BAB 28 : HAPPY BIRTHDAY

Romance Series 52946

AMEENA perlahan – lahan membuka matanya seraya membalas senyuman suaminya. Lengan kekar Eman masih melingkar pada pinggangnya. Mereka saling bermain bahasa mata. Bagaikan tidak percaya, dia sudah berjaya melawan perasaan takutnya selama ini. Semoga Eman akan pegang pada janji-janjinya. Semoga Eman Al Hadi akan tetap setia bersamanya walau apapun halangan yang tiba.

“Terima kasih Sayang.. sebab percayakan Abang.” Tangan Eman kemudian naik membelai rambut ikal isterinya. Ameena tersenyum malu.

“Abang.. jiwa dan raga Sayang.. hanya untuk Abang.. Abang yang pertama dan Sayang harap Abang juga yang terakhir. Jangan tinggalkan Amee.” Ameena mengusap lembut pipi suaminya. Pertama kali dia berani berbuat begitu. Tiada lagi rahsia antara mereka. Dia telah serahkan segala-galanya kepada lelaki itu. Lelaki yang menjadi cinta pertamanya. Lelaki yang telah bergelar suaminya.

“Sayang pun jangan tinggalkan Abang. Cukuplah Sayang pernah tinggalkan Abang dulu.. dua kali. Abang macam orang sasau tau.. Sayang ni dari dulu, cantik sangat.. setiap inci wajah Sayang ni, Abang tak pernah lupa.” Eman tersenyum dalam mata mereka masih bertentangan. Dia mahu menatap wajah itu puas-puas. Bila dah masuk kerja nanti, risau rindu sering bertamu.

“Kenapa dua kali? Bila lagi satu?”

“Pertama kali dulu. Abang tunggu Sayang dekat Dewan Seri Hikmah. Sayang ambil result SPM. Hari tu, Abang nak melamar Sayang sebab Sayang kan dah habis sekolah. Tunggu punya tunggu, rupa-rupanya Sayang dah balik. Abang ingat Sayang nak menunjuk-nunjuk keputusan Sayang dekat Abang. Sayang kan dapat A matapelajaran yang Abang ajar.” Eman perlahan – lahan menyelitkan lengannya ke bawah leher jinjang Ameena yang berbaring mengiring menghadapnya. Usai solat subuh tadi. Mereka kembali tidur semula setelah kepenatan melayari bahtera bersama untuk malam pertama mereka. Kening Ameena berkerut memikirkan kata-kata suaminya. Antara percaya dengan tidak.

“Melamar? Takkanlah.. Amee baru je habis sekolah tu Abang.. Amee tak tahu pula ada orang tunggu Amee waktu tu.. kalau Amee tahu pun, waktu tu kan.. Abang tu musuh ketat Amee..”

“Ye lahh.. Abang takut, Sayang akan jadi milik orang lain kalau Abang terlambat. Benci sungguh ya, Sayang kat Abang masa tu?” Eman ketawa perlahan sambil menarik Ameena ke dalam pelukannya.

“Jujurnya.. Amee memang benci sangat dengan Abang sebab Abang suka cari masalah dengan Amee. Abang suka sangat malukan Amee. Mulut Abang tu jahat sangat. Sampaikan Amee rasa nak cili – cilikan saja. Biar bengkak macam kena gigit tebuan tu!” Ameena sedikit beremosi apabila mengingatkan kenangan zaman sekolahnya. Eman ketawa makin kuat. Terasa lucu dengan pengakuan Ameena.

“Maafkan Abang ya.. Abang kalau dah suka.. memang macam tu. Abang tak pandai nak romantik-romantik.. Sayang pulak pelajar Abang. Macam mana nak berterus terang pasal perasaan Abang tu. Salah di sisi undang-undang. Abang boleh ke dalam tau..”

“Tapi kan.. Abang kan kenal rumah Amee. Kenapa tak cari Amee kat sana. Nampak sangat Abang tak berani, kan..” Ameena ketawa perlahan dengan usikannya.

“Gila tak takut.. Ayah Sayang tu bukan sembarangan orang. Orang berada pula tu. Bila Abang fikir – fikir, Abang serahkan pada Allah. Andai ada jodoh, kita berjumpa semula. Lagipun keputusan Sayang cemerlang, mestilah keluarga Sayang hantar pergi belajar sampai oversea kan..” Jari kasar Eman masih bermain – main dengan rambut isterinya yang mengurai.

“Tapi Amee pasti, kalau Abang datang waktu tu, Amee takkan terima Abang. Sebab waktu habis sekolah dulu, Amee seronok sangat sebab dah tak perlu jumpa Cikgu Eman yang kerek tu. Mungkin juga Abang kena pelangkung dengan Ayah.” Eman ketawa besar dengan kata – kata isterinya. Tak sangka Ameena begitu bencikan sikapnya.

“Abang ingat tak peristiwa yang jadi sewaktu kem praSPM tu? Yang dekat kem bina diri tu.. Waktu tu ramai pelajar perempuan yang histeria. Lepas tu, Abang marah- marah dekat Amee sebab tak tolong pun mereka semua.” Suara Ameena agak mengendur. Seperti masih terasa hati. Eman mengerlipkan matanya sambil berfikir dan cuba mengingati semula peristiwa tersebut.

“Cikgu, pelajar perempuan dekat Dom B histeria.. tak boleh nak kawal. Kami takut berjangkit.” Cikgu Mariam, guru yang ditugaskan untuk menjaga kebajikan pelajar perempuan muncul di hadapan biliknya dengan wajah yang sedikit pucat.

“ Habis tu siapa yang ada dengan mereka sekarang ni Kak Mar?” Eman yang masih mamai kerana dikejutkan dari tidurnya agak terkejut dengan kemunculan guru senior itu.

“ Kak Za, Ustazah Hayati , Cikgu Aliya dengan Cikgu Farha ada dekat Dorm tu. Mereka suruh akak panggilkan Cikgu sebab semalam katanya Cikgu yang ubatkan budak histeria dekat Dorm A.”

“Berapa orang pelajar dekat Dorm tu, kak?” Eman masuk semula ke dalam biliknya untuk memanggil Ustaz Rasul dan Cikgu Fahmi.

“Ada 10 orang..yang kena 4 orang. Kak Za dah asingkan mana-mana yang lemah semangat ke dorm lain.” Eman bergegas menuruni anak tangga mengikuti langkah Cikgu Mariam. Cikgu Fahmi dan Ustaz Rasul menyusul di belakang mereka. Kejadian begitu memang biasa terjadi tetapi dia sangkakan semua sudah selesai semalam sebab dia , Ustaz Anas dan Ustaz Rasul sudah pagar kawasan tersebut. Eman memang mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kes – kes begitu kerana dia pernah belajar daripada arwah Datuknya.

Setibanya di Dorm tersebut, dia terserempak dengan Ameena yang berdiri santai sambil menyandar di sisi katil. Di hadapannya ada empat orang pelajar yang sedang kerasukan. Kawan – kawannya yang lain sibuk membantu guru – guru mengawal mangsa-mangsa kerasukan tetapi dia pula hanya memerhati tanpa ada perasaan lansung. Dalam waktu yang sama Eman berasa lega melihat buah hatinya baik – baik sahaja.

“Ameena, awak kenapa tak tolong kawan-kawan dengan cikgu-cikgu ni? Jangan pentingkan diri! Kita dekat sini satu pasukan. Kena saling membantu.” Suara Eman sedikit meninggi. Apapun, dia perlu terapkan nilai-nilai murni kepada pelajarnya tanpa kompromi.

“Eloklah Cikgu Eman dah sampai.. sekejap lagi baiklah semua tu! Propa! Cepatlah, saya nk tidur.. dah macam kem zombi!” Ameena membentak keras. Dia marah kerana tidurnya terganggu. Eman pula sudah menyinga dengan kata-kata Ameena yang dianggapnya agak biadap. Anak-anak orang berada memang perangai macam ni ke?

“Ameena! Jangan melampau!” Eman terus bergerak ke arah kumpulan pelajar yang kerasukan tersebut. Ada yang menangis dan ada yang menjerit. Bingit sekali kedengaran di telinga Ameena. Dan kata – kata Cikgu Eman itu membuatkan dia naik hantu. Ameena turut sama meluru ke arah kumpulan pelajar tersebut.

“Korang semua! Dah – dah la! Bila nak habis ni? Dah sampai pun Cikgu Eman korang ni..” Ameena masih belum berpuas hati.

“Ameena Azzahra!” Nada suara Eman agak tinggi dan berbaur amaran.

“Eh, aku tak boleh lah dengan budak – budak ni!” Ameena dengan pantas menuju ke arah salah seorang pelajar yang kerasukan itu. Pelajar itu merenung tajam kepadanya seakan memberikan amaran.

“Apa? Kau ingat aku takut ke?” PANG!! Satu tamparan kuat hinggap di pipi pelajar itu. Serentak dengan itu, pelajar tersebut mengaduh dan memegang pipinya. Hampir pecah gegendang telinga pelajar tersebut dengan kekuatan tamparan Ameena. Geram!

“Hah! Yang lagi 3 orang ni? Nak rasa jugak?” Ameena memandang ke arah 3 lagi pelajar lain yang turut sama terdiam ketakutan. Ameena berpaling ke arah guru muda yang mengherdiknya tadi dengan pandangan sinis. ‘sebab kau la aku tak boleh tidur lena! Esok aku nak balik!’

“Amee.. hebatlah kau!” kawannya Fareha dan Fateha berbisik perlahan ke telinganya. Kedua-duanya sudah kepenatan bertarung dengan pelajar yang acah-acah histeria itu.

Eman ketawa agak kuat dan memeluk isterinya lebih rapat. Peristiwa itu masih melekat dalam ingatannya. Manakan tidak.. dia mati-matian ingat mereka semua diserang histeria. Sekali kena penampar sulung Ameena, terdiam semua.

“Abang ingat tak?” Ameena bertanya lagi kerana masih belum mendapat jawapan daripada suaminya. Dia mendongak mencari wajah suaminya yang sedang ketawa. Kacak!

“Ingatlah.. Lepas tampar orang terus pergi tidur. Entah apa-apa Amee ni kan. Tapi macam mana Amee tahu mereka semua tu berlakon? Kami pelik juga masa tu. Bukan Amee saja tau terganggu waktu tidur. Abang pun rasa nak balik terus saja malam tu. Tapi mengenangkan kami ni pendidik dan itulah cabaran untuk kami.. Abang teruskan juga kendalikan kem tu sampai habis.” Eman ketawa lagi.

“Amee dengar mereka bincang dekat tandas. Mereka kata tak apa pura-pura.. kawasan kem kami dah kena pagar. Bila Cikgu Eman yang kacak tu sampai.. kita stop la.. Amee ingatkan diorang bergurau. Sekali diorang betul-betul buat. Gila...” terangkat kening Eman mendengar jawapan isterinya. Sungguh tak disangka.

“Budak empat orang tu, Cikgu Fahmi dah beri amaran. Kami takut dia balas dendam dekat Ameena. Sebab tu awal-awal Cikgu Fahmi beri amaran pada mereka semua. Sayang betul Cikgu Fahmi dekat anak murid dia ni. Kak Za pun sama. Tak lena tidur dia. Sebab itulah, esoknya kami tukarkan budak empat orang tu dekat dorm lain.” Ameena agak terharu mendengar cerita tersebut. Sungguh dia tak sangka ramai yang ambil berat tentangnya. Terutama Cikgu Fahmi yang garang tu. Mulut dia pun boleh tahan, cuma Ameena belum pernah terkena dengan mulut puaka dia.

“Amaran apa yang Cikgu Fahmi cakap dekat budak-budak tu? Mereka tu budak-budak nakal kelas belakang.. biasalah tu. Kena cara didik, pasti berubah semua tu..” ikhlas sekali kedengaran suara seorang yang berjiwa pendidik.

“Bro Fahmi cakap, dia tak mahu dengar ada kes buli berkait dengan mereka dan Ameena. Lagipun ayah Ameena majistret, mak dia pula peguam, pakcik dia pulak ketua polis bukit aman..” Habis sahaja cerita Eman, mereka berdua ketawa terbahak-bahak. Tak sangka begitu cerita disebaliknya.

“Abang..”

“Hmm.. ya Sayang” Eman menyingkap rambut yang berjuntai di dahi isterinya. Masih ada sisa ketawa pada suaranya.

“ Abang jangan senyum macam ni kat orang lain tau.. Sayang tak suka. Senyum dekat Amee saja..” Eman ketawa lagi dengan kata-kata Ameena. Risau betul dia. ‘Sayang betul Amee dekat Abang ya..’

“Sayang...” Amee mengangkat keningnya. Menunggu kata-kata seterusnya yang akan keluar daripada mulut Eman. Tangannya memeluk erat pinggang suaminya bagai tidak mahu dilepaskan lagi.

“Abang nak umumkan tentang kita. Kita buat majlis belah sini pula.. Abang tak nak orang pandang serong pada sayang kalau nampak kita berdua. Lagipun, Abang tak sanggup dah nak tipu anak-anak murid Abang. Tak sanggup juga kena kacau dengan Cikgu Lily tu. Kita bincang dengan ibu , ya?” berhati – hati sekali eman menuturkan kata-katanya. Kedengaran seakan memujuk. Dia pun tidak tahu daripada mana dia belajar menjadi selembut itu dengan seorang perempuan. Ameena memberikan impak yang sangat besar dalam hidupnya. Segala-gala tentangnya berubah.

