BAB 32 : MENCARI DIRI YANG HILANG

Romance Series 52946

“AMEENA AZZAHRA BINTI TUAN ZULKIFLI…”

 

                    Ameena mengangkat sedikit wajahnya memandang ke dalam anak mata Eman. ‘Sekali Abang buang Amee.. sampai bila-bila pun Amee takkan berpaling lagi! Wahai Eman Al Hadi, aku dah pernah jadi janda sekali dan aku sikit pun tidak takut untuk menjanda lagi.’ Eman juga turut merenung ke dalam anak mata Ameena. Seolah-olah mereka sedang berbicara bahasa hati. ‘Allah.. Aku tak mampu pun! Sakitnya lebih dalam rupanya apabila Amee meminta dilepaskan.’

 

Dada Eman terasa sesak dan pedih seperti dihiris dengan belati tajam. Air matanya hampir tumpah. Dia ingat dia mampu untuk lepaskan isterinya, namun tidak semudah itu rupanya. Dia memang lelaki dayus, bacul dan pengecut! Eman menyumpah-nyumpah dirinya sendiri. ‘ Kau pasti ke apa yang keluar dari mulut Ameena itu kehendaknya? Kau pasti ke dia bahagia bila kau lepaskan dia?’ Eman berpaling dari memandang wajah isterinya. Memandang wajah Ameena yang tanpa perasaan itu membuatkan hatinya bertambah sakit.

 

Tanpa sepatah kata, Eman masuk ke dalam perut kereta dan memandu keluar daripada halaman rumahnya. Dia perlu cari tempat yang lebih tenang. Dia perlu berfikir dengan lebih waras dan relevan. Dia memandu dalam keadaan tidak tentu arah, tidak tahu mana arah hendak di tujunya. Kenderaan yang berderet di atas jalan membuatkan dia meradang dan naik angin, sepertinya dia mahu memaki hamun semua orang. Apa yang sebenarnya sudah terjadi dengannya.

 

Eman memberikan signal ke kiri dan memberhentikan keretanya di bahu jalan. Otaknya sangat serabut. Segala benda  yang berselirat dalam fikirannya membuatkan kepalanya bagaikan mahu pecah. Sekolah bukan tempat yang terbaik untuk dia tuju sekarang. Dia tidak mahu marahnya dilampiaskan pada pelajarnya pula. Dalam emosinya yang tidak stabil dia tidak tahu apa yang bakal terjadi. Tangan kirinya mencapai telefon pintarnya lalu ditekan butang panggilan pada satu nombor.

 

“Hello, Assalamualaikum Kak Tiha. Kak Tiha sibuk ke pagi ni?”

 

“Waalaikumussalam.. Ya, adik kacak akak! Pagi sangat ni.. nak minta tolong apa tu?”  Ceria kedengaran suara wanita empat puluhan itu. Ketua Kerani Sekolah tempat dia bertugas. Salah seorang yang rapat dengan isterinya. Eman ketawa hambar di hujung telefon dengan pujian melambung dari wanita itu.

 

“Kak Tiha tolong isi permohonan cuti kecemasan untuk saya, boleh? Ada hal kecemasan dekat kampung. InsyaAllah tiga hari saja. Kelas saya, nanti saya minta Cikgu Fahmi yang gantikan.”

 

“Amee sekali ke ni? Ke macam mana?” Suara sedikit berubah dengan berita yang diterimanya. Kedengaran ada nada risau.

 

“Tak, saya seorang saja. Amee sibuk pagi ni. Dia ada dua masa pagi ni dengan dua kelas. Tak nak ganggu dia.” Guru muda itu cuba berdalih. Namun hakikatnya dia sentiasa mengambil tahu jadual mengajar isterinya. Dia tahu semua jadual aktiviti isterinya walaupun tidak diberitahu.

 

“Okay, Cikgu Eman.. Nanti Kak Tiha buatkan. Ni dah on the way balik pahang ke? Hati-hati memandu.” Sempat perempuan itu menitipkan pesan untuk guru muda yang dianggap seperti adiknya sendiri.

 

“Kak Tiha.. nanti tolong tengokkan Amee ya. Tolong ingatkan dia untuk makan.” Suara Eman kedengaran agak kendur, membuatkan Fatihah dapat mengesan sesuatu. Namun wanita itu tidak mahu bertanya lanjut dan tidak mahu dikatakan menyibuk.

 

“InsyaAllah, Cikgu Eman. Apa-apa nanti kak Tiha maklumkan. Assalamualaikum.” Talian dimatikan sebelum sempat Eman menjawab salam. Begitulah Fatihah, seorang pekerja yang sangat sibuk dan sentiasa sibuk dengan kerja hakiki dan khidmat pertolongan cemas untuk para guru. Namun dia tidak pernah mengeluh dan sentiasa tersenyum. Eman tersenyum sendiri membayangkan karektor kakak kerani sekolahnya itu.

 

Eman meneruskan perjalanannya. Sehelai sepinggang dia pulang ke kampungnya untuk mencari dirinya yang telah hilang. Untuk mencari tahu apa yang sudah terjadi dengan dirinya. Segala kenangannya bersama dengan Ameena satu persatu bermain di dalam mindanya.

 

“Amee.. Cikgu Eman tu tak mengajar kita lah tahun ni.. dia mengajar tingkatan tiga saja. Baru nak cuci mata.” Fareha menyedut minuman di tangannya dengan muka yang agak hampa. Kehadiran guru baru di sekolah mereka sejak setahun lalu menjadi bualan hangat dikalangan pelajar sekolah tersebut. Guru muda tinggi, segak dan berlesung pipit serta masih bujang menjadi kegilaan ramai. Ameena hanya mencebik dengan ulahan Fareha.

 

                    “Kau buta ke fareha? Macam itu pun kau nak cuci mata? Aku tengok macam bangla yang dekat petron tu je..” Ameena masih mencebik sambil membongkokkan badannya untuk mengikat tali kasut yang sudah terurai. Namun kata-katanya tidak bersambut oleh sahabatnya. ‘Terasalah tu!’

 

                    “Fateha, mata kau pun mesti sama rabun dengan kakak kau ni kan? Si Longkang tersumbat tu, bagi free pun aku tak nak. Poyo! Dah rasa hebat sangatlah tu! Budak-budak sekolah ni, memang tak ada kerja lain ke, asyik duk stalker lelaki perasan tu.. pelik aku!” Ameena meluruskan badannya dan memandang ke arah dua orang sahabatnya itu. Wajah kedua-duanya kelihatan agak cuak. Masing-masing memberikan isyarat mata kepadanya, seolah-olah ada sesuatu yang menakutkan di belakangnya.

 

                    “Boleh tahan juga ya, mulut pelajar saya seorang ni. Kenapa benci sangat dengan saya? Cinta tak berbalas ke?” belum sempat Ameena berpaling, Cikgu Eman sudah terlebih dahulu bersuara dan membidasnya.

 

                    “ Eh, ada saya sebut nama cikgu ke? Rasanya saya tak ada mention nama siapa-siapa pun. Yang cikgu nak terasa kenapa? Korang berdua cakap pasal Cikgu Eman ke tadi? Aku cakap pasal bangla stesen minyak petron tu. Dah kenapa ada orang lain terasa pula!” Panas hati Ameena disindir tiba-tiba. Cikgu Eman tersenyum sinis dengan jawapan pelajarnya yang agak lancang itu. Kelu lidahnya untuk membidas semula. Salahnya juga menyampuk tiba-tiba.

 

                    “Jangan perasan sangat.. buat malu saja.. Saya cakap kat kawan saya ni ha.. jangan cikgu terasa pula. Jom korang, waktu rehat dah nak habis.” Cikgu Eman menyeringai seketika dengan perliannya pelajarnya. Hanya Ameena yang berani melawannya. ‘Tunggulah.. kamu belum tahu apa akan jadi selepas ini.’

 

*********

 

                    Eman mengorak langkahnya agak laju menuju ke kelas Lima Sains Tulen. Hanya berbaki lima minit lagi sebelum kelas bermula. Dia ingin pastikan agendanya berjaya kali ini. Sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam kelas tersebut, semua mata pelajar kelas tersebut tertumpu ke arahnya. Bagaikan filem Hindustan, ketika heronya melangkah bersama dengan tiupan angin dalam langkah yang perlahan. Eman mengukirkan senyuman dan mengangguk sedikit apabila diberikan ucapan salam oleh seisi kelas itu.

 

                    Ada satu kerusi kosong. Nampaknya agendanya bakal berjaya. Jarum saat pada jamnya dipandang. Di dalam hatinya mengira detik saat terakhir untuk memulai kelasnya. Tiga.. dua.. satu!

 

                    “Maaf, saya pergi ke tandas ta…. di…” Membulat mata Ameena memandang wajah di dalam kelasnya dengan nafasnya yang masih tercungap-cungap. ‘Apa bangla ni buat dekat sini!’

 

                    “Kamu lambat satu saat! Sila berdiri di luar kelas sampai masa saya tamat!” Cikgu Eman menyembunyikan senyumannya ketika memandang wajah Ameena yang agak kemerahan menahan marah. Namun pelajarnya itu tetap akur dengan arahannya. Itulah  Ameena, walaupun dia tahu dia tidak salah, dia hanya mendiamkan diri, dan mempamerkan muka tidak berperasaan. Itulah tandanya dia sedang protes dan dalam erti kata lain.. Melawan!

 

*******

 

 

                    Eman tersenyum hambar mengingatkan peristiwa itu, segalanya tentang Ameena tak pernah sekalipun luput dari memorinya. Semuanya sentiasa segar dalam ingatannya. Namun kini berakhir sudah segala kisah antara dia dan Ameena, bidadari syurga yang dia dambakan sejak pandangan pertama. Segalanya hanya akan bakal kekal sebagai memori. Air mata Eman menitis satu persatu mengenangkan itu semua. Hanya dia seorang diri kini,berbicara dengan hati dan perasaannya. Dia menekan pelipis matanya yang sudah kepedihan menahan tangis.

 

                    Sudah lama dia tidak memandu seorang diri begini. Kini dia terasa betul – betul sunyi, mungkin beginilah yang Ameena hadapi sekarang. ‘Semua yang terjadi bukan kehendak Abang. Bukan atas permintaan Abang. Seeloknya biarlah salah seorang daripada kita  mengundurkan diri sebelum kekecewaan membenih dalam diri kita. Namun untuk melepaskan sayang pula adalah satu keputusan yang teramat menyakitkan dalam hidup Abang.’ Air matanya semakin laju, sama laju dengan keretanya yang meluncur di atas lebuh raya.

 

 

 

“AMEE..!” Ameena memandang ke sisi kirinya sebagai respon kepada gerangan yang memanggilnya. Kelihatan Kak Tiha dengan lengguk anggunnya mara ke arahnya.

 

                    “Ya, Kak Tiha. Ada apa?” Lembut suara Ameena menyapa wanita itu.

 

                    “Dah makan ke? Jom teman akak makan..” Nada suara Fatiha seakan memujuk.

 

                    “Ooo.. Saya dah sarapan dengan Cikgu Eman tadi, dekat kantin.” Kening Fatiha terangkat dengan jawapan Amee. Dia ni kalau nak bohong pun, biarlah bertempat. Kenapa dengan budak dua orang ni? Oppss bukan budak lagi dah...

 

                    “Kalau macam tu, Kak Tiha makan seorang la.. Amee jangan lupa makan tengah hari nanti. Kalau nak teman, Kak Tiha ada sampai pukul lima dekat pejabat tu. Tinggal Amee call je, pasti akak muncul!” Kata-kata Fatiha membuatkan Ameena tertawa geli hati. Sekurang-kurangnya ada yang menghiburkan hatinya di kala kepiluan merundung jiwa.

 

                    Ameena meneruskan langkahnya menuju ke bilik guru. Dari jauh, dia melihat Cikgu Fahmi  bertongkat lengan di balkoni dan memandang ke arahnya. ‘Dah kenapa pula dia ni? Aku ada buat salah apa-apa ke?’ Ameena terus terfikirkan projek Bahasa Melayu yang dikelolanya yang mana di bawah pemantaun lelaki itu.

 

                    “Cikgu Ameena. Boleh kita cakap sekejap? Dekat hujung sana.” Tangan Cikgu Fahmi mengarah kepada hujung balkoni. Ameena hanya mengangguk dengan wajah kelirunya.

 

                    “Eman pergi mana?” Sekali lagi Ameena ternganga. Tidak tahu untuk menjawab apa. Serba tidak kena jadinya apabila di ajukan soalan begitu. Apa yang dia tahu, dia lansung tidak nampak batang hidung suaminya di sekolah hari ini.

 

                    “Jadi dia tak bagitahu awaklah? Maaf Amee, saya bukan nak masuk campur masalah kamu berdua. Tapi dia dan awak dah macam adik saya sendiri. Jadi, saya rasa saya kena masuk campur. Kalau awak nak kata saya ni menyibuk pun, lantaklah.” Amboi mulut dia! Ameena menahan rasa dengan kata-kata Cikgu Fahmi.

 

                    “Apa yang dia bagitahu dengan Cikgu?” Ameena memilih untuk terus kepada tujuannya. Tidak mahu berkias banyak-banyak. Buat pening kepala pun tak guna, kalau orang dah tak sudi. Tak guna nak paksa hati orang. Namun kata-kata itu hanya meniti di dalam hatinya. Kalaulah boleh dilepaskan.

 

                    “Dia sakit.. bukan setakat badan dia saja sakit, bahkan jiwa dia dan otak dia pun dah sakit parah!” Ada nada marah dalam kata-kata Cikgu Fahmi.

 

                    “Ya.. dia just gastrik sahaja, Cikgu. Atau ada benda lain yang saya tak tahu?” Cikgu Fahmi seperti tersedar daripada kesilapannya. Kerana marah, mulutnya terlalu lancang dalam berkata-kata. Dia terdiam dengan wajahnya sudah berubah cuak.

                    “Kalau Cikgu betul-betul sayangkan kami.. Saya rasa ada baiknya cikgu jujur dengan saya.” Dalam lembut suara Ameena, masih terdengar tegasnya. Cikgu Fahmi memandang wajah Ameena seketika dan kemudian melarikan anak matanya. Haram memandang wajah isteri orang!

 

                    “Dia ada.. Kan..ser.” Lambat-lambat Cikgu Fahmi menzahirkan jawapannya. ‘Maafkan kawan, Bro! Kawan terpaksa sebab awak terlalu bodoh!’ Ameena pula bagaikan dihempap dengan batu di atas kepalanya. Terdiam dan terkelu lidahnya. Seakan tidak percaya pun ada.

 

                    “Saya rasa dia perlukan ruang. Tak mengapa, Amee.. kita beri dia ruang dahulu. Lagipun, saya percaya penyakitnya masih pada tahap awal. Lepas ni kita sama-sama pujuk dia buat rawatan susulan.” Ameena hanya mengangguk perlahan. Tiada kata yang dapat dizahirkan ketika ini. Jiwanya meraung hebat. Siapa aku di mata suamiku? Kenapa tiada sikit pun perasaannya untuk berkongsi dengan aku? Jiwanya  berperang hebat. Ya, dia sedih.. takut dengan kehilangan namun dia juga sangat kecewa dan marah kerana tidak menjadi orang pertama yang tahu mengenai suaminya.

 

 

AMEENA memalingkan wajahnya ketika mendengar bicara daripada Cikgu Lily. Pintu kereta bahagian belakang ditutup perlahan. Namun perhatiannya masih tertumpu kepada bicara Cikgu Lily. Rupa-rupanya dia tahu semua kisah suaminya. Kenapa dia lansung tidak diberitahu? Atau dalam kata lainnya tidak boleh tahu. Hatinya semakin hebat terluka. Sudah tidak terkira berapa torehan luka pada hatinya. Kalau boleh dilihat dengan mata yang hatinya sedang dirobek sehingga hancur.

 

                    Dia betul-betul sudah hilang segala rasa. Jiwanya sudah kosong. Kata-kata Cikgu Lily hanya dijawab dengan anggukan bersama wajah yang tanpa perasaan. Kalau ini yang Eman mahukan, dia terima. Dia terima dengan sesungguh hatinya. Maka selepas ini, Eman bakal berjumpa dengan Ameena versi remajanya. Ameena yang keras seperti kayu, Ameena yang sukar difahami dan diselami perasaannya.

 

                    “Saya tumpang simpati dengan apa yang berlaku. Saya nak Cikgu Ameena tahu, yang saya sentiasa ada dengan Cikgu Ameena. Kalau ada apa-apa yang cikgu nak luah, saya ada untuk mendengar.” Ameena tersenyum kelat. Siapa dia untuk aku curahkan rasa hatiku padanya? Dia hanya orang asing yang tiba-tiba muncul dalam hidupnya dan Eman. Namun Ameena tetap menganggukan kepalanya untuk menjaga hati Cikgu Lily.

 

                    “Okaylah.. Cikgu balik nanti rehatlah. Cikgu Eman selamat tu.. jangan risau. Esok kalau Cikgu Ameena nak ajak saya cari dia pun , saya boleh tolong. Lagipun hujung minggu, saya memang tak ada buat apa-apa. Cuma petang sajalah saya join kuliah agama dekat masjid dekat rumah. Ni ada kuih karipap sikit, tadi nak bagi tak sempat. Nanti makan, ya..” Sekali lagi Ameena terkejut, dari mana Cikgu Lily tahu yang Cikgu Eman menghilang? ‘Ataupun, sebenarnya Cikgu Lily tahu di mana suami aku?’

 

                    Ameena memegang stereng kereta dengan kejap. Tapak tangannya sudah berpeluh menahan rasa marah dan sakit hati. Dari cermin pandang belakang, dia dapat melihat lengguk Cikgu Lily daripada belakang. Sangat menyakitkan hati! Selayaknya dia cemburu, selayaknya dia irihati, kerana dia isteri kepada lelaki yang perempuan itu bicarakan. Kuih karipap di tangannya dipandang sepi dan diletakkan di tempat duduk sebelah. Kalau diikutkan hatinya mahu saja dicampakkan karipap itu ke muka Cikgu Lily. Namun itu bukanlah caranya kerana ianya Cuma menampakkan kebodohannya.

 

HALEEDA menjenguk keluar jendela. Dia melihat anak saudara sulungnya sedang mencuci kereta. Pelik! Hari-hari basuh kereta. Sudah tiga hari Eman berada di kampung, katanya ada kursus dekat kuantan. Tapi setiap hari Eman hanya keluar dalam beberapa jam, sebelum zohor dia sudah kembali ke rumah. Hatinya menjadi panasaran untuk mencari tahu apa masalah sebenar Eman. Lantas langkah kakinya dibawah turun ke tanah dan menghampiri teman zaman kecilnya itu.

 

                    “Man.. Acu tengok, awak tak ada telefon lansung Amee? Awak gaduh ke?”

 

                    “Biasalah Acu.. rumahtangga mana yang tak ada masalah kan.. tapi jangan bagitahu Abah ngan mak koi. Esok koi nak balik dah. Cari ketenangan sikit dekat sini.” Haleeda menjeling tajam kepada anak saudaranya. Ada benda yang tidak beres dengan kata-kata Eman. Dia kenal sangat dengan Eman. Masalah yang Eman katakan, bukanlah masalah kecil. Itu yang dia dapat rasakan.

 

                    “Awak buat apa dekat Amee?” Suara Haleeda sedikit meninggi, membuatkan Eman berpaling menghadapnya. Wajah Eman nyata berubah dengan serangan Haleeda.

 

                    “Koi buat apa? Jangan nak fikir mengarutlah, Acu!” Eman mendengus kasar.

 

                    “Man, kau pandang Acu sekarang!” Haleeda menarik lengan Eman supaya menghadap wajahnya. Dalam terpaksa Eman berpaling juga. Dengan keningnya sedikit terjungkit. Wajahnya masam mencuka.

 

                    “Acu pun sama macam dia ke? Nak desak-desak koi kenapa?”

 

                    “Memanglah sama! Kami perempuan! Kau pun aku rasa dah nak jadi macam ‘arwah’ Paksu kau juga ni!”

 

                    “Eloklah koi jadi macam paksu pun.. dari melayan perempuan ni.. menyemak otak saja!”

 

                    PANG!!!! Satu tamparan hinggap di pipi kiri Eman. Haleeda betul-betul menyinga dengan anak buahnya itu. Eman menggosok pipinya yang terasa panas. Kuat betul tamparan Acunya sehingga telinganya turut berdesing. Mata Eman mencerlung tajam ke dalam anak mata acunya. Begitu juga dengan Haleeda. Dia seperti melihat Syahrul dalam diri Eman.

 

                    Eman menghempas kuat pintu kereta tanda protes, lantas bergegas naik ke atas rumah tanpa sepatah kata. Seketika kemudian muncul semula dengan satu bag ditangannya. Bahu Acunya dirempuh kasar dan dia menyusup masuk ke dalam keretanya. Haleeda hanya memandang anak buahnya beredar dari laman rumah itu dengan deruman enjin yang agak kuat. Eman yang dia kenal tidaklah sebaran dan secelupar itu dalam berkata-kata. Walaupun jarak umur mereka dekat, namun Eman sentiasa menunjukkan rasa hormatnya kepada Haleeda sebagai ibu saudaranya. Namun kali ini sikap Eman betul-betul berbeza. Kenapa Eman berubah sebegini rupa. Mana pergi Eman yang lembut dalam tuturkatanya. Apa yang sebenarnya terjadi? Haleeda bingung memikirkan semua itu.

 

 

 

NIATNYA untuk pulang ke Terengganu petang itu dibatalkan kerana hatinya merasa sangat berat untuk berbuat begitu. Keretanya melencong ke Taman Purnama, menuju ke rumah Ustaz Anuar. Dia mahu mencari tahu, kebenaran kata-kata Ameena. Adakah benar dirinya telah di sihir? Sebelum ini dia memikirkan benda yang sama, namun setelah doktor mengesahkan dia menghidap kanser, maka dia telah menolak jauh-jauh kemungkinan itu.

 

                    Lama dia termenung di dalam kereta, memandang pintu rumah Ustaz Anuar. Disinilah tempat Paksunya berubat. Rumah kayu bertiang tinggi. Disekeliling rumah pula di penuhi dengan pokok-pokok herba dan tumbuhan yang berkhasiat untuk perubatan tradisional. Di bawah rumah pula terdapat pangkin tempat berehat. Dia masih berkira-kira untuk keluar dari kenderaannya. Masih termenung dan berkira-kira untuk keluar.

 

                    Ketukan pada cermin kereta mengejutkan Eman dari lamunannya. Dia menoleh ke kiri melihat figura manusia yang tersenyum lembut menatapnya. Wajah yang dihiasi nur itu sangat menenangkan. Eman perlahan-lahan membuka pintu keretanya dan keluar.

 

                   “Ustaz.. apa khabar?” Salam dihulur bersambut dengan senyuman yang masih belum lekang di bibir. 

 

 

                   “Saya, Alhamdulillah sihat.. Awak ni yang saya nampak tak sihat ni. Ada apa datang sini.” Tangan Eman masih digenggam erat. Mata Ustaz Anuar tidak lepas dari memandang wajah lelaki di hadapannya. Eman jadi segan dengan keadaan itu. Pandangan Ustaz Anuar  seolah-olah ingin menelanjangkan fikirannya. 

 

 

                    “Saja Ustaz.. datang jalan-jalan.. melawat kawasan. Sambil-sambil cari Abah. Tapi itulah, tak nampak pula dia dekat sini. Tak apalah, Ustaz.. Saya minta diri dulu.” Eman jadi tak keruan apabila panahan mata Ustaz Anuar masih tidak beralih. Seolah-olah ada sesuatu yang tak kena pada dirinya.

 

                    “ Cikgu, kalau ya pun, jemput la masuk dulu.. minum petang.” Eman seperti orang bingai memandang Ustaz Anuar. Hatinya mahu tapi jasadnya menolak.

 

 

                    “Tak apalah ustaz, InsyaAllah... lain kali.” Badannya merasa tidak enak setiap kali bertentang mata dengan Ustaz Anuar. Seolah-olah, lelaki itu sedang meniup jampi serapah kepadanya.

                   

                   

 “Ya lah.. bawa kereta elok-elok.” Ustaz Anuar menepuk-nepuk bahu Eman yang tegap itu. Eman hanya mengangguk dan berpusing ke keretanya. Bahunya terasa sakit  kesan tepukan Ustaz Anuar, padahal tepukan itu lembut dan perlahan.

 

 

                       “Cikgu Eman!”

 

 

                        “Ya saya, Ustaz?” Segera Eman berpusing  ke belakang apabila namanya diseru. Wajah Ustaz Anuar sedikit berubah tatkala itu.

 

 

                         “Balik nanti buat amalan yang arwah Haji Musa ajarkan dekat awak dulu. Amal baca lima basmallah setiap waktu. Solat jangan lambat. Alquran kena amal baca setiap hari. Jangan tinggal.” Ringkas pesanan Ustaz Anuar, namun sudah cukup untuk dia faham keadaan dirinya. Jangkaan Ameena tepat. Eman sahaja yang yang sentiasa menafikan kerana egonya dirinya sebagai seorang lelaki. Memang lewat kebelakangan ini Eman banyak melengahkan solat kerana sakitnya. Alquran pun sudah jarang dibeleknya. 

 

 

                          Manusia.. hanya apabila di uji dengan sedikit sakit, begitu mudah jatuh terduduk. Hilang pedoman. Sukar mencari manusia yang setabah Nabi Ayub. Semakin tinggi iman seseorang, semakin kuatlah ujian yang Allah berikan untuk dia. Ianya untuk menguji manusia itu sesabar mana dan seredha mana dia menerima ujian daripada Allah S.W.T. Inilah bahagian untuk aku.

 

 

“Bismillahirahmanirrahim.. Bismillahisy syaafi.. Bismillahil kaafi.. Bismillahil mu’aafi.. Bismillahil ladzi laa yadhurru ma’asmihi, syai-un fil ardhi walaa fissamaa’i, wahuwas samii’ul aliim..” Lafaz lima basmallah terus-terusan meniti di bibirnya dengan air mata yang berlinangan dan akhirnya gugur ke pipi. Hatinya, fikirannya hanya terarah kepada rumahnya, kepada isterinya. Doanya semoga Ameena masih sudi memberikannya peluang. Walaupun telah banyak kali dia mempersia-siakan peluang yang diberikan oleh isterinya itu. Kali ini air matanya semakin lebat.. menyedari kekhilafan dirinya. Betapa dia alpa, betapa dia jauh dengan Sang pencipta, betapa dia tidak redha dan tidak bersyukur.

 

 

 

 

 

 

 

 

EMAN tiba di perkarangan rumahnya lewat jam sepuluh malam. Rumahnya kelihatan gelap gelita tanpa sebiji mentol pun dipasang. Kereta Ameena juga tiada di situ. Hatinya jadi tidak keruan. Ameena betul-betul tinggalkan dia. Dengan pantas Eman keluar daripada keretanya dan menerpa masuk ke dalam rumahnya mencari kelibat Ameena. Setiap bilik di carinya namun hampa, Ameena tiada. Ya.. Allah.. ke mana isteriku? Kau jagalah dia untukku walau dimana pun keberadaannya.

 

 

 

                    Nombor telefon Ameena dihubungi beberapa kali namun tidak berjawab. Ameena betul-betul pergi tinggalkan dia. Apa yang lebih merisaukannya, dia tahu Ameena tidak akan pulang ke rumah keluarganya. Itu dia pasti kerana, Tuan Zulkifli pastinya meradang jika melihat Ameena pulang seorang diri. ‘Sayang ada kat mana sekarang.. tolonglah jawab.. tolonglah.. Jangan buat Abang risau.’

 

 

                    Eman duduk bersandar di atas sofa di ruang tamu. Telefon di letakkan di atas meja kopi di sebelahnya. Sakit yang sedang menyerangnya hanya dibiarkan kerana hatinya yang kecewa lebih parah lagi daripada rasa sakit itu. ‘Abang izinkan ke mana pun sayang melangkah cuma abang harapkan Sayang masih sudi memberikan peluang pada abang. Ambillah sebanyak mana pun masa yang sayang mahukan. Asalkan sayang jangan pergi dari Abang.

 

                    Hati Eman merintih hebat menyesali tindakannya yang terlalu mengikutkan hati. Ya, kesan sihir itu menyebabkan dirinya berubah, namun sebenarnya dia yang membenarkan semua itu terjadi ke atas dirinya. Andai kata dia redha dengan segala ujian yang Allah berikan, maka semua itu pasti tidak terjadi. Lantaran kekecewaan dan kealpaannya, dia jadi hamba yang tidak bersyukur. Dia sering melewatkan waktu solatnya. Tiada lagi doa-doa dan zikir-zikir yang membasahi lidahnya. Yang ada cuma bentakan untuk melawan rasa sakitnya. Fikirannya hanya terarah kepada pengakhiran hidupnya tanpa dia sedar yang ajal maut itu, semuanya di tangan Allah.

 

 

                    Eman menekup wajahnya dengan pelipat sikunya lantas membuang tangisnya dengan bersungguh-sungguh. Lidahnya tidak berhenti menyebut nama Allah. Dalam waktu yang sama dia bersyukur yang dia tidak tersasar jauh. Dia memandang bingkai gambar di sebelahnya. Gambar majlis persandingan mereka. Ameena kelihatan tersenyum bahagia. Eman membawa bingkai gambar itu ke dalam pelukannya dan berbaring. Sudah penat dia meraung sehingga kelopak matanya sudah membengkak. ‘Ya Allah.. Kau tuntunlah hati isteriku untuk terus mencintaiku. Aku tidak inginkan perpisahan. Berikanlah yang terbaik untuk kami. Namun andai yang terbaik itu dalah perpisahan, Kamu hadirkanlah seorang lelaki yang tidak akan mensia-siakan dia dan menyayanginya dengan ikhlas dan sepenuh hati.’

 

 

                    Air mata Eman berjuraian lagi dengan doanya yang terakhir itu. Bertemankan bingkai gambar perkahwinannya, Eman tertidur dalam esakkannya yang panjang. Sakitnya sudah tidak dipedulikan. Penyesalannya membuatkan dia tidak lagi kisah dengan perkara lain.

 

 

 

 

 

AMEENA melangkah longlai ke pintu rumahnya. Sempat dia menjeling ke dalam kereta suaminya. ‘Tahu pula nak balik.. Ingatkan dah tak ingat jalan balik!’ Kepalanya yang pening membuatkan pandagannya sedikit kabur. Dia melihat pada skrin telefonnya. Tertera empat puluh tiga panggilan tidak berjawab daripada suaminya. Dia tersenyum sinis. Pastinya Eman berfikir yang dia sudah lari dari rumah. Aku masih tahu hukum bukan macam kau! Jam pada telefonnya sudah menunjukkan ke angka tiga pagi.

 

 

                    Ameena perlahan-lahan membuka pintu rumahnya dan menjenguk ke dalam. Dia melihat Eman terbaring di atas sofa dengan kedudukan mengerengkot. Mungkin sedang menahan sakit. Timbul rasa kasihan dalam hatinya. Dia menapak masuk ke dalam rumah dengan berhati-hati, tidak mahu Eman terjaga dengan bunyi derapan kakinya.

 

Kalau diikutkan dia perlu dimasukkan ke wad untuk pemantauan selama sehari, namun disebabkan dia enggan dan berdegil mahu pulang maka dia dengan cekalnya menandatangani borang menolak rawatan dan keluar atas risiko sendiri. Tekanan darahnya masih rendah namun stabil berbanding sewaktu dia mula-mula sampai ke unit kecemasan malam tadi.

 

Bau minuman cokelat panas yang diletakkan oleh Ameena di atas meja kopi disebelah sofa membangunkan Eman dari lenanya. Eman mengangkat kepalanya sedikit dan matanya segera terbuka luas apabila melihat segelas minuman cokelat yang masih panas di atas meja. Disisi gelas pula terdapat segelas air masak dan dua biji ubat tahan sakit yang selalu di ambilnya.

 

Eman dengan pantas bingkas bangun dan melangkah ke tingkat atas mencari kelibat isterinya. Bagaikan orang yang sedang nanar, dia membuka semua pintu bilik yang ada, namun bayang isterinya pun tidak kelihatan. Lalu siapa yang menyediakan cokelat panas untuknya? Dia menepuk kuat pipinya dan sakitnya sehingga ke kepala, bermakna dia tidak bermimpi.

 

Eman melangkah turun ke tingkat bawah semula, namun kali ini langkahnya agak lemah dan terbongkok-bongkok menahan kesakitan. Dalam waktu yang sama dia merasa semangatnya tadi sudah terbang jauh. Badannya terasa lemah semula. Seharian dia tidak makan apa-apa kerana hilang selera untuk menjamah apa-apa pun.

 

“Kalau dah tahu sakit makanlah ubat..” Eman mendongak pantas tatkala mendengar suara itu. Ya suara bidadarinya. Air matanya berjuraian lagi apabila memandang wajah insan kesayangannya itu. Pantas dia menerpa ke arah isterinya yang sedang berdiri di sisi sofa. Diraih Ameena ke dalam pelukannya. Kemas. Namun pelukan itu lansung tidak berbalas. Biarlah! Dia tidak kisah.Asalkan Ameena masih sudi kembali lagi ke mahligai cinta mereka.

 

‘Dah kenapa pula? Aku ni hidup lagi lah! Bukannya mati pun.. Tapi kalau mati pun, kau suka apa.. bolehlah kau bersama dengan perempuan tu!’ Kata-kata itu hanya tersekat di kerongkongnya. Hatinya mati. Pelukan Eman dirasakan tanpa rasa dan kosong. Lantas dengan bersusah payah Ameena menolak tubuh tegap itu sekaligus melonggarkan pelukan yang hampir membuatkannya tidak mampu bernafas.

 

“Sayang pergi mana? Sayang okay ke?” Eman melonggakan pelukannya. Wajah isterinya di pegang dengan kedua-dua belah tangannya. Air matanya masih bersisa, bertakung di dalam kelopak matanya. Ameena hanya sepi tanpa kata dengan muka yang tidak berperasaannya. Eman tahu, apa maksudnya. Namun dia pura-pura tidak mengerti.

 

Dibawa Ameena duduk di sofa, lalu disuakan air cokelat panas yang telah suam  ke bibir isterinya. Ameena terpaksa juga meneguk kerana perlakuan Eman seperti orang sasau. Sekali lagi air mata Eman tumpah namun cepat-cepat disekanya. Ameena kembali berdiri dan memandang ke arah suaminya. Sungguh dia tidak faham dengan Eman. Emosinya senang sangat berubah. ‘Tolonglah Eman Alhadi, aku bukan patung!’

 

“Awak dah makan ke?” Eman menggeleng dengan senyuman nipisnya. Ameena lantas berpaling untuk ke dapur. Dia masih belum kejam untuk membiarkan makhluk yang bernama suami itu kebulur. Namun terlebih dahulu Eman menyambar pergelangan tangannya. Lantas di bawa ke bibirnya. Keningnya sudah membening menahan tangis. Jauh di sudut hati Ameena turut merasa sedih namun untuk dizahirkan, Ameena merasakan hanya membuang masa kerana Eman lelaki yang tidak tetap pendirian. Mungkin selepas dua tiga hari, Eman akan berubah lagi.

 

Ameena melonggarkan pegangan tangan suaminya dan terus ke dapur. Malas lagi melihat wayang yang tak sudah. Entahlah, separuh hatinya masih sayang, namun sepruh lagi sudah mula rasa muak! Cuma yang tinggal rasa tanggungjawab selagi dia masih bergelar isteri. Namun hati itu milik Tuhan. Lantaran itu, dia tidak mabu sombong dan angkuh untuk mengatakan rasa cintanya sudah hilang. Dia hanya berserah setelah dia berusaha sehabis baik untuk mempertahankan mahligai cinta mereka. Ya.. hanya dia yang mempertahankan.

 

 

 

AMEENA memandang meja Cikgu Lily yang kosong semenjaka pagi tadi. Lansung tidak berniat untuk ambil tahu, cuma meja itu bertentangan dengan mejanya dan secara tak lansung membangkitkan keinginannya untuk mencari tahu. Ameena tersenyum sendiri dengan bicara akalnya. Hari ini dia mempunyai masa kosong selepas waktu rehat. Sementara untuk ke kelas seterusnya, Ameena membelek buku rujukan Bahasa Melayu. Hari ini topik pidato untuk kelas tingkatan Empat Sains kejuruteraan.

 

                    “Cikgu Ameena, dah habis kelas ke, hari ni?” Ameena mendongak mencari wajah Cikgu Reena yang menegurnya. Dia mengukirkan senyuman supaya tidak dikatakan lokek.

 

                    “Ada satu masa lagi dengan kelas Empat SK. Kak Reen? Ada berapa masa lagi? Ke dah habis?” Bertemu dengan Cikgu Reena, membuatkan agendanya sudah tertangguh. Cikgu Reena, guru yang paling kuat bergosip. Namun ceritanya semuanya sahih dan benar kerana semuanya sudah ditapis dan disiasat terlebih dahulu.

 

                    “Kak Reen dah habis. Amee tahu tak? Pasal Cikgu Lily?” Ameena semakin panasaran apabila nama perempuan itu meniti di bibir Cikgu Reena.

 

                    “Dia cuti sakit ni. Katanya muntah darah. Sekarang ada dekat hospital. Kita pergi tengok habis sekolah nanti nak?” Membulat mata Ameena memandang ke arah Cikgu Reena. Hari khamis lepas baru dia jumpa Cikgu Lily, perempuan tu sihat-sihat sahaja.

 

                    “Petang nanti saya sibuk sikit kak, nanti saya tanya Abang.. hmm.. Cikgu Eman. Kalau dia pergi, saya pergilah.” Cepat-cepat Ameena membetulkan semula panggilannya yang sudah tersasul. Cikgu Reena pula sudah ketawa mengekek dengan gelagat Ameena.

 

                    “Abang okay je, kalau Amee nak pergi.. Lagipun petang ni kami pun nak pergi hospital tu juga. Nak buat check up.” Entah dari mana munculnya lelaki itu. Ameena lansung terus menundukkan wajahnya menghadap kembali buku di atas meja.

 

                    “ Ala dah malu dah Cikgu Ameena.. Cikgu Eman ni, nak mengusik pun tak kena tempat. Sian adik akak ni. Dah merah dah muka. Eh, Check up siapa tadi? Akak nak dapat anak buah ke ni?” Sekali lagi wajah Ameena merona kemerahan dengan usikan Cikgu Reena. Namun dia tetap tunduk terus. Tidak mahu memandang wajah suaminya itu. Pagi tadi pun dia keluar awal supaya tidak bertembung dengan Eman. Tapi sudah namanya satu sekolah, larilah sejauh mana pun, tetap bertembung juga akhirnya.

 

                    “InsyaAllah Kak Reen. Doakanlah. Check up saya. Sakit tak hilang-hilang.” Eman tersenyum manis menampakkan lekukan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Ameena menjeling sekilas.’Ah, tak lakulah lesung pipit awak tu!’ Dia cuba menidakkan rasa hatinya. ‘Dah bila pula aku cakap nak teman dia? Baru sekarang nak ikut pendapat aku? Tak guna dah Eman Alhadi.. hati aku ni dah hampir mati!’

 

 

 

 

 

 

“SAYA tak salah dengar ke doktor? Bermakna saya tak ada kanser? Tapi ujian darah hari tu, doktor tu cakap saya positif kanser dan ultrasound yang dia buat, ada imej abnormal dekat kawasan prostat.” Dahi Doktor Hussin berkerut seribu mendengar kata-kata pesakitnya itu. Pelik dan hairan semua ada.

 

                    “Result darah hari ini semua normal kecuali CRP dengan White Blood Cell. Yang ini saja tinggi sebab ada infeksi dalam air kencing Cikgu. Tapi setahu saya, kalau kanser prostat ni kena buat CT Scan, baru dapat tengok betul-betul. Bukan simply macam tu saja boleh diagnose. Ada bawa keputusan darah yang cikgu cakap tu? Saya nak tengok.” Eman menghulurkan senaskah keputusan darah yang dibuatnya tiga bulan lepas. Dia memandang ke arah Ameena di sebelahnya dengan wajah yang tidak keruan. Ameena hanya mengangguk, tanda memberikan semangat kepada suaminya.

 

                    Seketika kemudian, Doktor separuh Abad itu ketawa perlahan. Hatinya tercuit. Entah doktor mana yang memberitahu pesakitnya itu tentang keputusan darah itu menunjukkan positif kanser, padahal semuanya normal. Eman bertambah curiga dengan senyuman yang terukir pada bibir Doktor pakar itu.

 

                    “’Doktor mana yang awak jumpa ni? Keputusan darah yang ini pun normal, Cikgu Eman.”

 

                    “Tapi apa dia cakap mengenai tanda-tanda dan gejala yang saya hadapi semuanya betul. Kalau bukan kanser prostat, saya sakit apa doktor? Kenapa sakit pada bawah perut saya dan belakang pinggang ni tak pernah hilang?” Eman semakin gelisah. Separuh hatinya sudah lega. Dipandang Doktor hussin dengan penuh harapan.

 

                    “Ini yang saya nak bincangkan ni. Cikgu selalu susah kencing kan? Selalu demam dan loya. Hilang selera makan.. dan kadang-kadang muntah. Betul? Eman menganggukkan kepalanya tanda setuju. Namun masih diam menantikan penerangan seterusnya. Tangannya meraih tangan Ameena dan diletakkan di atas pehanya. Digengggam erat tangan itu biarpun tidak berbalas. Ameena menjeling sekilas wajah suaminya. ‘Cakap sajalah nak ambil kesempatan..menyampah pula aku dengan dia ni.’

 

                    “Itu semua disebabkan ada batu yang tersekat pada tiub kecil dalam saluran kencing cikgu. Antara ginjal dengan pundi kencing tu, ada satu tiub kecil dan batu tu tersekat dekat tengah-tengah. Dah tak boleh nak bergerak. Kena buat operation juga untuk pecahkan batu tu. Buah pinggang sebelah kiri juga sudah membengkak dengan air kencing sebab tu pinggang selalu sakit. Tak adalah sampai kanser prostat.” Doktor Hussin ketawa lagi di hujung kata-katanya. Geli sungguh hatinya. Nak disalahkan siapapun tak tahu.

 

                    “Saya tak salahkan cikgu sebab tak boleh nak baca keputusan darah tu, tapi sebagai orang yang berilmu, cikgu kena ambil tahu juga berkenaan ilmu perubatan ni. Sebab ini berkaitan dengan tubuh badan kita. Saya tak mahu tanyalah dekat klinik mana cikgu dapatkan rawatan. Tapi lain kali kalau timbul isu besar macam ni, cikgu sepatutnya dapatkan second opinion daripada doktor lain. Tak salah pun.” Eman hanya mengangguk sambil tersenyum. Menyedari kebodohannya sendiri. Bulat-bulat mempercayai Doktor Luqman tak guna tu!

 

                    Sebaik keluar daripada bilik Doktor Hussin, Eman memandang ke arah isterinya dambil berfikir. Rasa marahnya pada Doktor Luqman cuba disingkirkan. Beberapa kali dia beristighfar di dalam hati, mengatakan itu semua adalah ujian untuknya.

 

                    “Awak kenapa, pandang saya macam tu?” Ameena akhirnya bersuara juga. Penat melayan perangai orang tua yang cetek akal. Kata isteri lansung tidak mahu di dengar. Percaya bulat-bulat dengan Doktor Luqman. Tapi nak salahkan dia sepenuhnya pun tidak boleh. Siapa yang bawa dia ke klinik tu, bukan aku ke?

 

                    “Lily!” Serentak mereka berdua bersuara. Seolah-olah kedua-duanya sedang memikirkan perkara yang sama.

 

                    “Dia ada kat hospital ni kan? Sayang tahu wad mana?” Ameena menganggukkan kepalanya sekali dengan wajah risaunya. Entah apa akan jadi kalau dia dapat jumpa dengan Cikgu Lily sekarang. Bimbang ada yang keluar dari hospital ni melalui bilik mayat.

 

                    “Tak payah la.. Awak dah tahu kebenarannya. Lagipun, mungkin dia pun tak tahu apa-apa.” Ameena cuba menenangkan hati suaminya yang sedang marah.

 

                    “Abang nak tahu juga. Jangan risau, kita pergi melawat dia dulu. Kalau dia okay baru kita tanya.” Nada suara Eman yang berubah tenang pada hujung kata-katanya membuatkan Ameena akur. Dalam hal itu, Eman ada hak untuk tahu apa yang sebenarnya terjadi. Kalau dia sendiri pun, tak tahulah apa akan jadi . Tiba-tiba sahaja mendapat tahu menghidap kanser. Siapa sahaja yang tidak takut dan risau. Siapa sahaja yang tidak takut dengan sakaratulmaut. Cuma cara suaminya itu salah. Seperti menyalahkan takdir.

 

                    Langkah diorak penuh debaran ke wad yang menempatkan Cikgu Lily. Tak susah untuk mencari. Apa yang diharapkan oleh mereka, Cikgu Lily tiada kaitan dengan semua ini. Mungkin sahaja Doktor Luqman yang silap mendiagnoskan pesakitnya. Doktor juga hanya orang biasa dan bukan tuhan. Salah dia juga, Dia yang tidak mahu membuat pemeriksaan lanjut. Tapi berkenaan dengan keputusan ujian darah pula, bagaimana? Adakah seorang doktor boleh membuat kesilapan begitu?

 

                    Tertera nama Lily Hasrita pada pintu bilik. Mereka berdua berpandangan sesama sendiri. Masing-masing merasa sesuatu yang tidak enak. Namun tetap dikuatkan hati mereka. Ameena juga sudah bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Pintu diketuk dan dikuak perlahan apabila kedengaran suara seorang lelaki mempersilakan masuk. Sebaik sahaja pintu dibuka, kedua-duanya terkejut melihat satu figura yang amat dikenali. Lelaki itu dan Cikgu Lily seolah-olah sudah lama mengenali antara satu sama lain. Kemarahan Eman tiba-tiba memuncak. Ameena yang sudah masak dengan perangai suaminya itu, cepat-cepat memeluk pinggang suaminya. Badannya dijadikan penahan supaya tidak berlaku serangan berdarah disitu.

 

                    “Kau memang kurang ajar!” Suara Eman bergema satu bilik itu dan mungkin sampai keluar wad.

terima kasih di atas semua komen drpd pembaca novel PDT.. OV harap semuanya masih sudi membaca chapter seterusnya.. setiap manusia pernah membuay kesilapan..huhuhu...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience