BAB 3 - PERTEMUAN

Romance Series 63528

“ALONG! Jauh termenung. Dah sampai mana fikiran tu?”
Sapaan lembut Hajah Sufiah memecah keheningan petang. Cikgu Eman tersentak kecil, pantas mengalihkan pandangan daripada tingkap.

Si ibu meletakkan dulang berisi secawan teh dan beberapa biji kuih keria di meja rotan di hadapan anak sulungnya.

“Eh, tak ada apa-apa, mak...”
Dia menyambut kuih dan menyuap perlahan ke mulut, tersenyum cuba menyembunyikan resah yang bersisa.

“Abah mana, mak? Along tak nampak pun,” tanyanya sambil matanya melilau ke arah halaman rumah, mencari kelibat ayahnya.

“Bismillah mana? Terus masuk dengan syaitan-syaitan sekali dalam mulut kamu tu,” tegur Hajah Sufiah sambil menggeleng, separuh geram, separuh manja.

“Abah ada kat belakang. Tengah kutip hasil kebun kecil dia tu. Tapi mak tengok kebelakangan ni, Along macam lain. Selalu termenung. Penat ya?”

Eman mengeluh perlahan.

“Ye ke? Taklah. Biasa je,” jawabnya pendek. Matanya dibuang ke tanah lapang di seberang jalan. Kawasan yang biasanya riuh dengan suara anak-anak bermain, kini kosong.. sunyi menambah rasa sepi di dadanya.

Kadang-kadang, pasukan veteran kampung akan bermain sepak takraw di situ. Sorakan mereka biasanya cukup untuk mengubat lelah selepas sehari bekerja. Tapi hari ini... tiada apa yang mampu mengalihkan fikirannya.

Eman tersenyum hambar. Keningnya berkerut sedikit. Jiwanya letih. Letih memikul rasa bersalah yang belum ditebus. Peristiwa lalu masih menghantui, masih menyekat langkahnya untuk meminta maaf. Entah kenapa, lidahnya terasa kelu setiap kali peluang itu datang. Mungkin… dia perlukan sedikit lagi masa.

“Termenung lagi. Awak tu cuti dua hari je, Along… ke ada orang tunggu kat sana?”

Nada Hajah Sufiah sengaja mengusik manja, namun terselit maksud tersirat. Dia mengambil tempat di sisi anak lelakinya yang masih membisu, merenung jauh.

“Umur Along tu dah masuk tiga puluh. Bila la agaknya mak nak merasa dapat menantu. Dah la tak ada anak perempuan...”

Bukan sekali dua isu itu dibangkitkan. Namun seperti biasa, hanya dibalas dengan senyuman nipis, tanpa kata.

“Baru-baru ni mak ada terserempak dengan kawan mak dekat pekan. Anak dia baru habis belajar. Katanya baru nak lapor diri, doktor ke apa entah... Mak tak tanya lebih. Tapi mak berkenan sungguh.”

Nada suara Hajah Sufiah merendah, masih mencuba nasib. Manalah tahu kali ini anaknya terbuka hati.

“Along tak sedia lagi lah, mak,” balas Eman perlahan.

“InsyaAllah... kalau ada jodoh, tak ke mana. Along tengah tunggu puteri Sultan Brunei,” sambungnya dengan senyuman nakal yang cuba menceriakan suasana.

“Hah, main-main la lagi, Along. Jadi bujang terlajak baru tahu.”

Hajah Sufiah menjeling tajam, separuh geram. Dia bingkas bangun, malas melayan angan-angan anaknya yang acap kali dijadikan alasan untuk mengelak.

Eman tergelak kecil, memandang langkah ibunya yang sudah hilang di balik pintu. Walau sering ditegur, dia tahu itu semua tanda kasih. Namun di sudut hatinya, dia sendiri tak pasti adakah benar dia belum bersedia, atau sebenarnya hati dia sudah tertutup untuk orang lain?

“HARI NI, apa agenda kita ya? Saya harap tak ada apa – apa yang tertinggal. Cikgu nak cuba masuk mengajar kelas saya ke nanti? Hmm.. Bahasa melayu.. kelas 3 Amanah.”

Cikgu Eman menjungkitkan keningnya dengan wajah yang sedikit serius. Sememangnya sepanjang minggu orientasi bersama mentor itu, Cikgu Eman sentiasa serius. Jika ada senyum pun, hanyalah senyuman hambar.

“ Ya, tak ada yang tertinggal. Tak apa ke? Saya tak ada buat persediaan apa pun ni.”

Ameena agak cuak dengan tawaran Cikgu Eman. Sungguh dia tidak bersedia. Lagipun lansung tiada dalam agenda orientasi. Jujurnya, dia agak gugup. Tawaran spontan seperti itu langsung tidak dijangka.


“Cikgu boleh rujuk buku rekod mengajar saya. Tapi, hari ini saya rancang nak buat latih tubi saja. ‘exam’ dah dekat.”

Nada suara Eman masih tenang, hampir seperti membaca dari teks. “Tapi kalau cikgu tak selesa, tak mengapa.”

Ameena terdiam seketika. Matanya tertancap pada fail di tangannya. Fikirannya mula ligat mencari cara untuk tidak nampak terlalu 'koyak' di depan mentor sendiri.

“Cikgu Ameena! Belum mula mengajar ke?”

Satu suara ceria tiba-tiba mencelah perbualan mereka. Ameena menoleh pantas ke arah suara itu. Matanya sedikit terbeliak.

“Eh… Encik Isa, kan? Ada urusan apa dekat sini?”

Nada suara Ameena sedikit gugup, namun dia cuba menutupinya dengan senyuman nipis. Tidak susah untuk mengecam lelaki itu.. wajah seakan pelakon ‘Korean drama’ yang pernah menyapa dan… membelanjanya makan?
‘Aduh! Dia ke hari tu? Ya Allah…’

Isa Rayyan tersenyum santai. Lengkap berbaju kemeja biru lembut, bertali leher abstrak dalam tona gelap. Kemas, bergaya. Langsung tidak nampak seperti pembantu kantin seperti yang Ameena sangkakan sebelum ini.

“Bila balik, Cikgu Isa?” Cikgu Eman menepuk mesra belakang sahabatnya.

“Cikgu Ameena, ni saya kenalkan.. Cikgu Isa Rayyan. Dia ajar Bahasa Inggeris dan Pendidikan Seni. Baru selesai berkursus. Tapi… awak macam dah kenal je?”

Ameena terpaku. Mukanya sudah merona kemerahan. Jantungnya terasa berdegup laju. Serba tak kena.

‘Allahu… dugaan apakah ini? Dia memang cikgu rupanya! Ya Allah, maknanya hari tu memang… dia yang belanja aku makan. Malu, maluuu!’

Dia hanya mampu membalas dengan anggukan kecil. Sekilas, matanya bertembung dengan pandangan Isa yang penuh senyum. Entah mengapa, senyum itu terasa seperti satu usikan.

Cikgu Eman memerhati dua anak muda di hadapannya. Dahi berkerut sedikit—cuba meneka sesuatu.

“Semalam habis, hari ni dah mula kelas. Lagipun, tahu-tahu sajalah... kalau subjek aku ni, tak ada siapa pun nak gantikan lama-lama.”

Isa Rayyan menjawab santai sambil tersenyum. “Cikgu Ameena... just take it easy.”

Cikgu Eman Al Hadi menjungkitkan kening, matanya tertumpu pada wajah Ameena yang mula berubah rona. Pipinya yang tadi pucat kini merah jambu. Dia hanya mengangguk perlahan, cuba menyembunyikan rasa segannya.

“Tapi... hari tu…”
Ameena cuba membuka mulut, namun tergantung kata-katanya.

“Hari tu, saya baru habis buat lukisan mural dekat belakang dewan sekolah. Tapi... seronok juga pegang title ‘pembantu kantin’ tu kejap.”
Isa menambah dengan gelak kecil yang bersahaja.

Tawa Ameena meletus secara spontan. Suara gelaknya kedengaran jujur, ikhlas dan sedikit terlalu riang. Isa turut tergelak sama. Dua-dua seperti sedang menikmati momen lucu yang hanya mereka fahami.

Cikgu Eman di sisi hanya mengukir senyuman hambar. Matanya sedikit mengecil, memerhati gerak-geri sahabatnya dan guru baru itu. Bukan dia tidak faham. Dia cuma tidak mahu peduli.

‘Benda remeh...’
Itu sahaja yang dibisikkan dalam hati.

Namun jauh di dasar hatinya, ada sesuatu yang mula terusik. Satu rasa yang dia sendiri tidak pasti mahu dinamakan apa. Cuma yang pasti, dia kurang senang. Bukan kerana tawa mereka, tetapi kerana... hatinya terasa seperti sedang dicabar.

Perasaan untuk menakluki.

HARI INI merupakan hari terakhir Ameena bersama mentornya, Cikgu Eman.

Bagi Ameena, lelaki itu seorang yang berdisiplin, teratur, dan sangat tenang. Sepanjang dua minggu di bawah seliaan Cikgu Eman Al Hadi, hubungan mereka kekal profesional. Namun, sejak beberapa hari lalu, lelaki itu kelihatan semakin diam. Hanya menjawab apabila ditanya. Dan itu membuatkan hatinya sedikit resah.

Ameena menyusuri koridor luar bilik guru menuju ke tandas. Baju kurung biru dengan corak bunga merah jambu yang dipakainya hari itu menyerlahkan sisi feminin dirinya. Langkahnya tenang, namun ada sesuatu yang bergetar di hati.

Tatkala melewati pintu kedua yang menempatkan ruang guru lelaki, dia menjeling sekilas. Matanya liar mencari kelibat Cikgu Eman. Hari ini dia perlu berjumpa dengan Guru Penolong Kanan dan menyerahkan buku orientasi yang telah ditandatangani mentornya. Namun, sebaik sahaja pandangannya bertembung dengan sepasang mata yang merenung tajam ke arahnya, jantungnya berdegup kencang.

Cepat-cepat dia melarikan pandangan. Kakinya mempercepat langkah. Tangan kanan menekan dada kirinya yang bergelora.

‘Ya Allah... lindungilah mataku daripada pandangan syaitan.’

Ameena menarik nafas berkali-kali. Cuba mengatur semula debar yang entah dari mana datangnya. Perasaan itu sukar dijelaskan. Tapi dia tahu, ada sesuatu yang sedang berubah. Sesuatu yang dia sendiri belum berani namakan.

Langkahnya diatur tertib ketika kembali dari tandas. Sekali lagi dia perlu melewati pintu yang sama. Kali ini, pandangannya sempat terarah ke meja Cikgu Eman... kosong.

Hilang.
Entah kenapa, hatinya sedikit hampa.

“Cari siapa, Cikgu Ameena?”
Satu suara garau menyapanya dari sisi, membuatkan dia hampir terlonjak kecil. Cikgu Isa berdiri santai dengan senyuman lebar, menampakkan dua lesung pipitnya yang dalam.

‘Dua-dua manusia ni ada lesung pipit... tapi satu macam oppa... satu lagi, ya Akhu.’
Ameena tersenyum kecil, menggeleng perlahan.

“Cari Cikgu Eman. Nak set masa untuk jumpa Penolong Kanan. Rasanya dia tak ada kelas lepas rehat ni.” Ameena menjawab jujur, sambil matanya menjeling semula ke arah meja kosong itu.

“Ohh… dia dah keluar tadi. Ke kantin kot. Cikgu dah makan? Kalau belum, boleh la kita makan sama-sama.”

Pelawaan Cikgu Isa disambut dengan senyuman manis Ameena, namun bibirnya sekadar menguntum tanpa suara. Dia segera mencari helah yang sopan.

“Tak apalah, Cikgu Isa… Lagipun tak elok kita jalan berdua.”

Nada suaranya lembut, tapi cukup tegas. Ameena tahu batas. Walaupun Cikgu Isa masih bujang dan terkenal dengan sikap ramahnya, dia tetap menjaga diri. Bimbang dipandang serong. Lebih-lebih lagi di tempat kerja.

Isa ketawa kecil, tidak terasa hati.

“Siapa cakap berdua? Ni Kak Reen ada!”
Belum sempat Ameena menarik nafas lega, Isa sudah mempelawa seorang lagi.

“Jom, Kak Reen. Rehat sama-sama dengan kami.”

Cikgu Reena yang baru sahaja menapak masuk ke bilik guru sedikit terkejut. Dahinya berkerut, tapi matanya sempat menangkap isyarat halus dari Isa. Wanita berusia awal 40-an itu tersenyum nipis, mengangguk. Faham benar dengan permainan anak muda itu. Dia melangkah mendekat.

“Boleh je… lama tak makan dengan adik-adik ni.”

Ameena hanya mampu tersenyum lagi. Tidak selesa tapi tidak juga mampu menolak.

Dari hujung koridor, sepasang mata sedang memerhati.
Langkahnya terhenti. Nafasnya tidak sekata. Mata itu tajam menikam. Geram yang cuba ditahan, mula mencucuk ke dada. Rahangnya mengetap perlahan.

Cikgu Eman Al Hadi.

Melihat Ameena berbual mesra dengan Isa.. kawan baiknya sendiri.. entah kenapa menimbulkan rasa jengkel yang tidak terkawal.

‘Kenapa mesti dia?’
‘Kenapa mesti senyuman itu… bukan untuk aku?’

Hatinya meronta, namun wajahnya tetap tidak menunjukkan apa-apa. Hanya rahang yang mula mengeras. Dan pandangan yang semakin redup.

Rasa itu datang lagi. Rasa ingin memiliki. Rasa ingin melindungi. Dan rasa takut, kalau-kalau perempuan itu berpaling arah sebelum sempat dia mendefinisikan perasaannya sendiri

SUDAH seminggu berlalu.

Cikgu Ameena semakin serasi dengan tugasnya sebagai seorang guru di sekolah itu. Dia ditugaskan mengajar murid-murid tahap satu, anak-anak kecil yang masih polos, belum tercemar dek dunia luar. Kebetulan, Cikgu Isa juga mengajar kelas yang sama. Jadi tidak peliklah jika mereka kerap terserempak.

Cikgu Eman pula lebih banyak di kelas tahap dua. Jarak itu membuatkan mereka semakin renggang. Hanya bertemu di bilik guru, itu pun sepatah dua kata, cukup sekadar formaliti.

Pagi itu, kelas 1 Dedikasi agak riuh. Suasana biasa setiap kali hampir waktu peperiksaan.

“Baiklah, hari ini kita buat ulang kaji. Peperiksaan dah dekat kan?”

Ameena menguntum senyum sambil memandang seluruh kelas. Anak-anak itu membalas dengan wajah polos, ada yang nampak teruja, ada juga yang mula risau.

“Cikgu nak kamu buat latih tubi secara berkumpulan. Jadi, kamu boleh berbincang sama-sama. Kalau tak faham, tanya cikgu, ya?”

“Baik, cikgu!”
Jeritan itu serentak, ceria. Masing-masing mula bangun mencari kawan. Ada yang menjerit nama sahabat, ada yang sudah mula menyusun meja.

Ameena memerhati dari hadapan kelas. Itu memang niatnya, menilai dinamik sosial pelajarnya, dan mencari siapa yang tersisih dalam komuniti kecil itu.

Langkahnya terhenti di sisi seorang pelajar yang masih duduk di tempat asal. Tunduk diam. Tangannya menggenggam pensel, tapi tidak menulis apa-apa.

“Siapa nama awak?”
Ameena membongkok sedikit, suaranya lembut tapi cukup jelas.

“Aina. Nuraina, cikgu,” jawabnya perlahan.

Wajahnya tenang, tapi jelas menahan rasa. Tudungnya sedikit longgar, bajunya bersih namun lusuh. Kasutnya… banyak kesan jahitan. Tapi tetap bersih.

“Kenapa tak masuk mana-mana kumpulan? Tadi cikgu dah cakap, kita buat perbincangan.”Nada Ameena sedikit tegas, bukan untuk memarahi, tetapi memberi dorongan.

“Tak apalah, cikgu… Kalau tak faham, saya tanya cikgu je. Lagipun…”
Suara Aina menurun. Wajahnya makin tunduk.

“… bau saya busuk.”
Ameena terkedu.
Setitik air mata pelajar itu jatuh perlahan ke atas helaian soalan di hadapannya.

Dada Ameena terasa sesak. Tapi dia menarik nafas dalam-dalam, menahan diri daripada bertindak mengikut emosi. Mata cikgu tidak boleh menangis di hadapan murid.

“Baik. Ini kumpulan A, sini kumpulan B, belakang kumpulan C, dan hujung sana kumpulan D!”

Ameena memberikan arahan. Suaranya kembali tenang.
Dia tidak mahu memujuk Nuraina secara langsung. Biarlah pendekatannya lebih berstrategi.

“Nuraina, awak masuk kumpulan A.”

Tanpa bantahan, Nuraina mengangkat kerusinya dan bergerak. Langkahnya perlahan, seperti mengira setiap tapak. Budak-budak dalam kumpulan A jelas keberatan, tapi mereka tidak bersuara. Muka masing-masing menahan.

“Mulakan perbincangan sekarang. Boleh berbunyi sikit, tapi pastikan siap dalam masa setengah jam!”

Ameena berpura-pura memantau kumpulan lain, tetapi dari ekor mata, dia memerhati Nuraina.
Anak itu duduk, tetapi tidak dihampiri sesiapa. Buku di hadapannya terbuka, tetapi soalan-soalan hanya dibaca dalam senyap.

‘Halusnya hati anak ini...’

‘Tugas seorang guru bukan semata-mata capai KPI,’
‘Tapi mendidik dengan hati, dengan nilai, dengan cinta.’

Masih terngiang-ngiang nasihat Cikgu Eman ketika minggu orientasi. Nasihat yang pada mulanya hanya didengar, kini mula meresap ke dalam hati

"Semoga Hari Awak Sentiasa Manis."
– Isa Rayyan

AMEENA menjungkitkan kening tatkala melihat sebatang cokelat Cadbury yang terletak molek di atas mejanya, lengkap dengan sekeping kad kecil bersampul ungu. Kad ucapan itu kemas bertulis tangan, dari Cikgu Isa.

‘Rasanya hari lahir aku lambat lagi. Takkanlah...’
Perasaannya mula tidak tenteram. Hatinya mendongkol sendiri.

‘Tak boleh jadi ni. Kalau cikgu lain nampak, apa pula mereka kata. Buat hal betul lah Cikgu Isa ni.’

Ameena mengangkat punggung, bersedia untuk menyimpan “hadiah” itu ke dalam laci, namun belum sempat berdiri, satu suara menegurnya.

“Cikgu Isa ni bayar nazar ke? Cikgu Ameena pun dapat cokelat tu, kan?”

Tersentak, Ameena menoleh. Cikgu Reena berdiri di sisi dengan senyuman nakal. Wajah Ameena serta-merta terasa panas. Dia hanya mampu mengangguk sambil mengukir senyum senget.

Tidak lama kemudian, guru-guru lain pula menapak ke mejanya, masing-masing membawa cokelat yang serupa.

‘Rupanya semua orang dapat... nasib aku tak pergi sekolah–kan Cikgu Isa tadi. Kalau tak, malu besar aku!’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience