“ASSALAMUALAIKUM.. Selamat pengantin baru, Bro!” Eman lantas mendongak tatkala mendengarkan suara itu. Wajahnya berubah pucat. Begitu juga Ameena. Dia menggengam kemas tangan kiri suaminya. Lansung dia takut untuk menoleh. Tangan kirinya memaut kemas pinggang suaminya demi mencari sedikit kekuatan. ‘Ya Allah, lindungilah kami.’
“Waalaikumussalam.. terima kasih Bro! Datang dengan siapa?” Eman membalas genggaman tangan isterinya. Dia tahu Ameena pastinya tidak bersedia untuk semua ini.
“Aku datang seorang Bro. Siapa lagi nak teman aku. Single and available.” Isa ketawa kuat di hujung kata – katanya. Eman pula cuba mencari kekuatan untuk berdepan dengan Isa.
“Saya harap awak bersedia. Lambat atau cepat dia akan tahu. Saya ada di sisi awak. Jangan risau.” Eman berbisik perlahan di telinga Ameena. Ameena hanya mengerdipkan matanya sekali menandakan dia sudah bersedia. Dia menarik nafas sedalam – dalamnya.
“Bro, aku kenalkan isteri aku, Ameena Azzahra binti Tuan Zulkifli.” Ameena seraya berpusing dan mengangkat wajahnya. Dia cuba tersenyum, namun senyuman itu mati tatkala bertentangan mata dengan bekas suaminya itu. Wajah Isa serta merta berubah.
“Congratulation! You deserve this. Bro, aku harap kau dapat bahagiakan dia.” Senyuman terlukis di bibir Isa. Dia menepuk – nepuk bahu sahabatnya. Eman pula sepertinya terkaku seketika. ‘Semudah itu ke, Bro? Aku tak salah dengar ke ni? Ini bukan jawapan dari seorang Isa yang aku kenal.’ Namun kata – kata itu hanya terbit di dalam hatinya.
“Bro, aku minta maaf. Semua ini bukan apa yang kami rancangkan. Ameena tak tahu, aku pun tak tahu. Aku harap kau tak salah faham.” Tergambar perasaan serba salah pada wajah Eman.
“Eh, apa pula kau cakap macam tu! Jodoh kan rahsia Allah. Tak kisah la macam mana pun yang kita rancangkan. Aku harap kau bahagia, Bro! Ameena, selamat pengantin baru.” Mata redup Isa dipandang lama. Mungkin dia tak pernah kenal Isa secara lebih dalam. Mungkin Isa betul – betul ikhlas.
“Bro, kawan kena gerak balik dulu. Sebelum tu, kawan nak ambil gambar satu dengan pengantin.” Fahmi kali ini muncul bersama isteri dan anak – anaknya. Ameena memandang lama ke arah isteri Fahmi. ‘masih cantik macam dulu – dulu.’ Eman senyum lagi sambil mengangguk.
“Eh!..” Saat terpandang wajah pengantin perempuan, Fahmi sangat terkejut. Terus mati kata – katanya. Wajahnya turut berubah tatkala memandang Isa yang turut berada di situ. Jelas dia sangat – sangat terkejut.
“Bro, tutup mulut tu! Jangan terkejut sangat. Kat dunia tak ada benda yang mustahil.” Isa ketawa perlahan melihatkan gelagat sahabatnya,Fahmi. Namun kata-kata Isa ditelan pahit oleh Eman. Seolah – olah kata – kata itu mengandungi maksud tersirat.
“Bro, makan dulu jom!”Eman mempelawa Isa sekaligus cuba menutup kegusaran hatinya.
“Itulah, aku dari pagi tak makan ni. Mencari rumah kau, Bro. Susah juga nak jumpa. Tapi kau stay je kat sini. Pandailah aku layan diri.” Isa menepuk bahu Eman sebelum berlalu. Namun entah kenapa. Terdetik satu perasaan tidak enak di hatinya.
“Bro, kawan tak sangka sungguh. Masin juga mulut kawan. Tapi kawan nak pesan sikit, hati – hati dengan Isa. Kita kenal dia macam mana. Ya, manusia boleh berubah. Tapi bukan sekelip mata.” Fahmi memandang tepat ke dalam anak mata sahabatnya. Nada suaranya diperlahankan supaya tidak didengari oleh orang lain.
“Kawan harap dia betul – betul dah move on. Banyak yang awak tak tahu. Nanti ada masa kawan cerita. Kawan pun masih terkejut dengan kejadian hari ni. Kalau kawan tahu, siapa isteri kawan hari ni, sumpah kawan tak jemput dia. Biarlah jadi rahsia.” Eman turut sama merendahkan sedikit nada suaranya. Fahmi mengangkat keningnya agak terkejut. Eman pula menggelengkan kepalanya menjawab kepada soalan hati Fahmi.
“Abang, jomlah! Kata nak ambil gambar tadi.”Lembut kedengaran suara isteri Fahmi. Selembut orangnya. Ameena melemparkan senyuman manisnya kepada wanita itu. Dia suka memandang wajah itu. Semenjak dari sekolah lagi, dia dan kawan – kawan suka melihat wajah yang lembut dan cantik itu.
Dari bawah khemah tetamu, Isa menahan rawan di dalam hati. Sungguh dia tidak sangka. Hatinya koyak lagi hari ini. Kenapa takdir begitu kejam dengannya. Air mata yang hampir gugur diseka dengan helaan nafas yang berat. Dia senyum sendiri dalam usaha menutup kesedihan hati. Ya, Ameena berhak untuk mencari pengganti, tapi kenapa kawan baiknya sendiri?
“KAKCHIK, esok pagi kami dah kena bertolak balik. Abang long dan Abang Ngah kamu ni nak beli barang nak bawa balik sabah, takut tak sempat.” Ameena memandang ibunya tatkala namanya diseru. Dia tersenyum. ‘baguslah, tak payah nak berlama-lama kat sini.’
“Beg Kakchik dah siap. Kejap lagi Kakchik angkat masuk kereta.” Senyuman masih tak lekang di bibirnya. Dia memandang Eman di sebelahnya sambil keningnya sedikit terangkat. Memberi isyarat kemenangan.
Kartini dan Hajah Sufiah saling berpandangan. Berubah air muka Kartini ketika itu. Malu dengan ulahan anak daranya. Aryan dan Arief yang juga berada di situ turut menjenggilkan mata kepada adik perempuan mereka.
“Kau duduk sini la achik. Yang kau nak angkut beg kau tu kenapa? Kau dah hilang akal ke?” Aryan berbisik perlahan di telinga Ameena namun masih mampu didengari oleh Eman yang berdiri di sebelahnya. Eman berpaling menyembunyikan senyumannya. ‘Bagus Abang Long. Cuci sikit otak adik awak yang tak berapa nak elok ni. Ada ke nak ikut keluarga dia balik. Hahaha.. kelakar sangat.’
“Kakchik kan dah kahwin, kena ikut suami la. Lagipun, cuti sekolah belum habis lagi kan. Bercuti la dulu kat sini. Nak pergi mana cepat – cepat nak balik.” Kartini cuba menjernihkan keadaan. Dipandang wajah besannya penuh perasaan malu.
“ Betul cakap ibu awak tu Ameena. Nanti boleh pergi jalan – jalan dulu sekitar bandar kuantan ni. Dah puas pusing – pusing bandar kuantan, pergi temerloh pula. Ada masa lagi, boleh naik ke Cameron Highland.” Hajah Sufiah menyambung sambil tersenyum.
Eman hanya mengangguk tanpa bersuara. Kalau dia menambah ada yang berapi pula.
“Along Eman! Buat apa lagi tu. Acara dah nak mula ni. Kami dah susun elok ni. Cepatlah, jangan nak mengelat pula.” Suara Rafeq seakan bergema satu kampung. Rafeq adik kepada Raihana iaitu anak kepada Maklongnya memang suka mengenakan orang. Eman berpaling sambil mengangguk. Ameena pula sudah buat muka blurr.
“Kat kampung ni, kami ada acara khas untuk pengantin. Dah jadi tradisi. Jadi kami ikut sajalah. Bukan melanggar hukum pun, kan.” Eman memberikan sedikit pencerahan sambil tersenyum. Namun Ameena sepertinya masih belum faham.
“Pergilah Along, bawa Ameena ni, kenal – kenal dengan adik beradik kamu semua tu. Tapi jangan membazir air pula. Mak nak masuk ke dalam. Nak sambung borak dengan besan mak ni. Esok dia nak balik dah.” Ada sedikit kesayuan pada suara Hajah Sufiah. Kartini hanya tersenyum nipis. Dia tahu Hajah Sufiah tidak sampai hati nak lepaskan dia. Masih belum puas bersembang katanya. Dia memaut lengan sahabatnya dan beriringan ke ruang utama.
“Along Eman, Kaklong Ameena, silalah ya.. kami kat sini jadi saksi.. lepas siap basuh baru bagi kat kami. Meh duduk kat kekuda ni. Memang kami sediakan khas untuk pengantin.” Eman ketawa agak kuat dengan ulahan adik sepupunya, Rafeq.
“Tak faham la saya. Kenapa kita pula yang kena cuci semua benda ni. Malam – malam buta pula tu.Tak logik la tradisi kat kampung awak ni, Cikgu Eman.” Ameena berbisik perlahan. Nada suaranya jelas menunjukkan yang dia tidak puas hati. Sudahlah tempat tu sempit. Dia kena duduk tengah – tengah tempat cuci periuk dan kawah. Rapat – rapat pula dengan Eman.
“Tak apa, Amee tak perlu cuci, duduk je sebelah abang. Lepastu tolong jiruskan air je. Abang tahu Amee tak biasa dengan kerja – kerja ni semua.” Eman melemparkan senyumannya kepada Ameena. Bagaikan panahan petir pada mata Ameena. Cepat – cepat dia mengalihkan pandangannya. Dia kalah dengan mata redup lelaki itu ditambah pula lesung pipit yang melekuk dalam di kedua -dua belah pipinya.
“ Tolong sikit ya! Sedap – sedap saja cakap orang tak pernah buat kerja dapur. Cikgu Eman ingat saya ni anak manja ke?” Ameena menjeling tajam kepada Eman. Geram dengan ulahan lelaki itu.
“Kak Long Ameena dah lama ke kenal dengan Abang Long Eman ni?” Ameena mengalih pandang pada seorang gadis berkulit cerah kemerahan. Dia mengukirkan senyuman manisnya sambil berfikir jawapan apa yang patut dia berikan.
“Ini Raihana, kakak kepada budak Rafeq tu. Yang pakai baju biru tu, Razique adik kepada Rafeq. Lepas tu, yang comel dan manis ala – ala korean tu, adik bongsu mereka, Manja. Semua ni anak Maklong.
Yang kat sana semua anak dara Makngah. Keluarga kami ramai perempuan. Adik beradik saya sajalah semua lelaki.” Ameena menganggukkan kepalanya sambil tersenyum.
“Ceritalah Kaklong! Kami memang craving sangat nak tahu. Sebab Along kami ni, bukan pandai tackle perempuan pun. Terkejut kami bila tahu dia nak kahwin.” Raihana tersengih ke arah Eman sebaik menghabiskan kata – katanya.
“Hmm, akak tak tahu nak mula dari mana sebab akak pun tak tahu yang Along awak ni bakal suami akak. Akak pun tak tahu yang akak kena kahwin pagi tadi. Tak ada orang pun bagitahu akak.” Bersahaja jawapan Ameena. Raihana dan yang ada di situ turut terkejut.
“Jadi Along ngan Kaklong bukan couple dulu? Tapi mama cakap, Kaklong kerja satu sekolah dengan Along. Takkan tak kenal.” Kening Rafeq berkerut. Sukar memahami keadaan itu. Begitu juga kakaknya yang turut mengangguk.
“Along pun tak tahu. Yang Along tahu, majlis nikah Along hari ni. Siapa isteri Along, Along serahkan pada takdir sebab Along dimaklumkan awal – awal yang bakal isteri Along tak mahu ada sesi taaruf sebelum majlis.” Eman membalas serangan isterinya yang seolah – olah cuba menyalahkan semua orang. Ameena pula menjeling tajam.
“Kenapa Kaklong tak nak kenal bakal suami dulu sebelum kahwin?” Raihana masih belum puas hati. Cerita semakin rumit untuk difahami.
“Sebenarnya, akak tak sedia pun lagi nak kahwin. Tapi bila ibu dan ayah akak dah tetapkan, akak terima. Orang kata, keputusan ibu bapa kita ni kan yang terbaik. Tapi akak pun serahkan pada takdir. Siapapun, suami akak, akak terima. Sebab itu, akak tetapkan syarat yang akak taknak ada sesi kenal-kenal dulu.” Ameena harap penjelasannya cukup untuk membuatkan sepupu – sepupu dan adik beradik Eman faham kedudukan yang sebenar.
“ Untuk Along pula, Along rasa hari ni paling bermakna dalam hidup Along, bila dapat tahu, yang isteri Along adalah Ameena Azzahra. Korang nak tahu kenapa?”
“ Wah! Interesting bunyinya ni. Cepatlah Along, ceritalah! Macam drama korea pula!” Suara kuat Manja menarik minat anak-anak Makngah yang sedang mengeringkan pinggan mangkuk untuk menyertai mereka.
“Kenapa ni? Apa yang bunyi riuh sangat? Nak tahu juga.” Tania anak bongsu kepada Makngah muncul dengan wajah kemerahan. Mungkin sudah seharian kepenatan. Namun masih bertenaga untuk ambil tahu cerita sekeliling.
“Dulu Kaklong awak ni, pelajar Along. Waktu tu, dia tingkatan empat. Along pula baru mula mengajar selepas tamat pengajian di maktab. Dia dulu garang macam singa. Tapi Along suka usik dia. Suka tengok dia marah.” Membulat mata Ameena memandang ke arah Eman. Kulit wajahnya berubah kemerahan menahan malu. Eman ketawa lagi.
“Woww, seronoknya dengar! Jadi Along minat dekat kakak ni sejak dia sekolah, la kan? Bestnya, ada Cikgu minat kat kita..” Wajah Tania yang teruja itu menarik minat Ameena. Gadis ceria itu sangat cantik. Wajahnya seperti kacukan barat. Begitu juga adik beradiknya yang lain.
“Ini Tania, anak bongsu Makngah. Yang itu Sofea, kakak kepada Tania ni. Itu, dua orang tu, kembar. Tapi tak seiras. Deana dan Danea. Yang hujung tu anak sulung Makngah, Catherine. Dia tak pandai sangat cakap melayu sebab dari kecil dia dekat Scotland. Ayah diorang ni orang sana.” Eman tersenyum lagi.
“But i know if someone cursing me! And i will tell back to them, Mak kau hijau!” Kata – kata Catherine yang pelat itu di sambut ketawa kuat oleh semua yang berada di situ. Begitu juga Ameena. Riuh rendah jadinya suasana di situ dek penangan Catherine.
“AMEE, betul ke nak tidur kat sini. Abang tak kisah, tapi Abang risau kat Mak la. Takut dia bising. Penat diorang siapkan bilik pengantin. Alih- alih kita tidur kat sini pula.” Eman memandang ke arah isterinya yang duduk di birai katil sambil memandang skrin telefonnya.
“Cikgu Eman pergilah tidur sana. Saya tak paksa. Memang diorang sediakan bilik tu, untuk Cikgu Eman kan?” Ameena menjawab bersahaja. Dia masih belum boleh lupakan kata – kata hinaan lelaki itu pada malam tersebut. Rajuknya masih belum mampu dipujuk.
“Lah! Tak nama suami isteri la sayang oi... Kalau seorang kat sini, seorang lagi kat sana. Tak apalah. Abang tidur sini. Esok pandai – pandailah Abang jawab kalau mak tanya.” Eman melabuhkan duduknya di sebelah Ameena. Namun Ameena sedikit beralih menjauh.
“Abang minta maaf. Kata – kata Abang memang melampau. Tapi Abang tak sengaja. Abang.. sebenarnya.. taknak pun cakap macam tu. Betul cakap Amee, Abang sebenarnya takut. Takut untuk berterus terang. Lagipun, Abang tersepit. Abang tak boleh nak berterus terang sebab Abang rasa dah tak ada guna. Abang dah nak kahwin. Lagipun, Abang tak tahu yang cinta Abang selama ni berbalas.” Ameena agak terkejut dengan kata – kata Eman. ‘Cinta berbalas? Macam mana dia tahu.?’ Ameena lansung tidak mengangkat muka. Sungguh dia takut dengan kebenaran itu.
“Abang nampak, dan Abang dengar apa yang jadi selepas Abang pergi. Abang tak sangka, yang Abang dah hancurkan hati Amee. Hati orang yang sangat Abang sayang. Hati orang yang Abang nak jaga seboleh mungkin. Abang tak sangka, hati Amee sakit sebab Abang. Maafkan Abang. Abang tak sengaja.” Air mata Ameena mula bergenang. Sangat ikhlas kedengaran suara Eman di corong telinganya.
“Saya penat. Saya nak tidur. Suka hati awak nak tidur kat mana. Tapi jangan melebihi kawasan ini.”Ameena meletakkan satu bantal di tengah – tengah katil tersebut. Eman tersenyum nipis dengan telatah isterinya. Namun dia bersyukur, Ameena masih faham hukum. Cuma dia belum bersedia. Dan dia tidak akan memaksa.
AMEENA membuka perlahan matanya. Terasa segar badannya. Azan subuh sayup – sayup kedengaran dengan kokokan ayam jantan. Jarang dapat dengar suasana pagi macam ni dekat kawasan bandar. Dia memusing badannya ke kiri. Serentak dengan itu matanya membuntang melihat satu figura lelaki sedang nyenyak tidur disebelahnya.
Ameena menjerit dan serentak dengan itu satu tumbukan padu singgah di pipi kiri lelaki yang sedang tidur mengiring menghadapnya. Akal warasnya sudah ditutupi rasa takutnya.
“Aduh! Syyhh Amee!! Diam..” Eman yang terkejut dengan jeritan Ameena dan tumbukan padu isterinya itu segera terpisat bangun dan menarik serta memeluk kuat isterinya yang cuba untuk lari itu. Mulut Ameena ditekup rapat. Dia cuba menenangkan isterinya itu. Namun makin kuat Ameena meronta dan berusaha untuk menjerit.
Eman membaca ayat kursi dan dihembuskan ke telinga isterinya. Pada firasatnya mungkin Ameena meracau ataupun mengigau dalam tidur.
“Amee.. syhhh.. tenang sayang.. kenapa ni? Ni abang la.. Amee mimpi apa ni?” Ameena sedikit terkejut mendengar suara itu. Suara Cikgu Eman. ‘kenapa dia panggil aku sayang? Kenapa dia tidur atas katil aku?”Badannya sedikit mengendur dan tenang. Tidak lagi meronta seperti tadi. Terasa sedikit selamat tatkala mendengarkan suara itu.
“Jangan jerit ya. Tenang.. Abang lepaskan Amee sekarang. Janji jangan jerit ya.” Ameena mengangguk perlahan. Eman melepaskan pelukannya perlahan – lahan dan melarikan tangannya dari mulut perempuan itu. Ameena berpaling ke belakang. Sekali lagi matanya membulat melihat Eman hanya memakai singlet. Wajahnya terus berubah kemerahan kerana marah dan malu.
“Kenapa kau ada dalam bilik aku ha? Tidur atas katil aku ni lagi? Kau dah gila ke? Apa kau dah buat dekat aku?” Suaranya sedikit kuat namun tidak sekuat jeritannya tadi. Eman tersenyum dan memegang pipi kirinya. Terasa pedih dan ngilu. Sah isterinya hilang ingatan. Boleh tahan kuat tumbukan dia ni.
“Amee.. cuba mengucap.. istighfar! Cuba pandang sekeliling awak. Betul ke ni bilik awak? Betul ke ni katil awak? Ke awak yang tidur dalam bilik saya? Atau awak sebenarnya dah apa – apakan saya... Baik awak cakap betul – betul.” Eman mengerutkan keningnya. Sengaja dia mahu menyakat isterinya yang masih kebingungan.
Ameena terdiam sejenak. Matanya memandang sekeliling bilik itu. Terasa asing pula. ‘Ya lah.. ni bukan bilik aku. Kenapa aku kat sini? Dia culik aku ke?’ Ameena memejam rapat matanya. Cuba mengingati apa yang telah berlaku. Seketika matanya tebuka luas seolah-olah telah mengingati sesuatu.
“Ya Allah.. Ya Allah.. Suami aku!” Ameena terus menerpa ke arah Eman. Ditarik tangan Eman yang sedang menutup pipi kirinya. Ameena semakin kalut apabila melihat kawasan itu sudah kemerahan dan sedikit bengkak.
“Allah... Apa saya dah buat ni.. Awak suami saya lah.. Saya minta maaf. Saya tak sengaja..” Ameena meniup pipi perlahan pipi Eman. Eman pula sudah mula ketawa dengan telatah Ameena.
“Ya, Abang suami Amee. Tak apa.. untuk Amee , Abang sanggup kena tumbuk banyak kali pun. Abang rela. Tapi jangan tumbuk kuat – kuat macam tadi. Sakit..” Eman memegang tangan isterinya dan diletakkan dipipinya. Matanya redupnya merenung wajah isterinya. Ameena pula agak terpukau dengan pandangan redup itu. Jantungnya berdegup kencang. Terasa seperti ingin meletup dadanya.
“ASSALAMUALAIKUM..”
Arief yang sedang rancak berbual dengan Abang dan adik beradik Eman di pangkin berpaling ke belakangnya tatkala mendengar suara orang memberi salam. Wajahnya sedikit berubah. Ada debar di situ. Aryan sudah tersenyum.
“Waalaikumussalam.. Kak Airis. " Youseff adik bongsu Eman terlebih dahulu menjawab.
“ Ngah.. Airis nama dia..” Aryan berbisik perlahan kepada Arief.
“ Apa benda kau ni Abang Long. Diam boleh tak.” Aryan ketawa perlahan dengan reaksi Arief.
“Mak Kak Airis ada buat kuih sikit. Dia suruh hantar bekas ni dengan kuih ni. Cikgu Hajah Sufiah ada?” Airis melemparkan senyuman manisnya.
“Ohh.. terima kasih kak. Tapi mak tak ada, pergi pasar. Nanti saya bagitahu mak, ya.” Airis mengangguk perlahan.
“ Kalau macam tu, Kak Airis balik dulu ya.”
“ Ya, Kak. Hati – hati jalan.” Youseff menjawab penuh sopan.
“Kak Airis tu umur berapa? Macam muda lagi je. Kerja apa?” Aryan mulakan agenda risikannya. Arief pula sudah tidak senang duduk. Sesekali dia mengerling tidak puas hati dengan abangnya.
“Kak Airis sekelas dengan Angah kan? Jadi Umur 26 tahun la. Dia tak kerja. Tapi dia ada degree kalau tak silap. Tapi tak pasti jurusan apa.”
“Dulu dalam kelas, dia tak ada kawan sangat. Sebab mulut mak dia tu. Boleh dikatakan dia tu macam kera sumbang juga la. Kesian juga kadang – kadang. Tapi dia tu pelajar harapan sekolah. Mak dia tak bagi sangat dia berkawan sebab takut terpengaruh dengan benda tak elok.” Feraz menambah sambil matanya menghantar langkah Airis dari jauh.
“Mak dia yang mulut bising-bising tu ya? Nama apa dah?” Aryan menambah lagi.
“ Ya, Makcik Saleha nama dia. Mulut dia memang. Dia ada kawan seangkatan yang mulut sama dengan dia. Tapi mulut dialah paling puaka. Tapi Kak Airis tu, tak mengikut mak dia. Lebih kepada ayah dia, Pakcik Saleh.” Kali ini Yaser pula menambah sambil ketawa.
“ Abang nak tahu, dulu dekat sekolah, tak ada orang berani mengorat kak Airis sebab takut dengan mak dia punya mulut. Kalau nak diikutkan, Kak Airis tu perempuan yang paling cantik la dekat sekolah. Lembut, cakap pun sopan. Tak ada lansung macam mak dia. Kan Angah?” Feraz mengangguk mengiyakan kata-kata Yaser.
“Betullah tu.. tapi yang paling tak boleh hadam, Makcik Saleha pernah merisik Along tau. Abah yang cerita hari tu.” Kali ini semua mata memandang ke arah youseff. Bagaikan tidak percaya.
“Tak percaya tanya Abah. Nasib Along tolak, kalau tak hari-hari dengar suara halilintar.” Kata – kata youseff disambut ketawa kuat oleh semua yang yang ada disitu.
“Ada apa ni? Riuh rendah bunyi. Dari belakang dah boleh dengar.” Eman muncul dari sudut kiri rumah. Semua mata tertumpu pula kepadanya.
“Eh, Cikgu Eman. Kenapa lebam pipi tu? Hadiah malam pertama ke?” Aryan ketawa agak kuat di hujung kata-katanya. Eman hanya tersenyum kelat. Ditekup sedikit pipinya yang masih sakit itu.
“Nak cepat pagi tadi takut terlepas subuh. Sekali terhantuk dekat bendul pintu. Nampak sangat ke? Tadi Ameena dah tuam.” Eman cuba berdolak. Tidak mahu ada yang salah sangka.
“Kalau betul – betul terhantuk tak apalah.. bimbang kau kena smack down je. Ameena tu, boleh tahan gilanya.” Arief menambah dengan ketawanya yang semakin kendur.
“Ameer mana? Tak nampak dari tadi. Dah sarapan ke semua ni?” Eman mengalih topik. Bimbang terkantoi.
“Ameer tak tidur malam tadi. Katanya kena jadi pak guard. Tak faham juga budak tu. Tu tak bangun lagi tu. Tadi lepas subuh baru bangun.” Kening Eman sedikit terangkat. ‘ Pak Guard?’
“Kami belum makan lagi Along. Tunggu girls tengah sediakan makanan. Kami di larang masuk dapur sebab dah penuh dapur tu. Entah apa yang diorang buat tak tahulah. Jangan keluar dengan scramble egg dah la!” Yaser menekan perutnya yang sudah berbunyi. Kata- katanya sekali lagi disambut ketawa gamat. Eman hanya tersenyum. ‘Macam mana nak makan ni. Nanti mesti adik-adik kepoci kat dapur tu sibuk tanya. Amee! Dia kena settlekan benda ni. Nanti mak balik lagi bising.’
“Koi masuk bilik dulu. Sakit pulak perut koi ni.”Eman berlalu kembali ke biliknya. Tangannya pantas menekan skrin telefonya dan menghantar pesanan ringkas kepada Ameena.
‘Tolong Abang. Masuk bilik kejap.’
AMEENA sudah berada di dalam bilik ketika Eman sampai. Isterinya itu mengangkat kedua – dua belah kening tanda ingin tahu kenapa.
“Tolong Abang hilangkan lebam ni. Nanti mak nampak, susah kita.” Eman menunjukkan kesan lebam di pipi kirinya. Ameena tersengih. Terasa bersalah.
“Tunggu kejap. Duduk kat hujung katil tu. Nanti saya touch up. Sebelum tu. Cari kat youtube macam mana nak make up untuk hilangkan lebam.” Arahan isterinya itu dipatuhi. Tangan Eman pantas menekan skrin telefonnya.
“Okay, dah jumpa. Ni okay kot. Ni boleh?” Eman menyuakan telefonnya kepada Ameena yang memegang beg alat solekannnya di tangan. Ameena mengangguk yakin.
“Cikgu Eman dekat sikit. Jangan gerak sikit pun. Sampai saya siap. Ameena berdiri mengadap suaminya. Aroma minyak wanginya meresap masuk ke rongga bau Eman. Sekaligus membuatkan jiwa lelakinya bergetar. Namun dikeraskan juga hatinya. Tidak mahu cepat melatah.
“Lain kali jangan tidur dekat sangat dengan saya. Dah makan penumbuk pagi – pagi. Eman hanya membatu sambil menghayati bau nafas Ameena yang terasa panas di wajahnya. Wajah isterinya begitu rapat dengannya. Jiwa lelakinya hampir goyah.
‘Kenapa diam je orang tua ni. Biasa ada saja yang dia nak bahaskan. Ni diam tak berkutik ni.’
“Okay dah siap! Boleh ke tak macam ni?”Ameena menyuakan cermin kecil kepada suaminya. Eman tersenyum.
“Awak memang terbaik. Tapi ni.. macam merah lagi. Cuba awak touch up sikit kat sini.” Eman menunjukkan jari di sebelah atas pipi kirinya. Ameena sedikit membongkok untuk melihat kebenaran kata – kata Eman. Tiba – tiba Eman mendorong wajahnya ke depan dan satu ciuman singgah di pipi kanan isterinya.
“Terima kasih. Itu hadiah untuk awak. Sedap bau minyak wangi awak.” Eman bangun dan meninggalkan Ameena yang masih termangu. Terkejut dengan tindakan berani Eman yang lansung tidak dijangkanya.
ISA menghentak kuat stereng keretanya. Dia masih tidak boleh terima apa yang dilihat dengan mata kepalanya sendiri. Kawan baiknya sendiri mengkhianatinya.
‘Kenapa honey pilih dia. Kenapa bukan orang lain yang B tak kenal. Tapi sekurang – kurangnya kau kenal siapa Eman. Sekurang – kurangnya kau tahu Eman mampu lindungi Ameena. Kau patut bersyukur. Dengan apa yang dah kau lakukan pada Ameena, kau ingat mudah dia nak terima lelaki lain dalam hidup dia?’
Air mata jantannya laju menuruni pipinya sambil bermonolog sendiri. ‘Patutlah kau beria – ria Bro, jemput aku datang majlis kau. Ini sebenarnya yang kau nak sampaikan. Kau nak tunjuk kau dah menang, kan? Tak.. tak.. kau bukan macam tu. Kau tak tahu nak cakap macam mana kat aku kan? Sebab tu kau buat macam ni. Sekurang – kurangnya kau tak sembunyikan dari aku.’
Separuh hatinya ingin menyalahkan Eman, namun separuh lagi cuba untuk mempercayai lelaki itu. Dia berperang antara perasaan dan akalnya. Seketika kemudian dia menghentak kuat kepalanya di stereng keretanya menyebabkan bunyi hon yang agak kuat. Mujurlah hanya dia yang memakir kereta di situ. Di tempat honeymoon pertamanya bersama Ameena. Tempat dimana dia melafazkan talak kepada Ameena. Sungguh dia menyesal dengan apa yang terjadi. Sukar untuk menerima yang Ameena bukan jodohnya.
“KAMI balik dulu ya, Sofi.. Cikgu Hashim.. Nanti ada masa kami datang lagi. InsyaAllah. Nanti Ameer ni dah habis belajar, senang la sikit nak tinggalkan pejabat dia tu.” Kartini memeluk erat sahabat baiknya itu. Begitu juga Tuan Zulkifli dan Haji Hashim.
“Saya tinggalkan Ameena dengan awak. Ada apa-apa salah.. tegurlah.. anggaplah dia macam anak awak.” Risau Kartini untuk tinggalkan Ameena di situ. Hatinya tidak berapa tenang. Maklumlah, pernikahan yang diaturkan. Walaupun mereka saling mengenali.
“Jangan risaulah Tini, Tuan Zul.. Ameena ni bukan dah macam.. dah memang anak kami pun.” Hajah Sufiah memaut bahu Ameena rapat ke sisinya. Ameena pula hanya tersipu malu.
“Kakchik.. jaga perangai tu. Dengar cakap suami. Jangan derhaka, dan jangan melawan. Ingat pesan ibu ni. Jangan buat-buat lupa pula bila ibu dah tak ada kat sini.”
“Dengar tu Kakchik. Tak puas hati apa – apa bincang.. jangan terus nak naik kaki tangan.” Semua mata tertumpu kepada Ameer sebaik sahaja dia habis bercakap. Eman juga turut menjungkitkan kening. ‘Dia ni perli aku ke? Ke dia tahu apa yang jadi pagi tadi. Dia dengar ke? Along cakap dia tidur lepas subuh sebab jadi Pak Guard! Kantoi la ni?’
“Kenapa? Adik salah cakap ke Ibu? Maaf semua.. Abaikan.. Saya tersilap cakap..” Ameer kelihatan teragak-agak. Dia memang maksudkan. Dia kenal siapa Ameena. Ameena tu dah tangga matahari dalam taekwondo. Tali pinggang Merah! Sikit lagi nak dapat tali pinggang hitam. Silat pun dia dah sampai tahap tinggi.
“Nanti Ameer balik London semula la ya? Baik – baik kat sana.. jaga diri. Nanti jumpa lagi.” Cikgu Hashim menitip pesanan ikhlasnya. Ameer membalas dengan anggukan perlahan sambil tersenyum hormat.
“Kalau ada yang terpikat kat mana-mana anak dara kat sini.. bagitahulah. Besar tapak tangan nyiru kami tadahkan..” Hajah Sufiah ketawa agak kuat di hujung kata – katanya.
“InsyaAllah... Kalau ada jodoh, datanglah lagi kami ni Makcik..” Arief menyiku kuat lengan Aryan yang dengan lantang bersuara. Namun Aryan hanya beriak selamba. Apalah sangat siku si Arief tu berbanding peluru yang pernah menusuk ke tubuhnya.
“ Eh, Aryan.. kamu jangan buat hal. Tunang kamu kat sabah tu, jangan lupa.” Kartini menjeling tajam kepada anak sulungnya. Aryan makin galak ketawa melihat reaksi ibunya.
“Gurau je la Ibu.. takut sangat dia. Terima kasih pakcik, makcik ngan adik-adik semua dah layan kami sepanjang kami berada di sini. InsyaAllah, panjang umur jumpa lagi. Kalau ada yang nak bercuti kat Sabah, jangan lupa contact Abang.” Aryan menghulurkan tangan bersalam dengan semua yang ada di situ. Begitu juga dengan Arief dan Ameer.
Sayu hati Hajah Sufiah untuk melepaskan sahabatnya setelah lama tidak berjumpa. Sahabat sejati memang sukar dicari. ‘Sampai bertemu lagi adikku.’ Hajah Sufiah mengesat lelahan air mata yang bertakung sejak dari tadi sambil menyaksikan kenderaan milik sahabatnya berlalu meninggalkan perkarangan kediamannya.
Share this novel