BAB 18 : KAHWIN LAGI

Romance Series 52946

“INI semua rancangan awak kan?” Ameena berbisik perlahan di telinga suaminya, Eman Al Hadi. Senyuman yang terukir di bibirnya tidak sekata dengan perasaan di hatinya. Eman pula hanya membeku. Beriak bersahaja. Ini bukan waktu yang sesuai untuk bergaduh kerana dia juga perlukan penjelasan.

“Pengantin, dekat sikit. Kenapa macam gaduh ni!” Eman dan Ameena merapatkan kedudukan mereka apabila ditegur oleh Acunya yang asyik memerhati daripada tadi. Dia pun pelik dengan kejadian hari ini. Kenapa tiba – tiba kawan kepada anak buahnya itu yang menjadi pengantin perempuan. Selama mereka berada di rumah Abangnya, dia nampak hubungan mereka macam suam-suam kuku sahaja. Abang dan kakak iparnya juga tidak bercerita apa-apa dengannya.

“Saya harap awak tak lupa kata – kata awak malam tadi. Jangan harap saya boleh lupa semua benda yang awak cakap!” Eman menelar liur kepayahan. Manakan tidak, kata – kata Ameena bagaikan satu ugutan. Sumpah! Kalau dia tahu begini jalan cerita hidupnya, dia tidak akan sekali – kali mengeluarkan kata – kata secelupar itu.

“Boleh tak tamatkan semua benda ni. Saya nak balik. Awak tak nampak ke mata saya ni dah macam rakun.” Ameena semakin rimas apabila diarahkan untuk melakukan pelbagai gaya. ‘Tadi cakap nak buat kenangan saja. Satu cukuplah, kalau nak buat kenangan pun. Tak pun, touch up la muka aku ni. Bagi hilang lebam bawah mata ni.’ Ameena menggumam sendiri. Sakit hatinya memandang senyuman yang terukir di bibir Eman Al Hadi.

“Okay apa.. Bukan ni ke yang orang cakap smokey eyes. Orang lain berjam touch up, baru dapat. Awak untung! Original..” Eman ketawa agak kuat dengan usikannya. Namun ketawanya mengendur saat terpandang sepasang mata yang sedang mencerlung tajam ke arahnya. Siapa lagi kalau bukan isterinya.

“Acu! Dah panas ni. Nanti tetamu dah datang, kami belum ada. Tak elok pula.” Eman menghampiri ibu saudaranya yang juga sepertinya sudah kepenatan. Haleeda menyeringai seketika menahan tendangan bayi kembarnya.

“Paksu! Jom.. dah tak boleh bangun dah mak buyung ni.” Syahrul suami kepada Haleeda hanya mengangguk tanpa segaris senyuman. Syahrul seorang mudah mesra suatu ketika dahulu. Namun kebelakangan ini seperti ada sesuatu yang tidak kena dalam hubungan mereka. Syahrul kelihatan tidak semesra selalu. Haleeda pula lebih banyak menumpukan perhatian kepada diri sendiri. Manakan tidak, itu adalah cahaya mata mereka yang pertama. Sebelum ini dia sudah banyak mengalami keguguran.

“Dah tahu tak larat, duduk rumah sajalah. Ni tak, nak juga datang. Bukan penting pun. Menyusahkan!” Tempelak Syahrul perlahan. Walaupun suaranya perlahan, namun masih mampu ditangkap dek pendengaran Eman. Bergerak – gerak rahang Eman menahan marah. Kalau tak difikirkan Acunya dah lama kot naik penumbuk kat muka lelaki tu. ‘Menyusahkan? Kau sedar tak Acu aku tu duk usung anak kau!’

“Lain kali, you tak payah datang. You tak ada selama ni pun i boleh handle diri i ni. Tak faham dengan you sekarang ni. Semua benda pasal i , semua tak kena kat mata you!” Haleeda cuba menahan nada suaranya supaya tidak didengari oleh orang lain. Geram dengan sikap acuh tak acuh suaminya. Dulu Syahrul sentiasa menjaga kebajikannya. Sentiasa menjaga hatinya. Sentiasa berlembut dengannya. Sewaktu dia keguguran dulu pun, Syahrul sentiasa ada disisinya memberikan kata-kata semangat. Sungguh, dia rindukan suaminya yang dulu.

Syahrul merenggus kasar meninggalkan Haleeda terkulat-kulat sendirian. Terkial – kial wanita itu cuba untuk bangun. Sebak menahan tangisan jelas tergambar di wajahnya. Dalam kepayahan dia berjaya berdiri. Dipaksakan diri untuk tersenyum bagi memujuk dirinya sendiri. Apa yang penting padanya hanyalah anak – anak dalam kandungannya . Dia harus menjaga emosi sendiri supaya anak kembarnya sentiasa sihat di dalam rahimnya.

“Acu, mana Paksu? Boleh tak ni? Jom koi teman ke kereta. Awak ni kang.. terberanak kat sini.” Haleeda memegang kejap lengan sasa anak buahnya. Dia buang jauh-jauh perasaan terkilannya. Sentiasa dipujuk hatinya sendiri. Sebelah tangannya memegang bawah perutnya bagi menampung bahagian yang semakin memberat itu. Dia takut untuk berbincang dengan suaminya tentang masalah antara mereka. Dia takut andai tiada lagi sayang untuknya. Baginya biarlah bayi mereka lahir dulu. Hal yang lain akan diselesaikan kemudiannya.

“Macam mana awak boleh kahwin dengan kawan awak tu pulak? Terkejut Acu tadi. Apa nama dia?” Nafas haleeda tercungap – cungap diselangi dengan langkahnya yang lambat.

“Koi tak ada jawapan untuk itu. Koi pun nak kan penjelasan. Banyak benda dalam kepala koi ni ni, Acu. Kita balik dulu. Acu okay ke? Ingat, jangan pendam seorang diri. Jangan remehkan semua perkara. Kami ada mata,Acu. Walaupun telinga kami ni pekak. Tapi kami tak buta.” Haleeda mengeluh lemah dalam cungapan nafasnya. Sungguh dia malas untuk fikirkan apa jua perkara selain kesihatan anak kembarnya.

EMAN menjeling Ameena di sebelahnya. Masing – masing hanya membisu. Sesekali adiknya, Feraz turut memandang menerusi cermin pandang belakang. Hairan dengan kebisuan antara dua pengantin baru itu. Feraz memberi isyarat mata kepada adiknya, Yaser yang duduk di sebelahnya. Yaser hanya mengangkat bahu tanpa sepatah kata. Sudahnya ke empat-empat mereka hanya diam membisu. Masing – masing masih dalam fasa terkejut.

Kereta yang di pandu Feraz membelok masuk ke perkarangan kediaman mereka. Tetamu sudah mula ramai. Jemputan hanya melibatkan orang – orang kampung terdekat dan saudara mara yang terdekat. Namun masih kelihatan agak ramai. Mungkin semuanya tidak sabar untuk melihat menantu sulung Hajah Sufiah dan Cikgu Hashim.

Eman dengan penuh hormat membukakan pintu kereta untuk isterinya. Namun Ameena pula hanya diam membeku di tempat duduknya. Sementara mata-mata tetamu sudah mula tertumpu kepada mereka. Masing – masing memanjangkan leher untuk mencari tahu wajah pengantin perempuan tersebut. Eman sudah mula tidak keruan. Jangan Ameena buat hal. Dia kenal sangat dengan perangai gila Ameena. Kalau dia masih belum buang perangai gila dia tu, tidak mustahil dia akan melarikan diri hari ini.

“Amee.. jom turun, semua orang dah tunggu. Ibu dan ayah awak. Mak dan Abah saya. Apa – apa kita bincang nanti.” Eman cuba untuk mengembalikan Ameena ke alam realiti. Supaya Ameena fikirkan baik dan buruk setiap tindakannya. Ameena akur. Melangkah keluar dari kereta dengan satu helaan nafas yang halus. Di ukirkan senyuman di bibirnya. Eman lega memandangkan isterinya itu masih berfikiran waras.

Kedengaran beberapa orang yang mengenali Ameena bercakap-cakap dan agak terkejut terutama sekali isteri kepada penjaga kebun Cikgu Hashim. Bukan main terkejut dia. Manakan tidak bukan main dia bercerita dengan orang kampung mengenai Ameena. Tup -tup hari ini perempuan itu adalah pengantin perempuannya.

“Eh, leha! Kau cakap dia tu anak kepada kawan Hajah Sufiah tu. Ni apa cerita?”

“Ada benda tak betul la tu! Adalah tu, perempuan tu buat apa-apa tu. Sampai Eman tu kena nikah dengan dia. Kita pun tak tahu kan..” Berdesing telinga Ameena mendengarkan tohmahan yang dilemparkan padanya. Senyumannya hampir terpadam. Sudahlah dengan jiwanya yang masih tak stabil, lagi ditambah pula dengan kata-kata fitnah makcik Saleha. Airmatanya mula bergenang. Dia berpaling ke arah suaminya dengan jelingan tajam. Eman hanya beriak tenang. Tipulah kalau dia tidak dengar apa yang diperkatakan oleh makcik Saleha. Otaknya ligat mencari idea untuk mematahkan fitnah tersebut.

“Hajah Sufiah ni kan orang berharta. Ada sajalah yang nak menumpang kesenangan dia. Biasalah tu Rafeah!” Sengaja dikuatkan suaranya supaya sampai ke gegendang telinga Ameena. Secara lansung turut menyirap darah Eman.

“Isteri Abang lapar tak? Kita makan dulu nak? Abang ni, dari malam tadi tak ada selera nak makan. Tapi sekarang sebab dah lega. Dah rasa lapar dah.” Eman mengukirkan senyuman manisnya. Terpampang kedua – dua lesung pipitnya. Ameena memandang isyarat mata suaminya. Seakan – akan faham dengan maksud Eman, Ameena turut tersenyum dan mengangguk sopan.

“Cik Ameena! Selamat pengantin baru!” Ameena seraya berpusing ke belakang demi mendengarkan suara itu.

“Mak wan! Bila sampai? Rindunya..” Ameena lantas memeluk erat wanita lewat enam puluhan itu. Wanita yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Sudah setahun Mak Wan berhenti kerja untuk menjaga ibu saudaranya yang sudah uzur. Namun kemunculan Mak Wan pada hari ini membuatkan Ameena begitu teruja dan ceria.

“Mak Wan..” Eman menegur sopan dan penuh hormat. Dia masih ingat akan wajah itu.

“ Eh, macam Mak Wan pernah jumpa lah.”

“Saya Cikgu Eman, dulu saya pernah hantar Ameena dengan Ameer. Lama dah.. waktu dia masih sekolah dulu.” Mak Wan sepertinya sedang berfikir sejenak. Kemudian dia tersenyum seperti ingatannya pada wajah pemuda itu telah muncul.

“Oh, ya! Baru Mak Wan ingat. Tak sangka kamu berdua boleh berjodoh. Allah tu Maha Kaya kan.. Semoga kamu berdua kekal sampai ke anak cucu. Sampai syurga.” Mak Wan menggenggam erat tangan Ameena yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

“Mak Wan dah makan? Jemputlah makan dengan kami. Kami pun belum makan lagi.” Pelawaan Eman disambut dengan gelengan Mak Wan.

“Cikgu Eman dan Cik Ameena pergi makan dulu. Mak Wan nak jumpa Tuan dengan Puan dulu.” Sesekali wanita itu menjeling ke arah sekumpulan perempuan yang sedari tadi asyik mendengar perbualan mereka.

“Leha... Kau ni aku rasa banyak benda tak betul. Aku tak rasa yang kawan Hajah sufiah tu orang biasa – biasa. Tak baik kau tuduh orang macam – macam.” Saleha membuang pandang ke arah dua pengantin itu. Tidak diendahkan lansung kata – kata Rafeah. Hatinya masih mengatakan ada benda yang tak kena dengan pasangan pengantin tersebut.

“Ha, Dah sampai pun pengantin! Abah kamu suruh makan dulu dekat atas. Lauk dah hidang. Ameena, ya? Mari, kita ke atas dulu.” Hanisah kakak sulung kepada Cikgu Hashim, tiba – tiba muncul di tengah-tengah para tetamu yang hadir. Ameena mengangguk dalam senyuman yang ikhlas. Tidak dinafikan keluarga Eman Alhadi semuanya menyenangkan hatinya. Cuma dia sahaja yang masih dalam fasa untuk menerima semua kejutan yang berlaku hari ini.

“Oh, kami ingatkan nak makan kat bawah ni saja. Sambil – sambil layan tetamu, maklong.” Eman tersengih menampakkan barisan giginya.

“Apa pula.. kesian Ameena ni, nak makan, orang duk pandang – pandang. Malu dia nanti..” Hanisah menarik lengan Ameena lembut. Membawanya naik ke ruang utama untuk makan – makan sebelum lebih ramai tetamu datang.

Sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke ruang utama kediaman tersebut, semua mata tertumpu ke arah mereka. Semua adik beradik Haji Hashim berada di situ termasuk juga kesemua anak-anaknya. Begitu juga keluarga Ameena.

“ Ameena, Eman..duduk dulu.” Pasangan pengantin itu lantas melabuhkan duduk mengadap dengan Haji Hashim. Eman dan Ameena kelihatan tenang. Tanpa ada seorang pun tahu ombak dan badai dalam hati mereka.

“ Abah harap kamu berdua dapat menerima antara satu sama lain seperti yang telah kamu berdua janjikan. Walau apa pun yang pernah terjadi antara kamu berdua, kamu perlu lupakan. Tanggung jawab seorang suami adalah menjaga kebajikan isterinya, memberi nafkah zahir dan batin serta membawa rumah tangga ke arah jalan keimanan. Isteri pula wajib patuh kepada suami dan sentiasa saling bertolak ansur, saling mempercayai dan saling melengkapi apa yang kurang. Sekarang kamu berdua adalah suami isteri bukan lagi rakan sekerja seperti dulu.” Wajah Ameena dan Eman sedikit berubah demi mendengarkan khutbah pendek daripada Haji Hashim. Kartini dan Tuan Zulkifli juga turut menggangguk tanda setuju. ‘Haji Hashim ni tahu ke apa yang jadi semalam. Apa pula Haji Hashim Ameena oii! Dia dah jadi bapa mertua kaulah. Abah!’

“ Maaf kalau soalan saya ni kedengaran agak tidak sopan. Boleh ke, sekurang – kurangnya kami tahu macam mana semua benda ni boleh berlaku. Bukan apa, kalau boleh kami tak mahu ada pihak yang menganggap perkahwinan kami ni disebabkan oleh sesuatu yang tidak baik. Kami juga nak tahu kenapa kami tidak dimaklumkan lebih awal.” Tenang dan penuh tertib Eman menuturkan kata – katanya. Sekurang – kurangnya biarlah mereka mendapat penjelasan walaupun sedikit. Lebih – lebih lagi Ameena yang dari awal lagi menyalahkannya.

“Mungkin Along lupa, Mak pernah cakap yang pihak perempuan tidak mahu apa – apa sesi suai kenal sebelum majlis akad nikah, dan Along pun dah setuju. Jadi kami kira tiada masalah yang akan timbul.” Eman mengangguk setuju dan berpaling kearah Ameena untuk menyatakan yang dia tidak bbersalah

“Kami memang tidak tahu yang kamu berdua saling mengenali, sehinggalah Eman datang ke rumah Ibu bulan lepas. Ibu dan Ayah memang terkejut, sebab wajah Eman saling tak tumpah seperti gambar yang Hajah Sufiah tunjukkan. Hari itu juga kami terus telefon Hajah Sufiah bertanyakan tentang kamu. Mula – mula kami ingat pelanduk dua serupa, tapi tak sangka memang kamulah orangnya.” Masing – masing diam tidak berkutik. Tidak ada sesiapa pun yang bersalah melainkan mereka berdua.

‘Padanlah dengan muka aku. Aku yang nak lari sangat dari Isa, sampaikan aku ambil acuh tak acuh dengan perkara ni. Kenapalah aku bodoh sangat!’ Ameena membentak di dalam hatinya. ‘tapi bukan ini ke yang kau nak? Tapi Eman? Bukan ke dia tak suka aku? Tak mungkin dia berharap aku ni yang akan jadi isteri dia.’

“Ameena? Ada apa – apa yang kamu tak puas hati. Kenapa hari ni diam? Ayah tahu dalam kepala kamu tu macam – macam yang kamu fikirkan dan agendakan.” Tuan Zulkifli tersenyum penuh makna, memandang ke arah Ameena dengan pandangan yang bersahaja. Serentak dengan itu Ameena mengangkat wajahnya memandang sekeliling. Semua mata tertumpu kepadanya. Ameena menarik nafas perlahan.

“Alhamdulillah.. insyaAllah kami akan jaga rumahtangga kami.” Jawapan Ameena disambut helaan nafas lega oleh kedua – dua belah pihak. Masing – masing mengucapkan kesyukuran dan tersenyum senang. Namun tidak pada Ameer. Dia lebih mengenali hati budi perempuan itu, begitu juga dengan Eman Al Hadi. Sedikit pun dia tidak percaya dengan kata – kata yang keluar dari mulut isterinya itu. Apa yang terzahir di mulut Ameena mungkin tidak sama lansung dengan apa yang terbuku di hatinya. Ameer memandang curiga ke arah kakaknya. ‘ Apalah yang ada kat dalam kepala hotak kau ni Kakchik. Risau pulak aku ni. Malam ni, aku kena pastikan semua pintu pagar berkunci. Perempuan gila ni bukan boleh percaya sangat. Kesian Cikgu Eman nanti nak menjawab.’

Eman tersenyum memandang ke arah isterinya. Walaupun di dalam hatinya kegusaran sedang bermaharajalela. Ameena turut membalas senyuman tersebut,namun jelas sekali senyuman itu berunsur satu ugutan. ‘Aku perempuan cengeng kan! Aku bukan taste kau kan! Kau tunggu. Lepas ni kau tahulah siapa yang cengeng tu. Kau pun bukan taste aku la Mat Bangla!’

“Maklang! Tetamu nak jumpa pengantin. Boleh naik ke sini ke? Ke pengantin nak turun ke bawah?” Raihana , anak sulung kepada Hanisah muncul di muka pintu ruangan tersebut dengan muka yang sudah berpeluh. Mungkin sudah kepenatan melayan tetamu di bawah.

“ Pengantin turun ke bawah nanti Rai..” Ringkas sahaja jawapan Hajah Sufiah dengan senyuman yang masih belum lekang dari bibirnya.

“Eman.. Ameena.. jemput makan dulu. Alas perut yang kosong tu dulu. Dah siap nanti, kamu berdua turunlah ke bawah. Raikan orang-orang yang datang.” Semua yang ada mula beransur ke khemah di halaman hadapan rumah. Eman dan Ameena hanya menghantar dengan ekor mata. Ameena sempat memaut lengan Ameer yang baru berura-ura untuk turut beredar.

“Adik, kau jangan pergi mana – mana. Teman aku kat sini.”

“ Ameer, pergi tolong apa yang patut. Tambah lauk ke. Kau nak buat apa berkepit lagi dengan kakak kau tu. Dah jadi bini orang tu!” Ameer memandang ayahnya tidak berkelip. ‘Kenapa asyik aku saja yang kena hari ni.’ This is Unfair, ayahku!’ Ameer tersenyum kelat seraya berlalu.

“Amee, awak okay ke?” Eman berbisik dengan suara yang sangat perlahan. Bimbang didengari oleh bridemaids yang terdiri daripada anak – anak maklong dan makngahnya. Mereka semua tu, ramai yang wartawan tidak berlesen.

“Awak rasa?” Eman terkedu, soalan dijawab dengan soalan. Itulah Ameena yang selalunya.

“ Apa yang saya rasa, tak penting. Yang penting awak. Awak okay, saya pun okay.”

“Cikgu Eman... Awak tahu tak, jawapan awak tu murni sangat. Tak payah la nak berlakon. Mak bapak kita dah tak ada kat sini. Tinggal kita saja.”

“Amee... saya minta maaf. Yang semalam tu, saya tak bermaksud.. saya Cuma..” Kata – kata Eman tergantung sepi. Tidak berani dia menghabiskan ayatnya itu. Membulat mata Ameena memandang ke arahnya.

“Dah lah, makan lah.. nanti nak turun bawah. Kata tadi, lapar sangat. Ke nak kena hidang ni? Isteri kan kena layan suami.. Suami pula, boleh buat sesuka hati.. Bila suka bukan main pegang kemas-kemas. Bila tak suka, siap sepak guna hujung jari kaki lagi.” Nasi minyak disenduk laju ke dalam pinggan suaminya.

“Ya Allah ... Amee.. Jauh sangat dah ni. Awak cakap kat siapa ni? Orang yang awak cakap tu, dah lama berlalu dari hidup awak. Yang sekarang ni, awak tak boleh samakan dengan yang dulu. Lagipun, saya memang ikhlas terima awak.” Nada suara Eman seakan berkecil hati dengan tanggapan Ameena. ‘ Awak takkan cakap macam ni kalau awak tahu, macam mana saya separuh gila untuk terima kehilangan awak. Untuk lepaskan awak kepada kawan baik saya sendiri.’

“Awak yang letak syarat untuk tidak mahu berkenalan terlebih dahulu dengan saya. Bukan saya Amee.. Saya hormat dengan syarat-syarat yang awak letak. Hormat dengan keputusan awak.” Eman memandang tepat ke arah wajah Ameena. Keningnya yang berkerut seakan bertaut. Ameena mengalihkan pandangannya ke tempat lain ketika anak mata mereka bersatu.

“Mudah sangat seorang Eman Al Hadi ni ya. Awak tak rasa menyesal? Setuju dengan syarat – syarat bodoh bakal isteri awak tu? Kenapa awak boleh terima macam tu saja.” Ameena cuba memaniskan wajahnya di hadapan tetamu – tetamu yang datang bersalaman dengannya. begitu juga dengan Eman, untuk menjawab soalan Ameena, dia perlu lebih banyak mengkaji dan berfikir. Tersilap satu patah perkataan sahaja, sudah cukup untuk dia dibidas tajam oleh perempuan itu.

“Selamat pengantin baru!” Ucapan daripada para tetamu yang silih berganti di balas dengan senyuman manis dan ucapan terima kasih oleh mereka. Sedikit sebanyak Eman berterima kasih kepada tetamu yang hadir kerana dapat mengalihkan perhatian Ameena.

“Tak menyesal?” Eman menelan liur beberapa kali. ‘ Aku ingat dia dah tak nak tanya. Dia ni betul – betul kental. Kalau dia tanya, mesti dia nak juga aku jawab. Kalau tak jawab ni kang, mahu makan bulan juga soalan yang sama dia tanya. Aduhai.. Ameena Azzahra. Comel tapi degil. Manja tapi garangnya tak boleh buat main. Lembut tapi gilanya boleh buat aku runsing .

“Tak.. saya tak menyesal lansung. Sebab saya dapat apa yang saya nak. Selama ini saya kejar bayang. Tak sangka hari ini saya dapat orangnya.”

Gulpp! Air liur Ameena seperti tersekat dikerongkong. Begitu sukar untuk ditelan. Namun dibiarkan sahaja kata – kata itu berlalu dibawa angin tanpa sebarang balasan. Tanpa dia sedari, wajahnya sudah bertukar kemerahan. Eman tersenyum dan mengalihkan pandangannya. Tangannya terus menyuap nasi ke mulut. Perutnya sudah berbunyi. Sebelum lagi ramai tetamu datang, dia perlu makan sekadar untuk melapik perut. Begitu juga Ameena yang sudah tidak mahu bertanya banyak lagi. Bimbang Eman Al Hadi dapat mengesan gelojak hatinya.

“Cik Ameena, kalau dah siap makan.. boleh ikut saya ke bilik dulu? Saya nak touch up sikit wajah Cik.” Muncul seorang gadis yang mungkin seorang jurusolek dengan senyuman manisnya. Ameena menggangguk perlahan dan menghabiskan makanan yang masih bersisa di dalam pinggannya.

“Adik.. bukan cik, tapi puan.” Eman menyembunyikan senyumnya. Ameena pula hanya buat tak endah, bangun dan terus berlalu meninggalkan Eman.

“ASSALAMUALAIKUM!” Eman yang sedang menyambut huluran salam daripada para tetamu mendongak seketika mencari empunya suara tersebut.

“Ya, Allah Bro! Awak sampai juga. Bila sampai ni Bro? Dah makan ke? Jom kawan teman awak makan. Isteri dan anak – anak awak mana?” Huluran salam dari Fahmi di balas satu pelukan erat dari Eman. Tanda penghargaannya. Tidak disangka sahabat baiknya sampai juga di majlis pernikahannya.

“Ada tu ha. Kawan belum makan lagi. Kejap lagi kawan makan dengan anak – anak kawan tu. Awak duduk je sini. Jangan susah – susah. Selamat pengantin baru Bro. Kahwin juga awak ya.. Lepas ni susah dah la nak tengok awak dekat gelanggang. Mana isteri awak? Tak nak kenalkan ke?” Wajah Eman berubah sedikit cuak. Tidak pasti apa reaksi Fahmi nanti apabila mengetahui siapa isterinya.

“Nanti kawan kenalkan.. awak pergi makan dulu. Isteri kawan ada kat atas.” Eman menepuk – nepuk mesra bahu Fahmi dalam usaha menyembunyikan rasa cuak dihatinya. Manakan tidak, dia berkahwin dengan bekas isteri kawan baiknya sendiri. Apa pula kata Fahmi nanti. Tambahan pula, Fahmi lansung tidak mengetahui perkara yang terjadi antara Ameena dan Isa.

Dari jauh Ameena memerhatikan Eman yang sedang melayani tetamu. Dia melangkah perlahan diiringi bridemaids yang terdiri daripada adik – adik sepupu suaminya. Terasa seperti mimpi yang dia berkahwin sekali lagi dan lebih tidak percaya yang suaminya adalah orang yang pernah menjadi musuhnya juga orang yang tiba – tiba dia terjatuh cinta. Juga orang yang pernah meremukkan hatinya pada malam sebelum dia berkahwin.

Ameena berjalan ke arah gazebo yang dihias indah yang dijadikan tempat pengantin menyambut tetamu yang datang. Jantungnya yang berdegup kencang ketika itua. Langkahnya terasa seperti tidak menjejak bumi. Di dalam hatinya sangat mengagumi ketampanan suaminya. Segak berbaju melayu putih, bersampin dengan tengkolok terletak elok di atas kepalanya. ‘Aku bukan bermimpi kan?’

Eman yang tersedar kehadiran isterinya agak terkesima melihat wajah isterinya kini sangat cantik. Tidak pernah dia melihat Ameena secantik itu. Tiada lagi lebam di bawah mata. Hanya dengan solekan tipis wajah isterinya sangat menawan dan berseri.

“Cantik sangat.” Eman menghulurkan tangannya kepada Ameena yang sedang melangkah tangga gazebo. Sungguh Ameena sangat cantik dengan busana pengantin berwarna putih bersih. Mata Eman yang tidak berkedip memandang ke arah isterinya, membuatkan wajah Ameena berubah kemerahan. Suara – suara bisikan tetamu yang hadir hanya seperti angin lalu. Matanya sudah dipukau dengan kecantikan isterinya. ‘Ya Allah, aku bersyukur kepadamu. Kekalkanlah dia disisiku sebagai isteriku yang mencintaiku. Jadikanlah dia penyejuk hatiku. Jadikanlah dia isteri yang solehah untukku.’ Huluran tangannya bersambut. Terasa lembut sekali tangan isterinya.

“ Selamat pengantin baru bidadari syurga saya. Saya berjanji saya akan jaga awak melebihi nyawa saya sendiri. Saya berjanji saya tidak akan tinggalkan awak. Cuma maut yang boleh memisahkan kita. Saya berjanji, tidak akan ada lagi derita untuk awak. Awak tahu? kalau bulan itu boleh bercakap, dia akan cakap, dia malu untuk muncul lagi sebab awak lebih berseri darinya.” Eman menundukkan kepalanya sedikit ketika membisikkan kata-kata keramat itu. Kedengaran tulus dan ikhlas. Ameena menundukkan wajahnya. Berpura – pura membetulkan kainnya. Tidak berani dia bertentang mata dengan seorang Eman Al Hadi.

“Assalamualaikum.. Selamat pengantin baru, Bro!” Eman lantas mendongak tatkala mendengarkan suara itu. Wajahnya berubah pucat. Begitu juga Ameena. Dia menggengam kemas tangan kiri suaminya. Lansung dia takut untuk menoleh. Tangan kirinya memaut kemas pinggang suaminya demi mencari sedikit kekuatan. ‘Ya Allah, lindungilah kami.’

__Orchid_Violet__ 21/3/2023

Share this novel

Aimi Khalisa
2023-04-03 12:05:26 

Sambung plz


NovelPlus Premium

The best ads free experience