BAU masakan dari tingkat bawah membuatkan Eman terbangun dari lenanya. Pagi tadi dia tidak mampu untuk berdiri. Pinggangnya diserang kesakitan yang teramat seolah-olah ada sesuatu yang sedang menikam-nikam. Kawasan bawah perutnya terasa sangat perit. Merah padam wajahnya menahan kesakitan. Eman bangkit perlahan-lahan mencari kewujudan isterinya. Entah kenapa sejak kebelakangan ni dia sering merasa sakit yang sama.
Baru sahaja langkahnya menghampiri pintu bilik, dia terasa mual yang amat sangat. Tergesa-gesa langkahnya di bawa ke bilik air. Dia cuba memuntahkan segala isi perutnya, namun yang keluar hanyalah sisa-sisa jus perutnya yang berwarna hijau beserta dengan angin. Dia menarik nafas panjang dan dalam. Wajahnya dibasahkan dengan air untuk membangkitan sedikit kesegaran dan tenaga.
Bunyi ketukan di pintu bilik air membuatkan Eman terhenti daripada segala aktivitinya. Dia terus menapak keluar dari ruang itu setelah mendengar suara kerisauan Ameena daripada luar. Isterinya dari pagi tadi memujuknya untuk ke klinik yang berdekatan, namun ditolak mentah-mentah oleh Eman. Baginya sakitnya tidak ada kaitan dengan klinik atau hospital. Hatinya mengatakan sakitnya disebabkan anasir luar.
“Abang okay?” Wajah Ameena jelas tergambar kerisauan. Dia melekapkan belakang tangannya pada dahi Eman. Terasa agak panas.
“Abang demam ni. Kita pergi klinik la, Abang..” Eman tersenyum lemah.
“Sayang ni, kalau demam pun nak pergi klinik, penuh la klinik tu. Apa guna farmasi dekat luar sana tu. Lagipun baru hari ni kan, Sayang.. Jangan risaulah, nanti Abang makan Panadol. Sayang masak apa? Laparlah, dari pagi tak makan.” Eman lantas memeluk isterinya yang berdiri tegap di depan pintu bilik air.
“Dukung Abang, Sayang.. tak larat nak jalan..” Tawa Eman meletus apabila melihat wajah terkejut isterinya.
“Ishh.. Abang ni.. sakit-sakit pun sempat lagi nak bergurau. Jom turun bawah, Amee dah siapkan makan malam. Boleh tak ni? Kalau tak, Amee bawa makanan naik atas.” Eman tersenyum dengan pelawaan isterinya. Namun seketika kemudian, senyumannya bertukar hambar apabila melihat bibir Ameena yang kelihatan agak pucat.
“Sayang tak sihat ke?” Giliran Eman pula memeriksa suhu badan isterinya. Namun dahi isterinya tidak panas sepertinya. ‘Ya, Allah.. jauhilah kami daripada khianat dan hasad dengki. Jauhilah kami daripada sihir dan kurafat.’ Hati Eman berdetik tidak enak.
“Tak la.. Amee okay. Mungkin sebab kurang rehat kot. Cuti sekolah ni tak rasa macam cuti sangat. Dua hari berturut-turut teman Ibu pergi survey butik pengantin. Pergi uruskan tempahan hotel lagi. Kalau tak pergi, kesian kat Ibu sorang-sorang uruskan. Ameer tu, sepatutnya ambil cutilah.. Pembantu ayah tu, ada je dekat pejabat. Staff ayah pun, bukan baru kerja. Yang baru kerja tu, dia. Nak kahwin, menyusahkan orang.. uruslah sendiri!” Eman tersenyum dengan bebelan Ameena. Isterinya itu, kalau bab Ameer, marah sungguh. Tapi beria-ria juga tolong uruskan.
Ameena mahu menyambung lagi, namun niatnya terhenti apabila suaminya dengan pantas menyambar bibirnya dengan kucupan hangat. Ameena lemas seketika. Tercungap-cungap dia menarik nafas. Eman ketawa agak kuat dan beredar ke tingkat bawah meninggalkan Ameena yang masih terpinga-pinga. Usahanya untuk menghentikan bebelan Ameena berhasil. Eman cuba mengawal sepenuhnya rasa sakitnya. Dia tidak mahu terlihat lemah di mata isterinya.
“Saya menyesal dengan apa yang dah saya buat. Saya bodoh, saya ikutkan perasaan. Saya lupa pada ketentuan Allah. Saya tak boleh nak tidur memikirkan hal ini. Tolonglah maafkan saya, Cikgu Eman.. Cikgu Ameena.. Saya cuma minta cikgu berdua maafkan saya. Saya tak minta pun, Cikgu Eman tarik semula kes saman tu.. Teruskanlah, kalau itu yang boleh membuatkan Cikgu berpuas hati. Cuma yang saya mohon kemaafan daripada korang berdua. Hati saya tak senang..” Lirih sekali kedengaran suara cikgu Lily. Eman mengetap giginya. Rahangnya bergerak-gerak menahan marah.
“Dah lah.. Cikgu Lily, kita jumpa dekat mahkamah sajalah. Jangan nak semakkan hidup kami boleh tak? Baliklah.. sebelum jiran-jiran kami dengar. Buat malu saja , ada cikgu yang perangai macam ni!” Air mata Cikgu Lily menitis satu persatu dek herdikan Eman. Ameena pula tidak mampu untuk berkata apa-apa. Yang rasa sakitnya, Eman. Namun dia turut merasa kasihan pada Cikgu Lily. Cikgu Lily sepertinya sudah betul-betul menyesal. Hidayah Allah tu boleh datang bila-bila dan pada sesiapa sahaja yang dia kehendaki.
“Kalau itu kata akhir cikgu, saya terima. Saya datang sini untuk minta maaf.. tapi kalau cikgu tak boleh maafkan, saya terima. Memang patut pun.. orang yang hati jahat macam saya ni hidup dalam rasa bersalah… sampai mati! Cuma saya minta, kalau saya mati.. Cikgu Eman dan Cikgu Ameena maafkan saya.. mungkin lepas ni.. kita tak jumpa dah. Saya akan mengaku bersalah di mahkamah pada hari sebutan kes nanti.” Cikgu Lily berpaling dan melangkah lemah ke keretanya. Setelah gigih berusaha mencari alamat rumah pasangan suami isteri itu, dia akhirnya dapat bersemuka dan memohon maaf secara peribadi.
“Cikgu Lily… hati-hati memandu.. Cuti sekolah ni, jalan dekat Terengganu ni, selalu sibuk. Balik rumah dan tenangkan diri. Jangan risau.. kami dah maafkan segala apa perubatan cikgu pada kami. Kami pun minta maaf kalau cikgu ada rasa sakit hati dengan kami.. dan Insya Allah, Cikgu Eman akan tarik semula kes tu.” Ameena tersenyum ikhklas. Membulat mata Eman memandang ke arah isterinya. Sungguh dia terkejut dengan kata-kata Ameena, begitu juga Cikgu Lily. Terasa dunianya yang gelap tadi kembali terang. Dia mengangguk tanda terima kasihnya dan berlalu ke dalam perut keretanya. Eman masih melopong, tidak faham kenapa isterinya bertindak begitu.
“Abang… kenapa tak makan.. kalau tengok saja makananan tu.. tak kenyang perut tu..” Lamunan Eman termati di situ. Dia memandang wajah polos Ameena. Isterinya itu, nampak sahaja keras hati, namun jauh di sudut hatinya, wanita itu mempunyai jiwa yang besar. Dia seorang yang mudah memaafkan. Mulut saja kata benci, tapi dekat dalam hati.. hanya Allah saja yang tahu.
“Kenapa Sayang maafkan Cikgu Lily..” Soalan Eman membuatkan tangan Ameena terhenti menyendukkan lauk untuk suaminya. ‘Dia masih marah ke?’ Ameena dipagut kerisauan. Dua hari Eman tidak bercakap dengannya kerana kes tersebut. Dia jatuh kasihan melihat keadaan Cikgu Lily pada hari itu. Sebab itulah, dia berjanji bulan dan bintang.. untuk membuatkan hati perempuan itu sedikit lega.
“Amee nak hidup kita aman.. tanpa dendam. Bagi Amee, pengakuan jujur darinya sudah cukup untuk dia terima kemaafan daripada kita. Kes tarik saman tu, peguam Abang cakap.. kita memang akan menang sebab bukti Cikgu Lily palsu. Dia boleh dikenakan hukuman berat sebab memalsukan bukti. Teruk dia nanti kalau kita teruskan. Amee tak nak rosakkan masa depan dia. Dia mungkin tersilap langkah dulu. Sekarang dia dah menyesal.. kita sama-samalah tolong dia.” Eman menganggukkan kepalanya tanda setuju walaupun hatinya tidak ikhlas. Dia dapat merasakan perempuan itu hanya pelakon air mata. Dia dapat merasakan Cikgu Lily hanya melakukan provokasi ke atas isterinya supaya dia menarik semula kes saman tersebut.
Eman merenung lama wajah Ameena yang tersenyum dengan persetujuannya. Isterinya sangat baik. Hatinya tidak salah jatuh cinta. Tapi, dia risau.. disebabkan kebaikan hati Ameena, wanita itu akan disakiti dan dikecewakan.
AMEENA menjeling ke arah Ameer yang sudah siap dengan persalinan pengantinnya. Bertona merah darah ikan, dengan kain berasaskan songket. Sejak dari permulaan persiapan, Ameena lansung tidak masuk ke dalam bilik Ameer. Hanya Aryan, Arief dan Eman yang sibuk menyiapkan adik bongsu mereka itu. Sejak menjejakkan kaki di Brunei kelmarin, Ameena lansung tidak bercakap dengan Ameer.
“Sayang.. pergilah tengok Ameer.. bagi restu sebagai kakak. Kesian dia.. Sayang kan, rapat dengan dia sejak dari kecil lagi. Tak baiklah buat dia macam tu. Ameer asyik tanya Kakchik dia dari tadi.” Ameena hanya buat tidak tahu. Dia tetap masih duduk mengenakan solekan di hadapan cermin. Dia memang nak Ameer rasa kehilangan sepertimana apa yang dia rasa. Baru lah seri kan!
“Sayang… tak payah la merah sangat bibir ni.. Sayang tak make up pun, tetap cantik.” Eman mengambil sehelai tisu dan melekapkan pada bibir isterinya. Dua tiga kali dia mengulangi perbuatan itu. sehinggalah, dia berpuas hati dan bibirnya mengukirkan senyuman. Lantas tisu yang sudah melekat dengan warna gincu Ameena itu dicampakkan ke dalam bakul sampah.
“Sempurna. Macam bidadari!” Ameena tersenyum manis. Dia memandang ke dalam cermin lagi. Warna bibirnya sudah bertukar kepada warna yang lebih cerah.
“Takut orang pandang isteri Abang ni.. nanti, Abang cemburu!” Ameena ketawa perlahan dengan usikan suaminya. Eman lembut dalam cara menegurnya. Tidak pernah membebel tak tentu arah. Dia suka terus bertindak dengan perbuatan.
“Kakchik.. aku dah nak nikah.. kau marah aku lagi ke? Tak nak peluk aku sekali ke?” Ameena hanya buat-buat tak dengar, walhal hatinya sudah luluh dengan suara lirih adiknya. Entah kenapa, egonya dengan Ameer tak mampu direndahkan walau sedikitpun.
“Jomlah semua.. Ibu dengan Ayah dah tunggu dekat lobi. Nanti sesat pula, tak jumpa dewan kat mana. Kang ada orang tak jadi nikah..” Semua mata tertumpu ke arah Ameena termasuk suaminya. Boleh tahan tajam kata-kata Ameena. Eman agak malu dengan kata-kata Ameena. Seolah-olah dia tidak pandai mendidik Ameena.
“Amee.. tak elok cakap macam tu. Peluklah Ameer sekali, bagi dia kekuatan untuk melawan syaitan-syaitan yang bakal mengganggu nanti. Bukan senang tau, bagi seorang lelaki nak duduk depan kadi, nak jawab nikah. Banyak yang dia nak kena lawan.” Ameena terkedu apabila Eman memanggil Namanya dan bukan sayang. Bermakna, suaminya itu tidak ada rasa marah dengannya. Ameena pasrah.. dia melangkah ke arah Ameer dan memeluk seketika badan tinggi lampai itu. Walaupun kelihatan tidak ikhlas, tapi hatinya menangis hebat. Tidak sanggup dia melepaskan satu-satu adiknya pada orang lain.
“Jadi suami yang baik. Muliakan isteri macam kau muliakan ibu kau!” Ameena meleraikan pelukannya dan berjalan laju menuju ke pintu lift. Kelopak matanya sudah bergenang. Ameer pula sudah merasa terkesan dengan pelukan kakaknya. Setitik air matanya jatuh, namun terus diseka. Aryan dan Arief juga sudah merasa tersentuh, lantas mereka bertiga saling berpelukan. Eman pula sudah berlalu mendapatkan Ameena. Di depan lift, Eman meraih Ameena ke dalam pelukannya dan memeluk erat bidadarinya itu. Dikucup lembut ubun-ubun isterinya, memberikan sedikit kekuatan. Ameena menahan sedaya upaya airmatanya yang cuba untuk gugur.
Mereka berjalan masuk ke dalam dewan mengiringi pengantin lelaki ke meja akad nikah. Jurunikah sudah siap menunggu. Pengantin perempuan masih belum tiba. Dewan itu sangat besar dan mampu membuatkan jemputan seramai lebih kurang lima ratus orang. Pelamin yang dihiasi juntaian rantai kristal membiaskan cahaya lampu, secara tak lansung menyerikan lagi suasana dewan tersebut.
Keluarga pengantin lelaki duduk sebaris di belakang meja akad nikah. Ameer kelihatan berpeluh-peluh. Ameena memandang ke arah ibunya, Kartini yang sedang mengesat lelehan airmata. Hati ibu itu turut tersentuh melihat anak manjanya bakal diijabkabulkan. Maka selepas ini, anak bongsunya akan mempunyai tanggungjawab lebih besar, dan dia bukan lagi menjadi keutamaan. Begitulah, perasaan seorang ibu yang mana hanya perempuan yang bergelar ibu akan faham.
Pengantin perempuan yang ditunggu-tunggu sudah tiba dengan kebaya songket bertonakan warna yang sama. Bertudung litup dengan kepalanya dihiasi perhiasan indah menambahkan lagi seri pengantinnya. Kedua-duanya sudah bersedia di hadapan jurunikah dan dilihat sedang menandatangani perjanjian dan persetujuan perkahwinan. Lafaz taklik dibacakan. Dan seterusnya tangan Ameer di genggam erat oleh jurunikah. Wajah Ameer kelihatan sangat gelisah. Tuan Zulkifli tiba-tiba berdiri dan menghampiri anak lelakinya itu. Dia membisikkan sesuatu dan menepuk-nepuk belakang bahu Ameer. Wajah Ameer berubah riak dan mengangguk perlahan.
Dengan sekali lafaz sahaja Ameer, sudah berjaya menangkis segala rasa takut dan gementarnya. Maka dia sudah sah bergelar suami kepada Puteri Qadeeja. Semua yang hadir menadah tangan mengaminkan doa yang dibacakan. Sebaik sahaja doa habis dibacakan, Ameer dengan pantas, bangun dan memeluk satu persatu insan kesayangannya. Bermula dengan Ayahnya, ibunya, Abang-abangnya, Eman dan akhir sekali dia berhenti di hadapan kakaknya. Air matanya yang bergenang di kelopak matanya, gugur jua. Dia meraih Ameena ke dalam pelukannya. Dan mencium kedua-dua belah pipi Ameena tanda kasihnya.
“Kau tetap kawan baik aku sampai bila-bila. Aku tak pernah lupakan janji aku. Apa yang aku cakap dulu, itu janji aku. Aku akan tetap jaga kau sampai aku mati. Terima kasih sudi hantar aku ke sini. Aku sayang kau, Kakchik!” Air mata Ameena akhirnya gugur jua. Dia membalas pelukan Ameer dan turut mendongak mencium kedua-dua belah pipi adiknya yang seorang itu. Eman tersenyum dengan hati yang turut merasa hiba. Hati Ameena sebenarnya sangat lembut. Dia menggosok belakang isterinya untuk menenangkan emosi isterinya yang sudah koyak. Arief dan Aryan yang berjiwa kental itu, turut sama menitiskan airmata melihatkan adik-adiknya.
HARI pertama persekolahan pada sesi baru selepas sebulan setengah bercuti, memberikan perasaan baru kepada Eman dan Ameena. Kali ini mereka tidak perlu lagi berselindung dan sembunyi-sembunyi berinteraksi. Ucapan tahniah daripada guru-guru yang tidak dapat hadir bertalu-talu sejak pagi tadi.
“Cikgu Ameena, Cikgu Eman.. tahniah. Maaf tak sempat ucap lagi. Maaf juga tak dapat pergi majlis cikgu berdua. Semoga bahagia sampai Jannah. Terima kasih juga sebab dah tarik kes tu. Saya hargai sangat-sangat.” Ameena tersenyum ikhlas dan menganggukkan kepalanya kepada Cikgu Lily tanda terima kasihnya atas doa yang dititipkan. Namun berlainan pula dengan Eman. Dia terlihat sangat berhati-hati dengan Cikgu Lily. Wajahnya bertukar kelat tanpa segaris senyuman pun.
“Kami balik dulu, terima kasih!” Eman menarik tangan isterinya dan berlalu pergi kerana tidak mahu berlama-lama dengan Cikgu Lily. Namun baru beberapa langkah, tiba-tiba dia membongkok menahan kesakitan yang tiba-tiba datang. Terdengar erangan kasar namun perlahan keluar daripada mulut Eman. Ameena pula sudah menggelabah apabila tangannya digenggam kuat oleh suaminya. Eman kelihatan sangat sakit. Ameena memaut pinggang Eman dan berusaha menampung berat badan suaminya untuk di bawa ke kereta.
“ Cikgu Eman okay ke? Saya tolong ya?” Cikgu Lily dengan pantas memaut lengan sasa Eman untuk membantu Ameena. Dia tahu Ameena tidak mampu untuk menahan tubuh tegap suaminya itu. Cikgu Lily cuma berniat ingin membantu. Namun, rentapan kasar daripada Eman membuatkan wajah Cikgu Lily berubah. Bergenang air mata gadis itu menahan rasa hati yang tersentap.
“Jangan pegang aku!” Tindakan kasar Eman membuatkan Cikgu Lily sedikit menjauh. Ameena mengerdipkan matanya pada Cikgu Lily tanda memohon maaf. Dia menghulurkan tas tangannya pada Cikgu Lily tanda menyambut bantuan daripada Cikgu Lily. Sebolehnya Ameena mahu menjaga perasaan Cikgu Lily.
“Awak, ikut saya ya.. saya bawa ke klinik kawan saya. Insya Allah cepat, tak perlu menunggu. Awak follow saya dari belakang ya.” Cikgu Lily cuba menggenggam erat tangan Ameena, memohon Ameena menerima bantuannya setelah Eman masuk ke dalam perut kereta. Ameena menganggukkan kepala sambil tersenyum. Dia dapat melihat keikhlasan pada wajah guru muda itu. tidak seperti sebelum ini. Wajah itu tidak lagi dihiasi dendam dan pandang sinis.
“Abang sabar sikit ya.. tarik nafas dalam-dalam , lepas tu hembus.” Ameena sesekali memalingkan wajahnya ke sisi melihat keadaan suaminya yang menahan kesakitan. Sesekali Eman mengerang dengan badannya membongkok bagi mengurangkan rasa sakitnya. Ameena terus memandu membontoti kereta Cikgu Lily. Kereta Cikgu Lily terlihat memberikan signal ke kiri dan masuk ke kotak parking di hadapan sebuah bangunan rumah kedai. Kawasan itu berjarak antara sepuluh ke lima belas minit daripada sekolah. Ameena memerhatikan bangunan itu sebelum memujuk suaminya untuk keluar.
“Abang.. kita jumpa doktor ya? Sekurang-kurangnya Abang ambil suntikan ubat tahan sakit dulu. Ya, Abang..” Eman mengangkat wajahnya sambil tersenyum kelat. Dalam sakitnya dia cuba untuk tidak menyakiti hati Ameena. Namun sebaik sahaja dia keluar daripada perut kereta, wajahnya berubah melihat keberadaan Cikgu Lily disitu.
“Dia buat apa kat sini , Sayang.. Kita pergi klinik lain.” Eman kembali masuk ke dalam kereta. Nada suaranya kedengaran tegas dan seperti muktamad dengan kata-katanya. Mukanya berkerut-kerut menahan sakit yang menyengat pada pinggang dan bawah perutnya.
“Amee janji, lepas ni kita pergi klinik lain. Kita ambil suntikan saja kat sini. Lepas sakit abang dah kurang.. kita pergi klinik lain. Boleh ya Abang..” Lembut dan penuh memujuk nada suara Ameena. Air matanya sudah bergenang. Sungguh dia sangat lemah apabila melihat insan kesayangannya menanggung kesakitan. Eman pula sudah serba salah. Lama dia merenug wajah isterinya yang penuh mengaharap. Akhirnya, dia mengalah dan keluar semula dari perut kereta. Langkahnya kakinya diseret lemah masuk ke dalam klinik yang ditunjukkan oleh Cikgu Lily.
“Maaf.. boleh saya jumpa Doktor Ehsan? Saya kawan dia. Saya ada hantar mesej dekat dia tadi.” Cikgu Lily terlebih dahulu menyoal di kaunter pendaftaran. Eman hanya menjeling tajam. Dalam hatinya menyumpah seranah perempuan itu kerana berjaya mempengaruhi isterinya. ‘Kenapalah perempuan ini percaya sangat dengan kaum Sejenis mereka.’
“Maaf Cik.. Doktor Ehsan baru sahaja keluar. Ada hal keluarga katanya. Tapi kami ada doctor lain yang bertugas hari ini, Cuma kena tunggu sekejap.” Gadis berkulit sawo matang menjawab dengan penuh berhemah dan professional.
“Kami tak boleh tunggu, kawan saya ni ada acute pain dan severe. Dia tak boleh hold lama-lama. You tengok muka dia dah pucat. Kalau oksigen dia drop macam mana.” Cemas dan Bersungguh-sungguh Cikgu Lily memohon pengertian daripada petugas di kaunter pendaftaran tersebut.
“Nina! Patient yang namanya Eman AlHadi dah sampai ke?” Muncul seorang lelaki yang memakai tag nama ‘Dr. Luqman’ dari bilik pemeriksaan pertama. Gadis itu terpinga-pinga dan memandang ke arah Ameena dan Cikgu Lily.
“Ya.. ini Eman Alhadi.” Ameena menjawab tenang.
“Nina, bawa masuk pesakit ke dalam bilik segera. Ini mesej dari Doktor Ehsan sebelum dia keluar tadi.” Gadis itu patuh dan segera bertindak. Kerusi roda lantas di sorong ke arah Eman dan dia dengan pantas membawa pesakitnya ke dalam bilik pemeriksaan.
“Puan berdua tunggu dekat luar dulu ya.. saya periksa dulu. Nanti saya akan panggil puan masuk untuk maklumkan keputusan pemeriksaan.” Lelaki yang memakai tag nama ‘Dr. Luqman’ itu menahan Ameena dan Cikgu Lily di muka pintu dengan wajahnya yag agak serius. Ameena akur, mungkin itu prosedur di klinik itu. Dia cuma berharap sakit suaminya itu hilang atau berkurangan.
“Sabar ya, Cikgu Ameena. Jangan risau, semua doctor yang ada kat sini, semuanya bagus. Mungkin Doktor Ehsan ada hal penting tadi. Kita doakan tak ada apa-apa yang serius dengan Cikgu Eman. Mungkin gastrik sahaja.” Cikgu Lily menggenggam kemas tangan Ameena, menyalurkan sedikit semangat buat wanita itu.
“Cikgu Lily, pasal Cikgu Eman tadi, saya minta maaf bagi pihak dia. Saya harap, cikgu tak ambil hati. Dia bukan orang yang macam tu, mungkin sebab dia tengah lawan rasa sakit dia. Saya minta maaf sangat-sangat.” Cikgu Lily tersenyum nipis sambil menganggukkan kepalanya. Itu adalah balasan bagi perbuatan masa lalunya. Dia memang layak diperlakukan begitu. Bukan senang untuk hati seorang lelaki bernama Eman untuk memaafkannya. Dia akur dan dia redha. Dia faham bahawa maaf itu tidak mudah.
SEJAK pulang daripada klinik minggu lepas, Eman seakan berubah. Tidak lagi seceria dulu. Ameena merenung susuk tubuh suaminya yang membelakanginya. Tiada lagi senyuman pagi daripada hujung meja sana untuknya. Tiada lagi mini love setiap kali mereka bertembung di sekolah. Namun, sakit Eman kelihatan sudah berkurangan. Ubat yang dibekalkan dari klinik milik kawan Cikgu Lily tempoh hari sangat berkesan.
“Abang.. dah nak tidur ke? Esok kan cuti, jom teman Amee tengok movie.” Ameena cuba memecahkan kebisuan antara mereka. Eman sangat jarang bercakap, seperti dia menyembunyikan sesuatu. Senyuman yang dilemparkan juga kebanyakkannya tidak seiklhas selalu.
“Abang penat, Sayang.. Kita tidur sajalah ya. Sayang pun Abang tengok nampak letih sangat.” Eman tersenyum kelat. Dia memandang sekilas pada wajah terkilan isterinya. Ameena hanya mengangguk lemah. Selimut di tarik menutupi dadanya. Manakala Ameena pula dibiarkan terkontang kanting seorang diri. Mata si isteri itu masih belum mahu lelap. Ameena berbaring mengiring mengadap suaminya. Dia merenung wajah yang sudah hilang ceria itu. Dalam otaknya berselirat dengan pelbagai soalan. Lantas tangan halusnya memeluk pinggang suaminya dan wajahnya didekatkan dengan leher lelaki itu. Niatnya untuk memberikan sedikit ketenangan pada suaminya. Namun malangnya, Eman hanya membiarkan tanpa tindak balas positive.
Lamunan Ameena dikejutkan dengan bunyi loceng elektrik yang menjerit nyaring menandakan waktu rehat sudah habis. Dari jauh dia melihat suaminya bangkit dari tempatnya dan berlalu keluar daripada bilik guru tanpa sedikit pun dia berpaling ke arah Ameena. ‘Sudah hilangkah rasa cinta Abang pada Sayang? Betullah apa yang selalu aku fikir, lelaki akan mudahnya pergi tinggalkan aku, di saat dia sudah merasa jemu’. Ameena memegang perutnya. ‘Andai disini ada benih yang sedang bercambah, janganlah Kau rampas kebahagian dia, Ya Allah.’
“Cikgu Ameena.. sihat tak?” Ameena mendongak memandang wajah Cikgu Lily yang kelihatan polos dengan solekan nipisnya. Perempuan itu sudah banyak berubah. Pakaian juga sudah tidak sesendat dahulu. Tudung juga sudah menutup dada. Ameena tersenyum manis sambil mengangguk.
“Dah makan ke? Saya belum.. jomlah, teman saya makan sekejap.” Pelawaan Cikgu Lily membuatkan Ameena serba salah. Masih ada kerja yang perlu disiapkannya sebelum masuk mengajar masa akhir nanti. Namun, akhirnya Ameena bangkit juga dari tempat duduknya apabila melihat wajah Cikgu Lily yang sangat mengharap.
Cikgu Reena dan Cikgu Aisyah yang baru habis kelas memandang sesama sendiri apabila terserempak dengan Ameena dan Cikgu Lily berjalan beriringan menuju ke kantin. Pada wajah mereka penuh tanda tanya. Kebelakangan ini, ramai yang bercakap-cakap tentang mereka. Ramai yang menaruh syakwasangka dengan perubahan drastic Cikgu Lily.
“Sya.. Kak Reen ni bukan nak buruk sangka. Tapi Kak Reen risau tengok Amee tu rapat sangat dengan Cikgu Lily tu. Macam ada benda yang tak kena dengan perempuan tu. Terlebih baik pula akak tengok.”
“Entahlah Kak Reen, Kak Hasmah pun ada tegur Amee hari tu.. Tapi Amee cakap, Kita kena beri peluang pada Cikgu Lily. Kena berikan sokongan pada Cikgu Lily. Orang yang nak berubah ni.. banyak cabaran dan dugaan. Amee tu positif sangat. Saya pun risau dibuatnya.”
“CIKGU Ameena! Kebetulan pula.. baru habis kelas ke?” Ameena berpusing ke belakang, mencari pemilik suara tersebut. Sudah semestinya dia sangat mengenali pemilik suara tersebut.
“Cikgu Isa buat apa kat sini?” Air muka Ameena berubah terus melihat kehadiran lelaki itu di situ. Memang maaf itu tidak mudah, kan? Begitu jugalah dengan Ameena, apa yang meniti di mulut tak sama lansung dengan apa yang tersirat di hatinya.
“B… hmm Sa.. ya jadi dijemput sebagai penceramah untuk kem Bahasa Inggeris dekat Dewan Sri Hikmah hari ni.” Wajah Isa berubah kemerahan dengan kesalahan lidahnya berbicara. Namun Ameena hanya buat-buat tidak mendengarnya. Wajahnya seperti biasa, lansung tiada perasaan, malahan tanpa segaris senyuman pun. Seketika Isa ketawa perlahan. Dahi Ameena berkerut seribu, hairan dengan reaksi Isa. ‘Apa yang kelakar sangat?’ Kening Ameena terjungkit.
“Sorry.. I didn’t meant it. Tapi tag nama you tu, terbalik. Sibuk sangat ni, sampai tag nama pun pakai letak saja, kan?” Ameena menayang muka bersahaja. Walaupun dia sudah malu yang teramat. ‘Macam mana boleh tak perasan pula ni! Itulah.. sibuk nak intip suami sendiri. Inilah padahnya.’
“Memang saya suka pakai macam ni.. barulah rare kan? Saya pergi dulu!” Ameena terus berlalu. Tidak sanggup untuk dia berlama-lama di situ. Tag namanya terus ditutup dengan buku rujukan Bahasa Melayu di tangannya. Manakala, Isa pula semakin kuat ketawanya dengan jawapan balas bekas isterinya. Dia tidak pernah lagi berhadapan dengan Ameena versi yang sombong begitu. So funny!
Dari jauh Eman merenung tajam ke arah isteri dan bekas suami isterinya. Tangannya menggepal penumbuk. Rahangnya bergerak-gerak menahan marah. Wajahnya kelihatan menyinga. ‘ baru aku tak layan dua tiga hari, dah beralih arah dah? Kau masih ada hati lagi ke dekat bekas laki kau tu? Itu kalau kau tahu apa jadi dekat aku.. sah-sah dah kau dengan yakinnya minta cerai, kan! Astagfirullah! Apa dah jadi dengan kau ni, Eman? Dia isteri kau! Apa yang kau merepek ni? Ya, Allah… sucikanlah hatiku daripada segala perasaan buruk sangka pada isteriku sendiri. Aku sudah abaikan dia Ya, Allah! Ampunkan aku, Ya Allah..’ Eman meraup wajahnya berkali-kali. Seolah – olah dia baru sahaja tersedar dari mimpi ngeri yang panjang.
HARI ini Eman hanya ada dua masa untuk dua kelas. semuanya sebelum rehat. Bermakna selepas rehat, Eman sudah tiada kelas lagi. Biasanya waktu itu, dia gunakan untuk membuat rodaan di kawasan sekolah.
Ameena bangkit dari duduknya apabila dia melihat Eman sudah berlalu keluar daripada bilik guru. Dengan pantas dia menuju ke Blok D, Blok bangunan sekolah yang paling hujung. Niatnya untuk berbicara dengan Eman disitu. Dia tahu rutin rondaan Eman akan bermula dari Blok A. Jadi dia akan memanfaatkan sepenuhnya kesempatan itu dengan terlebih dahulu menanti di Blok D. Kebetulan kelas Bahasa Melayunya dengan kelas Tiga Amanah adalah masa yang paling akhir. Bermakna dia masih ada masa.
Langkah Ameena terhenti di pondok taman botani di hujung bangunan Blok D. Dia berdiri dan memandang bunga-bunga mawar yang di susun satu baris. Pandai tukang kebun sekolah tersebut menjaga tanaman-tanaman di situ. Bunga- bunga yang keluar semuanya sihat dan kembang-kembang. Tiba-tiba hatinya di rundung sayu mengingatkan layanan Eman padanya. Eman lansung tidak boleh dibawa berbincang. Kadang-kadang Eman tidur di bilik tetamu dan mengunci pintu daripada dalam. Kelopak mata Ameena mula bergenang. ‘Rumah tangga akan ada pasang surutnya. Mungkin ini ujian dalam rumah tangga aku. Aku kena pertahankan! Sehingga nyata daripada mulutnya yang dia sudah tak perlukan aku.. maka pada waktu itulah aku akan melangkah pergi.
Ameena tersenyum pahit memandang ke arah pondok di tengah-tengah taman. Di situlah, tempat suaminya jatuh cinta padanya. Airmata yang mahu gugur, disekar dengan belakang tapak tangannya. Cikgu Eman.. nama yang cukup memberikan kesan dalam hidupnya. Sejak zaman sekolah Sehinggalah sekarang.
Sedang Ameena ralit ,melayan perasaannya, tiba-tiba tubuhnya dipeluk kemas dari belakang. Mulutnya ditutup rapat dengan satu tangan kasar bagi menghalang suara jeritannya bergema satu sekolah. Dia tidak mampu untuk lolos. Airmatanya yang tadinya bergenang sudah mengalir laju menuruni kelopak matanya lansung membasahi tangan yang menutupi mulutnya.
Kepalanya dipaut ke kiri mengadap wajah manusia itu. Mata Ameena membulat memandang wajah lelaki yang cukup dikenalinya itu. Dalam keadaan Ameena yang masih terkejut, lelaki itu dengan pantas menarik tangannya yang menutup mulut Ameena dan menyambar bibir itu dengan ciuman hangat yang sangat penuh ghairah. Segalanya berlaku dengan pantas. Ameena pula sudah seperti terpukau denga sentuhan itu. Rasa cinta seakan kembali mekar semula. Tubuhnya di pusingkan dan dipeluk kemas. Dia lemas.. dalam dakapan cinta yang kembali bertaut.
maaf OV terlewat upload.. maaf yang ternanti - nanti..
Share this novel