AMEENA mendengar dengan teliti setiap hujah – hujah yang dilontarkan oleh Nuraina. Sesi penggulungan untuk Pertandingan Debat separuh akhir Peringkat Daerah itu begitu panas dan sengit. Sesekali dia tersenyum sendiri. Teringat kenangan bersama teman – teman seperjuangannya dulu. Raisya dan Fateha memang petah berbicara. Kalau bercakap pun tak pernah mengaku kalah. ‘Kat manalah awak semua sekarang. Hilang tanpa khabar.’Ameena tersenyum lagi.
Tanpa disedari ada mata yang sedang menikmati kemanisan senyumannya. Pandangannya tidak mampu dialihkan. Terus melekat dengan keindahan ciptaan tuhan itu. Namun dia redha, Ameena Azzahra bukan diciptakan untuk dirinya. Satu senyuman hambar terukir dibibirnya.
“Tahniah! Kamu semua memang terbaik. Tak salah Cikgu Fahmi pilih kamu semua. Kamu semua dah buat yang terbaik. Tarik nafas dalam – dalam dan lepas. Ingat, kalah atau menang.. itu adat pertandingan. Jangan ada yang kecewa sebab kamu semua dah berjaya mencabar kemampuan masing-masing.” Ameena cuba menyuntikkan semangat kepada pelajar – pelajarnya yang kelihatan agak gementar dengan pihak lawan mereka tadi. Walaupun sesi sudah selesai, jiwa mereka masih gemuruh.
“Betul tu.. tak apa, balik nanti cikgu belanja makan. Cakap saja nak makan apa.” Giliran Eman pula memujuk hati pelajar – pelajarnya yang sedang diamuk gusar. Sekurang – kurangnya, biarkan mereka sedikit gembira.
Ameena mengangkat kening ke arah Cikgu Eman, namun hanya dibalas dengan senyuman manis diiringi dengan pandangan mata yang redup. Segera Ameena mengalihkan pandangannya. Ada satu rasa yang tiba – tiba menerjah di jiwanya.
Kalau dulu Ameena mengesyaki Eman menjadi dalang keretakan rumah tangganya, namun sekarang dia betul – betul menyerah pada takdir. Tiada siapa yang perlu disalahkan melainkan sudah ketentuan dari Ilahi. Sudah tiada jodoh lagi antara dia dan Isa. Namun, tiada siapa yang tahu kisah mereka. Selagi boleh ditutup, biarlah ianya tersimpan rapi antara dia dan Isa. Cuma harapannya Isa juga boleh menerima takdir mereka.
“Hmm.. maaflah, cikgu tak boleh nak ikut serta sebab cikgu ada hal petang nanti. Kalau macam tu, Cikgu Eman tolong hantarlah mereka semua ni. Boleh?” Ameena menghalakan pandangannya ke arah Eman.
“Tak seronoklah Cikgu Ameena. Bolehlah, join sekali! Bukan selalu pun.” Hanafi tiba – tiba mencelah dengan wajah kecewanya.
“ Okay.. tapi tak boleh lama tau. Habis makan terus balik. Makan pun kena cepat – cepat.” Ameena tidak sampai hati untuk menghampakan pelajar – pelajarnya yang telah bertungkus lumus berlatih untuk pertandingan tersebut.
“Nanti cakap kat Isa. Tak naklah dia mengamuk pula nanti.” Eman separuh berbisik. Ameena mulai tidak enak. Dia memandang Eman dengan tanda tanya. Mungkin ada sesuatu yang telah berlaku antara mereka.
“Tak ada apa – apalah. Cepat sangat fikir yang bukan – bukanlah Cikgu Ameena ni. Suami kan, mesti nak tahu.” Ameena mengangguk perlahan. Sampai bilalah agaknya dia akan menjadi ‘isteri’ kepada Cikgu Isa.
Pengumuman yang telah dibuat oleh Tuan speaker dewan disahut sorakan gemuruh oleh pelajar – pelajarnya. Nuraina hampir menangis. Ameena tahu dan pernah mengalami perasaan teruja itu. Ya! Mereka layak ke Pusingan Akhir. Melawan antara sekolah yang hebat di daerah itu.
“Ameena Azzahra ke ni?” Ameena berpusing ke belakang mencari empunya suara yang menegurnya.
“Ya Allah, Cikgu Hasyimah! Rindunya dekat cikgu..” Ameena pantas menyalami bekas gurunya itu. Guru yang banyak memberi tunjuk ajar dalam acara yang sedang berlansung tersebut.
“Tadi saya jumpa Cikgu Eman. Saya tanya siapa guru pembimbing seorang lagi. Dia tunjuk dekat awak. Terkejut saya. Anak murid saya dah jadi cikgu. Mana kawan – kawan yang lain?”Cikgu Hasyimah memang kelihatan sungguh teruja. Mungkin semua guru akan mempunyai perasaan sebegitu apabila melihat murid – muridnya berjaya.
“Raisya dan Fateha ke, cikgu? Saya pun tak tahu. Terputus hubungan.” Ameena tersenyum hambar. Cikgu Hasyimah pula masih belum puas membelek wajah bekas anak muridnya itu. Sesekali dibuang pandang ke arah Cikgu Eman. ‘kalau masin mulut Kak Za suatu waktu dulu. Memang berjodoh betul mereka berdua ni. Sama cantik, sama padan.’
“Awak dah berpunya ke?” Soalan pendek Cikgu Hasyimah itu membuatkan Ameena menelan liur sendiri. Terpaksa menipu ke ni? Ameena tersenyum. Biarlah Cikgu Hasyimah membuat tanggapan sendiri. Sebetulnya, dia tidak mahu berbohong.
“Kak shima kenal kan dengan Cikgu Isa. Ini isteri dia la ni.” Eman yang mencuri dengar perbualan mereka tiba – tiba menyampuk.
“Cikgu Isa? Cikgu Isa Datuk Ismail?” Kening Cikgu Hasyimah sedikit berkerut. Manakan dia tidak kenal. Anak kepada sahabat suaminya, tapi mereka tidak sempat untuk menghadiri majlis perkahwinan anak sulung Datuk Ismail iaitu Cikgu Isa kerana suaminya, Datuk Azhar perlu menjalani pembedahan jantung di IJN.
Cikgu Hasyimah merenung lama ke arah bekas pelajarnya itu. Ada riak tidak selesa pada wajah gadis itu. Membuatkan dia membatalkan niatnya untuk bertanya lebih lanjut. Hujung minggu lepas, suaminya ada bercerita mengenai rumah tangga anak sulung Datuk Ismail itu. Namun melihatkan wajah yang terselit duka di hadapannya membuatkan dia mengunci rapat mulutnya. Seketika dia memandang ke arah Cikgu Eman. ‘Semoga kamu berdua berjodohan dan kekal bahagia.’
“TAHNIAH!” Ameena mengerling sekilas ke arah bekas suaminya yang baru sahaja duduk di hadapannya. Kenapalah manusia seorang ini sentiasa muncul di saat dia mahu bersenang lenang. Ameena memandang sebelahnya. Kelihatan beberapa orang guru lain turut berada di situ. Kalaulah tiada orang disitu, memang sudah lama dia angkat kaki. Bercakap dengan Isa seperti meludah ke daun keladi. Lansung tidak memberi kesan apa – apa pun.
“Macam mana? Dah ada pengganti? Ke masih tunggu saya..” Isa tersenyum manis. Namun terasa sangat pahit pada hati Ameena.
“Isa, kalau saya dah ada pengganti, awak betul – betul akan move on ke? Hmm?” Ameena sedikit berang. Namun masih dikawal nada suaranya. Dalam separuh berbisik dia cuba untuk berunding dengan kegilaan seorang duda gila talak itu.
“Well.. you cuba la.. kita tengok. I takut jangankan 2 minggu, 2 hari pun belum tentu kekal. Kalau dalam hati you tu, masih ada I.” Isa ketawa kecil dengan wajah cemberut bekas isterinya. Ameena menahan amarah dalam dirinya. ‘Sabar! Si Malaun seekor ni memang nak kena. Aku kena buat sesuatu. Tapi siapa nak tolong aku ni. Ameer dia dah kenal. Kusutlah!’
“Hai.. kat rumah berdua, kat sekolah pun berdua, tak bosan ke? Bagi peluang la bini kau ni jadi single sekali sekala.” Cikgu Eman yang tiba – tiba muncul membuatkan Ameena sedikit kelegaan. Satu senyuman terukir dibibirnya.
“Kan Cikgu Eman? Tengok, kawan you pun faham. You je yang susah nak faham!” Begitu dalam kata – kata Ameena membuatkan riak wajah Isa berubah mendadak.
“Opps.. aku salah masuk lain ke. Sorry bro!” Baru sahaja Eman mahu melangkah, Isa terlebih dahulu bangun dan meninggalkan meja makan tersebut. Ameena tersenyum lega. Dipandang wajah Eman. Terima kasih Cikgu Eman! Dapat juga bebas dari mawas seekor tu. Eman menjungkit keningnya. Ameena pula hanya mencebikkan bibirnya.
Eman memandang susuk tubuh Isa yang semakin menjauh. Entah kenapa dengan kawannya yang seorang itu. Sejak dua menjak ni, Isa sudah jarang masuk gelanggang. Kalau berjumpa dekat sekolah pun sudah jarang bertegur sapa. Hal yang sama juga diutarakan oleh Cikgu Fahmi.
“ Kenapa dengan anak Datuk tu?” Eman melabuhkan duduknya di hadapan Ameena. Ameena menjungkit bahu dengan riak bersahaja.
“Entah.. sakit kot..” sangat bersahaja jawapannya sehingga mengundang tanda tanya kepada Eman. Bergaduh ke kamu berdua ni. Tapi tadi elok je sembang. Memang macam tu ke kalau dah kahwin. Bergaduh pun tak macam bergaduh.
“Sakit apa?”
“ Biasanya lelaki ni dia sakit apa yang menyebabkan dia badmood?” Soalan dijawab dengan soalan. Eman tersenyum senget. Sakit apa ya? Lelaki sakit apa – apa pun mesti badmood. Tambah – tambah kalau cinta tak berbalas macam aku ni.. memang badmood la sepanjang hidup ceritanya. Dia memandang Ameena yang sedang menikmati makanannya dengan wajah yang sangat senang hati. Berbeza dengan ketika adanya Isa tadi. Pelik!
“ABANG.. saya dah tak boleh nak hadap dengan perangai bekas menantu abang tu. Ameena tu dah naik rimas dengan dia. Dekat sekolah pun katanya, dia buat hal juga.” Kartini meluahkan rasa tidak senangnya terhadap bekas menantunya. Tuan Zulkifli pula masih tetap dengan riak bersahajanya.
“Ameer ada telefon awak? Okay ke dia? Dah mula praktikal?” Kartini mencerlung ke arah suaminya yang khusyuk membaca berita di telefon pintarnya. Lain yang orang tanya. Lain yang dia jawab. Kartini membisu. Protes!
“Pujuk la Ameena tu.. terima semula lelaki pilihan hati dia tu! Dulu bukan main. Kata kita ni lansung tak mahu di dengar.” Tuan Zulkifli telah memulakan mukadimahnya.
“Ameena tak mahu. Puas saya ni pujuk, Abang. Abang bukan tak kenal anak perempuan abang seorang tu. Samalah macam perangai abang..” Kartini sedikit mengeluh.
“Kita kena buat sesuatu la abang. Tak boleh biar macam ni. Saya takut Kakchik tu depression nanti.” Tuan Zulkifli mengangguk. Siapa tak sayang anak. Lebih – lebih lagi itulah satu – satunya anak perempuan mereka.
“ Nantilah saya fikirkan.”
“ Saya bukan apa.. saya penat nak melayan kerenah bekas menantu abang tu. Ameena tu lagilah..” Kartini mengeluh lemah mengenangkan hidup anaknya itu. Porak peranda cuma kerana gambar – gambar yang tiada suara dan sebaris ayat fitnah yang maha dasyat. Sungguh dia geram dan marah namun di sudut lain, dia sangat kasihankan Isa yang saban hari datang memujuk anaknya.
“HONEY!”
Ameena hampir menjerit dengan sergahan yang tiba – tiba itu. Dijeling geram ke arah Isa yang tersenyum dengan wajah bersahaja. ‘ Dah macam masuk rumah hantu, mana – mana pergi mesti ada puaka ni. Sampai bilalah Ya Allah.’
“Awak nak apa? Jaga la sikit perangai tu, inikan waktu kerja. Sekolah pula tu. Ramai mata – mata memandang.” Ameena berjalan agak laju meninggalkan Isa selepas menghamburkan kata – kata pedasnya. Isa hanya tersenyum. ‘Be angry as much as you want until your anger is gone and come back to me, my dear.’
Ameena menghempaskan buku-buku pelajarnya di atas meja. Beberapa mata memandang ke arahnya. Pelik, kerana Ameena jarang atau boleh dikatakan tidak pernah marah. Namun sejak dua menjak ini, Ameena kerap mengeluh dan melenting walaupun atas sebab yang remeh.
“Kan saya dah cakap Cikgu Ameena, lama – lama boleh hilang juga kesabaran awak tu. Mengadap budak – budak yang tak berapa nak pandai macam tu la. Mula – mula okay lah. Lama – lama mulalah nak naik hantu.” Sinis sekali kedengaran suara Cikgu Lily yang kebetulan ada di situ. Ameena menundukkan wajahnya dan memejamkan mata seketika. Menarik nafas dalam – dalam sambil cuba menenangkan hati sendiri.
“Sabar macam mana pun, boleh hilang juga. Saya berani kerat jarilah kalau ada cikgu yang tak give up dengan pelajar-pelajar kelas belakang ni!” Cikgu Lily masih belum puas mencurah minyak di dalam bara api.
“Cikgu Lily, lebih baik saya mengajar budak yang cikgu cakap tak berapa pandai daripada saya mengajar orang yang tak beradab. Orang yang bercakap asal keluar dari mulut je tanpa tapis dulu guna otak. Agak-agak cikgulah kan yang mana satu lagi berguna. Budak yang baru nak belajar hidup ke, atau orang tua yang tak pernah belajar dalam hidup?” Merah padam muka kedua – dua guru muda itu. Lebih – lebih lagi Cikgu Lily kerana ditempelak sebegitu. ‘Sampah!’
“Cikgu Ameena! Cakap tu jaga sikit. Jangan ikut sedap mulut saja. Kan ada yang makan penampar!” Cikgu Lily seolah – olah sudah mula untuk masuk gelanggang gusti. Lengan baju kebarungnya disinsing agak tinggi menampakkan lengannya yang agak putih mulus.
“Kenapa? Terasa? Kenapa nak terasa? Terkena atas batang hidung? Maaflah tak ada pun nak tuju kat siapa-siapa. Tapi kalau terasa tu, eloklah!” Ameena bingkas bangun dan berjalan keluar melalui pintu bersebelahan meja guru lelaki. Malas melewati meja Cikgu Lily. Malas untuk bergaduh. Macam tak profesional pula.
“Kau dah kenapa? Kalau laki tak layan tu, jangan nak lepas kat orang!” Rupanya Cikgu Lily mengekorinya dari belakang. Belum puas menyakiti hati Ameena. Ameena hanya buat tak endah menyebabkan Cikgu Lily semakin naik angin. Dia menarik kasar lengan Ameena menyebabkan gadis itu hampir terjatuh.
“Woo! Sabar! Cikgu Lily, be profesional! Apa ni? Sekolah ni.. bukan gelanggang gusti ni!” Eman yang kebetulan baru sahaja melangkah masuk ke bilik guru agak terkejut dengan apa yang dilihatnya. Nasib baik Ameena sempat mengimbangi badannya, kalau tak pasti dah jatuh tersungkur ke lantai. Betullah! Cikgu – cikgu muda sekarang ni banyak yang bermoral. Boleh pula bergaduh dalam bilik guru.
Cikgu Lily agak malu apabila di tegur begitu, laju sahaja dia berpusing dan kembali ke mejanya. Bersiap – siap untuk ke kelas yang seterusnya. Dalam hati masih memaki hamun Ameena yang dianggap junior yang kurang ajar. Eman menggeleng – gelengkan kepalanya sambil menyoroti langkah Ameena yang sudah berlalu tanpa kata. Yang ini pun satu, kalau marah pasti ayat yang keluar berbisa seperti sengatan kala jengking. Eman tersenyum senget. Secara tidak sengaja, mindanya kembali mengimbau kenangan lama.
“AMEE, awak tak nak join ke? Jom lah!” Fareha kembar kepada Fateha memeluk kemas bahunya.
“Jomlah Amee.. lagipun lepas ni tak tahu la boleh luang masa sama – sama lagi ke tak.” Giliran Fateha pula memujuk dengan muka sedihnya. Ameena masih memuncungkan mulutnya sambil berfikir.
“Amee, tiga hari saja pun perkhemahan tu. Pujuklah ayah dan ibu awak tu. Nanti kita pujuk Cikgu Fahmi, bagi kita duduk satu khemah.” Amee berpaling ke arah Raisya dan mengangkat keningnya.
“ Cikgu Fahmi?”
“ Ya lah! Kenapa?” Raisya beetanya pelik.
“ Taknak! Mesti Cikgu puaka tu ada sekali.” Ameena seolah – olah nekad dengan keputusannya.
“ Siapa Cikgu Puaka?” Fareha memandang kembarnya meminta kepastian. Namun Fateha hanya menjungkit bahu.
“Siapa lagi? Cikgu Eman la! Eman Al Hadi. Saya tak sukalah nak mengadap muka dia! Nanti nak seronok – seronok jadi sakit hati pula.” Ameena menyandarkan belakangnya pada kerusi batu yang terletak di taman Ilmu itu.
“Cikgu Eman? Puaka? Dia baik la.. awak je yang salah faham.”
“Raisya, awak tak kenal lagi tau dia macam mana. Muka memang la elok, tapi perangai nauzubillah! Berlagak, sombong, acah baik, perasan bagus, suka fitnah orang.. eii.. macam – macamlah!” Ameena pelik dengan kawan – kawannya yang seolah – olah ketandusan idea untuk respon kepada kata – katanya itu. Biasanya mereka akan bangkang habis – habisan perkara yang mereka tidak setuju.
“Ehemm.. teruk sangat perangai Cikgu Eman tu ya?” Ameena terdiam apabila mendengar suara yang cukup dikenalinya. Dia seraya berpusing ke belakang. Kelihatan Cikgu Eman yang sedang tersenyum sinis dengan kemeja berwarna biru gelap. Lengannya bajunya disinsing kemas hingga ke bawah siku. Masing – masing sudah tersenyum cuak dengan teguran guru muda itu. Hanya Ameena beriak selamba.
“Baru tahu ke?” Ameena bangun dari duduknya berura – ura untuk pergi.
“Kalau kita tak suka seseorang itu, tak semestinya kita kena hasut orang lain sama. Kadang – kadang orang tu tak salah pun. Kita je yang lebih – lebih emosi tak bertempat!” Ameena mengangkat keningnya yang terbentuk cantik. Memandang ke arah Cikgu Eman. Mahu sahaja di cilikan mulut celupar itu. Ameena berlalu pergi meninggalkan kawan – kawannya yang masih terkulat – kulat melihat pergaduhan antara guru dan pelajar tersebut. Cikgu Eman pula menyimpan senyumnya di dalam hati. Seronok melihat muka mencuka pelajarnya yang seorang itu.
“BRO! Orang kalau senyum seorang – seorang ni, biasanya dah nak naik pelamin.” Terbang semua memori yang sedang terlayar diruang mindanya dek sergahan Cikgu Fahmi yang muncul entah dari mana. Eman memandang sekeliling.
“Bro! Ada nampak Isa?” Eman mencapai telefon pintarnya. Tujuannya untuk mengalihkan perhatian Cikgu Fahmi daripada bertanya perihal yang lebih sulit untuk dijawab.
“Ada tadi. Masa kawan nak masuk mengajar kelas 4 sastera. Terserempak kat depan pintu kelas. Tapi macam biasalah. Tak adanya dia nak menegur kawan ni. Kawan pun malas nak layan. Tak tahu kenapa dengan budak tu!” Cikgu Fahmi melonggarkan tali lehernya. Terasa rimas seharian lehernya terjerut.
“Itu bukan budak bro! Itu bapak budak. Yang budak tu, kawan ni ha!” Eman ketawa dengan jenakanya sendiri.
“Budak la tu.. kawan ni, kadang – kadang malas nak layan orang macam gitu. Dah macam budak perempuan. Tak macholah!”
“Bro, awak rasa kenapa? Pelik juga kawan ni. Tiba – tiba dia berubah. Ajak masuk gelanggang pun tak mahu dah. Kawan tahu dia beralasan saja tu. Ada benda dia tak nak cerita kat kita tu.” Eman memandang ke arah Cikgu Fahmi dengan kening yang berkerut.
“Biarlah dia tu bro.. ada la tu masalah dia. Orang ni bukan kita boleh paksa – paksa.”Cikgu Fahmi mengangguk setuju dengan kata – kata Eman. Jam di dinding bilik guru itu di kerling sekilas. Lagi sepuluh minit menginjak ke pukul dua petang. Suasana luar bilik guru mula hingar dengan suara – suara pelajar.
“Awak bila lagi? Kawan kalau awak yang naik pelamin semangat sikit nak pergi makan nasi minyak.” Eman ketawa gugup dengan soalan Cikgu Fahmi. Suka betul dia bertanyakan soalan cepu cemas begitu.
“Awak ada calon ke bro? Kawan tak ada calon. Kalau ada dah lama kawan usung naik pelamin.” Giliran Eman pula berseloroh.
“Tu ha. Umur dah lebih kurang kan? Sedap mata memandang.. okay dah tu.” Cikgu Fahmi menunjuk dengan isyarat mata ke arah Cikgu Lily yang baru melepasi mereka. Suaranya separuh berbisik. Eman turut sama memandang. Dia mencebik. Sambil menunjukkan isyarat ibu jari ke bawah.
“Tak cantik tak apa bro! Janji bermoral. Bila bercakap ada budi bahasa.” Eman ketawa agak kuat mengakhiri kata – katanya. Begitu juga Cikgu Fahmi. Faham dengan maksud kata – kata sahabatnya.
“Dulu, kawan ingat lagi, awak suka betul mengusik Si Ameena tu. Tak sangka dia sekarang bekerja sekali dengan kita. Kawan ingat awak minat dia. Sekali berjodoh dengan kawan kita. Terkejut kawan bila jumpa semula kat kantin hari tu. Dulu Ustaz Amri selalu cakap, berjodoh juga dua orang ni.” Cikgu Fahmi ketawa di hujung kata – katanya. Eman pula sudah berunsur cuak dalam senyumannya.
“Kawan tak pandai bro hal – hal mengorat ni. Kawan serah kat orang tua kawan saja. Baik untuk mereka, baiklah untuk kawan. Tapi itulah, tak ada lagi.” Eman sedikit serius dalam kata – katanya. Cikgu Fahmi tersenyum sambil menganggukkan kepalanya tanda faham. Tangannya bermain kumis nipis di bawah bibirnya. Seolah – olah memikirkan sesuatu.
Eman mengemaskan mejanya tanda dia mahu pulang. Lagi lama dia di situ lagi panjang pula topik yang akan keluar dari mulut sahabatnya itu. Tangannya yang lincah terhenti seketika tatkala melihat satu figura yang baru melintasi pintu bilik guru tersebut. Entah kenapa hatinya agak gundah melihat wajah itu. Saban hari dadanya semakin sesak. Harapannya, permohonan pertukaran sekolah akan mendapat jawapan yang positif. Semakin lama, jiwanya semakin tersiksa.
EMAN mengelap keretanya bagi mengeringkan sisa – sisa air. Usai sahaja solat asar tadi, dia terus turun ke laman rumah untuk mencuci keretanya. Boleh sahaja dia menghantar ke bengkel cuci kereta, tapi sengaja dia mahu memanjakan keretanya dengan tangannya sendiri. Selesai mengeringkan. Dia mencapai vacum lalu menyedut segala habuk di dalam perut keretanya pula. Dia puas dengan hasil tangannya sendiri.
“Along, mak dah tanya kawan mak tu. Anak dia yang doktor tu, masih belum berpunya. Mak dengan Abah dah setuju. Tapi ada masalah sikit..” Hajah Sufiah sedikit berjeda di hujung kata – katanya. Wajahnya jelas menggambarkan riak kerisauan. Risau Eman bakal menolak permintaan pihak perempuan.
“Apa masalahnya mak?”
“Anak kawan mak tu letak syarat.”
“Lah, pulak? Belum apa – apa dah letak syarat. Mak yakin ke anak kawan mak tu okay.” Eman sedikit curiga. Dia mengangkat mukanya memandang syurganya itu. Tangannya masih tetap setiap menggilap rim keretanya.
“Apa syaratnya mak?” Eman kembali bertanya tatkala melihat wajah kesayangannya agak mendung dengan soalannya.
“Dia tak nak majlis merisik dan bertunang. Dia anggap perbincangan kami hari tu sebagai tanda ikatan pertunangan Along dengan dia. Dia tak nak majlis bersanding lagi. Dia nak majlis akad nikah sahaja. Dan kalau boleh hanya dihadiri keluarga terdekat. Dia nak akad nikah dijalankan di masjid.” Eman menggaru dahinya. Pelik.
“Itu bukan syarat mak. Itu namanya rezeki. Rezeki kurangkan kos majlis. Siapalah calon isteri Along ni. Baik betul.” Eman ketawa kuat di hujung kata – katanya. Hajah sufiah menampar kuat bahu Eman. Bertuah punya anak!
“Ada satu lagi. Mak tak pasti kamu mampu ke tak. Ini yang buat Mak risau. Mas kahwin. Dia tak nak duit ataupun barang kemas..”
“Ha, bagus lah!”
“ Tapi dia nak bacaan surah Alkahfi dan surah Almulk tanpa melihat Alquran. Majlis pula dia nak lansungkan awal bulan depan!” Terlopong mulut Eman dengan syarat – syarat bakal isterinya. ‘Mak ai.. aku ni kahwin dengan doktor ke pendakwah bebas? Awal bulan depan? Lagi 3 minggu? Kerja gila betul!’
“Macam mana? Kamu setuju?” Hajah Sufiah kembali bertanya apabila melihat anaknya terdiam seribu bahasa. Eman terkebil – kebil seketika. Dia tertanya – tanya siapakah bakal isterinya. Tiba – tiba ada satu perasaan teruja untuk mengenali bakal surinya.
“Along setuju! Along sebagai anak jantan, Along sahut cabaran bakal isteri Along. Ustazah, mu tunggu aku datang!” Eman ketawa agak kuat dengan kata – katanya.
“Jangan main – main Along.” Hajah Sufiah turut ketawa dengan jenaka anak sulungnya. Tak pernah serius!
“ Kali ini Along betul – betul setuju. Mak tinggal maklumkan saja kepada kawan mak tu. Cakap Along setuju dan terima kasih juga sebab pilih Along.” Mendatar suaranya tapi penuh ketegasan. Hajah Sufiah tersenyum bahagia. Hajatnya untuk berbesan dengan sahabatnya itu akhirnya tercapai. Alhamdulillah!
ISA termenung di hadapan galerinya. Dia duduk di kerusi kayu yang diperbuat daripada kayu jati. Sengaja di letakkan di hadapan galerinya untuk menaikkan konsep bali kegemarannya. Dia membiarkan bayu petang itu menyapu lembut wajahnya. Menenangkan sedikit hatinya yang gusar. Gusar dengan berita yang di dengarnya petang semalam.
“Ibu nak Isa terima keputusan Ameena. Dia sudah memilih untuk melupakan kisah dia dengan Isa. Dia sudah buat keputusan untuk buka buku baru. Dia akan bertunang hari ini. Kalau Isa nak tunggu dan lihat sendiri Ibu tak halang sekejap lagi rombongan akan sampai.” Isa memandang bekas ibu mertuanya dengan pandangan tidak percaya.
Namun melihatkan pada hidangan yang tersedia di atas meja panjang di tengah ruang makan tersebut, memungkinkan kebenaran berita itu. Isa memandang ke tingkat atas villa itu. Mencari wajah yang dirinduinya. Ingin sahaja di peluk erat sehingga tidak ada yang bisa meleraikannya.
Dia tersenyum ke arah tetamu yang baru sampai. Kesibukan bekas mertuanya menyambut tetamu membuatkn hatinya menangis. Tidak ramai tetamu yang hadir. Tidak seramai ketika dia datang meminang dulu. Dia betul – betul terluka dengan semua ini.
“Yang ini abang kepada Ameena ke?” Seorang perempuan yang berwajah lembut berkaca mata ala – ala ibu mertua kasim selamat tersenyum kepadanya.
“ Yang ini anak angkat saya. Abang Ameena ada dekat Sabah, tak boleh nak balik sebab tiba – tiba macam ni. Adik dia pun baru saja balik ke kampus dia semula.” Kartini memberikan isyarat mata kepada Isa supaya mengiyakan kata – katanya. Isa hanya tersenyum dan mengangguk. Itu lebih baik daripada berbohong. Kenapa ibu tak berterus terang kepada keluarga bakal menantu barunya yang Ameena pernah berkahwin?
Lamunan Isa sekali lagi dikejutkan dengan kehadiran Ameena disitu. Gadis itu tampil dengan baju kurung berwarna hijau lembut dirias dengan batu – batu yang dibentuk cantik menjadi kuntuman bungaan. Ameena tersenyum manis. Namun cukup pahit di mata Isa. Pahitnya sehingga terasa ke dalam hati.
Isa tidak dapat memberikan perhatian penuh kepada setiap butir bicara perbincangan kedua-dua belah pihak. Sebaik sahaja sebentuk cincin belah rotan disarungkan ke jari manis Ameena, Isa melangkah keluar dari Villa itu dengan langkah yang lemah. Dia betul – betul nekad untuk melupakan aku!
Isa memejamkan matanya seketika. Menarik nafas sedalamnya. Cuba melupakan memori semalam. Cuba mencari sedikit semangat dan kekuatan. Perlukah aku hanya menyerah kepada takdir? Tapi bukankah itu yang aku janjikan kepada Ameena. Aku akan move on kalau dia ada pengganti. Ya Allah, kenapa aku di duga begini?
maaf.. lambat update. untuk yang membaca novel saya... tolong doakan kesihatan baby kembar saya. semoga Allah kurniakan keajaiban kepada mereka untuk sembuh dari segala penyakit yang dihadapinya sekarang. Amin..
Share this novel