BAB 36 : Antara takut Dan reda

Romance Series 52946

“ASSALAMUALAIKUM..” Isa dan Ameena serentak berpaling ke belakang. Ameena jelas terkejut dengan kehadiran suaminya yang secara tiba-tiba. Serentak matanya tertancap pada kereta Vios milik suaminya yang sudah tersergam di kotak parkir bersebelahan dengan tempat mereka berbual.


“Eh.. Bro.. waalaikumussalam! Sampai pun kau. Baru habis kelas la ni.” Isa bingkas bangun dan berjabat salam dengan sahabatnya.


“Terima kasih Bro.. Tolong temankan dia. Kau text aku tadi, aku kat dalam kelas lagi.” Ameena mengangkat keningnya dan memandang ke arah suaminya. ‘Jadi dia tahulah Isa dengan aku kat sini? Dia ni buat orang kecut perut je lah. Cara pandang tu, macam tak puas hati.’


“Okaylah, Bro. Nak pergi cari barang sikit, takut lewat nanti, jalan jam pulak.”


“Okay, Bro. Jumpa esok! Ke kau datang malam ni?” Isa menepuk bahu sahabatnya.


“Tak kot, Bro. Aku nak rehat. Minggu ni jadual aku padat betul.” Eman menolak lembut pelawaan Isa. Sememangnya sudah lama mereka tak turun gelanggang dengan sahabatnya itu. Tapi dia betul – betul keletihan dengan jadualnya. Terlalu banyak tugas yang perlu dia pikul.


“Ok, Bro.” Eman pula menepuk lembut bahu sahabatnya. Isa hanya mengangguk dengan Senyumannya.


“Cikgu Isa.. kirim salam dekat mama.” Ameena sempat menitikkan pesan sebelum berlalu tanpa dia sedari ada pandangan cemburu yang sedang memerhatikannya. Isa hanya tersenyum nipis. Faham dengan pandangan sahabatnya. Sebaik mana pun hubungan persahabatan mereka, tapi apabila masuk bab isteri tetap boleh bertumbuk. Isa tersengih dan ketawa sendiri. Terasa lucu dengan pasangan suami isteri itu.

SEJAK petang tadi Eman hanya membisu. Bercakap pun bila perlu sahaja. Hanya di meja makan tadi sahaja Eman kelihatan mesra dengan isterinya. Selesai makan, masuk sahaja ke dalam bilik tidur mereka, Eman kembali dengan mod bisunya. Ameena mengiring menghadap suaminya yang sedang tidur pulas. Kata-kata Isa kembali terngiang-ngiang di telinganya. Lantas kelopak matanya kembali bergenang. ‘Kejamkah aku? Aku Cuma ingin pertahankan mahligai yang aku bina untuk kali yang kedua.’ Tanpa sedar Ameena meraih tangan suaminya dan mencium lembut sambil air matanya berguguran. Sekian kalinya dia mengaku yang dia sangat cintakan Eman Al-hadi. Lelaki yang berjaya mencuri sepenuhnya hati dan jiwanya. Namun badai yang datang disebabkan orang ketiga membuatkan mereka hampir tewas. Ameena menggenggam lebih erat jari jemari suaminya.

Eman perlahan-lahan membuka matanya. Dia tidak tidur. Dalam diam dia mencuri pandang ke arah isterinya. Namun dia agak terkejut dengan esakan kecil Ameena. Ameena jarang menangis. Jiwa isterinya itu sangat kental sehingga susah untuk melihatnya menangis. Sepanjang tempoh dia mengenali Ameena, ini adalah kali ketiga dia melihat wanita itu menangis. Hati Eman menjadi tidak keruan.


“Sayang.. kenapa ni?” Eman memagut dagu isterinya dan mendongakkan wajah Ameena. Eman bertambah terkejut apabila melihat mata isterinya yang sudah sembab dan air mata yang bercucuran di pipi mulus itu.


“Sayang… kenapa ni.. Abang minta maaf.. Jangan menangis macam ni..” Eman membawa isterinya ke dalam dakapannya. Pelukannya dieratkan. Namun tangisan Ameena semakin menjadi. Ameena menyembamkan wajahnya di dada bidang suaminya. Jiwanya terasa lebih tenang dalam dakapan lelaki itu. Lelaki yang sudah menaruh perasaan padanya semenjak zaman persekolahannya. Lelaki yang pernah rasa sakit apabila dia memilih lelaki lain untuk menjadi suaminya. Lelaki yang Sentiasa melindunginya. Dan lelaki itu kini adalah suaminya.


“Abang.. Amee .. takut..” Dalam esakan, Ameena bersuara tersekat – sekat.


“Takut? Apa yang sayang takut?” Kening Eman berkerut seribu. Ameena mengigau ke. Tapi dia tak tidur pun daripada tadi.


“Amee takut.. tadi.. Isa cakap…” Kata-kata Ameena terhenti dan tangisannya di sambung lagi. Eman mengetap gigi. Rahangnya bergerak- gerak menahan marah. ‘Apa yang Isa cakap? Kenapa sampai Ameena terasa takut?’


“Ok.. pandang Abang, Sayang. Cakap dengan Abang, Isa cakap apa? Isa ugut sayang ke?’ wajah Ameena didongakkan dengan paksa. Ameena menggelengkan kepalanya. Tangisannya sudah sedikit reda. Mungkin sudah beransur lega dalam dakapan suaminya.


“Isa cakap, kalau Amee kehilangan Abang.. Amee takkan jumpa lagi lelaki sebaik Abang. Isa cakap Abang sayang dan cintakan Amee sangat-sangat. Isa cakap… Amee tak bersyukur kalau Amee lepaskan Abang. Tapi hati Amee kecewa sangat – sangat bila Abang cuba nak lafazkan talak pada Amee.. Amee memang dah hampir menyerah kalah.. sebab Amee rasa Abang dah tak perlukan Amee..” Air mata Ameena mencurah-curah ketika berbicara. Cuma esakannya sahaja dah berkurang.


“Allahuakhbar…. Allah… besarnya dosa Aku pada isteri aku.” Eman kembali memeluk erat isterinya. Terasa seperti dihempap dengan batu besar. Rupa-rupanya Ameena tak pernah melupakan peristiwa hari itu. Peristiwa yang dia hampir hilang kewarasannya.


“Abang minta maaf sayang… Abang tak ada niat. Dan abang tak akan mampu pun untuk lafazkannya. Amee isteri Abang. Wanita yang Abang sayang. Cinta abang yang pertama dan terakhir. Maafkan Abang sayang.” Air mata Eman turut membasahi pipinya. Namun cepat-cepat diseka. Pelipis matanya ditekan kuat bagi menahan air matanya daripada terus berguguran.


“Amee yang salah. Amee tak faham Abang. Tapi percayalah.. Amee tak sanggup pun kehilangan Abang.. Amee sayang Abang sangat-sangat. Sampai mati pun Amee tetap sayang Abang..” Ameena membalas pelukan suaminya seerat-eratnya. Seperti tidak mahu lagi melepaskan lelaki itu.


Eman tersenyum dalam tangisannya. Hari ini adalah sangat bermakna untuknya. Buat pertama kalinya Isterinya menyatakan rasa cinta padanya dengan sepenuh hati. Kata-kata Ameena menyerap masuk ke dasar hatinya yang paling dalam. ‘Terima kasih Bro! kau memang sahabat yang baik. Terima kasih Ya Allah kerana hadirkan Ameena Azzahra ke dalam hidupku. Menjadi pelengkap hidupku.


“KAK AMEE.. Abang Eman.. Jom sarapan dulu. Airis dah masak ni. Nasi goreng kampung. Abang Eman suka kan?” Ameena menjeling sekilas ke arah suaminya. Tampak jelas kebencian pada wajah itu.

“Sayang, dah lambat ni.. Abang takut jalan sesak nanti.” Eman lantas memimpin tangan isterinya keluar. Dia kalau boleh tidak mahu menyentuh apa – apapun masakan daripada perempuan itu. Tak salah untuk dia berhati-hati. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Airis mengetap gigi. Wajahnya sangat sebal disebabkan reaksi Eman. Sepanjang di rumah tersebut, Airis masih belum mampu mengambil hati lelaki tersebut.


Fikiran Airis mengimbau kejadian malam tadi. “Ha, Airis! Awak pergi mana? Mak telefon awak banyak kali tapi tak berangkat pun!” Suara Makcik Saleha seperti halilintar di hujung talian. Airis menjauhkan telinganya daripada telefon pintar miliknya. Panggilan daripada ibunya memang sengaja dibiarkan tidak berjawab. Malas dia untuk mendengar bebelan perempuan tua itu. Tapi disebabkan risau ada kecemasan di kampung, terpaksa juga dia menadah telinga mendengar bebelan Makcik Saleha.

“Ada ni ha. Tadi dekat dapur, telefon pula dalam bilik. Mana Airis nak perasan, mak..” Airis menjawab malas. Namun suaranya masih cuba dilembutkan. Dia masih sedar dirinya sebagai seorang anak. Dia masih mahu menjaga hati tua yang tak pernah faham dengan perasaannya itu.


“Awak dah buat ke, apa yang mak suruh awak buat? Macam mana? Ada nampak kesannya tak?” Tanya Makcik Saleha bersungguh – sungguh.


“Dah.. macam tak menjadi saja mak.. Susah lah dia tu..” Airis cuba melunakkan suaranya sebaik mungkin untuk memancing simpati ibunya. Dia tidak suka ditengking-tengking.


“Awak ni.. kerja senang macam tu pun tak boleh nak buat. Tak faham la koi ni. Uhhh!! Minggu depan balik kampung! Mak bagi kamu yang lain!” Airis mengangguk walaupun anggukannya itu tidak boleh dilihat oleh ibunya, tapi Itulah tabiatnya dan dayanya. Terpaksa patuh pada kata-kata syurganya itu. Lagipun dia sudah rindukan ayahnya. Sudah lama dia tidak melihat wajah kesayangannya itu. kalau bercakap di telefon pun cuma sekejap kerana sering di rampas oleh ibunya.


