BAB 1 : MENTOR

Romance Series 63528

Hari ini, Ameena mengenakan sepasang baju kurung cotton berwarna ungu lembut, dihiasi corak abstrak yang seolah-olah menari halus di permukaannya. Tudung bawal ‘dusty purple’ dililit ringkas, melatari wajah yang polos tanpa secalit solekan. Hanya bibirnya dioleskan sedikit pelembap berkolagen, cukup untuk mengekalkan kelembutan dan rona semula jadi.

Ameena tidak pernah selesa bersolek tebal. Dia percaya, kecantikan yang sebenar tidak memerlukan topeng. Cukuplah kulit wajah yang dijaga rapi setiap malam dengan sapuan moisturizer, menghadirkan seri yang tidak dibuat-buat.. jujur dan tenang, seperti jiwanya.

Pagi ini adalah hari keduanya bergelar seorang pendidik. Di bawah langit yang masih biru kelabu, Ameena tiba di perkarangan sekolah, sepuluh minit sebelum jam berdetik ke angka tujuh. Sekolah itu masih asing, namun tidaklah sunyi. Seperti bangunan tua yang menyimpan banyak cerita, ia berdiri teguh menyambut langkah-langkah baharu, termasuk langkahnya.

Kata pengetua, hari ini dia akan diperkenalkan dengan mentornya. Dalam fikirannya, mungkin seseorang daripada panitia Bahasa Melayu. Mungkin Cikgu Fahmi. Atau barangkali Cikgu Hasmah, jika guru itu masih di sini, masih setia pada kerusi dan kapur di papan hitam.

“Cikgu Ameena! Awalnya datang... Nak buka pejabat ke?”

Satu suara menyergah mesra dari belakang. Ameena hampir terlompat kecil. Jantungnya terasa seperti terlucut sesaat dari tempatnya.

Dia berpaling. Di hadapannya, seorang wanita dengan senyuman manis sedang tersengih tanpa rasa bersalah. Wajahnya berseri dalam cahaya pagi yang samar, dan seperti biasa, anggun dalam caranya yang sederhana.

"Kak Teha ni... Amee je lah, kak. Kalau panggil saya ‘Cikgu’ lagi, saya rotan baru tahu..." balas Ameena, sambil mengurut dadanya, cuba menenangkan debar yang masih bersisa.

Kak Fateha ketawa kecil, tawa yang penuh dengan kasih dan sedikit nakal.

“Alahai... Seriusnya adik akak yang baru jadi cikgu ni! Tapi nak buat macam mana, ‘tittle’ tu dah lekat. Dari sekarang sampai ke liang lahad, orang tetap akan panggil awak Cikgu. Itu tanda hormat, tahu?”

Ketawanya pecah sedikit lebih kuat kali ini, mengisi ruang pejabat yang masih lengang dengan hangat pagi. Ameena hanya membulatkan mata.. ada benarnya kata-kata itu. Jawatan ini bukan sekadar kerja, ia adalah amanah yang dibawa hingga ke akhir hayat.

Mereka melangkah masuk ke pejabat sekolah, beriringan. Langkah Ameena sedikit perlahan, menyesuaikan diri dengan suasana dan degup baru yang kini menjadi dunianya.

Dia melabuhkan duduk di atas sofa kecil di ruang menunggu, sementara Kak Fateha mula mengemaskan fail-fail di meja kerjanya. Tangan wanita itu lincah, wajahnya tenang. Sudah terbiasa dengan beban yang tidak pernah ringan. Kadangkala, guru-guru akan datang menghampirinya, meminta bantuan menyiapkan surat rasmi, menyemak dokumen, atau sekadar meminjam telinga yang bersedia mendengar.

Fateha tidak pernah berkira. Mungkin itu yang menjadikan dia sentiasa sibuk, namun tidak pernah mengeluh. Dalam diam, Ameena mengaguminya

“Assalamualaikum...”

Suara garau itu menembusi ruang pejabat yang tenang. Milik Cikgu Yusof iaitu pengetua sekolah, seorang lelaki berpenampilan klasik. Gaya rambutnya disisir kemas ke tepi, berkemeja putih lengan panjang dengan seluar slack hitam. Seperti terpinjam dari zaman 50-an, kehadirannya seolah-olah membawa bersamanya semangat guru-guru lama yang tegas namun berbudi.

