HAJAH Sufiah merenung lama wajah kedua-dua orang anak saudaranya. Saling tak tumpah wajah ibu mereka, Haleeda. Sesekali dia mengeluh perlahan. Hatinya merasa tidak enak. Fikirannya membawa kepada anak sulungnya. Entah apalah masalah Along kali ini. Ya, Allah jauhilah segala perkara buruk daripada anakku Eman Alhadi.
“Sufi.. jauh sangat tu.. dah sampai mana..” Hajah Sufiah agak terkejut dengan sergahan lembut daripada suaminya. Dia memandang suaminya yang sudah melabuhkan punggung disebelahnya.
“Saya teringat dekat Along la, Abang.. hati saya ni tiba-tiba rasa tak sedap.” Wajah Hajah Sufiah kelihatan sayu. Haji Hashim pula ketawa perlahan.
“Ini nak ajak saya pergi jenguk anak dia dekat Terengganu la tu.. Telefon sajalah dulu, Sufi.. kalau ada benda yang penting.. baru kita pergi.” Haji Hashim mengangkat Darel ke pangkuannya. Darel sudah boleh tersenyum apabila diagah.
“Umur – umur begini dapat anak lagi kita ni.. sepatutnya dah boleh timang cucu. Merancang ke deme berdua tu?” Haji Hashim bersuara lagi tapi kali ini kedengaran agak serius. Kening Hajah Sufiah berkerut. Jarang suaminya ambil tahu hal rumahtangga anak sulungnya itu.
“Mereka berdua tu sibuk agaknya, Abang. Elok juga dapat anak. Tak lah sunyi sangat kita ni ha.. Abang dah jumpa ke Ustaz Anuar?” Hajah Sufiah berbisik perlahan kepada suaminya. Tidak mahu sampai ke pendengaran Haleeda.
“Dah.. ada benda ganggu katanya. Sihir. Tapi saya rasa tak payah bagitahulah dekat Haleeda. Biar semua reda dulu. Lagipun, saya tak rasa dia boleh terima dan percaya bulat-bulat. Haleeda tu pun Ustaz Anuar kata kena berubat. Mungkin dia pun dah terkena juga sipi-sipi. Ikhtiar kata orang..” Hajah Sufiah mengangguk beberapa kali. Pada waktu yang sama dia juga agak terkejut walaupun sudah dijangkakan daripada awal.
“Hari selasa ni, kita pergi KL. Bawa ustaz Anuar. Ataupun, kena minta Dato Saha tu, bawa Syahrul ke rumah Ustaz Anuar. Biar dia ubatkan Syahrul dekat pusat rawatan dia. Nantilah, saya bincang dulu dengan mereka. Cuma, saya harap awak jangan cakap apa-apa la dekat Haleeda tu.” Cikgu Hashim begitu risaukan adik bongsunya, lantaran itu dia tidak mahu apa-apa cerita yang berkaitan dengan Syahrul sampai ke telinga Haleeda.
“Ya.. dah dua kali awak cakap benda yang sama Cikgu Hashim..” Ujar Hajah Sufiah tidak berpuas hati. Cikgu Hashim pula hanya mengeluh berat. Kalau boleh dia mahukan Haleeda kembali bersama Syahrul. Dia tahu perkara itu mustahil bagi Haleeda. Entah apalah akan jadi andainya Syahrul sudah berjaya diubati. Dia merenung lagi wajah kedua-dua anak saudaranya yang masih kecil itu.
AMEENA berpusing mengadap suaminya yang sedang menumpukan perhatian penuh pada pemanduannya. Selebihnya Eman lebih berpura-pura tidak perasan akan pandangan tajam isterinya. Malam tadi pun dia cepat – cepat menarik selimut apabila mendengarkan pintu biliknya dikuak oleh seseorang. Siapa lagi kalau bukan Ameena. Setelah ketukan bertalu – talu tidak mendapat respon balas. Ameena memilih untuk menyelinap masuk ke dalam bilik suaminya. Namun hampa apabila melihat sekujur tubuh di atas katil yang sedang lena dibuai mimpi.
“Abang pergi mana petang semalam lepas balik kerja?” Ameena mulakan bual bicaranya. Dia masih belum berpuas hati dengan kejadian semalam.
“Pergi mana ya.. balik rumah kita lah.” Eman menayang wajah bersahajanya. Nampak jelas yang dia cuba melarikan diri daripada terjerat dengan soalan-soalan maut isterinya.
“Abang balik pukul berapa? Habis kelas pukul berapa? Ada kelas tambahan ke? Jalan sesak ke semalam? Jauh sangat ke jarak sekolah dengan rumah ni..?” Bertalu – talu soalan Ameena yang penuh berbaur sindiran.
“Wah,, macam kat bilik soal siasat polis. Abang ada kelas tambahan dengan student tingkatan lima. Habis kelas pukul 4 petang. Abang rehat kat bilik disiplin. Malam tadi ada game, sebab tu abang stay kat sekolah.. malas nak drive balik rumah. Lepas habis game Abang terus balik rumah. Tak ke mana-mana pun.” Eman tersenyum sendiri demi menjawab soalan-soalan dari bibir munggil yang kemerahan tanpa sebarang solekan itu. Sekaligus ingatannya membawa kepada kenangan silam.
“Awak pergi mana? Kenapa tak masuk kelas? Lepak? Awak ingat awak pandai sangat ke Ameena.. awak ni belum habis sekolah lagi. Jangan berlagak sangat! Jumpa saya kat bilik disiplin lepas habis sekolah!” Ekspresi wajah Ameena jelas tiada perasaan. Malas pun ada untuk melayan guru yang paling poyo di sekolahnya. Eman berlalu dengan senyuman bahagia kerana dapat mengusik buah hati pengarang jantungnya. Ada saja idea untuk menyakat Ameena.
Bunyi ketukan di pintu bilik menghentikan Eman daripada pembacaannya. Buku Sejarah penjajahan Tanah Melayu ditutup rapat. Wajah di muka pintu biliknya dipandang lama. Ameena memalingkan wajahnya ke arah lain. Dalam hatinya menyumpah seranah guru muda itu. Apa sahaja yang berkaitan dengan Cikgu Eman menjadi kebenciannya.
“Masuk! Dah kenapa macam patung chendana kat situ. Awak ingat awak model ke? Nak menayang muka kat situ pula.” Ameena menapak masuk dan berdiri di hadapan meja Cikgu Eman. Arahan Cikgu Eman diturutinya kerana masih ada sedikit rasa hormat pada gurunya itu. Lantaran dia perlu menghadiri latihan debat, dia terpaksa ponteng kelas tersebut. Namun pada perkiraannya semua guru yang terlibat sudah sedia maklum dan itu tidak akan menjadi masalah.
“Nah! Ambik buku ni.. buat latihan muka surat 23 sampai 27. Hantar dekat saya esok lepas habis sekolah. Letak dekat atas meja saya ni. Hantar sendiri! Awak bukan tuan puteri, nak suruh – suruh orang lain hantarkan..” Sindiran pedas itu membuatkan wajah Ameena membahang kemerahan. Namun dia malas untuk berbalas kata dengan guru muda itu. Buang masa! Ameena mengambil buku tersebut dan berlalu keluar tanpa pamitan. Eman tersenyum meleret. Bahagia dapat pandang wajah Ameena lama-lama. Dia tahu Ameena marah, tapi itulah yang menghiburkannya. Yang membuatkan hatinya berbunga-bunga.
“Dah kenapa senyum pula? Amee ni tak buat lawak pun! Yang Abang duk sengih-sengih, tersenyum-senyum dari tadi tu kenapa? Amee tanya ni, main game malam tadi dengan siapa.. kenapa tak jawab? Ke Abang bohong Amee ni..” Ameena menayang muka tidak puas hati. Eman pula baru tersedar dari lamunannya. Lansung dia tidak dengar soalan yang keluar dari mulut Ameena.
“ Dengan siapa lagi.. dengan Ustaz Arif, Bro Fahmi.. Eddie. Itu sajalah. Orang lain semua takut bini. Semua tak berani keluar malam. Main badminton saja pun. Bukan pergi main perempuan kan.. kaum isteri ni sepatutnya faham lah jiwa suami-suami ni. Kan?” Eman sengaja memancing kemarahan Ameena. Rindu.
“Abang kenapa cakap macam tu dekat Cikgu Lily. Abang tahu tak dia tu psiko. Nanti dia serang Amee macam mana. Lain kali jangan masuk campur. Amee boleh uruskan diri sendiri.” Ameena tidak mengendahkan lansung kata-kata suaminya. Dia tahu Eman sengaja ingin menjeratnya. Maaf.. anda tidak berjaya. Ameena tersenyum di dalam diam. Eman pula menelan air liur. Perkara yang cuba dielakkan tetap berjaya dibawa ke tengah oleh isterinya yang bijak pandai itu.
“Bukan Abang yang mulakan. Sayang dengarkan.. Bro Fahmi tu yang mulakan dulu. Abang ni geram dengan Cikgu Lily tu saja. Tak habis-habis nak provok orang. Dia tu tak serik kan? Isa dah warning dia hari tu pun, tapi mulut dia tetap longkang juga.” Mata Ameena terbuntang memandang ke arah suaminya. Sejak bila Cikgu Eman pandai cakap perkataan bombastik macam tu.
“Kenapa? Salah ke apa Abang cakap..” Eman memandang sekilas ke arah isterinya.
“Sejak bila pandai cakap macam tu? Amee tak ajar pun.. itu budak-budak zaman kami saja yang pandai cakap. Cikgu Eman yang skema tu tak pandai rasanya.” Ameena mencebik. Eman ketawa kecil.
“Sayang tak kenal Abang lagi ni.. Depan pelajar takkan lah Abang nak cakap macam tu. Tak elok la.. Abang kan Cikgu. Yang buruk-buruk kita simpan kat belakang.” Eman ketawa kuat. Sambil keretanya membelok ke kanan memasuki perkarangan Villa bapa mertuanya.
“Petang ni Ameer sampai.. Mesti Ibu tengah sibuk kat dapur. Apalah yang ibu masak hari ni..” Ameena tersenyum lebar dengan muka berseleranya. Selebihnya dia lebih teruja untuk berjumpa dengan teman sepermainannya. Akhirnya tamat juga pengajiannya. Ameer anak yang bagus. Semua yang dia buat untuk gembirakan hati Ayah.
“Ibu cakap hari tu Ameer balik dari Turki kan? Dia bercuti kat sana dulu. Entah apalah yang Ameer cari kat sana. Hurrem Sultan kot.” Eman tersenyum manis memandang ke arah isterinya yang sedang keliru.
“ Siapa tu?” Kening Ameena seakan bertaut dek kerutannya.
“Sayang tu bukan suka sejarah pun, kalau Abang sebut tajuk cerita tu pun, Sayang mesti tak tahu. Ni cerita tentang zaman kegemilangan Turki dulu – dulu.” Eman menarik beg pakaiannya keluar daripada kereta dan membiarkan Ameena termenung sendiri. Isterinya pastinya sedang berfikir tentang cerita yang diperkatakan tadi.
“Cantik ke?” Ada kelainan pada nada suara Ameena. Berbaur cemburu. Eman berpusing ke belakang memandang wajah Ameena dengan mata redupnya. Satu senyuman bahagia terukir dibibir itu. Cemburu!
“Siapa.. Sayang ke? Mestilah.. paling cantik!” Ameena buat muka tiada perasaan. Terus berjalan masuk ke dalam rumah mendahului suaminya. Eman tersenyum sendiri. ‘Kenapalah Sayang ni comel sangat!’
“ Eh, dah sampai pun! Ibu tak dengar pun bunyi kereta. Bila sampai.” Ameena yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam villa disapa lembut oleh ibunya. Berseri – seri wajah wanita itu menyambut kepulangan anak dan menantunya. Eman yang baru masuk turut menyalami ibu mertuanya.
“Baru sampai ni, Ibu. Ibu masak apa? Mesti istimewa ni.. anak bongsu dia nak balik.. kan..” Ameena ketawa kecil seraya membontoti Ibunya ke dapur.
“Ameer tak telefon Kakak ke?” Soal Kartini kehairanan. Hairan melihat Ameena yang sepertinya tidak tahu apa-apa pun.
“Tak.. Kenapa Ibu?” Ameena mengeluarkan telefon bimbitnya dan memeriksa sepintas lalu. Tiada notifikasi yang terpapar.
“ Ameer tak balik lagi hari ni. Minggu depan baru balik. Dia singgah di Brunei.” Kartini memandang wajah Ameena lama. ‘Kenapa Ameer tak cakap apa-apa dekat Ameena?’
“Brunei? Buat apa kat brunei? Dapat offer kerja kat sana ke? Kata nak kerja dekat syarikat Ayah.” Ameena makin keliru. Dalam masa yang sama dia agak terasa hati kerana Ameer sedikit pun tidak memaklumkan kepadanya.
“Dia pergi jumpa bakal mertua kat sana. Dia pergi kenal rumah dulu, lepas tu dua bulan lagi baru kita pergi merisik. Sambil jalan-jalan katanya.” Berubah terus muka Ameena. Patutlah dah lama Ameer tak hubungi dia. Sudah ada buah hati. ‘Dulu kau cakap kat aku, kau akan kongsi semuanya dengan aku. Kau dah lupa la dik.. kau dah jumpa teman baru yang boleh kau berkongsi semua cerita kau. Sebab tu kot kau dah tak cari aku.’ Ameena memalingkan wajahnya ke arah lain sambil menyeka air matanya yang hampir gugur.
“Kakchik, nanti bila aku dah besar, aku nak belajar tinju. Nanti senang la aku nak lawan siapa-siapa yang berani kacau kau.” Ameena memandang adiknya Ameer yang masih setahun jagung. Dahinya berkerut melihat patung ultraman baru di tangan adiknya.
“Ayah beli baru lagi ke? Aku tak ada pun..” Kata-kata Ameer tidak diendahkan. Patung Ultraman di tangan Ameer lebih menarik minatnya. Ameer termenung seketika melihat patung Ultraman di tangannya.
“Ambillah.. Ayah baru beli. Kita kongsi main. Kakchik main dulu. Nanti aku main.” Ameer menyuakan patung tersebut ke muka Ameena dengan senyuman ceria. Dia tak mahu Ameena sedih. Ameena bukan setakat kakaknya, tetapi Ameena juga teman baiknya. Baik di rumah ataupun di sekolah.
“Taknak lah.. Aku tak main benda tu. Aku lukis nak? Aku lukis kau dengan Ultraman ni. Nanti besar-besar bila kau tengok lukisan tu, mesti kau ingat aku.” Wajah Ameena masih sugul. Namun begitu, melihatkan Ameer yang bersungguh-sungguh cuba memujuknya, dia cuba untuk berlagak ceria.
“Aku mana boleh lupakan kau, kakchik.. Aku janji aku pergi mana-mana pun, aku takkan lupa kau. Kau kan kakak aku. Semua benda aku akan kongsi dengan kau.. bukan setakat ultraman ni saja.. semua benda la.. kau pun sama kan?” Bulat mata Ameer memandang kakaknya. Ameena mengangguk sambil tersenyum. Ameer sentiasa memujuknya. Ameer sentiasa layan rajuknya, layan gila-gilanya. Ameer betul-betul belajar tinju untuk pertahankan dia. Ameer sentiasa jadi pelindungnya.
Ameena menyeka perlahan airmatanya yang akhirnya tumpas juga mengalir perlahan di pipinya. Nasiblah dia sempat keluar dari dapur atas alasan mahu ke tandas. Hatinya sangat terasa. Telefon di tangan di pandang lagi. ‘Sampai hati kau dik.’ Ameena menaiki tangga ke biliknya. Lansung tidak memandang sekeliling.
Dari ruang tamu, Eman dapat melihat dengan jelas ekspresi wajah isterinya. ‘Dia menangis? Kenapa pula? Takkanlah, ibu marah dia kot.’ Eman tidak menunggu lama, kakinya dengan pantas turut sama melangkah naik ke tingkat atas, menuju ke bilik isterinya. Tombol pintu dipulas perlahan. Kelihatan Ameena duduk berteleku di hujung katil. Di tangannya terdapat satu album gambar. Eman menapak perlahan menghampiri isterinya. Dia duduk agak rapat dengan Ameena.
“Dia selalu ada dengan Amee. Ini gambar kami masa sekolah dekat SMK Seri Cahaya. Amee curi-curi bawa telefon ke sekolah, semata-mata sebab nak ambik gambar kat sekolah. Ameer banyak kali larang, tapi Amee nak juga bawa, sebab Amee takut Ameer lupa moment kita dekat sekolah bila kita dah besar. Ameer selalu cakap, dia takkan lupa. Semua benda tentang kami dia takkan lupa.
Dulu, kami selalu minta Mak Wan bekalkan makanan untuk kami. Ameer lah yang bawakan. Dia tak bagi Amee bawa, dia cakap, nanti Amee nampak macam makcik-makcik. Waktu rehat, kami makan sama-sama. Kadang-kadang kawan-kawan Amee pun join sekali makan makanan yang kami bawa tu dekat pondok Blok D tu. Itulah tempat kami lepak.” Ameena tersenyum hambar. Eman pula hanya menjadi pendengar. Dia cuba menyelami perasaan Ameena. Agak sukar kerana dia tidak seakrab itu dengan adik-adiknya. Ameena dan Ameer baginya bagaikan belangkas.
“Ameer dah berubah. Patutlah dah lama dia tak call Amee. Mesej Amee pun tak berbalas. Amee ingat dia sibuk dengan belajar sebab dah final year, tapi sebenarnya dia sibuk dengan teman baru. Dah lupa kat Amee. Dah hilang janji-janji dia dulu. Tak apalah.. dia dah besar. Tak perlu dah Amee untuk berkongsi cerita.” Ameena menutup semula album tersebut. Hilang rasa segannya. Air mata laju sahaja bercucuran di pipinya. Eman agak canggung dengan situasi itu. Tidak tahu apa puncanya. Bertambah terkejut tatkala kepala Ameena sudah mendarat di dadanya. Bagaikan mahu luruh jantungnya. ‘Aduh… nak buat apa ni?’ Eman sudah kejung. Seakan tanggang yang sudah berubah menjadi batu.
“Abang.. kawan baik Amee dah hilang.. Dia dah lupakan Amee. Amee tak nak jumpa dia lagi. Hati Amee ni sakit.” Ameena menangis terdesak-esak di dada Eman sambil memeluk album gambarnya. Eman pula masih berkira-kira untuk bertindak balas. Lidah kelu, segala otot dah keras. ‘Nak peluk ke macam mana ni. Kang mengamuk. Alahai sayang.. dah nak meletup jantung Abang ni.
“Hmm..” Eman berdehem perlahan. Melonggarkan segala kahak ditekaknya, supaya suaranya kedengaran lebih maskulin. Dia menarik nafas dalam, cuba mengawal degupan jantung dan ritma nadinya.
“Sayang…” Ameena mendongak memandang wajah suaminya. Eman terkedu. Lidahnya kelu lagi melihatkan wajah Ameena yang seperti kartun anime dengan mata berkaca. ‘Alahai sayang.. janganlah pandang Abang macam tu. Allah.. berat dugaanMu kali ini.’
“Sekarang, semuanya dah berubah. Amee kena berlapang dada. Kena realistik.. Abang tak tahu apa yang Amee lalui waktu zaman kanak-kanak Amee. Cuma apa yang Abang dapat cakap. Zaman kanak-kanak itu hanyalah fantasi minda. Kita cuba corak dan gambarkan sesuatu yang sangat indah. Jiwa kanak-kanak, tak sama dengan jiwa manusia dewasa. Kehendak kanak-kanak tak sama dengan kehendak orang dewasa. Sebab itulah kita boleh cipta macam-macam dunia yang kita mahu.” Eman menatap mata Ameena yang masih berkaca. Spontan, tangan Eman menyeka manik jernih yang hampir gugur dari kelopak mata isterinya. Tangannya juga tanpa diarahkankan oleh otaknya memeluk kemas pinggang Ameena, demi memberikan sedikit kekuatan kepada hati yang sedang sakit.
“Sayang ada abang.. Abang akan jadi pelindung sayang sampai akhir nyawa abang.. sekarang masanya sayang beralih arah. Serahkan seluruh jiwa sayang pada Abang. Seluruh kepercayaan pada Abang. Berkongsi semua kisah sayang dengan Abang. Abang suami sayang. Tanggungjawab Ameer sudah habis tatkala Abang kabulkan lafaz akad penikahan kita. Berilah Ameer ruang pula, untuk cari teman hidup dia. Sayang kan dah ada Abang.” Lembut dan tenang suara Eman di gegendang telinga Ameena. Hatinya tersentuh. Damai terasa jiwanya di saat dalam pelukan Eman. ‘Amee minta maaf Abang.. beri Amee sedikit lagi ruang. Amee takut bila Amee serahkan segala-galanya, Abang akan tinggalkan Amee macam apa yang Isa buat dulu.’
KELAS Lima Sains Tulen agak bising dengan suara-suara pelajar yang sedang mengadakan perbincangan sesama mereka sementara menunggu kedatangan guru Bahasa Melayu mereka. Seketika kemudian, kelas kembali sunyi apabila terdengaran derapan langkah kaki guru kacak dan segak menapak masuk ke dalam kelas mereka. Wajah guru itu bertambah kacak dengan senyuman yang terukir di bibirnya. Dihiasi pula dengan lesung pipit yang melekuk di pipi.
“Assalamualaikum Cikgu..” Serentak kedengaran suara pelajar memberikan salam. Salam dijawab bersama dengan anggukan.
“Cikgu..muka ada senyum. Misi dah berjaya, ke?” Aliff dengan beraninya menegur guru muda itu. Cikgu Eman tersenyum lagi sambil melirik ke luar kelas.
“Kopi Cikgu ada kat sebelah.. Ada kelas ERT hari ni. Dah nak habis kot.” Sofea pula menambah. Eman menjungkitkan keningnya. Seketika kemudian dia tertawa agak kuat. Lucu dan malu dengan reaksi anak-anak muridnya. Ramai pula yang menjadi mata-matanya sekarang.
“Okaylah.. Kita teruskan agenda kita hari ini. Aliff, agihkan kertas soalan ni. Hari ini kita jawab soalan-soalan yang pernah keluar dalam SPM sebelum-sebelum ni.” Aliff bingkas bangun dan menyambut huluran dari gurunya. Namun belum sempat kertas habis diagihkan, kelas tiba-tiba bising dengan suara-suara yang tidak jelas. Yang kedengaran hanya ‘kopi’.
“Cikgu! Kelas sebelah dah habis..” Wajah pelajarnya itu sangat teruja melihat beberapa pelajar kelas ERT yang sudah mulai keluar dari bengkel tersebut. Cikgu Eman menggelengkan kepalanya sambil ketawa. ‘Kamu semua ni seronok sungguh tengok cikgu bercinta ya..’
“Cikgu.. cakaplah sesuatu..” Sofea pula cuba masuk jarum. Eman melihat isterinya yang sedang berjalan meyusuri balkoni kelasnya. Ameena berpaling ke arah kelas tersebut kerana hairan terlalu bising seperti ketiadaan guru. Tiba-tiba dia terpandangkan suaminya yang sedang merenung ke arahnya. Ameena lantas memalingkan wajahnya dan berjalan agak laju.
“Cikgu Ameena!” Langkah Ameena terhenti di muka pintu kelas tersebut tatkala namanya diseru.
“Ya.. saya, Cikgu Eman.. kenapa tu?” Ameena menayangkan muka kelirunya.
“Baru habis kelas ya?” Ameena mengangguk perlahan dengan keningnya sedikit terangkat memberi isyarat kepada suaminya. ‘Abang jangan macam-macam..’
“Tak ada apa-apa.. jalan elok-elok.” Sehabis macho suara Cikgu Eman memberikan pesanan. Apalagi, kelas semakin hingar dengan sorakan pelajar-pelajarnya. Ameena segera berpaling dan meneruskan langkahnya dengan wajah yang sudah kemerahan. ‘Awak ni memang menempahlah, Cikgu Eman!’
“Cikgu.. hebatlah! Macho.. maskulin.. semua ada. Nak pengsan kami kat sini ni!” Maisara bertepuk tangan dengan percubaan memikat oleh gurunya. Semuanya sangat teruja.
“Okay.. saya dah sahut cabaran kamu semua. Sekarang kamu semua pula kena sahut cabaran Cikgu. Kalau kamu semua berjaya score A untuk semua mata pelajaran Cikgu.. Cikgu Janji.. tahun depan, Cikgu jemput kamu semua ke kenduri Cikgu.. yang pengantin perempuannya.. Cikgu Ameena..” Cikgu Eman ketawa lebih kuat kali ini. Suka dia melihat ekspresi pelajarnya yang rata-ratanya sangat teruja untuk melihat dia dan Cikgu Ameena mereka bersatu. Kali ini sorakan makin kuat bergema dalam kelas tersebut.
KERTAS jawapan pelajarnya ditikam berkali-kali dengan pen bermata halus. Berlubang – lubang kertas jawapan itu. Lansung dia tidak kisah dengan usaha pelajar – pelajarnya untuk menjawab soalan-soalan yang diberikan. Otaknya berserabut ketika itu. Memikirkan masalahnya yang datang bertimpa-timpa.
“Lily.. apa lagi yang kamu tunggu. Minggu depan balik! Kami nak kamu ada dekat rumah ni hari ahad depan. Bukan jauh sangat pun, Lily. Kamu naik flight tak sampai satu jam pun! Kamu ni memang sengaja nak tengok mama sakit kan! Mama ingat dah jadi cikgu ni, berubah la. Tapi semakin teruk! Macam manalah kamu nak mendidik anak bangsa kalau kamu sendiri pun tak bermoral..” Leteran mamanya dibiarkan berlalu seperti angin. Sepatah pun dia tidak menjawab. Wajahnya jelas menggambarkan kebosanan.
“Kamu ni dengar ke tidak? Jangan sampai Walid yang pergi heret kamu dekat sana. Kamu dah sama-sama hanyut dulu. Sekarang dia datang nak jernihkan balik keadaan. Apa salahnya kamu beri dia peluang. Susah sangat ke kamu nak dengar cakap kami ni?” Lily menelan air liur mendengarkan suara walidnya pula. Walid tak pernah tak buat apa yang dia cakap. Walid seorang bekas tentera. Ketegasan walidnya membuatkan dia memberontak sejak zaman sekolahnya. Mama pula tak pernah mendengar kehendak hatinya. Semuanya harus ikut kehendak walid.
“Lily kan kerja kat Terengganu. Hari ahad tu Lily kerja. Mana boleh sesuka hati nak balik KL. Kena mohon cuti awal. Kena cari orang untuk gantikan kelas Lily nanti.” Dia menjawab sambil lewa. Memang dia takut namun dalam masa yang sama dia tetap mahu protes dengan tindakan walidnya. Dia dah dewasa untuk buat keputusan sendiri.
“Kalau macam tu, baliklah hari jumaat. Malam tu walid suruh dia datang sini. Kita bincang elok-elok. Dah sampai kata sepakat kita teruskan langkah seterusnya.” Dia mengetap bibir mendengarkan arahan daripada walidnya. Geram dan marah bercampur baur.
‘Aku kena cari jalan supaya Cikgu Eman setuju untuk kahwin dengan aku. Apa beza aku dan si Ameena tu? Aku lebih cantik dan bergaya. Apa yang ada pada Ameena tapi tak ada pada aku! Aku akan buat kau jatuh kat tangan aku. Ini Lily Hasrita! Apa yang aku nak, pasti aku akan dapat!’ Angkuhnya hati seorang Lily Hasrita.
Kertas jawapan pelajarnya hanya diperiksa sambil lewa. Apa yang tidak menepati kehendaknya terus dipangkah tanpa kompromi. Walaupun hanya tertinggal satu perkataan pun, terus dipangkahnya. Baginya semuanya perlu ikut kehendaknya.
“Kenapalah kamu semua ni bodoh sangat! Benda senang macam ni pun tak boleh jawab! Bosan lah mengajar budak-budak yang lembab ni!” Cikgu Lily menghempaskan pen ditangannya di atas meja setelah kertas yang terakhir habis disemaknya. Esok pastinya suaranya akan bergema bagaikan halilintar di dalam kelas. Siapa yang tidak mencapai markah yang diinginkan, pastinya akan di denda.
AMEENA menjeling ke arah suaminya yang sedang menonton televisyen. Dia tahu Eman hanya buat-buat tidak sedar kehadirannya di situ. Dah banyak kali Eman buat onar dekat sekolah. Sengaja mengundang gosip-gosip liar dikalangan pelajar-pelajar mereka.
“Abang jangan buat-buat tak nampaklah.. jangan ingat Amee tak tahu!” Ameena merampas alat kawalan jauh dari tangan Eman yang sedang menukar – nukar siaran televisyen.
“Apa ni sayang… bagilah.. Abang nak tengok cerita ni. Malam ni ada Law of The Jungle tau. Tadi abang dah tengok. Lagi sepuluh minit.” Eman merampas semula alat kawalan jauh tersebut dari tangan Ameena. Wajahnya hanya bersahaja tanpa ada rasa bersalah lansung.
“Saya dah tengok hari jumaat hari tu. Malam ni ulangan saja! Abang tak tahu ke? Ke sengaja buat tak tahu? Macam apa yang Abang buat kat sekolah hari ni..” Ameena tersenyum sinis memandang ke arah suaminya yang sudah dibasahi peluh dingin di dahi.
“Oh.. ya ke.. biasa kita tengok selasa malam kan? kita tengok cerita lain sajalah.. ada Doctor Stranger la sayang..” Eman masih cuba mengalih topik.
“Abang ni dah jadi adik-adik ke? Sejak bila minat korea pula? Tak sesuai la Cikgu Eman.. Jangan nak ubah topik ya.. Apa yang abang dah cakap dekat student abang? Baik abang cakap..” Ameena seakan mengugut. Dia masih belum berpuas hati. Hari ini semua pelajar suaminya yang bertembung dengannya pasti tersenyum-senyum simpul. Pasti ada sesuatu yang Cikgu Eman dah cakap dekat kelas dia.
“ Apa sayang ni.. mana ada Abang cakap apa-apa.. Dah, tak nak cakap lagi pasal sekolah! Abang nak tengok tv. Nak rehat-rehat. Tak nak fikir pasal sekolah. Sayang pun.. jom teman Abang tengok Tv.. lagi bagus.. dapat pahala. Nak pahala lagi besar, teman Abang tidur malam ni.” Eman tersenyum nakal sambil matanya dihalakan ke arah televisyen. Ameena yang semakin geram dengan gelagat suaminya terus bangun dan mematikan televisyen.
“ Ameena Azzahra!”
“Ya Eman Al Hadi bin Hashim cucu kepada Haji Musa! Dah sedia nak cakap ke?” Eman menelan air liur. Nama penuh siap dengan nama atuk aku dia seru! Marah betul isteri aku ni..
“Dah lah.. Abang mengantuk.. esok nak bangun awal. Nanti tolong kejutkan Abang. Takut tak terbangun.” Eman bangkit dari tempat duduknya dan melangkah dengan laju ke arah tangga.
“Cikgu Eman… Jangan nak lari! Jawab dululah apa yang saya tanya.” Ameena mengejar suaminya dari belakang. Malam ini mahu atau tidak, Eman perlu bertanggungjawab atas apa yang dia dah buat. Ameena nekad. Eman tidak tunggu lama lagi, dia terus memanjat anak tangga dengan laju sambil ketawa agak kuat. Ameena yang sudah hampir dengan suaminya dengan pantas menarik kaki suaminya. Tindakan drastik yang agak kasar untuk seorang isteri. Namun malangnya Ameena tersilap menarik kain pelekat suaminya. Apalagi yang tinggal. Masing-masing sudah terkejut dengan insiden yang tak diingini itu. Terkulat – kulat Ameena memandang kain pelekat di tangannya.
Eman dengan pantas menarik semula kain pelekat dari tangan Ameena yang sudah terkaku. Wajah Eman sudah kepanasan menahan malu. Ameena pula sudah merona kemerahan.
“Sayang ni memang dah lama ke mengidam nak tengok. Nasib Abang pakai boxer..” Eman terus berlari meninggalkan Ameena yang sudah melopong mulutnya. Tuduhan berat dari suaminya memang tidak boleh diterima akal.
“Cikgu Eman! Kita belum selesai ya! Jangan nak suka hati sangat!” Suara Ameena dari tingkat bawah membuatkan ketawa Eman meletus kembali. Suka dia dapat mengenakan isterinya.
“SYAHRUL ada cakap pasal Haleeda. Saya rasa dia tak ingat yang dia dah ceraikan Haleeda. Dia cakap dia nak balik, dah sihat katanya. Nak kena balik tengok Haleeda. Isterinya tengah sarat katanya.” Cikgu Hashim memandang sepi air teh yang dihidangkan oleh isterinya Hajah Sufiah. Dia susah hati mengingatkan keadaan bekas adik iparnya. Kurus dan cengkung seperti mayat hidup.
“Habis tu Abang ada cakap ke dekat dia apa yang sudah berlaku? Tak bolehlah macam tu. Mereka berdua dah tak ada apa-apa.” Hajah Sufiah melabuhkan punggungnya di atas kerusi bertentangan dengan Cikgu Hashim. Mereka berdua duduk menghadap jalan di beranda. Tidak mahu perbincangan mereka di dengari oleh Haleeda.
“Ustaz Anuar cakap, biar dulu. Bimbang dia terkejut dan tertekan. Kena perlahan-lahan cerita dekat dia. Lagipun dia dalam proses penyembuhan lagi. Belum sembuh sepenuhnya. Jiwa dia tu tak kuat lagi.” Hajah Sufiah merenung wajah suaminya. Tiba-tiba dia terfikir kan sesuatu.
“Abang.. Haleeda tu, sebut nama Syahrul pun dia tak mahu. Nak pandang apatah lagi. Risau saya ni. Dengan anak-anak yang masih kecil tu. Saya takut dia lari.” Hati tuanya mengatakan Syahrul pastinya akan datang mencari Haleeda suatu hari nanti. Ya, dia tak salah. Haleeda pun tak salah, cuma hati Haleeda sedikit keras. Sudah lama dia menderita. Takkan semudah itu dia dapat terima semula Syahrul dalam hidupnya.
“Abang pun risau. Sufi pun kenal dia macam mana. Hanya Along yang boleh tegur dia. Yang boleh nasihatkan dia.” Cikgu Hashim menghela nafas panjang dalam keluhannya.
“Minggu depan dah cuti sekolah. Buah-buah dah ada yang masak kat kebun tu. Dah suruh Saleh kutip yang mana dah nampak masak. Nanti dah luruh, membazir pula. Along tak ada cakap nak balik ke?” Cikgu Hashim meneguk air teh yang sudah hampir suam.
“Tak ada pula, Along tu, sibuk dengan budak-budak nak SPM. Tapi Tini ada cakap nak datang makan buah. Cuma dia cakap nak tunggu anak bongsu dia balik dulu.”
“Ooo.. yang belajar dekat London ke kat mana ya? Dah habis belajar dah si bongsu tu ya?” Cikgu Hashim tersenyum nipis. Fikirannya teringat akan anak-anak terunanya. Minggu lepas, Yaser ada balik tetapi sekejap sangat. Tak sempat nak sembang-sembang pun. Rindu pada anak-anaknya kembali bertandang.
“Kalau dia tak balik, kitalah pergi sana.. melawat mereka.. tak salah kan Abang?” Cikgu Hashim mengangguk sambil tersenyum. Hajah Sufiah sudah faham sangat dengan suaminya itu. Kalau dia rindukan anak-anaknya, suaminya itu berganda-ganda lebih lagi dari dia. Kalau mahu dibandingkan dengan dia, anak-anak lebih rapat dengan Cikgu Hashim semenjak mereka kecil lagi.
AMEENA memandang ke arah meja suaminya. Dia tersenyum mengingatkan peristiwa pagi tadi. Eman yang dia kenal sekarang lansung tak sama dengan Cikgu Eman yang dia pernah kenal dulu. Kalau dulu nak tengok dia senyum pun susah, tapi sekarang setiap masa dapat tengok lesung pipit dia yang berlekuk dekat dua-dua belah pipinya. Hati yang tengah nak marah pun boleh cair.
“Sayang.. marah lagi ke? Bawa kereta hati-hati. Budak-budak tu tengah nak padankan kita.. itu saja. Biarlah mereka tu rasa bahagia sikit. Sayang juga cakap, kena selalu bahagiakan hati pelajar, barulah mereka semangat nak belajar.” Ameena mencebik. ‘Baru sekarang nak cakap.’
“Sayang.. semalam Abang ada tertinggal sesuatu kat dalam kereta Sayang.” Kening Ameena terangkat. ‘Sejak bila pula dia guna kereta aku?’
Eman membuka semula pintu kereta Ameena dan dengan selamba menjenguk ke dalam kereta. Wajahnya sangat rapat dengan Ameena sehingga hangat nafas Ameena terasa di pipinya. Seketika dia memusingkan wajahnya dan dengan pantas menghadiahkan satu ciuman di pipi isterinya. “I love you.”
Eman menutup kembali pintu kereta isterinya dan tersenyum lebar. Ameena pula sudah memegang pipinya yang kemerahan. ‘Malunya!’ Dia bergerak perlahan meninggalkan halaman rumahnya. Dia memandang cermin pandang belakang dan melihat dengan jelas senyuman yang terukir pada wajah suaminya. ‘Aduh, kacaknya awak.. Cikgu Eman!’ Hilang segala rasa marahnya yang semalam dek penangan Cikgu Eman.
“Cikgu Ameena.. Dah habis kelas ke?” Ameena mendongak tatkala mendengar suara serak-serak basah yang menegurnya. Siapa lagi kalau bukan suaminya. Ameena mengangguk perlahan dan tersenyum nipis. Tidak mahu berlebih – lebih di tempat kerja. Tambahan pula Cikgu Fahmi dan Ustaz Arif ada bersama.
“Cikgu Ameena, memang asal Terengganu ke?” Kening Ameena terangkat dengan soalan tiba-tiba yang meluncur dari mulut Ustaz Arif. Begitu juga dengan Cikgu Fahmi dan Eman.
“Ya.. saya. Kenapa ya Ustaz?” Ameena menjawab tenang.
“Tak ada apa-apa.. Cuma mak saya pernah cakap, nak bermenantukan orang Terengganu juga . Senang tak payah nak hantar rombongan meminang jauh-jauh.” Ustaz Arif tersenyum manis dengan kiasannya. Wajah Eman sudah berubah. Bengang ada, bimbang pun ada. Manakan tidak, ada orang cuba-cuba masuk line depan-depan tu. Cikgu Fahmi pula sudah tersenyum lebar melihatkan reaksi sahabatnya. Bukan dia tak tahu apa yang sedang berada di dalam fikiran teman baiknya itu.
“Oohh.. macam tu ke? Hmmm… baguslah, Ustaz! Saya pun sama ikut cakap mak juga. Mak saya nak cari menantu orang jauh. Sebab nak berjalan jauh katanya. Baru seronok.. katanya..Kalau boleh, orang Pahang. Orang pahang banyak kebun durian.. Katanyalah..” Ameena tersenyum nipis. Cikgu Fahmi pula sudah ketawa besar mendengarkan olahan Ameena. Memang sudah dapat dijangkanya jawapan yang akan keluar daripada mulut Ameena. Bekas pelajarnya itu memang tidak pernah mengecewakan.
“Untung orang Pahang…” Cikgu Eman sempat mengenyitkan matanya sebelum berlalu meninggalkan Ustaz Arif yang masih terpinga-pinga. Malu pun ada apabila lamaran ditolak mentah-mentah. Lembut dan halus jawapan dari Ameena. Namun berbekas sampai ke ulu hati. Sakitnya!
“SAYANG.. teman Abang tengok midnight movie , jom..” Ameena yang baru sahaja hendak melangkah ke tingkat atas menghentikan langkahnya. Dipandang wajah suaminya yang penuh mengharap. Hatinya berbelah bahagi. Kepalanya sudah terarah kepada kertas jawapan pelajar-pelajarnya yang belum disemak. Bukan satu kelas tapi tiga kelas semuanya.
“Amee bukan tak nak teman Abang.. tapi kerja Amee banyak lagi. Abang tak ada kerja ke?” Ameena meredupkan keningnya memohon pengertian dari suami.
“Ada.. tapi esok kan cuti.. Esok abang tolong sayang. Ya?” Eman masih mencuba. Dibentangkan hamparan tebal di ruang tamu dengan sebiji bantal. Kemudian dia melirik pandang ke arah isterinya yang masih berfikir.
“Ya lah.. Amee naik atas dulu. Nak ambil bantal dengan selimut.” Persetujuan Ameena mengundang senyuman di bibir Eman. Dia memerhatikan lenggok isterinya menaiki anak tangga. Baju pijama kain satin yang di pakai Ameena sedikit menampakkan bentuk tubuhnya membuatkan Eman menelan liur sendiri. Dia harap idea yang diutarakan oleh Cikgu Fahmi akan sedikit membantunya untuk merapatkan hubungannya dengan Ameena. Pernikahan mereka sudah hampir setahun, tetapi masih tidur berasingan. Kadang-kadang Eman merasakan dia seorang suami yang gagal.
“Bro koi tahu benda-benda macam ni tak elok koi nak bercerita, tapi memandangkan awak dah lama kahwin.. takkan awak tak boleh tolong koi. Koi ni tak pandai nak ngorat orang perempuan.. romantik jauh sekali.” Eman meneguk air minuman dengan rakus. Peluh merecik di wajah dan badannya selepas menghabiskan satu pusingan badminton.
“Kawan ni.. macam awak la juga. Tapi dah kita suka.. pilihan kita.. mesti perasaan tu lain kan.. Awak tak rasa apa-apa ke bila tengok isteri awak? Pelik awak ni!” Nafas Cikgu Fahmi masih tercungap-cungap. Dahinya berkerut – kerut memandang sahabatnya.
“Gila tak rasa apa-apa.” Eman ketawa agak kuat sekaligus menyembunyikan rasa malunya.
“Ni pakar rumahtangga la cakap.. kena banyak sentuhan – sentuhan tak lansung dengan pasangan untuk menaikkan perasaan sensual dari dalam. Awak pernah buat ke? Awak ajak la dia tengok midnight movie ke.. dekat rumah.. pasang cerita hantu. Hantu orang putih lah.. melayu tak takut sangat.” Eman menganggukkan kepalanya beberapa kali sambil tersenyum.
“Kenapa senyum – senyum ni Cikgu Eman… teringat dekat siapa?” Senyuman Eman mati dengan suara teguran isterinya. ‘Ni tak best ni.. Cikgu Eman pula dia panggil kita.’ Ameena mengangkat kedua-dua belah keningnya. Dia berdiri di sisi sofa dengan selimut dan bantal dalam pelukannya.
“Nak tidur dekat bawah ke?” Eman melirik pandang pada bantal dan selimut yang dipeluk isterinya.
“Ermmm.. malas la nak turun naik. Tidur bawah sajalah…” Ameena mempamerkan muka penatnya. Dia meletakkan bantal di atas sofa panjang dan melabuhkan duduknya di situ.
“Lahhhh.. kenapa duduk situ.. Sinilah.. Abang nak pasang wayang ni. Cerita best tau.. Orang cakap la.” Wajahnya seakan memujuk. Ameena kalah dengan senyuman pada bibir suaminya. Dia akur tanpa banyak soal. Ameena duduk di samping suaminya sambil matanya memandang ke arah kaca televisyen. Mencari tahu cerita apa yang bakal di tayangkan oleh suaminya. Selimut ditarik sehingga ke paras lutut. Hujan renyai – renyai di luar rumah menambahkan kesejukan malam itu.
“Cerita hantu?”
“Ya.. Sayang tak suka ke? Takut?” Eman memusingkan wajahnya ke arah Ameena yang duduknya sejauh satu depa. ‘Jauhnya awak duduk.’
“Taklah.. saja tanya. Tengok je la.. Amee temankan Abang.” Ameena tersenyum manis untuk menyedapkan hati suaminya. Hakikatnya, baru semalam dia menonton cerita tersebut di dalam telefon.
Mata Ameena semakin memberat apabila filem horror tersebut bermula. Namun digagahkan jua demi menjaga hati suaminya. Kepalanya sudah tersengguk – sengguk. Dia tidaklah sukakan sangat cerita seram. Sekali setahun bolehlah nak layan. Dia lebih sukakan kisah – kisah percintaan.. cerita dongeng.. drama korea. Cerita seram ni..dah jatuh tangga ke seratus.
Eman menjeling sekilas kepada isterinya. ‘Pelik! Macam tu saja reaksi dia? Aku ni dah macam nak tercabut jantung dengan jump scare dalam filem ni. Dia boleh tengok macam tak ada perasaan lansung. Dia ni manusia ke hantu? Eman sedikit mengengsot ke kiri mendekati isterinya yang sedang menongkat dagu pada lututnya. Cahaya samar – samar dari peti televisyen, membuatkan Eman tidak dapat melihat dengan jelas wajah isterinya. Hatinya mula berdebar-debar. Biasanya Ameena akan segera menjauh apabila dia mendekati.
Eman mendekati lagi sehingga jaraknya dengan Ameena cuma seinci, Namun isterinya masih juga pegun tidak bergerak. Eman menguatkan semangatnya. Dia medekatkan wajahnya dengan wajah Ameena. ‘Ya, Allah! Dia boleh tidur.. Sayang penat ke? Sayang bosan ni? Misi gagal la Bro Fahmi! Tak boleh pakai idea kau ni dekat isteri aku. Dia ni bukan spesies manusia biasa. Tak Tahulah aku spesies apa dia ni..’ Eman ketawa perlahan sambil menggelengkan kepalanya.
Ameena terpisat-pisat apabila sayup – sayup terdengar ketawa suaminya. Dia cuba meluaskan bukaan matanya. ‘Histeria ke dia ni? Ketawa tengok cerita hantu. Ini seram..! Namun lebih menyeramkan apabila Eman betul – betul rapat disebelahnya. Ameena sedikit menjauhkan wajahnya.
“Sayang penat sangat ke?” Eman tersenyum kacak. Walaupun dalam gelap, mata Ameena masih mampu menilik wajah suaminya. Seketika Ameena turut sama melirik senyum.
“Amee bosan sebenarnya. Tak suka sangat tengok cerita seram ni.”
“Amee tak suka ke takut..” Eman ketawa lagi. Ameena menjeling manja dengan usikan suaminya.
“Ya lah.. siapa tak takutkan dengan hantu yang tiba-tiba keluar tu! Tapi Amee memang lebih kepada tak suka. Propa lebih cerita hantu ni. Amee suka tengok cerita ‘loving couple’. Macam drama korea tu…” Eman menelan air liur melihat ekspresi wajah Ameena yang agak menggoda. Keterujaannya bercerita itu yang membuatkan hati Eman begitu tertarik.
“Tv Abang ni Smart Tv kan? Jom.. kita tengok cerita Amee pulak.. Amee tunjuk hero kesayangan Amee. Joo Sang Wook nama dia. Dia ada senyuman macam Abang tau.. Cuma tak ada lesung pipit. Mana boleh lawan Abang kan...” Ameena tersenyum lagi dan mencapai alat kawalan jauh dari tangan suaminya. Eman pula masih terkaku. Setiap kata-kata isterinya begitu memukau mata dan hatinya. Segalanya tentang perempuan itu sangat menarik! Paling menarik apabila Ameena lansung tidak bergerak untuk menjauh. Malah Eman merasa kedudukan Ameena sangat rapat sehingga dia dapat merasakan kehangatan badan isterinya. Sungguh dia sasau!
Eman cuba menumpukan sepenuh perhatiannya pada kaca televisyen dengan jantungnya semakin berdegup kencang. Dalam cahaya yang samar-samar, Eman masih dapat melihat senyuman dan wajah teruja Ameena. ‘patutlah perempuan suka sangat dengan cerita korea! Hero dia mak aihh jambu benor! Dahla jambu.. romantik.. manja pulak tu! Takkan aku nak jadi macam tu! Aihh.. Bro! Susah nya nak pikat perempuan ni ya..’
Khusyuk sekali tumpuan isterinya pada kaca televisyen. Sesekali Eman mencuri pandang kepada isterinya. Tiga jam sudah berlalu, namun tidak nampak lansung tanda-tanda isterinya itu kepenatan atau mengantuk. Jam di dinding sudah menginjak ke dua pagi. Mata Eman sudah lemah untuk berjaga. Dia melihat kaki Ameena yang melunjur, mungkin sudah kebas agaknya. Mata Eman tertancap pada satu adegan romantik di kaca Tv. Timbul dalam kepalanya untuk melakukan perkara yang sama. Namun jantungnya berdegup kencang. Bimbang juga kalau isterinya itu melenting. ‘Cuba sajalah! Janji aku usaha!’
Sambil menjeling ke arah Ameena yang masih lagi khusyuk, Eman perlahan – lahan merebahkan kepalanya di ribaan isterinya itu. Terasa hangat sekali. Wajahnya dihadapkan di kaca televisyen. Jantungnya bagaikan mahu pecah ketika itu apabila Ameena hanya diam seolah-olah merelakan. Ataupun mungkin Ameena sebenarnya tidak sedar pun. Tiba-tiba dia merasakan tangan halus dan mulus isterinya itu mengelus lembut rambutnya. Eman mendongak mencari wajah Ameena.
“Sayang nak tidur.. Bagi salam dulu sebelum masuk bilik nanti..” Ameena tersenyum manja seraya mengalihkan pehanya dan di gantikan dengan bantalnya. Eman pula sudah ternganga. Bingung. ‘Apa sebenarnya maksud Ameena, ya? Aku dah dapat ‘pass gate’ ke apa ni? Bro! Aku dah berjaya ke ni? Alhamdulillah...” Eman tersenyum bahagia. Sambil matanya mengekori langkah isterinya.. ‘Tunggu Abang, Sayang!'
maaf semua.. OV sangat sibuk dengan kerja hakiki.. Ov hargai sokongan dari semua.. terima kasih sabar menanti.. yang bab 20 mmg tak ada, OV pun baru perasan.. tersilap kira..
Share this novel
Aduhh lawak lah koi!