa nanti panggil saja saya. Tiub kencing ni insyaAllah, selepas pakar buat round, dah boleh remove. Lepas tu, Cik Lily dah boleh berjalan kalau tak sakit sangat.” Lily mengangguk lemah. Hatinya terkedu dengan kata-kata jururawat itu. Sebaik sahaja jururawat itu keluar, air matanya merembes lagi. ‘Aku guru yang kejam! Tak mungkin ada seorang pun pelajar yang sayangkan aku. Berdosanya aku ya Allah..’
KARTINI memandang anak dan menantunya dengan penuh rasa curiga. Nampak sangat ada benda yang tak kena. Senyuman pada wajah Ameena, jelas kelihatan hambar.
“Man, ibu nak tanya sikit ni. Tapi Man jangan salah anggap pula. Ibu tak maksud nak masuk campur hal rumah tangga Man dan Kakchik. Cuma Ibu risau. Ibu nampak Kakchik tu macam tak berapa sihat.” Kartini cuba memancing. Dia tidak boleh terus kepada tujuan. Tidak mahu digelarkan mertua yang penyibuk.
Eman mengangkat wajahnya. Memandang wajah ibu mertuanya. Perasaan serba salah mula menggebu di jiwanya. Ibu sudah perasan ada yang tak kena dalam rumahtangganya. Ada perasaan malu mula menyelinap masuk di hatinya.
“Amee sihat ibu. Cuma mungkin penat sikit. Sekolah sekarang macam-macam nak kena buat. Dia pula aktif dekat sekolah dengan macam-macam event dia nak kena handle. Kalau, Man ada masa, Man tolong juga dia dekat sekolah. Kadang – Kadang pukul enam baru sampai rumah.” Sebolehnya Eman cuba untuk tidak membuka aib rumahtangga mereka. Eman tersenyum lagi untuk menghilangkan kegusaran dihatinya sendiri.
“Man pergi tengok Amee kat dapur ya, Ibu. Lama sangat dia kat dapur tu, buat apa entah.” Kartini hanya mengangguk dengan senyuman di bibir. ‘kena lari cepat-cepat sebelum soalan lebih mencabar yang keluar dari mulut ibu mertuanya. Amee ni pun satu. Janganlah nampak sangat nak marahkan aku. Dah tu, kau nak suruh dia senyum sepanjang waktu lepas apa yang kau dah buat dekat dia!’ Eman mengeluh sendiri.
Langkah kakinya laju dihayun menuju ke dapur. Kelibat ayah mertuanya masih belum kelihatan. Mungkin masih belum pulang. Begitu juga dengan adik iparnya,Ameer. Adalah tu hal bisness mereka yang nak diuruskan dekat luar. Dia meneka sendiri.
“Sayang.. sampai bila nak tarik muka dengan Abang ni .... Ibu dah mula perasan. Abang tak nak ibu fikir bukan-bukan.” Eman merapati isterinya yang sedang mengelap pinggan mangkuk yang baru dibasuh. Tangannya turut sama membantu biarpun jelas kelihatan wajah kurang senang isterinya. Ameena terus membisu tanda protesnya. Eman menarik nafas payah. Sungguh dia tidak pandai memujuk.
“Apa yang boleh abang buat untuk tebus semua salah abang pada sayang? Cakaplah... Sayang diam macam ni, abang terseksa sangat..” Tangan Ameena diraih dan digenggam erat. Ameena memandang suaminya dengan pandangan bersahaja. ‘Baru sekarang nak tanya. Kau tinggal aku macam orang bodoh. Ada kau fikir ke? Ada kau rasa bersalah ke? Yang kau tahu sekarang, kau nak aku terus bersama kau! Kau ingat aku ni tak ada hati dan perasaan ke?’
“Salah apa ya, yang Abang dah buat? Semua tu merangkumi apa? Saya tak tahu pula Abang ada buat banyak salah..” Akhirnya Ameena bersuara juga. Penat dengan asakan bertalu-talu daripada lelaki bernama Eman Al Hadi. Eman menelan liur kepayahan. Egonya masih tersisa untuk menyatakan dengan terang semua kesalahannya.
“Diam pula... Tadi beria. Macam Cikgu Eman cakap la.... Saya ni..... Abang nak minum apa.. nanti sayang buatkan.” Terangkat kening Eman dengan perubahan intonasi Ameena . Lebih terkejut lagi apabila sepasang tangan mulus isterinya itu sudah membelit pada pinggangnya.
“Nanti balik kita singgah cari barang dapur ya... Amee lupa nak cakap barang dapur dah habis.” Ameena tersenyum manis sambil memberikan isyarat matanya. Lantas mata eman terus tertancap pada imbasan di dalam cermin tingkap dihadapannya. Dibelakangnya jelas kelihatan ibu mertuanya sedang berdiri di muka dapur sambil tersenyum. ‘Emmm patutlah!’
“Maaf lah... Terpaksa!” Ameena melonggarkan pelukannya sebaik sahaja melihat ibunya berlalu pergi.
“Abang rela... 24 jam pun Abang rela.” Mata Ameena membulat memandang ke arah suaminya. ‘melebih pula dia!’ Jelingan tajam daripada Ameena membuatkan Eman tertawa agak kuat.
“Dah kenapa? Apa yang kelakar sangat?” Pelik dengan reaksi suaminya yang tiba-tiba ketawa. Dah macam kena sampuk.
“Sayanglah.. Mata tu jeling kat abang saja! Jangan jeling kat orang lain.. Comel sangat!” Wajah Ameena serta merta berubah kemerahan. Malu dengan tindakan spontannya. ‘ Susah betul nak buat muka serius dengan dia ni! Geramlah!’ Ameena masih mengawal sepenuhnya ekspresi wajahnya. Tidak mahu kalah dengan provokasi suaminya.
TERNGANGA mulut Hakimi dengan apa yang diucapkan oleh Lily. Antara percaya dengan tidak. Seperti mimpi di siang hari pun iya juga. Manakan mungkin Lily dengan sepantas itu berubah hati. Tidak mungkin disebabkan rasa kecewanya pada Eman Al Hadi, dia terus membuat keputusan begitu.
“Tak payah terkejut sangatlah, Kimi.. Bukan ke kau cakap hari tu, kau nak jaga aku. Aku setuju dengan walid. Apa saja yang walid cakap, aku akan ikut.” Lily tersenyum hambar. Sungguh hatinya sudah mati untuk Luqman Hakimi. Namun dia perlu bersyukur, sebab Hakimi masih ada bersama – sama dengannya. Malahan Hakimi sanggup ambil risiko untuk membantunya melancarkan misi memporak perandakan rumah tangga Eman dan Ameena. ‘Astaghfirullah!’ Ampunkan dosa aku, Ya Allah.
“Maaf, kalau soalan i ni buatkan you sakit hati. Tapi i nak juga tahu.” Hakimi memandang wajah Lily dengan penuh harapan. Lily mengangguk lesu dengan bibirnya yang agak pucat.
“You dah tak ada hati dekat lelaki keparat tu ke?” Air muka Lily terus berubah dengan soalan itu. Bukan disebabkan soalan, tapi disebabkan panggilan lelaki keparat yang Hakimi gunakan. Betapa berdosanya dia kerana telah memfitnah lelaki sebaik Eman.
“Dia bukan lelaki keparat, tapi lelaki yang hebat. Tetap menjunjung setia cintanya pada Ameena. Tetap menjaga kehormatan dirinya walau terhidang di depan mata syurga dunia yang sangat indah. Dia lelaki yang sangat hebat di mata aku. Juga Ameena. Seorang isteri yang sangat tabah. Seorang perempuan yang sangat kuat dan berhati suci. Tak macam aku. Manakan aku mampu untuk bertanding dengannya.” Air mata Lily bergenang tatkala menuturkan setiap ayat.
“Kau mesti bingung kan? Eman tak pernah sentuh aku. Cerita tu, aku ada-adakan sebab aku nak kau tolong aku. Aku minta maaf. Aku dah tipu kau hidup-hidup.” Lily memalingkan mukanya ke arah lain. Tidak mahu bertemu pandang dengan Hakimi. Terserah Hakimi mahu fikir apa-apa pun. Beban di bahunya sudah terhapus.
Hakimi tidak mampu untuk berkata apa-apa pun. Otaknya ligat berfikir setiap apa yang telah dia lakukan kepada Eman Al Hadi. Salah dia juga percaya bulat-bulat pada Lily Hasrita. Kerana cinta dia buta untuk menilai.
“ Ya, Allah.. I ingat dia betul-betul lelaki tak guna. Rupa-rupanya yang tak guna tu, i sendiri. I yang buat you jadi macam ni. I minta maaf Lily. I janji i takkan tinggalkan you lagi. Kita bina hidup bersama-sama. I janji i akan bahagiakan you.” Hakimi menggenggam kemas tangan Lily. Namun Lily hanya tersenyum kelat. Janji itu pernah keluar dari mulut manusia yang sama. Yang akhirnya dia dibiarkan sendirian menongkah arus sepah dosa.
AMEENA berpaling ke arah pintu kelasnya mencari empunya gerangan yang mengetuk pintu tersebut. Terpacul wajah kacak suaminya dengan senyuman manis. Pelajar – pelajar perempuan kelas Empat Sains Kejuruteraan itu sudah mula berbisik-bisik sesama mereka. Ada yang sudah dibuai perasaan tatkala memandang wajah guru kacak itu.
“ Cikgu Ameena, boleh jumpa sekejap?”Lembut kedengaran suara suaminya, namun masih belum mampu melembutkan hati Ameena yang masih membeku. Ameena melangkah juga dalam terpaksa ke muka pintu kelasnya. Mungkin ada hal yang betul-betul penting. Senyuman paksaan diukirkan untuk mengelakkan sebarang spekulasi buruk.
“Ada apa ya, Cikgu Eman.” Guru cantik manis itu sedaya upaya untuk bersikap profesional.
“Saya ada nak bagi sesuatu dekat Cikgu Ameena ni. Penting.” Wajah Eman Al Hadi bertukar serius.
“ Penting sangat ke? Tak boleh tunggu habis kelas? Mana dia barang tu?” Kening Ameena sedikit terangkat.
Eman menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan sesuatu. Seketika kemudian, dia tersenyum menampakkan lesung pipitnya. Lantas tangan kanannya diangkat ke depan muka Ameena dengan isyarat mini love.
“ I miss you, Cikgu Ameena.. Habis kelas nanti kita makan sama-sama ya..” Sebaik sahaja habis berkata-kata Eman terus berlalu dengan ketawa yang masih bersisa. Seronok dia dapat mengusik isterinya. Telinganya masih mampu mendengar sorakan pelajar-pelajar dari kelas isterinya.
Sementara Ameena pula sudah merah mukanya menahan malu. ‘Nak kenalah dia ni! Kang kalau aku pijak, kang... berdosa pula. Eii... geramlah dengan anak Cikgu Hashim ni!’
“Kelas... syhhhh! Apa yang bising sangat ni.. dah kita sambung lagi sepuluh minit.” Ameena cuba menenangkan suasana kelasnya yang sudah hingar bingar dek perbuatan Cikgu Eman.
“Alaaaa... kami tak boleh fokus dah.. Cikgu Eman tu kat rumah pun, sweet macam tu ke?” Humaira nampak terlalu teruja dengan kemunculan Cikgu Eman sebentar tadi. Manakala Ameena pula sudah kemerahan wajahnya dengan soalan Humaira. Tak tahu bagaimana untuk menjawab soalan begitu.
“Kalau sweet pun, kenapa Maira? Cikgu Eman tu, Cikgu Ameena punya la! Aku ni lagi sweet tau.. masih belum berpunya lagi!” Haikal, pelajar lelaki yang agak gempal tiba-tiba menyampuk.
“Eh.. kisah pulak aku! Aku tumpang bahagia untuk Cikgu Ameena je lah..” Humaira mencebik tidak puas hati.
“Dah... dah.. kenapa nak gaduh-gaduh ni. Kamu semua tahu tak? Kalau suka gaduh-gaduh ni nanti berjodoh..” Ameena cuba mengalihkan topik
“Ye ke, cikgu.. Kalau macam tu, hari-hari la.. saya nak gaduh dengan Maira.”Haikal membalas dengan muka selambanya.
“Ishh.. tak nak la! Kau gemuk! Makan banyak! Penat aku nak masak untuk kau!” Humaira menjeling marah.
“Saya rela dikutuk dan dihina.. jika itu yang boleh buat awak bahagia!” Seisi kelas bersorak dengan jawapan Haikal. Ameena turut sama meletus ketawanya. ‘kecil-kecil lagi dah pandai karang ayat manis!’
LANGKAHNYA laju dihayun ke kantin sekolah. Mesej yang diterima daripada suaminya tadi membuatkan dia agak menggelabah. Dalam hatinya menyumpah-nyumpah. ‘Kau ni tak takut dosa ke, mengata suami sendiri? Habis yang dia ugut aku tu, boleh pula! Dia tu nak perhatian kau saja.. Perhatian apa sampai nak buat pengumuman dengan speaker sekolah! Gila ke? Ingat dia saja ke ada bini?’
Dari jauh matanya menangkap susuk tubuh suaminya sedang duduk santai di kantin sekolah sambil tersenyum. ‘Kau ingat, kau senyum macam tu boleh buat aku cair ke? Memang tak lah!’ Ameena masih cuba menidakkan hatinya sendiri. Api kemarahannya sudah meningkat di suhu yang paling tinggi. Wajahnya sudah kemerah-merahan. Sungguh dia tidak suka diugut begitu. Langkahnya dihayun semakin laju.
Gedebuk!!
Badan Ameena tidak dapat diseimbangkan. Langkahnya sumbang apabila dia terlanggar dengan seseorang. Nasiblah lengan sasa lelaki itu sempat menahan badannya daripada terjatuh. Sungguh dia cuai kerana terlalu fokus kepada suaminya.
Eman pula sudah berdiri tegap memandang ke arah insiden yang tidak dijangka itu. Wajahnya berubah terus apabila melihat isterinya di dalam dakapan lelaki lain. Hilang terus senyuman lebarnya tadi. Api cemburunya datang meruap-ruap. Sungguh hatinya bagaikan dihiris belati tajam. Tangannya sudah mengepal penumbuk padu.
Share this novel
next
next
Next.. Nak lg sis.. best tq