“Mana yang Abang rasa terbaik, Sayang ikut saja.” Ameena melekapkan pipinya pada dada bidang suaminya. Terasa kehangatan tubuh suaminya menjalar masuk sehingga ke jiwanya. Inikah cinta dan nikmat rumah tangga?






“BRO! Kawan tengok awak senyum lebar saja dari pagi tadi. Misi berjaya ke, Bro?” Cikgu Fahmi menepuk kuat bahu sahabat baiknya. Buku – bukunya beserta sebatang rotan diletakkan di atas mejanya.

“Tak boleh pakai idea awak tu. Koi kena usaha sendiri juga.. Dia tengok cerita hantu, dia boleh lentok, Bro. Koi tengok seorang diri. Koi pula yang rasa nak menjerit. Hahahaha..” Eman ketawa perlahan. Masih dapat di kawal nada suaranya memandangkan dia berada di bilik guru.

“Tak berjaya la ceritanya ni? Tapi awak punya ceria tu dah macam berjaya tawan gunung kinabalu.” Cikgu Fahmi ketawa lagi. Dia menggelengkan kepalanya sambil mengemaskan mejanya. Wajahnya agak kepenatan setelah menghabiskan kelas terakhirnya hari itu.

“ Siapa cakap koi tak berjaya? Koi ada strategi sendiri.. tapi tak boleh cakap la.. Rahsia!” Serentak dengan itu mereka ketawa agak kuat sehingga mengundang mata -mata lain memandang ke arah mereka. Begitulah kalau mereka berjumpa. Kalau tak, nak tersenyum pun susah. Kadang-kadang ada yang cakap mereka tak lurus.

“ Koi nak sanding lagi sekali. Awak jadi pengapit koi ya?” Wajah Eman bertukar serius. Memandang ke arah sahabatnya itu dengan wajah yang mengharap.

“Kepala hotak awak! Pengapit tu untuk orang bujang la. Kawan ni dah kahwin. Tak nak la kawan rasa kena pelangkung dengan isteri kawan tu.” Ketawa antara mereka meletus lagi.

“ Awak pelawa ustaz Arif tu. Biar berjumpa jodoh dekat pelamin awak nanti. Kawan kesian tengok dia. Yalah, nak cari bini orang sekampung.”

“ Tak mahulah Koi.. nanti dia duk jeling isteri koi dekat pelamin tu nanti. Minggu depan jomlah mari rumah koi. Koi balik kampung. Keluarga Ameena pun ada. Mari makan buah kat dusun. Mak koi cakap dah masak durian tu.” Wajah Cikgu Fahmi kelihatan agak teruja. Memang dia sedang mencari tempat bercuti untuk keluarganya.

“ Okay Bro! Yang ni kawan setuju. Kawan tidur rumah awak ya..” Eman mengangkat ibu jarinya tanda setuju. Meriahlah rumahnya nanti. Dengan sepupu-sepupunya lagi yang pulang bercuti.



“KAU kenapa ha? Apa ada dalam kepala kau sekarang? Dulu kau pergi macam tu saja. Sekarang kau senang-senang datang semula. Kau ni memang tak tahu malu ke?” Jelas sekali di wajahnya yang dia tidak suka dengan kehadiran lelaki itu. Dulu lelaki itu segala-galanya bagi dia sehinggakan dia sanggup pertaruhkan mahkotanya demi membuktikan cintanya yang tulus. Namun hanya kerana desakan keluarga, lelaki itu meninggalkannya begitu sahaja. Dia yang masih belajar di maktab perguruan waktu itu, terkontang kanting. Hampir sahaja dia gagal meneruskan pengajiannya.

“Saya datang sebab saya nak tebus kembali semua salah saya. Lagipun awak bukan milik siapa-siapa pun kan. Saya yakin awak masih setia dengan cinta awak. Awak masih belum lupakan saya. Saya yakin! Saya kenal awak macam mana.” Lily mencebik. Menyampah dengan kata-kata lelaki buaya seperti Hakimi. Anak orang kaya yang tidak mampu membuat keputusan sendiri. Hanya patuh pada kehendak keluarga. Tak ada pendirian! Jauh berbeza dengan Eman Al Hadi.

“Jangan mimpi! Siapa nama kau? Tengok, nama kau pun aku dah lupa. Mungkin sebab kau tak hebat mana pun.” Lily sengaja menggores luka di hati lelaki itu. Sungguh, dia pernah letakkan harapan yang tinggi pada lelaki itu. Dia pernah bina impian hidup bersama dengan lelaki itu. Tapi dia tak sangka lelaki itu berpaling dari cinta mereka.

“Lily.. jangan macam ni. Kita sama-sama baiki diri kita. Saya sanggup buat apa saja, untuk awak kembali pada saya semula. Saya tak pernah lupakan awak. Saya menurut kehendak keluarga saya, semata-mata tak mahu mereka lukakan hati awak. Sekarang Ummi dan Abi saya dah tak ada. Abi nak jumpa awak sebelum dia pergi. Dia nak minta maaf. Dia tahu kita dah terlanjur tetapi dia tak nak menanggung malu. Sebab tu dia hantar saya belajar ke luar negara. Dia minta maaf sangat- sangat dari awak.” Hakimi cuba meraih lagi kepercayaan daripada Lily. Jelas sekarang Lily sudah berubah. Tidak seperti dulu. Dia memandang perempuan itu dari atas sampai bawah. Dulu Lily tidak pernah berpakaian begitu. Walaupun dia tidak bertudung, tapi pakaian dia masih sopan. Dulu Lily seorang yang mendengar kata namun sekarang dia sangat lantang bersuara.

“Betul? Awak sanggup buat apa sahaja? Walaupun nyawa jadi ganti?” Lily ketawa mengejek. Dia pasti lelaki itu tidak mampu pun melaksanakan semua apa yang dia ingini. Lelaki penakut begitu hanya bersembunyi di sebalik telunjuk keluarga. Dayus!

“Ya.. saya sanggup. Andai itu yang dapat menebus dosa saya pada awak.” Lily mencebik lagi. Bosan dengan ucapan palsu dari lelaki dayus itu. Kalau Ummi dan Abi kau masih ada, memang tak la kau nak datang cari aku. Tahu pula kau dosa pahala. Dulu waktu aku cakap, waktu aku tolak, kau cagarkan harga cinta aku.. Kau pertaruhkan maruah aku sebagai bukti cinta. Ah, aku pun bodoh!

“Aku cuma nak, kau jangan muncul lagi dekat sini. Tunggu sampai aku balik KL kalau nak cakap apa-apa, tunggu aku balik sana. Jangan semakkan mata aku dengan muka kau. Aku benci! Dan jangan nak call aku lagi. Kalau kau nak aku terima kau. Kau kena terima syarat-syarat aku. Aku tak suka orang paksa-paksa aku.” Lily cuba berunding secara autokratik. Dia tidak mahu lelaki itu menguasainya lagi. Sungguh dia benci. Dia perlu cepat bertindak. Eman! Hanya Eman yang akan menjadi suaminya. Bukan Hakimi atau sesiapapun.

Hakimi hanya mengangguk, akur dengan permintaan Lily. Dia tahu, kemunculannya yang secara tiba – tiba itu, membuatkan luka lama berdarah kembali. Dia perlu memberi ruang pada perempuan itu. Dan Lily juga mungkin memerlukan masa. Bukan semudah itu dia tunduk pada kehendak lelaki yang pernah kecewakan cinta matinya.



AMEENA melirik pandang pada gadis kelahiran Brunei itu. Berketinggian sederhana. Kulit putih mulus. Yang penting bertudung. Manis dan cantik. Lembut dan sopan. Senyuman sentiasa terukir di bibirnya. Bermata coklat cerah. Patutlah, adiknya Ameer tergila-gilakan sangat sampai tak ada masa untuk bercerita apa pun dengannya. Puteri Qadeeja. Cantik namanya, secantik orangnya. Gayanya seperti orang berada.

“Kak.. kau marah aku kan? Maaflah, aku memang tak sempat nak cerita apa-apa kat kau. Lagipun, aku taknak kacau kau dengan Cikgu Eman. Sekarang kan, dia suami kau. Kau kenalah percayakan dia. Apa-apa masalah, kau kenalah cerita kat dia.” Ameer berbisik perlahan di sebelah Ameena. Ameena pula hanya menayang muka tak berperasaan. Dia bangun dan melangkah ke luar rumah tanpa sepatah kata pun. Malas mendengar suara bersalah Ameer. Sengaja dia ingin menyiksa jiwa Ameer yang sudah angau dengan gadis brunei itu.

“Sayang... Dah berkenalan ke dengan bakal adik ipar?” Ameena melabuhkan punggungnya di bangku kayu bersebelahan dengan suaminya. Secara tak lansung menyertai perbualan Arief dan Aryan.

“Dah. Puteri Qadeeja nama dia. Orang Brunei. Nak kahwin hujung tahun ni. Okaylah tu..” mendatar sahaja suara Ameena sehingga mengundang ketawa Arief dan Aryan.

“Kau dah kenapa Kakchik? Datang bulan ke apa? Yang kau nak moody sangat ni kenapa.. patutnya gembiralah! Ameer nak kahwin. Tengok kami ni tak kahwin-kahwin.” Ameena mencebik dan memeluk pinggang suaminya, Eman. Kepalanya dilentokkan di bahu lelaki itu. Wajah Eman tiba-tiba berubah kerana malu dengan abang-abang iparnya itu.

“Biar lah dia nak pergi kahwin ke.. nak pergi pindah Brunei ke.. aku tak kisah.. Aku dah ada Cikgu Eman aku ni. Baik aku pandang dia.. sejuk hati aku ni.. kan, Abang..” Ameena tersenyum nakal. Dia tahu suaminya agak pemalu jika berhadapan dengan orang lain. Arief dan Aryan ketawa agak kuat melihatkan perubahan air muka Eman.

“Bertabahlah Cikgu Eman... Ameena ni nampak saja macam polos.. baik.. tapi sebenarnya dialah pengkhianat nombor satu dalam rumah ni. Bab kenakan orang dialah. Kalau dia tak puas hati kat kami.. siaplah.. Ameer tu, orang suruhan dia yang paling setia la tu.. tapi hari ni dah berpaling tadah!” Mereka berdua ketawa lagi. Ameena pula hanya tayang muka selamba. Eman pula hanya tersenyum cuak. Nak membantah takut Ameena melenting. Nak biar, dia yang terasa malu. Akhirnya dia terpaksa buat-buat keras hati. Kawal wajah machonya, demi isteri tercinta.

“Lambat lagi ke, ibu dengan Ayah ni.. Kang malam baru sampai Kuantan. Inilah leceh bawa orang bandar ni.” Ameena merungut tidak puas hati. Awning tudungnya yang ditiup angin dibetulkan menggunakan jarinya. Tidak puas dengan itu, dia bangun dan mengadap cermin kereta pula untuk memastikan tudung yang dipakainya terletak elok di kepala.

“Eh.. tau- tau saja kau dia orang bandar. Jangan-jangan dia tu yang duduk dekat sempadan Brunei sabah tu.. dekat kepulauan Borneo.” Aryan menyiku lengan Arief sambil ketawa.

“Kau pun.. tak nak kalah..” Eman hanya tersenyum dengan keriuhan abang-abang iparnya. Dia juga lega Ameena sudah tidak berkepit di sebelahnya. Kalau tak, kejantanannya tak berhenti-henti berdenyut. Macam itu rupanya lelaki yang berpuasa terlalu lama. Dah dapat sekali, terus aktif sepanjang masa. Patutlah kawan-kawannya yang sudah beristeri susah sangat nak lepak lama-lama lepas habis game. Eman menarik nafas lega.



SUASANA kediaman itu begitu meriah dengan suara-suara tetamu yang datang. Hajah Sufiah mengelap air jernih yang gugur dari kelopak matanya. Rindunya pada sahabat baiknya, Kartini kini terubat. Terasa sudah lama mereka tidak berjumpa. Kalau tidak disebabkan penyatuan antara Eman dan Ameena, mungkin mereka lebih sukar untuk bertemu mesra.

Arief dan Aryan sudah terlebih dahulu memilih bilik yang pernah mereka diami dahulu sewaktu majlis perkahwinan adiknya. Sememangnya dia sudah berbincang daripada awal lagi tentang itu. Ameer pula hanya mengikut tanpa banyak bicara.

“Siapa yang cantik sangat ni, Tini. Tak pernah tengok pun. Ameena tak ada adik perempuan kan?” Hajah Sufiah menilik gadis yang berdiri di sebelah temannya dengan senyuman manis.

“Kawan Ameer ni.. dari Brunei. Ajak dia kenal – kenal budaya sini. Tak lama lagi nak jadi orang sini..” membulat mata Hajah Sufiah dengan jawapan Kartini.

“Alhamdulillah.. Lawan dengan yang mana. Anak teruna awak tu, tiga-tiga belum kahwin lagi. Yang bertunang dengan orang Sarawak tu.. bila nak lansung?”

“Yang ni dengan anak bongsu saya. Yang dengan Sarawak tu.. dah putus. Tak ada jodoh.. saya pun tak tahu apa masalah mereka. Kita ni, ikut sahajalah. Nasihat dah bagi, tapi macam itu juga. Biarkanlah saja. Tak ada daya kita pun..” agak mengendur suara Kartini pada ayat-ayatnya yang terakhir. Kecewa juga hati tuanya dengan jodoh yang tak kesampaian itu.

“Tak apalah Tini.. kerja Allah semua tu..? Bila nak lansung?”

“InsyaAllah hujung tahun ini, Sufi.. nanti datang majlis, awak datang awal tau. Seminggu awal. Duduk dekat terengganu lama sikit.” Sufi tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Apa sahaja untuk sahabat baiknya itu, akan cuba dia tunaikan.

“Mana anak-anak buah awak? Kata hari tu, semua balik. Haleeda saja ke yang baru sampai.. Segan pula saya ni Sufi. Nanti mereka sampai ada tempat nak tidur tak?”Kartini melirik pandang pada Haleeda yang sedang menguruskan anak-anak kembarnya di samping menantunya, Eman.

“Ameena tolong bawa Qadeeja ke bilik bawah sana boleh? Bilik yang belakang dapur.” Ameena mengangguk dengan senyuman yang cuba dimaniskan. Hakikatnya dia tidak mahu pun beramah mesra dengan gadis Brunei itu. Masih marah dengan Ameer yang tiba-tiba hilang dari radar disebabkan gadis itu.

“Hmm.. Haleeda memang dah tinggal dekat sini. Nantilah saya cerita. Banyak benda nak cerita ni. Tapi tak boleh kat sini. Soal bilik, jangan risau. Cikgu Hashim tu dah tambah lagi bilik kat tanah belakang tu.. belakang dapur sana. Sama konsep dengan yang depan ni. Dah ada pekerja pun yang jaga. Katanya, dia nak semua adik beradiknya dan anak- anak buahnya berkumpul disini. Bahagian anak-anak dah ada dekat lot sebelah sana.” Bersungguh-sungguh Hajah Sufiah bercerita. Kartini pula menarik nafas lega kerana kehadirannya tidak menyusahkan tuan rumah.




CIKGU Hashim menganggukkan kepalanya beberapa kali. Hajat anak dan menantunya itu sedikitpun tidak dibantah. Dia faham dengan kedudukan mereka dan hormat dengan keputusan yang mereka buat. Tambahkan pula, pernikahan mereka dulu di luar pengetahuan mereka. Dirancang sepenuhnya oleh keluarga.

“Bulan berapa nak lansung? Elok sangat perancangan kamu tu. Kena hebahkan. Tak apalah , dah lama pun. Lagipun kamu cakap, pernikahan kamu ni belum dihebahkan kepada pihak sekolah kan.. sebaik-baiknya kena buatlah kenduri sikit, hebahkan perkara baik ni supaya tak mengundang fitnah.” Cikgu Hashim memandang ke arah Hajah Sufiah yang masih terkejut dengan berita itu. Begitu juga dengan Tuan Zulkifli. Mereka hairan bagaimana anak dan menantu mereka boleh merahsiakan daripada pihak sekolah selama hampir setahun. Bermacam-macam persoalan timbul dalam fikiran mereka.

“Along dengan Ameena ni.. ada masalah ke? Kenapa baru sekarang nak hebohkan? Macam mana kamu dekat sekolah? Tak bercakap lansung? Pergi sekolah macam mana? Asing – asing? Along?” Bertalu – talu soalan keluar dari mulut Hajah Sufiah. Jelas dia tidak berpuas hati dan agak kecewa dengan anaknya. Eman sudah kehilangan kata. Beberapa kali dia menelan liur kesat. Ameena pula sudah tidak senang duduk dan memandang ke arah ibunya memohon pertolongan. Pandangan tajam Tuan Zulkifli menggambarkan semua kesalahan di atas bahunya.

“Mak.. Abah.. Ibu, Ayah.. Saya sebenarnya tak mahu orang pandang serong pada Ameena. Memandangkan Ameena baru sahaja habis eddah waktu tu.. jadi saya fikir lebih baik ditangguhkan dahulu ke masa yang lebih sesuai. Dan sekarang sudah hampir setahun, jadi saya fikir inilah masa yang sesuai. Saya minta maaf sangat-sangat dengan semua dan saya minta jangan letakkan kesalahan ini pada isteri saya. Banyak kali juga Ameena sarankan supaya kami hebahkan, tapi saya suruh tunggu dulu.” Ada pembohongan pada hujung kata-katanya demi menjaga kebajikan isterinya. Dia tahu ayah mertuanya sejak dari tadi memandang tajam ke arah Ameena.

“Kalau itu dah kata Along, hati mak ni lega la sikit. Ya lah, keadaan masa itu tak mengizinkan.” Ameena menarik nafas lega. Dia memandang suaminya sambil memberikan isyarat mata tanda ucapan terima kasih. Eman tak pernah gagal untuk melindunginya. Daripada dulu sampailah sekarang.

“Abah percaya, anak dan menantu abah ni dah fikir sehabis baik sebelum berbuat sesuatu keputusan. Jadi perancangan kamu bulan berapa? Cuma Abah harap jangan lewat sangat sebab kita ni, hujung-hujung tahun nak bertemu tetamu banjir.” Ketawa Cikgu Hashim mengundang senyuman di bibir Tuan Zulkifli. Dia hampir sahaja melampiaskan kemarahannya pada Ameena. Namun, melihatkan kebijaksanaan dan kelembutan Cikgu Hashim mengatasi ketegangan tadi, menyebabkan dia malu sendiri. Ameena seorang anak yang keras kepala dan sangat menguji kesabarannya suatu ketika dahulu. Dia juga seorang ayah yang sangat tegas. Namun hari ini dia sedar, apa yang ada pada Ameena adalah cerminan dirinya.

“Kalau semua setuju, Saya rancang nak buat bulan sebelas. Akhir bulan. Dah mula cuti sekolah waktu tu. Jadi semua orang boleh datang. Ibu dengan Ayah, setuju ke? Kalau Ibu dengan Ayah sibuk, kita anjak ke tarikh lain.” Penuh tertib dan berhati-hati guru muda itu menyusun kata-katanya.

“Ibu dengan Ayah tak ada masalah. Nak buat dekat rumah ke dekat hotel?” Kartini sedikit teruja. Belum apa-apa lagi, sudah bermacam-macam agenda di dalam kepalanya. Tuan Zulkifli pula hanya mengangguk mengiyakan kata-kata isterinya. Ameena dan Eman saling menghembuskan nafas lega kerana segalanya berjalan lancar.



“SAHABAT! Jemput masuk! Koi ingat tak jadi. Sampai juga. Mari, mari anak-anak paklong.. Alahai lamanya tak tengok. Dah besar semua.” Cikgu Fahmi ketawa besar dengan gelagat sahabatnya. Dah macam tua sangat kedengarannya.

“Awak ni.. dah kena buat anak sendiri. Dah parah kawan tengok ni. Cikgu Ameena mana? Jangan cakap awak balik seorang pulak!” Cikgu Fahmi mengeluarkan beberapa beg pakaian anak-anaknya sambil ketawa lagi. Wajah Eman sedikit berubah. Malu dengan isteri sahabatnya yang turut sama tersenyum dengan kata-kata suaminya.

“Kenapa awak cakap macam tu.. cover la sikit depan Kak Intan ni.. awak ni pun, Bro. Malu la koi! Amee ada kat atas. Keluarga Amee pun datang. Tapi pagi-pagi dah turun ke dusun semua. Sepupu sepapat koi pun semua dah kat sana. Kami pun dari sana. Tapi balik dulu sekejap nak masak tengah hari. Nanti pergi sana semula. Meh naik. Awak, koi bagi bilik kat atas. Luas sikit anak-anak nak main.”

“Tak menyusahkan ke Cikgu Eman. Diorang ni bising nanti. Bilik dekat bawah pun tak apa.. senang sikit nak uruskan mereka ni. Mereka semua ni aktif.” Eman berfikir sejenak sambil menganggukkan kepalanya.

“Kalau macam tu. Bilik depan sekali tu kosong. Kak Intan okay tak?” Intan Sofea isteri kepada Cikgu Fahmi mengangguk dengan lirikan senyuman di bibirnya. Menghargai dan bersyukur apa adanya. Orangnya tidaklah sombong walaupun bekas model dan pramugari. Bukan calang-calang orang pilihan Cikgu Fahmi.

“Bro, awak uruskan dulu mana yang patut, ya. Koi pergi panggil Amee sekejap. Dia tak perasan tu, awak dah sampai.” Eman pamit dan berlalu ke atas rumah menuju ke bahagian dapur. Dia melihat isterinya sedang mengacau lauk di atas dapur. Dari belakang pun sudah menggugat keimanannya.

“Sayang.. dah siap ke? Jom pergi depan kejap. Cikgu Fahmi dengan keluarga dia dah sampai.” Eman memeluk pinggang Ameena dan menongkat dagunya pada bahu isterinya itu. Ameena agak terkejut dan berusaha untuk lolos, namun pelukan erat dari lengan sasa itu membuatkan dia terperangkap.

“Abang.. behave sikit la.. Amee tengah masak ni. Orang nampak, tak sopan.” Ameena cuba memberikan amaran, namun tidak dipedulikan oleh suaminya. Malahan Eman semakin berani mencium lehernya pula di sebalik tudung bawal satin yang dipakainya.

“Sayang ni.. sibuk sangat. Dah la malam tadi tidur awal. Pagi tadi lepas subuh terus turun dapur. Kesian Abang.. puasa dari semalam.”

“Eloklah puasa Along.. bagilah isteri tu rehat..” Berubah terus wajah Eman tatkala mendengarkan suara emaknya di belakang. Terus pelukan pada pinggang isterinya dilepaskan. Sungguh dia tidak perasan lansung kehadiran emak dan ibu mertuanya di dapur itu. Apa yang dia tahu, mereka semua pagi-pagi lagi sudah ke dusun. Ameena pula sudah merona kemerahan wajahnya. Amaran sudah cuba diberikan namun tidak difahami oleh Eman. Terimalah nasib!

“Eh, Mak, Ibu.. bila balik? Nak ajak Amee pergi depan.. Cikgu Fahmi ada datang. Mari Amee.. tak elok biarkan tetamu tunggu lama tu..” Eman tidak tunggu lama, terus dia keluar daripada dapur, diikuti oleh Ameena yang sudah seperti udang kena bakar kulitnya. Kartini dan Hajah Sufiah hanya ketawa sambil menggelengkan kepala melihat gelagat anak dan menantu mereka. Lebih – lebih lagi Hajah Sufiah, dia seperti tidak percaya, Eman berubah watak sebegitu rupa apabila berdua dengan isterinya. Daripada seorang yang sangat pemalu.



DUA tiga orang gadis sibuk menyambut buah yang dicampak dari atas pokok duku oleh anak-anak teruna. Seronok sungguh mereka dengan gelak ketawanya. Kalau ada kera mahu datang mencuri buah, pastinya tidak berani dekat. Dusun milik Cikgu Hashim sudah umpama sebuah tempat percutian. Anak sungai yang mengalir tenang, menambahkan keharmonian di dalam dusun tersebut.

“Ingat tak waktu Sayang datang sini tahun lepas. Abang bawa Sayang datang kebun ni. Sayang bukan main teruja. Waktu tu, kat dalam hati Abang ni rasa macam nak meletup. Bila Sayang muncul dekat rumah Abang untuk raikan majlis Abang, Abang dah jadi tak tentu arah. Abang mula persoalkan keputusan Abang untuk terima siapa pun sebagai suri hidup Abang. Hati Abang dah goyah dah.” Eman menyandar di kerusi kayu yang mengadap anak sungai. Wajahnya dihalakan ke langit. Dulu dia sudah pasrah dengan ketentuan dan kini dia sedang bersyukur dengan kurniaan Tuhan.

“Amee pun.. Amee tak tahu sejak bila, Amee mula jatuh cinta dengan Abang. Yang Amee tahu, bila Amee dapat tahu sahaja Abang nak kahwin.. Amee terus rasa down. Rasa kecewa. Padahal Amee pun dah buat keputusan besar dalam hidup Amee untuk terima perjodohan keluarga. Tapi seolah-olah Amee tipu diri sendiri waktu tu. Jadi, kenapa Abang boleh teruskan juga niat Abang? Ya lah.. dalam hati abang yang dah goyang tu..” Ameena ketawa di hujung kata-katanya. Matanya terarah kepada anak-anak Cikgu Fahmi yang sedang bermain di dalam anak sungai. Eman turut tersenyum dengan soalan itu.

“Sebab Abang fikir, kalau Abang batalkan Majlis Abang, ramai yang akan malu. Jodoh itu di tangan Tuhan. Sejauh mana pun Abang lari, kalau jodoh Abang dengan orang yang Abang tak kenal tu, maka dia tetap akan datang kepada Abang. Maka sebab tu, Abang redha.” Ameena termenung mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut suaminya. Eman seorang yang tak mengikut kata hati. Bertindak dengan fikiran yang matang. Sedangkan dia? Sentiasa mengikut kehendak hati.

“Ya ke, Sayang tak tahu bila Sayang jatuh cinta dengan Abang? Habis tu, lukisan yang Sayang lukis tu.. Abang,kan?” Membulat mata Ameena dengan soalan tersebut. Seketika wajahnya berubah kemerahan.

“Tak lah.... Tu Amee lukis Cikgu yang paling kacak dekat sekolah.. tak ada maksud lain pun.. lepas tu Amee cari buku tu tak jumpa. Sebab Amee nak bakar! Cikgu tu dah jadi paling tak hensem dah.” Ameena ketawa geli hati melihat perubahan wajah suaminya. Merajuk!

“Yalah... Memang pun Amee suka Abang. Tapi suka macam kita suka artis tu. Suka macam tu sajalah. Tak adalah lebih dari tu. Amee kan pelajar Abang.. lagipun waktu tu, Amee ni tak pandailah nak ada rasa-rasa cinta ni. Tak tahu pun cinta tu apa.. bagaimana..” Eman tersengih mendengarkan pengakuan Amee. Ameena memang sangat polos waktu sekolahnya. Walaupun dia seorang yang suka melawan dan degil, namun dia pandai menjaga diri. Tidak terlibat dengan cinta monyet alam persekolahan.

“Abang Eman, Mama ajak makan durian.” Laungan suara adik sepupunya mematikan perbualan mereka. Kedua-duanya bangun dan menuju ke pondok tempat berkumpul. Ikan patin masak tempoyak yang dimasak menggunakan kayu api pun sudah masak. Gigih mereka semua berkelah sambil masak-masak di dusun buah.

Ameena tiba-tiba terpandangkan Abangnya, Aryan yang sedang bersandar di batang pokok duku. Matanya tepat merenung ke arah Raihana, anak sulung kepada Paklong Eman. Bibirnya mengukirkan senyuman melihat telatah gadis itu. Ameena memberikan isyarat kepada suaminya. Kedua-duanya mengangkat kening serentak, pelik dengan pandangan Aryan yang penuh makna. Mungkinkah hatinya sudah terubat dengan kehilangan lalu.

“Raihana.. belajar dekat Syah Alam kan? Kalau ada nak minta tolong apa-apa, boleh saja call Abang Aryan kat sana.” Aryan yang semenjak tadi asyik memerhatikan Raihana anak kepada kakak sulong Haji Hashim tiba-tiba bersuara. Eman dan Ameena saling berpandangan demi mendengarkan kata-kata Aryan. Takkan dah boleh move on! Eman dan Ameena saling bercakap bahasa mata. Pelik dengan keramahan Aryan.

“Ya, Abang Aryan, saya belajar dekat UITM Syah Alam. InsyaAllah, kalau ada orang kacau saya, saya call Abang. Bagi Abang tangkap diorang.” Raihana ketawa dengan lawaknya sendiri. Raihana orangnya agak lasak tetapi dia pantas dengan kerja-kerja rumah. Mungkin Aryan nampak kelebihan Raihana yang tak ada pada perempuan lain.

“Abang Long.. Raihana tu, baru umur 20 tahun. Tak lepas syarat lagi tu..” Aryan ketawa besar dengan usikan amaran daripada adik iparnya. Eman sangat protektif walaupun dengan adik sepupunya.

“Bukan untuk Bang Long.. Bang Ngah kamu ni. Kesian dia.. tak pernah tahu erti cinta dan air mata..”

“Eh, kau ni! Apa aku pulak? Aku bukan tak tahu Long.. Aku ni Cuma tak ada masa.. sibuk!” Arief yang sedang mengupas buah rambutan untuk anak-anak Cikgu Fahmi agak kaget apabila dia dijadikan kambing hitam. Kecut perut dia memandang ke arah Raihana. Bimbang gadis itu tersalah sangka.

“Yang mana satu nak jadi menantu PakLong.. Harap bersabarlah dulu.. tunggu anak sulung Paklong tu habis belajar dulu..” Suara garau ayah kepada Raihana yang muncul dari belakang membuatkan masing-masing ketawa cuak. Tak sangka perbualan mereka didengari oleh kelompok sebelah sana.

“Mari kemari semua.. makanan dah masak. Layan diri ya.. Bukan senang nak makan ikan patin masak tempoyak dapur arang ni.” Hajah Sufiah dengan ramahnya memanggil semua tetamu-tetamunya. Bagaikan sebuah keluarga besar yang sedang berkumpul untuk hati keluarga. Riuh rendah kawasan dusun tersebut. Namun dalam kegembiraan mereka, sepasang mata yang tidak berpuas hati sedang merenung tajam dari suatu sudut yang terlindung.





BERITA baik yang dihebahkan oleh Ameena dan Eman hari ini menerima penerimaan baik daripada semua pihak kecuali Cikgu Lily. Semua benda yang dia lakukan jadi serba tidak kena. Habis kelas yang dia masuk hari ini diamuknya. Pantang silap, pantas sahaja menerima tengkingannya.

‘Macam mana aku nak dapatkan Eman sekarang ni? Tapi mereka masih belum kahwin. Masih ada sebulan dari sekarang untuk aku rancang sesuatu supaya mereka berdua batalkan majlis tu. Tapi macam mana? Kenapalah kau tak pernah nak pandang aku, Eman..’ Cikgu Lily menghempas buku-buku pelajarnya di atas mejanya di bilik guru. Semua mata yang ada disitu berkalih memandang kearahnya. Namun mereka semua sudah dapat mengagak kenapa Cikgu Lily berkelakuan begitu. Pastilah kecewa kerana cinta tidak berbalas.


“Tahniah Cikgu Ameena! Tak sangka ya.. diam-diam, tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba nak kahwin. Bilalah, kamu berdua ni bercinta ya?” Cikgu Reena menegur Ameena yang baru melangkah masuk ke dalam bilik guru. Sekali gus sengaja menoreh luka pada hati yang sudah berdarah. Ameena pula hanya tersipu malu. Kad undangan yang di edarkan pagi tadi betul – betul menggemparkan warga SMK Seri Cahaya. Bukan sahaja dikalangan para guru malahan para pelajar juga.

“Iyalah kan? Tak ada angin, tak ada ribut.. tup-tup nak kahwin. Ke ada sebab lain?” Semua mata tertumpu kembali ke arah Cikgu Lily. Kata-katanya menimbulkan tanda tanya kepada semua orang. Sebelum berlalu, dia sempat menghadiahkan jelingan maut kepada musuh tradisinya. ‘konon malu! Drama sangat kau kan! Mati lagi bagus la kau!’ Hatinya sangat sakit dengan ucapan-ucapan baik yang diberikan kepada pasangan bakal pengantin baru itu. Dendamnya semakin menggila.

“Jangan di layan sangat dengan Cikgu Lily tu... Biasalah, orang dah kecewa. Bercakap pun dah jadi tak seiring dengan akal.. jiwa dah jadi raja!” Cikgu Hasmawati yang agak pendiam orangnya, hari ini buat julung kalinya ikut campur hal yang berlaku di depan matanya. Ameena dan Cikgu Reena saling berpandangan, terkejut dengan respon dari guru tersebut. Biasanya Cikgu Zahara yang suka membidas. Namun sejak dia berpindah, inilah kali pertama tugasnya diambil alih oleh guru lain.

“Betul tu Cikgu Ameena.. Apa – apa pun Kak Reen seronok sangat.. Patutlah bila saya cakap dengan anak saya,pasal Cikgu Eman.. dia cakap ‘tunggulah.. keajaiban akan berlaku’..” Cikgu Reena ketawa di hujung kata-katanya. Ameena juga turut tersenyum walaupun dia agak terkejut dengan cerita Cikgu Reena. Guru 40-an itu memang sangat akrab dengan anaknya, baik di rumah ataupun di sekolah. Namun itu tidak menjadikan anaknya seorang yang angkuh dan sombong. Bahkan pelajar itu sangat ramah dan mesra dengan semua orang.





AMEENA sesekali melihat jam di pergelangan tangannya. Duduknya sudah mulai tidak setempat. Dia mencari-cari telefon pintarnya namun gagal ditemui di dalam tas tangannya dan hatinya terasa tidak enak. Mesyuarat peringkat daerah untuk skema permarkahan PT3 untuk kertas Bahasa Melayu sepatutnya selesai jam 2 petang seperti yang direncanakan. Namun ianya masih berlanjutan walaupun jam sudah menunjukkan ke angka 2 ptg. Ianya kerana gara-gara masalah teknikal yang timbul pada awal mesyuarat.

Permandangan di hadapannya dipandang kosong tanpa perasaan. Otaknya sudah mula menerawang jauh. Paparan demi paparan yang terpapar pada layar skrin lansung tidak dapat dicernakan dengan baik oleh otaknya. Hatinya sudah dipagut kerisauan. Ingatannya hanya terjurus kepada suaminya, Eman Al Hadi. ‘Harap-harap Abang baik-baik saja.’

“Sayang.. Abang sayang Amee sepenuh hati Abang. Takkan ada galang gantinya. Sayang sangat istimewa pada Abang. Abang kena menyelam, daki gunung.. terjun jurang, untuk dapatkan Sayang. Abang harap Sayang takkan tinggalkan Abang. Percaya pada Abang dan yakin dengan cinta Abang. Hanya itu yang Abang harap dari Sayang.” Sayu kedengaran suara Eman menuturkan kata-kata di telinganya. Ameena memejamkan matanya rapat menghayati pelukan hangat suaminya daripada belakang sebelum berangkat ke sekolah. Satu ciuman mendarat pada pipi kanan Ameena. Pelukan Eman terasa sangat kemas seperti tidak mahu dilepaskan.

“Baiklah.. Mesyuarat kita akan ditangguhkan kepada hari dan tarikh yang kan dimaklumkan kemudian.” Suara garau dan agak kuat itu mengejutkan Ameena daripada lamunannya. Ameena cepat – cepat bangun dan melangkah keluar daripada bilik mesyuarat tersebut untuk pulang semula ke sekolah. Dia pasti telefonnya tertinggal di dalam bilik guru.

“Cikgu Ameena! Tergesa-gesa sangat nampak tu. Ada masalah ke?” Teguran dari satu suara mematikan langkahnya yang menuju ke arah tempat parking kereta. Dia menoleh ke belakang dan seperti yang dia sangkakan, bekas suaminya, Cikgu Isa Rayyan sedang tersenyum memandang ke arahnya. Suara pembawa derita yang tak pernah dia akan lupakan. Bukan berdendam tapi kecewa masih bersisa walaupun tiada lansung rasa kasih atau cinta.

“Ya, Cikgu Isa. Saya baru habis mesyuarat. Nak balik dah ni. Dah pukul tiga. Dah lewat kan..” Ameena menjawab acuh tak acuh. Dengan riak wajahnya yang lansung tidak berperasaan. Isa ketawa seketika. Gadis itu sudah tidak selembut dahulu ketika bertutur dengannya. Tidak semesra dahulu.

“Tak makan dahulu? Penat pihak majlis sediakan makanan. Jamahlah sikit.” Isa Rayyan ikhlas mempelawa bekas isterinya yang kelihatan agak rimas dengan kehadirannya.

“Tak apalah Cikgu Isa. Perut tak lapar. Penat saja yang tinggal. Saya pulang dulu ya.” Ameena kembali meneruskan langkahnya sambil menghembuskan nafas geram. Geram kerana langkahnya dihentikan oleh sapaan yang tidak berfaedah.

“Assalamualaikum.. jumpa lagi minggu depan! Tahniah juga for your wedding next month!” Ameena hanya membiarkan kata-kata itu di bawa angin lalu. Dia sudah dihambat kerisauan yang tak bertepi.

Kereta Myvinya meluncur laju meninggalkan perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah. Hatinya sudah tidak keruan. Jarak Pejabat Pendidikan Daerah dengan Sekolahnya hanyalah lima belas minit. Dia sedikit lega kerana jalan masih belum sesak dengan kenderaan.

Sebaik sampai di sekolah, Ameena bergegas ke bilik guru. Jangkaannya tepat, Telefon pintarnya betul-betul berada di atas mejanya. ‘Macam mana boleh tertinggal!’ Ameena terus membuka Aplikasi WhatsApp dan membaca pesanan daripada suaminya.

‘Terima kasih sebab ingat hari lahir Abang. Tunggu Abang dekat sana’

Peluh mula merecik di dahi Ameena. Sesungguhnya dia tidak pernah tahu tarikh lahir suaminya. Hatinya sudah mula diasak dengan pelbagai kemungkinan. Dia berjalan ke arah meja suaminya untuk mendapatkan apa-apa petunjuk. Tiba-tiba matanya tertancap pada satu nota yang terselit pada buku rekod mengajar suaminya. Perlahan-lahan jemari runcingnya menarik nota tersebut dan matanya dengan pantas membaca setiap perkataan yang tertera.

‘ HAPPY BIRTHDAY DARLING. WAITING FOR YOU. HOTEL PERMAI – 3037’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience