BAB 31 : BUKAN LELAKI SEMPURNA

Romance Series 52946

ALAM turut tersenyum melihat kembali bersatunya dua hati yang sedang berkelahi. Matahari  juga meredupkan pandangannya bagi meneduhkan sepasang insan yang saling merindui. Saling menyalurkan rasa cinta yang suram namun telah kembali bersinar. Dua pasang mata saling berbicara bahasa  jiwa. Menyatakan dengan yakin tiada siapa pun akan pergi meninggalkan dan tiada siapa pun akan ditinggalkan kecuali maut datang menjemput, maka bertemu kita di firdausNya.

 

                            Ameena membalas pelukan erat suaminya dengan  penuh rasa kasih dan sayang. Matanya terpejam dalam ulas bibirnya masih melekat dengan kucupan hangat Sang Suami, membayangkan dirinya terapung di awangan.

 

                            “Hmmm.. Hmmm..Hmmm..” Deheman sebanyak tiga kali itu akhirnya menyedarkan pasangan dua sejoli tersebut daripada alam fantasi mereka. Ameena yang seolah baru tersedar daripada mimpi terus kemerahan wajahnya menahan malu. ‘Macam mana boleh terjerat dengan cinta lokasi ni! Apa mimpi suami aku ni? Tiba – tiba terkam macam ni.. aduh malunya dekat Cikgu Fahmi!’. Ameena menjeling ke arah Cikgu Fahmi yang sedang membelakangi mereka berdua.

 

                            “Bro! awak buat apa kat sini?” Eman membetulkan tali lehernya yang kelihatan agak senget dan menghampiri sahabat baiknya yang tiba-tiba muncul.

 

                            “Kawan nampak awak tadi, tapi lama pulak kat hujung blok ni. Kawan tunggu dekat blok C tu, awak tak datang-datang. Itu yang kawan datang sini. Mana kawan tahu awak ada date. Awak pun.. macam tak ada tempat lain! Sekolah ni!” Mereka berbicara dalam posisi yang masih membelakangi Ameena. Ameena pula sudah resah, tidak tahu mahu bereaksi seperti apa dan bagaimana. Baju kurung dan tudungnya dibetulkan. Semuanya sudah berantakan dek serangan Eman Alhadi.

 

                            “Koi ada masalah sikit dekat rumah.. itu yang Koi cuba selesaikan dekat sini. Mungkin suasana dekat taman ni, lain sikit. Tenang sikit.” Cikgu Fahmi mengangguk faham dan tersenyum nipis.

 

                            “Bro, terima kasih.. cover line!” Eman tersengih-sengih seperti kerang busuk sambil menepuk-nepuk bahu sahabat baiknya itu. Cikgu Fahmi mengangguk lagi dan berlalu pergi tanda sedikit pun  menoleh ke belakang. Tidak sanggup dia melihat wajah Ameena yang pastinya sudah kemerahan menahan malu.

 

                            Eman mendekati semula isterinya. Tangan Ameena diraih dan dikucup lembut. Ameena terkedu dengan tindakan suaminya. Dalam kepalanya sarat dengan pelbagai persoalan. Perubahan drastik Eman petang itu membuatkan Ameena sedikit takut dan bimbang. Tiba-tiba fikirannya teringat kepada Isa. Dia nampak ke?

 

                            “Abang minta maaf, Sayang. Abang tak tahu kenapa emosi Abang kebelakangan ni sangat teruk, sampai Abang sendiri tak boleh nak kendalikan. Sayang mesti terasa dengan Abang, kan?” Kelopak mata Ameena sudah bergenang, apatah lagi mendengar pengakuan bersalah dari suaminya. Lagilah menambahkan lagi kesedihan yang sudah lama bertandang.

 

                            “Abang ada masalah ke?” Pendek soalan dari Ameena, namun panahan matanya membuatkan Eman tidak keruan. Dia tidak mampu untuk berterus terang kerana dia tahu, isterinya itu jenis yang bagaimana. Ameena sejenis yang akan setia selamanya. Yang mana Ameena pastinya tidak akan pernah meninggalkannya di saat susahnya. Apalagi membiarkan dia menanggung kesakitan seorang diri. Ameena seorang yang rela menderita demi melihat kebahagiaannya. Begitu juga dengan dirinya.

 

 

“Macam mana Encik Eman? Ada kurang tak sakit tu?” Doktor Luqman dengan ekspresi wajah yang agak serius memandang wajah pesakitnya dengan rasa serba salah.

 

                            “Okay.. better. Masih ada sakit sikit-sikit dekat ari-ari. Tadi Ultrasound ada nampak apa-apa ke doctor?” Kening Eman berkerut menahan sakit yang sekejap datang dan sekejap menghilang. Corak sakitnya sudah berunsur hilang.

 

                            “Apa yang saya nak cakap ni, adalah soal penyakit Encik Eman. Tapi, ini adalah jangkaan awal berdasarkan apa yang saya dapat tengok melalui ultrasound tadi. Saya harap encik bersabar. Encik kerja apa ya?” Pen silver di tangan Doktor Luqman berpusing-pusing dengan gerakan jarinya. Jantung Eman sudah berdegup kencang. Entah apalah berita yang akan dikhabarkan.

 

                            “Saya mengajar dekat SMK Seri Cahaya. Saya sakit apa, doctor?” Tenang wajah dan suara Eman tatkala itu, walaupun di dalam hatinya bagai badai melanda.

 

                            “Ini adalah early impression saya. Cikgu Eman mungkin menghidap kanser prostate. Sebab itulah cikgu kerap merasa sakit di bahagian ari-ari, belakang pinggang dan kadang kala kencing yang tidak lawas. Tapi semua ini memerlukan ujian lanjut iaitu kena buat imbasan CT dan kena buat pemeriksaan darah untuk cancer. Kalau cikgu setuju, hari ini saya akan ambil darah untuk CA 125, CA 19-9 dan CEA dulu. Kita hantar ke Private Lab. Dalam masa tiga hari, Cikgu Eman datang lagi untuk review result darah. Lepas tu baru kita buat Imbasan Ct. Itupun kalau keputusan darah menunjukkan positive cancer.” Melopong mulut Eman mendengar penerangan daripada Doktor Luqman. Bagaikan dihempap batu yang berat di atas kepala. Kanser?

 

                            “Kanser saya ni tahap berapa dah, Doktor Luqman? Saya boleh sembuh ke?”

 

                            “Cikgu Eman.. ini baru jangkaan awal.. nampak masih kecil. Tapi nak tahu tahap berapa kena tunggu keputusan darah dan kena buat imbasan CT dulu. Semua penyakit boleh sembuh atas izinNya. Tapi biasanya penghidap kanser prostat akan prone untuk menjadi mandul. Cikgu dah kahwin?” Wajah Eman terus berubah apabila mendengar maklumat yang diberikan oleh Doktor Luqman. Mandul? Jadi aku takkan boleh ada anak? Allah… beratnya ujianMU..  Apa akan jadi pada Ameena? Dia berhak bahagia. Eman mengangguk perlahan menjawab soalan daripada Doktor Luqman.

 

                            “Saya tahu benda ni berat untuk kita sebagai orang lelaki. Benda ni boleh buat kita rasa sangat kurang daripada orang lain. Tapi Cikgu Eman kena percaya pada qada’ dan qadar daripada Allah. Ujian itu Allah turunkan untuk hamba yang dia sayang. Saya faham kalau cikgu nak rahsiakan daripada isteri cikgu buat masa ini. Sebab keputusan akhir pun kita belum dapat. Buat masa ni.. Cikgu Eman, makan ubat yang akan saya bagi nanti. Jangan skip walaupun sehari untuk elakkan cikgu mengalami lagi sakit yang severe.” Eman mengangguk lagi, namun kali ini lebih lemah. Apa akan jadi pada rumah tangga aku. Amee.. maafkan Abang, Sayang..

 

 

“Abang… kalau Abang tak sedia nak kongsi tak apa, Amee faham. Tapi satu saja Amee minta. Jangan pinggirkan Amee lagi. Amee akan tetap di sisi Abang biar apapun yang terjadi.” Eman tersenyum dan mengangguk. Kali ini senyumannya betul-betul ikhlas kerana lesung pipit yang ada pada pipinya melekuk agak dalam. Pandangan Ameena seakan terpukau dengan kejadian indah itu.

 

                            “Sayang ada kelas kan pukul 12 nanti. Lagi setengah jam. Jom teman Abang makan. Abang rindu nak makan dengan Sayang.” Ameena mengangguk patuh dengan senyuman manisnya. Dia bersyukur suaminya sudah ‘kembali’.

 

 

 

 

PESANAN yang masuk dalam aplikasi Whatsappnya dibiarkan tidak berjawab. Semuanya daripada Doktor Luqman. Risau betul doktor muda itu. Tidak dinafikan yang dia seorang yang sangat bertanggungjawab. Eman sepatutnya berjumpa dengan Doktor Luqman untuk berbincang tentang keputusan darahnya. Sudah dua minggu berlalu dari tarikh yang dijanjikan, namun lelaki itu masih belum bersedia untuk mendengarkan semua kenyataan yang bakal dilaluinya. Penyakitnya.. masa depannya dan Rumahtangganya. Semuanya menyakitkan. Bagaikan tidak percaya semua itu datang secara tiba-tiba.  Apakah dia seorang yang mementingkan diri jika dia mahu terus bersama isterinya. Apa pula nasib Ameena yang masih muda. Yang tiada sebarang kelemahan pun. Ameena layak untuk punya zuriat sendiri. Penceraian itu juga dibolehkan dalam islam jika mempunyai alasan yang kukuh. Astaghfirullah! Allah.. tuntunlah hati aku ini.

 

                            “ Bro.. awak okay ke? Kawan tengok awak sekarang dah semakin susut. Ke awak diet?” Eman ketawa kecil dengan pertanyaan sahabatnya, Cikgu Fahmi.

 

                            “Awak dah habis kelas ke? Koi sihat, macam biasa. Koi ‘cut Sugar’ kot. Itu yang nampak kurus sikit. Takut boroi, Bro..” Ketawa Eman di hujung kata-katanya membuatkan Cikgu Fahmi sedikit lega.

 

                            “Kawan nak pergi makan ni. Awak nak ikut ke?” Eman menarik nafas agak dalam. Sejak kebelakangan ini selera makan dia semakin berkurangan. Sebut sahaja makan, Tekaknya mula merasa mual. Pandangannya di halakan pada buku panduan mengajarnya, tidak mahu bertemu pandang dengan Cikgu Fahmi.

 

                            “Koi kenyang lagi. Awak pergi la dulu.” Cikgu Fahmi hanya mengangguk dan berlalu. Dia juga agak sibuk kebelakangan ini. Menjadi ketua panitia Bahasa melayu, memang agak mencabar pada awal-awak tahun begini. Banyak KPI yang perlu dicapai. Banyak juga agenda-agenda sekolah yang perlu dia perincikan dan dilaksanakan. Eman hanya menghantar langkah Cikgu Fahmi dengan ekor matanya.

 

                            “Assalamualaikum Cikgu Eman..” Eman menoleh sekilas kepada suara yang tak asing lagi di telinganya. Suara yang sering membuatkan dirinya tidak selesa dari dulu sehingga sekarang. Plastik! Hatinya menyumpah-nyumpah, namun bibirnya masih mampu tersenyum nipis.

 

                            “Waalaikumussalam. Ada apa cikgu?” Eman sekadar berbahasa – basi dengan Cikgu Lily, tanda menghargai pertolongannya tempoh hari. Pertolongan daripada perempuan itu jugalah menemukan dia pada kegelapan masa depannya.

 

                            “Doktor Ehsan ada call saya, dia cakap Doktor Luqman cuba hubungi cikgu tapi tak ada respon. Cikgu sibuk ke hari ni? Kalau tak, dia minta cikgu pergi ke klinik dia petang ni. Ada benda penting katanya nak dibincangkan. Saya minta maaf kalau cikgu tak selesa, saya cuma sampaikan pesanan.” Penuh teliti setiap ayat yang keluar dari mulut Cikgu Lily. Bimbang sekiranya mengundang kemarahan pada lelaki itu.

                            “Tak apa cikgu, saya faham. Terima kasih.” Eman tersenyum nipis ke arah Cikgu Lily dan kembali menyambung aktivitinya. Sebaik sahaja Cikgu Lily berlalu, dia menarik nafas dalam-dalam. Takut dan sedih bercampur baur. Emosinya tidak stabil lagi, mula memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang akan dia dan Ameena  bakal hadapi. Tali lehernya dilonggarkan sedikit untuk melawaskan pernafasannya. Wajah Ameena kembali bertandang di ruang matanya, senyuman, ketawa dan airmata Ameena silih berganti datang di benak fikirannya. Bagaimana harus dia berdepan dengan semua ujian ini? Terus bersama atau lepaskan Ameena supaya wanita itu dapat mengecap nikmat hidup yang lebih sempurna.

 

 

 

KEPUTUSAN ujian darah menunjukkan dia positif kepada kanser prostat. Namun menurut Doktor Luqman, masih pada tahap awal. Eman terdiam tanpa bicara. Hanya mendengar penerangan daripada Doktor Luqman  tanpa sebarang bantahan atau soalan.

 

                            “Kalau doktor dekat tempat saya, adakah doktor akan lepaskan isteri doktor? Yalah, kalau dia terus dengan kita pun, dia tak boleh nak mengandung. Tak boleh nak ada zuriat sendiri, kan?”  Giliran Doktor Luqman pula terdiam apabila mendengarkan soalan tak terduga daripada pesakitnya.

 

                            “Bergantung atas setiap individu. Kalau saya, saya pentingkan diri.. saya akan tak akan lepaskan dia. Soal anak, banyak cara lain. Boleh ambil anak angkat, contohnya. Tapi itulah, saya pun belum kahwin. ” Cukup optimis jawapan daripada doktor bujang itu.

 

                            “Kalau saya pula, saya nak tengok isteri saya bahagia, dapat apa yang dia impikan. Isteri saya selalu berangan nak dapat anak kembar perempuan. Tapi dengan keadaan saya sekarang, jangankan kembar.. seorang pun belum tentu.” Nada Eman kedengaran sangat pasrah. Dia lansung tidak ambil kisah lagi tentang penyakitnya. Setiap pertanyaannya hanya berkait dengan isterinya.

 

                            “Apapun, Cikgu Eman perlu buat imbasan Ct sebab kita nak tengok kaedah rawatan dan ubat apa yang boleh kita gunakan. Saya akan buatkan satu surat rujukan dan Cikgu boleh buat dekat mana-mana hospital swasta. Kalau kerajaan, proses dia lambat dan biasanya kena melalui saringan daripada awal semula.” Doktor Luqman sepertinya cuba mengalih topik perbualan mereka.

 

                            “Saya rasa cukup setakat ni. Saya belum bersedia untuk jalani apa-apa rawatan. Lagipun untuk apa saya sihat kalau saya tak boleh jadi lelaki sempurna. Sihat pada zahir tapi dalaman?” Eman bangkit dari  kerusinya dan berlalu keluar tanpa pamitan. Ternganga mulut Doktor Luqman melihatkan reaksi pesakitnya. Belum pernah dia berhadapan dengan  pesakit lelaki seperti itu. Rasa bersalah datang dalam hatinya. Apakah dia terlalu kejam dengan setiap perkataannya? Sehinggakan guru muda itu hilang semangat untuk hidup.

 

 

 

AMEENA merenung lama wajah suaminya yang sedang tidur. Hatinya sering merasa tidak enak ketika memandang wajah itu. Ya, dia sentiasa senyum dan ketawa. Sentiasa mengusiknya. Namun pandangan Eman ada ketikanya kosong, seperti orang yang hilang arah dan tiada semangat.

 

                            “Sayang.. kenapa tak tidur lagi?” Lamunan Ameena terhenti dengan teguran suaminya yang baru terbangun dari tidur. Eman tersenyum nipis dengan matanya yang separuh terbuka. Cahaya samar daripada lampu tidur yang malap membuatkan wajah itu kelihatan sangat tampan di mata Ameena. Keinginannya sexualnya tiba-tiba datang.

 

                            “Baru nak tidur, tadi Amee periksa kertas jawapan budak-budak. Buat ulangkaji sikit untuk kelas esok.” Ameena tersenyum manja dan merapati suaminya. Tangannya perlahan melingkari pinggang suaminya. Semakin lama semakin rapat kedudukannya dengan Eman. Senyuman Ameena semakin lebar apabila pelukannya berbalas. Namun ianya cumalah sekadar pelukan biasa yang tanpa rasa. Seketika kemudian, dapat didengar dengan jelas dengkuran halus suaminya.

 

                            Ameena mendongak mencari wajah suaminya. Suaminya sudah lena. Mungkin tadi hanya terjaga sekejap. Kebelakangan ini, hubungan intim antara mereka terasa hambar. Dia masih mesra seperti selalu namun bukan di ranjang. Eman seperti bukan seorang lelaki. Seperti hilang Keinginan sexual. Itu yang Ameena dapat rasakan. Namun dia bukan perempuan jenis pentingkan itu semata-mata. Cuma dia risau jika suaminya beralih arah. Zaman sekarang macam-macam perkara boleh terjadi.

 

                            Adakah Eman sebenarnya songsang? Jadi betullah apa yang mereka gosipkan selama ini? Eman dengan Cikgu Fahmi? Patutlah dia tak suka dengan perempuan.. Cikgu Lily yang seksi tu pun tak mampu goyahkan Emannya. Astaghfirullah! Apa yang kau merepek ni Minah… Kau dah gila ke? Habis tu selama ni tu apa? Syukurlah suami kau pandai menjaga hati dan pandangan! Jangan fikir bukan-bukan! Ameena tersengih sendiri dengan fikiran kotornya. Matanya dipejam rapat sambil menikmati pelukan hangat dari suami tercinta. Bersyukurlah!

 

 

 

SYAHRUL muncul di muka pintu rumah Cikgu Hashim dengan wajah yang lebih bertenaga pada pagi itu. Dia terlihat semakin berisi dengan air muka yang lebih bersih. Sepertinya dia telah pulih sepenuhnya. Sudah hampir lima bulan hidup Haleeda senang tanpa gangguan. Kali terakhir Syahrul datang, dia menangis teresak – esak di bucu tangga seperti orang hilang akal. Selepas peristiwa itu dia tidak lagi muncul Sehinggalah ke hari ini.

 

                            “Dah besar anak-anak Papa. Comelnya awak berdua ni..” Kehadiran Syahrul disambut gembira oleh Darel dan Daren. Kedua-duanya berlari-lari mendapatkan lelaki itu seolah-olah mereka terlalu rapat selama ini. Syahrul memeluk dan mendukung kedua-duanya serentak. Semakin galaklah mereka ketawa. Cikgu Hashim tidak mampu untuk berkata apa-apa. Apa yang dirisaukan ialah jika Haleeda nampak kejadian itu. Haleeda masih belum menyedari kehadiran bekas suaminya itu.

 

                            “Abang Lang.. Si kembar tu ada dekat mana ya? Bukan main galak lagi suara mereka tu..” Kata-kata Haleeda tergantung tatkala memandang wajah Syahrul. Api kemarahannya tiba-tiba menggunung dengan perlakuan lelaki itu. Matanya mencerlung tajam ke arah Syahrul. Bagaikan harimau yang mahu menerkam mangsanya.

 

                            “Kau buat apa dekat sini? Siapa bagi izin kau sentuh anak-anak aku?” Bagaikan petir suara Haleeda menjerit memarahi bekas suaminya. Dia lupa diri sebentar. Namun apabila dia terdengarkan suara tangisan anak-anaknya, dia terus beristighfar panjang. Darel dan Daren sudah ketakutan. Syahrul membawa anak-anaknya keluar ke anjung depan bagi memujuk.

 

                            “Bagi balik anak-anak aku! Kau nak bawa mereka pergi mana?” Haleeda masih marah namun nada suaranya direndahkan untuk menjaga emosi anak-anaknya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia toreh muka Syahrul yang tak tahu malu itu. Sudahlah datang tanpa dijemput, buat muka tak bersalah pula!

 

                            “Anak-anak kita..” Pendek jawapan Syahrul. Suaranya kedengaran perlahan dan tenang.

 

                            “Sudah tak ada istilah ‘kita’ antara kau dan aku!” Haleeda masih meradang, walaupun dia agak terkedu dengan reaksi Syahrul. Seolah – olah dia melihat Syahrul yang dulu.

 

                            “Antara awak dan saya memang tak ada istilah kita. Tapi untuk Darel dan Daren, masih ada istilah kita. Selagi nama mereka berbinkan  Ahmad Syahrul, mereka masih anak saya. Jangan nafikan hak mereka. Yang salah itu, saya. Tapi saya tetap papa diorang. Walau macam mana teruk sekalipun saya abaikan awak.. gelaran itu tetap tak berubah.” Kendur suara Syahrul dihujung kata-katanya. Kedengaran penuh penyesalan. Haleeda terdiam. Akal warasnya mengarahkan mulutnya untuk diam. Kata-kata Syahrul tidak dapat disangkal. Walau macam mana teruk pun.. dia tetap papa Darel dan Daren. Tiada siapa yang dapat melawan takdir Allah.

 

                            “Saya tak minta lebih.. saya hormat pendirian awak, Haleeda. Saya hanya nak jalankan tanggungjawab sebagai papa mereka. Saya tak nak tambah dosa lagi. Walau sekeras mana pun awak melarang, saya tetap akan datang jumpa mereka.” Haleeda mendengus kasar dan berlalu ke dalam biliknya. Sungguh dia tak ingin lagi menatap wajah yang menyakitkan hati itu.

 

                            Di dalam bilik, Haleeda melabuhkan duduk di birai jendela. Pendengaran dia tidak kalis bunyi. Masih mampu mendengar suara anak-anak dan bekas suaminya ketawa. Masih mampu mendengar suara Syahrul mengusik Daren dan Darel. Alangkah bagusnya kalau mereka sekarang masih bersama. Alangkah bagusnya kalau Syahrul tetap setia. Ah! Kalau nak dikira dengan perkataan ‘kalau’ semua benda pahit pun boleh jadi manis! Haleeda marah pada dirinya sendiri.

 

 

 

 

 

EMAN merenung setiap wajah pelajar-pelajarnya. Hari ini dia betul-betul marah. Bermula dari awal kelas sehingga ke lima belas minit pertama pembelajaran, seisi kelasnya tidak sunyi dengan suara pelajar-pelajar berbisik sesama mereka. Ada yang tiba-tiba ketawa. Lansung tiada rasa hormat. Dia sudah tidak boleh bersabar dengan kerenah pelajarnya hari itu. Dia rindukan pelajar-pelajarnya tahun lepas yang sentiasa menghormatinya, faham dan bertindak mengikut situasi.

 


Keningnya kadang-kadang berkerut menahan kesakitan. Ubatnya sudah hampir habis dan dia malas untuk berjumpa lagi dengan Doktor luqman. Andai kata ada lagi sesi perjumpaan seterusnya, pastinya doktor muda itu akan basuh otaknya cukup-cukup.

 


Eman diam tidak bersuara. Rahangnya bergerak-gerak menahan marah. Baginya, tahun ini pelajar-pelajarnya sangat berbeza perangai dan sifat. Kalau dulu, sewaktu emosi dia sedang jatuh, Alif dan Sofea ada untuk memujuk. Dan pelajar-pelajarnya yang lain turut sama memberikan sokongan. Ketika sesi pembelajaran semuanya akan diam memberikan perhatian. Ketika sesi akhir kelas, mereka semua berebut-rebut untuk sesi soal jawab.

 


Eman meletakkan ‘marker pen’ di tangannya di atas meja guru. Dia menarik nafas dalam-dalam. Tangannya pantas mengambil set soalan untuk topik yang berkenaan. Diedarkan satu persatu kepada pelajarnya kerana dia ingin melihat secara lebih dekat wajah semua pelajarnya. Dia mahu mengenalpasti siapa yang betul-betul serius dan siapa yang masih main-main.

 


“Awak, berdiri! Nama?” Tegas sekali suara guru muda itu dengan wajahnya yang cukup serius.

 


“Diana.. Nurdiyanah, Cikgu.” Diana yang pada mulanya tersengih-sengih, kini sudah berubah riak apabila disuruh berdiri.

 


“Sebelah! Bangun! Nama?” Pelajar di sebelah Diana turut ditempelak kerana dikira bersubahat membuat bising.

 


“Balqis, Cikgu.” Suara Balqis sudah kedengaran takut-takut.

 


“Kalau kamu berdua nak duduk, jawab soalan saya. Ali.. daripada rumahnya dia menunggang basikal ke kedai. Dalam perjalanannya, ada sebuah helikopter melalui dekat atas ruang udara tepat di atas kepala Ali. Agak-agak, pemandu helikopter tu kenal tak Ali? Fikir betul-betul sebelum jawab, kalau salah kamu berdua saya dah tak bagi masuk kelas saya.” Eman bergerak lagi ke barisan belakang sambil mengagihkan baki kertas soalan. Dia menyembunyikan senyumannya melihatkan wajah pelajar-pelajarnya yang berkerut memikirkan jawapan kepada soalannya.

 


Setelah selesai, Eman memandang ke arah pelajar-pelajarnya. Ada dua belas orang semuanya yang diarahkan berdiri dan diarahkan untuk menjawab soalan yang sama. Eman kemudiannya mengarahkan pelajar-pelajarnya yang duduk untuk menjawab soalan yang diagihkan tadi. Ketawanya hampir meletus apabila terpandangkan wajah pelajar-pelajarnya yang berdiri itu berkerut-kerut dan menggaru kepala. ‘baru kamu tahu erti sakit kepala. Tahu pula kamu semua nak diam.’

 


Sesi pembelajaran berjalan dengan lebih aman dan tenang. Namun seketika kemudian, Eman terasa kesakitan pada ari-arinya dan belakang pinggangnya sangat teruk. Ianya datang secara tiba-tiba. Mahu atau tidak, dia perlu keluar daripada kelasnya dengan kadar segera.

 


“Baiklah hari ini, Cikgu ada hal sikit. Terus sambung jawab soalan tadi, esok kita bincangkan semula.” Eman bergegas keluar daripada kelas tersebut, meninggalkan pelajar-pelajarnya yang masih termanggu-manggu menantikan jawapan kepada soalannya tadi.

 

 


Langkah Eman dihayunkan laju ke tempat parking kereta. Ubatnya tertinggal di dalam kereta. Hampir dia tumbang dalam langkahnya. Peluh merecik pada dahinya. Namun belum sempat dia membuka pintu kereta, kakinya tersadung dan dia rebah ke bumi. Bunyi kepalanya menghentam pintu kereta agak kuat.

 


“Eh, Cikgu Eman! Okay ke tu?” Eman berpaling ke arah datangnya suara tersebut. Ah, kau! Kenapa kau perlu ada dekat sini! Eman berusaha untuk bangun namun pergelangan kakinya terasa sakit. Juga kepalanya terasa pening kesan hantukan pada pintu kereta.

 


“Maaf cikgu, saya tak dapat nak tolong.. Cikgu tunggu sekejap. Saya cari Cikgu Ameena atau mana-mana guru lelaki.” Cikgu Lily berlalu dengan pantas sebelum sempat Eman berkata apa-apa. ‘Dia tak ada niat buruk pun dekat kau, Eman! Kau saja yang berprasangka buruk dengan dia. Betul kata Ameena, setiap manusia boleh berubah dengan izinNya’. Dia juga perasan Wajah Cikgu Lily tadi agak kelihatan cemas.

 


Lama Eman menyandar pada pintu kereta. Dia tidak mampu untuk bangun bukan kerana kakinya yang terseliuh, tapi disebabkan sakit yang teramat sangat pada pinggang dan bahagian ari-arinya. Mungkin hayat dia sudah tidak lama. Sakitnya kini datang sangat kerap. Malahan dia tidak mampu lagi untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Nafkah batin untuk isterinya sudah lama terabai. Bukan dia tidak mahu, cuma sakitnya membuatkan segalanya menjadi terbatas.

 

 

Sakitnya sudah sedikit berkurang selepas dia menelan ubat-ubatan yang diberikan oleh Doktor Luqman. Namun sakit itu tidak hilang sepenuhnya. Saat dia hendak memejamkan mata, isterinya muncul dengan segelas air di tangannya. Aroma Coklat tersedut masuk ke rongga pernafasannya. Sungguh harum.

 

                            “Abang.. dah tidur ke? Amee ada buatkan air coklat.”Ameena duduk di birai katil. Gelas di tangannya di letakkan di meja sisi. Eman membuka sedikit matanya, namun segera dirapatkan semula apabila melihat penampilan Ameena yang agak mengancam imannya. Dia tahu apa tandanya apabila isterinya mengenakan pakaian begitu, dan malam itu keadaanya sangat tidak mengizinkan.

 

                            Wajah Ameena jelas kelihatan hampa, apabila Eman lansung tidak memberikan respon seolah-olah sudah lena dibuai mimpi indah. Ameena merenung lama wajah suaminya. Perlahan-lahan rasa kesunyian menyerap masuk ke dalam jiwanya. Sunyi kerana tiada lagi teman berbual sebelum tidurnya. Tiada lagi teman untuk berkongsi cerita-cerita di sekolah. Tiada lagi teman untuk mengadu nasib.

 

“Bro, awak kenapa?” Eman tersengih dengan bibirnya yang sudah pucat menahan sakit. Sekaligus ingatannya pada peristiwa malam tadi terbang melayang  entah ke mana.

 

                            “Koi tersadung kaki koi sendiri. Seliuh agaknya.” Kening Cikgu Fahmi terangkat dengan kenyataan Eman. Takkanlah disebabkan seliuh saja, sahabatnya dah tersadai macam orang kalah judi.

 

                            “Awak tak ada telefon? Jari awak pun dah terseliuh ke?” Cikgu Fahmi masih sempat memerli sahabatnya itu tanpa mengetahui keadaan sebenar.

 

                            “Bro, tolong koi.. hantar koi pergi klinik kawan koi. Kaki koi bukan masalahnya, ada masalah lain, Bro.” Wajah Eman sedikit membening. Rasa sebaknya tiba-tiba bertandang. Dia tiada tempat untuk berkongsi selain daripada Cikgu Fahmi. Jiwanya yang kental akhirnya tumpas juga. Tidak sanggup lagi menanggung sengsara seorang diri. Namun untuk meluahkan, bukanlah pada si isteri.

 

                            “Okay.. meh kawan tolong awak berdiri. Awak tunggu sini. Kawan pergi ambil kereta.” Cikgu Fahmi agak terkejut apabila menerima panggilan telefon dari Cikgu Lily. Perkhabaran yang diterimanya dirasakan tidak masuk akal. Mustahil, hanya disebabkan kaki terseliuh, Cikgu Eman yang tegap itu, tidak bisa bangun sendiri. Pasti ada sebab lain. Sebab itulah dia segera ke pejabat dan mengisi borang keizinan untuk keluar atas sebab-sebab kecemasan. Hatinya menjadi tidak senang, seperti ada perkara yang Eman rahsiakan daripadanya.

 

 

 

 

 

“ABANG, kita pergi check dekat hospital KTS nak? Kita buat propper check up. Tak salah kan, kalau kita dapatkan pendapat doktor lain. Takkan sebab gastrik, abang sakit macam ni sekali. Lagipun setahu Amee kalau gastrik sakitnya dekat bawah dada, bukan bawah perut.” Ameena cuba memujuk. Eman duduk bersandar di sofa rumahnya sambil memejamkan mata. ‘Memanglah bukan gastrik. Kalau Sayang tahu, sakit apa mesti Sayang yang terlebih sedih..’ Eman mengeluh sendiri.

 

                            “Kenapa Abang tak call Amee je, Amee dapat tahu pun dari Cikgu Lily.” Suara Ameena kedengaran agak lain, lebih berbaur cemburu. Isteri mana yang tidak terancam apabila, dia sendiri tidak tahu apa-apa mengenai suaminya dan tiba-tiba ada wanita lain datang dan memberikan khabar yang tidak baik. Dimana pentingnya dia sebagai seorang isteri apabila orang lain terlebih dahulu tahu mengenai suaminya.

 

                            “Jangan fikir bukan-bukanlah.. Abang tak sempat nak bagitahu sayang. Lagipun, sayang kan ada kelas.. Abang taknaklah ganggu. Cikgu Lily kebetulan lalu ikut kawasan tu, itu yang dia nampak Abang. Dia tak ada niat macam yang sayang fikir tu.” Seolah-olah dapat membaca fikiran Ameena, Eman terlebih dahulu memintas. Tidak mahu Ameena berprasangka buruk pada orang lain.

 

                            “Tapi.. dia buat apa dekat kawasan parking kereta, waktu-waktu macam tu. Bukan sepatutnya dia ada dekat kelas?” Ameena masih belum berpuas hati. Seperti ada sesuatu yang  pelik dan mengelirukan di situ. Dahi Ameena sudah berkerut seribu, mencari tahu kenapa dan mengapa.

 

                            “Amee ni kenapa? Ada masalah apa kalau dia nak lalu ikut situ pun! Ada tanda kawasan larangan ke? Hati tu jangan nak syakwasangka sangat dengan orang! Kita bukannya baik sangat pun nak cakap orang macam-macam!” Eman tiba-tiba melenting. Rasa sakitnya membuatkan dia merasa terbeban dan serabut dengan soalan-soalan daripada isterinya. Nada suaranya yang agak tinggi membuatkan Ameena terkedu. Air mata Ameena sudah bergenang di kelopak matanya.

 

                            “Tegur sikit dah sentap! Itu sajalah yang awak tahu. Dahlah, saya nak rehat dekat atas!” Eman memalingkan wajahnya dan bangkit dari sofa. Tidak mahu dia melihat wajah isterinya yang sudah terasa hati dengannya. Dia terpaksa. Dia terpaksa buatkan Ameena membencinya. Dia perlu buat Ameena berlalu dari hidupnya secara rela dan tanpa paksaan.  Kata-kata Doktor Luqman pagi tadi, membuatkan dia membuka mata. Dia tidak boleh pentingkan dirinya sendiri. Ameena perlu cari kebahagiannya sendiri dengan orang lain. Hidupnya sudah tidak lama. Dia tidak mahu Ameena bersedih dengan pemergiannya.

 

 

 

 

CIKGU FAHMI menggelengkan kepalanya tanda tidak setuju. Baginya Eman betul-betul gila. Eman sudah hilang semangat dan pedoman. Mana mungkin seorang lelaki sanggup melepaskan isterinya kepada lelaki lain!

 

                            “Kawan rasa, awak dah tak betul ni! Kawan tak setuju! Kalau betul awak ada kanser ke apa ke, awak tak boleh buat macam tu dekat Ameena. Sekurang-kurangnya, awak bincang dengan dia. Lagi satu, kenapa awak tak nak buat rawatan cepat-cepat. Awak tak nak dapatkan second opinion daripada doktor lain ke? Ramai lagi doktor kat Terengganu ni yang boleh awak rujuk!” Cikgu Fahmi cuba membuka mata dan fikiran sahabat baiknya itu. Namun Eman kelihatannya seperti orang yang sudah patah hati dan patah semangat.

 

                            “Buat apa, Bro? Supaya telinga aku ni dapat dengar sekali lagi yang nyawa aku ni dah tak panjang?” Kendur sahaja suara Eman. Dia tahu Cikgu Fahmi pastinya marah dengan tindakan dan keputusannya.

 

                            “Kalau awak risau, anak buah awak tu tak bahagia.. Koi akan pujuk Isa. Koi tahu Isa masih ada hati dekat isteri Koi. Koi akan minta dia nikahi Ameena. Dia boleh bahagiakan Ameena.”

 

GEDEBUK!!!

                            Satu penumbuk padat Cikgu Eman singgah di pipi Eman. Sungguh dia geram dengan lelaki itu. Dia lupa ke? Yang dulunya dia bagaikan orang hilang arah apabila Ameena memilih Isa. Dia lupa atau dia buat-buat lupa bagaimana susahnya dia berusaha untuk dapatkan Ameena. Dan apabila Allah bagi peluang, lelaki itu dengan mudahnya mensia-siakan. Mudahnya! Nak lepaskan isteri pada orang lain? Macam tu saja?

 

                            Eman menyeringai kesakitan namun tidak melawan. Suasana malam yang gelap di tempat letak kereta membuatkan kejadian itu tidak terlihat oleh orang lain. Peluh yang merecik di dahi mereka berdua setelah berhempas dengan pukulan bulu tangkis meleleh-leleh ke pipi, dibiarkan sahaja. Mulut Eman sedikit berdarah hasil tumbukan padu Cikgu Fahmi. Puas hatinya dapat merembat sahabat baiknya sendiri yang sudah hilang kewarasan akal.

 

                            “Awak ingat Ameena tu bola ke? Awak nak tendang sana sini. Awak suka awak peluk cium. Bila tak suka awak tendang. Lepas tu pilih pulak gol mana yang awak nak sumbat dia! Awak ni dayus, awak tahu!” Eman tersandar di pintu keretanya dengan kata-kata Cikgu Fahmi. Bukan itu maksudnya. Dia Cuma tidak mahu Ameena sedih dan menderita.

 

                            “Kalaupun awak dah nak mati sangat! Mati sajalah! Tak payah nak buat benda mengarut macam tu! Awak ingat mati tu kat tangan awak ke? Awak tak percaya pada kuasa Allah? Allah tu maha penyembuh, Man.. Kalaupun awak sakit.. awak boleh berubat!  Allah suruh kita usaha! Bukan putus asa!” Suara Cikgu Fahmi masih keras.  Masih membuak kemarahannnya.

 

                            “Kalaupun koi sembuh.. koi tak sempurna, Bro.. Koi tak dapat berikan apa yang dia nak.” Eman sudah terduduk di hadapan Cikgu Fahmi. Semangatnya sudah hilang, pergi jauh bersama kebahagiaannya. Jelas Eman seperti orang hilang arah. Hanya diuji dekat penyakit, manusia sudah mampu untuk berpaling dari rasa percayanya pada kuasa Allah. Sehingga sanggup melakukan perkara yang Allah murka.

 

 

 

“SAYA tahu apa yang cikgu lalui. Saya minta maaf, saya tak sepatutnya desak kawan saya untuk bagitahu mengenai keadaan cikgu. Tapi saya risau tengok Cikgu Eman dah macam hilang semangat. Kalau cikgu nak marah pun, marahlah.. tapi bagi saya, Cikgu kena buat rawatan susulan. Jangan sampai terlambat. Cikgu Ameena tak perlu tahu. Dia sudah banyak menderita sebelum ini. Bila cikgu dah betul-betul sembuh.. Cikgu berterus teranglah. Saya yakin, Cikgu Ameena akan faham. Yang penting, Cikgu buat rawatan dulu. Buat masa ni, Doktor Ehsan cakap, rawatan hanya melalui pengambilan ubatan secara oral. Tak banyak kesan sampingan.” Eman merenung tepat ke wajah Cikgu Lily. Wanita itu begitu risaukannya. Berusaha mencari tahu tentang keadaannya. Tapi isterinya sendiri hanya sibuk mendesak untuk dia buat pemeriksaan lagi dan lagi di tempat lain.

 

                            “Terima kasih sebab ambil berat soal saya. Doktor Ehsan tak bagitahu ke, kalau saya sembuh pun, saya kemungkinan tidak boleh ada zuriat.” Perlahan dan lirih suara Eman. Sekurang-kurangnya, ada orang yang faham keadaannya.

 

                            “Ya.. tapi itu semua hanya jangkaan. Lagipun, cikgu boleh ambil anak angkat kalau Cikgu Ameena nakkan anak.. Bagi saya, apa yang penting adalah kesihatan suami saya dahulu. Itu pendapat saya, soal anak saya tak kisah lansung. Tapi saya belum kahwin, boleh cakaplahkan..” Cikgu Lily cuba bergurau dalam kata-katanya. Eman mengangguk. Ada betulnya cakap perempuan itu. Tak salah pun kalau buat rawatan dulu. Bukan menyakitkan pun. Hanya pengambilan ubatan oral. Eman tersenyum nipis sambil menganggukkan kepalanya tanda setuju.

 

                            Dari tingkat satu bangunan pentadbiran, Ameena dapat melihat dengan jelas suaminya tersenyum mesra dengan Cikgu Lily. Kalau dengannya, sentiasa tarik muka.. sentiasa berbicara keras. Kalau dah tak suka, cakap.. Amee boleh pergi, Abang.. Abang dah nampak permata tu kan.. kaca ni tak berguna dah.. Ameena menarik nafas dalam dan berlalu pergi dari koridor tersebut. Tidak sanggup melihat permandangan itu lama-lama.

 

 

 

 

 

AMEENA merenung lama suaminya yang sedang menonton televisyen. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Eman. Rapat! Namun Eman sepertinya mengelak untuk berada rapat dengannya. ‘Sampai hati Abang..’ Hati Ameena menangis hebat dengan respon suaminya. Seakan dirinya sangat jijik untuk disentuh. ‘Apakah tiada lagi cinta? Ataupun lebih tepat lagi cinta sudah beralih arah.’

 

                            Ameena bingkas bangun dari duduknya apabila Eman hanya membisu tanpa sepatah kata. Dia tidak lagi betah untuk berlama-lama di situ. Sebelum air matanya gugur, lebih baik dia segera beredar. Pergilah ke mana-mana pun, asalkan bukan berada di hadapan suaminya. Tidak mahu lagi dia digelarkan perempuan cengeng.

 

                            Eman mengerling lengok badan isterinya daripada belakang dengan ekor matanya. ‘Maafkan Abang, Sayang.. semuanya untuk kebahagiaan sayang. Pergilah sayang.. tinggalkan Abang. Abang lelaki tak guna.’ Dia merebahkan badannya di atas sofa dan menekup wajahnya dengan kusyen mini. Tanpa terlihat oleh sesiapapun, air matanya berguguran dan berembesan keluar. Sakitnya hanya dia yang tahu. Sakit untuk melepaskan permata hatinya. Ya, dia belum bersedia untuk kehilangan Ameena. ‘Ya Allah.. berilah aku kekuatan untuk menempuh semua ini.’

 

                            Sementara Ameena di tingkat atas pula sedang berteleku di tikar sejadah. Pada siapa lagi tempat untuk dia mengadu. Dia cuba menghitung semua kesilapannya. Apakah khilafnya sehinggakan suaminya sendiri tidak mahu lagi memandangnya. Apakah tiada lagi tempat untuknya di dalam hati lelaki yang bernama Eman. Naskah Alquran di hadapannya di pandang lama. Satu persatu manik jernih gugur daripada kelopak matanya. Ya, Allah.. Ujian apakah untuk aku kali ini.. Ya Allah. Aku hambaMu yang lemah.. Bila-bila masa aku bisa tewas. Andai tiada lagi jodoh antara kami, kamu akhirilah dengan cara yang termulia. Aku sedar dia hanya pinjamanMu. Namun aku tidak sanggup untuk kehilangannya.

 

                            Ameena menyeka air matanya yang sepertinya tidak mahu berhenti dari mengalir. Naskah Alquran di selak perlahan-lahan. Dengan lafaz bismillah, dia memulakan bacaannya. Dalam esak tangisnya dia tetap terus mengalunkan bacaan ayat suci kalamullah, berbicara dengan Sang Penciptanya. Hanya Dia yang memahami hatinya. Hanya padaNya tempat dia bergantung harap. Sememangnya hatinya sudah bersarang dengan rasa hampa. Hampa pada hubungan rumahtangganya yang kian hambar. Tuhan.. berikanlah aku kekuatan. Tetapkanlah rasa cintaku pada Sang Adamku.

 

 

 

“ABANG.. Kita pergi berubat, ya? Kita balik kampung Abang. Minta ustaz yang ubatkan Paksu tu, untuk ubatkan Abang.” Ameena sempat memaut lengan suaminya, sebelum lelaki itu sempat keluar daripada rumah. Setiap hari mereka pasti dimulai dengan pertengkaran. Apa sahaja yang keluar daripada mulut si isteri semuanya salah di mata si suami.

 

                            “Awak jangan melampau Ameena! Awak ingat saya dah tak siuman ke? Awak nak tuduh siapa pula kali ni? Sudah-sudahlah buruk sangka dekat orang. Jangan sibuk hitung salah orang, kalau diri sendiri pun tak sebaik mana pun.”

 

                            “Abang…” Ameena kehilangan kata-kata. Dadanya terasa sebak, namun untuk menangis lagi bukan dirinya. Dia tidak akan pernah lagi menitiskan airmata di hadapan lelaki itu. Dia mahu terlihat kuat di mata suaminya.

 

                            “Apa? Nak salahkan saya pula ke? Yalah.. semua yang betul tu, awak sajalah! Orang lain semua salah. Sudahlah Ameena! Malas saya nak layan budak hingusan macam awak ni. Hari ini saya ada hal, awak pergi kerja sendiri!” Eman merentap kasar tangannya daripada pegangan Ameena. Lansung dia tidak menoleh ke arah isterinya itu. Hanya terus berlalu menuju ke pintu keretanya.

 

                            “EMAN AL HADI!” Ameena sudah tidak mampu bersabar. Kesabarannya ada batas. Bukan dia tidak mendambakan syurga, tetapi dia mahukan keadilan. Berulang kali hatinya disakiti oleh lelaki itu, tanpa dia tahu apa salahnya. Langkah Eman terhenti. Jantungnya berdegup kencang ketika namanya diseru dengan lantang oleh si isteri. Dia berpusing kebelakang mengadap wajah isterinya. Wajah itu hanya bersahaja. Wajah itu adalah wajah gadis yang tidak berperasaan yang pernah dia puja dulu.

 

                            “Sampai bila lagi kau nak seksa jiwa aku..  Kalau betul kau dah tak suka aku, lepaskan aku..” Suara mendatar Ameena dan ucapan bersahaja Ameena membuatkan jantung Eman hampir terhenti. Mungkin sudah masanya.. Mungkin Ameena sudah mengalah dengannya. Eman menarik nafas dalam-dalam. Bukan ini kehendaknya namun itulah takdir mereka. ‘Maafkan Abang, Sayang.”

 

                            “AMEENA AZZAHRA BINTI TUAN ZULKIFLI…”

Share this novel

Seri
2023-12-22 00:05:47 

Aishhh janganlah … makan hati awok nanti


NovelPlus Premium

The best ads free experience