Series
63528
Ameena melangkah perlahan menuruni anak tangga pejabat Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Cahaya. Hatinya masih berdebar, baru sahaja usai melapor diri. Rasmi kini, dia kembali ke sini, bukan lagi sebagai pelajar, tetapi sebagai seorang pendidik.
Suasana di perkarangan sekolah menggamit rasa. Gelak ketawa anak-anak sekolah bergema meriah, menyentuh sisi hatinya yang telah lama sunyi daripada riuh sebegitu. Langit pagi yang cerah seakan menyambut kepulangannya.
Ameena tersenyum sendiri. Kenangan zaman persekolahan datang bertamu, lembut namun menggugah jiwa. Sudah hampir enam tahun masa berlalu, namun setiap sudut sekolah ini masih menyimpan kisahnya.. tangis, tawa, luka dan cerita zaman remaja.
Dia menoleh sejenak ke arah bangunan sekolah, seakan memandang semula potret silam yang tergantung di dinding waktu. Tidak pernah terlintas di benaknya, dia akan kembali ke sini… bukan sebagai pelawat, tetapi untuk menyambung cerita. Kali ini dari sisi yang berbeza.
Sungguh, rindunya tidak pernah pudar. Dan hari ini, rindunya itu menemukan rumah.
Beberapa pasang mata mencuri pandang ke arahnya. Langkahnya yang tenang di koridor sekolah mula disambut dengan lirikan ingin tahu dan bisikan yang halus namun cukup jelas menyinggah ke telinga.
“Cikgu baru kot… cantik la.”
“Cantik, tapi macam garang je muka dia.”
Ameena tunduk sedikit, senyum nipis terukir di hujung bibir. Bukan pertama kali dia menjadi bahan bualan, namun kali ini berbeza, dia bukan lagi pelajar yang berdiri di belakang barisan, tetapi seorang guru yang bakal berdiri di hadapan kelas.
Langkahnya diteruskan perlahan, menyusuri koridor yang dihiasi deretan loker dan papan kenyataan penuh warna-warni. Suara pelajar bersahutan di kejauhan, silih berganti dengan bunyi kasut menghentak lantai dan dentingan loceng yang menggema dari arah bilik guru.
Dia menghela nafas lega. Urusan hari ini telah selesai, semua dokumen telah diserahkan, sapaan pertama bersama Pengetua pun sudah berlalu. Kini hanya tinggal satu urusan penting yang belum ditunaikan... mengisi perut yang sejak tadi tidak henti menjerit.
Perutnya benar-benar meronta. Sejak pagi, sebiji nasi pun belum menyentuh perut. Selesai melapor diri di Jabatan Pendidikan Negeri, dia terus bergegas ke sekolah, tanpa sempat menoleh ke belakang. Segalanya berlaku terlalu pantas, namun hatinya bersyukur.. penatnya berbaloi.
Langkahnya menghala ke kantin sekolah. Bau gorengan dan kuah kari yang terapung di udara menyambutnya dengan mesra. Suasana kantin penuh warna dengan barisan pelajar yang beratur membeli makanan, gelak tawa yang mengisi ruang, dan bunyi sudu berlaga pinggan menambah nyawa pada pagi yang sudah cukup bermakna.
Ameena tahu, ini hanyalah permulaan. Tapi entah mengapa, semuanya terasa sangat dekat di hati. Seperti dia memang dilahirkan untuk kembali ke sini. Dan mungkin, di sinilah takdir hidupnya akan bertaut semula, antara semalam dan hari ini.
“Eh, macam kenal!”
Langkah Ameena terhenti serta-merta. Suara garau itu datang dari arah hadapan. Serentak, jantungnya berdegup sedikit laju. Di hadapannya berdiri seorang lelaki berwajah garang tetapi masih bergaya. Cikgu Fahmi, guru disiplin yang terkenal dengan mulut laser dan pandangan tajam yang boleh menembusi jantung anak murid paling nakal sekalipun.
Di sebelahnya pula, berdiri seorang lelaki lain yang lebih muda, sedang leka menatap skrin telefon bimbit. Cikgu Eman Al Hadi. Guru Bahasa Melayu dan Sejarah yang suatu ketika dahulu pernah menjadi idola rahsia Ameena hanya kerana lesung pipit dan gaya langkahnya yang tenang. Tapi itu kisah lama. Zaman remaja yang sudah dikunci. Hatinya pernah kecewa, dan nama lelaki itu turut tenggelam dalam episod kelukaan yang dia sendiri tidak mahu kenang.
“Assalamualaikum, Cikgu Fahmi,” sapa Ameena, menguntumkan senyum yang terpaksa ditahan supaya tidak nampak terlalu gugup.
Eman tidak mengangkat muka, hanya menjawab salam dengan malas, mata masih tertancap di skrin telefon. Sebaliknya, Cikgu Fahmi menatapnya lama, dahinya berkerut, cuba mencantumkan wajah di depan mata dengan memori yang samar-samar.
“Nama apa ya? Ya Allah… awak ni bekas pelajar sini, kan?” Nada suaranya penuh kejutan.
Ameena hanya tersenyum, sedikit malu tapi cuba mengawal riak wajah. Matanya melirik sekilas ke arah Eman, ujian sabar benar-benar datang tanpa diduga hari ini. 'Berlagak! Masih sama.'
“Ameena, Cikgu. Ameena Azzahra.” Sengaja disebut dengan intonasi yang lebih tinggi. Sengaja untuk memancing perhatian lelaki yang satu itu. Dan ternyata, berhasil.
Kepala Eman berpaling dengan pantas, seolah-olah baru tersedar dari lena panjang. Anak matanya membulat, mencari empunya nama yang menyebut dirinya sendiri. Ada renungan yang sukar ditafsir, antara terkejut, bingung dan... mungkin juga sesuatu yang dia sendiri tidak jangka.
“Ya Allah... maaflah Ameena. Cikgu sungguh-sungguh lupa nama awak. Tapi muka tu cikgu ingat. Comel dah sekarang… Awak buat apa kat sini? Awak batch Siti Saleha kan?” Cikgu Fahmi berbicara penuh mesra, matanya bersinar mengenang masa lalu.
Ameena mengangguk perlahan. Senyumnya terukir tanpa dipaksa. Sejak bila dia pandai senyum begini, dia sendiri tidak tahu. Mungkin sejak dia sedar bahawa seorang guru harus sentiasa tenang dan manis walau hatinya berkocak seperti ombak musim tengkujuh.
“Ehem.” Suara Eman menyelit. Sinis.
“Bekas pelajar kat sini ya… Tapi, awak buat apa kat sini? Jangan-jangan datang mohon kerja kantin.. ”
Ayat itu tajam dan kejam, menikam maruah tanpa segan. Hati Ameena berbahang, namun senyumannya tetap terukir. ‘Masih tak berubah… berlagak macam dulu,’ detik hatinya. Tapi kali ini dia tidak akan undur. Sudah cukup lama dia berdiam.
“Kalau ya pun… apa salahnya, cikgu?” Nada suaranya tenang, namun setiap patah perkataan ibarat peluru yang disusun kemas.
“Janji rezeki halal. Sekarang ni nak dapat kerja bukan senang. Bekas pensyarah pun ada yang jadi tukang sapu. Asalkan halal… itu yang utama, kan Cikgu Fahmi?”
Cikgu Fahmi angguk laju, penuh semangat, seperti menyokong seorang wakil rakyat.
“Betul! Seratus peratus saya sokong. Bagus awak ni, Ameena. Awak memang lain dari dulu. Saya ingat lagi, awak antara pelajar harapan sekolah. Aktif semua benda! Kurikulum, kokurikulum, debat pun awak! Jangan main-main… dengan dia ni kena tapis dulu sebelum cakap!”
Tawa Cikgu Fahmi bergema, ikhlas dan kuat. Sementara di sisi, wajah Cikgu Eman Al Hadi mula merah padam. Rahangnya bergerak-gerak menahan malu, seperti sedang mengunyah kata-kata sendiri yang terlebih berlagak.
Ameena cuma tersenyum. Dalam diam, dia tahu… ini baru permulaan. Perang bakal bermula lagi.
“Cikgu Ameena! Akak ingat Cikgu dah balik rumah tadi. Ni dompet Cikgu tertinggal kat atas meja akak tadi. Teringat pula Cikgu cakap nak ke kantin cari makanan. Mujurlah masih ada kat sini.”
Suara Kak Fateha, kerani pentadbiran sekolah, memecah kebuntuan suasana. Sekelip mata, dua pasang mata lelaki itu berpandangan. Kening Cikgu Eman Al Hadi terjungkit sedikit. Manakala Cikgu Fahmi, sudah tersenyum bangga, seperti baru menemui jawapan teka silang kata.
‘Lain macam Cikgu Fahmi ni. Dulu mulut dia lagi tajam dari sembilu. Mungkinkah... dia dah insaf?’ Ameena tersenyum kecil, sekilas memandang ke arah wanita yang baru tiba itu.
Kak Fateha... tinggi lampai, kemas berkebaya moden. Seorang ibu kepada tiga cahaya mata, namun masih kelihatan anggun bergaya. Penampilannya sentiasa tenang, senyumannya sentiasa manis.
“Ya Allah… terima kasih Kak Teha. Tapi panggil Amee je lah. Segan la panggil Cikgu,” balas Ameena, malu-malu. Gelaran 'Cikgu' itu masih terasa asing di telinganya. Dia dan Kak Fateha memang sudah kenal lama. Bahkan sebelum dia melanjutkan pelajaran, mereka sering bertukar cerita di bilik pejabat sekolah.
Ameena memang disenangi bukan hanya pelajar, bahkan mak cik-mak cik kantin pun sayang padanya. Sikapnya yang ringan tulang, tidak memilih kawan, dan tidak pernah sombong, menjadikan dia mudah didekati. Kini, selepas beberapa tahun, mereka dipertemukan semula tapi dalam suasana yang jauh berbeza.
“Ha, betul la tu. Selamat datang ke dunia cikgu-cikgu. Subjek apa? Bahasa Melayu ke?” soal Cikgu Fahmi, masih tersenyum. Senyumannya lain macam.. bukan sinis, tapi benar-benar bangga.
Cikgu Eman pula hanya menunjukkan isyarat tangan, tanda dia mahu beredar. Telefon masih di genggaman, matanya enggan lama-lama bertaut dengan sesiapa. Kak Fateha juga menyusul segera, kelihatan tergesa mahu kembali ke pejabat.
“Ya. Saya Cikgu Bahasa Melayu. Pandai cikgu teka.” Ameena menjawab dengan tenang. Namun perutnya sudah mula berkeroncong.
“Mohon tunjuk ajar sepanjang saya bertugas di sini nanti,” sambungnya, penuh adab dan sopan.
“InsyaAllah. Memang tugas kami. Awak tanya saja kalau ada apa-apa. Kita jumpa lagi esok ya. Saya ada kelas ni. Tapi teruja betul jumpa kamu kat sini.”
Cikgu Fahmi sempat mengangkat tangan, mengiringi satu senyuman yang… terlalu manis.
Senyuman itu, kalau diberi pada zaman sekolah dulu, pasti ada ramai pelajar perempuan pengsan di tepi koridor.
‘Handsome pulak dia sekarang. Tapi kenapa dulu garang semacam? Muka menyinga sepanjang masa...’ Ameena ketawa kecil sendiri.
Langkah kaki Ameena sedikit perlahan saat sampai di hadapan kaunter kantin. Wajah-wajah di sekelilingnya kelihatan asing, mungkin tender kantin sudah bertukar tangan. Tiada lagi suara garau Makcik Kalthom melaung namanya, tiada lagi bau kari ikan jenahak yang menyesakkan rasa rindu.
‘Rindunya nasi lemak sambal tumis Makcik Kalthom…’ bisiknya dalam hati sambil mencapai pinggan kosong.
Sedang dia memilih lauk, tiba-tiba satu suara menyapa dari sisi.
“Assalamualaikum. Cikgu baru ke?”
Ameena tidak segera menjawab. Dia angkat wajah perlahan-lahan. Cuba menyesuaikan suara itu dengan rupa di depan mata.
Yang muncul bukan makcik kantin, bukan juga staf pejabat. Lelaki tinggi, berkulit cerah, berbaju polos dan berseluar jeans pudar. Di kepala, topi lebar seperti pekebun Cina zaman dulu. Di kaki pula, kasut boot kotor tanah merah.
‘Pelik. Tapi... boleh tahan… macam oppa versi dusun.’
“Ya, saya. Maaf ya… awak kerja kat sini ke?”
Nada suaranya datar. Muka pun tidak sepenuhnya berpaling. Satu mata saja memandang, satu lagi masih fokus pada ayam goreng berempah.
Lelaki itu tersenyum kecil, tenang. Dua lesung pipitnya muncul seperti sedang sengaja bermain-main di pipi.
“Ya. Saya kerja sini. Kadang-kadang kat belakang, kadang tolong kat depan. Ikut siapa yang tak datang.”
Ameena mengangguk sedikit. Langsung tidak terkesan dengan senyuman itu. Tangannya sudah mencapai lauk seterusnya.. sambal sotong.
“Kalau macam tu, boleh la kirakan harga makanan saya ni. Berapa semua ni?”
Lelaki itu tidak terus menjawab. Sebaliknya dia mengamati wajah Ameena sejenak. Ada sesuatu dalam renungannya seperti sedang meneliti, meneka, mencatat sesuatu dalam diam.
Kemudian baru dia bersuara. Perlahan. Penuh gaya. Dan kedengaran sedikit berbeza loghatnya. Seperti gaya cakap mat salih.
“Tak apa. Hari ni saya belanja.” Dia tunduk sedikit, separa hormat.
“Selamat bertugas, Cikgu…”
Nada akhir itu dileretkan seperti dialog dalam drama tapi bukan secara berlebihan. Cukup untuk buat orang berhenti kunyah kalau sedang makan.
Ameena menjeling. Bukan kerana terpesona, tapi kerana terfikir sama ada lelaki ini sedang main-main atau memang jenis bercakap macam tu.
“Ameena. Ameena Azzahra.”Dia tetap memperkenalkan diri.
“Terima kasih. Semoga rezeki encik bertambah-tambah. Saya dulu pun sekolah sini. Makcik kantin yang lama pun selalu belanja saya makan. Sama macam Encik hari ni. Encik siapa nama?”
Lelaki itu tunduk lagi, kali ini dengan senyum yang lebih tertutup.
“Isa. Isa Rayyan.”
Nada suaranya perlahan, jelas, dan ada sedikit dengung yang menggantung. Seperti nama itu bukan sekadar nama.
“Terima kasih, Encik Isa. Saya makan dulu ya.”
Ameena tidak menunggu reaksi. Dia terus bawa dulang ke meja kosong di hujung kantin. Langsung tidak menoleh ke belakang.
Isa pula hanya memandang dari jauh. Wajahnya masih tenang, tapi anak matanya tidak bergerak dari arah tempat duduk Ameena.
Ada sesuatu dalam caranya melihat. Mungkin cinta pandang pertama.
Share this novel