“Airis.. nak pergi dengan akak tak? Jom lah.. Abang Eman dah tunggu kat dalam kereta tu.” Lamunan Airis terbang melayang Entah ke mana dek teguran suara Ameena. Airis mengangguk lagi. Tangannya menutup makanan di atas meja dengan tudung saji dan kakinya terus melangkah laju ke luar rumah. Pintu rumah dikunci dengan cepat. Sememangnya dia ada menyimpan kunci pendua bagi memudahkan dia keluar masuk daripada rumah itu.


“Maaf Abang Eman.. terpaksa tumpang Abang dengan Kak Ameena lagi hari ini. Grab susah nak dapat pagi-pagi ni.” Airis cuba memancing simpati daripada pasangan suami isteri itu. Eman hanya membatu, malas melayan kerenah jiran sekampungnya itu. ‘Entah apalah yang kau nak! Dah naik menyampah aku tengok muka dia ni! Bila la nak berambus!’ Eman menyumpah-nyumpah di dalam hatinya.


“Eh, apa pulak! Satu tempat kerja kan.. Apa salahnya Kalau pergi sama-sama..” Ameena tersenyum manis. Lembut dan ikhlas sekali wajah itu. Dia berpaling sekilas ke belakang mencari wajah Airis. Gadis itu turut membalas senyumannya dalam terpaksa.


“Kak Amee.. Airis ingat nak cari rumah yang dekat-dekat dengan sekolah. Senang pergi kerja jalan kaki saja. Kalau Kak Amee ada info pasal rumah sewa dekat-dekat dengan sekolah ni.. bagi tahu saya ya.” Airis sekadar berbasa basi untuk mengelakkan kecurigaan Eman terhadapnya. Dia tidak mahu nampak terdesak sangat. Dan dia tahu rumah sewa berdekatan sekolah memang sukar di cari. Semuanya sudah penuh. Info itu sudah terdahulu dia perolehi daripada rakan pejabatnya.


“Eloklah….” Eman menyampuk tiba-tiba. Walaupun hanya sepatah perkataan tapi cukup untuk mengguris dalam hati perempuan yang bernama Airis itu. Ameena yang agak terkejut dengan jawapan itu terus menepuk perlahan peha suaminya. Dia seolah – olah berada di tengah- tengah medan pertempuran. Cuba untuk mendamaikan dua pihak musuh. Cuba untuk menjaga hati kedua-dua belah pihak. Dan juga cuba menjaga nama baik ibu mertuanya. Wajah Airis sudah bertukar mendung. Air matanya juga hampir menitis. Namun ditahan sebaik mungkin supaya tidak gugur ke pipi.


Eman menggengam jari jemari isterinya tanpa sepatah kata pun. Hari ini isterinya tidak seperti selalu. Walaupun tidak bersetuju dengan kata-katanya, namun tiada lansung kata – kata teguran cuma tepukan lembut di pehanya. Sepertinya Ameenanya yang manja sudah kembali semula. Eman tersenyum sambil memandu. Walaupun matanya fokus pada pemanduannya namun tangannya tidak lepas daripada mengenggam tangan isterinya. Airis yang melihat dengan jelas perbuatan itu mula menunjukkan wajah sebal. Benci dengan kemesraan suami isteri itu. ‘Kau tengoklah perempuan! Suatu hari nanti tangan yang Eman genggam bukan tangan kau lagi! Tapi tangan aku!’ Airis mengenggam tangannya sendiri sambil di dalam hatinya terus menyumpah-nyumpah.

PELAJAR-PELAJAR kelihatan berpusu-pusu masuk ke Dewan Sri Hikmah untuk Sesi Perhimpunan Pagi Ahad. Begitu juga dengan guru-guru. Sudah masuk bulan ke tiga untuk sesi perkolahan itu. Seperti kebiasaannya majlis dimulakan dengan bacaan doa daripada wakil murid seterusnya nyanyian negaraku dan ikrar pelajar serta guru. Seterusnya ucapan daripada pengetua sekolah bagi menyampaikan maklumat – maklumat terkini.


Mata Ameena tiba – tiba tertancap pada seseorang yang sudah lama tidak dilihatnya. Namun penampilan insan itu lebih sopan. Berbaju kurung moden yang agak longgar. Manakala tudungnya pula dilabuhkan ke bawah dada. kelihatan sangat sopan dan cantik. Tiba-tiba, mata mereka bertembung pandang namun perempuan itu cepat-cepat mengalihkan pandangannya. Kening Ameena sedikit berkerut.


“Pandang apa tu? Abang kat belakang ni..” Hampir melompat Ameena dengan bisikan Cikgu Eman yang begitu dekat dengan telinganya. Entah bila masa pun tak tahu lelaki itu berada di belakangnya. Ameena berdecit perlahan. Namun masih mampu ditangkap oleh pendengaran suaminya. Lantas tangan kasar itu sembunyi – sembunyi menarik perlahan cuping telinga isterinya yang terlindung di sebalik tudung. Ameena menggeliat geli namun cuba ditahan supaya tidak ketara pergerakannya. ‘Isyh.. dia ni dah mula la tu..’


“Baiklah.. saya juga ingin mengumumkan dan juga ingin mengucapkan selamat kembali bertugas kepada seorang guru kita yang telah lama bercuti kerana kesihatan yang tidak mengizinkan. Namun hadirnya dia hari ini, Insya Allah dengan semangat baru dengan kesihatan yang bertambah baik. Saya berharap, semua pelajar dan para rakan guru dapat memberikan sokongan dan kerjasama kepada pendidik kita ini. Dipersilakan Cikgu Lily Hasrita untuk memberikan sepatah dua kata.” Seisi dewan kedengaran agak riuh rendah dengan pengumuman pengetua itu. Mungkin mereka gembira ataupun sebaliknya.


“Assalamualaikum. Terima kasih kepada Tuan Pengetua. Terima kasih juga kepada rakan guru dan para pelajar yang tidak putus memberikan sokongan kepada saya semasa saya dalam proses penyembuhan.” Cikgu Lily menelan liur seketika seperti menelan kata-katanya sendiri. Dia sendiri sedia maklum yang tiada seorang pun pelajarnya yang datang menziarah.


“Saya berharap, rakan guru dan para pelajar terus memberikan sokongan kepada saya. Insya Allah saya akan melakukan yang lebih baik untuk sesi ini. Dan terima kasih sekali lagi di atas doa-doa kalian. Terima kasih.” Seisi dewan, malah barisan guru juga turut sepi. Setiap mata hanya memandang ke arah langkah guru muda itu yang berlalu daripada tempat berucap.


Ameena pula untuk seketika bertentangan mata dengan Cikgu Isa dan cuba untuk berkomunikasi bahasa mata. Namun lelaki itu hanya mengerdip dan mengangguk. Setelah itu dia berpusing dan mendongak pula memandang wajah suaminya. Namun suaminya itu seperti biasa, bukan mudah terpedaya lagi. Cikgu Eman hanya tersenyum sinis dan menjungkitkan bahunya.

“ADA SESIAPA yang tak faham? Sebelum saya keluar, boleh tanya apa-apa yang kamu tak faham.” Cikgu Lily memandang ke arah semua pelajarnya. Riak wajahnya kelihatan kosong. Melihat ke arah semua pelajarnya juga dengan pandangan kosong. Tiba-tiba salah seorang pelajarnya mengangkat tangan dan berdiri.


“Maaf cikgu, saya nak tanya sikit. Saya harap cikgu tak marah.” Pelajar itu menelan liur seketika. Wajahnya jelas kelihatan takut.


“Siapa nama awak? Maaf Cikgu tak ingat.” Cikgu Lily tersenyum hambar. Dalam hatinya terbit seribu rasa kesal dan bersalah. Selama dia mengajar, dia tidak pernah ada rasa untuk menghafal nama pelajar-pelajarnya. Kalau pun dia ingat Cuma dengan nama gelaran yang tidak elok.


“Siti Shaima, Cikgu.” Pelajar itu masih kelihatan gugup dan serba salah.

“Tanyalah.. buat apa saya nak marah. Kamu tak tahu, memang patut pun kamu tanya.” Lily cuba mengukirkan Senyuman mesra biarpun jelas kelihatan canggung. Ego dan rasa bersalah masih bercampur aduk dalam dirinya. Biarpun dia sangat menyesal dengan perbuatannya sebelum ini, namun masih ada rasa malu untuk mengakuinya. Dia bukanlah manusia yang sempurna dan dengan mudah untuk berbuah secara tiba-tiba. Namun dia tetap berdoa supaya dia terus istiqamah untuk berbuah.


“Tak… saya cuma nak tanya, cikgu sihat tak? Muka cikgu dari mula kelas sampai kelas tamat nampak pucat. Cikgu cakap pun perlahan saja.. Cikgu.. sa … kit.. ke?” Lambat-lambat Siti Shaima menuturkan ayatnya. Cikgu Lily terasa seperti dipanah petir. Dadanya terasa sakit seperti di tikam belati. Soalan yang keluar daripada mulut pelajarnya itu, sungguh tidak terduga. Pertama kali di dalam hidupnya dia terasa ada yang mengambil berat tentang dirinya. Ada yang perihatin dengannya.


“Eh, taklah. Mungkin sebab cikgu tak bersolek kot. Nampak lain dari biasa la. Baiklah, kalau tak ada apa-apa lagi. Cikgu keluar dulu, kita jumpa esok.” Cikgu Lily meraba-raba pipinya yang tanpa solekan itu dan tersenyum. Air mata yang bertakung ditahan sedaya upayanya daripada gugur. Cermin mata yang mengantikan kanta lekap yang dipakai sebelumnya dibetulkan. Langkahnya diatur keluar daripada kelas itu diiringi ucapan terima kasih yang bergema daripada kelas tersebut.


Seiring dengan langkahnya, dia menyeka air mata yang sudah tewas. Langkahnya terus di atur ke tandas. Tidak mahu sesiapapun melihat keadaannya yang begitu.


“Cikgu Lily…are you okay?” Isa yang kebetulan lalu di kawasan koridor tersebut tanpa sengaja terpandangkan wajah suram tersebut.


“Eh, Cikgu Isa. Ya, saya okay.” Cikgu Lily melarikan pandangannya dan membetulkan kaca mata yang dipakainya bagi melindungi rahsianya.

“Let's talk. I’m here. Saya tak ada kelas. I tahu you tak okay.” Isa memintas langkah Cikgu Lily yang baru sahaja ingin di atur pergi.


“Isa.. aku okay. Tak apa, kalau aku nak bercakap, aku perlukan kau, aku cari kau.” Suara Cikgu Lily sudah bertukar keras. Dia tidak sukakan paksaan. Itu memang dirinya dan tiada siapa boleh mengubahnya. Cikgu Lily terus meninggalkan Cikgu Isa yang masih terkulat-kulat. Agak terkejut dengan nada suara Cikgu Lily. ‘Dah kenapa pula dia ni. Nak tolong pun salah ke? Cantik juga Cikgu Lily ni tanpa make up. Lebih cantik tanpa make up dari ada make up.’ Isa tersengih sendiri dengan ulahan hatinya.

“CIK AIRIS! Ni ada no telefon rumah sewa yang dekat sini. Sebelah sekolah ni saja. Memang boleh sangat nak jalan kaki. Saya dah hubungi tuan rumah ni, dan dia bersetuju. Sewanya dalam lima ratus setengah. Nanti tolong hubungi Tuan rumah tu ya.” Hati Airis yang mula- mula berbunga apabila di sapa oleh Cikgu Eman di hadapan pejabat sekolah terus bertukar suram. Airis menyambut huluran kertas tersebut dengan hati yang sebal. Wajahnya jelas menggambarkan kekecewaan.


“Satu lagi.. tolong ya.. Uruskan cepat-cepat.” Eman terus berlalu selepas menghabiskan kata-katanya. Dia tidak kisah dengan perasaan Airis. Dia tahu apa muslihat Airis. Kalau Airis seorang perempuan yang baik, sudah pasti Airis tidak betah tinggal dengan mereka berdua.


“Kau tengoklah Eman.. Suatu hari nanti kau akan berlutut dekat kaki aku ni!” Airis berbisik perlahan sambil pandangannya tidak lepas daripada Cikgu Eman.


“Airis, tengok apa tu?” Airis agak terkejut dengan teguran tersebut. Dia berpusing ke arah pintu pejabat sekolah. Kelihatan Kak Fatiha sedang tercegat disitu memandang ke arahnya dengan pandangan yang curiga.


“Eh, tak ada tengok apa-apa pun. Ni tengah tengok nombor telefon Cikgu Eman bagi tadi.” Airis mengukirkan Senyuman palsunya. Dia agak cuak kerana hampir tertangkap.


“Airis masih tinggal dengan Cikgu Eman ke?” Fatiha yang juga kerani sekolah tersebut bertanya penuh curiga.


“Ya, kak.. Mak saya dengan Mak Cikgu Eman tu saudara. Jadi tak ada masalah la kan.. kalau saya duduk dengan diorang pun.” Airis mendengus perlahan. Sungguh dia tidak suka dengan Fatiha yang suka jaga tepi kainnya.


“Saudara saja dik. Lagikan ipar duai pun tak elok tinggal bersama. Ini kan saudara. Saya rasa Airis ni bukanlah saudara dekat kan. Bukan Sepupu pun.. Tak baik dik.. meruntuhkan rumah tangga orang. Mungkin awak tak berniat. Tapi manalah tahukan.. sebab awak mereka boleh bergaduh.” Sinis dan tajam sekali sindiran Fatiha. Fatiha bukan bodoh untuk menilai pandangan mata Airis tadi. Dia boleh agak Airis ada niat tak baik.


“Memandai saja Kak Tiha ni.. Saya balik dululah! Jangan suka berburuk sangka dengan orang kak.. Takut-takut suami akak tu nanti kena sondol.” Airis berlalu pergi meninggalkan Fatiha yang sudah tertawa kecil dengan ulahannya.

“Jahat betul mulut minah ni.. macam aku tak tahu apa niat kau!” Fatiha berbisik perlahan. Sekadar bercakap dengan dirinya sendiri.

“Fatiha! Lama tak jumpa.. Eh, awak kerja dekat Sekolah Menengah Seri Cahaya kan?” Membulat anak mata Fatiha apabila ditegur oleh bekas rakan sekerjanya. Aniza pernah berkerja dengannya di sekolah di Daerah Kemaman.


“Eh, ya Allah… lamanya tak jumpa. Awak buat apa kat sini? Bukan rumah awak dekat kemaman ke? Ya lah.. Saya kerja dekat SMK Seri Cahaya lagi.


“Itu dulu awak. Lepas bercerai saya dah tak duduk sana. Sekarang saya tukar dah.. Saya kerja kat balai bomba. Ikut Abang Bomba yang ini ha..” Aniza menarik tangan seorang lelaki yang berlengan agak sado. Sama padan dan sama lawa. Ternganga mulut Fatiha dengan berita yang didengarnya. Tak sangka jodoh Aniza dengan suaminya dulu tak panjang. Lelaki itu melemparkan Senyuman kepadanya dan mengangguk perlahan tanda hormat.


“Awak.. ada tak kerani kewangan yang baru masuk dekat sekolah awak, nama dia Airis.” Kening Fatiha terjungkit demi mendengarkan nama itu.


“Ada.. baru masuk kerja dalam sebulan. Kenapa ya?” Wajah Fatiha terserlah sekali sifat ingin tahunya.


“Tak, hari tu, sepupu saya ada cerita masa lapor diri dia dapat dekat SMK Seri Cahaya. Tapi ada seorang staff perempuan nama Airis, bersungguh-sungguh merayu dengan dia. Mintak untuk bertukar penempatan.”

“Ohhhh,… ceritanya…Kenapa ya..?” Fatiha bertanya lagi.

“Tak tahulah saya awak.. jumpa awak ni, saya teringat pula kat cerita sepupu saya tu.”


“Allahuakhbar!” bunyi hon daripada dataran yang berhadapan dengan bangunan pejabat itu mengejutkan lamunan Fatiha. Kelihatan Cikgu Isa melambai – lambai tangan dari dalam kereta. ‘Isyyhh, budak ni… memanglah!’ Fatiha ketawa sendiri dengan gelagat duda panas itu. kepalanya tergeleng-geleng. ‘Ni sorang lagi. Semoga awak temui jodoh yang lebih baik dan menjadi suami yang lebih baik.’ Hanya doa yang mampu dititipkan untuk Cikgu Isa yang sudah dianggap seperti adiknya.

CIKGU HASHIM naik berang mendengarkan permintaan Saleha yang sangat melampau itu. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia sekolahkan perempuan itu cukup – cukup. Namun disebabkan hormatkan suaminya Salleh dan juga demi menjaga maruah anak dan menantunya dia dan isterinya terpaksa berdiam diri. Mendengarkan sahaja permintaan tak masuk akal wanita separuh abad itu dengan perasaan marah yang terpaksa dipendamkan.

“Macam ni lah, Salleh.. Leha.. Aku bukan tak mahu tolong. Tapi tak elok anak kamu tu, tinggal lama-lama dekat rumah Eman tu. Apa kata anak menantu aku tu? Risau tu, memanglah risau. Tapi setahu aku, Eman cakap dia dah carikan rumah yang dekat dengan sekolah. Kawasan tu pun selamat. Kalau dia rasa tak selamat.. carilah penyewa lain.. rumah dia tu, suruh dia sewakan bilik. Ha, adalah teman dia.” Cikgu Hashim masih cuba bersabar. Hajjah Sufiah pula daripada tadi tak putus-putus beristighfar di dalam hati.


“Elok juga macam tu Leha. Lagi pun betullah tu.. Tak elok anak dara kita tu duduk rumah yang bukan muhrim.” Salleh akhirnya bersuara juga. Dia sudah tidak mampu menahan malu. Selama ini memang orang kampung selalu mengatanya seperti lembu di cucuk hidung. Tapi baginya itu bukanlah sesuatu yang perlu diambil pusing. Asalkan keluarganya bahagia, tidak meminta dengan orang, itu pun sudah cukup.

“Awak jangan nak pandai-pandai bagi pendapat. Awak orang lelaki apa tahu? Selamat ke tak anak awak kat sana. Ada awak kisah ke?” Salleh menggeleng – gelengkan kepalanya. Begitulah sikap isterinya apabila ditegur. Terus melenting.

“Dah la, Salleh.. Leha.. Kamu balik dulu. Nanti aku telefon Si Eman tu. Aku bagitahu dia apa yang kau bimbangkan. Kalau dia setuju, aku maklumkan kepada kamu nanti.” Cikgu Hashim sudah hilang kata.


“Jangan cakap saja Cikgu Hashim.. Saya nak tahu, Eman setuju .. itu sahaja. Cikgu dengan Hajjah buatlah macam manapun. Kalau tak, Saya takut Cikgu sekeluarga malu nak keluar rumah nanti.” Kata- kata terakhir Saleha sebelum berlalu jelas berbaur ugutan. Hajjah Sufiah mengarut dadanya yang terasa perit dan sakit.


“Macam mana ni Abang.. saya tak sampai hati nak cakap dekat Eman dan Ameena tu. Tapi saya risau, kalau Saleha tu betul – betul buat apa yang dia cakap.” Wajah Hajah Sufiah jelas kelihatan bimbang sambil matanya menghantar langkah pasangan suami isteri yang semakin menjauh itu.


“Awak malu ke Sufiah? Awak sanggup ke sebab nak jaga air muka awak, bahagia anak awak jadi tuduhan?” Cikgu Hashim seperti kecewa dengan pendrin isterinya tanpa dia tahu apa yang sedang bermain dalam hati seorang ibu itu.


“Sampai hati Abang tuduh saya macam tu..” Hajah Sufiah terus berlalu ke dalam rumah dengan perasaan yang sangat kesal. Kesal kerana dituduh sebegitu rupa. Pertama kali dalam umur rumah tangga mereka, suaminya berprasangka buruk dengannya. Cikgu Hasyim pula sudah terduduk di tangga sambil meraup wajah tuanya. Perasaan bersalah dan menyesal mula bergumpal di dalam hatinya. Sungguh dia marah dengan Saleha sehinggakan isterinya menjadi mangsa.

AMEENA memandang ke arah pantai daripada jendela bilik wad yang menempatkan suaminya. Hari ini Eman akan menjalani prosedur di bilik pembedahan. Prosedur untuk membuang batu karang yang tersekat di saluran antara buah pinggang dan pundi kencing. Sepatutnya bulan depan tarikh temujanjinya dengan hospital kerajaan, tetapi disebabkan sakit yang teramat sangat semalam, Ameena memujuk suaminya untuk ke hospital swasta. Kalau hendak ditunggu juga gilirannya di hospital kerajaan, meraung hari-harilah suaminya itu.


“Sayang tengok apa tu?” Teguran Eman membuatkan lamunan Ameena terhenti. Ameena menghampiri suaminya yang berjalan terbongkok – bongkok keluar daripada bilik air. Eman sudah siap mengenakan pakaian khas untuk ke bilik pembedahan. Hanya menunggu jururawat sahaja datang membawanya.


“Sakit lagi ke, Abang? Tadi nurse dah bagi suntikan kan…” Ameena memimpin suaminya ke katil. Wajah Eman berkerut-kerut menahan kesakitan.


“Rasa lagi sakitnya.. semakin kuat pulak ni, sayang.” Suara Eman sudah sedikit mengerang. Ameena tahu kalau suaminya sebenarnya sedang sakit yang teramat. Cuma di tahan supaya dia tidak risau.


“Amee panggil nurse la..” Tangan Ameena laju sahaja menekan butang pangilan. Sekejap sahaja sudah terpacul jururawat yang menjaga suaminya hari itu.


“Ya, ada apa yang boleh saya bantu?” Jururawat itu tersenyum manis ke arah mereka berdua.


“Maaf Nurse, suami saya ni, dia sakit lagi. Ada ubat yang lagi kuat ke, sementara nak masuk dewan bedah ni?” Ameena menjawab dengan penuh sopan dan hormat.


“Encik Eman, boleh saya tahu berapa skala kesakitan encik sekarang?” Kening Ameena terjungkit. ‘Perlu ke nak tanya macam tu? Tak nampak ke suami aku dah macam nak pengsan tahan sakit ni.

“Maaf Puan, saya kena tahu skala kesakitan suami puan untuk saya berikan ubat yang bersesuaian.” Jururawat yang Memakai tag nama ‘SUZANA’ itu sepertinya faham dengan maksud pandangan wajah Ameena. Ameena mengangguk tanda faham.


“Sepuluh..” Eman menjawab dalam erangan kasar. Sungguh sakitnya terlalu kuat. Urat pinggangnya terasa tegang. Tangannya sudah berpeluh-peluh. Kepalanya diletakkan di bahu isterinya. Sebelah tangannya mencengkam kuat pinggang kirinya, Sebelah tangan lagi menggenggam kuat tangan Ameena. Seketika terdengar esakan dalam erangannya. Airmata Eman sudah berjujuran. Sudah hilang rasa malunya dek kesakitan yang teramat sangat itu.


“Sabar Abang.. istighfar.. nanti nurse bawakan ubat.” Tangan Ameena tidak henti menggosak belakang suaminya. Dia sendiri sudah tidak tahu untuk berbuat apa.


“Baiklah, Encik. Boleh sebutkan nama penuh encik..” Ameena sekali lagi terasa ingin marah dengan soalan jururawat tersebut. Namun hanya ditahan. ‘Orang tengah sakit ni.. Cik Misi..’

“Eman Al Hadi bin Hasyim.” Eman menjawab dalam suaranya yang tersekat-sekat.


“Baiklah Encik Eman.. baring ya.. lepas tu mengiring. Saya bagi suntikan dekat punggung ya. Ini suntikan Pethidine, untuk hilangkan rasa sakit. Encik ada allergic dengan apa-apa ubat ke?” Eman sudah mengetap gigi menahan sakit. Kepalanya digelengkan untuk menjawab kepada soalan jururawat itu.


Eman memeluk kemas pinggang Ameena dalam kedudukannya yang mengiring itu. Tipulah kalau dia tidak takut dengan jarum suntikan. Namun disebabkan rasa sakit yang dialaminya itu, diluar kemampuannya untuk menolak. Dua orang jururawat itu hanya tersenyum melihat aksi romantis didepan mata mereka. Ameena pula sudah merona wajahnya menahan malu.


“Ok.. sudah ya Encik Eman. Dalam masa kurang dari setengah jam, insyaAllah rasa sakit Encik tu akan hilang. Sempatlah bertahan sehingga sampai ke bilik bedah.” Eman masih tetap memeluk pinggang isterinya. Ameena mengangguk dan mengucapkan terima kasih kepada dua orang jururawat tersebut.


“Sakit lagi ke Abang..” Ameena mengusap lembut rambut suaminya. Rasa kasihannya bertimpa-timpa datang melihatkan keadaan suaminya. Bagaimanalah Eman boleh tanggung seorang diri sakitnya dulu. Perasaan bersalah pula datang menjengah.


“Dah hilang.. tapi best pula dapat peluk sayang macam ni. Jom balik sayang. Dah tak sakit.” Eman mendongak memandang wajah isterinya sambil tersengih. Mata Ameena membulat memandang wajah suaminya. Namun Ameena terasa sedikit pelik dengan suaminya yang asyik tersengih. ‘Dah kenapa dengan dia ni.’


“Suka dengar Amee panggil saya Abang. Amee dah tak benci Abang kan.. Terima kasih Amee sebab terima Abang dalam hidup Amee.. Minggu depan lepas majlis sanding kita, kita pergi Honeymoon ya..” Eman kembali memeluk pinggang isterinya. Terangkat kening Ameena dengan kata-kata suaminya.


“Bersanding apanya Abang?” Ameena semakin pelik. Eman ni dah hilang ingatan ke apa?

“Maaf… Encik Eman dah sedia ke? Saya nak bawa Encik sekarang ya..” Kemunculan semula jururawat itu membuatkan hati Ameena sedikit lega.


“Maaf Nurse, kenapa dengan suami saya ni. Saya rasa dia cakap benda merepeklah.” Eman mendongak memandang wajah Ameena. Keningnya berkerut-kerut cuba menghadam kata-kata isterinya itu.


“Ooohhh.. kesan ubat tu.. Encik Eman boleh sebutkan nama penuh?” Eman berpaling ke arah suara yang menyebut namanya.


“Eman Al Hadi bin Hasyim. Ayah koi bekas guru besar. Mak koi pun bekas cikgu. Dia ustazah.” Eman tersenyum manis menjawab soalan jururawat tersebut. Manakala jururawat tersebut sudah hampir ketawa dengan jawapan pesakitnya itu.


“Baiklah.. Encik Eman tahu ke, kita nak pergi mana sekarang?” Jururawat tersebut masih menguji tahap kesedaran pesakitnya tersebut. Ameena juga sudah hampir menghamburkan tawanya. Panjang pula dia bercerita kali ini. Padahal Eman bukanlah spesies yang mudah mesra dengan orang perempuan.


“Mestilah koi tahu cik misi. Nak pergi dewan bedah kan? Nak buang batu dalam buang pinggang koi ni. Sakit betullah! Buang semua ya yang ada ni. Tapi buah pinggang koi jangan dibuang.. naya koi tak ada buah pinggang.” Eman ketawa dengan ulahannya sendiri. Jururawat yang menjaganya sudah tidak tahan turut ketawa.


“Abang… tak perlulah nak cerita semua. Nurse tu tanya pendek je pun..” Ameena yang masih bersisa ketawanya menepuk lembut bahu suaminya.


“Cik Misi nak tahu.. isteri koi ni, bekas anak murid koi dulu. Dulu dia ni garang. Dia lagi garang dari cikgu disiplin dia ni ha. Tapi dia comel sangat.” Eman mencium lembut tangan isterinya. Ameena pula sudah kemerahan wajahnya menahan malu. Melihatkan wajah terkejut jururawat itu, lagilah membuatkan tidak keruan. ‘teruk sangat tahap biul awak ni cikgu Eman.. kalau tahu jadi macam ni, saya biar je awak sakit tadi! Tak payah suntik ubat tahan sakit.’


“Nanti dah hilang sikit kesan ubat tu, dia okay la tu. Jangan risau ya puan.” Ameena mengangguk sambil tersenyum malu. Manakala Eman pula sudah terkulai lena di atas katil. Ameena menggelengkan kepalanya sambil ketawa perlahan.


"Maaf, puan. Kami perlu bawa Encik Eman ke bilik pembedahan sekarang,"Tiba-tiba muncul seorang lagi jururawat sambil tersenyum manis.


Ameena menoleh, memandang wajah suaminya yang masih lena. Wajah itu kelihatan tenang, tapi di dadanya sendiri, ombak sudah mula beralun. "Sekarang?" soalnya, hampir tidak percaya.

Jururawat itu mengangguk. "Ya,sudah sampai waktunya. Tapi puan jangan risau, semuanya dalam keadaan terkawal."

Ameena menggenggam hujung lengan baju kurungnya. "Tak apa ke? Tadi Suami saya nampak macam mamai je."


"Memang begitu kesan ubat narkotik, puan. Mungkin suami puan tidak biasa dengan ubatan narkotik tu. So, kesan pada dia lebih sikit. Tapi puan jangan risau sebab ini prosedur biasa sahaja. Doktor dah bersedia. Puan boleh tunggu di luar bilik pembedahan nanti."


Ameena mengangguk perlahan, walau hatinya belum sepenuhnya rela.


Dia melangkah di sisi katil bergerak itu, mengiringi Eman yang ditolak perlahan menyusuri koridor sunyi menuju ke dewan pembedahan di tingkat dua, sayap kanan hospital. Jiwanya bergolak, resah yang tidak tahu di mana hujungnya. Tangannya tak pernah lepas dari tangan Eman dan digenggam erat, seolah-olah itu sahaja caranya untuk terus berada bersama, walaupun sekejap lagi mereka akan dipisahkan dengan pintu kaca.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience