BAB 4 - PERANG DINGIN

Romance Series 52946

PEPERIKSAAN PT3 sudah tidak lama lagi. Hanya tinggal beberapa minggu. Semua guru masing – masing sibuk untuk memastikan pelajar – pelajar mereka lulus. Walaupun tidak cemerlang, cukuplah dengan lulus untuk kelas – kelas yang agak belakang. Begitulah kata – kata Cikgu Yusuf dalam mesyuarat minggu lepas.

“Cikgu Ameena! Tak payah la berusaha keras sangat. Semua pelajar cikgu tu saya kenal. Saya pernah ajar diorang. Ceritanya tak kemana. Setakat tu sajalah..” Telinga Ameena terasa berdesing ketika itu. Mukanya terasa berbahang. Kulitnya yang putih mulus membuatkan kemarahannya tidak dapat disembunyikan. Dia menarik nafas sambil beristighfar. Semoga dijauhkan daripada hasutan syaitan. Kenyataan yang dibuat oleh Cikgu Lily agak melampau dirasakan dan tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang guru.

“ Cikgu Lily, selagi kita bergelar seorang guru.. menjadi tanggungjawab kita mendidik mereka. Tidak semestinya keputusan mereka tidak cemerlang, bermakna mereka tidak berjaya. Berjaya bukan pada keputusan yang tercatat di atas sijil. Membuatkan mereka ingin datang ke sekolah, ingin belajar dan ingin menjawab soalan peperiksaan pun, mereka sudah dikira berjaya. Jangan kita hina anak – anak bangsa kita sendiri.” Tenang dan penuh tertib. Ayat demi ayat yang keluar dari mulut Ameena sangat tersusun dan enak didengar. Cikgu Zaharah yang sedang kusyuk menyemak kertas latihan pelajarnya turut tersenyum. Dalam diam dia mencuri dengar perbualan mereka. Terasa sangat bangga kerana berjaya mendidik pelajarnya sehingga menjadi seorang guru yang berhati mulia.

“Iya lah tu Cikgu Ameena.. Cikgu baru kerja tak sampai setahun.. Tunggu la 2,3 tahun lagi. Saya berani potong jari lah kalau Cikgu masih bertahan. Tak payahlah Cikgu berlembut sangat dengan mereka tu.. Nanti ada yang pijak kepala. Tak payah lah nak baik sangat. Tak kemana pun..” Cikgu yang berumur lewat 20an itu masih tidak berpuas hati. Masih mahu menyiram minyak di dalam sekam api. Dia merasa tidak senang dengan cara pendekatan Ameena. Dia tidak senang melihat kemesraan Ameena dengan pelajar – pelajarnya. Bahkan sikap Ameena menjadi bualan di kalangan guru – guru. Ramai yang memuji sikap Ameena pandai mengambil hati para pelajarnya.

“Setiap guru ada pendekatan masing – masing. Cikgu Lily dengan cara cikgu, saya dengan cara saya. Saya tidak mahu mengguris hati anak – anak murid saya dengan kata – kata kesat. Saya tidak mahu menyakiti pelajar saya dengan libasan rotan. Saya tidak mahu pelajar saya takut dengan saya kerana ketegasan saya yang melampau. Denda itu tidak salah. Jika kena dengan tempatnya. Anak – anak zaman sekarang sudah tidak sama seperti zaman kita dahulu.” Kali ini Ameena berdiri mengadap Cikgu Lily. Bengang dengan kenyataan yang tidak beradab beliau. Tapi Ameena tetap tenang. Dalam nada suaranya ada ketegasan. Seolah – olah sedang berdebat di dewan rakyat. Cikgu Lily hanya mencebik. ‘Diam la kau perempuan!’ kata – katanya hanya tersekat di kerongkong.

“Betul! Saya sokong. Zaman dulu tak sama dengan zaman sekarang. Saya yang dah lama berkhidmat ni pun, sentiasa kena belajar cara untuk mendekati pelajar – pelajar saya. Kita sentiasa akan melalui fasa – fasa baru dalam institusi pendidikan Sekolah.” Cikgu Zaharah yang sudah lama memasang telinga mula mencelah. Dia sendiri pun tidak berapa berkenan dengan cara Cikgu Lily. Pernah dia mendengar guru muda itu menengking pelajarnya yang lambat masuk kelas. Kadang – kadang dengan kata-kata yang tidak elok didengar.

“Saya pun sokong Cikgu Ameena. Cikgu memang terbaik. Tapi Cikgu Zaharah tiada tandingannya la... Kan Kak Za..?” Cikgu Isa yang muncul entah dari mana tiba – tiba mencelah. Cikgu Zaharah menghalakan pandangannya ke arah Cikgu Isa. Guru muda yang tinggi dengan dada bidangnya menjadi kegilaan pelajar – pelajar dan guru – guru bujang di sekolah itu. Cikgu Zaharah tersenyum sambil mengangkat keningnya.

“ Baru habis kelas. Lalu ikut sini tadi tengok ada orang tu.. tengah berbahas.. serius sungguh nadanya. Meremang kita dengar. Tapi saya ‘salute’ la Cikgu Ameena.” Panas hati Cikgu Lily mendengarnya. Manakan tidak, lelaki pujaan hatinya tiba – tiba muncul dan membela Ameena. Ameena pula hanya tersenyum hambar. Cikgu Ameena melarikan pandangannya daripada tenungan Cikgu Isa. Walaupun tenungannya biasa tanpa ada riak nafsu atau panahan cinta, ianya masih mengundang ketidakselesaan kepada Ameena.


___________________________




DARI kejauhan kelihatan Cikgu Eman sedang tersenyum sambil duduk dibangku. Kakinya disilangkan dan tangannya didepangkan bersandar di bangku itu. Entah kenapa wajah itu begitu mendamaikan hatinya. Santunnya melayani anak – anak pelajar membuatkan dia kagum. Jarang ada cikgu yang melakukan aktiviti di luar kelas. Dia tersenyum lagi. Tidak lama kemudian,dia bangkit dari tempat duduknya lantas mengatur langkahnya menuju ke arah kumpulan pelajar tersebut.

“Wah, seronoknya kamu semua ya! Kalau tak ‘score’ juga kertas Bahasa Melayu.. tak tahu nak cakaplah saya.” Kemunculan secara tiba – tiba Cikgu Isa membuatkan langkah Cikgu Eman terhenti. Dia diam berdiri di sebalik dinding bangunan blok A. Hanya jarak lebih kurang 5 meter dari kawasan tersebut.

“Eh, Cikgu Isa! Tak ada kelas ke? Apa pulak cakap macam tu. Saya bawa mereka keluar kelas sebab ramai yang dah mengantuk tadi. Biasalah kalau dah lepas waktu rehat. Perut dah kenyang.. kan Naufal?” Pelajarnya yang bernama Naufal itu ketawa agak kuat dengan perlian gurunya.

“ Alah Naufal ni.. bukan lepas rehat saja.. Sebelum rehat pun dia asyik mengantuk juga.. kan Naufal?” Punggung Cikgu Isa telah mendarat di sebelah pelajar tersebut lantas memaut erat bahu Naufal. Bertentangan tepat dengan Ameena. Di sebalik dinding bangunan Cikgu Eman sudah mula panas hati. Giginya diketap sehingga rahangnya bergerak. Peluh dingin di dahinya disapu perlahan. Tali lehernya dilonggarkan sedikit mencari udara yang lebih nyaman.

“Cikgu Ameena hujung minggu nanti sibuk tak? Ingat tak galeri yang saya cakap hari tu? Saya nak buat perasmian galeri tu.. Jemputlah datang. Kamu semua pun..mana-mana yang berminat boleh datang. Tapi minta izin dengan mak ayah dulu.” Jemputan dari guru muda itu membuatkan suasana agak bising. Terutamanya dikalangan pelajar perempuan. Masing – masing teruja dengan jemputan tersebut.

“Hmm.. siapa nak pergi? Kita pergi sama – sama. Lepas tu, cikgu belanja makan kat tepi pantai. Dekat dengan pantai kan Cikgu Isa?” Ameena memang agak teruja dengan segala hal yang berkaitan dengan lukisan. Masing – masing teruja dengan pelawaan guru mereka. Ada juga yang merungut kerana keluarga mereka sudah ada rancangan hujung minggu.

‘Kenapa kau terima Ameena! Itu hanya cara dia nak dekat dengan kau! Tapi kenapa aku nak marah? Itu hak dia. Dia bukan siapa – siapa pun dengan aku!” Cikgu Eman memejamkan matanya dengan kepala didongak ke langit. ‘ Kenapa dengan aku ni? Bangunlah Eman! Bangun! Aku dah tersuka dengan Ameena ke? Dia bekas pelajar aku kot.’ Masih pegun berdiri di tempat yang sama. Hanya mampu bermonolog dengan diri sendiri. Amat menyiksakan hatinya. Tidak tega lagi dia mahu melihat sandiwara dunia ini. Hatinya sakit. Sakit yang tak pernah dia rasakan sebelum ini.

“Okaylah.. saya beredar dulu ya. Nanti jangan lupa. Saya tunggu.” Ameena membalas senyuman manis Cikgu Isa sebelum guru itu berlalu pergi.

“Baiklah.. Masa saya dah nak tamat. Bersedia untuk balik ke kelas semula. Pastikan tiada sampah yang tertinggal. Pastikan semua kemas. Pastikan semua segar untuk kelas seterusnya.” Ameena melemparkan senyuman manisnya kepada pelajar – pelajarnya. Pandangan tiba – tiba tertancap kepada Nuraina. Masih bersendiri. Watak Nuraina seolah – olah mengingatkan kepada dirinya sendiri. Cuma dirinya tidak dipulaukan. Hanya dia yang tidak suka berkepit dengan kawan – kawan sepanjang masa.

“Nuraina! Awak nak pergi? Kalau nak pergi, nanti balik sekolah, awak tanya ayah dan mak awak dulu. Kalau mereka beri kebenaran, nanti cikgu datang jemput awak.” Ameena menghampiri pelajarnya itu dan bertanya dengan suara yang separuh berbisik. Kebetulan Nuraina paling lambat beredar ke kelasnya. Secara lansung memudahkan dia untuk berbicara secara personal dengan pelajarnya itu.

Nuraina memandang gurunya itu dengan pandangan yang penuh harapan. Air matanya bergenang . Dia mengangguk perlahan.

“Balik nanti saya tanya ibu saya dahulu. Betul ke cikgu boleh bawakan saya ke sana?” Penuh harapan soalan yang keluar dari mulut kecil itu.

“Tapi cikgu, saya tak ada baju yang sesuai. Nanti saya memalukan cikgu pulak.” Lirih sekali kedengarannya.

“Cikgu tak kisah. Awak pakai saja apa yang ada. Janji bersih. Aina tahukan, kebersihan tu lebih penting. Nanti balik sekolah tunggu cikgu dekat tempat letak kereta. Kereta cikgu yang warna hitam, yang paling depan sekali. Cikgu ada nak bagi sesuatu pada awak. Sekarang masuk kelas dulu.” Nuraina mengangguk dan berlalu pergi. Pergi dengan harapan yang menggunung. Tidak disangkakan, impiannya untuk melihat pameran lukisan hampir tercapai. Doanya Allah makbulkan.







________________________________________






“CIKGU Ameena. Boleh tak jaga sikit etika sebagai seorang guru. Kalau dah tak boleh tahan sangat. Nak bermain cinta. Tunggulah habis waktu kerja dulu! Saya selaku mentor awak kena ingatkan.” Ameena agak terperanjat dengan kehadiran secara tiba – tiba Cikgu Eman di kantin sekolah. Hampir tersembur air bandung yang disedutnya. Mujurlah, waktu itu orang tak ramai.

Ameena berpaling. Dilihatnya muka bersahaja Cikgu Eman. Seolah – olah suara yang menegurnya tadi bukan keluar dari peti suara beliau. Cikgu Eman menyuap karipap ke dalam mulutnya tanpa memandang ke arah Ameena.

“Maaf Cikgu Eman.. Apa maksud Cikgu ya?” Ameena menyoal dengan reaksi tidak puas hati. Namun masih tenang dengan wajah yang serius.

“ Sekolah ni bukan milik awak berdua saja. Ramai lagi orang lain yang ada kat sini. Anak – anak murid kita ni baru nak jadi dewasa. Jangan mereka jadikan pedoman pula perangai macam awak ni. Kalau awak rasa bangga bila awak bergandingan dengan Cikgu Isa, teruskan.. tak ada orang nak halang. Cuma jangan buat maksiat kat dalam sekolah ni.” Cikgu Eman menghabiskan karipap yang ada di dalam pinggannya dan berura – ura untuk pergi.

“ Ouwffff….” Ameena menarik nafas dalam – dalam menghembuskan perlahan – lahan melalui mulutnya. Teknik itu penting baginya untuk mengawal kemarahannya.

“Tunggu dulu! Semudah itu Cikgu Eman Al Hadi nak berlalu? Selepas mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah kepada saya! Ada bukti? Dekat mana? Cukup saksi? Bila? Boleh Cikgu Eman Al hadi perincikan?” Nada suaranya ditekan sedikit ketika menyebut nama penuh bekas gurunya itu. Bergetar jiwa Cikgu Eman setiap kali nama penuhnya disebut. Namun masih mampu dikawal air mukanya.

“Perlu ke? Cukup rasanya dengan semua pelajar bercakap tentang kamu berdua. Which is ‘Cikgu Ameena is so sweet with Sir Isa! Sir Isa is so romantic to Cikgu Ameena! Cikgu Ameena dan Sir Isa so ideal!’ Apa tu? Dekat bilik guru pulak, gosip-gosip hanya pasal kamu berdua. Lebih dari cukup untuk saksi tu… Nak empat saksi? Tak apa, saya bagi satu sekolah saksinya.. Cukup?” Cikgu Eman mengangkat keningnya dengan pandangannya yang agak tajam. Namun kalah jua dengan renungan berapi Cikgu Ameena.

“Wow, ya.. Cukup! Cukup juga sampai di sini saya menjunjung peribadi cikgu atas kepala saya ni. Cukup juga saya menganggap cikgu sebagai orang yang terhormat di sini. Cukup juga untuk saya kembali mengingati kenangan pahit yang bertahun – tahun yang cuba saya lupakan dek kerana mulut longkang seorang guru! Dan hari ini dia kembali lagi dengan usul tohmahannya. Yang mana tak pernah satu pun permohanan maaf keluar dari mulutnya walhal dia tahu, dia yang salah. Kerana apa? Kerana dia berasa dia manusia yang hebat! Tahniah Cikgu Eman Al hadi.” Cikgu Ameena tersenyum sinis di hujung kata -katanya. Kali ini dia sudah berdiri di hadapan Cikgu Eman. Suaranya cuba dikawal sebolehnya supaya tidak didengari oleh orang lain. Ketinggian Cikgu Eman membuatkan dia terpaksa mendongak sedikit. Cikgu Eman mengalihkan pandangannya.

“Alih topik? Hebat juga bekas pelajar saya ni. Dah tertangkap bersalah kan.. Dah la Cikgu Ameena. Tak perlu usaha sekeras ini. Tu pandangan cikgu tu. Cuba nak goda saya pulak ke? Agak – agak la.. tak cukup satu? Maaf la.. tak berkesan untuk saya. Lagipun awak bukan ‘taste’ saya.” Cikgu Eman senyum sinis dan berlalu.

Ameena memejamkan matanya dan cuba bertenang walaupun terasa ingin menjerit. Ingin dia cili –cilikan mulut celupar itu. “ Aku bukan ‘taste’ kau? Kau seribu kali bukan ‘taste’ aku! Malangnya perempuan yang jadi isteri kau nanti. Kau jangan muncul lagi depan aku. Aku benci kau!” Perlahan sahaja suaranya dalam nada yang cuba ditahan, namun masih sempat ditangkap oleh gegendang telinga Cikgu Eman. ‘tapi aku suka kau! Kenapa kau tak cuba nak faham aku juga? Aku tegur kau sebab aku tak nak orang cakap busuk tentang kau! Tolong jangan benci aku.’

maaf untuk pembaca setia saya. Ini hadiah saya untuk pembaca yang setia menanti. Saya harapkan ianya dapat memberikan kepuasan kepada pembaca. komen .. rate dan share my link.. terima kasih atas support kalian

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience