Series
63528
SEUSAI solat Zohor, Cikgu Eman berura-ura untuk pulang, namun langkahnya terhenti di pertengahan. Entah kenapa, hatinya berat untuk meninggalkan kawasan sekolah. Kakinya tanpa sedar membawa diri ke Taman Botani, sudut paling sunyi dan terpencil di penjuru sekolah.
Mahu menjenguk bunga ros yang ditanamnya minggu lalu. Biasanya, setiap pagi, Pak Hassan, tukang kebun sekolah, akan menyiramnya. Tapi hari ini Pak Hassan cuti.
Baru sahaja menghampiri kawasan itu, telinganya menangkap bunyi aneh.. seakan erangan. Dia menajamkan pendengaran.
Suara lelaki. Dan perempuan. Berdegup jantungnya.
“Ya Allah… apa ni? Jangan kata…”
Langkahnya terhenti seketika. Taman itu dipagari pokok renek yang agak tinggi. Sukar untuk melihat terus ke dalam. Tapi suara-suara itu jelas.. semakin dekat, semakin nyata.
“Sakit ke?”
“Sakitlah... perlahan-lahanlah…”
Suara rengekan seorang gadis bergema perlahan, namun cukup untuk menyengat hati seorang guru. Dada Cikgu Eman terasa sesak.
“Mereka tak tahu dosa pahala ke buat macam ni dekat kawasan sekolah?”
Tapi dia masih tidak nampak sesiapa. Langkahnya dipercepat, menyusup perlahan di balik pokok renek. Matanya liar mencari arah suara.
“Okey… okey… kau tarik nafas dulu. Aku cuba tarik perlahan-lahan. Tapi... macam tersangkut. Susah nak keluar.”
“Janganlah sangkut pula… Sakit tahu tak. Aku tak pernah kena macam ni. Sakit sangat…”
Cikgu Eman segera menjenguk dari celah daun. Nafasnya tersekat. Kelihatan seorang pelajar lelaki mencangkung, menghadap seorang pelajar perempuan yang separa berbaring.
Nafasnya mula turun naik. Genggaman tangan semakin kuat.
“Melampau! Di sekolah pun jadi begini?!”
“Astagfirullahalazim… apa yang kamu berdua buat ni?!”
Suara jerkahan Cikgu Eman membelah suasana lorong sunyi di belakang bangunan sekolah. Terkejut, pelajar lelaki itu segera bangun dari posisi mencangkungnya, tubuhnya kaku seperti pesalah yang baru ditangkap.
“Kamu tak takut dosa ke? Ingat sekolah ni tempat apa? Nak buat maksiat? Orang datang sini belajar, bukan cari jodoh! Bukan buat kerja tak senonoh macam ni!”
Nada suara Cikgu Eman menikam. Matanya tajam menikam wajah pelajar lelaki itu yang kini sudah lesi, pucat, kehilangan kata.
Kemudian matanya beralih kepada pelajar perempuan yang masih terduduk diam.
“Dan kau? Kenapa tunduk? Tahu pula malu sekarang. Tadi perangai bukan main! Tunjuklah muka tu! Tadi dah tak tahu malu! Perangai macam lembu!”
Bentakan itu keras. Geram. Tapi tanpa sedar, ada satu kekesalan yang perlahan-lahan merayap di hati.
Pelajar perempuan itu tidak menjawab. Perlahan, dia menyingkap tudung yang menutupi wajahnya.
Dan ketika wajah itu terdedah… Cikgu Eman terkaku.
Sepasang mata bundar memanah tepat ke arah Cikgu Eman. Renungannya tajam, menggigit, seperti harimau betina yang terluka dan bersedia menyerang. Wajahnya pucat, namun cantik.. bulu matanya lentik, bibirnya mungil dan pucat.
Dia alihkan pandangan, cuba mengatur nafas. Dan saat itu matanya tertancap pada sesuatu.
Darah.
Garis merah mengalir perlahan dari bawah kain pelajar perempuan itu. Menitis, membasahi lantai simen.
Nafas Cikgu Eman tersekat. Ada yang tidak kena. Sangat tidak kena.
“Kaca, cikgu… Kakak saya terpijak kaca! Tak boleh nak cabut…”
Suara Ameer hampir tersekat di kerongkong. Air matanya bergenang, tetapi dia cuba kelihatan tenang walaupun tubuhnya masih menggigil kerana disergah sebentar tadi.
Kakak?
Kata itu terpantul jelas dalam benak Cikgu Eman. Serentak dadanya dipagut rasa bersalah yang menghentak.
‘Ya Allah…’
Tanpa menunggu lagi, dia meluru ke arah pelajar perempuan yang masih duduk melunjur kaki menahan sakit. Tangan Cikgu Eman bergetar halus ketika matanya jatuh pada nama di tanda nama pelajar itu,
AMEENA AZZAHRA.
‘Nama yang cantik… sesuai dengan wajahnya… dan aku dah herdik dia macam....’
Dia menelan liur.
“Kakak kamu? Macam mana kamu boleh pijak kaca dalam kawasan sekolah ni?”
Nada Cikgu Eman kini berubah, dari marah kepada panik. Darah merah yang mengalir dari kaki Ameena sudah makin banyak tumpah ke lantai.
“Ni tak boleh cabut sembarangan… Kalau cabut, darah takkan berhenti. Kena pergi hospital.”
Suara Cikgu Eman tergesa. Dia segera mencabut sapu tangannya dari poket seluar, lalu melutut dan membalut luka Ameena dengan cermat. Wajahnya tegang, penuh tumpuan, tapi langsung tidak ada sepatah kata maaf keluar dari bibirnya.
Dan Ameena sedar akan itu.
Dia mengerutkan dahi, menahan sakit. Hatinya juga makin pedih.
"Eii… Tak payah nak tunjuk baiklah! Lembu betina ni tak perlukan cikgu la!"
Nada sinisnya tajam. Panas.
Cikgu Eman terhenti sejenak. Tapi dia tak menyanggah. Diam menerima.
“Ameer, jom hantar aku pergi hospital!”
Ameer mengangguk cepat, patuh dengan arahan kakaknya. Dalam kepala, dia sudah berkira-kira.
‘Tapi… nak pergi dengan apa? Datang tadi pun driver yang hantar. Takkan nak jalan kaki?’
Dia menoleh ke kiri dan kanan. Jantungnya berdegup makin laju. Wajah Cikgu Eman tak dipandang lagi.. cukup sudah luka hati kakaknya dihumban dengan kata-kata yang tak sepatutnya.
“Awak nak pergi mana? Tunggu! Biar saya hantarkan. Ameer, ya? Tolong papah kakak kamu ke kereta. Saya pergi ambil kereta sekarang.”
Nada Cikgu Eman tegas, cuba memimpin keadaan yang semakin huru-hara. Namun dia tidak menyangka, tindak balas yang bakal menyusul jauh lebih dahsyat daripada sekadar renungan tajam.
“Eh, aku tak perlukan kau lah! Kau tak faham ke?! Oh, lupa… tak faham bahasa lembu, ya!”
Jeritan Ameena menyentak suasana. Tangan kirinya mencabut sapu tangan yang tadi membalut lukanya. Dilempar ke tanah dengan marah. Nafasnya tercungap-cungap, matanya berkaca tetapi penuh api. Ameer membeku di tempatnya. Cikgu Eman juga tergamam.
"KakChik…" Ameer cuba menenangkan, namun kakaknya seperti sudah hilang kawalan.
Beg sekolahnya dicampak, buku-buku ditendang, kotak pensel dilempar ke arah Cikgu Eman, satu demi satu. Ada yang terkena lengan lelaki itu, tetapi dia tak berganjak. Matanya hanya memandang wajah pelajar perempuan itu yang kini kelihatan antara marah, kecewa dan terluka.
Kecewa. Itulah yang paling ketara. Dan barangkali… bukan semata-mata kerana disalah tuduh. Tetapi kerana hati yang pernah mengagumi kini dihancurkan tanpa maaf.
“Ameena! Cukup! Sabar… Bawa mengucap, ingat Tuhan!”
Cikgu Eman melangkah ke hadapan, dan tanpa ragu dia memegang kedua belah tangan pelajarnya itu.
“Lepas! Jangan sentuh aku! Jangan sentuh..!”
Ameena meronta sekuat hati. Tubuhnya menggigil, peluh membasahi dahi. Air mata kini tumpah, bukan kerana sakit pada kaki, tetapi luka dalam jiwa yang lebih perit.
Namun jeritannya makin lemah. Rontaan makin perlahan.
Hingga akhirnya tubuhnya jatuh perlahan ke dalam pelukan Cikgu Eman.. longlai dan lemah. Darah masih menitis dari lukanya. Cikgu Eman sempat menangkapnya sebelum dia terhempas ke lantai.
Ameer meluru. “Kakak! Kakak!” Suara Ameer parau menahan cemas.
Cikgu Eman memandang wajah gadis itu yang pucat lesi dalam pelukannya. Bibirnya bergerak perlahan, penuh sesalan.
“Maafkan saya… saya tak tahu…”
AMEENA membuka matanya perlahan-lahan. Cahaya putih yang samar menari-nari di siling. Aroma ubat dan bau antiseptik menyesakkan rongga hidungnya. Dia cuba mengalihkan kepala. Figura yang sangat dikenalinya duduk tidak jauh dari katil, memandangnya dengan senyuman tenang.
“Awak nak air?”
Suara lembut itu milik Cikgu Zaharah, guru Biologi merangkap guru kelasnya. Wanita itu segera memegang tangan Ameena yang cuba bangkit. Namun sejurus tubuhnya bergerak, terasa ngilu yang amat sangat di tapak kakinya.
Ameena mengerut dahi. Matanya melilau, cuba memahami di mana dia berada… dan di mana Ameer?
‘Macam mana Cikgu Zaharah boleh ada kat sini?’ bisik hatinya, hairan.
‘Mana malaikat tu? Harap-harap dia tak ada kat sini…’ sambungnya geram, terbayang wajah Cikgu Eman yang menyinga tanpa soal siasat.
“Ameer pergi makan kejap kat kafeteria. Nanti dia datang semula. Cikgu Eman yang telefon cikgu… bagitahu pasal awak.”
Ameena mengalih pandang. ‘Oh… dia juga yang beritahu? Pandai pula buat baik lepas maki orang.’
“Kaki awak...” nada Cikgu Zaharah kembali serius,
“…luka dia agak dalam. Doktor terpaksa jahit. Jadi awak tak boleh berpijak buat sementara waktu.”
Ameena hanya mengangguk perlahan. Dada terasa berat. Kepala masih berpinar. Dia tidak mampu membalas apa-apa.
“Cikgu dah telefon mak ayah awak juga. Tapi mereka sekarang ada dekat Perak, ya?” Sekali lagi Ameena mengangguk.
Sudah biasa. Ayahnya jarang ada di rumah. Jika ayah ke luar daerah, ibunya pasti ikut menemani. Dia sudah lama belajar untuk tidak terlalu berharap.
“Cikgu tak boleh lama...”
Nada Cikgu Zaharah mula surut, sambil menyentuh tangan Ameena dengan penuh kasih.
“Suami cikgu dah telefon. Cikgu duduk sini dari pukul enam petang tadi. Sekarang dah pukul lapan setengah malam.”
Ameena memandang cikgunya penuh syukur. Air matanya bergenang, namun dia menahan. Dia terlalu letih untuk menangis.
“Terima kasih, cikgu…”
Itu saja yang mampu keluar dari bibirnya
“Dah sedar?”
Suara itu muncul tiba-tiba dari sebalik tirai. Cikgu Eman, berwajah risau, menjengah masuk.
“Macam mana, Kak Za? Boleh discharge ke? Atau kena masuk wad? Teruk ke?”
Ameena yang sedang bersandar di katil langsung berubah raut wajahnya.
‘Kenapa dia datang sini!’ hatinya bergelodak.
“Alhamdulillah,” jawab Cikgu Zaharah, sambil membetulkan tudung dan menghela nafas lega.
“Boleh balik. Cuma tunggu doktor siapkan surat cuti sakit dan habiskan drip ni dulu.”
Tangannya menunjuk ke arah botol drip yang tergantung kemas di sebelah katil.
Cikgu Zaharah perlahan-lahan bangun, bersedia untuk beredar.
“Cikgu balik dulu ya, Ameena. Rehat elok-elok. Nanti Ameer teman.”
Ameena angguk perlahan, namun matanya tajam memandang lelaki yang masih berdiri di hujung katil. Dan saat tirai ditarik kembali ke tempat asal, bisikan syaitan kembali menyusup.
“Kau buat apa kat sini hah?!” Nada suaranya mula naik.
“Baliklah! Aku benci kau! Benci, tahu tak?!”
Cikgu Eman terpempan. Namun dia masih berdiri, cuba bersabar.
“Ameena Azzahra… cuba istighfar. Tarik nafas. Awak tak sepatutnya macam ni.”
“Jangan sebut nama aku!” pekik Ameena, tangan kecilnya mencapai bantal lalu dilempar ke arah lelaki itu.
Kemudian kotak tisu. Segala yang ada dalam jangkauannya mula melayang. Cikgu Eman mengelak sehabis mampu. Dia tidak mahu bertindak balas. Dia tahu, itu bukan kemarahan sebenar. Itu sakit. Itu luka yang dalam, lebih dari sekadar luka di kaki.
Dia cuba menghampiri, ingin memegang tangan itu agar berhenti menggila. Namun belum sempat…
PANGG!
Satu tamparan hinggap ke pipinya.
“Jangan berani sentuh aku!” jerit Ameena, nafasnya tercungap.
Mata mereka bertembung. Ada dendam. Ada kecewa. Dan ada sisa air mata yang mula mengalir di pipi si gadis.
Cikgu Eman tunduk. Diam.
Bukan kerana malu tetapi kerana dia mula faham. Mungkin… dia telah melukai seseorang yang tidak sepatutnya
“Ya Allah! Apa benda semua ni?”
Cikgu Zaharah hampir terjerit sebaik sahaja melangkah masuk semula ke ruang wad sementara.
Bunyi riuh yang memecah kesunyian wad kecemasan menarik perhatiannya, dan apa yang dilihat membuatkan jantungnya berdebar.
Ameena yang masih berbaring dengan nafas tercungap.
Beberapa barang berselerakan di lantai.
Cikgu Eman berdiri di sisi, wajahnya kelihatan tegang.
Cikgu Zaharah pandang Cikgu Eman penuh curiga.
“Cikgu Eman? Apa yang sedang berlaku ni?”
“Kak Za, bukan macam yang Kak Za fikir…”
Cikgu Eman cepat-cepat menjawab, suara cemas. Dia tahu situasinya tampak buruk. Terlalu buruk untuk dijelaskan dengan mudah.
“Dia cuma… marahkan saya sebab petang tadi… saya terlepas cakap.”
Nada Eman meleret. Rasa malu dan kesal bercampur menjadi beban di dada.
Ameena menyambut dengan sinis,
“Petang tadi dia jadi malaikat! Tapi mulut dia… macam longkang! Boleh hina orang ikut suka hati!”
Kata-kata itu bagai peluru yang dilepaskan dari senapang hati yang penuh luka.
Cikgu Zaharah menoleh tajam.
“Ameena!”
Nada tegasnya membuat suasana kembali senyap.
“Yang awak tengah cakap tu cikgu awak. Mana adab awak?”
Ameena menjeling. Matanya sudah berkaca. Tapi mulutnya terkunci.
‘Dia bukan cikgu aku! Dia makhluk asing. Baru sebulan jadi cikgu, dah berlagak! Harap muka je baik…’
Hatinya terus menyalak dalam diam, panasnya tak surut.
“Cikgu Eman, awak keluarlah dulu.”
Suara Cikgu Zaharah tidak memberi ruang untuk dibantah. Cikgu Eman akur, perlahan-lahan berlalu keluar.
Sejurus pintu ditutup semula, Cikgu Zaharah duduk di sisi Ameena.
“Ameena… marah macam mana pun, kena ada batasnya. Awak tu pelajar. Dia cikgu awak. Bukan budak sebaya yang boleh awak tengking sesuka hati.”
Ameena tunduk. Mukanya tiada riak balas, tapi jari-jemarinya meramas hujung selimut yang menutup tubuhnya.
“Cikgu kenal Ameena yang tenang, matang, tak mudah melenting. Tapi hari ni… cikgu tengok orang lain. Kenapa sampai jadi macam ni?”
Telefon di dalam beg tangan Cikgu Zaharah terus bergetar, tapi dia tak berganjak.
Rasa tanggungjawabnya pada anak murid lebih berat dari urusan rumah tangga yang sedang menunggu.
Pintu wad berkeriut perlahan.
Kelihatan Ameer muncul dengan wajah tersengih macam kerang busuk.
“Hah, Ameer!”
Cikgu Zaharah bersuara, separuh lega, separuh mendesak.
“Cikgu nak balik dulu. Apa-apa hal, cakap kat Cikgu Eman. Dia tunggu kat luar. Cikgu tak sempat nak tunggu dah.”
Dia sempat menjeling ke arah Ameena.. renungan yang membawa pesan berat yang tak terucap.
‘Hai lah budak zaman sekarang… Tak pernah aku jumpa pelajar berperang mulut dengan cikgu macam ni. Sakit kepala!’
“Ameena,” katanya perlahan sebelum beredar.
“Ingat pesan cikgu tadi. Cikgu tak nak dengar masalah macam ni lagi.”
Ameena hanya mengangguk. Tak mampu membalas. Dia tahu dia dah melampaui batas. Tak pernah dia jadi pelajar bermasalah… sampai hari ini.
Cikgu Zaharah melangkah pergi. Ameena menghantar pemergiannya dengan ekor mata sahaja.
Kini mata itu beralih ke arah Ameer.. dan tajam sungguh panahannya.
“Jangan buat-buat tak tahu!” bentaknya.
“Menyampah aku tengok muka kau!”
Seketul tisu bergumpal melayang ke arah Ameer.
Ameer buat muka tak bersalah.
“Apa benda ni Kak Chik? Orang tak buat apa-apa pun.”
Dia tergelak kecil, reaksi selamba yang entah kenapa selalu mampu mencairkan kemarahan.
Ameena cuba menahan tawa, tapi gagal. Dua beradik itu ketawa dalam hening wad kecemasan yang tadinya tegang.
“Tak buat apa-apa konon,” sambung Ameena.
“Kalau kau tak lari macam lipas kudung tu, aku tak kejar… tak terpijak kaca! Sakit tau!”
Ameer membalas dengan wajah tidak bersalah.
“Kak Chik la salah! Kalau awal-awal Kak Chik tunjukkan lukisan tu, takde lah jadi macam ni. Lagipun, mana la orang tahu ada kaca besar gedabak kat celah pokok bunga. Dia yang tak pakai kasut, salahkan orang.”
Sengihannya makin lebar. Gigi putih tersusun, seperti biasa, menyakitkan hati dan pada masa yang sama mencuit tawa.
Ameena ketawa juga akhirnya. Segala bara yang tersimpan sebentar tadi perlahan-lahan mengendur.
Tanpa mereka sedari, ada sepasang mata yang sedang memerhati dari celah tirai. Dan senyuman kecil turut terbentuk di bibir itu.
‘PENATNYA…’
Keluh Cikgu Eman perlahan, tubuhnya direbahkan ke atas katil. Hatinya masih terasa lenguh dengan perjalanan yang agak jauh.. terpaksa menghantar dua beradik itu pulang.
Tak sangka pula mereka tinggal di kawasan perumahan elit, rumah besar lengkap dengan pondok pengawal. Hebat sungguh. Tapi malangnya, pemandu ambil cuti kecemasan hari ini. Nak tak nak, dia yang kena jadi 'chauffeur' bidang terjun.
Eman membiarkan matanya melekap pada siling. Fikirannya melayang semula ke insiden tadi.
"Melampau sangat ke aku? Apa yang aku cakap sebenarnya? Nasihat saja pun. Bukannya aku maki pun. Tapi budak tu marah betul. Tak buat, tak apalah… Tapi yang nak melenting sangat tu kenapa?"
Dia mendengus perlahan. Namun, di sebalik teguran dan kekesalan yang bersarang, satu nama tetap terngiang. Ameena Azzahra. Ada sesuatu tentang gadis itu yang sukar untuk dia baca. Pendiam, keras kepala… tapi ada satu sisi lembut yang tersembunyi, mungkin?
Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Tangannya bingkas mencapai beg laptop yang diletakkan di sisi meja. Ditarik keluar sebuah buku lakaran berkulit keras, tertulis kemas di hadapannya:
‘AMEENA AZZAHRA’
Satu demi satu helaian diselak. Mata Eman terpegun menatap setiap lukisan. Alam semula jadi, pohon rimbun, riak air sungai, kawanan burung, cahaya mentari di celahan awan. Setiap garisan halus itu membawa nyawa. Setiap warna menuturkan cerita.
Dan akhirnya… helaian terakhir membuatkan nafasnya tertahan seketika.
Sebuah potret lelaki. Berlesung pipit. Memakai kemeja, lengan disingsing santai. Renungan matanya seolah-olah hidup, penuh rahsia yang belum terungkap.
Eman menelan liur. “Ini… macam muka aku?”
Share this novel