Ameena tersenyum kecil dalam hati. Semalam, lelaki itu sempat berbisik bahawa tahun depan mungkin tahun terakhirnya sebagai pendidik. Wajahnya bersahaja, tapi sarat dengan kisah dan pengalaman.

Ameena menjawab salam dan segera bangun sebagai tanda hormat.

“Cikgu dah bersedia?” tanya Cikgu Yusof sambil menyelak sedikit langsir pintu pejabat kecilnya.

“Cikgu Ameena tunggu di bilik saya dahulu. Sekejap lagi mentor cikgu akan sampai. Nanti dia akan bawa cikgu ke bilik guru dan kenalkan pada semua warga sekolah ini.”

Ameena hanya mampu mengangguk. Diam-diam, dia menyusun nafas, menyembunyikan resah yang mula menjalar dalam dada. Langkahnya mengekor dari belakang, satu-satu, seperti anak kecil yang takut dihantar ke darjah satu. Ruang pejabat itu terasa lebih sejuk, lebih sunyi.

Penerangan kedua dari Cikgu Yusof hanya melintasi gegendang telinganya seperti angin lalu. Tiada satu pun yang melekat kemas dalam fikiran. Dalam hati, kekalutan mula menari liar.

‘Kalau aku tak boleh perform macam mana? Kalau Cikgu Fahmi tu sebenarnya berlakon ramah semalam? Kalau dia tak puas hati dan malukan aku depan pelajar? Ya Allah... janganlah Kau biar aku jatuh...’

Ameena menyentuh dadanya. Jantungnya berdegup bagai gendang perang. Dia menarik nafas sedalam mungkin, cuba menenangkan diri yang semakin tenggelam dalam ombak cemas.

“Cikgu Ameena!”

Laungan itu sedikit tinggi, mengoyak lamunannya.

“Awak dah bersedia ke? Mentor awak dah ada kat sebelah ni.”

Dia tersentak. Segera bangun berdiri, berpaling ke kiri sambil menghadiahkan senyuman. Senyuman yang dibuat-buat untuk menyembunyikan gelora yang belum reda.

“Maafkan saya, Cikgu...”

Namun sebaik sahaja pandangannya tertancap pada wajah di hadapan, nafasnya seolah-olah terhenti. Dunia terasa sunyi, seperti kaca yang pecah dalam gerakan perlahan.

Wajah itu...

Wajah itu seakan mencabut seluruh kekuatan dari tubuhnya.

Kulit wajahnya pucat. Seandainya ditoreh, barangkali tidak berdarah.
Sekelip mata, hatinya terjunam ke dasar gelisah yang dalam. Ingin rasanya dia melarikan diri, keluar dari bilik itu, keluar dari sekolah itu, keluar dari seluruh takdir yang sedang berdiri di hadapannya

“Assalamualaikum, Cikgu Ameena.”

Suara itu tenang dan berwibawa, tapi cukup untuk menggetarkan seluruh tubuhnya.

“Saya Cikgu Eman Al Hadi, Panitia Bahasa Melayu sekolah ini.”

Nada suaranya teratur, setiap patah kata seperti disusun dengan hati-hati.

“Insya-Allah, cikgu akan berada di bawah pemantauan saya selama tiga bulan. Selamat bekerjasama. Kalau tiada apa-apa, bolehlah kita beredar ke bilik guru.”

Dia meletakkan tangan kanannya di dada kiri.. penuh adab, penuh makna. Isyarat perkenalan yang tidak sekadar sopan, tetapi membawa aura yang tidak terucap dengan kata-kata.

Ameena hanya mampu menjawab salam itu dalam diam yang beku. Suaranya terhenti di halkum, seperti tersekat oleh gumpalan kenangan dan debar yang bersatu menjadi kabus dalam dada.

Wajah itu...

Ya Tuhan... Wajah itu datang semula, bukan dalam mimpi, bukan dalam ingatan tapi di hadapan mata. Hidup. Bernyawa.

Cikgu Eman Al Hadi membalas dengan sebuah senyuman. Bukan sebarangan senyuman tapi senyuman yang memiliki karisma seorang lelaki berprinsip, yang menyembunyikan banyak kisah di sebalik redup matanya.

Ameena terasa lututnya longgar. Nafasnya pendek. Tangannya berpeluh. Dalam hati, satu jeritan diam meletup.

‘Matilah aku...’

“Ha, iyalah... terima kasih, Cikgu Eman,” ujar Cikgu Yusof sambil mengangguk kecil. Nada suaranya bersahaja, tapi ada nada gurau yang mula menyelit di hujung ayat.

“Saya harap cikgu dapat berikan tunjuk ajar pada Cikgu Ameena kita ni. Terangkan juga visi dan misi sekolah dengan jelas ya. Bagi dia semangat sikit.”

Belum sempat sunyi bertapak, Cikgu Yusof menambah dengan senyuman nakal di hujung bibir,

“Cikgu Eman ni bujang lagi. Cikgu Ameena pun sama, kan? Dekat sekolah ni ramai cikgu-cikgu muda, bujang-bujang belaka. Tak tahu saya apa yang mereka ni tunggu. Untung-untung, bila dah ada sekuntum bunga segar mekar di taman ilmu ni… mungkin adalah kumbang yang terpaut.”

Tawa Cikgu Yusof meletus galak, bergema di ruang sempit itu, disambut pula dengan senyum malu Cikgu Eman yang sekadar mengangguk kecil, tidak membantah, tidak juga mengiakan.

Ameena pula hanya mampu tersenyum kaku. Tangannya menggenggam jemari sendiri di balik baju kurung, menahan debar dan jengah yang menular ke ubun-ubun.

‘Ke situ pula Cikgu Yusof ni…Ingat aku datang sini nak cari jodoh? Bukan. Bukan itu tujuanku. Aku datang untuk mendidik. Untuk menyulam cita. Bukan untuk jadi umpan gurauan begini...’

Namun senyumannya kekal terukir.
Kerana dia tahu, di dunia orang dewasa, senyuman kadangkala adalah perisai paling ampuh untuk menyembunyikan gelora dalam dada

Ameena dan Cikgu Eman melangkah seiring menuju ke bangunan Blok B, tempat bilik guru yang mula memancarkan cahaya kehidupan baharu buat Ameena.

Langkah mereka selari, tapi jiwa masing-masing seolah berjalan pada frekuensi berbeza.
Sunyi menyarung perbualan mereka bukan kerana tiada kata, tetapi terlalu banyak yang tidak terluah.

Hening itu dipatahkan oleh suara lelaki di sisinya.

“BPG ke? Atau STPM?”

Pertanyaan itu datang tiba-tiba, membuatkan Ameena sedikit tersentak. Dahinya berkerut halus.

‘Apa dia ni cakap? Nak tanya pun pelik sangat bunyi.’

“MPPC,” jawabnya ringkas, hampir malas. Tapi tenang. Cikgu Eman menoleh, berkerut dahi. Air mukanya nyata keliru.

“MP... apa? Apa benda tu?” Suaranya naik separuh tawa. Macam betul-betul bingung.

Ameena membalas tanpa nada, “Maktab Perguruan Pengkalan Chepa.”

“Ooh... terus ke destinasi. Tak sempat nak soal siasat.”

Dia tergelak kecil, sengaja mengusik. Senyuman senget di bibirnya membentuk lesung pipit di pipi kanan seolah menambah rencah kepada gurauan yang tidak dijemput.

Ameena menunduk sedikit, melajukan langkah tanpa menyambut usikan itu.
Dia tak suka disoal panjang. Apatah lagi oleh lelaki yang suatu masa dulu pernah hadir dalam satu episod gelap dalam hidupnya atau paling tidak, terlalu hampir dengan bayangan itu.

Cikgu Eman memandang gadis di sisinya yang makin menjauh dalam diam.

‘Payah juga nak faham dia ni. Tegas. Dinginnya bukan main. Salah aku ke?
Atau... dia memang begitu sejak azali?’

Langit pagi semakin cerah. Tapi antara dua jiwa itu, mendung masih belum reda.

“Dua puluh tiga tahun, kan?” Suara Cikgu Eman kembali mengisi ruang yang tadi sepi.

Nada itu lembut, tapi cukup untuk membuatkan langkah Ameena sedikit berat.
Dia mengeluh dalam diam.

‘Panjang pula laluan ke bilik guru ni. Dan sempat pula dia kira umur aku... Dia ingat lagi tahun aku ambil SPM?’

Ameena berpaling sedikit, menahan perasaan yang bercampur baur.

“Ya, saya.”

Dia cuba untuk mengawal nada agar kekal profesional.
Kemudian.. hampir tanpa sedar, dia bertanya,

“Cikgu pula umur berapa?”

‘Be professional, Ameena. Don’t be awkward. Jangan macam budak sekolah!’

Cikgu Eman ketawa kecil. Matanya beriak terhibur.

“Eh? Awak tak tahu umur saya? Habis tu selama ni awak ingat saya ni umur berapa?”

Dia menyambung, “Dulu masa awak tingkatan empat, saya baru posting. Freshie macam awak sekarang. Masa tu saya pun 23 tahun juga.”

Dia melemparkan senyuman yang bukan sekadar manis tapi tenang dan tulus. Senyuman yang anehnya... buat dada Ameena terasa berombak kecil.

‘Eh, kenapa dengan aku ni? Janganlah goyah, Ameena... Fokus.’

Dia menghela nafas dan bersuara semula, kali ini dengan nada lebih tegas.

“Maaflah cikgu… Dulu saya tak ambil pusing sangat pasal umur cikgu-cikgu ni.
Yalah, saya datang sekolah nak belajar, bukan nak cari jodoh.”

Dia berhenti sejenak, menjeling sedikit, “Kan, Cikgu Eman Al Hadi?”

Tersentap sedikit lelaki itu. Senyumannya mati perlahan-lahan. Tapi bukan kerana terasa.

Lebih kepada... ‘Kau ingat lagi rupanya, Ameena...’

Dia hanya mampu mengangkat kening sedikit, menyembunyikan rasa yang mula mengusik di dalam.

‘Hai lah perempuan… kecil sangat benda dulu tu, tapi kau masih simpan sampai sekarang?’

Dan mereka meneruskan langkah, masing-masing tenggelam dalam bisikan diam yang hanya mereka sendiri faham atau belum bersedia untuk fahami.

Ameena menarik nafas lega sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam bilik guru. Alhamdulillah, waktu masih awal. Ruang itu belum sesak, dan suasana masih tenang. Beberapa wajah baru mengangguk sambil senyum menyambut kehadirannya. Ada juga wajah-wajah berpengalaman yang telah lama berkhidmat di situ.

Satu demi satu guru diperkenalkan oleh Cikgu Eman dengan nada datar dan tenang. Ameena menyambut setiap perkenalan itu dengan sopan dan senyum terkawal. Profesional. Itu yang dia tekankan sejak awal.

Namun tiba-tiba..

“Ya Rabbi... bertuahnya anak! Awak ke ni? Ameena?”

Satu suara lantang memecah kesunyian. Ameena berpaling, hampir terkejut. Tapi senyumnya melebar apabila melihat figura yang cukup dikenali.

“Eh, ni anak didik kita ni, Cikgu Suzie! Awak ingat tak? Patutlah saya rasa macam pernah nampak!”

Cikgu Zaharah. Guru veteran yang garangnya pernah menjadi mimpi ngeri pelajar. Suatu masa dulu, jika ada sesiapa berani bersuara waktu dia mengajar, alamatnya.. berdiri di luar kelas sambil bawa buku. Dan belajar... ikut tingkap.

Ameena tersenyum, tunduk sedikit tanda hormat.

“Ya, saya, Cikgu Zaharah.”

Wajahnya masih menyimpan memori lama. Dia sendiri tidak akan lupa waktu dia dihukum berdiri di luar kelas. Hanya kerana mengulas semula isi pelajaran untuk rakan sebelah.

Walaupun di luar kelas, hukumannya tetap satu, jangan bercakap sampai habis waktu.

“Awak kelas sains tulen dulu, kan? Apa tak ingatnya. Saya yang ajar Fizik kelas awak.”

Cikgu Zaharah masih seperti dahulu suaranya tegas dan bersemangat.

“Batch awak ni… lima, enam tahun lepas, ya? Saya ingat Ameena ni, Kak Za. Tanyalah apa saja soalan masa tu, dia mesti jawab. Betul salah tolak tepi, yang penting yakin. Itu yang buat saya ingat sangat!”

Ameena ketawa agak lepas kali ini. Terhibur dengan cara Cikgu Zaharah yang masih berapi, tapi dengan kasih seorang pendidik sejati.

Cikgu Suzie turut ketawa kecil di sebelah.

“Memang confident budak ni dulu. Tapi sekarang dah jadi cikgu, pandai-pandailah cover ya?”

“InsyaAllah, Cikgu Suzie…” jawab Ameena sambil ketawa lagi.

Di satu sudut, Cikgu Eman hanya memerhati. Senyumnya tawar, wajahnya seperti biasa.. tenang, tapi entah kenapa terasa ada riak yang payah ditafsir.

“Okay lah, Kak Za, Kak Suzie… Saya bawa ‘ex-student’ awak ni pusing-pusing sekolah dulu. Dah lama dia tinggalkan sekolah ni. Banyak benda dah berubah,”

Ujar Cikgu Eman, memecah gelak tawa yang mula menggila antara mereka bertiga.

Suasana bilik guru tadi memang makin rancak. Kalau dibiarkan, pasti makan masa. Sebagai orang yang sedang menguruskan orientasi, dia sedar masa tak menunggu.

“Yalah, Cikgu Eman!” sahut Cikgu Zaharah dengan senyuman penuh maksud.

“Baik-baik bawa anak dara orang tu… Jangan bergaduh pula tengah jalan!”

Ada nada sinis di situ. Sengaja dibiar terapung, menyengat. Cikgu Suzie sudah menjeling, kening terangkat, antara nak tergelak atau nak menyampuk.

Cikgu Eman menelan liur, namun tetap meletakkan tangan kanan ke dada, memberi isyarat sopan seperti biasa. Dia tidak menjawab, sekadar angguk dengan wajah tenang. Gentleman. Seperti selalunya.

Ameena pula berdiri di sisi, hanya mampu senyum nipis. Dalam hatinya lain. Mula tergugat.
‘Macam tak cukup oksigen kat bilik guru ni. Kenapalah.. dia ni...’

Langkahnya diatur perlahan-lahan, mengikut dari belakang. Langsung tak mahu berjalan seiring. Biarlah dia di hadapan. Dia kan mentor. Lagipun, Ameena lebih selesa begitu.

Sambil berjalan, dia membelek-belek modul orientasi di tangannya. Acah-acah sibuk.
Konon buat semakan tugasan, padahal lebih kepada nak elak mata bertentang dengan Cikgu Eman.

‘Banyaknya benda nak kena buat dengan dia ni! Dua minggu pulak tu. Lambatnya nak mula mengajar…’

Keluhnya dalam hati.

Cikgu Eman tenang saja memperkenalkan blok-blok kelas, kemudahan baharu, tempat wudhu, kantin yang kini berpindah ke sebelah surau. Suara dia seperti biasa, terkawal dan informatif.

Namun, bagi Ameena, setiap langkah terasa berat. Tumit tingginya terasa menggigit betis sendiri. Tapi dia diam saja. Cuba kekal profesional.

Sehinggalah mereka tiba di satu lokasi, koridor lama antara makmal sains dan dewan kuliah mini. Ameena terhenti. Nafasnya sedikit tercungap. Dada rasa sempit.

Tempat itu.
Tempat kejadian.

Satu kenangan yang tak pernah dia mahu ingat tapi hari ini datang menyerbu tanpa amaran.
Lokasi yang menjadi titik mula bagaimana segalanya berubah antara dia dan Cikgu Eman Al Hadi.

Waktu itu dia masih pelajar. Dan lelaki itu…Melampau. Sangat melampau. Hingga hati seorang gadis 16 tahun terbelah dua.. antara hormat dan marah.

Ameena tunduk sedikit. Modul di tangan digenggam kuat. Dia tak tahu nak salahkan siapa. Tapi dalam senarai paling atas tetap nama lelaki itu.

Cikgu Eman pula, masih berdiri beberapa langkah ke hadapan. Tidak sedar riak wajah Ameena sudah berubah.

“Kat sini dulu bilik AV, tapi sekarang dah jadi stor bahan STEM,” katanya, masih tenang, seolah-olah lokasi itu tiada makna istimewa pun.

Ameena mendongak perlahan. Matanya menikam wajah lelaki itu dari belakang.

‘Macam tak ada apa-apa berlaku... Macam tak pernah pun kau buat sesuatu yang sampai hari ni aku masih ingat…’

Tapi dia diam. Seperti selalunya. Kerana kalau dia buka mulut, takut tak tertutup semula.

‘Kenapa dengan Minah ni? Taman botani saja pun! Nak kena orientasi juga ke?’

Cikgu Eman membuntuti langkah Ameena dengan wajah yang sukar dibaca. Langkahnya longlai tetapi tidak lambat, seperti sedang cuba menyeimbangkan diri dalam arus kenangan.

Taman botani sekolah itu terletak jauh di penjuru paling sunyi. Antara tempat yang jarang dijejaki pelajar, kecuali… Yang nakal-nakal. Yang anggap tempat tu lokasi selamat untuk ‘date’, lepas waktu prep petang.

Eman tahu tempat itu. Terlalu tahu. Kerana tempat itu bukan sekadar taman bagi dia. Dan juga bagi Ameena.

Langkahnya terhenti beberapa meter di belakang.

Ameena berdiri di hadapan plot tanaman herba. Jari-jarinya menyentuh rimbun daun misai kucing.

Wajahnya tenang dari luar, tapi dari gerak bahu dan cara dia berdiri… Eman tahu, itu bukan tenang yang biasa.

Tiba-tiba...

“Mulut manusia kalau bersuara tanpa akal yang waras, boleh jadi racun, kan Cikgu Eman Al Hadi?”

Ameena berpaling. Matanya menikam. Nadanya datar, tapi cukup untuk mencarik kulit hati yang sudah lama berkerak.

Cikgu Eman kaku. Tercegat seperti murid yang tertangkap curi kertas soalan. Lidahnya terasa kaku, tekak terasa sempit. Dia menelan liur, sekali, dua kali, tetap terasa payah.

Ya. Dia tahu apa yang Ameena maksudkan.

Dan di situlah letaknya luka yang belum sembuh. Kata-kata dahulu, yang mungkin baginya biasa… telah menjadi racun yang masih berbisa buat seorang gadis muda yang hanya ingin difahami.

Eman menghela nafas. Lama. Dalam. Cuba mencari nada paling neutral.

“Hmm… Cikgu Ameena… Saya rasa kita balik ke bilik guru dulu. Pukul 9 suku nanti saya ada kelas. Nanti saya akan tinggal buku rekod saya untuk cikgu tengok.”

Nada suaranya terkawal, tapi tidak cukup untuk menyembunyikan getar dalam dada.

Ada rasa bersalah yang mula menyelinap, perlahan, seperti air hujan yang menitis masuk dari celah atap reput.

Tapi… untuk lafazkan ‘maaf’? Masih terlalu berat.

‘Ego? Taklah… bukan ego. Cuma… belum ada ayat yang sesuai.’

Dia cuba senyum. Senyum paling lembut yang mampu dia ukir. Tapi bagi Ameena, senyuman itu tak lebih dari bayang seseorang yang sedang lari dari tanggungjawab lama.

Ameena tidak mengendahkan senyuman itu. Senyuman yang suatu masa dulu membuatkan hatinya cukup bersemangat. Tidak pernah ada yang bisa menjentik hatinya. Namun kehadiran guru baru itu ketika dia bakal menghadapi SPM seolah – olah menjadi penyuntik semangatnya.

‘Ya Allah... Janganlah terjadi permusuhan antara kami.’ Cikgu Eman hanya mampu berdoa di dalam hati. Melihatkan air muka tenang Ameena menjadikan dia sangat takut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience