BAB 22 : BALAS DENDAM

Romance Series 52946

SEJAK dari pagi kartini sibuk di dapur. Semalam dia menerima panggilan telefon daripada sahabat baiknya, Hajah Sufiah yang menyatakan mereka akan datang ke Terengganu hari ini. Semenjak Mak wan berhenti kerja, Kartini tidak lagi menggajikan mana – mana pembantu rumah. Lagipun dia sudah sepenuh masa di rumah, tidak lagi membantu Tuan Zulkifli di firma mereka. Tangannya begitu lincah menyediakan pelbagai juadah untuk dijamukan kepada tetamu nanti.

“Belum siap lagi ke? Daripada pagi awak kat dapur ni.” Tuan Zulkifli menjengah isterinya di dapur kerana daripada selepas subuh, isterinya itu sudah tidak kelihatan di dalam bilik.

“Sikit lagi ni Abang. Abang nak minum ke? Abang dah sarapan ke?” Kartini menoleh ke arah suaminya yang berdiri tegap di muka pintu dapur. Tuan Zulkifli tersenyum nipis. Sudah lama dia tidak melihat isterinya sibuk – sibuk di dapur. Zaman muda mereka banyak dihabiskan di firma mereka. Semua tugasan rumah diserahkan bulat – bulat kepada orang gaji.

“Kenapa Abang pandang Tini macam tu?” Kartini pelik dengan perubahan suaminya. Sudah lama dia tidak nampak senyuman di wajah itu. Wajah yang sentiasa penuh dengan kerutan dan sentiasa serius.

“Abang seronok tengok awak ceria macam ni. Abang rasa bersalah sebab dah ragut minat awak semata-mata demi kepentingan abang. Demi membantu abang di firma kita. Masa – masa muda awak membazir begitu saja.” Jelas terpamer rasa bersalah pada wajah lelaki separuh abad itu.

“Apa abang cakap macam tu.. itu dah tugas saya sebagai isteri, sentiasa memberikan sokongan kepada suami. Abang tahu tak? Tini bahagia selagi Tini berada disisi Abang.” Kartini tersenyum lebar sambil tangannya menyudahkan kerja – kerja yang tergendala. Tuan Zulkifli turut tersenyum dengan pengakuan isterinya. Wanita yang sentiasa ada bersama dengannya di waktu sukar dan juga di waktu senangnya. Tiba – tiba hidupnya dirundung kesunyian. Tiba-tiba dia rindu dengan suara kanak-kanak. Ya, banyak peristiwa-peristiwa indah bersama-sama anak-anaknya sudah terlepas.

“SAYANG, marah lagi ke? Dah seminggu dah.. Sayang diam saja. Sunyi abang rasa hidup ni. Ada isteri tapi macam kena tinggal.” Suara Eman seakan berjauh hati. Sengaja dia cuba memancing perhatian isterinya. Namun Ameena masih tetap juga seperti tunggul kayu. Malas hendak melayan. Hatinya masih sakit dengan perlian Cikgu Lily minggu lepas. Biarpun Eman tak salah, tetapi kalau dia tidak melayan perempuan mulut puaka tu, pasti perempuan tu tak melebih-lebih.

“Sayang marah Abang sebab Cikgu Lily kan? Bukan salah abang pun, sayang.”

“Kalau awak tak melayan, dia tak adalah berani nak cakap macam tu..” Ameena masih dengan nada bersahajanya. Biarpun mukanya sudah kelat apabila mendengarkan nama perempuan itu. Kalau dulu selalu nak menempel dengan Isa, tetapi bagusnya Isa ni, dia tidak melayan. Sekarang Isa dah tak ada, sibuk pula menempel dengan Eman.

“Allah… abang bukan melayan la sayang.. dah dia tanya, abang jawab la. Abang taknak la buat orang sakit hati.” Eman mengelap peluh di dahinya dengan belakang tapak tangannya. Penghawa dingin dikuatkan sedikit. Terasa berbahang pula udara di dalam kereta.

“Dah kalau rasa tak salah, buat apa nak tanya”

“Dah sayang diam saja. Sepatah abang tanya, sepatah juga sayang jawab.”

“Sejak bila saya banyak cakap. Saya memang macam ni pun.” Ameena terus memejamkan matanya. Terasa lama pula perjalanan mereka hari ni. Padahal daripada Jalan Pusara ke Perumahan Elit Chendering hanyalah mengambil masa lima belas minit kebiasaannya. Mungkin sebab hari ini hari minggu, jadi jalan utama Kuala Terengganu menjadi agak sibuk. Eman pula sudah mati kutu. Sungguh dia tidak pandai untuk memujuk. Diteruskan pemanduannya dengan doanya supaya diberikan kesabaran yang kuat untuk menghadapi kerenah bidadarinya.


“HAI Cikgu Eman.. cari siapa? Daripada tadi duk terjenguk-jenguk ke sini. Tak nampak ke saya kat sini..” Cikgu Lily ketawa galak sambil tangannya membetulkan awning tudungnya. Eman hanya tersenyum, malas menjawab pertanyaan perempuan itu. Takut berlarutan jika dilayan. Dia berpusing semula kembali ke mejanya. ‘Lambat pula sayang habis kelas hari ni.’

“Awak cari orang rumah awak ke? Kawan tengok dari tadi tak senang duduk. Awak tak nak rehat ke? Kawan nak pergi makan sekejap ni. Awak nak ikut tak?” Cikgu Fahmi berbisik perlahan dan bangkit dari kerusinya setelah menyusun kertas-kertas yang berselerak di atas mejanya.

“Hmm.. dari pagi tadi koi tak nampak batang hidung dia. Memang pagi ni kelas dia bersambung – sambung, tapi sepatutnya dah habis. Sepatutnya sambung lepas rehat pula.” Eman meluahkan kebimbangannya sambil berpusing ke belakang. Seketika air mukanya berubah sedikit ceria melihat kelibat isterinya dan Cikgu Zaharah memasuki pintu bilik guru.

“Dah la.. meh la teman kawan makan. Selamat Cikgu Ameena tu. Tak ke mana pun. Takkan awak dah rindu.” Cikgu Fahmi menepuk bahu sahabatnya itu demi memberikan sedikit semangat. Baginya, Eman banyak berubah. Dulu macam singa, sekarang dah jadi macam kucing pula.

“Koi bukan apa, pagi tadi kami dua – dua bangun lambat, tak sempat sarapan lah! Tu yang koi tunggu nak ajak makan ni.” Cikgu Fahmi mengangguk faham namun dengan tercalit senyuman nakalnya.

“Awak jangan fikir bukan-bukan! Kami balik lambat semalam.” Eman membetulkan apa yang ada dalam kepala sahabatnya itu. Tahu sangat dia apa yang ada dalam kepala lelaki awal empat puluhan itu. Walaupun beza umur mereka mencecah sepuluh tahun, namun itu tidak menjarakkan pergaulan mereka. Eman turut bangkit menuju ke bahagian meja guru wanita.

“Cikgu Ameena, Kak Za.. baru habis kelas ke? Jom kita pergi makan nak? Cikgu Ameena belum sarapan kan?” Eman tersenyum manis ke arah isterinya. Cikgu Zaharah menjungkitkan keningnya. Lain pula kedengaran nada suara Cikgu Eman di telinganya. Cikgu Lily pula sudah menjeling tajam. ‘bukan main lembut kau pelawa dia makan, aku yang bujang ni kau tak nak pula pelawa! Si janda terdesak tu juga yang kau tertarik!’

“Tak payah buat-buat jual mahal la! Dalam hati tu bukan main suka kan… Pergi sajalah Cikgu Ameena!” Tajam sekali kata – kata Cikgu Lily. Lansung membuatkan Hati Ameena terbakar. Namun dia hanya tersenyum lembut sekaligus membuatkan hati lawannya turut terbakar.

“Tak mengapalah, Cikgu Eman.. Cikgu Fahmi! Saya dengan Kak Za baru saja lepas makan. Kan, Kak Za?” Ameena pantas mencuit peha Cikgu Zaharah dari bawah meja. Cikgu Zaharah pula mengangguk dan mengiyakan tanpa banyak soal. Padahal kedua-duanya masih belum makan.

“Kalau macam tu, kami pergi makan dulu la.” Cikgu Fahmi lantas menarik lengan Eman untuk mengelakkan sebarang kecurigaan.

“Eh, tunggu! Kalau macam tu saya nak ikut lah. Saya belum makan lagi.” Cikgu Lily berlari-lari anak dengan kasut tumit tingginya mendapatkan dua guru lelaki tersebut. Hati Ameena terasa bernanah apabila melihat Eman lansung tidak menolak. Dia hanya memerhatikan dengan ekor matanya dari jauh.

Manakala Cikgu Fahmi dan Cikgu Eman sudah saling berpandangan. Hanya berbicara Bahasa mata. Langkah mereka juga semakin laju.

“Allah, Bro! Koi ada kelas la! Koi lupa.. Koi pergi dulu la!” Cikgu Fahmi membeliakkan matanya. ‘Takkan kawan nak pergi makan dengan minah ni! Kerja gila la awak ni, Eman! Wajah Cikgu Lily juga sudah berubah melihat Cikgu Eman sudah berlalu pergi.

“Cikgu Lily pergi la dulu. Saya nak ke tandas. Tak selesa pula perut ni.” Cikgu Fahmi turut meninggalkan Cikgu Lily yang terkulat-kulat seorang diri, tidak tahu hendak ke mana. ‘korang ni memang sengaja kan! Tak mengapa.. aku tak akan putus asa. Tak dapat cara baik.. boleh guna cara kasar. Cikgu Lily tersenyum sendiri.

LAMUNAN Eman di kejutkan dengan bunyi hon dari kenderaan belakang. Sekaligus terbang segala peristiwa yang terjadi minggu lepas dari fikirannya. Peristiwa yang membuatkan isterinya berjauh hati dengannya. Dia membelok memasuki simpang kiri di lampu isyarat simpang empat tersebut. Ameena lega kerana sudah tidak jauh untuk sampai ke rumah keluarganya. Kadang-kadang dia terfikir kenapalah Eman beli rumah terlalu jauh dari sekolah. Padahal ada saja perumahan yang baru siap di sekitar kawasan sekolah tempat mereka mengajar.

“Siapa tetamu ibu tu ya? Bersungguh benar ibu suruh kita pulang.” Eman masih mencuba nasib. Masih cuba memancing perhatikan isterinya. Manakala Ameena hanya menjungkitkan bahunya. Eman menghembuskan nafas perlahan. Susah sebenarnya nak pujuk perempuan ni. Macam manalah lelaki boleh kahwin sampai empat. Aku yang seorang ni pun rasa macam nak gila. Kena belajar cara jadi mat Romeo pula kot.

Eman membukakan pintu kereta untuk isterinya tatkala keretanya telah selamat sampai di perkarangan villa mertuanya. Ameena seperti biasa dengan muka tiada perasaan melangkah keluar dari kenderaan tersebut tanpa sepatah ucapan terima kasih pun. Eman sedikit terkilan dengan kelakuan isterinya. ‘Ya.. lah! Memang koi ni macam pemandu awak.’

“Ha, Eman! Baru sampai ke?” Wajah Ameena berubah cuak tatkala terpandang wajah ayahnya yang muncul dari laman sebelah kiri rumah. Pandangan tajam ayahnya membuatkan dia serba salah. ‘Kau pun Ameena! Kawal la sikit.’ Ameena memaniskan wajahnya. Dengan bersahaja dia memaut erat lengan suaminya. Eman pula hampir tercekik air liur sendiri dengan tindakan isterinya.

“Ya, ayah.. kami baru sahaja sampai.” Agak gugup kedengaran suara Eman. Mana tidaknya, Ameena begitu rapat menempel pada sisi tubuhnya. Jantungnya berdegup begitu kencang. Inilah kali pertama dia berada begitu dekat dengan isterinya.

“Ibu ada kat dalam ke, ayah?” Ameena masih belum melepaskan lengan suaminya. Setelah mereka bersalaman dengan Tuan Zulkifli, dia kembali memaut lengan suaminya.

“Hmm.. ibu kamu ada kat dalam.. pergilah tolong apa yang patut. Eman, biar dia minum kat depan ni dengan ayah. Ada benda yang ayah nak bincangkan.” Kening Ameena berkerut seolah – olah sedang memikirkan sesuatu. ‘Dia ada bagi tahu apa – apa ke dekat ayah. Matilah aku, kalau ayah tahu.’ Ameena tidak berlama lagi di situ. Melihatkan wajah Tuan Zulkifli sahaja sudah membuatkan Ameena kecut perut.

“ Duduk Eman.” Pelawa Tuan Zulkifli dengan senyuman yang cukup ikhlas. Dia begitu senang dengan Eman. Baginya Eman jauh berbeza dengan Isa. Eman lebih matang dalam gerak gerinya dan pertuturannya.

“ Tetamu ibu dari mana, ayah?” Eman menarik kerusi dan melabuhkan duduknya di hadapan ayah mertuanya.

“Orang jauh katanya. Kita tunggu sajalah. Kejap lagi sampai lah tu.” Tuan Zulkifli menghirup perlahan air teh yang masih agak panas sambil merenung ke wajah menantunya.

“Macam mana , Ameena? Dia layan kamu dengan baik? Dia ada buat perangai?” Eman agak terperanjat dengan soalan dari ayah mertuanya itu. Kebiasaannya hanya emak yang selalu tanya benda – benda berkaitan rumah tangga. Eman tersenyum nipis.

“Ameena okay, ayah. Cuma biasalah, masih dalam fasa mengenali hati budi. InsyaAllah.. semuanya baik – baik sahaja.” Eman mengangkat cawan teh ke mulutnya setelah dipelawa. Tuan Zulkifli masih merenung ke wajah menantunya dengan kerutan seribu di keningnya. Seolah – olah sedang berfikir mengenai sesuatu.

“Kamu kenal rapat ke dengan Isa anak Datuk Ismail tu?” Eman mendongakkan kepalanya. Terasa lain macam nada suara ayah mertuanya. Cawan teh di tangannya di letakkan ke piring perlahan – lahan, namun masih ada bunyi lagaannya.

“Bekas suami Ameena.” Tuan Zulkifli menyambung lagi.

“Kami kawan rapat ayah. Ya, la kami kan mengajar satu sekolah.” Eman ketawa perlahan namun jelas kedengaran canggung. ‘Kenapa ayah tiba-tiba bertanyakan Isa. Isa masih buat masalah ke. Aku dah agak, Isa ni bukan seorang yang cepat mengalah.’

“ Macam tu ke? Ayah nampak dia datang majlis kamu hari tu. Ayah bukan apa, risau. Ayah nampak Isa hari tu, macam terkejut. Ayah harap dia dapat terima semua ni.” Eman mengangguk perlahan. Dia menghabiskan sisa minuman di dalam cawannya.


“Ha, dah sampai pun tetamu jauh kita.” Bukan main gembira Tuan Zulkifli apabila terpandangkan kereta Honda Accord berwarna hitam memasuki perkarangan rumahnya. Eman pula kelihatan terkejut bukan kepalang. Manakan tidak, tetamu kehormat mertuanya, adalah insan kesayangannya.

“Ya, Allah.. Kenapa tak cakap nak datang. Pandai betul mak dengan Abah ni sekarang buat kejutan.” Eman terus menerpa ke arah kedua orang tuanya. Dia memeluk erat keduanya. Ditahan air mata yang hampir gugur. Manakan tidak, biasanya setiap hujung minggu dia akan pulang. Tapi kali ini sudah hampir tiga minggu disebabkan di sibuk dengan urusan kerjanya. Juga dia tidak mahu Ameena terasa bosan dengannya yang asyik pulang ke kampung.

“Ish.. Awak ni! Kalau bagitahu tak boleh la nak tengok awak menangis.” Cikgu Hashim ketawa kuat di hujung kata – katanya. Dia tahu hati tisu anak sulungnya itu.

“Ye ke, Abah! Ke Abah yang nangis ni sebab Along tak balik.” Kali ini giliran Eman pula ketawa agak kuat. Lupa seketika di mana dia berada sekarang. Tuan Zulkifli tersenyum memandang keakraban dua beranak itu. Jauh di sudut hatinya, dia rindukan suasana begitu bersama dengan anak lelakinya. Namun segalanya sudah berlalu. Hati tuanya sering menangis sendiri. Menyesali kerana tidak mampu memberikan perhatian yang Sepatutnya kepada anak – anaknya.

“Eh, dah sampai orang jauh! Patutlah riuh saja dengar dari dalam.” Terjenggul muka Kartini di muka pintu Villanya. Diikuti dengan Ameena di belakangnya. Ameena agak terkesima dengan kehadiran ayah dan ibu mertuanya. Namun lebih membuatkan dia terkesima apabila melihat mata suaminya yang agak kemerahan. ‘Menangis ke? Takkan la kot! Baru 3 minggu tak jumpa, bukan setahun pun.’

“Baru saja sampai, Tini. Awak sihat ke? Besar betul rumah awak ni ya. Dah macam istana.” Kartini tertawa dengan kata – kata Hajah Sufiah.

“Cuba awak pusing sana. Tengok kata atas bukit tu. Ha, itu baru istana!” Hajah Sufiah berpaling ke kirinya. Ternganga mulutnya.

“Mak aihhh .. betul – betul ada istana dekat kat sini! Tadi tak perasan pula. Istana Sultan Mizan ke tu?” Matanya masih tak menoleh dari memandang istana di atas bukit itu. Dari jauh kelihatan seperti Istana di atas kayangan. Cantik!

“Ya, istana Sultan kami la tu… Jemput masuk dulu Sofi, Cikgu Hashim. Kita isi perut dulu.” Sopan Kartini menyantuni tetamunya. Dia memeluk erat sahabatnya itu. Walaupun baru sebulan berlalu, namun terasa bagai bertahun mereka tidak berjumpa.

“Wah, cantiknya rumah awak ni, Tini! Pandai awak pilih perabot.” Tak putus – putus Hajah Sufiah memuji sahabatnya itu. Kartini hanya menggeleng – gelengkan kepalanya sambil tersenyum. Dia sudah faham sangat dengan kawan baiknya itu, apa sahaja yang dia buat, pasti mendapat pujian melambung dari sahabatnya itu.

“Awak, kenapa tak bagi tahu mak nak datang?” Ameena pantas mendapatkan Eman yang berada di muka pintu yang sedang menjinjit beg pakaian di tangannya. Suaranya separuh berbisik. Eman menjungkitkan keningnya. Pelik dengan soalan Ameena.

“ Abang pun tak tahu, tapi apa masalahnya kalau mak dan abah nak datang sini. Sayang tak suka ke?” Ameena menjeling tajam tidak berpuas hati dengan jawapan suaminya. ‘Dia ni buat – buat lupa ke memang dah nyanyuk.’

“Kalau mak nak datang tengok rumah macam mana? Kalau mak nak tidur kat rumah kita macam mana.” Eman berdecit perlahan. Sungguh dia tidak terfikir dek kerana dia sangat teruja dengan kehadiran ibu bapanya.

“Abang tak rasa mak akan pergi rumah kita hari ni, malam ni mesti mak nak borak panjang dengan ibu. Tak apa bertenang.” Eman memaut tangan Ameena. Digenggam erat tangan yang lembut itu. Ameena pula tergamam dengan tindakan suaminya. Namun jauh di sudut hatinya, sentuhan itu begitu menenangkan.

“ Eman, Ameena.. berbisik apa daripada tadi tu. Ada berita gembira ke nak bagitahu mak dan Abah. Kami nak dapat cucu ke?” Merah padam wajah Ameena ditegur begitu oleh ibu mertuanya. Eman pula sudah menggelabah apabila semua mata memandang ke arah mereka berdua.

“InsyaAllah.. tapi sekarang belum ada rezeki mak..” Hanya itu sahaja jawapan yang terlintas dalam kepalanya. Yang dirasakan agak sopan dan beradab.

“ Saya ke dapur dulu, mak dan abah duduk dulu ya.” Ameena merasakan dia perlu melarikan diri sekejap sebelum isu menjadi lebih serius.

“Eman tolong Ameena kat dapur.” Kartini hanya mengangguk sambil melihat dengan ekor matanya gelagat anak dan menantunya. Sepertinya ada benda yang tidak kena. ‘okay ke mereka berdua tu.’

“Sayang.. nak abang tolong tak?” Hampir terlepas gelas di tangan Ameena, terkejut dengan Eman yang berada sangat dekat dengannya. Saat dia berpaling, wajah mereka hampir bersatu. Ameena kembali berpusing membelakangi suaminya. Dia terdiam tanpa kata. Tangannya sudah mula menggigil. Takut dan berdebar bersatu menjadi satu rasa. Hembusan nafas suaminya terasa hangat dan menyentuh sensitivitinya.
“Bila nak bagi mereka cucu.. Diorang dah tanya tu..” Eman seronok mengusik isterinya. Dia suka melihat wajah isterinya yang sudah merona kemerahan. Kalau dekat rumah, pastinya dia dah kena siku ataupun kena tendangan maut. Namun dia tahu, dekat sini Ameena pastinya tidak berani kerana takutkan Tuan Zulkifli. Dia nampak isterinya itu sedang mengawal nafas yang sepertinya tidak teratur. Eman tersenyum lagi.

“Awak ni dah kenapa.. jangan nak mengada boleh tak..” Ameena terpaksa juga berpusing dengan dulang yang sudah berisi dengan air oren. Namun lidahnya menjadi kelu saat matanya terpandang renungan daripada mata redup suaminya. Dia betul – betul terkepung antara lengan sasa suaminya. Eman merapatkan wajahnya dekat dengan wajah isterinya. Niatnya untuk mengusik tiba – tiba berubah apabila melihat bibir munggil isterinya. Keinginan kelelakiannya terpanggil saat itu. Ameena pula seolah – olah sudah terpukau.

“Hmmm.. buat air ke buat apa ni…” Teguran Kartini membuatkan anak dan menantunya tersedar daripada lamunan mereka.

“Eh, ibu.. dah.. dah siap dah ni! Kami baru nak keluar ni. Sayang, bagi abang bawa ke depan. Sayang bawa jag air tu.” Tergagap – gagap Eman menjawab dengan ibu mertuanya. Ameena pula mengangguk laju dan menurut arahan suaminya. Buat pertama kalinya dia mengikut arahan lelaki itu.

Kartini memandang ke arah anak dan menantunya yang sedang berlalu ke ruang tamu dengan penuh tanda tanya. ‘Tadi nampak sangat macam berlakon mesra, tapi ini macam bukan lakonan. Ini macam realiti. Syukurlah kalau mereka dah boleh terima antara satu sama lain.’ Wanita itu tersenyum sendiri.

KELAM kabut pasangan suami isteri itu membuang pelekat nama mereka pada kerusi, pinggan, cawan dan bermacam barang lagi yang dilabelkan. Semuanya atas kehendak Ameena yang tidak mahu berkongsi apa – apa pun dengan Eman tanda protesnya. Semuanya angkara mulut lancangnya dahulu dan ditambah pula isu Cikgu Lily. Eman yang tidak mahu pening kepala hanya menurut sahaja. Apalah sangat permintaan isterinya itu jika mahu dibandingkan dengan luka yang dia goreskan pada hati gadis itu.

“Sayang, bilik dah settle. Mana lagi yang sayang letak label?” Ameena termenung sejenak. Rasanya tiada yang tertinggal.

“Assalamualaikum!” kedengaran suara Hajah Sufiah dan Cikgu Hashim di luar rumah. Eman dan Ameena berpandangan sesama mereka dengan mata yang membulat.

“Kasut!!” Serentak mereka menjerit. Lintang pukang pula mereka turun ke tingkat bawah. Malangnya, Hajah Sufiah dan Cikgu Hashim sudah terjenggul di muka pintu rumah mereka. Ameena dan Eman masing – masing sudah tersenyum cuak. ‘Minta – mintalah , mak dan abah tak nampak. Habislah aku kena bahasakan dengan mereka kalau benda ni pecah.’ Eman hanya mampu berdoa di dalam hatinya.

“Mak, abah.. jemput masuk. Maaf kami kat atas tadi. Itu yang lambat sikit. Mana ibu dan ayah? Tak datang sekali ke? Semalam bukan cakap nak datang sama-sama.” Ameena terjenguk- jenguk ke luar rumah mencari kelibat ibu bapanya.

“Ibu dan Ayah awak pergi jumpa pelanggan katanya. Lepas habis bincang dengan pelanggan dia tu nanti mereka terus datang ke sini. Ibu awak bagi lokasi saja dekat mak. Itu yang boleh sampai ni. Tengok kereta Eman kat luar. Sahlah rumah awak kat sini. Itu yang kami masuk saja. Dah bagi salam tak ada orang pula tadi.” Ameena tersenyum memandang ke arah ibu dan bapa mertuanya.

“ Tak apalah.. Mereka memang macam tu. Tapi ibu sebenarnya dah lama tak terlibat dengan bisness ayah. Inilah baru dia turun padang semula. Mungkin nak teman ayah saja kot. Mak dan abah dah makan ke? Jemput makan dululah. Kami ada masak nasi lemak.” Ameena menjeling sekilas ke arah suaminya yang sedang sedaya upaya membuang pelekat nama pada kabinet kasut mereka di belakang pintu. Mahu ketawa pun ada.

“Kami?” Eman yang baru mencapai pelekat nama tersebut agak terperanjat apabila Hajah Sufiah berpaling ke arahnya sambil tersenyum bangga. Cepat – cepat direnyukkan pelekat nama tersebut dan di masukkan kedalam poket seluarnya.

“Anak abah kan! Mestilah gentleman macam abah dia. Bukan begitu, along?” Eman ketawa agak kuat dengan kenyataan abahnya.

“Yalah, mak. Mana tak tumpah kuah kalau tak ke nasi, kan?” Eman ketawa lagi. Hajah Sufiah pula sudah menjeling sambil tersenyum.

“Maknanya dah tak lama lah, mak nak timang cucu ni.” Hajah Sufiah memandang ke arah Ameena yang sudah tersipu. Suka dia melihat wajah menantunya itu. Lembut dan sejuk mata memandang.

“Alah, mak ni.. dah malu dah isteri along ni.” Eman memeluk bahu isterinya. Ameena agak canggung dengan tindakan Eman, namun dia hanya membiarkan. Ya lah, mahu ditepis, apa pula kata mertuanya. ‘Dia ni memang sengaja cari pasal lah! Siaplah mak dan abah tak ada nanti. Aku akan balas satu persatu. Kau saja nak uji kesabaran aku kan.’ Ameena tersenyum penuh makna.

“Mak dan abah dah makan tadi, tapi disebabkan anak dan menantu mak yang masak, mak nak makan lagi. Nak rasa air tangan kamu berdua.”

“Yalah, Abah pun nak merasa juga air tangan orang sedang bercinta ni..” Sekali lagi wajah menantunya itu merona kemerahan dek usikan bapa mertuanya. Mereka menapak ke arah meja makan. Daripada jauh sudah terhidu bau nasi lemak yang cukup menyelerakan. Ameena mula menghidangkan nasi lemak yang dimasaknya kepada mertuanya. Wajah Hajah Sufiah kelihatan sangat teruja. Ya, lah.. pertama kali mahu merasa air tangan menantu. Menantu sulung pula.

“Ya, Allah, sedapnya nasi lemak awak ni, Ameena! Kan , abahnya?” Haji Hashim Hashim mengangguk sambil menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya. Kelihatan berselera sungguh mereka berdua.

“Ameena, kalau nak jaga suami.. tak nak bagi suami cari lain.. senang saja. Bagi makan cukup-cukup. Bagi makan sedap – sedap macam ni. Nanti dia dah gemuk, dia cari lain pun.. tak ada orang hendak.” Haji Hashim mengusik lagi.

“Apa abah cakap macam tu. Along ni kan macam Abah.. gemuk pun.. ada juga orang mahu..” Ameena menjeling ke arah suaminya sambil tersenyum sinis. ‘siaplah kau malam ni Cikgu Eman. Seronok sangat ni kenakan aku. Malam ni.. Tahulah kau, langit tu tinggi ke rendah.
“ Mak dan Abah tidur sini ya, malam nanti.” Eman yang sedang meneguk air teh hampir tersembur dibuatnya. Ameena tersenyum penuh makna sambil memandang ke arah suaminya. Eman pula sudah pening. Matanya membuntang memandang ke arah Ameena. ‘Dah kenapa Amee ni? Dia tak takut rahsia terbongkar ke. Dah la bilik tetamu penuh dengan baju aku. Cari penyakit la Amee ni!’

“ALONG, kenapa bilik yang mak duduk tu, penuh dengan baju Along. Awak tidur asing ke? Awak tahu tak berdosa buat macam tu. Awak sebagai suami kena tunaikan nafkah batin pada isteri awak tahu?” Hajah Sufiah separuh berbisik dengan anak sulungnya. Tidak mahu di dengari oleh suami dan menantunya. Eman yang sedang menonton berita TV3 agak terkejut dengan kehadiran emaknya yang tiba – tiba melabuhkan duduk di sebelahnya.

“Bukan macam tu mak.. baju Amee banyak, sebab tu terpaksa letak separuh baju abang dekat bilik tu. Ya lah, cikgu kan memang macam tu. Pakai baju sama saja, macam tak semangat pula nak mengajar.” Ameena ketawa sopan di hujung kata-katanya sambil menatang dulang yang berisi air teh di tangannya. Dia sempat mendengar bisikan emak mertuanya saat dia menapak keluar daripada dapur. Eman yang teragak – agak untuk menjawab akhirnya menghembuskan nafas lega.

“Ameena buat air ke? Susah – susah saja. Mak boleh saja buat sendiri.” Hajah Sufiah berpaling ke arah menantunya. Terasa bersalah menyusahkan menantunya. Niatnya hanya mahu lihat suasana rumah mereka. Namun disebabkan menantunya sudah mempelawa untuk tidur di situ, tak sampai hati pula untuk dia menolak.

“Tak susahlah mak. Memang Amee selalu buat air teh untuk abang waktu – waktu macam ni. Kan abang?” Ameena duduk bersimpuh di tepi meja kopi untuk menuangkan air teh.

“ Eh, biar mak tuang , tak payah susah – susah. Mari duduk sini.” Hajah Sufiah beralih, memberikan laluan kepada menantunya. Ameena sudah tersenyum. Dalam kepalanya sudah merangka pelbagai agenda. Misi membalas dendam! Dia melabuhkan duduknya rapat pada tubuh suaminya. Eman pula sudah menggelabah. Tangan kiri Ameena sudah mendarat elok di atas peha kanan suaminya. Bertambah gemuruhlah jiwa lelakinya. ‘Uh.. baru kau tahu penangan janda berhias ni. Dah seminggu aku tahan je sakit hati aku ni.’ Ameena tersenyum penuh makna kepada suaminya yang sudah kelihatan cuak. Manakala eman pula sudah seperti cacing kepanasan.

“Mak panggil awak, Kak Long boleh?” Hajah Sufiah yang duduk bertentangan beralih pandang kepada menantunya. Dia tidak bodoh untuk melihat sandiwara di depannya. Hampir dia ketawa dengan reaksi anak sulungnya. Keringat di dahi anaknya sudah membuktikan yang dia dalam keadaan haru biru. ‘Bagus menantu mak.’

“Boleh mak. Amee tak ada masalah.” Ameena merapatkan lagi kedudukannya dengan Eman apabila terasa suaminya sedikit menjauh.

“Along.. Kak Long.. Mak tahu awak berdua dah lama kenal. Tapi dulu awak rakan sekerja. Sekarang awak dah jadi suami isteri. Jadi pergaulan awak berdua dah kena ubah. Bergaul seperti mana pasangan suami isteri. Awak berdua faham tak ni?”

“Faham mak.. InsyaAllah, mak jangan risau.” Eman cuba meredakan hatinya sendiri. Cuba mengalihkan tumpuannya dari rasa gemuruh yang hampir membuatkan pembulur darahnya pecah.

“Mak nak masuk tidur dulu. Awak berdua kerja esok kan? Tidur awal sikit lah. Jadi cikgu ni, kena nampak bermaya, baru anak – anak murid pun seronok nak belajar.” Hajah Sufiah bangun dari tempat duduknya dan menapak ke tingkat atas. Cikgu Hashim dah selamat ke alam mimpi. Letih katanya memandu jauh.

“Awak kenapa macam tak selesa ni? Demam ke?” Ameena meletakkan belakang tapak tangannya di dahi Eman, namun Eman sedikit mengelak. Hampir pecah ketawa Ameena melihat wajah Eman yang agak pucat. ‘Entah apa lah yang mamat ni takutkan sangat.’

“Saya nak naik.. mengantuk. Nanti tolong tutup tv ya.” Eman cepat bangun dan berlalu. Tidak betah dia berlama disitu. Kesabarannya akan goyah bila-bila masa. Sambil menaiki anak tangga, dahinya berkerut-kerut memikirkan perubahan mendadak isterinya. Ameena menyembunyikan tawanya. Televisyen dimatikan. ‘Belum habis lagi Abang sayang..’ Ameena ketawa perlahan.

Di dalam bilik, Eman mundar mandir. Memikirkan perkara yang bakal berlaku kalau Ameena berterusan bersikap seperti tadi. ‘Dia berlakon depan mak je kot. Gugur juga jantung aku dengan Ameena Azzahra ni. Ya, Allah kuatkanlah iman aku. Eh, Kejap! Ke memang dia dah bersedia?’ Eman tersenyum.

“Assalamualaikum..” Ameena muncul di muka pintu dengan rambut ikalnya yang separas pinggang dilepaskan mengurai. Baju tidur yang dipakainya sedikit terdedah di bahagian dada. Terbuntang mata Eman melihat permandangan indah di depan mata.

“Wa..alaikumuss… salam..” Eman meneguk air liur. Tekak terasa haus tiba-tiba. Jantungnya berdegup kencang saat isterinya melangkah penuh menggoda ke arahnya. Ameena menghampiri Eman. Rapat! Eman pula mengundur perlahan-lahan ke belakang sehingga dia terlanggar dan terduduk di atas kerusi di sudut bacaan.

“Amee.. kenapa dengan awak ni? Awak okay tak ni?”

“Sampai hati.. Abang dah tak nak panggil sayang ke dekat Amee..” kedua – dua belah tangan Ameena memegang sisi kerusi tersebut. Wajahnya didekatkan dengan wajah Eman. Sangat dekat sehingga bahang nafasnya dapat dirasai Eman. Eman menutup mata rapat. Sungguh dia takut dan tak terduga akan menghadapi Ameena versi itu. Baginya Ameena seorang yang introvert. Yang tak mungkin akan menjadi penggoda seperti itu.

Eman membuka matanya tatkala mendengarkan ketawa Ameena yang agak kuat. Saat itu Ameena sudah duduk di birai katil. Dia menghembuskan nafas lega. Keningnya sedikit terangkat memandang ke arah Ameena.

“ Lain kali, jangan cuba-cuba nak buli saya. Awak berani buat macam-macam dekat rumah saya, sebab awak tahu saya tak akan melawan kan? Ini baru sikit.. saya boleh balas lebih lagi.” Ameena ketawa lagi sambil menyimpul dan menyanggulkan semula rambutnya. Eman pula sudah tersengih. ‘Misi balas dendam rupanya. Suka berguarau ya, sayang ni.’

Ketawa Ameena masih bersisa. Ameena bangkit dari tempat duduknya. Berura-ura untuk ke bilik air untuk melakukan rutinnya sebelum tidur. Namun langkahnya terbatas apabila tiba- tiba Eman memaut pinggangnya dan menariknya kedalam pelukan. Eman dengan berani mencium telinga isterinya. Kedua- dua tangannya sudah kemas memeluk Ameena daripada belakang.

“ Lain kali jangan buat macam tu, iman abang dah goyang tau.. Sayang dah la seksi, menggoda. Lemah iman abang ni.” Eman melepaskan pelukannya. Ameena pula cepat – cepat menghilangkan diri ke dalam bilik air. Sungguh dia tak sangka Eman seberani itu. Geram dia mendengar ketawa suaminya daripada luar. Niatnya nak balas dendam.. alih-alih dia pula yang terkena.

Ameena merenung wajahnya yang merah di dalam cermin. Dia tersenyum sendiri. Niat nak kenakan lawan, tup – tup dia sendiri yang terkena. Ameena menekup wajah dengan kedua tapak tangannya. Masih terbayang – bayang ciuman hangat suaminya. ‘ Ya, Allah.. malunya!’. Dia menarik nafas dalam – dalam dan menghembuskan perlahan sebelum keluar daripada bilik air.

“Lama sangat kat dalam.. buat apa?” Hampir melompat Ameena. Manakan tidak, saat dia membuka pintu, suaminya tercegat berdiri di situ dengan muka gatalnya. Ameena hanya buat tak tahu. Dikawal sebaik mungkin air mukanya supaya tidak kelihatan ketara malunya. Eman ketawa kecil apabila soalannya dibiarkan berlalu tanpa jawapan.

“Hatiku yang resah.. Imanku yang goyah.. berilah hidayah.. bila hamba salah..” Eman mengulangi dua tiga kali nyanyian bait lirik lagu ‘Ya Saiyyidi’ dengan senyuman menggodanya. Ameena berdecit perlahan, geram dengan sindiran halus suaminya. ‘ada juga yang aku smack down malam ni kang..’ Ameena yang sudah berbaring di atas katil, lantas menarik selimut menutupi kepalanya. Eman pula makin kuat ketawa. Terhibur dengan sikap keanakan isterinya.

maaf kepada semua yang follow novel ni... OV betul - betul sibuk sekarang.. tetapi Alhamdulillah.. urusan untuk bawa balik anak kembar OV ke malaysia sudah selesai... doakan Ov selamat sampai ke malaysia.. Alhamdulilah juga dapat OV selesaikan chapter ni.. maaf semua..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience